Tuesday, May 6, 2008

7 Habits, Paradigma dan Sikap: Isu Agamakah Semua Itu?


Assalamualaikum,


- Ramai yang masih bertanya tentang 7 Habits.. Agak sukar untuk saya hurai kerana bukan saya yang memberi ceramahnya.

-Terus ke laman Ustaz Hasrizal, barangkali ada maklumat mungkin. Banyak penulisannya tentan Stephen Covey ni, namun saya rasakan ini agak membantu. Anda baca dan mungkin akan faham nanti. Gabungkan juga dengan kefahaman saya dalam penulisan terdahulu di



-------------------------------------------------------------------------------------------------


“Seperti mana yang diperkatakan oleh Covey di dalam kitabnya, err!”, saya tergamam sekejap.
Kitab?


Sejak bila pula 7 Habits of Highly Effective People menjadi ‘kitab’. Bismillah sepatah habuk pun tak ada.


“Seperti mana yang diperkatakan oleh Covey di dalam bukunya, aaa!”, baru saya lega menyebut.


Peserta pun ramai yang ketawa. Walhal kitab dan buku, kedua-duanya sama sahaja. Cuma persepsi kita sahaja yang berbeza. Ya, seperti menyebut sekolah dan madrasah… walhal di Jordan sekolah paling sekular dan liberal pun namanya madrasah. Malah sama juga seperti babi dan khinzir. Sebut khinzir terasa seperti lebih sopan berbanding babi. Macam mencarut di dalam masjid pula, apabila menyebut babi di dalam kuliah maghrib!


Tetapi soal persepsi terhadap buku Covey dan tema PUISI kali ini, lebih mendalam dari sekadar isu kitab atau buku. Buat pertama kalinya, PUISI jauh dari kitab turath (kitab warisan keilmuan Islam) sama ada kuning, mahu pun putih warna lembarannya. PUISI kali ini jauh benar jika mahu dibandingkan dengan Deen Intensive Dublin. Malah persepsi terhadap kuliah saya jauh lebih mendalam dari isu buku Covey, kerana persoalannya di sini ialah APAKAH ISU SIKAP, ISU AGAMA?


Ada atau tidak al-Quran bercakap tentang masalah sikap? Atau ia hanya perbualan kosong seorang jurulatih motivasi? Berniaga air liur kata sesetengahnya! Jika Covey memperkatakan tentang paradigma sebagai topik pertama sebelum mengubah tabiat kehidupan, apakah al-Quran ada menyebutnya?


Soalan ini rumit. Maklum sahaja, jika yang diperkatakan ini tiada asal usul agama, ramai yang gusar untuk mendengarnya. Apabila ternyata al-Quran ada menyebutnya, ia dikomen pula sebagai “alaa, benda ni dalam Islam pun ada. Covey pinjam dari Islam. Nak hairan apa?”
Jika benar ia ada di dalam al-Quran, kenapa harus menunggu peminjaman Covey baru mahu terlihat akan wujudnya ia di dalam al-Quran?



Soalan-soalan di atas, saya perlu mencari jawapannya untuk diri saya sendiri sebelum ia dijawab untuk orang lain. Saya perlu kepada alasan untuk meletakkan isu sikap sebagai isu agama, agar saya dapat meyakinkan pelbagai pihak untuk memberi laluan kepada saya berceramah tentang sikap. Sama ada dalam konteks pelajar darjah 5 dan 6, sekolah menengah dan kolej persediaan, universiti dan graduannya, malah di dalam program-program gerakan Islam, saya perlukan kepada alasan yang kukuh, bahawa isu sikap ini adalah MUQADDIMAH AGAMA dan PERJUANGAN.


AL-QURAN MEMBETULKAN PARADIGMA


Ketika membaca surah al-Ahzab (33) ayat 21, saya termenung.
Sesungguhnya bagi kamu, pada diri Rasulullah s.a.w itu ada suri teladan yang baik (uswah hasanah)


Jelas sungguh keterangan ayat ini. Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik. Tetapi jika ayat ini begitu jelas, mengapa ramai yang salah faham terhadap Rasulullah s.a.w? Ada salah faham yang didiamkan, banyak pula sekarang ni yang disuarakan.


Lihat sahaja kepada peristiwa yang diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud, ketika baginda s.a.w bertanya kepada Aisyah r.ah, apakah ada makanan untuk dimakan?. Aisyah menjawab, tiada. Maka baginda s.a.w bdo, mka begitu, maka hari ini aku berpuasa.


Ya, jika Rasulullah s.a.w. itu suri teladan yang baik, teladan apakah yang boleh diambil dari sebuah rumah tangga yang seorang suami tidak dapat menyediakan makanan untuk dimasak oleh si isteri? Apakah rumah tangga ini yang layak menjadi contoh rumah tangga terbaik? Dalam konteks definisi œrumahku syurgaku hari ini, saya yakin ramai yang gelisah untuk mengambil contoh dari rumah tangga yang dapurnya tidak berasap ini.


Gelisah


Kegelisahan ini tambah sulit apabila ilmu sains politik hari ini mendesak agar kuasa menggubal undang-undang, kuasa melaksanakan undang-undang dan kuasa kehakiman, ketiga-tiga bidang kuasa ini mesti berasingan dan tidak boleh ada di tangan satu pihak atau individu. Jika tidak, pemerintahan semacam itu adalah pemerintahan diktator. Ya, jika definisi ini diterima sebagai definisi sebuah pemerintahan yang adil, maka adilkah pemerintahan Rasulullah s.a.w? Bagindalah yang membuat undang-undang, baginda jugalah yang melaksanakannya dan jika ada kesalahan dan perlanggaran akta, maka baginda jugalah hakim yang memutuskan hukuman, maka tidakkah ini contoh sebuah pemerintahan yang diktator?


Bahaya, bahaya


Isu ini bukan saya reka untuk mengundang gelisah kita semua, tetapi sekurang-kurangnya kumpulan The Young Ottoman, anak-anak muda yang dibiayai pengajian mereka oleh kerajaan Othmaniyyah pada kurun yang ke 19, sudah pun merasa gelisah dengan hal ini. Mereka balik sebagai saintis yang mempunyai idea sains, dan idea terhadap survival negara hasil Revolusi Perancis (1789 - 1799). Pada mereka Sultan Osmanli adalah diktator kerana mewarisi corak pemerintahan kuasa berpusat, yang diamalkan sebagai warisan pemerintahan Rasulullah s.a.w.
Ya, adakah contoh pemerintahan seperti ini, layak menjadi uswah hasanah bagi kita hari ini?
Jika mahu diselongkar keraguan masyarakat terhadap SUNNAH, jumlahnya berderet-deret. Malah banyak pula yang mengejutkan kita.


Seperti seruan Sisters in Islam kepada keperluan mentafsirkan semula al-Quran, dengan alasan mufassir klasik Islam semuanya lelaki belaka, sebab itu bias terhadap wanita! Aduh, hampir terkena serangan jantung saya dibuatnya. Semasa saya membaca Tafsir Ibn Katheer dan al-Thabari atau al-Qurthubi, tidak pernah terlintas di fikiran saya selama ini apakah jantina ahli tafsir itu. Apa yang dilihat adalah hujah, bukannya jantina. Tetapi hari ini ia jadi isu.
Jika isu ini tidak diselesaikan, susahlah agama mahu disebarkan kepada orang ramai. Bawakanlah sederet nas-nas yang sahih, semuanya disalah ertikan.


Mengapa?


Paradigma cara berfikir, cara melihat sesuatu.


Maka keluarlah pepatah yang sering saya ulang, what you see is what you get. Who you are determines how you see. Apa yang kamu lihat, itu yang kamu dapat. Siapa kamu, menentukan bagaimana kamu melihat!


Di sinilah saya mahu berkongsi contoh, bagaimana al-Quran mengemukakan set pemikiran yang betul supaya Rasulullah s.a.w itu dinilai dari pandangan dan pemikiran yang betul. Firman Allah SWT:


Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada suri teladan yang baik. Iaitulah bagi orang yang (1) meletakkan harap (matlamat) hidupnya hanya kepada Allah, (2) meletakkan harap (ganjaran kerjanya) pada Akhirat, dan (3) secara konsisten berkekalan mengingati Allah sebanyak-banyaknya” [Al-Ahzab 33: 21]



Benar, tidak semua orang boleh menghargai Rasulullah s.a.w sebagai teladan yang baik. Perlu ada muqaddimah pada paradigma pemikirannya sebelum kehebatan dan kebaikan junjungan mulia s.a.w. dapat dihargai. Seorang yang boleh menghargai Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan ini, perlulah berfikir dengan 3 asas pemikiran iaitu:


1. Hidupnya bermatlamatkan Allah.

Tujuannya Allah. Hidup untuk melaksanakan TUJUAN, akan bertolak ansur terhadap KEPERLUAN. Ukuran kejayaan rumah tangga di zaman Nabi s.a.w. bukanlah pada keupayaan suami memenuhkan peti ais dan memastikan 3 pinggan lauk terhidang setiap kali makan. Soal makan apa, tidak menjadi persoalan di zaman itu. Malah najis umat Islam di era itu tidak jauh beza dengan najis unta kerana makanan mereka tidak banyak berbeza! Sebab itulah, uswah hasanah rumah tangga Nabi s.a.w. tidak ada kena mengena dengan menu hidangan. Uswah hasanahnya adalah pada keelokan pergaulan dan layanan baginda s.a.w. kepada ahli keluarganya, adab dan sopan yang diamalkan dan senarainya panjang pada panduan Bait Muslim berasaskan SUNNAH.


2. Ganjaran amal adalah pada ganjaran Akhirat.


Fitrah manusia apabila bekerja, dia mengharapkan hasil dan ganjaran. Maka seorang yang boleh mengambil Rasulullah s.a.w. sebagai suri teladan yang baik, mengutamakan ganjaran Akhirat berbanding dunia. Tanpa Akhirat, kita lemah semangat untuk terus berbuat kebaikan tanpa mendapat sokongan, galakan dan pujian warga dunia. Walhal kita lupa, Allah SWT yang Maha Baik itu pun jarang disyukuri dan dihargai. Siapa sangatlah kita untuk kebaikan yang dilakukan mendapat pujian? Namun, sekecil-kecil kebaikan pun, akan diperlihatkan dan diberikan balasan kebaikan, pada sebuah kehidupan bernama Akhirat. Jika ini menjadi pertimbangan kita, maka barulah kita boleh menghargai saranan Nabi s.a.w. agar mengalihkan kayu dari menyakiti pejalan kaki di jalanan, senyum dan salam kepada insan yang ditemui, dan pelbagai benda remeh temeh dan kecil halus itu. Ia besar, bagi sebuah penilaian Akhirat.



3. Berkekalan dan banyak mengingati Allah.


Seorang itu harus sentiasa hidup dalam keadaan sedar dirinya berTuhankan Allah. Dia melakukan setiap satu perkara, seolah-olah dia melihat Allah. Seumpama seorang yang menjawab soalan peperiksaan ketika mana guru subjek tersebut berdiri berpeluk tubuh di depan mejanya memerhatikan jawapan yang ditulis! Tentu kepala kuat memerah mencari jawapan terbaik. Tentu segera timbul rasa menyesal kerana tidak menbaca betul-betul. Tentu masa itu juga sudah siap terasa malu sebelum keputusan peperiksaan diumumkan. Atau sekurang-kurangnya merasa diri dilihat Allah. Inilah yang dimaksudkan sebagai “the consciousness of the Creatorœ, yang terhasil sebagai hikmah galakan basmalah pada setiap awal amal.


Jika watak-watak ini ada bagi seorang insan, nyata dan teranglah pada dirinya kehebatan dan keunggulan Sirah Rasulullah s.a.w. sebagai uswah hasanah, kerana pemikiran dan paradigmanya sama. MELIHAT KEHIDUPAN DARI PANDANGAN PENCIPTA KEHIDUPAN!
Dan al-Quran serta al-Sunnah banyak melakukan hal ini iaitu membetulkan cara berfikir sebagai muqaddimah Syariah.


Izinkan saya untuk menumpukan tulisan dan ceramah pada aspek ini, agar kehebatan Islam dan keagungan teks al-Quran dan al-Sunnah tidak disia-siakan oleh cara berfikir yang salah.
Atas titik itu, 7 Habits of Highly Effective Muslim saya mulakan dengan tajuk PARADIGMA dan PRINSIP KEHIDUPAN.


56000 Kuala Lumpur

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin