Sunday, May 4, 2008

Sambutan Tersirat yang dibumikan pada Syabab

Valentine yang sesat dan merosakkan...


MUQADDIMAH

Dasawarsa hari ini, pemuda pemudi kita makin terjebak dengan kebejatan yang melampau. Bukan sahaja dari segi budaya (Thaqafah) makin terhakis, bahkan agama yang menjadi darah daging juga sudah disiat dari diri mereka.

“Islam adalah Islam, apa kena hidup kami dengan Islam. Gothik, Punk, Skin Head adalah wadah hidup kami.”

Itulah kata-kata mereka andaikata di tegur, dan dikira masih bagus mereka menjawab. Ada juga yang sanggup memukul dan halau insan yang tegur mereka. Pernah tersiar di Berita Harian bagaimana seorang Imam maut dipukul dengan bata kerana menegur sekumpulan mat rempit.

Akibat kejahilan juga, bangsa Malaysia yang entah tidak tahu mana satu Melayu mahupun India atau Cina, kini semakin gemar menyambut perayaan – perayaan serta smbutan agama lain. Bagi mereka, menyambut hari Valentine, April Fool atau Pesta Tanglong adalah perayaan yang bersifat Universal. Harus disambut. Anda mundur dan jumud jika tidak menyambutnya. Rasanya perbicangan kita masih panjang. Lebih molek rasanya saya ceritakan terlebih dahulu sejarah sambutan hari Valentine dan juga April Fool. Apakah kisah tersirat dan tersurat di sebalik keduanya. Apa implikasinya pada Muslim dan juga hukum menyambutnya.

VALENTINE DAY

Tidak banyak pengetahuan sedia ada tentang sambutan ini dalam kotak minda saya. Namun ketika di jemput untuk berceramah U I Love di Politeknik Kuching sempena sambutan hari Kekasih, saya cuba siapkan diri juga dengan maklumat yang sewajarnya.

Secara umumnya, yang kita maklum tentang hari kekasih ini cumalah penjualan mawar merah ditepi jalan pada 14 Februari dan itulah bukti kekuatan cinta pasangan-pasangan yang dibuai nafsu. Nafsu yang melonjak segar itu akan turut kendur sebagaimana mawar yang mekar akan layu pabila proses biologi yang lazimnya dilakukan oleh liang stoma dan floemnya tak dapat dilakukan dek kerana terputusnya hubungan antara mawar dan batangnya serta akar pokok. Pasangan - pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adegan-adegan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membukti kan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Sambutan hari Valentine ini dikhabarkan sudah pun disambut sejak sekian lama dan berasal dari Rom. Terdapat 3 versi cerita asal usul sambutannya, rujuk The World Book Encyclopedia (1998) untuk lebih kefahaman.


Dewa Lupercalia

Versi Valentine 1

Ketika era awal masyarakat Rom kuno sebelum kedatangan kristian, mereka menyambut satu perayaan dipanggil Lupercalia. Satu acara penyucian diri bagi mereka. Berlangsung dari 13-18 Februari setiap tahun. Dua hari yang pertama iaitu 13 dan 14 Februari mereka akan Dewi Cinta Juno Februata. Kemudian pemuda Rom akan pilih gadis yang mereka suka, tulis nama gadis tersebut di atas kertas dan memasukkan namanya ke dalam kotak. Kemudian para pemuda akan cabut nama secara rawak dan gadis yang nama tertulis harus jadi hamba seksnya selama setahun.

Pada 15 Februari, upacara akan diteruskan dengan meminta dewa Lupercalia lindung mereka serta ternakan dari gangguan serigala. Untuk itu mereka juga akan menyembelih seekor kambing dan anjing. Dua orang pemuda Rom yang paling gagah akan dipilih lalu disapukan darah binatang yang disembelih ke badan mereka dan kemudian dicuci dengan susu.

Dua orang pemuda tersebut dibawa berarak sambil memukul orang ramai dengan kulit binatang. Wanita-wanita Rom akan berebut-rebut merima pukulan tersebut. Mengikut kepercayaan mereka, mereka yang kena pukulan tersebut akan lebih subur.

Secara mudahnya untuk versi satu ini, tidakkah wanita Islam berasa untung Islam menyebelahi mereka. Lihatlah wanita Rom hanya dilahirkan untuk manjadi hamba seks lelaki selama setahun. Dan barangkali pada tahun berikutnya pula menjadi hamba seks untuk lelaki yang lain pula. Mereka boleh ditukar sesuka hati. Ini amatlah bersalahan dengan biologi manusia bahkan wanita itu sendiri bahkan secara emosi atau psikologinya seorang wanita hanya mampu untuk setia pada seorang lelaki sahaja. Jika bertukar-tukar suami, sudah tentu gelora serta minda bawah sedarnya akan terganggu.

Indahnya Islam di sini, wanita yang dikahwini harus dijaga dan dipelihara hak-hak mereka. Wanita bukan sekadar untuk nafsu bahkan merupakan antara insan yang turut bertanggungjawab menjaga serta memimpin keluarga. Suami yang patuh pada agama akan menjaga zaujahnya dengan sebaik mungkin bahkan mungkin berfikir dua tiga kali untuk berpoligami. (Rujuk tanggungjawab suami dalam poligami-Kitab Ikhnaq)


Paderi Pedro Saint Valintino....
Versi Valentine 2

Hari Valentine ini disambut sempena untuk menghargai pengorbanan paderi St Valentine (Pedro Saint Valintino) yang mati ketika pemerintahan Raja Rom Claudius II. Umum mengetahui pada ketika itu, Kerajaan Rom amatlah memusuhi penganut agama Kristian. St Valentine dipenjarakan kerana mengajar tentang Kristian. Setelah dipenjarakan pun beliau tetap mengajar agama dan dalam masa yang sama membantu banduan meloloskan diri.

Ketika di penjara juga dia telah jatuh hati pada anak pegawai penjara. Sentiasa cuba untuk berjumpa. Sebelum dibunuh ia telah menghantar surat bertandatangan “from your Valentine” (dari Valentinemu).

Antara punca beliau dihukum bunuh adalah kerana Raja Cladius II amat marah pada paderi St Valentine yang mengenepikan raja dalam urusan hidup tentera. Cladius II menganggap tentera yang masih muda belum berkahwin adalah kuat dan tabah di medan peperangan berbanding mereka yang sudah berkahwin. Atas dasar itu beliau mengharamkan perkahwinan dikalangan tenteranya.

St. Valentine secara diam mengkahwinkan pemuda Rom secara sulit. Perbuatannya diketahui Cladius.Cladius II amaat marah dan memerintahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum bunuh pada 14 Februari 269M. Bagi orang Kristian, kematiannya membawa signifikan yang besar. Pengorbanan yang mulia pada agama mereka.

Sekali lagi fitrah manusia yang Allah ciptakan ditentang. Setiap Insan amatlah memerlukan pasangan dalam hidup, Namun hak ini dinafikan. Kemunculan Islam telah menjadi juara dalam membela hak-hak kemanusiaan sejagat.


Versi 3 yang dikaitkan dengan musim burung mengawan...


Versi Valentine 3

Pendapat ini tidaklah ‘rajih’. Sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris. Rujuk The World Book Encyclopedia, 1998 dan juga wikipedia.
APRIL FOOL.

Pembicaraan kita mungkin panjang untuk sampai ke maksud yang hendak saya sampaikan. Saya sambung dengan sambutan Jahiliah kedua yang menjadi tunggangan anak muda kita yang ada diantara mereka adalah sebaya dengan saya. Adalah penting untuk kita tahu serba ringkas, agar batil yang terselindung dapat kita lihat.

Sejarah April Fool

April Fool juga dikenali sebagai hari April Mop dan disambut pada tiap 1 April setiap tahun. Di gelar hari bodoh kerana pada masa itu, semua surat-menyurat masih melalui jalan kaki. Adalah difahami, kalendar tahun baru pertama kali di isytiharkan pada masa itu. Sambutan Tahun baru ditukar kepada bulan Januari namun, terdapat sekelompok masyarakat yang tidak menerima pengumuman kalendar baru sehingga selepas setahun lebih. Kesannya mereka masih merayakan tahun baru pada bulan April. Sebab itulah golongan ini sering diketawakan oleh mereka yang telah terima surat pengumuman sebelum itu. Bayangkan, orang lain dah sambut tahun baru pada Januari, namun terdapat sekelompok yang menyambut selepas 3 bulan.

Namun cara sambutannya ditukar mengikut kehendak zaman pada hari itu boleh dilakukan perkara yang pelik-pelik dan bodoh pada orang lain dan yang terkena tidak boleh marah kerana hari itu adalah April Fool. Macam filem 3 Abdul yang dilakonkan P. Ramlee.

Graf jatuh bangun Umat Islam...

YANG TERSIRAT

Kedua-dua perayaan ini sebenarnya adalah luka yang dalam pada sejarah umat Islam. Pemuda pemudi menyambutnya dalam keadaan mereka jahil soal hukum dan juga sejarah. Saya secara peribadi mengatakan sejarah sambutan hari Valentine adalah pembohongan besar musuh-musuh Islam. Kisah April Fool juga begitu. Pada pembacaan saya , Paderi Pedro St. Valentino adalah tidak wujud. Kisahnya hanyalah diada-adakan sahaja.

Sedangkan tarik 14 Februari adalah tarikh kejatuhan Kerajaan Islam di Sepanyol manakala 1 April umpama kisah pembunuhan beramai-ramai di Shabra Shatila. Umat Islam Sepanyol disembelih hidup-hidup ! Dan kita meraikan hari jatuhnya Islam dan hari gugur serta mengalirnya darah Umat Islam di Greenada.
Suasana Kota Grenada Pada Hari Ini...

SEJARAH ISLAM DI SEPANYOL.

Pada tahun 711 M di bawah pimpinan panglima perang Thoriq bin Ziyad dan Musa Bin Nushair yang hanya berbekalkan 7000 orang tentera Muslim yang mendambakan syahid telah menyerbu masuk ke Sepanyol. Mereka ingin menegakkan syiar Islam di sana. Semenanjung Iberia berjaya mereka tawan pada 718M. Selama 781 tahun Islam berjaya menguasai kawasan tenggara Sepanyol yang bergunung dan juga kawasan di sekitar bandar Granada.

Pada 755M, Abdurrahman I atau Abdurrahman ad-Dakhil (daripada kerajaan Umaiyah) dilantik sebagai pemimpin di selatan Sepanyol, yang menyaksikan Islam semakin bersinar. Sebagai mercu tandanya, pada 788 dibangunkan Masjid Jamek Cordoba yang dikatakan dibina di kawasan bekas sebuah gereja.

Disebabkan Sepanyol merupakan antara tanah yang subur di Eropah maka Sepanyol telah menjadi salah satu tamadun Islam yang hebat pada ketika itu, umat Islam menguasai ekonomi, politik dan juga laluan antarabangsa dan ia mencapai kemuncaknya dengan Kerajaan Bani Ummaiyyah pada abad kesepuluh.

Kolam air Istana al-Hambra
Gerbang Istana al-Hambra..

Masjid Cordova...


Kekuatan Islam Di Sepanyol.

Kekuatan yang ada pada orang-orang Islam ialah TAQWA Muslim di sana tidak hanya sekadar muslim pada nama, tetapi mereka mempraktikkan ajaran Islam

Mereka tidak hanya membaca Al-Quran, bahkan melaksanakan kandungan Al-Quran. Mereka berkata 'tidak' kepada muzik, mereka juga berkata 'tidak' kepada arak dan semua benda yang diharamkan oleh Islam.Jika mereka baca dalam Al-Quran mengenai hijab, mereka laksanakannya, berbeza dengan keadaan kebanyakan masyarakat Islam kita pada hari ini.

....mereka baca dalam Al-Quran mengenai hijab, mereka laksanakannya...(Gambar Hiasan)

Kerajaan Islam Jatuh.

Kawalan Islam Sepanyol telah terhakis secara perlahan oleh Reconquista (Taklukan semula) Sepanyol. Reconquista disemarakkan oleh gabungan (ahzab) kerajaan-kerajaan Kristian Sepanyol utara untuk ambil semula Sepanyol dari Islam dan akhirnya berjaya mengalahkan dan menakluki negeri-negeri Islam selatan di Semenanjung Iberia

Bandar utama pertama yang jatuh ke dalam kekuasaan Kristian adalah Toledo pada 1085. Manakala pusat pemerintahan di Grenada jatuh pada 1492. Kebanyakan orang bukan Katolik dipaksa untuk meninggalkan Sepanyol atau menganut Katolik, jika tidak mahu menghadapi penyeksaan atau kematian.

Sultan terakhir Dinasti Nasriyyah, Sultan Abu Abdillah Muhammad XII (juga dikenali Boabdil) terpaksa tunduk kepada Ratu Isabella dan Ferdinand serta menyerahkan maruah kerajaan Islam terakhir kepada pemerintah Kristian tersebut. Sultan Abu Abdillah menangisi hal tersebut, lantas ditegur oleh ibunya. Kata ibunya:

“Janganlah engkau menangisi kejatuhan kerajaan ini seperti seorang perempuan kerana engkau gagal mempertahankan maruah pemerintahan kerajaan Islam seperti seorang lelaki.”

Gerakan Reconquista...
Salah satu punca Islam jatu di Sepanyol..(Gambar Hiasan)

Punca Kekalahan

Orang-orang Kristian telah menjumpai satu jalan yang boleh melemahkan kekuatan yang dimiliki orang-orang Islam. Mereka telah menghantar pelbagai jenis alkkohol dan rokok ke Sepanyol dengan percuma (free of cost). Teknik ini nampaknya berkesan dan ianya telah mula melemahkan keimanan orang-orang Islam terutamanya generasi muda Sepanyol.

Pemuda merupakan asset bagi sesuatu Negara, tamadun mahupun dinasti. Pemuda Sepanyol telah rosak, maka apabila diserang, hanya tinggal golongan tua yang tidak lagi berdaya. Manakala golongan muda pula hanyalah berperang untuk hidup, dan bukan lagi untuk agama. Barangkali mereka sudah lupa kata-kata Khalid al-Walid ketika berhadapan dengan tentera Rom:

Masuklah kamu ke dalam agama Islam, jika belum ada cahaya keimanan dalam hati kamu, kamu harus membayar Jizyah, jika kamu enggan, maka berdepanlah dengan kami, kami merupakan satu kaum yang cintakan kematian (syahid) sebagaimana kamu cintakan kehidupan.
Queen Isabel

Kaitan dengan Valentine’s Day dan April Fool.

14 Februari yang disambut sebagai hari Valentine adalah untuk meraikan kejatuhan kerajaan Islam sebenarnya. Kerajaan Islam Sepanyol gugur pada tanggal 14 Februari 1492 M. Perayaan April Fool merupakan rentetan kejayaan Queen Isabel dan suaminya Ferdinand menjatuhkan kerajaan Islam terakhir di Sepanyol.Negeri terakhir yang dapat dirampas ialah Grenada.

Queen Isabel memerintahkan umat Islam berpindah keluar dari Sepanyol. Satu-satunya jalan keluar yang ada pada ketika itu hanyalah dengan melalui dengan jalan laut. Bilamana orang Islam keluar dari rumah dan berada di pertengahan perjalanan, rumah mereka di bakar Sebelum mereka sampai ke laut, kapal-kapal mereka pula di bakar.

Kemudian umat Islam dikepung dan dibunuh serta di bakar. Tentera kristian berasa seronok kerana sebelum merekan membunuh umat Islam, mereka disuruh terlebih dahulu melakukan pelbagai aksi yang bodoh terlebih dahulu.

KESIMPULAN.

Adakah wajar kita menyambutnya lagi??? Soal hukum akan saya terangkan pada entri yang kana datang. Sama2lah kita hayati Firman Allah :-

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah Itulah petunjuk (yang benar)”. dan Sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, Maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”.
(QS. Al-Baqarah [2]: 120).
-------------------------------------------------------------------------------------------------

- Ini merupakan antara isi Ceramah U I Love (Februari) dan Ceramah Bulanan (April) yang telah saya sampaikan di Politeknik Kuching Sarawak.
-Maaf, Terdapat banyak perkara yang ingin disentuh tapi sukar diterjemahkan dalam bentuk tulisan.
- Sejarah jatuh bangun umat Islam adalah perkara penting yang harus di fahami dan dihadam masyarakat Islam di era Urbanisasi pada hari ini.
-Segala maklumat dan fakta di atas adalah hasil pembacaan dan carian atas talian saya. Sebarang pembetulan fakta dan pendapat amatlah dialu-alukan.
- Penulis merupakan Guru Pelatih Tahun 2 Sarjana Muda Pengajian Islam Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Tun Abdul Razak

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin