Monday, October 5, 2009

Kembara Lembah Nil & Haramain Syarifain 6

Kurma yang sedang masak
Bergambar kenangan di ladang kurma
Mak pun turut sama...
Kurma Kuning ni mcm durian isi kuning jugalah..menjadi rebutan...
Cinta Madinah

…. Setelah penat berjalan di sekitar Jabal Ruman dan juga Jabal Uhud, kami meneruskan perjalanan ke lading kurma yang berdekatan. Inilah kehebatan Allah swt, menciptakan padang pasir yang tandus, namun dalam masa yang sama juga mencipta pepohonan kurma yang mampu hidup dalam keadaan kering kontang. Buah kurma yang kita makan sepanjang Ramadhan yang lalu mengandungi glukosa yang tinggi, dan walaupun glukosa itu umpama gula, namun jika anda biarkan buah kurma terdedah, semut tidak akan menghurunginya kerana gula yang terdapat pada kurma bukanlah yang dikehendaki oleh semut.

Pokok-pokok kurma di ladang tersebut tidak begitu tinggi, bahkan lebih rendah rasanya dari pepohonan kelapa sawit Jengka 7 Tok Su di Pahang. Rombongan kami disambut dengan hidangan teh panas. Bayangkan, dalam cuaca yang panas, diberi pula teh panas, namun redupan pohon kurma mengurangkan segala tekanan tersebut. Sesekali dari jauh, mata terus melirik ke arah jabal Uhud yang dari jauh masih berduyun-duyun diziarahi oleh tetamu yang baru tiba dari segenap pelusuk dunia.

Melihatkan kepada kerendangan pohon kurma di sini, mengingatkan saya dan ayah kepada sebuah drama yang “top” satu ketika dahulu. Cinta Madinah. Terdapat beberapa babak yang dilakonkan dalam suasana di ladang kurma. Barangkali inilah ladang kurma yang digunakan. Sebuah karya Abu Hassa Morad yang melibatkan Wardina, Zul Yahya, Shukeri Hashim dan ramai lagi pelakon yang membintanginya. Sebagai rekod, Cinta Madinah adalah novel pertama yang saya beli dengan duit sendiri sekitar tahun 2002 @ 2003 yang lalu. Zaman bersatira yang telah berlalu.
Masjid Tujuh dari jauh...
Suasana luar Masjid Qiblatain
Di Jabal Sal inilah terletaknya Masjid Fath...
Masjid Qiblatain

Cuaca makin terik, bas kami sampai di pinggir Masjid Qiblatain. Ayah mengajak saya turun, namun atas sebab masalah kesihatan dan juga keletihan saya menolaknya.

“Ayah tughunlah, Chek penat..amik kamera ni, ayah ambiklah gambaq…,” beritahu saya..

Sampai sekarang saya rasa kesal kerana tidak usaha gagahkan diri untuk turun, bukan apa, entah bila lagi nak dapat hadir ke Masjid ini.

Menurut Dr Ilyas Abdul Ghani (2005:67), masjid ini dinamakan Masjid Qiblatain kerana ayat perintah qiblat yang terdapat dalam surah al-Baqarah, 144 yang bermaksud :

“..Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram..”

Ayat ini turun Nabi Muhammad SAW sedang menunaikan Solat Zohor di tempat ini iaitu Bani Salimah. Maka ketika tengah bersolat Baginda berpaling ke Kaabah. Dari segi lokasi, masjid Qiblatain terletak berhampiran dengan lembah ‘Aqiq di jalan Khalid al-Walid. Telah pun dilakukan baik pulih di era Raja Fahd pada tahun 1987 membabitkan RS 54 juta. (dalam RM 52 juta).

Khandak dan Masjid Tujuh

Inilah keistimewaan Islam barangkali, itupun jika orang Islam mengamalkannya. Perang Khandaq ataupn perang Ahzab mencatatkan sejarah yang jelas buat umat Islam mengenai ajarannya. Bagaimana gabungan tentera ahzab yang berjumlah seramai 10 000 orang hasil gabungan beberapa kabilah ingin menyerang Madinah yang hanya dipertahankan oleh Muslimin yang hanya sekitar 3000 orang dan sesetengah pendapat walaupun lemah menyatakan Madinah hanya dipertahankan oleh 900 orang tentera Muslimin sahaja.

Apakah istimewa yang saya maksudkan?? Keterbukaan Rasulullah SAW dalam bermesyuarat. Berlakunya perbincangan antara Rasulullah SAW dan para sahabat mengenai cara yang wajar digunakan untuk mempertahankan Madinah. Lalu bersuara Salman Al-Farisi seorang hamba, mengenai bagaimana orang Parsi mempertahankan diri mereka semasa perang adalah dengan menggali parit di sekeliling kota. Walaupun cadangan tersebut dikeluarkan oleh orang bawahan, Rasulullah sebagai ketua tidak ada masalah untuk menerimanya. Atas kerjasama semua, rancangan tersebut direalisasikan.

Tentera ahzab yang tiba di Madinah amat kecewa kerana mereka tidak mampu untuk menyeberangi parit yang dibina dan mereka juga berasa hairan, khandaq yang di bina oleh Rasulullah ialah salah satu strategi perang yang baru di tanah Arab. Walau bagaimana pun mereka terus berkubu sekitar Madinah hinggalah Rasulullah bermunajat di atas sebuah bukit yang di beri nama Jabal Sal. Melalui bukit ini juga Nabi dapat mengawal pergerakkan tentera Muslim dan juga mengawasi pergerakkan Musuh. Akhir munajat Nabi diterima dan tentera musuh dibantai dengan rebut dan taufan. Di Jabal Sal ini Nabi bermunajat selama 3 hari dan turunnya kemudian ayat ke 9-25 surah al-Ahzab dan juga ayat ke 26 Ali Imran. (rujuk Dr Ilyas Abdul Ghani di dalam bukunya Sejarah Madinah al-Munawwarah, 101)

Ketika tiba di pinggir Jabal Sal, saya melihat manusia berpusu-pusu memasuki masjid Fath(masjid Kemenangan) yang terdapat di Jabal Sal. Di dalamnya dikatakan tempat Nabi bermunajat kepada Allah. Masing-masing ingin bersolat di tempat Nabi pernah bersolat.

Digunung Sal ini terdapatnya 7 Masjid yang kemudiannya digabungkan menjadi satu masjid yang dikenali sebagai Masjid Sab’ah (Masjid 7), Masjid ini menggabungkan masjid-masjid seperti :-

1. Masjid al-Fath
2. Masjid Salman al-Farisi
3. Masjid Ali
4. Masjid Umar
5. Masjid Sa’ad
6. Masjid Abu Bakar
7. Masjid Sab’ah sendiri.

Pada peringkat ini pun saya hanya melihat dari jauh sahaja. Ternyata cuaca yang panas membuatkan para Jemaah kurang selesa untuk turun menziarahi masjid Sab’ah.
Bila dah sampai di pasar kurma ni...langsung tak letih dah...
Halal...Halal

Pasar Kurma.

Bagi Jemaah Haji mahupun Umrah yang datang berziarah ke Madinah, pasti kurang lengkap ziarah mereka tanpa datang ke Pasar Kurma untuk membeli bekalan kurma dan di bawa pulang ke Tanah Air.

“Halal! Halal !“ itulah jeritan para peniaga. Mereka tanpa jemu akan meminta anda merasai terlebih dahulu kurma yang bakal mereka jual. Pelbagai jenis kurma terdapat di sini dan kurma Nabi sentiasa menjadi rebutan kerana bersandarkan sabda baginda tentang fadhilat kurma berkenaan.

“Assamualikum Abang Nazmi”, saya di sapa dari belakang.
“Waalaikumsalam” jawab saya, tangan kamu berpaut erat. Saya mengenali wajah ini, namun mencari di mana kali akhir bertemu mata....Ah, tak jumpa!! Tak jumpa dari kotak ingatan saya. Wajah saya kenal, namun identitinya lesap sama sekali.

“Maaflah akhi, ana lupa langsung ni, sapa ni?“, saya bertanya.
“Ana Fawwaz, nta tak kenal ???“ jawabnya

Setelah berbicara seketika, barulah saya mengenalinya. Fawwaz merupakan junior saya beberapa lapis di bawah batch saya di Maktab Mahmud dan sekarang menuntut di Universiti Islam Madinah. Wah, hebatnya Fawwaz ni. Setelah bersalaman dan berpelukkan, fawwaz meminta izin untuk meninggalkan saya kerana ada urusan lain. Saya pula terus membantu Mak untuk memilih kurma serta buah tangan yang lain yang boleh dibawa pulang ke tanah air. Bukan setakat kurma sahaja yang dibeli...

Universiti Islam Madinah

Dalam perjalanan pulang ke hotel, kami di bawa melintasi kompleks utama Universiti Islam Madinah. Menurut Dr Ilyas Abdul Ghani (2005:149), universiti ini didirikan pada 25 Rabiul Awwal 1381 H di lereng Wadi Aqiq dan terdapat beberapa Fakulti di dalamnya seperti Fakulti Syariah, Fakulti Dakwah & Usuluddin serta Fakulti Bahasa Arab.

Mahasiswanya seramai +/- 6000 orang dan mereka terdiri dari 138 negara Islam dan bukan Islam. Atas kekayaan Arab Saudi, mereka memberikan tiket penerbangan kepada mahasiswa, elaun, fasiliti pengajian, perubatan dan pelbagai lagi. Dan untungnya menjadi mahasiswa Universiti Islam Madinah ialah dapat bersolat di Masjid Nabawi pada setiap waktu.
Suasana Pengebumian Jenazah di Baqi'
Menziarahi Baqi Usai bersolat Asar
Emak di pinggir masjid Nabawi

Melawat para Sahabat

Usai solat Asar serta solat di Raudhah, saya dan ayah terus keluar melalui Babussalam. Tidak dapat menziarahi makam Rasulullah kerana manusia yang semakin ramai. Apa yang hendak saya rebutkan. Saya sudah berpeluang ziarah, berikan pula kelapangan pada Jamaah yang baru tiba. Ayah membawa saya berjalan-jalan di bahagian hadapan Masjid Nabawi sambil mengaitkan beberapa bangunan yang masih ada ataupun yang telah dirobohkan dengan pengalamannya menunaikan haji dan umrah tidak lama dahulu.

Pada petang itu terdapat majlis pengebumian di perkuburan Baqi‘ di sebelah Masjid Nabawi. Jemaah lelaki dibenarkan untuk masuk. Wanita-wanita Syiah terdapat ramai disebelah luar, ya lah, di dalam perkuburan ini terdapat ramai ahlu Bait. Saya dan ayah berjalan-jalan seketika di kawasan perkuburan sambil melihat suasana serta kehadiran pelbagai bangsa.

Baqi‘ ialah sebuah perkuburan di Madinah, di mana di situ telah dikebumikan lebih dari 10 ribu orang sahabat, isteri, anak-anak Nabi SAW serta tabi’in dan pengikutnya. Menziarahi perkuburan Baqi‘ adalah sunnah Nabi SAW dan Rasulullah SAW pernah meminta ampun bagi penghuni Baqi‘ melalui doanya. (rujuk Sahih Muslim , 11:974)
Selepas Maghrib di Masjid Nabawi
Diisi dengan ibadah
Tengok apa tu adik???
Merenung masa hadapan...
Dari tiang-tiang sebeginilah keluarnya air cond di Masjid an-Nabawi

Masjid Nabawi di Hati.

Hari ini hari Khamis. Malam ini merupakan malam terakhir saya berada di Madinah. Magribnya diisi berbuka puasa bersama ribuan Jamaah yang hadir. Kemudian pada Magrib dan Isya’nya diisi dengan al-Quran dan juga merenung diri serta sekita masjid Nabi. Terus terang, saya terpukau dengan keindahannya, suasana ibadahnya, harmoninya. Terdapat pengajian di dalamnya. Seorang Sheikh berkulit hitam sedang mengajar tentang hadith Nabi. Yang mendengarnya semuanya arab serta jamaah yang berkulit putih. Langsung tiada rasa janggal dalam mendengar ilmu. An-Nabawi sentiasa di hati....
Bergambar Kenangan di Pintu Umar al-Khattab..
Berduyun manusia berjalan untuk menunaikan solat Jumaat
Bagi yang lambat, boleh berteduh di bawah payung utama..
Selepas membawa turun barang dari bilik...Sudah mula memakai kain Ihram..Namun belum berihram lagi...
Kenangan akhir di Masjid An-Nabawi
Jumaat dan Ihram

Jam 11 pagi saya sudah bergerak ke Masjid an-Nabawi. Walaupun waktu Jumaat masih lewat. Namun untuk mendapatkan tempat yang selesa dan di hadapan, harus bergerak awal ke Masjid. Sementara menunggu Jumaat. Beberapa Ibadah sunat di jalankan. Khutbah Jumaat di sampaikan di dalam bahasa arab dan saya memahami isinya walaupun mungkin tidak sepenuhnya.

Usai berjumaat, bergerak keluar dari Masjid. Beberapa teguk mak-u zamzam sempat diteguk. Keluar saja dari pintu Umar, Masha Allah.. Ramainya manusia. Saya agak di dataran masjid yang sedang bergerak sahaja melebihi 30 ribu manusia. Harus segera pulang ke hotel, taklimat untuk perjalanan pada petang ini.

Selesai taklimat, saya dan keluarga lantas mengemas barang dari Elaf Tayba, untuk bergerak pada petang ini. Dengan bantuan ayah, Ihram di pakai buat pertama kalinya dalam hidup. Sehelai sebagai kain sehelai lagi sebagai penutup badan. Bergerak ke Masjid Nabawi buat kali terakhir untuk menunaikan solat Asar. Bergenang air mata, bila memikirkan inilah pakaian yang hampir sama bila sampai masanya saya bertemu Allah nanti. Langsung tidak menggambarkan darjat si pemakainya. Semakin sedih meninggalkan Rasulullah SAW.. Semuanya serba akhir....Kaki lantas di hayun..menuju ke Baitullah...

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 5 Oktober 2009
Kota Samarahan 11.42pm

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin