Showing posts with label Jihad. Show all posts
Showing posts with label Jihad. Show all posts

Tuesday, July 27, 2010

Perjalanan Akhir Seorang Pendakwah

Saya tertarik untuk berkongsi cerita pada pagi ini. Semoga berita ini akan memotivasikan kepada kita khususnya yang berada di Borneo. Semoga dengan paparan kisah ini akan menjadikan diri kita berlumba-lumba untuk melaksanakan kebaikan. Insya Allah.
---------------------------------------
Pada 4/5/2010 (Selasa Pukul 10.00 pagi) saya dikejutkan dengan satu panggilan memberitahu anak saudara saya (anak abang) talah meninggal kerana mati lemas ketika keluar berdakwah selama 40 hari mengikut Jemaah Tabligh ke pendalaman Sabah. Tempat sebenar kejadian di Daerah Beluran, lebih kurang 21/2 jam perjalanan ke Bandar Sandakan.

Remaja ini bernama Muhammad Huzaifah Bin Muhammad Huzazi. Berumur 21 tahun. Pelajar Ijazah Teknologi Alam Sekitar, Universiti Malaysia Terengganu. Kami berusaha membawa balik ke rumahnya di Sabak Bernam secepat mungkin. Namun kerana peraturan dan dokumentasi, jenazah hanya berjaya di bawa balik pada keesokan harinya. Tiba di Masjid Sri Petaling sebaik sahaja solat Asar berakhir.

Sebaik sahaja kain kapan di buka saya melihat wajahnya seperti sedang tidur tanpa menunjukkan kulit pucat dan kaku seperti kebiasaan mayat. Saya teringat beberapa hadis yang memberikan tanda-tanda orang yang mati dalam keadaan baik(Husnul khatimah). Antaranya dahi berpeluh. Saya cuba mengusap dahi dan mukanya memang terasa berpeluh dan lembab. Darah juga masih mengalir segar. Ketika saya cuba menggantikan kapas di mulutnya kerana kapas tersebut telah penuh dengan darah, saya terkejut kerana darah segar merah masih keluar dari mulutnya dan mengenai kapas baru. Saya menyangkakan dia seperti masih hidup.

Ramai jemaah selepas solat asar juga bertanya adakah benar dia sudah mati kerana nampak seperti sedang tidur. Ketika ibunya ingin menciumnya untuk kali terakhir, ibunya tertekan dadanya. Sekali lagi darah merah cair keluar dari mulutnya. Mengikut kelaziman, selepas hampir 2 hari dan disimpan didalam peti ais jenazah ketika menunggu untuk dihantar pulang, sudah tentu mayat menjadi beku dan pucat. Darah pun sudah tentu telah menjadi beku dan mati.

Namun kebesaran Allah s.w.t dan janjinya memang benar. Ketika manusia berlumba-lumba mengejar keduniaan, masih kedapatan manusia-manusia yang terpilih untuk mati syahid.

Saya terpanggil menulis dan berkongsi cerita ini kerana dalam keadaan sosial para remaja yang semakin larut dengan budaya barat, marilah kita mengajak diri kita, anak2 dan kaum keluarga untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar dan mengamalkan amal-amal Islami secara bersungguh-sungguh. Mudah-mudahan suatu hari nanti kita akan TERPILIH dalam golongan orang-orang yang mati syahid di jalan Allah s.w.t.

Mengikut Ayahnya, Ayah angkatnya dan rakan2 universitinya, Huzaifah ini seorang remaja sangat berakhlak. Setiap masa terluang dihabiskan dengan berkunjung ke masjid dan surau bagi menunaikan ibadah dan kerja-kerja agama. Malahan sebahagian wang pinjamannya PTPTN; selain dari untuk yuran pengajian, digunakan untuk dakwah dan kerja-kerja agama. Malahan beliau beberapa kali memberitahu kepada ayahnya yang setiap kali cuti semester panjang, beliau akan ke Sabah kerana disana terlalu ramai orang sudah tinggal kan Islam (Murtad) dan jika masih Islam pun tapi tiada amalan Islam. Masjid dan surau kosong tiada jemaah.

Ketika selepas sembahyang Subuh hari sebelum beliau meninggal lemas ketika mandi di sungai, beliau telah berpesan kepada rakan-rakannya supaya meneruskan usaha dakwah dan mengembalikan orang-orang yang jauh daripada Islam kepada Islam semula. Amat mengagumkan dan membuatkan saya terasa amat kerdil dan tiada nilai.

Semoga roh beliau ditempatkan dalam golongan syuhada sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

PERSOALANNYA, diri kita, keluarga dan anak-anak kita bagaimana? adakah telah pasti terselamat dari seksa alam akhirat? sama-sama kita renungkan.

Gambar2 diambil ketika jenazah sampai di masjid sri petaling.






Rujukan Hadis 1:
Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya.
1. Pemimpin yand adil;
2. pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT ;
3. seseorang yang hatinya terpaut pada masjid;
4. 2 lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT;
5. lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah;
6. seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya;
7. dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT. Hadis Riwayat Muslim

Rujukan Hadis 2:
MENINGGAL DENGAN BERPELUH DI DAHI.
Buraidah ibnul Hushaib radhiyallahu’anhu ketika berada di Khurasan menjenguk saudaranya yang sedang sakit. Didapatkannya saudaranya ini menjelang ajalnya dalam keadaan berkeringat di dahinya. Ia pun berkata, “Allahu Akbar! Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Meninggalnya seorang mukmin dengan keringat di dahi.”� (HR. Ahmad, An-Nasa`i, dll. Sanad An-Nasa`i shahih di atas syarat Al-Bukhari)

(semoga paparan ini menjadi pemangkin untuk terus melibatkan dan mengandakan usaha dakwah)

Wednesday, December 23, 2009

'Kuasa dunia khianati rakyat Gaza'


ANGGOTA pasukan keselamatan Hamas mengawal penunjuk perasaan membantah tindakan Mesir membina sekatan keluli bawah tanah yang memisahkan Gaza dengan wilayah Mesir, kelmarin.

Masyarakat antarabangsa gagal desak Israel tamatkan sekatan

BAITULMAQDIS: Sekumpulan 16 pertubuhan hak asasi manusia, termasuk Amnesty International dan Oxfam, semalam berpendapat dunia sebenarnya 'mengkhianati' penduduk Gaza apabila mereka gagal mendesak Israel menamatkan sekatan di kawasan diperintah Hamas itu.

"Masyarakat antarabangsa sebenarnya mengkhianati rakyat Gaza kerana tidak berupaya melaksanakan tindakan berkesan bagi menamatkan sekatan Israel yang menghalang pembinaan semula dan pemulihan di kawasan berkenaan," kata satu laporan.

Setakat ini, Israel dan Mesir hanya membenarkan bantuan kemanusiaan kepada wilayah berkenaan sejak Hamas merampas kuasa pada Jun 2007.

"Bukan Israel saja yang menindas rakyat Gaza melalui sekatan yang menghukum semua orang yang tinggal di sana semata-mata kerana perbuatan segelintir orang.

"Kuasa dunia juga gagal dan malah mengkhianati rakyat biasa Gaza. Mereka pernah menggenggam tangan dan mengeluarkan kenyataan, tetapi tidak mampu mengambil langkah bermakna bagi mengubah dasar yang menghalang pembinaan semula kawasan berkenaan," kata Jeremy Hobbs, Pengarah Eksekutif Oxfam International.

Kumpulan hak asasi manusia itu berkata Israel kini hanya membenarkan 41 muatan penuh lori bagi membawa bahan binaan ke Gaza sejak peperangan yang memusnahkan kawasan berkenaan selama 22 hari yang dilancarkan oleh negara Yahudi itu hampir setahun lalu yang berakhir dengan gencatan senjata yang dipersetujui bersama pada 18 Januari lalu.

"Hanya sedikit daripada pemusnahan besar yang menimpa rumah, infrastruktur dan perkhidmatan awam, ladang serta perniagaan dapat diperbaiki kerana kekurangan bahan," kata laporan berkenaan.

Kira-kira 1,400 rakyat Palestin dan 13 rakyat Israel terbunuh dalam peperangan itu, yang meratakan sebahagian besar bumi Gaza, sebuah wilayah miskin di mana majoriti besar penduduknya bergantung pada bantuan asing.

Israel menguasai semua tempat kecuali kawasan sempadan Gaza, iaitu terminal Rafah dengan Mesir, yang jarang dibuka oleh Kaherah.

"Orang sakit, mereka yang berada dalam keadaan trauma dan penduduk miskin dihukum oleh dasar kejam dan haram oleh pihak berkuasa Israel," kata Pengarah Amnesty International United Kingdom, Kate Allen. AFP

Friday, May 15, 2009

Ummu Haram menyeberang lautan


UMMU Haram binti Milham merupakan isteri kepada Ubadah bin Samit dan ibu saudara susuan nabi Muhammad. Ummu Haram merupakan salah seorang dari kumpulan wanita Ansar yang mula-mula memeluk Islam.

Beliau juga merupakan ibu saudara kepada Anas bin Malik. Nabi Muhammad memuliakan Ummu Haram dengan mengatakan, "Kamu termasuk orang yang pertama daripada kalangan mereka".

Ini adalah kerana sifatnya yang berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan seperti berjihad, menuntut ilmu, mendahulukan kepentingan orang lain dan merendah diri.

Ummu Haram juga melibatkan diri dalam peperangan menentang pihak musuh Islam. Dia membantu merawat luka dan memberikan air kepada pasukan tentera Islam sewaktu peperangan Badar dan Uhud.

Jiwa Ummu Haram yang cekal dan kental memudahkan beliau bergerak di kawasan peperangan yang penuh bahaya bagi membantu dan merawat tentera Islam yang cedera.

Nabi Muhammad selalu mengunjungi masjid Quba yang didirikan oleh beliau atas dasar takwa kepada Allah. Kadangkala, beliau menaiki unta atau berjalan kaki menuju Masjid Quba lalu menunaikan solat sunat dua rakaat.

Kadang kala, Nabi Muhammad singgah di rumah Ummu Haram yang terletak berhampiran masjid Quba bagi melawatnya serta tidur siang di rumahnya. Malahan ada ketika beliau solat di rumah Ummu Haram.

"Assalamualaikum Ummu Haram!" Nabi Muhammad memberi salam sambil mengetuk pintu rumah Ummu Haram.

"Waalaikumusalam. Silakan masuk," jawab Ummu Haram sambil membuka pintu mempelawa Nabi Muhammad masuk.

"Apa khabar Ummu Sulaim dan Anas? Mari kita solat bersama-sama," kata Nabi Muhammad.

"Khabar baik, Rasulullah," balas Ummu Sulaim dan anaknya.

Mereka menunaikan solat sunat bersama-sama kerana pada ketika itu beliau belum masuk waktu solat wajib.

Kemudian Nabi Muhammad mendoakan kesejahteraan dan kebaikan dunia serta akhirat untuk Ummu Haram, Ummu Sulaim dan anaknya. Selepas itu, Ummu Haram menjemput nabi Muhammad makan bersama-sama.

"Ummu Haram, saya mahu berehat sebentar," kata Rasulullah selepas menjamah makanan yang disediakan oleh Ummu Haram.

"Baring dan berehatlah," balas Ummu Haram yang sedang mengemas pinggan di dapurnya.

Nabi Muhammad yang baring di ruang tamu tidak lama kemudian tertidur. Ummu Haram, Ummu Sulaim dan Anas berbual perlahan supaya tidak mengganggu baginda yang sedang tidur. Selepas beberapa ketika berlalu, Nabi Muhammad terjaga dari tidurnya dan tersenyum sendirian.

"Mengapa kamu tersenyum," tanya Ummu Haram dalam kehairanan.

"Beberapa orang dari umat Islam menawarkan diri berperang di jalan Allah. Mereka menaiki kapal merentas lautan menuju ke arah raja-raja yang zalim," jawab Nabi Muhammad sambil memandang wajah Ummu Haram.

"Ya Rasulullah, doakan saya semoga termasuk di antara golongan itu," pinta Ummu Haram yang berangan-angan supaya dapat menyertai peperangan bersama pasukan tentera Islam menyeberang lautan bagi menyebarkan agama Islam pada suatu hari nanti.

"Baiklah," balas Nabi SAW lalu mendoakan Ummu Haram. Kemudian, Rasulullah berbaring dan menyambung semula tidurnya.

Beberapa ketika kemudian, Nabi SAW bangkit dari tidurnya dan tertawa. Ummu Haram yang hairan dengan kelakuan baginda bertanya, "Ya Rasulullah, mengapa kamu ketawa".

"Sekumpulan umat Islam diperlihatkan kepada saya seketika mereka berperang menentang pihak musuh Islam seperti raja bagi pasukannya," jawab Nabi Muhammad.

"Ya Rasulullah, doakan agar saya termasuk dalam golongan itu," mohon Ummu Haram.

"Kamu termasuk golongan yang pertama dari kalangan mereka," jawab Nabi Muhammad.

Peristiwa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad berlaku pada era pemerintahan Khalifah Usman bin Affan. Pada ketika itu, penaklukan bandar-bandar musuh Islam berlaku dengan rancak.

Ketika Usman ditabalkan sebagai Khalifah, Muawiyah Abu Sufian yang ketika itu menjadi Gabenor Syria mencadangkan pembentukan pasukan armada laut bagi menentang Empayar Byzantine.

Ekspedisi armada laut Muawiyah dibantu dengan sebuah kapal perang yang diketuai oleh Abdullah bin Abu Sarah dari Mesir.

Kedua kapal angkatan tentera laut Islam mula belayar menuju ke pulau Cyprus bagi bertempur pasukan tentera Byzantine yang berpangkalan di pulau itu.

"Tercapai juga cita-cita saya untuk berjihad di jalan Allah merentas lautan. Permintaan saya yang telah didoakan oleh rasulullah telah dimakbulkan oleh Allah," bisik hati Ummu Haram yang berdebar-debar berdiri di atas dek kapal.

Kedatangan kedua kapal angkatan tentera laut Islam itu tidak disedari oleh pasukan tentera Empayar Byzantium dan penduduk tempatan pulau Cyprus.

Ini adalah kerana tanggapan pihak musuh bahawa umat Islam tak mampu menyeberang lautan dan berperang di kawasan laut.

Abdullah bin Qais menghantar perisik untuk meninjau kekuatan pihak musuh sebelum melancarkan serang hendap. Pihak musuh yang terkejut dengan kehadiran pasukan tentera Islam dengan tiba-tiba hanya mampu memandang melihat kem kawalan mereka diambil alih oleh pihak tentera Islam.

"Panglima, saya sebagai ketua penduduk pulau ini sanggup membayar jizyah sebanyak 70,000 dinar setahun kepada kerajaan Islam. Tolong jangan apa-apakan penduduk pulau ini," mohon ketua penduduk pulau Cyprus kepada Abdullah bin Qais.

"Baiklah," balas Abdullah bin Qais dengan tegas.

"Panglima, izinkan saya untuk melihat kawasan sekitar pulau ini," tanya Ummu Hakim kepada Abdullah bin Qais setelah pulau Cyprus telah selamat ditakluk oleh tentera Islam.

"Kamu boleh melawat sekitar pulau ini dengan menaiki kuda ini. Pastikan ada orang temankan kamu," Abdullah bin Qais memberikan kebenaran kepada Ummu Haram yang teringin melawat sekitar pulau itu.

Ummu Haram bersama beberapa orang tentera Islam mula bergerak menaiki kuda mengelilingi kawasan sekitar pulau Cyprus itu.

Pada suatu ketika, seekor binatang buas tiba-tiba muncul dan menyerang kuda yang dinaiki oleh Ummu Haram. Ini menyebabkan Ummu Haram tercampak daripada kudanya lalu jatuh menghempas tanah. Oleh sebab mengalami kecederaan parah, Ummu Haram meninggal dunia di tempat beliau jatuh.

Ummu Haram meninggal dunia pada tahun 27 Hijrah. Kubur beliau masih lagi terdapat dipinggir pantai Cyprus dan dikunjungi oleh umat Islam sehingga kini. Ummu Haram adalah pejuang Muslimah pertama menyeberang lautan untuk berjihad di jalan Allah.
---------------------------
- Rujukan di sini

Thursday, April 23, 2009

Dakwah bil hal pikat Jerald..


SESEORANG yang tidak mempunyai pegangan agama atau tidak menyatakan agama apa yang dianuti dianggap sebagai tidak mempunyai identiti diri. Begitulah pentingnya agama kepada warga Amerika Syarikat, Dr. Jerald Dirks.

Bukan sahaja atas nama identiti, agama kepada Jerald turut bermakna mesti dipertahankan dan disebarkan kepada orang lain!

Namun bagaimana beliau yang merupakan seorang penganut Kristian yang sangat taat, akhirnya tunduk kepada Islam?

Ini berlaku pada tahun 1993, Jerald akhirnya memeluk Islam. Nama Abu Yahya dipilih untuk menyerlahkan lagi identiti agama yang beliau baru anuti itu.

Jika ditelusuri kehidupan lampau beliau, kita mendapati Jerald adalah 'umat' Kristian terbaik yang pernah ditemui.

"Pada lewat 1950-an, dengan tiga buah gereja terdapat di pekan kelahiran saya, menjadikan seluruh penduduk begitu kuat berpegang kepada agama itu," katanya.

Beliau melakukan pelbagai aktiviti untuk gereja milik keluarganya, Gereja Methodist. Jerald tidak pernah gagal menghadiri sebarang upacara sembahyang sehingga pernah dianugerahkan pelbagai trofi kejuaraan kerana kehadiran penuh dan berjaya menghafal ayat-ayat dari Bible.

Pada usia 17 tahun, ketika memasuki Kolej Harvard atas nama cintakan agamanya, dia memilih kursus yang membolehkannya menjadi paderi bertauliah.

Ini termasuk keperluan kursus Perbandingan Agama yang membolehkan buat pertama kalinya Jerald mengenali Islam. Kursus itu diajar oleh seorang pensyarah iaitu Wilfred Cantwell Smith, yang mempunyai kepakaran dalam pengajian agama itu.

Bagaimanapun, Jerald tidak begitu memberi tumpuan terhadap pengajian Islam berbanding minat yang tinggi terhadap pengajian agama Hindu dan Buddha.

Hollis Scholar

Atas kesungguhannya, kalangan warga Harvard menggelarkan beliau Hollis Scholar.

Tamat pengajian, beliau menyambung pengajian tinggi di Harvard Divinity School atas tajaan Biasiswa Stewart iaitu sumbangan dari pihak gereja bagi membolehkan beliau beroleh Ijazah Master of Divinity pada tahun 1974.

Sebaik sahaja tamat pengajian, Jerald terus dihantar bertugas sebagai paderi di dua buah Gereja United Methodist. Sekali gus di kawasan pedalaman Kansas yang menyaksikan semakin ramai kembali mengunjungi gereja berbanding keadaan yang sebelumnya.

Semua ini 'berkat' kesungguhan Jerald sebagai seorang paderi yang berwibawa.

Dengan latar belakang pendidikan dan prestasi kerjaya yang sebaik itu tentunya Jerald seorang yang tidak lagi dalam pencarian. Sebabnya, segala-galanya kini telah terjawab dan tidak mungkin iman akan tergugat dengan apa juga gejala yang melanda.

"Tetapi mungkin secara luaran saya dilihat begitu tetapi jauh di sudut hati, saya sebenarnya berperang!" ujarnya.

Walaupun sudah semakin jauh dan begitu mengenali agama sendiri, namun beliau akhirnya menyedari beberapa aspek yang tidak kena dengan agama asalnya.

Antaranya 'Keaslian Bacaan' daripada pelbagai teks-teks kitab Bible, konsep triniti yang sentiasa mengalami evolusi sebagai 'Tuhan Yang Satu' namun tetap meletakkan Nabi Isa itu sebagai tuhan.

Mengenali Islam

Ketika inilah, buat pertama kalinya, beliau dan isterinya mula mengenali Islam yang kebetulan mereka berdua sedang membuat kajian mengenai sejarah Kuda-kuda Arab. Matlamat utama kajian itu untuk menyelamatkan dokumen-dokumen atau naskhah-naskhah sejarah Arab lama.

Tugas itu memerlukan beliau mendapat pertolongan kalangan bangsa Arab, terutama untuk menterjemahkan teks-teks berbahasa Arab dan memberi panduan mengenai sejarah kuda serta Arab itu sendiri.

Seorang berbangsa Arab bernama Jamal akhirnya menawarkan diri membantu mereka dengan hadir ke rumah Jerald hampir setiap hari.

Selain membantu Jerald, Jamal melakukan dakwah secara halus yang berjaya menyentuh hati Jerald yang mula kagum dengan cara hidup yang ditunjukkan oleh Jamal.

Ini kerana sebelum pulang, Jamal akan meminta kebenaran mengambil air sembahyang diikuti meminta hanya sehelai kertas sebagai alas atau sejadah. Jamal kemudiannya solat tanpa sebarang ragu dan janggal walaupun di dalam sebuah rumah milik seorang paderi Kristian.

"Tanpa kami sedari bahawa Jamal sebenarnya sedang menunjukkan satu bentuk dakwah yang sangat cantik yang menyebabkan hati kami begitu tertarik," katanya.

Jamal benar-benar menjayakan konsep dakwah bil hal (dengan contoh) dengan tidak pernah mengambil kesempatan untuk bercerita mengenai Islam. Jauh sekali untuk memaksa Dr Jerald dan isterinya memeluk Islam, walaupun peluang itu ada untuk Jamal berbuat demikian.

"Banyak yang saya belajar dari Jamal yang tidak pernah cuai mendirikan solat, sampai masa dan waktunya dia akan segera solat tetapi itupun dengan terlebih dahulu meminta kebenaran dari saya sebagai tuan rumah," katanya.

Jerald suami isteri benar-benar tertarik dengan cara Jamal mengendalikan kehidupannya baik untuk soal kerja dan cara beliau bersosial. Malah cara Jamal mendidik anak-anaknya juga amat menarik perhatian keluarga Kristian ini.

"Jika Jamal memberi penerangan mengenai Islam pun, dia memberitahu dengan begitu profesional tanpa menyelitkan sebarang propaganda mengenai Islam di situ," katanya.

Ini termasuklah Jamal membantu Jerald memahami mengenai sejarah tanah Arab, sejarah Islam, Nabi Muhammad, al-Quran termasuk terjemahan-terjemahan penting daripada kitab itu.

Cantiknya Islam

Sehinggalah Jamal kemudiannya memperkenalkan Jerald dengan beberapa keluarga Arab lain, beliau semakin mengagumi Islam apabila melihatkan cantiknya Islam yang dibawa oleh keluarga-keluarga tersebut.

Pada Disember 1992, Jerald mula memikirkan dengan lebih serius akan kedudukan diri atau lebih tepat agama yang menjadi anutannya.

Ini membuatkan beliau mengkaji semula mengenai Islam terutama melalui al-Quran yang beliau baca dari dua kitab terjemahan.

"Saya tidak pernah memberitahu kepada rakan-rakan Islam pencarian yang saya lakukan secara bersendirian itu.

"Akhirnya, saya dan isteri mengakui bahwa tidak ada apa yang perlu diragukan mengenai Islam. Malah saya juga mula menerima hakikat mengenai kerasulan Nabi Muhammad dan saya dapat menerima sepenuhnya bahawa tuhan yang wajib dipercayai dan disembah hanyalah Allah, tiada yang lain selain dari-Nya!," katanya.

Begitupun beliau masih ragu-ragu untuk membuat keputusan yang pasti kerana merasakan banyak lagi mengenai Islam perlu diketahui.

"Saya cukup sebati dengan Kristian, iaitu hampir 43 tahun lamanya. Jadi untuk menanggalkan label Kristian itu bukan sesuatu yang mudah kerana dengan agama itu juga saya sebenarnya dapat menikmati kehidupan yang selayaknya untuk dinikmati," kata beliau.

Namun Jerald akui bahawa beliau begitu berat untuk meletakkan Kristian sebagai perakuan agama ketika mengisi borang pasport, dokumen untuk memohon perjalanan ke Timur Tengah.

"Saya ketawa bagi melindungi perasaan sebenar saya yang masih begitu bermain sedangkan dari akademik dan logik, saya dapat mengakui Islam," katanya.

Sehinggalah pada suatu hari ketika sedang khusyuk membaca al-Quran terjemahan yang ketiga di sebuah restoran Arab, beliau ditegur oleh Iman, isteri tuan punya restoran itu. Sebabnya, hanya mereka yang memeluk Islam sahaja yang akan membaca al-Quran mahupun terjemahan kitab suci itu.

"Secara spontan saya menjawab, tidak!," kata Jerald. Beliau kemudiannya menyedari telah bersikap kasar lalu menemui semula Iman dan menjelaskan kepadanya.

"Bahawa sekiranya dia bertanya sama ada saya percaya tuhan yang satu, pasti saya menjawab 'ya' dan sekiranya ditanya saya mempercayai Nabi Muhammad, jawapan saya sama, saya percaya kerasulan baginda!," katanya.

Mungkin dengan jawapan Dr Jerald itu sebenarnya beliau telah mengucap dua kalimah syahadah tanpa beliau sedari. Namun beliau masih belum mempunyai kekuatan yang jitu bagi membulatkan sebarang perubahan baru yang akan mengubah seluruh hidupnya dan apatah lagi untuk berhadapan dengan pandangan masyarakat terhadap beliau selama ini.

Begitu pun kunjungan beliau ke Amman, ibu negara Jordan merupakan titik yang menjadi transformasi kepada Jerald dan isterinya.

Ketika melakukan kajian di negara itu, secara tiba-tiba Jerald ditegur oleh seorang rakyat Jordan yang beliau tidak kenali.

Selepas memberi salam kepada Jerald yang hanya mampu menjawab dengan menganggukkan kepala, tidak semena-mena lelaki ini bertanya sama ada beliau seorang Muslim.

"Ketika itu saya-saya benar terperangkap, saya tidak mampu lagi bermain dengan sebarang permainan perkataan yang intelektual untuk menipu kebenaran yang ada.

"Semudah sama ada saya menjawab Na'am (ya) atau La' (tidak). Lalu saya benar-benar membuat satu pilihan apabila saya akhirnya menjawab "Na'am ana Muslim" (ya, saya seorang Muslim)" katanya.

Allahu Akbar! Tuhan Maha Besar!

Sejurus jawapan itu keluar dari mulut Jerald, beliau dapat merasakan seluruh beban kini bagaikan telah jatuh luruh daripada dirinya.

"Saya berasa sungguh ringan dan satu ketenangan yang luar biasa menyelinap masuk ke dalam hati saya.

"Keputusan ini bukan satu kesilapan walaupun saya menyedari pelbagai risiko dan cabaran yang bakal saya hadapi," katanya.

Rujukan di sini.

Friday, April 17, 2009

Palestin di ambang bahaya

Nun dari kejauhan, kelihatan tompokan awan kelabu, menyelimut kemas Bandar Gaza. Kami terpinga, lalu terpacul soalan kepada Adnan, si pemandu teksi: "Itulah asap peninggalan dari bom Yahudi..." jawabnya bingkas. Kata-katanya itu membangkit kegusaran. Soalan demi soalan menerjah masuk ke kotak fikiran.

Bahaya masih ada

Awan kelabu itu, apakah sisa-sisa bom kimia? Bom Dime yang mampu menyelinap masuk dalam setiap urat nadi dan menyebabkan pendarahan tidak henti-henti dengan kecanggihan teknologi nanonya itu, masihkah ada sisanya di sana?

Bom sepanjang dua meter, berdinding besi setebal 10 milimeter dan seberat satu tan itu, pastikah tiada yang masih menyala? Sisa bahan radioaktif pembawa kanser untuk satu jangka masa yang lama, pastikah tiada di sana?

Adakah sudah tidak ada lagi ancaman dari Helikopter Apache yang berlegar-legar di udara dengan mesingan beratnya, atau pesawat tanpa pemandu yang mampu mengenal pasti longitud dan latitud sasaran dengan tepat? Dan..bom Fosforus putih buatan Amerika yang amat gemar meratah daging lembut anak-anak kecil yang belum mengenal erti dunia. Sudahkah terpadam semuanya? Tiada siapapun yang mampu memberi jawapan yang benar-benar pasti.

Riehan thoyibah

Pemandangan dahsyat di sana sini, mengalih perhatian kami dari kegusaran dek awan-awan hitam tadi. Malam pertama di bumi Gaza itu, angin bertiup begitu kencang.

Tiga sahabat dalam kamar kecil di Gaza International Hotel itu, telah lama dibalut mimpi. Perjalanan siang sungguh memenatkan. Tekanan perasaan, gelodak jiwa dan mainan minda membuatkan diri lemah lesu tidak bermaya. Sesekali deruan angin menghasilkan siulan demi siulan. Atap zink di rumah berdekatan berkeriut riuh rendah, hingga barisan gigi atas terasa ngilu.
Angin kencang tidak mampu mengejut mereka dari tidur yang sungguh lena. Adakah ini angin rahmat yang menghalau setiap zarah debu-debu beracun yang membentuk awan hitam tadi, atau angin azab yang bakal membadai petualang yang bejat dan zalim itu? Walau apapun, pasti ia angin rahmat. "Ya Allah, kurniakanlah bumi ini riehan thoiyibah (angin rahmat) yang sesuai dengan Samudera Ilmu-Mu yang Maha Luas itu..."

Petikan munajat dari kitab Sheikh Abul Hasan as-Shazili selepas solat tadi seakan terngiang-ngiang kembali... Dan angin semakin kencang..Tentera Allah? Tentera-Nya di mana-mana. Angin, udara, pasir, tanah, air dan api, semuanya patuh kepada kehendak dan perintah-Nya jua.

"Bawakan Rahmat atas umat ini. Nyahkan petaka dari bumi teraniaya ini. Ayuh! Jalankanlah tugasmu, duhai riehan thoyyibah!" Akhirnya, doa dan munajatpun menyatu, berarak pergi bersama angin lalu, bersama detik-detik malam yang penuh rindu.

Rupa Bani Israel

Ini bukan kali pertama berhadapan dengan Yahudi. Tahun lalu, sekumpulan Rabbi berpakaian jaket, seluar dan toga hitam, berbaris melintasi kami semasa transit di Lapangan Terbang Kaherah.

Semasa menziarah Masjid al-Aqsha as-Syarif tahun 1997, seluruh badan diperiksa dengan teliti, selama dua jam sebelum dibenar masuk ke al-Quds melalui Israel.

Pegawai mereka muda belaka. Tubuh mereka tidak sasa. Hanya biasa-biasa. Tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Sederhana, seakan-akan perawakan bangsa Melayu juga. Rangka badan agak lonjong dan kecil. Tidak agam seperti kebiasaan orang Arab.

Kulit mereka putih mulus, kemerah-merahan. Kadang-kadang, sedikit kekuningan. Rambut dan kening mereka hitam, hidung panjang dan mancung.

Namun, ada juga yang berambut keemasan. Bagi yang lebih dewasa, fizikal berubah menjadi lebih bundar. Tidak hairanlah, bukankah mereka cucu cicit Nabi Allah Yusuf yang rupawan itu? Dunia Hollywood tidak pernah sunyi daripada artis berketurunan yahudi.

Bagi peminat dunia hiburan, pasti mereka mengenali Adam Sandler, Nicholas Cage, Elizabeth Taylor, Barbara Streisand dan lain-lain. Siapa tahu, antara idola yang dipuja, rupa-rupanya seorang Yahudi!

Arab dan Israel cucu Ibrahim?

Dahulu mana ada bangsa bernama Israel. Bangsa Arab mahupun Yahudi, keduanya berasal usul daripada zuriat Nabi Ibrahim. Dari Nabi Ibrahimlah maka terbina salasilah keturunan Nabi Muhammad berbangsa Arab, dan salasilah keturunan Nabi Yaakub yang membina susur galur bangsa Bani Israel. Dari Siti hajar lahirnya Ismail. Dari Ismail berjujuran zuriat Adnan hingga ke Nabi Muhammad S.A.W.

Dari Siti Hajar pula lahirnya Ishak. Dari Ishak lahir pula Yaakub. Dan dari Yaakub lahir nabi-nabi berketurunan Bani Israel seumpama nabi Yusuf nan rupawan, nabi Sulaiman seorang negarawan, nabi Daud seniman dan wirawan, sehingga nabi Isa a.s. yang naik ke langit membawa jawapan kepada seribu satu persoalan.

Justeru, Nabi Ibrahim a.s (juga disebut Abraham, atau Ebram) adalah bapa kepada bangsa Arab dan Bani Israel. Dua bangsa pada asalnya bersaudara inilah, Allah SWT kurniakan amanah untuk memelihara kitab dan agama suci-Nya, iaitu risalah keesaan Allah SWT di sepanjang zaman.

Asal nama Israel

Nama Israel berasal daripada nama nabi Allah Yaakub a.s. Baginda digelar Israel, yang membawa maksud 'Hamba Allah' atau Abdullah. Al-Quran memanggil anak cucu Israel (nabi Yaakub) dengan panggilan penuh belaian kasih sayang, "Wahai Bani Israel..(anak-anak Yaakub), ingatkah kamu ke atas nikmat-nikmat yang telah Ku anugerahi kepada kamu, dan Aku telah melebihkan kamu di atas bangsa-bangsa lain di alam ini..."

Mereka juga popular dengan sebutan Yahudi. Dari mana pula datangnya Yahudi ini? Nama Yahudi lahir dari satu puak daripada 13 puak dalam bani Israel. Di antara terdapat satu puak bernama puak Yahuda. Dari Yahuda lahirlah panggilan Yahudi. Jumlah 13 puak ini pula terbentuk hasil daripada keturunan anak-anak nabi Yaakub seramai 13 orang, termasuklah keturunan nabi Yusuf, Bunyamin, Levi, dan lain-lain.

Benar mereka istimewa, tetapi itu suatu masa dahulu. Keistimewaan mereka tetap ada syarat. Syarat perjanjian dengan Tuhan, mereka mesti memelihara iman dan agama. Sepuluh wasiat firman Allah SWT kepada nabi Musa a.s. adalah janji yang perlu dipelihara mereka. Termaktub dalam perjanjian, "Tidak akan terkena janji ini, bagi mereka yang menzalimi" sebagaimana maksud Firman Allah SWT.

Negara Israel

Negara Israel bukan lama, baru sahaja berusia 46 tahun. Sebelum ini, tidak ada di mana-mana inci bumi ini sebuah negara bernama Israel. Di saat negara-negara di dunia telah lama berdaulat, Israel baru terkial-kial untuk mencari tempat di atas muka bumi ini. Kini dengan megah ia berdiri sebagai sebuah negara.

Bermula tahun 1947, dengan helah mainan politik barat bersekutu, dan campur tangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), negara Israel tegak di atas bumi Palestin. Menerusi perjanjian Balfour, Inggeris menyerahkan Palestin untuk dibina penempatan Yahudi.

Kini, yang ada hanya tinggal Tebing Barat dan Tebing Gaza sahaja. Itupun, kedaulatan hanya pada nama. Kuasa legislatif, ekonomi, ketenteraan semua dalam kepungan dan genggaman Yahudi.

Palestin dan mata wang Israel

Baik Gaza maupun Tebing Barat, Palestin tiada mata wangnya sendiri. Semua urusniaga menggunakan mata wang Sheqel, milik Israel. Sebelum ini, rakyat Palestin menggunakan mata wang Lira, Lubnan.


Sejak penguasaan Yahudi, matawang Sheqel telah digunapakai sehingga kini. Semua barangan harus dibeli daripada Israel. Bukan hanya penguasaan politik, Palestin juga dikepung dengan hegemoni ekonomi Israel sehingga kini.

Palestin di ambang bahaya

Lihatlah peta Palestin. Sejak tahun 1947 hingga kini. Apa yang sudah terjadi? Kini, Palestin tidak ubah tahi lalat manis di wajah anak dara sunti. Kelak bakal hilang dari pandangan, jika umat masih leka, ralit dibuai lena.

Adakah Palestin mendapat semula permata yang hilang, atau bakal berputih mata dengan kehilangan tanah yang sekelumit cuma? Tepuklah dada, tanyalah selera. Masing-masing mungkin sudah boleh meneka jawapannya.

Formula yang digunapakai adalah jelas dan mudah. Buat kacau, damai dan serah tanah. Dengan formula inilah negara Israel mendapat kedaulatan. Pepatah Melayu klasik 'Bagai Belanda mendapat tanah' kini mungkin terpaksa diganti 'Bagai Yahudi mendapat tanah'.

Agenda penaklukan Israel

Agenda mereka tertera pada bendera biru putih itu. Menurut Henry Ford dalam bukunya The International Jew, dua palang biru bermaksud Penaklukan di negara-negara yang berada di antara sungai Nil dan sungai Furat.

Jika Palestin berjaya ditakluk sepenuhnya, maka, negara-negara yang terletak di antara dua sungai bersejarah ini harus bersiap siaga.

Ini juga bermakna, Kota al-Quds dengan simbahan cahaya Kubah Keemasan itu, mungkin hanya menjadi foto kenangan. Batu-batu Masjid al-Aqsa, mungkin akan terkubur bersama runtuhan dinding kotanya.


Jika umat masih tidak bersatu, maka percayalah, igauan ngeri ini akan menjadi nyata. Kala itu, kita hanya akan melihat, sambil berkata dengan nada penuh lemah, penuh hina, penuh tidak bermaya, "Apakan daya..kita hanya mampu berdoa..." Na'uuzu billah.

Di mana singa Allah?

Teringat semasa ziarah ke al-Aqsa tahun 1997 itu, dengan nada sinis, bilal tua di Masjid al-Aqsa yang tergagap-gagap itu bersuara, "Wahai umat, teruslah bercakaran. Wahai Arab, teruslah bersahabat dengan mereka (Yahudi). Wahai anak muda, teruslah bermimpi dan hanyut dalam dunia kamu yang indah. Semoga serpih-serpih dari runtuhan al-Aqsa kelak akan menyentap urat leher kamu dan menyentak kamu dari tidur lena nan indah!"

Agaknya, di masa itu, baru kita tercari-cari, di mana saf para pejuang Ilahi. Di mana wira Salahuddin al-Ayyubi? Di mana Tariq Ibnu Ziyad? Di mana Hamzah Singa Allah? Di mana Muhammad Ibni Abdillah?

Namun kala itu, nasi telah menjadi bubur. Semua harapan telahpun hancur. Sesal kemudian, tiada apa lagi yang berguna. Jalan di hadapan hanya dua. Adakah bangun membina saf hadapan atau masih ingin terus dalam dakapan igau lena yang berpanjangan.

Ada akal, fikir. Ada mata, pandang. Ada telinga dengar. Jangan sampai termakan sumpah Summum Bukmun 'Umyum Fahum La Yarj'iuun...! (Mereka itu pekak tuli, bisu, buta dan tidak 'reti' bahasa! Keras, tegas. Bagai jarum tersusuk dalam segenap urat dan nadi. Teruslah wahai Bilal tua. Katakan yang benar, walaupun pahit. Umur kamu tidak lama sahaja yang tersisa. Apa digentar, Tuhan kan ada.

Kami memerlukan orang dewasa seperti dirimu. Di luar masjid, suara-suara bergema, Khaibar-Khaibar Ya Yahud, Jaisy Muhammad Saufa Ya'uud! (Ingat nasibmu dalam peristiwa Khaibar, wahai Yahudi. Tentera Muhammad pasti kan kembali!)

Rujukan Di sini
---------------
:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 17 April 2009

Monday, February 2, 2009

Tindakan Erdogan patut bangkit keberanian Arab

KEBERANIAN Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan patut mendapat pujian umat Islam bahkan masyarakat antarabangsa.

Tindakan Erdogan bertikam lidah dengan Presiden Israel dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland pada salah satu sesi dialog perdamaian diharap menjadi pencetus untuk lebih ramai pemimpin Arab dan dunia Islam bangkit mendedahkan kebiadapan Israel terhadap rakyat Palestin di Genting Gaza.

Biar apa pun tanggapan negatif blok Barat dan sekutu Israel terhadap Erdogan dalam insiden yang disaksikan di depan mata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon dan Setiausaha Agung Liga Arab Amr Moussa serta ratusan hadirin WEF, ia boleh dianggap bagaikan ledakan bom untuk mengejutkan dunia tentang sesuatu patut disuarakan tentang rejim Zionis di Gaza.

Turki adalah antara kelompok kecil negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Malah Erdogan selama ini turut memimpin usaha sebagai orang tengah dalam rundingan damai antara Israel dan Syria menjelang hari pertama serangan Zionis ke atas Gaza.

Mungkin 'emosi' Erdogan di Davos boleh menjejaskan kedudukan Turki sebagai perantara proses damai Asia Barat tetapi ia membantu mengukuhkan pengaruh serantaunya dalam jangka masa panjang.

Dunia akan mengingati Erdogan sebagai pemimpin Turki yang mengajar Presiden Israel. Walaupun, daripada sudut pandangan politik, tindakan Erdogan dianggap salah, mungkin juga bodoh. Tetapi seseorang perlu bersuara terhadap Israel.

Pencerobohan Zionis Israel di Gaza yang masih berterusan kini, biarpun diadakan gencatan senjata selepas 22 hari rakyat Palestin diserang, ia langsung tidak mendapat reaksi daripada pemimpin-pemimpin Arab.

Kematian lebih 1,300 orang Palestin dan kemusnahan harta benda termasuk rumah dan kemudahan awam tidak boleh 'dibayar' dengan sumbangan bantuan dalam bentuk wang.

Justeru memang wajar para pemimpin Arab dikritik kerana gagal menghentikan tindak-tanduk Zionis terhadap suku bangsa mereka sendiri.

Jika dunia Arab mahu menyanjungi Erdogan sebagai hero bangsa Arab, ia adalah wajar. Beliau sekurang-kurangnya berani menyuarakan apa yang patut disuarakan oleh pemimpin Arab sejak dulu lagi.

Masyarakat dunia terutama umat Islam telah lama mempersoalkan -- kenapa negara Arab yang mengelilingi Israel tidak dapat melakukan sesuatu yang bermakna terhadap rejim Zionis itu. Paling serius, kenapa pemimpin Arab tiada taring apabila berhadapan dengan kekejaman Israel terhadap Palestin.

Perkembangan itu dapat dikesan selepas beberapa negara Arab mengalami kekalahan berperang dengan Isreal. Malah diburukkan lagi dengan sikap hipokrit pemimpin mereka yang secara tersurat dan tersirat mengiktiraf rejim Zionis, sebaliknya tidak membantu perjuangan rakyat Palestin memerdekakan negara mereka.

Hal ini juga berlaku kerana pemimpin Arab terlampau mahu menjaga 'kuasa'. Sebab itu beberapa ketua kerajaan negara Arab tidak popular di kalangan rakyatnya mendapatkan sokongan Barat untuk mengekalkan kedudukan dan kuasa sejak sekian lama.

Sama ada Erdogan mahu menunjukkan tindakannya di Davos dalam bentuk yang lebih berani dengan memutus hubungan diplomatik dengan Israel, hanya beliau yang tahu. Tetapi Erdogan sudah memberi inspirasi betapa pemimpin umat Islam mesti berani dan tegas terhadap rejim Israel.

Pemimpin Islam di negara- negara Arab digesa bersatu dan tidak mudah tunduk kepada telunjuk Barat lagi. Kalau semua pemimpin Arab bersatu, Israel akan mengkaji tindakan mereka ke atas Palestin.

Rujuk di sini

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin