Monday, May 12, 2008

Al-Quran dikagumi saintis

MEMBACA buku bertajuk Quran Saintifik-Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains Dr. Danial Zainal Abidin mampu membawa pembaca kepada bukti kebesaran Allah bahawa kandungan al-Quran bukan setakat ibadat semata-mata serta sejarah umat terdahulu malah ia turut menyentuh segala perkara termasuk ilmu sains.


Malah apa yang lebih menarik ramai di kalangan saintis Barat serta saintis di benua Asia yang bukan beragama Islam mengakui kebenaran al-Quran setelah mereka membaca tafsiran ayat-ayatnya yang memperkatakan ilmu sains.


Sebagai contoh dalam satu bab di dalam buku ini penulis menceritakan bagaimana seorang pakar dalam bidang anatomi yang berasal dari Thailand, Prof. Tejatat Tejasen akhirnya memeluk Islam selepas mengakui kehebatan al-Quran.


Bekas dekan Fakulti Perubatan Universiti Chiang Mai itu memeluk Islam ketika berucap di seminar perubatan ke-8 yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi.


Kata Tejasen ''Tiga tahun lepas saya amat berminat dengan al-Quran. Saya meyakini segala apa yang dinyatakan dalam al-Quran seribu empat ratus tahun dahulu adalah benar kerana ia boleh dibuktikan secara saintifik.


''Oleh sebab Muhammad (Rasulullah) tidak tahu membaca dan menulis, beliau semestinya merupakan seorang utusan yang menyampaikan kebenaran daripada Tuhan mencipta. Pencipta itu semestinya Allah, justeru saya rasa sudah sampai masanya untuk saya berkata 'Lailahaillallah Muhammadur Rasulullah''.


Dalam bab yang sama penulis juga menceritakan kekaguman Dr. Gary Miller yang merupakan seorang pakar matematik di samping seorang tokoh dalam ilmu teologi Kristian terhadap al-Quran. Pada tahun 1978, beliau dihadiahkan dengan sebuah al-Quran terjemahan Inggeris.
Ilmu yang beliau peroleh daripada al-Quran kemudian mengubah hidupnya kerana selepas itu beliau memeluk Islam.


Antara petikan menarik Miller dan tulisannya yang bertajuk The Amazing Quran ''Seperkara yang mengejutkan golongan bukan Islam selepas mengkaji al-Quran adalah tidak seperti yang mereka jangkakan.


''Pada awalnya sebahagian mereka menjangkakan isi al-Quran pasti tua lagi kuno seperti umurnya yang hanya membicarakan mengenai padang pasir. Bagaimanapun mereka mula sedar bahawa al-Quran mampu menyahut cabaran ahli-ahli sains.''


Kata Miller lagi, konsep sains pada hari ini adalah satu konsep yang memerlukan bukti dan sememangnya isi kandungan al-Quran mampu membuktikan setiap kebenaran ayat-ayatnya.
Seribu empat ratus tahun sudah berlalu dan tidak ada sesiapa pun yang mampu membuktikan kepalsuan al-Quran, justeru al-Quran adalah sebuah kitab yang hak lagi benar.


Penulis buku ini bijak membahagikan beberapa bahagian bagi memudahkan pembaca meneliti setiap bab yang membincangkan ilmu sains berdasarkan ayat-ayat al-Quran.


Secara umumnya terdapat lima bab yang mengupas mengenai kehebatan al-Quran dalam konteks ilmu sains iaitu;


Daripada kelima-lima bab itu dapat disimpulkan bahawa perbincangan ilmu sains yang terdapat di dalam al-Quran menyentuh bidang penciptaan alam, astronomi, kejadian asal-usul manusia, hikmah ibadat dalam konteks sains, pengharaman babi dan khasiat beberapa tumbuhan seperti buah tamar, zaitun dan tin serta air zam zam.



Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang menyentuh bagaimana alam ini dijadikan antaranya dalam surah Fussilat ayat ke-11 iaitu kejadian langit dan bumi adalah daripada asap (dukhan).


Antara saintis yang kagum dengan kenyataan Quran ini adalah Prof. Yoshihide Kozai dari universiti Tokyo, Jepun. Beliau juga merupakan Pengarah National Astronomical Observatory di Mikata, Jepun.


Beliau ditunjukkan ayat-ayat al-Quran yang menceritakan berkenaan kejadian langit dan bumi. Selepas mengkaji ayat-ayat itu beliau merasakan seolah-olah ayat-ayat tersebut diceritakan oleh seorang yang melihat kejadian alam ini di peringkat tertinggi.


Beliau berkata, penemuan-penemuan semasa adalah sama dengan fakta yang terdapat di dalam al-Quran iaitu kejadian langit dan bumi adalah daripada asap. Daripada gumpalan asap itu lahir bintang-bintang dan kelahiran itu menjadi asas kepada kelahiran alam ini.


Akhirnya Kozai mengakui kebenaran al-Quran dengan berkata: ''Saya kagum dengan fakta-fakta astronomi yang terdapat di dalam al-Quran. Dengan membaca al-Quran dan menjawab persoalan-persoalan yang timbul, saya rasa saya akan menemui cara untuk mengkaji alam semesta pada masa akan datang.''


Rata-rata saintis khususnya Barat mengakui apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad (SAW) mengenai ilmu ini seperti mana yang terdapat di dalam al-Quran adalah sesuatu yang amat menakjubkan.


Ini kerana ilmu mengenai astronomi dan cakerawala hanya ditemui dalam tempoh terdekat ini sedangkan Nabi Muhammad telah menyampaikan kebenaran ini 1,400 tahun yang lalu.


Mereka hairan bagaimana Nabi Muhammad mampu menyampaikan satu ilmu yang pada masa itu tidak tercapai oleh fikiran manusia kerana ketiadaan teknologi yang membolehkan ilmu itu diakses.


Mereka akhirnya mengakui apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad itu adalah wahyu Allah dan bukannya satu rekaan. Katanya, ilmu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad merupakan kebenaran yang tercatat di dalam al-Quran.


Mengenai kejadian manusia ramai di kalangan saintis terkenal takjub dengan penyusunan kejadian manusia di dalam al-Quran seperti mana disebut dalam surah al-Mukminun ayat ke-14.


Para saintis terbabit cukup kagum kerana susunan kejadian manusia di dalam ayat tersebut begitu terperinci, benar dan menepati ilmu sains moden.


Mereka hairan bagaimana al-Quran melalui ayat tersebut yang pada masa itu mampu menggambarkan secara tepat kejadian manusia iaitu daripada nutfah (air mani) menjadi alaqah (sebuku darah beku) dan mudghah (seketul daging).


Selepas itu ayat berkenaan menerangkan selepas dicipta seketul daging dijadikan pula beberapa tulang dan tulang tersebut membalut daging. Setelah sempurna kejadian Allah membentuk makhluk.


Dalam satu bab lain penulis ada menerangkan mengenai hikmat kewajipan mandi junub, wuduk, sembahyang dan berpuasa dalam konteks sains selain khasiat buah-buahan yang sering dimakan oleh Nabi Muhammad antaranya tamar, tin dan zaitun.
------------------------------------------------------------------------------------------------

-Amat tertarik pada artikel ni.. Rujuk di sini.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin