Friday, September 4, 2009

Kembara Lembah Nil & Haramain Syarifain 5

Dari pintu belakang Masjid Nabawi di kala menuju solat Maghrib
Negeri Thaibah

Negeri Thaibah adalah nama lain bagi Yastrib ataupun hari ini kita mengenalinya sebagai Madinah al-Munawwarah. Perkataan Thaibah ini diperkenalkan oleh Jibril kepada Baginda Nabi Muhammad SAW semasa Baginda di Isra’kan ke al-Quds dan diantara al-Haram ke al-Quds terdapat pelbagai peristiwa yang anda boleh selidiki dalam mana-mana artikel Israk dan Mikhraj.

Daripada makluman mutawif kepada kami, bumi Haram Madinah tidaklah seluas bumi Haram Makkah. Saya tersengguk beberapa kali. Setiap kali terjaga dari tidur di kiri kanan jalan masih lagi padang pasir. Hinggalah pada satu ketika saya tidak lagi mengantuk. Rumah-rumah dan bangunan sederhana besar mula kelihatan di kiri kanan jalan. Inikah bumi Madinah???

Elaff Taiba

Subhanallah… Dari jauh kelihatan menara yang cukup familiar bagi kita orang Islam. Bas sudah mula menyusup ke dalam Bandar Madinah. Bandar yang tenang, yang lelaki, yang perempuan, semuanya berjubah. Suasana Ibadah sudah mula kelihatan. Mata saya masih terus melirik ke arah Masjid an-Nabawi. Kubah Hijau mula kelihatan. Hati melonjak.

“Aku nak sampai dengan segera…”

Hampir 10 minit membelah Bandar Madinah, bus berhenti di hotel Elaff Taiba. Alhamdulillah. Hotel ini berada betul-betul di pintu belakang sebelah kanan Masjid An-Nabawi. Dari suasana biliknya, ternyata hotel ini bertaraf 4 atau 5 bintang. Jam menunjukkan 10 pagi waktu Madinah. Hampir 2 jam lagi untuk zohor. Namun kerana masalah Chek-in pada mulanya menyebabkan kami hanya dapat masuk ke bilik hampir jam 12. Terus mandi dan bersihkan diri. Terus menyarung jubah hitam, maka kami sekeluarga terus mengorak langkah menuju ke masjid Nabawi.
Berhampiran Pintu Masuk Umar al-Khattab...

Aku rindukanMu

Bahang panas terus terasa. Suhu 45 darjah di Madinah benar-benar menguji. Selepas melepaskan emak dan adik di pintu menuju ruang solat Muslimat. Saya dan ayah terus masuk ke Masjid Nabawi. Saya memilih untuk masuk dari pintu Umar al-Khattab. Nta kenapa. Satu sosok yang saya cukup minat dan sepanjang berada di madinah, pintu Umar sentiasa menjadi pilihan saya. Kiri kanan lorong menuju ke ruang solat terdapat tong-tong air zam-zam yang diangkut oleh Kerajaan Saudi dari Mekkah ke Madinah. Terus sahaja ayah dan saya minum beberapa cawan. Untuk melegakan keletihan kami. Alhamdulillah, segar tekak yang kering.

Suasana di masjid Nabawi cukup padat. Kami tak dapat solat di ruang utama, sekadar bersolat di ruang solat sebelah kanan masjid. Usai zohor berjamaah, ayah bertanya pada saya,

“Nak pi ziarah makam Nabi dak??”, Tanya ayah.

Jom, boleh jugak”

Kami cuba berjalan perlahan, saya tidak pasti di mana letaknya makam Nabi, ayah pernah berkunjung ke sini beberapa kali, saya hanya mengekorinya dari belakang, membelah lautan manusia. Semakin berjalan, manusia semakin sesak dan padat. Gerak hati memberitahu, dah semakin dekat dengan Makam Nabi.

“Inilah Raudhah”, beritahu ayah pada saya.

Raudhah adalah kawasan di bahagian hadapan Masjid Nabi yang mana tiang-tiangnya mempunyai bunga-bunga emas sebagai tanda ia adalag Raudhah. Di dalam kawasan raudhah juga terdapat mimbar untuk khutbah jumaat. Dalam satu hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda :

“Antara rumahku dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga, dan Mimbarku di atas kolam” (Sahih Bukhari : 1888)
Masa ini mungkin kurang sesuai lagi untuk saya bersolat di Raudhah. Manusia begitu ramai. Dari Babussalam, kami mula bergerak ke arah Makam Nabi, manusia masih berhimpit-himpit. Masing-masing terus berzikir dan mengucapkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Pegawai-pegawai masjid Nabawi mengawal keadaan di hadapan makam Nabi.

“Hajji!!, Hajji!!”, mereka memanggil para jamaah dengan gelaran tersebut. Sambil meminta hadirin untuk terus tertib dan tidak berasakan. Akhirnya tiba giliran saya dan ayah melintasi kawasan makam. Dada menjadi ketat dan sebak, saya tak dapat tahan lagi air mata, bergenang di mata…

“Assalamualaikum Ya Rasululluah.. Assalamualaikum ya Habiballah..”

Saya ucapkan di bibir, airmata terus mengalir, saya cinta nabi, saya sayang nabi. Selama ini banyak gerak kerja saya saya sandarkan pada perjuangan Islam, banyak hadith-hadith menjadi pengukuh hujjah ketika memberi pengisian. Hari ini saya berada di hadapan makam Nabi.. Nabi yang menjadi sumber inspirasi pada pejuang-pejuang Islam. Terkenang jasa-jasa Baginda, susah payah baginda, kelaparan baginda. Demi ummat tercinta..

Kaki enggan melangkah, belum puas rindu pada Rasulullah saw. Namun asakan manusia dari belakang membuatkan saya harus bergerak dengan segara.. “Rasullulah, ummatmu akan kembali lagi selepas ini..”

Bersama jamaah Malaysia ketika di dalam masjid Quba

Ziarah Madinah : Masjid Quba’.

Ziarah di bumi Madinah di teruskan dengan menziari Masjid Quba’. Saya mula mengenali masjid Quba ketika belajar subjek Tarikh Islam dari ustaz Nasir Zain semasa di tingkatan dua. Menurut Dr. Muhammad Ilyas Abdul Ghani (2006:49),

“Ketika Nabi SAW dalam perjalanan hijrahnya dari Mekkah menuju Madinah, beliau berhenti di rumah Kaltsum ibn al-Hidam, seorang dari Bani Amri ibn Aif ibn Malik ibn al-Aus. Nabi mengikatkan tali untanya di sana, kemudian membangunkan Masjid Quba’, iaitu masjid pertama yang dibangun oleh Nabi SAW dan para sahabatnya di wilayah Madinah al-Munawwarah.”

Dalam konteks ini juga turunnya ayat dari surah at-Taubah ayat 108,

Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa, sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih”
Ayah dihadapan Masjid Quba
Kami digesa untuk berwudhu’ sejak dari hotel lagi dan disarankan untuk bersolat sunat di masjid Quba sebaik tiba di sana. Ini berdasarkan hadis Nabi saw (sunan ibn Majah,no 1412),

“Barang siapa telah bersuci (berwudhu) di rumahnya, kemudian mendatangi Masjid Quba’ lalu solat di dalamnya dua rakaat, maka baginya pahala umrah,”
Para jamaah tidak melepaskan peluang tersebut. Peluang mendapatkan pahala umrah.

Makam Saidina Hamzah RA
Bergambar kenangan berlatar belakangkan Gunung Uhud

Jabal Rumat : Tempat para pemanah..Sekarang dah jadi macam "Nat"
Jabal Uhud
Ziarah Uhud

Perjalanan diteruskan dengan menziarahi medan uhud. Dari jauh kelihatan bukit uhud. Panjangnya hampir 7km. Di kaki bukit Uhudlah pernah di gunakan oleh para sahabat untuk menyelamatkan Rasulullah saw dari serangan kuffar ketika Islam hampir tewas. Topi besi Nabi tembus di bahagian pipi akibat terkena anak panah musuh. Kami singgah seketika di sana dengan menziarahi maqam para syuahada. Di sana terdapat maqam bapa saudara Nabi, Saidina Hamzah r.a yang digelar Sayyidul Syuhada.

Kami berdoa seketika di makam Syuhada. Mengenangkan besarnya jasa mereka di samping berdoa agar diri ini juga terlibat dalam gerakan jihad mempertahankan agama Islam. Kemudian kami menuju ke Jabal Rumat (bukit pemanah). Di bukit inilah ketika peperangan Uhud berlangsung, pasukan pemanah Islam berjuang mempertahan Islam dengan anak panah mereka. Dr. Muhammad Ilyas Abdul Ghani (2006:89) menyatakan:

“Jabal Rumat ialah sebuah bukit merah yang terletak di sebelah selatan makam syuhada, di samping wadi Qonat. Disebut jabal Rumat kerana di situ Nabi saw meletakkan 50 orang pemanah(rumat) untuk bertahan pada perang Uhud dan diketuai oleh Abdullah Ibn Jahir..”

Bersambung…..

::Dakwah Itu Perlu Hikmah::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 4 September 2009
Kota Samarahan

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin