Sunday, January 25, 2009

Seorang Hussein jadi Presiden AS

DALAM sejarah moden, empat negara telah dipimpin oleh seorang yang bernama Hussein. Malaysia pernah dipimpin oleh Allahyarham Tun Hussein Onn. Sementara Jordan pula pernah dipimpin oleh Almarhum Almalik Hussein. Tetapi tentunya Hussein paling terkenal ialah Saddam Hussein yang menyebabkan Iraq ditawan oleh Amerika Syarikat.

Penaklukan Iraq oleh George Walker Bush membuatkan orang Amerika juga marah. Maka antara perkara itulah yang memungkinkan rakyat Amerika memilih Barack Hussein Obama. Beliau ialah Hussein keempat dan terbaharu yang memerintah sebuah negara moden ekoran pengangkatan sumpah beliau pada 20 Januari lalu. Tentu nama Hussein yang ada padanya tidak akan dibesar-besarkan oleh media Barat kerana bukan saja ia merupakan nama tengah di mana di Amerika ia sering tidak disebut tetapi namanya yang berasal Islam itu hanya menimbulkan rasa tidak wajar oleh rakyat Amerika.

Maka ketika semua stesyen televisyen hanya menyebut nama Barack Obama, rangkaian Al-Jazeera terang-terang memaparkan namanya sebagai Barack Hussein Obama. Begitulah ironi hidup. Setelah menumbangkan seorang Presiden bernama Hussein di Iraq, kini Amerika memperoleh Presiden bernama Hussein.

Malangnya sebelum Obama mengangkat sumpah, Israel menyerang Gaza dan membunuh lebih 1,000 orang Palestin. Pada hari Obama mengangkat sumpah, Israel mengundurkan semua tenteranya dari Gaza. Adakah ini merupakan perancangannya untuk menghancurkan Gaza pada hari-hari akhir pemerintahan Bush? Kemudian serta-merta menghentikan serangan ke atas Gaza apabila Amerika memperoleh Presiden baru. Adakah perkara ini semuanya kebetulan?

Dan pada keesokan harinya juga mungkin kebetulan TV2 pada sebelah malamnya menyiarkan filem The Independence Day, sebuah filem fiksyen sains Hollywood yang sarat dengan mesej patriotisme Amerika. Tentu dalam keadaan banyak umat Islam yang sedang memboikot barangan Israel dan Amerika serta berasa benci terhadap kedua-dua negara, penayangan filem ini menimbulkan rasa serba pelik.

Independence Day dibikin pada tahun 1996. Ia menceritakan bagaimana makhluk asing menakluk planet bumi tetapi berjaya dikalahkan pada 24 Julai iaitu tarikh hari kemerdekaan Amerika. Maka dengan kemenangan itu, 24 Julai turut dihebahkan sebagai hari kemerdekaan bumi. Tidakkah ia mengandungi mesej bahawa Amerika yang menakluk dunia?

Dalam filem itu, kota-kota Amerika diserang teruk oleh kapal angkasa makhluk asing. New York, Washington dan Los Angeles musnah kerana serangan udara makhluk asing yang menggunakan bantuan satelit milik manusia. Maka dibicarakan betapa makhluk asing menggunakan peralatan milik Amerika untuk memusnahkannya.

Pada tahun 1996, Pusat Dagangan Dunia (WTC) belum diserang dan runtuh lagi. Maka dapat dilihat tersergam dua menara itu dalam filem tersebut. Tetapi kapal angkasa makhluk asing memusnahkan bandar-bandar itu termasuk White House. Pada tahun itu tentunya tidak ada sesiapa boleh sangka akan berlaku Peristiwa 11 September pada tahun 2001 di mana WTC runtuh apabila dirempuh oleh kapal terbang penumpang Amerika. Pengganas menggunakan peralatan Amerika untuk memusnahkan negara itu, selain dari WTC, ia juga mensasarkan Pentagon dan White House tetapi gagal.

Namun begitu, melihat filem Independence Day itu, runtuhan yang dilihat daripada bandar New York dan Los Angeles yang diserang oleh makhluk asing mengingatkan para penonton betapa ada persamaan gambaran antaranya dengan kemusnahan Gaza akibat serangan Israel. Bagi rakyat Palestin di Gaza, tentera Israel merupakan makhluk asing yang mahu memusnahkan kehidupan. Dalam cerita itu, Presiden Amerika adalah bekas juruterbang tentera yang cenderung untuk berperang. Tetapi ia memaparkan betapa kejayaan mengalahkan makhluk asing dapat dilakukan hasil daripada kecerdikan buah fikiran seorang penganut Yahudi. Maka idea yang merupakan kunci kemenangan manusia mengalahkan makhluk asing itu pula dilakukan oleh dua wira Amerika, seorang Yahudi dan seorang kulit hitam dilakonkan oleh aktor Will Smith sebagai ketua juruterbangnya. Mungkinkah ia menggambarkan suatu era akan datang di mana pemimpin Amerika yang berkulit hitam bekerjasama dengan pihak Yahudi untuk menentang makhluk asing. Maka adalah kebetulan bahawa tahun 2009 menyaksikan kejayaan Obama sebagai Presiden Amerika dapat dijayakan dengan sokongan lobi Yahudi.

Selain itu, dalam filem Independence Day, tentera bukan Amerika yang membantu dipaparkan datang dari Iraq dan Israel. Ia ditunjukkan melalui bendera mereka di mana tentera kedua-dua negara itu bekerjasama menentang makhluk asing di bawah pimpinan Amerika. Paparan itu merupakan satu ironi kerana ia dibikin lama jauh sebelum Iraq diserang dan ditawan Amerika. Perang Iraq itu berlangsung mulai tahun 2003 dan banyak penganalisis melihat antara sebab ia dilakukan adalah untuk menyelamatkan Israel. Kini Iraq seperti juga Israel adalah sekutu Amerika, suatu yang telah digambarkan oleh filem tahun 1996 itu.

Sememangnya Hollywood gemar mengeluarkan filem bencana dan kemusnahan di mana Amerika digambarkan sebagai sebuah negara baik yang sentiasa diancam. Maka seringkali gambaran pemusnahan ditunjukkan baik melalui bencana alam semula jadi mahupun serangan ketenteraan di pihak luar. Sedangkan pada hakikatnya, Amerika banyak melancarkan serangan terhadap negara-negara lain serta merestui Israel melakukannya terhadap jiran-jirannya.

Jelajah 2008 : Majlis Khatan

Orang kuat Dewan Al-Amin di kaunter pendaftaran...

Ucapan Perasmian oleh saudara Aris Awang...
Assalamualaikum dan Salam Perjuangan..

Saya mengambil peluang yang serba terhad ini untuk update blog dengan penulisan sendiri.. Dah lama rasanya tak menulis ni disebabkan kesibukkan masa dan juga siri jelajah saya pada tahun 2009 ini. Hari ini Cuma nak kongsi aktiviti2 saat akhir jelajah 2008 saya.

Majlis Khatan

Tiga pusat khidmat wakil rakyat (PKWR) dalam kawasan Parlimen Kuala Kedah iaitu PKWR Pengkalan Kundor, Kubang rotan dan juga Anak Bukit telah bergabung menganjurkan majlis khatan perdana secara berturut-turut di PKWR terbabit.

Yang menariknya ia dijalankan secara Tradisional. Sudah tentunya melibatkan tok mudim. Yang pada perkiraan kanak-kanak, misainya bertaring, matanya besar dan menggunakan kapak. Itulah momokan zaman saya kecik-kecik dulu. hehe. Terkenang juga rasanya..

Ayah dan beberapa sahabatnya dalam jamaah telah pun berbesar hati untuk menaja jamuan makan bagi majlis khatan di PKWR di Pengkalan Kundor. Saya pula hanya menolong apa yang patut. Antara tugas yang diberikan kepada saya ialah untuk berselawat beramai-ramai dengan orang kampung ketika majlis khatan diadakan.(Suara saya bukan sedap)

Suasana di dalam dewan Al-Amin mula tenang bila majlis dimulakan. Bermula dengan ucapan serta taklimat kesihatan dan kebersihan oleh tok mudim sendiri yang juga seorang ustaz. Majlis dirasmikan oleh wakil Adun Kubang Rotan iaitu saudara Aris Awang dan seterusnya bacaan doa oleh Tok Ngah Pa, Seorang ulama di kampung saya yang amat dihormati(saya pernah mengaji kitab dengannya).

Tok Mudim pun menyampaikan ucapan..Budak2 dah kecut...
Ibu bapa dan juga peserta majlis khatan...


UNDI

Para peserta majlis khatan yang lebih daripada 30 orang itu telah pun mengundi nombor giliran mereka. Maka mereka dipanggil ke “klinik” tok mudim secara bergilir-gilir. Ada yang tenang, ada yang rileks dan tak kurang juga yang meraung. Tujuan kami berselawat adalah untuk memastikan suara yang menjerit itu tidak didengari oleh kanak-kanak yang lain yang masih menunggu giliran. Majlis selesai pada tengahari dengan jamuan makan nasi kampung. Ada Ulam dan sambal…Sedap woo..

Teringat

Teringat pula dizaman saya berkhatan. Ramai yang berkata wajah saya terlalu matang berbanding usia. Dan antara telahan bagi mereka yang berkata demikian ialah “tentu anta bersunat awal ni”. Barangkali mungkin ya.

Saya bersunat pada usia 5 tahun. Terlalu awal rasanya. Bersunat dengan cara tradisional. Masih ingat lagi, ayah hantar saya ke rumah tok Ndak Hussin (dah arwah, saya masih rapat dengan isterinya yang dipanggil tok ndak chah). Dia yang menganjurkan majlis khatan di kampung kami. Pada masa itu jika tak silap ada 54 kanak-kanak yang terlibat. Saya masih kanak-kanak. Terlalu kanak-kanak. Maka gembiralah saya dengan kehadiran kawan2 yang begitu ramai dan kebanyakkannya tua daripada saya.

Majlis bermula dengan mencabut undi. Bila tiba giliran saya, saya mencabutnya. Wah.. tekejut juga. Giliran saya ialah yang ke dua..Hah..sudah..dah mula ketaq kata org kedah.. selepas itu kami mandi air bunga.. Mandi beramai-ramai. Tibalah saat nak dikhatankan.. Peserta pertama lebih dewasa pada saya.. Dengan stedyna beliau bangun dari batang pisang selepas dikhatankan.

Saya pula lepas tu.. Meraung saya bila dikhatankan.. Bukan kerana sakit.. Tetapi kerana takut.. Saya ditenangkan oleh Tok Cik Ani dan Tok Ngah Yed (arwah) pula memasukkan jarinya ke dalam mulut saya supaya saya tidak menangis dengan kuat. Dibimbangi peserta lain akan menangis. Alhamdulillah.. Selesai.

Inilah "Klinik" Tok Mudim
Wajah-wajah yang dah selesai..Hampa dah dewasa..hehe
Permintaan Buat Ayah

Setelah semuanya selesai saya di bawa pulang oleh ayah. Disambut oleh mak dan adik beradik lain di rumah.. Untuk ambil hati saya, tempat tidur saya diletakkan di depan tv. Ramai juga saudara mara yang datang berziarah..Yang seronoknya mendapat sumbangan duit.. banyak woo..

Ayah tanya saya.. “Dah masuk jawi ni nak apa, ayah nak beli hadiah..”.. Disebabkan usia yang terlalu muda, maka saya gagal untuk memikirkan sesuatu yang bombasti dan fantastic… maka saya minta dari ayah..”Ayah beli la kat chek milo.. chek nak minum milo tiap2 hari..tak mau dah ayaq lain.” Maka itulah hadiah berkhatan saya..

Pengalaman menjadi dewasa buat diri saya. Ada pelbagai kelebihannya.. Bilamana saya masuk ke sekolah rendah.. saya selalu ketawa bilamana ada rakan2 yang nak bersunat dan mereka takut.. Haha.. Aku dah masuk jawi dah..best woo….Pengalaman tinggal pengalaman..

Kelebihan Islam

Inilah kelebihan ajaran Islam.. Islam mementingkan kesihatan dan kebersihan.. Menurut Dr Jamnul Azhar, pakar perubatan memperakui bahawa berkhatan mampu meningkatkan tahap kebersihan diri dan juga kesihatan diri. Dan hari ini, ramai orang bukan Islam sudah pun mengambil langkah untuk berkhatan sebagai langkah menjaga kesihatan..

Jika yang sudah ada anak, didiklah anak dengan ajaran Islam yang betul.. Jangan takutkan mereka dengan khatan.. Cuba sedaya upaya awalkan khatan mereka..Jangan lambatkan.. Terima kasih buat mak dan ayah kerana mengawalkan tuntutan agama buat diri saya..

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 25 Januari 2009
Kota Samarahan

Friday, January 23, 2009

Ingatan buat semua..

Oleh : Fatimah Syarha Noordin dari Majalah SOLUSI Edisi-2

Resah. Gelisah. Seraut wajah termenung jauh. "Orang lain semua dah kahwin, tinggal aku sorang sahaja". Sekeping hati bermonolog. Monolog itu di susuli tujahan prasangka.

"Aku tak cantik ke?"

"Aku kurang bergaya ke?"

"Ataupun pasal gaji aku tak seberapa?"

"Aku tak pandai meng'ayat' agaknya"

Mungkin itulah kerisauan yang memberat di minda muda mudi yang belum berpunya. Rasa rendah diri, stress dan gejolak rasa ingin memiliki membuatkan mereka merasa berusaha memenangi hati dan memiliki seseorang tanpa mengenal batas halal dan haram. Yang penting, DAPAT.

Pilu hati ini melihat remaja yang merana kerana CINTA. Pilu kerana walaupun mereka sudah merasa PERIT nya penangan CINTA DUSTA, mereka masih tak mampu mengarah diri mencari CINTA HAKIKI. Tak serik-serik lagi. Diri diperhamba menagih cinta sementara hingga sanggup berkonflik dengan Pencipta CINTA. Semua batasan-Nya diredah segala. Tak kenal DOSA pahala.

Oh REMAJA !

Cinta sebelum kahwin itu hanya menjerumus ke lembah DOSA dan ZINA. Jika mampu bertahan ke jinjang pelamin sekalipun, percayalah rumah tangga itu tak kan berkat. Apa tidaknya, asasnya dibina daripada dosa dan maksiat. Mana mungkin dapat menegakkan tiang takwa yang utuh kecuali dinaik taraf dengan taubat. Rumah tangga akan menjadi tawar dan hambar. Semuanya dah dirasa dan terbiasa, nak rasa nikmatnya apa lagi? Anak-anak menjadi mangsa. Terimalah ia sebagai hukuman didunia. Amat pedih. Namun, terlalu sedikit berbanding pedihnya hukuman abadi di negeri 'sana'.

Ku hembus nasihat ini kepadamu hai remaja tanda sayangku tak terhingga. Bagi para GADIS YANG BELUM BERPUNYA, andalah pilihan-pilihan Allah untuk masih mekar terpelihara sehingga tiba pula giliran anda mendapat seruan, yakinlah.

Jangan risau jika masih belum berpunya kerana mungkin Allah ingin bagi ketenangan dahulu buat anda terus melangkah menggapai cita-cita. Usah peningkan kepala. DIA menguji anda sedikit masa lagi.

Begitu juga buat PEMUDA YANG BELM BERPUNYA, 'first thing first'. Utamakan yang lebih penting daripada yang penting. Kenali priority anda sekarang. Jika memang dah sampai saat nak memiliki, tabahlah dan terus berusaha. Ingat, pastikan waktu nak berusaha itu anda memang dah betul-betul mampu dan sedia.

Memiliki seorang isteri solehah ibarat memiliki dunia dan seisinya. Sudah tentu jalan untuk mendapatkannya sesuatu yang istimewa amat berliku dan banyak cabaran. Jangan putus asa. Rasa mulialah dengan usaha yang dicurahkan walaupun pinangan pernah ditolak. Usah rasa malu dan terhina kerana Allah menilai setiap usaha selagi berjalan di landasan-Nya. Teruskan berusaha!

Ingat, usaha yang Allah redha sahaja. Bagaimana dengan SMS siang malam? Atau bergayut di telefon memanjang? Atau ajak keluar, belanja makan? Begitukah?

Berusaha menyediakan diri dan pikatlah ibu bapanya terlebih dahulu, itu tip memikat wanita beriman. Sebaik-baiknya gunakan orang perantaraan untuk lebih menjaga warak dan iman.

Seringkali, seseorang mencuri kekasih ibarat dia mendaki gunung yang tinggi. Pepohon berduri sanggup diredah, curam dan jurang sabar ditembuh. Namun, apabila dia memilikinya mendapati insan yang dikejar itu dedaun kering cuma.

Begitulah perumpamaan sia-sianya usaha yang tidak disalur dengan suluhan petunjuk Al-Quran dan Sunnah.

Beringatlah, urusan jodoh tak ke mana. Sudah sedia tercatat seungka nama di Loh Mahfuz untuk kita. Ianya urusan yang pasti. Apa yang tak pasti, sama ada kita mendapatkannya cara mulia atau sebaliknya. Wallahua'alam.

Negara ku Negara Maksiat..

Kerajaan lulus konsert Rihanna pada 13 Februari

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan penganjuran Konsert Rihanna yang akan diadakan 13 Februari ini di Stadium Putra Bukit Jalil di sini yang dibantah Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Mohd Shafie Apdal berkata apa yang penting ialah pihak penganjur apa memenuhi semua syarat yang ditetapkan kementerian.

"Perkara utama yang kami lihat ialah sama ada konsert itu selaras dengan budaya Malaysia tetapi disebabkan industri hiburan sangat dinamik dan kreatif, kita perlu membenarkan rakyat mendapat akses untuk itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Tahun Baru China 2009 di sini.

Wednesday, January 21, 2009

Buat Ayah...

Ayah (berbaju pink), moga terus istiqomah..



Assalamualaikum wtb Salam Perjuangan..

Cek(saya) mengambil peluang ini mengucapkan Selamat Hari Lahir buat ayah yang tercinta.. Sesungguhnya tak dapat nak nyatakan betapa cek sayang dekat ayah.. Sabar ayah, senyuman ayah, teguran ayah, pelukkan ayah, bimbingan ayah, amatlah bernilai dan takkan dapat dibayaq sampai bila2..

Didoakan, moga umoq panjang, dimurahkan rezeki, terus istiqomah dengan jamaah dan terus mendidik kami anak-anak ayah….Ayah doakanlah juga cek jadi anak yang soleh, turut istiqomah bersama perjuangan ayah dan berjaya dalam hidup….

Salam Sayang dari anakmu…

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 21 Januari 2008

Tuesday, January 20, 2009

Apa bezanya Serban Singh Dengan Serban Anak Pondok?

KELMARIN seorang anak pondok Pasir Tumbuh di Kelantan, Ahmad Nasir Darus 28 tahun telah dijatuhi hukum denda sebanyak RM90 atau penjara dua hari oleh Majistret Kota Bahru kerana kesalahaan tidak memakai topi keledar semasa menunggang motisikal tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhi oleh Majistret, Tengku Amalin A’Ishah Puteri Sultan Ismail.

Ahmad Nasir tidak membayar denda berkenaan sebaliknya memilih untuk dipenjara. Alasan beliau ialah kerana ingin menegakkan sunnah Rasulullah s.a.w. Dalam ‘kepercayaan’nya serban itu ialah pakaian Rasulullah dan tidak menjadi kesalahan malah wajib baginya mempertahankan pakaian berkenaan.

Sekali pandang hukuman ke atas Ahmad Nasir itu seperti zalim dan tidak menghormati sunnah Rasulullah seperti mana diyakini oleh anak pondok berkenaan. Ia juga menggambarkan Majistret itu lurus dan menjatuhkan hukuman berdasarkan peruntukkan undang-undang yang ada tanpa langsung menggunakan budibicaranya sebagai seorang Islam. Mungkin itulah tanggapan ringkas.

Tetapi apa yang perlu disedari, Majistret atau hakim akan membuat keputusan berdasarkan fakta dan menggunakan perundangan yang ada. Kebenaran hakikat bagi mereka bukan perhitungan. Mereka tidak dapat melencong jauh dari itu. Soal budibicara, sentimen tidak merupakan keutamaan dalam membuat sesutau keputusan.

Jadi Majistret bukan bersalah dalam hal ini kerana beliau menuruti dan mematuhi undang-undang yang tersedia.

Manakala dari pihak Ahmad Nasir menerima hukuman itu sebagai satu penganiayaan dan keputusan yang tidak menghormati sunnah yang diyakininya itu. Sebagai seorang muslim beliau berhak mempertahankan pakaian Rasulullah atas kepercayaan sesiapa mempertahankan pakaian Rasulullah ia akan mendapat rahmat dan keberkatan.

Sebab itulah Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan para ustaz, alim ulama mempertahankan pakaian serban dan sering mengenakan jubah dalam kehidupan seharian mereka.

Apakah kita boleh mengatakan kata-kata (keyakinan) Ahmad Nasir itu karut? Bahawa serban itu tidak ada kena mengena dengan Rasulullah? Kalau Ahmad Nasir karut maka karut dan kurafatlah sekalian orang yang pakai serba dan jubah atas alasan kerana mempertahankan sunnah Rasulullah?

Di sini apa yang menjadi masalah kerana undang-undang yang digunakan pakai dalam mahkamah jahil terhadap apa itu sunnah? Mungkin juga undang-undang kita tidak memandang dan melihat ada apa-apa nilai pun ke atas pakaian berkenaan. Dalam kata-kata lain sunnah bukan sesuatu yang perlu dipertahankan. Sebaliknya mahkamah kita lebih menghormati turban (serban Singh) daripada serban anak pondok.

Dalam kes Ahmad Nasir tadi Majistret memberi alasan dia tidak menemui apakah ciri-ciri menandakan Ahmad Nasir sebagai lebai. Pihak pembelaan mungkin gagal mengemukakan bukti menunjukkan Ahmad Nasir seorang lebai. Sebab kalau Ahmad Nasir lebai dia dikecualikan daripada mengenakan pakaian serban. Begitulah peraturan dan penilaian perundangan kita.

Jika hendak dikira soal lebai ini pun subjektif. Tidak ada tanda-tanda khusus kepada seseorang yang boleh dikatakan lebai. Dalam istilah lebai itu ia berasal daripada perkataan ‘la’baik’ iaini baik atau mulia. Di sini boleh difahamkan lebai itu orang yang baik dan mulia. Baik kerana dia mengamal hukum Allah dan menuruti ajaran Rasulullah. Dan orang yang begitu ia dianggap mulia.

Jadi kerana polis yang menyaman Ahmad Nasir itu tidak nampak tanda yang beliau baik atau mulia maka beliau tidak kdianggap lebai. Kalau Ahmad Nasir dilihat lebai pasti dia tidak akan disaman dan dibawa ke mahkamah sehingga Majastret membuat penghukuman Ahmad Nasir tidak seorang lebai maka beliau tertakluk dengan undang-undang yang sedia ada itu.

Soalnya di sini apakah setiap warganegara singh negara ini yang mengenakan terbannya itu adalah orang yang secara automatik lebai ataupun ada istilah lain untuk singh maka mereka tidak berani disaman oleh polis?

Senarai kekejaman hadiah perpisahan daripada Bush

HARI ini berakhirlah era pentadbiran George W. Bush sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) setelah genap lapan tahun menerajui negara kuasa besar itu.

Hari ini juga bermulalah pula era Barrack Obama sebagai presiden baru, dengan harapan tinggi diletakkan kepadanya.

Bagaimanapun, majlis angkat sumpah Obama sebagai Presiden AS ke-44 hari ini tidak cukup bagi masyarakat dunia untuk menutup dan melupakan kenangan hitam yang ditinggalkan oleh Bush.

Pentadbiran Bush menyaksikan banyak kezaliman dan pembunuhan di Iraq, Afghanistan dan Palestin kononnya atas kempen memerangi keganasan.

Siapa mampu melupakan perang di Afghanistan yang dilancarkan pada 7 Oktober 2001 - tidak sampai sebulan selepas berlaku tragedi 11 September, sehingga tumbangnya kerajaan Taliban, kononnya untuk memburu Osama bin Laden yang didakwa bertanggungjawab meletupkan Pusat Dagangan Dunia di New York.

Sejak itu, Bush melancarkan kempen memerangi keganasan bagi menghalalkan tindakannya menahan sesiapa sahaja yang disyaki sebagai pengganas, bagi melindungi rakyat AS dan penduduk dunia.

AS kemudian menceroboh Iraq pada Mac 2003 kerana didakwa membangunkan senjata pemusnah besar-besaran.

Bush meneruskan pentadbiran dengan menambah senarai kekejaman dengan menempatkan suspek pengganas di kem tahanan Teluk Guantanamo, Cuba.

Beliau juga menggunakan PBB untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Iran dan Korea Utara bagi menundukkan kedua-dua musuhnya itu.

Bush menutup pentadbirannya dengan siri kekejaman apabila merestui kezaliman rejim Zionis di Genting Gaza dengan menentang resolusi Sidang Tergempar UNGA yang menggesa gencatan senjata berpanjangan dan pengunduran tentera Israel dari Genting Gaza.

Keganasan tentera Israel itu hanya berhenti dua hari sebelum Bush meninggalkan White House untuk memberi laluan kepada Obama.

Rejim Zionis melaksanakan gencatan senjata di Genting Gaza selepas 23 hari melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran di Gaza sehingga menyebabkan lebih 1,200 penduduk Palestin terbunuh manakala 4,500 yang lain cedera.

Mulai hari ini, dunia akan memberi tumpuan kepada Obama pula sebagai Presiden AS. Apakah angka 44 itu akan membawa mala petaka berterusan untuk tempoh empat tahun ini atau masa depan baru bagi penduduk dunia.

Monday, January 19, 2009

Peranan Guru Sebagai Pendidik


1.0 PENDAHULUAN

Golongan guru merupakan anggota sekolah yang terlibat secara langsung dalam perlaksanaan kurikulum dan program pendidikan di sekolah. Peranan yang dimainkan oleh seseorang guru dalam sesebuah sekolah amat penting terutama dari segi pencapaian aspirasi dan matlamat sekolah. Menurut Mok Soon Sang (1988), antara peranan guru yang penting ialah:

-Sebagai tenaga pengajar dengan merancang aktiviti pelajar berdasarkan sukatan pelajaran dan melaksanakannya dalam bilik darjah mengikut strategi pengajaran yang sesuai.
-Sebagai pengarah pembelajaran dengan membimbing pelajar supaya mereka berusaha belajar secara individu atau berkumpulan.
-Sebagai pengurus bilik darjah seperti menyusun rutin bilik darjah, menentu corak penyusunan meja dan sebagainya.
-Sebagai ibu bapa kepada pelajar, demi menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar. Peranan ini akan membantu pelajar menyesuaikan diri dalam sekolah sebagai sebahagian keluarga mereka.
-Sebagai pendisiplin yang bertanggungjawab menjaga disiplin pelajar serta membantu mereka membentuk sahsiah dan kelakuan yang sejajar dengan nilai dan norma masyarakat.
-Sebagai contoh model hidup di mana tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada pelajar. Nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah dapat diterapkan dalam jiwa pelajar.

1.1 Guru Sebagai Pendidik

Guru ialah pendidik yang berilmu pengetahuan. Di samping itu dia dilatih untuk menguasai kemahiran mengajar, dan diberi tugas menyampaikan ilmu kepada pelajarnya. Oleh itu guru sebagai pengamal ilmu perlu memainkan peranan untuk menyampaikan ilmu yang berguna dalam bidangnya.

J. M Coopes (1988) berpendapat guru yang berkesan ialah guru yang memperolehi ilmu pengetahuan khususnya kemahiran mengajar seperti:

-Menguasai ilmu pengetahuan dalam teori pembelajaran dan psikologi manusia
-Menunjukkan sikap jujur yang dapat menggalakkan pembelajaran serta mewujudkan interaksi yang positif dalam pelbagai hala.
-Memperolehi ilmu pengetahuan yang lengkap dalam mata pelajaran yang diajar
-Menggunakan kaedah dan teknik mengajar yang mewujudkan murid menjalankan aktiviti pembelajaran mereka

Sebagai seorang pendidik yang bertanggunjawab, guru hari ini harus menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi yang akan menjadi dewasa kelak. Perubahan perancangan hari ini adalah perlu diiringi dengan perubahan strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Untuk menghadapi cabaran dan tuntutan daripada perubahan strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, guru hari ini hendaklah sentiasa berusaha melengkapkan diri dari masa ke semasa.

Sekolah sebagai satu institusi masyarakat perlu mementingkan perkembangan dan perubahan tingkahlaku pelajar dan kehendak masyarakat. Justeru itu, persekolahan yang berorganisasi itu perlu memainkan peranan dalam mengekalkan corak kehidupan dan kebudayaan yang dianggap baik, misalnya perkara-perkara yang berkaitan dengan moral. Oleh itu guru di sekolah perlu memainkan peranan sebagai agen memodenkan masyarakat dalam semua bidang perkembangan semasa dan kemajuan. Ini bermakna pendidikan di sekolah perlu mementingkan nilai kemasyarakatan dan perkembangan sifat perseorangan pelajar serta membawa perubahan semasa. Tetapi persoalannya sekarang, mampukah sekolah menangani masalah sosial yang semakin mencabar ?.

2.0 PERANAN SEKOLAH

Fungsi utama sekolah ialah untuk memberi pendidikan dan latihan. Pendidikan yang dianggap sebagai satu proses yang membolehkan seseorang manusia yang sanggup berfikiran kritikal dan mempunyai daya kreatif. Latihan pula bertujuan memberi kemahiran-kemahiran teknikal dan kegiatan-kegiatan psikomotor. Oleh itu peranan sekolah ialah untuk memberi peluang kepada mausia khasnya generasi muda untuk menguasai pelbagai pengetahuan dan kemahiran-kemahiran yang difikir sesuai untuk menyesuaikan diri dalam perkembangan masyarakat dan kehidupan-kehidupan seharian.

Sekolah merupakan satu institusi masyarakat yang penting dalam mementingkan perhubungan dan perubahan tingkahlaku pelajar-pelajar mengikut arah dan kehendak masyarakat (Khadijah Haidi, 1994). Justeru itu sekolah perlu memainkan peranan dalam mengekalkan corak kehidupan dan kebudayaan yang dianggap baik. Misalnya perkara-perkara yang berkaitan dengan moral seperti budi bahasa , sopan santun dan sifat hormat menghormati biasanya dipelajari di sekolah. Tidak ketinggalan juga sekolah mengajar kebudayaan kebangsaan seperti mengetahui tentang bendera negara, lagu kebangsaan dan bahasa kebangsaan. Bahkan guru bukan hanya menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata tetapi menanamkan sikap, nilai dan sahsiah yang sempurna, mematuhi peraturan masyarakat.

Guru dan Isu Semasa

Pada masa kini, masyarakat Malaysia merupakan masyarakat perindustrian yang maju dalam teknologi telah mengalami perubahan sosial yang pesat (Mohd. Yusman Awang, 1996). Oleh itu guru di sekolah juga hendaklah memainkan peranan sebagai agen memodenkan masyarakat dalam semua bidang bagi mencapai kemajuan. Ini bermakna, pendidikan di sekolah perlu mementingkan nilai kemasyarakatan dan perkembangan sifat perseorangan pelajar mengikut arus pembaharuan semasa. Ini selaras dengan wawasan negara, yang mementingkan kemajuan teknologi maklumat supaya konsep pendidikan negara bercorak ke arah bercirikan teknologi secara saintifik. Dalam kata lain tanggungjawab guru ini menjadi semakin berat dan komplek kerana rakyat masa depan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dari segi pemikiran dengan nilai teknologi tinggi semata-mata, tetapi perlu diseimbangkan dengan nilai moral dan etika yang murni.

Persoalannnya sekarang , mampukan guru mengimbangkan teknologi maklumat, moral dan etika terhadap pelajar ?. Jika kita lihat untuk mengimbangi faktor ini sukar untuk dicapai. Selaras dengan kemajuan teknologi kini masalah keruntuhan moral pelajar semakin menjadi-jadi.Baru-baru ini di dalam akhbar tempatan turut menyuarakan pendapat dan rungutan ibu bapa mengenai masalah anak dan komputer. Menurut laporan Berita Harian (Oktober,1997) seorang bapa mengadu tingkahlaku anaknya berubah menjadi liar dan berperangai tidak senonoh berikutan dengan pertambahan pengetahuan dan maklumat dari internet yang tidak bertapis. Pelajar mudah mendapatkan sebarang maklumat sama ada sesuai atau tidak dengan cara yang lebih mudahdi zaman kemajuan teknologi maklumat kini.

Penerapan nilai murni dan ketahanan jiwa pelajar perlu disemai oleh guru sebagai pendidik di sekolah di samping ibu bapa di rumah. Sekiranya ia tercicir dari landasan untuk mencapai hasrat ini maka akan timbul masalah di kalangan pelajar seperti wujudnya pelbagai masalah yang menjurus mereka ke arah keruntuhan akhlak remaja masa kini. Sehubungan dengan itu guru perlu berpaling kepada tugas-tugas yang lebih mencabar dan menguji kewibawaan guru tersebut di samping tugas utamanya sebagai penyampai ilmu pengetahuan.

Pada pendapat kami, pengetahuan ilmu teknologi maklumat ini penting untuk generasi muda sebagai satu wadah untuk mencapai kemajuan di masa hadapan. Tetapi pengetahuan ilmu ini perlu disekat dan diberi secara berperingkat. Misalnya bagi pelajar sekolah rendah pengetahuan mengenai internet tidak perlu lagi, bagi mengelakkan mereka daripada meneroka jauh di dalam bidang ini ke arah yang tidak sihat. Namun pengetahuan secara teori perlu diberikan supaya mereka tidak ketinggalan.

Apabila pelajar ini telah melangkah ke sekolah menengah pengetahuan teknologi maklumat ini perlu diberi pendedahan secara keseluruhan kerana pada peringkat umur ini mereka sudah mampu berfikir untuk menentukan yang baik dan yang buruk. Walaupun pendedahan ini perlu, ibu bapa hendaklah sentiasa mengawasi tingkahlaku pelajar ini di rumah. Di sekolah masalah ini mungkin sukar terjadi kerana ia dikawal sepenuhnya oleh guru. Masalah ini biasanya berlaku di rumah ketika bersendirian atau bersama rakan sebaya.


Peranan Sekolah dan Masyarakat

Sekolah merupakan institusi sosial yang melatih generasi muda supaya berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia. Ini dapat dicapai sekiranya sekolah memberi perhatian yang bersungguh-sungguh bagi menangani gejala sosial yang dihadapi oleh masyarakat. Isunya sekarang, mampukan pihak sekolah dan masyarakat berindak seiring dalam menangani masalah sosial di kalangan pelajar ?. Dalam menangani masalah sosial pelajar ini semua pihak perlu merasa ini adalah tanggunjawab bersama.

Pihak sekolah perlu memainkan peranannya manakala masyarakat dan ibu bapa perlu memberi kepercayaan kepada pihak sekolah dalam melaksanakan tugas berat ini. Namun demikian, kebelakangan ini terdapat petanda peranan sekolah dalam menangani masalah akhlak dan moral terlalu lemah . Menurut Dr. Abdul Rahim Abd. Rashid (1997), ini disebabkan oleh kelemahan -kelemahan sekolah seperti hubungan interpersonal yang renggang, guru yang kurang bermotivasi dan berdedikasi, perasaan yang tidak berpuas hati terhadap sekolah, hubungan guru dan murid yang tidak harmoni, kurang keperihatinan yang ditunjukkan oleh guru-guru terhadap masalah murid, tekanan sosial dan emosi yang tinggi yang dihadapi oleh murid di sekolah, kegagalan yang tinggi dihadapi oleh murid-murid disebabkan oleh ketidakcekapan sekolah dalam memenuhi kehendak murid, dan kekerapan berlakunya murid diabaikan di sekolah. Masalah sosial yang membabitkan murid sekolah semakin meningkat dan membimbangkan kerana sekolah yang merupakan institusi sosial semakin renggang hubungannya dengan masyarakat setempat. Banyak masalah murid dan masalah masyarakat dengan sekolah khususnya yang bersabit dengan hal-hal personal murid dan hal pendidikan masyarakat setempat tidak dapat ditangani dengan berkesan oleh pihak sekolah. Menurut S. Subramaniam, Setiausaha Persatuan Perkhidmatan Pendidikan (Jun 1998) pengasingan sekolah daripada masyarakat semakin menjadi-jadi berikutan dengan tindakan yang diambil oleh pihak sekolah menguatkuasakan perintah dan amaran-amaran keras terhadap ibu bapa yang dianggap sebagai penceroboh.

Hubungan yang terlalu formal yang dikuatkuasakan oleh pengetua atau guru besar di setengah-setengah sekolah menjadikan sekolah seolah-olah satu institusi sosial yang rigid. Ini menyebabkan banyak konflik dan masalah yang timbul di antara pihak sekolah, murid, ibu bapa dan masyarakat setempat tidak dapat diselesaikan dengan berkesan. Menurut Khairunnisa Sulaiman (1996) dalam banyak hal, masyarakat setempat tidak diajak bekerjasama dengan pihak sekolah bagi bentuk gejala sosial dan jenayah yang berlaku sama ada di dalam sekolah mahupun di luar sekolah. Pihak sekolah ada kalanya bertindak sendirian sesuka hati tanpa melibatkan ibu bapa, khususnya yang menyentuh masalah yang ditimbulkan oleh murid di sekolah mahupun di luar sekolah.

Pihak sekolah harus menyedari, masyarakat setempat adalah satu aset yang boleh dijadikan rakan kongsi yang berkesan membantu pihak sekolah dalam menangani semua masalah yang berlaku , khususnya membanteras masalah sosial dan jenayah di kalangan murid sekolah.

Bagi mengatasi masalah ini, sekolah perlu mempunyai mekanisme pengawalan sosial yang berkesan bagi membolehkan ia mampu mengawal gejala-gejala buruk dan membanteras masalah sosial yang melibatkan pelajar sekolah. Peranan yang dimainkan oleh sekolah sebagai agen pengawalan sosial boleh dilakukan dengan pelbagai cara terutamanya bekerjasama dengan masyarakat setempat. Pihak sekolah dan masyarakat, khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu duduk semeja membincangkan masalah sosial pelajar ini. Pengawalan dan tindakan yang dilakukan oleh sebelah pihak mungkin berjaya tetapi kurang berkesan. Pihak masyarakat juga perlu memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak sekolah untuk menangani masalah ini. Setiap tindakan yang wajar seperti merotan atau denda ringan yang lain hendaklah dianggap sebagai hukuman untuk mendidik bukan sebagai dera.Salah faham ini juga menimbulkan konkfik dalam menangani masalah sosial pelajar.

Dari masa ke semasa pelajar-pelajar perlu dilatih supaya lebih bertanggungjawab mematuhi peraturan dan undang-undang mengekalkan keamanan, menghormati orang lain, berperangai mulia dan tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk sebagaigaris panduan amalan dan tindakan. Disiplin adalah asas utama mekanisme pengawalan sosial di sekolah. Disiplin sekolah biasanya diasaskan kepada etika, nilai, akhlak dan standard tingkahlaku yang mulia. Bagi mencorakkan disiplin sekolah yang berkesan, semua guru perlulah menunjukkan komitmen dan diberi tanggungjawab bagi menguatkuasakan disiplin.


Sekolah dan Kaunseling

Masalah disiplin yang kian menjadi-jadi dewasa ini, pihak kementerian pendidikan tidak berdiam diri malah telah mengambil berbagai-bagai langkah untuk mengatasinya. Antaranya program penting telah diambil ialah mewajibkan tiap-tiap buah sekolah mengadakan unit kaunseling untuk membantu pelajar yang bermasalah. Menurut menteri Pendidikan , Dato’ Seri Najib Tun Razak (1996), pada awal tahun 1996 kementerian pendidikan telah mengarahkan tiap-tiap buah sekolah di Malaysia menempatkan sekurang-kurangnya dua orang kaunselor sepenuh masa bagi menangani masalah pelajar tidak hanya dari sudut akademik malah termasuk masalah peribadi pelajar. Kaunselor perlu prihatin dan peka terhadap setiap masalah pelajar.

Namun persoalannya, mampukah program seumpama ini menangani atau sekurang-kurangnya mengurangi masalah pelajar dari sudut akademik, peribadi ataupun tingkahlaku pelajar ?. Jika dikaji dengan mendalam, unit kaunseling yang beroperasi di sekolah telah wujud sejak tahun 1964 lagi, tetapi lebih dikenali sebagai perkhidmatan bimbingan kerjaya. Bimbingan kaunseling dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) pula mula dikenali dalam tahun 1980 an. Kewujudan PRS ini seolah-olah tidak memberi sebarang makna kerana peranannya agak kabur dan tidak ditonjol sepenuhnya. Kewujudannya seperti kelab dan persatuan ko-kurikulum yang lain di sesebuah sekolah. Buktinya, sehingga hari ini masih lagi terdapat pelajar-pelajar yang terbabit dengan pelbagai masalah sosial atau kes salah laku seperti kes juvana yang menyebabkan pihak polis terpaksa campur tangan terutamanya di sekolah yang terletak di kawasan-kawasan bandar. Berita-berita ini sering di dedahkan di dada-data akhbar. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh majalah MASSA, Mac 1997, jumlah tangkapan pelajar dalam pelbagai salah laku meningkat iaitu pada tahun 1994 jumlah tangkapan 3247 pelajar, tahun 1995 jumlah tangkapan 4192 pelajar dan pada tahun 1996 jumlah tangkapan meningkat lagi dari tahun sebelumnya iaitu sebanyak 4601 pelajar.

Menurut Dr. Abd. Rahim Abd. Rashid (1997) berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak polis Bukit Aman Kuala Lumpur, jumlah tangkapan kes juvana mengikut pecahan umur 10 tahun hingga 18 tahun dari tahun 1993 hingga 1995 amat membimbangkan. Dalam tahun 1995, bilangan pelajar yang ditanggap kerana kes juvana sahaja dari umur 10 tahun hingga 18 tahun adalah seramai 4,192 orang. Ini belum lagi dicampur dengan jumlah pelajar yang terbabit dengan kesalahan tingkahlaku. Walaupun tidak semua tangkapan kes juvana melibatkan pelajar sekolah tetapi secara rambangnya tahap umur 10 tahun hingga 18 tahun melayakkan mereka dikategorikan sebagai pelajar. Sekiranya mereka tidak terkandas dalam peperiksaan, dibuang sekolah atau malas belajar mereka masih di alam persekolahan.

Menyedari hakikat inilah, Kementerian Pendidikan mengambil keputusan untuk mewujudkan perkhidmatan kaunselor sepenuh masa yang bersifat proaktif dan bertaraf profesional di setiap sekolah menengah secepat yang mungkin (Abdul Hamid, 1996).

Sementera itu menurut kaunselor di Unit Kaunseling Universiti Sains Malaysia, Wan Mohd Khair Wan Chik berpendapat bahawa idea untuk mewujudkan kaunselor sepenuh masa sepatutnya dilakukan sejak dulu lagi.

Mewujudkan dua orang kaunselor di tiap-tiap buah sekolah amat dialu-alukan. Bagaimanapun, selain daripada menumpukan perhatian di dalam mewujudkan kaunselor di sekolah-sekolah, perkara penting yang perlu di beri perhatian ialah kemudahan untuk kaunselor menjalankan tugas mereka. Guru-guru perlu di beri kefahaman mengenai tugas kaunselor agar pihak guru dan kaunselor dapat bekerjasama antara satu sama lain.

Kehadiran kaunselor di sekolah-sekolah dijangkakan dapat menangani masalah pelajar kerana mereka dapat memberikan tuampuan sepenuhnya kepada pelajar. Sebelum ini guru ‘biasa’ ditugaskan sebagai kaunselor secara tidak langsung. Beban tugas mengajar tidak dapat memberi peluang kepada guru untuk memberi perhatian yang sewajarnya kepada pelajar yang bermasalah. Kehadiran kaunselor di sekolah amat penting kerana selain daripada menyelesaikan setiap permasalahan pelajar malah beritndak membentuk generasi yang berketrampilan dalam apa jua bidang yang diceburi di samping mengenali hakikat diri mereka.

Sekolah dan Unit Disiplin

Sejak kewujudan institusi persekolahan di negara ini, tiap-tiap buah sekolah sama ada sekolah menengah ataupun sekolah rendah perlu melantik seorang guru yang bertindak sebagai guru disiplin. Tugas guru disiplin ini adalah untuk memastikan tiap-tiap pelajar di sekolah tersebut mengikut undang-undang yang ditetapkan. Pelajar-pelajar yang didapati melakukan kesalahan seperti salah laku pelajar iaitu datang lewat, tidak hadir ke sekolah, rambut panjang dan sebagainya sehinggalah kepada kesalahan yang berat seperti merokok dan menghisap dadah di bawah pemerhatian guru disiplin (Kamarrudin Jusoh,1997).

Guru disiplin amat dihormati dan ditakuti oleh kebanyakan pelajar. Denda yang setimpal akan dikenakan sekiranya pelajar tersebut melakukan kesalahan. Isunya sekarang, adakah tugas guru disiplin sekarang dihormati dan menjadi batu penghalang kepada pelajar untuk melakukan sesuatu kesalahan?. Kehadiran guru disiplin di sekolah seolah-olah tidak dihiraukan oleh pelajar hatta pihak sekolah sendiri (Rusil, 1997). Sekolah lebih memberi tumpuan untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Menurut Kamaruddin Jusoh, bekas guru disiplin, sesetengah sekolah sanggup untuk memperuntukan sejumlah wang ke arah kecemerlangan akademik dengan mengabaikan masalah-masalah displin pelajar. Pihak pentadbir akan mendabik dada sekiranya sekolahnya terdapat ramai pelajar mendapat ‘A’ dalam peperiksaan ataupun 100% lulus dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Sekolah tidak mengambil kira nilai-nilai yang ditonjolkan oleh setiap pelajarnya asalkan matlamatnya tercapai iaitu mendapatkan sebanyak mungkin pelajar mendapat ‘A’.

Menurut Kamarrudin (1997) masalah pelajar tidak menghormati guru disiplin semakin runcing apabila terdapat campurtangan ibu bapa yang lebih menyebelahi pelajar. Terdapat satu kes pada penghujung tahun 1996, seorang guru disiplin dihadap ke muka pengadilan kerana merotan seorang murid yang melakukan kesalahan disiplin. Apabila kes sebegini diajukan kepada pengetua, Pegawai Pendidikan Daerah, Pengarah Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan, jawapan yang diberikan, "sekiranya guru tersebut bersalah kita akan mengambil tindakan tatatertib dan jika perlu, guru tersebut akan dibuang dari perkhidmatannya". Seolah-olah di sini guru disiplin tidak dihiraukan di sekolah. Dengan demikian guru disiplin akan merasa tugas dan komitmen yang disumbangkan untuk mengawal disiplin dan salah laku pelajar adalah sia-sia dan tidak memberi kesan . Oleh itu unit displin di sekolah-sekolah sekarang ini tidak dapat menolong untuk membenteras gejala sosial dengan sewajarnya.

Takbirr!! Kemenangan Islam..

SEORANG pelajar sekolah pondok, Ahmad Nasir Darus, 28 (kiri), melaungkan takbir pada 100 pelajar pondok yang hadir perbicaraannya setelah pihak majistret menolak penangguhan perlaksanaan hukuman terhadapnya yang disaman menunggang motorsikal tanpa memakai topi keledar kerana berserban di Mahkamah Majistret Kota Bharu. Beliau memilih hukuman dipenjarakan 2 hari atas alasan mengikut sunnah. - Foto Zaman Huri Isa
KOTA BHARU, 19 Jan (Hrkh) - Seorang pelajar pondok sanggup memilih untuk menjalani hukuman penjara daripada membayar denda RM90 setelah disabit bersalah kerana menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

Sedangkan ketika ditahan polis beliau memakai serban.

Ahmad Nasir Darus, 27 memilih menjalani hukuman penjara selepas Majistret Tengku Amalin A'Ishah Putri memutuskan dikenakan hukuman denda RM90 atau menjalani hukuman penjara dua hari.

Bagaimanapun di atas alasan memegang prinsip demi mempertahankan sunnah Rasulullah saw beliau lebih sanggup ditahan di penjara.

Keputusan itu dibuat majistret setelah meneliti keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan serta hujahan bertulis yang dikemukakan.

Mahkamah mendapati pihak pembela gagal membuktikan keraguan yang munasabah dan tiada keterangan saksi-saksi lain yang dapat mengesahkan Ahmad Nasir seorang lebai.

Bagaimanapun pelajar pondok itu yang diwakili peguam Ahmad Rizal Effande Zainol memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut bagi membolehkan rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi.

Namun mahkamah menolak permohonan peguam dan mengekalkan keputusan asal. Pendakwaan kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Mohd Yusri Mamat.

Ahmad Rizal ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu beliau menyerahkan kepada anak guamnya untuk memilih sama ada ingin membayar denda atau sebaliknya.

Katanya, anak guamnya merasakan dirinya tidak bersalah kerana ia hanya mempertahankan sunah Rasulullah saw dengan memakai serban.

Oleh itu beliau akan memfailkan permohonan rayuan ke Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.

"Saya akan membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi bagi dijadikan bahan akademik dan rujukan kerana terdapat kekaburan pada istilah 'lebai' dalam peruntukan undang-undang," katanya.

Perkarangan mahkamah dipenuhi hampir 100 rakan Ahmad Nasir yang datang untuk memberikan sokongan moral.

Pada 20 September dua tahun lalu Ahmad Nasir disaman di Jalan Pasir Tumboh atas kesalahan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sebaliknya memakai serban.

Beliau disaman kerana melakukan kesalahan yang bertentangan dengan Kaedah 4 Motosikal (topi keledar keselamatan) 1973 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dibaca bersama dengan Seksyen 128(1) akta yang sama.

Ketika dihadapkan ke mahkamah pada 4 November 2007 beliau membuat pengakuan tidak bersalah serta mohon dibicarakan. - mj
---------------------------
- Dalam keadaan yang sedar, saya mengucapkan CELAKALAH KAMU kepada insan yang menentang sunnah Rasulullah saw….
- Saya bertanggungjawab terhadap statement ini..

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 20 Januari 2009

Sunday, January 18, 2009

Daulat Tuanku

ALOR STAR 17 Jan. - Puteri Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz mengetuai senarai 62 penerima darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang ke-81 esok.

Tunku Puteri Intan Safinaz merupakan satu-satunya penerima darjah Orang Besar Empat yang membawa gelaran Tunku Panglima Besar.

Ini diikuti penerima Bintang Keberanian Kedah (BKK) kepada Kpl. Mohd. Zamri Md. Scoot.

Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali pula merupakan antara lima penerima Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah (DGMK) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Empat lagi penerima DGMK ialah Panglima Medan, Markas Medan Tentera Darat, Lt. Jen. Datuk Raja Moahamad Affandi Raja Mohamed, Lt. Jen. (B) Datuk Masood Zainal Abidin, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Nordin Kardi dan Presiden Management & Science Universiti (MSU), Datuk Mohd. Shukri Ab. Yajid.

Sementara itu, Panglima Markas 4 Divisyen, Mej. Jen. Datuk Zulkiple Kassim dianugerahkan Datuk Paduka Mahkota Kedah (DPMK) yang membawa gelaran Datuk Paduka.

Seramai 38 penerima pula dianugerahkan Datuk Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima terlibat ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Dr. Abdul Isa Ismail, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ir. Amiruddin Hamzah, Pegawai Daerah Kubang Pasu, Datin Che Barni Mohd. Noor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang, Md. Rohsidi Osman dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Pertahanan, Abdullah Kassim.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul turut menerima DSDK.

Presiden First Solar Malaysia Sdn. Bhd., Heiner J. Eichermueller dianugerahkan Datuk Setia Diraja Kedah (DSDK) Kehormat manakala Tunku Shazuddin Arif Tunku Sallehuddin dan Syed Nasir Syed Abdullah, masing-masing menerima anugerah Setia Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (SMS).

Ahli Dewan Negara, Senator Ir. Zamri Yusuf dan Timbalan Speaker DUN Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam, Abdul Ghani Ahmad masing-masing menerima anugerah Setia Mahkota Kedah (SMK).

Sebelas lagi menerima Jaksa Pendamai (JP) termasuk Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden.

Wednesday, January 14, 2009

Bagaimana bermulanya Israel menguasai Palestin

Ketika rencana ini ditulis kita tidak tahu bagaimana akhrnya nasib penduduk Gaza, Palestin yang sedang dikepung, diseksa dan dibunuh oleh rejim Israel, pada ketika yang sama pemimpin dunia Islam, khususnya dunia Arab, hanya 'terkebil-kebil' mendengar dan melihat penyeksaan rejim Yahudi ini di kaca TV. Iklan

Kutukan demi kutukan dari pemimpin umat Islam, dari anggota OIC dan NGO-NGO hak-hak asasi manusia. Sementara Kesatuan Eropah dan Bangsa-Bangsa Bersatu serta Amerika hanya meminta tentera Israel tidak menyerang kawasan penduduk awam, ertinya bolehlah menyerang untuk sasaran militan Arab di Gaza saja.

Ulang tayang

Peristiwa serangan ini adalah ulangan tindakan Israel sejak puluhan tahun lalu dan hingga kini, iaitu sejak zaman Presiden Richard Nixon, malah sebelum itu lagi, hingga zaman Barack Obama yang sesetengah orang diharapkan ada perubahan.

Kini serangan itu berterusan, ratusan rakyat Gaza terbunuh setiap hari, mayat bergelimpangan, bangunan runtuh, hospital musnah, tidak ada jalan keluar bagi rakyat Gaza untuk mendapatkan makanan.

Mesir juga menutup sempadannya untuk tidak membenarkan pelarian Palestin tumpah lagi ke negara itu. Syria, Libya, Jordan dan negara Arab lain tidak lagi mampu menerima pelarian yang berjumlah berjuta-juta banyaknya.

Ini adalah episod yang sangat mememilukan, sebuah tragedi kemanuiaan yang tidak ada tandingannya, bahkan tragedi kemanusiaan ini melebihi pembunuhan Nazi Jarman terhadap orang Yahudi di Eropah.

Tidak ada siapa yang ditakuti oleh rejim Tel Aviv sekarang, justeru kerana Amerika, di bawah presiden barupun tetap menyokong mereka. Malah Amerika terus menerus melindungi kepentingan Yahudi.

Maka jadilah rakyat Paletin di Gaza itu 'bahan ratahan' tentera Israel. Anak-anak muda Palestin meluru ke jalan-jalan raya melemparkan batu ke arah tentera dan keretakebal Israel, lalu dari muncung kereta kebal Israel itu memuntahkan peluru meriam yang membunuh mereka dengan mudah.

Bayangkan bagaimana anak-anak muda Palsetin yang hanya bersenjatakan batu di tangan boleh melawan tentera Israel dengan segala peralatannya. Namun itulah yang terjadi. Inilah pemandangan ngeri yang berterusan disaksikan oleh masyarakat antarabangsa seluruh dunia.

Adakah harapan buat Obama?

Adakah rakyat Palestin ini mempunyai masa depan? Ini pertanyaan yang sangat sukar dijawab, walaupun daripada pakar mengenai Asia Barat sendiri. Memang ada sesetengah pihak mengharapkan Obama yang berkulit hitam itu melakukan sesuatu dalam menyelesaikan isu Palestin, namun nampaknya rejim tentera Tel Aviv, pimpinan Menteri Pertahanannya yang sangat ganas, Ehud Barat, tidak mungkin bersedia menghentikan serangannya. Ini kerana dia tahu, Amerika dan sekutunya akan terus menyokong Israel.

Jika begitu keadaannya, bagaimana masalah ini dapat diselesaikan? Israel menuduh para pejuang Hamas melancarkan roket di kawasan Israel, ada yang mengena sasaran dan ada yang tidak. Namun hujan roket dari Israel, di samping meriam kereta kebal mereka terus menerus membunuh rakyat Palestin.

Sementara itu bagaimana sikap pemimpin umat Islam, khususnya pemimpin dunia Arab? Selagi mereka masih kekal dengan sikap assobiyah Arab mereka, tidak bersatu atas nama Islam untuk memerangi rejim Yahudi, maka tidak mungkin rejim itu boleh berundur.

Kerdilnya negara Arab

Bayangkan setiap tahun negara Arab membelanjakan beratus bilion dollar Amerika untuk membeli senjata api tercanggih dari pelbagai negara Barat, khususnya Amerika. Namun negara Arab tidak juga mampu memperlihatkan kekuatan tentera mereka untuk menghadapi Israel.

Akhirnya negara Arab hanya menjadi 'pengguna' setia senjata moden Barat, sementara senjata itu tidak juga menolong memperlihatkan 'izzah' (keunggulan, kehebatan) negara Arab sehingga menggerunkan Israel.

Inilah yang berlaku terus menerus, pada ketika yang sama, siapapun yang menjadi Presiden Amerika, negara itu terus melindungi kepentingan Israel.

Benarlah kata ulama tersohor, Sayyid Hasan Ali An-Nadawi dalam bukunya Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam bahawa negara umat Islam perlulah memiliki ilmu dan kekuatan senjata yang cukup disertai kemajuan teknologi supaya dengan kekuatan itu mereka mampu memimpin dunia.

Malangnya, kata An-Nadawi, hampir semua kekuatan ini kini tidak dimiliki oleh umat Islam, pada hal di zaman dulu, umat Islamlah yang memiliki semua kekuatan ini. Kini, katanya, pemimpin negara Arab hanya memikirkan kepentingan negara masing-masing, dilatari oleh sikap assobiyah, atau perkauman Arab yang semakin menebal.

Perlu diingat, kata An-Nadawi lagi, sikap ini menyebabkan runtuhnya Daulah Islamiyah Turki pada tahun 1924, iaitu di tengah-tengah Assobiyah Arab yang tebal itu, ia bertembung pula dengan assobiyah Turki kerana ketika itu Turki juga sangat angkuh dan merasakan ia adalah bangsa besar. Inilah kesan buruk yang dialami sehingga keadaan menjadi begini.

Mula tergadai

Sementara itu, ketika menyaksikan penyiksaan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin oleh rejim Irael itu, kita teringat bagaimana mulanya tanah atau bumi Palestin ini tergadai dan dijual kepada Palestin.

Pada zaman pemerintahan Sultan Abd Hamid II, Sultan Turki terakhir, telah digubal undang-undang dan disahkan di Parlimen Turki bahawa semua tanah yang dimiliki oleh orang Arab di Palestin (ketika itu di bawah riayah Daulah Othmaniyah Turki) dilarang dijual kepada Yahudi.

Ini menimbulkan kemarahan British dan Perancis, justru kerana dua negara Eropah itu mahu memperkukuh kedudukan masa depan Yahudi di negara Palestin.

Namun setelah kejatuhan Daulah Othmaniyah Turki, undang-undang itu dimansuhkan oeh Kemal Attaturk yang merampas kuasa. Lalu dengan pantas orang Yahudi di Palestin berebut-rebut membeli tanah orang Arab di sana, sementara orang Arab Palestin itu sendiri rela pula menjual tanah mereka.

Dengan itu banyak tanah hak milik Arab Palestin bertukar tangan menjadi hak milik Yahudi hingga kini.

Tanah itu kini didiami oleh orang Yahudi, ditambah pula wujudnya penempatan baru, iaitu tanah yang dirampas dari rakyat Palestin sendiri. Demikianlah sejarah hitam bumi Palestin.

Maka itu ketika Israel menguatkan cengkamannya di bumi para anbia ini, dalam usaha mereka hendak menghapuskan rakyat Palestin, wajar kita merenung semua sejarah pahit ini. Namun pandangan An-Nadawi ini sangat wajar diberikan perhatian.

Rujukan Harakah Daily di sini.

Awas propaganda media Barat

PETIKAN seperti itulah yang sering diulang-ulang oleh media Barat dipelopori tokoh- tokoh Yahudi Zionis yang menguasai CNN, BBC serta agensi berita antarabangsa lain.

Terdapat satu ungkapan atau teori dalam komunikasi massa yang mengatakan bahawa penipuan yang diulang-ulang dan berpanjangan akhirnya akan dipercayai sebagai kebenaran. Itulah yang dipropagandakan oleh media berpengaruh sekarang ini yang akhirnya menjadi anutan jutaan penduduk dunia sama ada Muslim ataupun tidak.

Apa yang sering disembunyikan oleh media Barat ialah fakta bahawa Israel adalah satu-satunya negara di dunia yang didirikan secara haram dan masih melakukan penjajahan. Jadi tiada istilah mempertahankan diri kerana sememangnya mereka adalah penjajah.

Sementara itu, Hamas adalah pejuang kemerdekaan dan sudah selayaknya menyerang balas kerana mempertahankan tanah air sendiri.

Tindakan ini adalah normal bagi mana-mana negara yang dijajah, jika Hamas yang mempertahankan tanah air dilabel sebagai pengganas, maka pengganaslah pejuang-pejuang kemerdekaan Melayu dahulu seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Mat Salleh dan ramai lagi.

Harus diingat bahawa sebelum 1948, Israel tidak pernah wujud di atas muka bumi, hanya melalui rampasan tanah, penyembelihan dan penghalauan penduduk Arab Palestin secara sistematik, mereka memperoleh sedikit demi sedikit tanah yang hari ini dinamakan Israel.

Hamas pula masih merupakan entiti sah untuk memerintah Palestin kerana mereka menang pilihan raya Palestin 2005. Tapi rupanya demokrasi yang diagung-agungkan hanyalah palsu apabila dunia tidak mengiktiraf Hamas, sebaliknya mengiktiraf Fatah yang cukup terkenal dengan korupsi dan penyelewengan itu.

Agak malang apabila dunia Arab turut membisu dan hanya mampu untuk membantah tanpa melakukan apa-apa tindakan konkrit.

Pemimpin-pemimpin Arab ibarat kerbau dicucuk hidung kerana hanya menurut sahaja kehendak tuan mereka. Dalam hal ini, Venezuela telah menunjukkan contoh yang baik dengan menghalau duta Israel dan melakukan protes besar-besaran di negara itu.

Sekalung tahniah kepada media tempatan secara khusus Utusan Malaysia dan pemimpin-pemimpin Malaysia yang kelihatannya agak proaktif dalam membawa isu ini kepada masyarakat. Paparan-paparan dan liputan di media arus perdana yang komprehensif telah berjaya menjadikan isu ini sebagai isu nasional. Tahniah Malaysia.

Adapun sebagai rakyat Malaysia, banyak tindakan yang boleh kita ambil, antaranya dengan menyumbang kepada badan-badan yang bertauliah dalam isu Palestin seperti Aman Palestin, Mercy Malaysia bagi disalurkan kepada rakyat Palestin.

Selain itu, kempen-kempen kesedaran harus dipertingkatkan lagi bagi memastikan setiap rakyat Malaysia prihatin terhadap keganasan yang berlaku di Palestin.

Yang paling penting bagi umat Islam, jangan lupakan mereka dalam doa kita.

MOHD. HISHAM MOHD. SHARIF
Pensyarah Kolej Perniagaan
Universiti Utara Malaysia
Sintok

Alor Star dieja "Alor Setar" semula

ALOR SETAR 14 Jan. - Ejaan rasmi nama bandar Alor Star diubah balik kepada ejaan asal iaitu Alor Setar mulai sekarang.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata mesyuarat Exco yang berlangsung di Wisma Darul Aman di sini hari ini meluluskan perubahan ejaan itu atas permintaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ejaan asal Alor Setar diubah kepada ’Alor Star’ semasa Datuk Seri Syed Razak Syed Zain menjadi Menteri Besar Kedah pada lewat 1990-an dan ia dikekalkan sehingga Barisan Nasional (BN) Kedah kalah pada pilihan raya umum 8 Mac lepas. - Bernama

Saturday, January 10, 2009

Walaupun hanya sehelai seluar dalam

SETAKAT ini, masuk minggu kedua tahun baru 2009/1430, lebih 500 orang Islam – termasuk kanak-kanak dan warga emas – di bumi Palestin telah terkorban dibelasah dengan kejam oleh Yahudi. Dengan peluru berpandu, roket, bom dan peluru senapang Israel terus meletup mencari sasaran, jumlah nyawa Islam yang akan dikorbankan pasti akan meningkat.

Berada jauh beribu kilometer, tanpa senjata – usahkan bom atau peluru berpandu, parang kontot pun kita tidak ada! – apa yang boleh kita lakukan untuk membantu saudara seagama kita di sana? Apakah kita rela darah saudara kita melimpah setiap hari dikerjakan kafir musibat itu?

Percayalah, sekiranya kita bersatu, kita boleh menyertai peperangan ini, walaupun tanpa sebarang senjata. Kita boleh membantu rakyat Palestin – sekurang-kurangnya secara moral dan semangat – tanpa menggunakan walaupun sebutir peluru.

Boikot barang Amerika! Ini sumbangan kita, dan kita boleh lakukan sekarang. Selalu ingatkan ini di dalam hati kita dan anak-anak kita: Setiap kali kita membeli produk atau perkhidmatan Amerika, kita sebenarnya memberi keuntungan (duit) kepada syarikat-syarikat gergasi negara Bush/Obama itu. Duit itulah yang digunakan membeli senjata canggih Israel untuk membunuh warga Palestin.

Boikot? Tentu sekali tidak semudah yang dikata atau ditulis. Hakikatnya ialah sejak sekian lama hidup seharian kita – khasnya orang KL – telah diwarnai oleh produk dan perkhidmatan Amerika. Tubuh kita, darah kita sudah terbiasa dengan jenama negara besar itu.

Sekiranya kita ambil barang Amerika sahaja pun sebahagian besar tubuh kita – juga perut kita – sudah terasa lain. Sebab rambut kita dicuci oleh syampu jenama negara Bush nyaris kena kasut itu, demikian juga gigi, perut, pinggang, kaki, hatta kuku kita semua sudah terbiasa dengan produk negara penyokong kuat Yahudi itu.

Itu baru Amerika. Sekiranya kita memboikot juga produk negara-negara geng ‘gedebe’ Amerika, Britain dan Perancis umpamanya, lagi banyak yang kita rasa tubuh kita tidak selesa. Tidak sahaja kepala dan kaki, seluruh tubuh kita, termasuk bahagian dan sudut paling sulit, semuanya telah mesra dengan produk-produk keluaran kafir itu. Maaf cakap, sesetengah kita berasa tidak selesa sekiranya tidak memakai seluar dalam buatan Amerika atau British, cehhh!

Sebenarnya minda kita yang tidak selesa, sebab sudah terlalu terbiasa sehingga terikat dengan gaya dan selera orang putih. Minda itulah yang perlu diubah sekarang. Tekadkan di hati kita bahawa kita boleh hidup seperti biasa – malah, mungkin lebih baik – tanpa menggunakan satu pun jenama dari geng penyokong Israel.

Saya ambil contoh di hadapan mata, mengenai ayam goreng. Rangkaian restoran ayam goreng segera Amerika di seluruh pelosok tanah air mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari pengguna Islam. Malah, rangkaian restoran tersebut di sebuah pusat membeli belah di KL beberapa tahun mencatat rekod jualan tertinggi di seluruh dunia.

Bayangkan sekiranya mulai hari ini semua pengguna Islam negara ini memboikot ayam goreng tersebut, pasti laba berjuta-juta ringgit pungutan dari Malaysia yang dihantar ke Amerika susut sekurang-kurangnya 50 peratus. Orang Islam di negara ini mempunyai kuasa beli yang tinggi, mengalahkan bukan Islam. Dengan kuasa beli itu kita boleh menjadikan ayam goreng rangup itu dingin tidak bersentuh!

Percayalah kita tidak akan mati sekiranya tidak makan ayam goreng Amerika itu. Ayam goreng resipi turun-temurun kita pun tidak kurang hebatnya. Gantikan ayam rangup Bush itu dengan ayam goreng bercili, ayam goreng daun pandan. Ayam panggang berempah kita tidak kurang sedapnya. Kita ada ayam percik, ayam golek, sate ayam dan beraneka resipi ayam yang lain.

Dan, siapa kata dahaga tidak akan hilang selagi tidak meneguk minuman berkola dari negara Bush dibaling kasut itu? Sekali lagi, ini bukan soal selera, ini soal minda. Minda kita yang selama ini mengagungkan minuman botol atau tin yang berbuih tinggi itu. Mulai sekarang, tidak kira betapa panas dan dahaga, beralihlah kepada minuman lain. Ingat jenama Bush, ingat darah warga Palestin yang dibedil Israel.

Kita ada sirap bandung, air limau nipis, teh tarik, kopi Tongkat Ali, teh herba – ada seribu satu minuman lagi – semua ini pun boleh menghilangkan dahaga. Mula-mula kita boikot makanan dan minuman, kemudian kita boikot yang lain-lain. Akhir sekali kita pakai seluar dalam jenama lain. Ingat: membeli sehelai sahaja seluar dalam buatan Amerika, mendekatkan lagi peluang Israel membunuh orang Islam. Mulakan gerakan kita dari sekarang, saat ini juga!

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 10 Januari 2009
Kota Samarahan

Thursday, January 8, 2009

Masih Mengarang

Ketika berada di Kundasang berlatarkan gunung Kinabalu yang diliputi Kabus.. Terima kasih pada TM RESORT atas tempat tidur yang selesa itu...


Assalamualaikum wtb Salam Perjuangan

Ingin sahaja jari jemari ini menyiapkan tulisan pengalaman Di Bawah Bayu saya secepat mungkin.. Ternyata selama 6 hari 6 malam di sana pelbagai pengalaman menarik saya perolehi dan tidak kurang juga teman baru yang dikenali.Tak sangka orang Jelapang Padi pun ramai juga di sana.. Bermula di Kota Kinabalu, Inanam, Keningau, Tenom, Sipitang, Kundasang, Ranau dan pelbagai lagi tempat lain yang agak lupa namanya..

Terima kasih kepada yang membantu saya terutamanya sahabat2 IPTAR, Sahabat2 dari IP Kent, Tuaran, Sahabat2 yang baru dikenali dari UMS dan juga beberapa penduduk tempatan yang baru dikenali.. Kalau ada umur yang panjang serta masa yang mencukupi, saya akan memperihalkan serba sedikit perjalanan serta keadaan negeri Sabah ketika melawatinya sekita November 2008 yang lalu..

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 8 Januari 2009
Kota Samarahan

Kisah Adik-Beradik kita..

Pada suatu hari yang nyaman, dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, sebuah keluarga besar telah pergi piknik di tepi pantai. Keluarga ini merupakan keluarga yang kaya raya. Ada tauke balak, ada tauke minyak, ada tauke minyak sawit, ada tauke getah, ada tauke emas dan macam-macam lagi. Namun, tidak mungkin dalam satu bakul buah itu, semuanya elok, pasti ada jugak yang busuk.

Sebenarnya kehidupan adik-beradik ini mula goyah selepas bapa mereka dibunuh secara kejam di Turki. Kehidupan mereka mula bertelagah sesama sendiri. Bagi abang-abang yang kaya, mereka melupakan adik-adik mereka yang miskin. Bagi adik-adik yang mula belajar hidup berdikari, maka berusahalah mereka membantu adik-adik yang miskin itu semampunya sambil menempelak abang-abang mereka yang mula lupa diri.

Satu hari, semasa keluarga ini berpiknik, seorang adik perempuan mereka telah diculik dan telah dicabul dengan kejam. Perlakuan ini berlaku di depan khemah abang-abang yang kaya ini. Pencabulan si adik itu dilakukan oleh sekumpulan pendatang haram yang suka membuat kacau kehidupan orang lain. Adik-adik yang lemah ini hanya mampu memandang dengan kesayuan. Tetapi si abang-abang hanya melihat dengan keseronokan adik perempuan mereka dicabul kehormatannya di hadapan khemah mereka sendiri.

Tidak lama selepas itu pula, salah seorang adik lelaki mereka pula telah lemas dihanyut ombak. Salah seorang daripada mereka cuba menyelamatkan si adik yang lemas itu tetapi dihalang oleh abang atas alasan, marilah bawak berbincang dahulu. Jangan terburu-buru, bahaya.

Akhirnya, di saat adik perempuan mereka diratah dengan penuh nafsu oleh sekumpulan pendatang haram itu, dan adik lelaki pula hampir kelemasan di tengah lautan, mereka telah duduk berbincang sambil makan makanan yang mewah-mewah dan minuman yang lazat-lazat.

Tajuk persidangan kita hari ini adalah, "Cara-cara menyelamatkan adik perempuan yang dirogol dan adik lelaki yang kelemasan." Itulah kata si abang sulung selaku pengerusi majlis.

Adik-adik yang lebih muda dengan bersemangat hendak terus bergocoh dengan pendatang-pendatang haram tersebut, dan juga tanpa menghiraukan keselamatan, ingin sahaja terus menyelamatkan adik lelaki mereka yang semakin kelemasan itu. Tetapi dengan tenang si abang-abang berkata,"Inilah orang muda, suka sangat ikut perasaan. Cuba sikit hormat orang tua. Kita ambik jalan yang lebih berdiplomasi."

Akhirnya, si abang berjumpa dengan ketua pendatang haram tersebut.

"Ini resolusi kami. Jangan rogol adik kami lagi. Kalau nak sangat tubuh adik kami pun, cuba hentikan rogol tu dulu. Kita buat gencatan nafsu."

Maka mereka pun berbincang. Sambil berbincang itu, pencabulan terhadap adik perempuan itu masih berjalan sambil ditonton oleh adik-beradik yang lain.

Tentang si adik lelaki yang kelemasan, seorang dari mereka cuba mendapatkan bot penyelamat, tapi dihalang oleh abang yang lain.

"Hoi monyet...senyaplah... pengkhianat!" Getus hati si adik yang tidak puas hati kerana bot penyelamat yang ada telah dibocorkan oleh abang-abang mereka.

Akhirnya adik-adik berdarah muda telah diketepikan. Bagi si abang, adik berdarah muda merosakkan keadaan sahaja. Adik-adik muda ada yang dikenakan akta Ikut Suka Aku, dikhatankan buat kali kedua, dirosakkan khemahnya dan pelbagai lagi. Manakala, adik-adik perempuan muda pula ditakut-takutkan akan hilang kehormatannya.

Keadaan semakin genting. Adik-beradik tadi melakukan mesyuarat kununnya tergempar pula. Kali ni mereka agak sepakat.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pendatang haram mencabul adik perempuan kami."

"Selamatkan adik kami yang kelemasan."

Tetapi mereka hanya memasang banner di sepanjang pantai tersebut. Dengan harapan, ada orang yang akan membantu mereka. Adik perempuan mereka semakin terus dicabul. Pakaian adik perempuan mereka sudah tidak ada lagi di tubuh. Adik-beradik tadi hanya terus menonton drama cabul mencabul itu dari dekat selepas bermesyuarat yang kununnya tergempar itu.

Adik lelaki mereka pula sekiranya tadi tangannya kelihatan, kini seolah-olah sudah hampir mati. Hanya menunggu malaikat maut datang mengambil nyawa. Lalu, diangkatlah lagi banner "Selamatkanlah adik kami yang kelemasan" setinggi-tingginya dengan harapan ada orang lain yang membantu.

Bila melihat banner itu tidak berkesan. Mereka bermesyuarat lagi. Dan mereka mengeluarkan banner yang baru. Yang lebih cantik dan mahal. Adik perempuan terus dinodai. Adik lelaki sudah semakin hanyut di tengah lautan... adik-beradik lain pula terus bermesyuarat dan mesyuarat untuk menghasilkan banner dengan wording yang lebih menarik....

Itulah kisah keluarga besar di satu tempat yang dirahsiakan namanya.

catatan pakdi...
+ adik perempuan itu bernama Palestin.
+ adik lelaki itu bernama Iraq
+ abang-abang itu negara Arab yang kaya raya
+ adik-adik yang senyap itu negara umat Islam yang membangun / mundur.
+ adik-adik yang berdarah muda itu gerakan-gerakan Islam
+ mesyuarat itu pula ada mesyuarat OIC
+ bapa yang mati adalah khalifah

Wallahu'alam.

[Nota: Post ini adalah post yang mempopularkan nama Pakdi dalam dunia blog. Pernah diplagiat dan diterbitkan dalam majalah yang terkenal. Pertama kali diterbitkan untuk tatapan semua pada hari Jumaat, 7 Mac 2003.]

Link asal artikel terdapat di
sini

Mahasiswa dibenar sertai demonstrasi kutuk Israel

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Pelajar universiti di negara ini dibenar menyertai mana-mana demontrasi membantah tindakan kejam Israel menyerang Palestin manakala pihak universiti pula boleh menganjurkan demontrasi bantahan itu, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya kementerian tidak mempunyai sebarang halangan kepada pelajar dan universiti untuk membuat bantahan seperti itu berikutan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diluluskan Parlimen bulan lepas, yang membenarkan pelajar bersekutu dengan atau menjadi anggota sesuatu pertubuhan, persatuan atau organisasi sama ada dalam atau luar negara.

“Pindaan kepada AUKU membenarkan pelajar untuk bergiat dalam aktiviti-aktiviti sebegini rupa, maka tidak ada halangan untuk mereka menyatakan sikap dan pendirian menyertai usaha yang dilakukan.

“Saya percaya dengan kematangan pelajar dan mereka boleh menggunakan kebijaksanaan sendiri (untuk menentukan pendirian mereka),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ’Malaysia Future Leadership’ anjuran CIMB Group and The Wall Street Journal Asia di Universiti Malaya di sini hari ini. - BERNAMA


:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 8 Januari 2009
Kota Samarahan

Buku-buku ku bagi bulan Disember 2008

Karya seorang tokoh penulisan yang saya kagumi, bermula dengan novel "julia" dan "cinta Madinah", Abu Hassan(editor majalah ANIS) senantiasa mendahului zamannya, buku ini menceritakan serba sedikit perjuangan umat Islam Myanmar dan juga kisah seorang wartawan. Nampak mcm novel jiwang, namun AWAS!!! Ini adalah novel yang mampu membakar semangat JIHAD dalam bidang penulisan..
Sebuah lagi buku cebisan pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat..Penuh dengan bahasa kiasan serta penerangan. Buku yang dibahagikan kepada 3 bab utama. Ingatan kepada para pejuang Islam..

Dek kerana minat yang mendalam terhadap tokoh-tokoh pejuang Islam yang tersohor serta sejarah mereka , akhirnya bertemu juga jodoh dengan buku ini di Pustaka Darussalam.. satu lagi karya Abdul Latip Talib.seorang penulis yang banyak menulis mengenai sejarah-sejarah tokoh Islam..

Juga didapati di Pustaka Darussalam..Amat menarik isinya, saya rasakan ini buku antara yang teristimewa saya miliki..Diceritakan sejarah jatuh bangun Islam serta kerajaan yang ada di zamannya bermula daripada zaman Nabi Muhammad SAW hinggalah jatuhnya kerajaan Islam yang terakhir di Turki Kerajaan Islam Uthmaniah..

Buku yang dibeli di Lapangan Terbang SultanAbdul Halim ketika menghantar Abg yang akan pulang ke ibu kota..Sebuah buku yang ditulis oleh seorang guru.. segala pengalaman hidup di Institut Perguruan ada di dalam ini.. saya kagum terhadap kritikan bernasnya samada positif mahupun negatif dalam bentuk santai terhadap pelaksanaan sistem dan corak kehidupan di IPGM yang mana kebanyakkannya saya dan rakan2 sudahpun merasainya..

Kenapa Islam terus dihina..

Ironinya apabila Islam dihina ramai yang melenting menyatakan kemarahan dan ketidakpuashatian mereka. Seluruh dunia mengadakan demonstrasi sebagai tanda protes terhadap situasi yang sedang berlaku.

Malangnya ia bagaikan air pasang dan surut. Sensitiviti ini muncul sesekali apabila ada isu berkaitan agama yang dipersoalkan. Sedangkan apabila diteliti institusi kenabian sebagai contoh, tak pernah lekang daripada pelbagai ejekan dan tohmahan sepanjang zaman.

Dahulu Nabi Muhammad SAW pernah dikatakan tukang sihir, orang gila dan pemecah-belah masyarakat, hari ini ejekan dan tohmahan terhadap Baginda SAW masih berterusan cuma dalam bentuk yang berbeza. Ada yang melukis karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW dengan gambaran yang mengaibkan dan tidak kurang juga yang menulis blog menghina Nabi Muhammad SAW. Malahan segelintir umat Islam juga turut terlibat mencemarkan institusi kenabian dengan tanpa malu-malu mengaku sebagai nabi.

Kenapa Islam menjadi bahan ejekan dan cemuhan pihak yang tidak bertanggungjawab adalah persoalan yang mesti difikirkan bersama oleh setiap individu muslim.

Persoalan ini perlu dijawab, bukan hanya sekadar berpeluk tubuh, selesa menuding jari kepada pembuat angkara. Cerminlah diri sendiri sebelum mencemuh orang lain. Malahan tabiat buruk seperti ini perlu dikikis , jika ingin melihat umat Islam maju setanding dengan yang lain.

Adalah tidak adil jika hanya seronok menyalahkan orang tanpa menilai kelakuan sendiri. Cemuhan terhadap Nabi Muhammad SAW melalui blog seperti yang dilaporkan oleh akhbar baru-baru ini, jika ditinjau dari satu sudut berlaku kerana mereka tidak mengenal peribadi Nabi Muhammad SAW.

Dari sudut lain, ia juga berlaku kerana kelalaian dan kealpaan masyarakat Islam dalam melaksanakan ajaran Nabi Muhammad SAW yang boleh menjadi cerminan kepada keluhuran budi pekerti Baginda SAW yang mulia.

Natijahnya, sesetengah masyarakat Islam telah menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Ini dapat diperhatikan sendiri melalui cara berpakaian, pergaulan dan muamalah seharian. Perlakuan ini membawa kepada masalah-masalah lain yang semakin bernanah dalam masyarakat seperti sumbang mahram, pesta seks, minum arak, buang bayi dan lain-lain yang seolah-olah sinonim dengan masyarakat Islam.

Sebagai contoh ada di kalangan remaja Islam yang lebih seronok mengenakan topi ala Santa Klaus ketika menyambut perayaan Hari Natal, dengan penuh bangga bergaya ke sana ke mari, tanpa disuruh bahkan sanggup berbelanja lebih semata-mata untuk berseronok.

Malangnya amalan memakai kopiah atau songkok yang menunjukkan keperibadian seorang Muslim tak pernah diendahkan malah malu untuk memakainya kerana bimbang dikatakan berlagak alim dan sebagainya.

Terdapat pula segelintir individu muslim yang hanya Islam pada nama. Jika ditinjau dari sudut perbuatan dan tingkah laku sama sekali tidak menampakkan ciri-ciri seorang muslim yang dapat menggambarkan ketinggian dan kemurnian Islam sebagai The Way of Life.

Inilah antara kebimbangan yang pernah disuarakan oleh Nabi Muhammad SAW disaat hampir terjadinya hari kiamat, Islam hanya tinggal nama kerana tidak dipraktikkan manakala al-Quran hanya tinggal huruf-huruf, kerana tidak dibaca. Lebih merosakkan lagi apabila orang Islam lebih cenderung menjadikan al-Quran sebagai tangkal penghalau hantu berbanding melaksanakan ajaran al-Quran dalam segala urusan harian yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia.

Akibat kealpaan dan kelalaian itu, Islam terus dihina, umat Islam pula menghidap pelbagai jenis penyakit yang sukar untuk diubati. Kesannya bukan sahaja dirasai oleh kita masyarakat Islam di Malaysia, malah telah merebak ke seluruh dunia, Islam dilabel sebagai pengganas, jumud dan menolak kemajuan.

Atas alasan itu jugalah saudara Islam kita di Palestin ketika ini berdepan dengan angkara durjana penjajah Israel yang bersifat kebinatangan. Saban hari ada sahaja yang dibunuh, tanah-tanah dirampas, mereka diserang bertubi-tubi tanpa belas kasihan melalui udara, laut dan darat.

Penjajahan Israel ke atas negara Islam Palestin bukan sejarah baru. Ia bermula apabila Israel dengan secara rasmi diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka pada 15 Mei 1948. Sejak daripada itu masyarakat Islam Palestin terus menjadi sasaran peluru berpandu Israel, bedilan meriam dan tembakan senjata api tanpa peri kemanusiaan.

Penyembelihan

Kini setelah 60 tahun dijajah, diperlakukan seperti binatang, saudara Islam Palestin masih menderita. Penyembelihan ke atas kanak-kanak, orang tua dan yang tak berdaya berterusan tanpa pembelaan yang sewajarnya.

Seluruh dunia menyaksikan kekejaman rejim Zionis, namun ramai yang mampu melihat daripada bertindak menghentikan peperangan yang berlaku. Walaupun kutukan demi kutukan dilontarkan oleh pelbagai pihak, namun Israel tetap bersemangat waja meneruskan agenda pembunuhan beramai-ramai umat Islam Palestin.

Pertubuhan-pertubuhan Islam seperti Liga Arab yang pernah terlibat menyertai Perang Arab-Israel pada tahun 1948, seperti kehabisan idea, setelah cadangan gencatan senjata Palestin-Israel yang di bawa ke Majlis Keselamatan PBB ditolak oleh Amerika Syarikat. OIC pula yang ditubuhkan di Rabat, Maghribi pada tahun 1969 bertujuan membebaskan Palestin daripada penjajahan Israel sehingga kini belum membuahkan hasil yang dicita-citakan.

Akhirnya saudara Islam Palestin terpaksa berjuang habis-habisan, bersendirian mempertahankan agama, kehormatan dan tanah air mereka sehingga ke titisan darah yang terakhir. Dengan bekalan makanan dan minuman yang terbatas mereka sanggup bermandikan darah, demi untuk syahid dan mendapat nikmat syurga seperti yang dijanjikan oleh Allah.

Sampai bilakah mereka akan terus bermandi darah. Apakah tindakan yang telah dilakukan oleh kita sesama saudara Islam. Paling menyedihkan apabila terdapat sesetengah daripada kalangan masyarakat Islam yang langsung tidak ambil peduli senario yang berlaku.

Mereka sibuk dengan berbagai-bagai bentuk hiburan yang berjaya mengalihkan ingatan dan perhatian terhadap isu berdarah di Palestin.

Mungkin penyakit umat akhir zaman, cinta dunia dan takut mati yang pernah dikatakan oleh Nabi Muhammad SAW, telah merebak dan melanda di serata dunia Islam. Sehingga masyarakat Islam lebih mementingkan diri sendiri, sibuk dengan urusan dunia tanpa ada masa mempedulikan sesama saudara se-Islam.

Ingatlah sabda Nabi Muhammad SAW yang pernah menyebutkan: "Perumpamaan seorang Muslim dengan Muslim yang lain dari segi kasih sayang, hormat menghormati dan saling bertimbang rasa adalah seperti satu jasad, Apabila ada satu anggota daripada jasad itu sakit maka seluruh badan akan turut menderita kesakitan".

Rasakanlah penderitaan mereka sebagai bukti kasih-sayang dan cinta sesama Islam. Laksanakanlah segala ajaran syariat demi untuk memartabatkan Islam agar tidak terus dipandang hina di mata dunia, hulurkanlah sumbangan dan bantuan bagi membantu saudara se-Islam yang ditindas dan dizalimi.

Iringilah perjuangan mereka dengan doa sambil berharap agar Allah SWT membantu mereka dengan bala tentera yang tidak kelihatan seperti di hari Peperangan Badar. Semoga Allah SWT menurunkan pertolongan-Nya kepada saudara se-Islam di Palestin, atau menggantikannya dengan kenikmatan gugur syahid kerana mempertahankan ketinggian dan kehormatan Islam yang suci.

Wednesday, January 7, 2009

Cinta Asyura dan Karbala

PADA 1 Muharam setiap tahun, umat Islam merayakan sambutan Maal Hijrah, bergembira atas kehadiran tahun baru dalam kalendar Islam.

Sambutan itu tidak disebut dalam al-Quran atau nas Sunah Nabi secara terus terang tetapi ia tetap dianggap perayaan umat Islam.

Ironinya umat Islam masih lebih cenderung meraikan secara berlebihan-lebihan tahun baru Masihi baru-baru ini termasuk dicemari perbuatan songsang lantas mencemarkan kemuliaan Muharam.

Kemuliaan Muharam yang pada hari itu kita berselawat memuji-muji Rasulullah - satu amalan yang diperintah Allah.

Kita alunkan nasyid-nasyid seperti Talaal Badru Alaina bagi mengingati kembali betapa gembira kaum Ansar menyambut kehadiran Rasulullah bersama Muhajirin di Madinah.

Hijrahnya Rasulullah, menandakan tamatnya segala penindasan ke atas golongan mustadafin (tertindas dan lemah) lantas membuka era baru perkembangan Islam - darinya juga bermula sebuah negara yang berlandas pimpinan Ilahiah.

Namun bulan Muharam juga mengingatkan kita peristiwa besar yang terjadi dalam sejarah tamadun manusia selepas Rasulullah iaitu 10 Muharram 61 Hijrah yang menyaksikan cucu kesayangan baginda, Hussin bin Ali bersama rombongannya terbunuh di Karbala.

Jika Maal Hijrah, umat Islam bergembira, peristiwa 10 Muharam pula disaduri dengan kesedihan. Tetapi apabila disebut kita sambut 10 Muharam dengan ingatan pada peristiwa Karbala, ia sering kali dianggap suatu yang asing, sesat lagi menyesatkan. Benarkah begitu?

Kerana ia selama ini disambut dengan penuh emosi oleh pengikut Syiah dan Ahlul Bait tetapi tidak di sisi pengikut sunni amnya. Bagaimanapun tradisi di rantau ini yang Sunni begitu rapat dengan Asyura sebagaimana rapatnya masyarakat sebelah sini dengan ritual seperti tahlil dan marhaban yang didatangkan dari Hadratulmaut.

Semuanya dikaitkan dengan ingatan terhadap Ahlul Bait.

Bergantung kepada budaya setempat, Asyura (versi Syiah?) disambut seperti di ibu kota Teheran, Iran; Karbala di Iraq; Lucknow, India dan Nabatiye, selatan Lebanon, malah tidak ketinggalan di serata tempat termasuk Malaysia.

Hari mereka berdukacita dari 1 Muharam sampailah kepada 10 Muharam dan ia berlanjutan selama 40 hari perkabungan (Arbaen).

Ya, semua itu tiada dalam al-Quran dan Hadis nabi secara berterus terang sebagaimana sambutan Maal Hijrah. Tetapi peristiwa penjarahan kejam terhadap Hussin, ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya oleh tentera Umar bin Saad di Karbala membuka lembaran sejarah kepada umat.

Ia tidak seharusnya menjadi milik Syiah semata-mata tetapi ia milik seluruh umat yang cintakan perdamaian dan kebencian pada kezaliman. Kerana Ahlul Bait adalah warisan tinggalan Rasulullah buat pegangan seluruh umat selepas al-Quran.

Menyambut 10 Muharam dengan mengingati Hussin bukan bererti kita semua menjadi Syiah atau Rafidhah (sesat). Tetapi mengingati kesyahidannya di Karbala adalah sebahagian rasa cinta dan sayang pada belahan jiwa Rasulullah itu.

Sedih

Sebagaimana yang diulang sebut dalam tahlil kita, ''Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai Ahlul Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya" (al-Ahzab:33).

Justeru wajarkah manusia-manusia yang dibersihkan oleh Allah itu dibunuh kejam. Layakkah insan yang dikasihi Nabi diperlakukan sebegitu rupa. Umat apakah kami ini, ya Allah?

Jadi wajarkah kita tidak mempunyai secebis rasa sedih meskipun tidak beremosi bila mengenangkan sejarah hitam itu.

Ketika Hussin menyaksikan dengan matanya, Ali Akbar dipanah dalam keadaan tekaknya kering kehausan. Tidak cukup itu, bayi kecil, Ali Asghar yang merengek-rengek perlukan air tetapi panah pula yang dilayang ke tubuhnya.

Bagi mereka yang begitu rapat dengan sejarah itu, emosinya membuak-buak, linangan air mata tidak dapat dibendung. Kadang kala kerana faktor budaya setempat, ada yang terdorong melukakan badan mereka, mungkin ingin merasai penderitaan Hussin dan keluarganya.

Apa peliknya jika Presiden, Gamal Abdul Naser mati dibunuh Khalid Islamboli, ada juga orang Mesir meratap hingga membunuh diri, inikan cucu Nabi yang dibunuh. Jadi tidak mustahil ada yang bertindak terlalu emosi dan meluahkan segala-galanya.

Namun wajarkah mereka yang dikatakan sebagai pengamal bidaah itu dihapuskan dan dihalalkan darah mereka dengan aksi letupan bom sebagaimana sering terjadi di Pakistan dan juga Iraq apabila golongan Syiah beramai-ramai keluar menyambut Asyura secara terbuka selepas puluhan tahun dihalang rejim Saddam Hussein.

Seharusnya umat Islam kini tidak lagi dibebankan dengan pertelingkahan sejarah lama. Ketika ada yang marah kerana sambutan Asyura, sebenarnya Karbala moden sedang berlaku dan Asyura terus menangis.

Bumi Gaza dibedil, dijarah sejak 27 Disember lalu. Serangan darat yang telah dimulakan oleh tentera Zionis tidak mengenal kanak-kanak, bayi dan wanita. Sasarannya membabi buta - masjid, hospital dan pasar.

Tentera rejim itu tiada bezanya dengan kejamnya Umar bin Saad atau Syamir bin Dzi Al-Jausyan ketika di Karbala.

Keadaannya juga sama, jika tiada seorang pun penduduk Kufah yang berani melawan kezaliman tentera Umayyah untuk menyelamatkan Hussin yang sepatutnya mereka baiah sebagai pemimpin dan ikutan.

Begitu juga Gaza, tiada penguasa atau negara yang mampu melawan Israel. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak mampu berbuat apa-apa meskipun Palestin adalah isu yang melibatkan sama ada Sunni atau Syiah.

Kita hanya mampu berdemonstrasi, melaung-laungkan ''Jahanam-jahanam Israel, Hidup-Hidup Islam' atau Hancur Amerika! dan setidak-tidaknya hulurkan bantuan kemanusiaan. Itu semua sekadar tindakan ad-hoc untuk Palestin.

Selepas itu, masing-masing pulang ke rumah boleh bersuka ria dan bergelak ketawa di bulan Muharam ini. Tetapi Asyura membuatkan penderitaan Palestin terasa dekat di hati.

Ahli sejarah al-Makrizi dalam al-Khuthath sebagaimana yang dipetik dari tulisan Jalaluddin Rakhmat menyebut; ''Dinasti Fatimiah di Mesir menjadikan Asyura sebagai hari dukacita (mengenang kematian Hussin di Karbala)… Ketika Bani Ayub merebut Mesir, mereka menjadikan hari itu hari gembira… Melanjutkan tradisi orang Syam yang dirintis oleh Al-Hajjaj pada zaman Abdul Malik bin Marwan.''

Untuk catatan sepanjang ratusan tahun Hijrah, mimbar masjid di zaman Umaiyah disuruh mengutuk Imam Ali sehinggalah ia ditamatkan oleh Khalifah Umar al-Abdul Aziz yang mengubahnya kepada kalimah ''Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu kepada keadilan dan ihsan.''

Jalaluddin dalam bukunya, Meraih Cinta Ilahi,Pencerahan Sufistik mengungkapkan setiap kali Asyura, pengikut Ali di Karbala merekonstruksi peristiwa itu dan merintih penuh nestapa.

Mereka berteriak, ''Setiap hari adalah Asyura dan setiap bumi adalah Karbala. Kita baca ungkapan itu sebagai ''Setiap hari adalah perjuangan dan di mana saja kita berpijak itulah bumi perjuangan," Selawat…

Kezaliman

Lantas Asyura bukan sekadar menjadi lambang penentangan kezaliman pemerintah dalam dinasti Umaiyah. Memandangkan Khilafah ketika itu mendokong aliran sunnah maka ada pihak yang menganggap sambutan Asyura adalah lambang penentangan kepada sunni.

Namun sebenarnya Asyura adalah sumbu penolakan kepada sebarang kekejaman dan penindasan ke atas mustadafin. Gelombang semangat Asyura jugalah satu ketika dulu menumbangkan Syahansyah Reza Pahlawi atau Shah Iran oleh pendukung garisan Imam Khomeini, meskipun raja segala raja itu adalah Syiah.

Sambutan Asyura tahun demi tahun itulah menyalakan semangat penentangan ke atas tentera Israel oleh Hizbullah, pimpinan Hassan Nasrallah yang mengisytiharkan kemenangan dalam perang 34 hari dengan rejim itu pada 2006.

Dan Hizbullah secara jelas mengiktiraf kepimpinan wilayah al-faqih di Iran.

Dengan semangat menentang kezaliman itulah juga Presiden George Bush dimalukan oleh wartawan, Muntazer al-Zaidi, seorang Syiah dengan lontaran jamrah 'kasut but' saiz 10 itu.

Oleh itu, apabila membaca sejarah Karbala, ia sebenarnya terlalu dekat dengan apa yang telah berlaku sekarang dan mengajak kita berfikir bagaimana harus dilakukan untuk merubah nasib umat.

Asyura adalah menyatakan rasa sedih dan meluahkan kecintaan mendalam pada Hussin dan ahli keluarganya, sebagaimana Nabi pernah menyatakan rasa sedemikian rupa pada cucunya itu.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin