Showing posts with label Sejarah Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Sejarah Malaysia. Show all posts

Sunday, August 21, 2011

Ustaz Fadzil Noor (1937-2002) dalam kenangan

Dari Gudang Ilmu Ke Kancah Siasah

Malaysia semenjak zaman disentuh angin sejahtera Islam sejak ratusan tahun dahulu, tidak pernah gagal untuk menampilkan ulama’ dan pemikir Islam sehingga ada yang bermukim di Mekah untuk menyampaikan ilmu di Masjidil Haram. Ulama’ yang dilahirkan di Tanah Melayu ini bukan sahaja mampu mengajar kitab di masjid namun menjulang senjata untuk menentang penjajah kuffar. Antara ulama’ ini ialah Tuan Guru Haji Hassan Bin Munas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Ustaz Abu Bakar al Bakir dan ratusan ulama’ lain.

Dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, pentas siasah negara ini menyaksikan pertarungan ideologi yang pelbagai samada kebangsaan Melayu, sosialisme, Islam dan sebagainya. Pelbagai tokoh muncul dalam menyuarakan aspirasi perjuangan yang diperjuangkan, sebahagiannya mampu bertahan di pentas siasah dan ada yang tersungkur ditelan waktu. Salah seorang insan yang telah melakar nama dalam sejarah politik Islam negara ini ialah Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor.
Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini “Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama’ ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanpa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.

Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah ilahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di bangku menengah lagi.


Latar belakang keluarga

Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Takdir ilahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibubapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini telah memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam.

Darah ulama’ pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga menjadikan beliau pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama Allah.

Pendidikan

Memimpin masyarakat bukan sekadar menjadi insan yang mesra rakyat yang sekadar memenuhi jemputan kenduri kahwin tetapi mestilah dipakejkan dengan ilmu formal dan tidak formal. Almarhum merupakan seorang tokoh yang konsisten dalam menuntut ilmu, sentiasa menimba ilmu bagi menjadi pemimpin yang kredibel.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama’ iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962. Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu, beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanahair iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa dari kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Beliau bukan sahaja mendapatkan ilmu daripada dewan kuliah di Al-Azhar tetapi juga menggali mutiara ilmu daripada ulama’-ulama’ Mesir untuk memantapkan ilmu beliau sebagai bekalan dakwah untuk pulang menabur bakti di tanahair.


Perkahwinan

Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Setelah berkahwin, isterinya menemani almarhum belajar di Al-Azhar. Perkahwinan mereka yang sangat bahagia dalam kesibukan belajar dan berjuang telah membuahkan kurniaan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna ’Izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Sebahagian anak-anaknya juga terlibat dalam perjuangan Islam seperti Muna’izzah dan menantu beliau Sabki Yusuf.


Bakat Kepimpinan

Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
Perkhidmatan

Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978. Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan.

Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.

PAS di penghujung dekad 70an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihanraya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia.


Aktiviti Kemasyarakatan

Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah. Beliau juga pernah menganggotai Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS dimana 8000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.

Fadzil Nor telah memegang jawatan setiausaha penerangan pertubuhan itu dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang rujukan dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80an terutama selepas Anwar menyertai UMNO.

Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an. Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulama’-ulama’ untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan BN dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. Beberapa tokoh PUM juga kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

Beliau sangat rapat hubungannya dengan masyarakat dengan menghadiri majlis-majlis keraian, kenduri kendara, menziarahi orang sakit dan kematian. Jika tidak hadir beliau akan memaklumkan atau hadir ke majlis lebih awal daripada masa yang dijadualkan, pendek kata almarhum tidak akan mengecewakan undangan yang diterima. Beliau bergegas pulang dari sidang Parlimen semata-mata untuk meraikan sesuatu majlis yang diadakan oleh penduduk, sikap cakna dan mengambil berat kepada undangan masyarakat menyebabkan beliau sangat disayangi masyarakat.
Penglibatan dalam Politik

Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kecenderungan politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di negeri Kelantan (Kelantan semenjak pilihanraya 1959 sentiasa membuka pintu untuk calon PAS dari luar Kelantan). Jelapang padi ini kaya dengan sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti peristiwa Memali dan peristiwa Lubuk Merbau (1985).

Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah menyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983. PAS telah menghadapi transformasi kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan kepimpinan ulama’. Ustaz Fadzil adalah barisan ulama’ muda yang diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua di Malaysia.

Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989. Pembabitan awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. Beliau dilihat anak muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa menuntut di Mesir. Dalam pilihanraya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu Abdul Rahman, namun pilihanraya itu telah memperkenalkan almarhum kepada pengundi kawasan itu.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan Majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Haji Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414. Pada Pada Pilihan Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Allahyarham mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen).

Di DUN Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. Kemenangan ini cukup manis kerana DUN ini adalah berada di pinggir bandar yang menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk orang bukan Islam. DUN anak Bukit adalah DUN baru yang dipecahkan melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya dan tuah telah menyebelahi Ustaz Fadzil manakala Mohamad Sabu telah memenangi Parlimen Kuala Kedah. (Perlu diingat bahawa Mohd Sabu hanya menang kurang daripada seribu undi) maknanya Ustaz Fadzil telah mendapat banyak undi peribadi daripada luar kelompok PAS. Allahyarham juga berusaha keras agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim dimansuhkan , akta tanpa bicara itu telah memberangus lebih 4000 orang mangsa sejak diperkenalkan pada tahun 1960, al marhum cukup dekat dengan kesengsaraan mangsa-mangsa tahanan ISA tanpa mengira latarbelakang mereka, samada daripada kalangan ahli PAS atau pun tidak. Beliau sangat konsisten dalam menentang akta ini kerana akta ini telah menjaring ramai ahli-ahli PAS dan juga aktivis ABIM sebelumnya.

Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta, Allah SWT. Berbondong-bondong manusia menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqimah bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan tentangnya dihati setiap manusia yang berada dipelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh al marhum untuk merealisasikan kompleks pendidikan PAS Kedah. Manusia telah bertali arus mendatangi Muasasah Darul Ulum untuk menziarahi makam beliau yang sangat sederhana, tanpa binaan megah melainkan sentiasa didatangi pengunjung untuk menitip doa kepada mujahid yang telah mewakafkan kehidupannya untuk perjuangan Islam. Semasa saat-saat akhir untuk urusan pengebumian, langit tenang seolah turut berduka, ribuan mata merah berair kesedihan dengan tazkirah ringkas daripada Tuan Guru Mursyidul Am yang sarat dengan makna mendalam seumpama tazkirah Saidina Abu Bakar di hari kewafatan Rasulullah. Kematian adalah kepastian kepada sebuah perjalanan hidup, tinggal lagi bagaimana kita akan memberi makna kepada kehidupan itu.

Oleh: Riduan Mohamad Nor
(Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat)

Rujuk di sini

Saturday, August 13, 2011

Haji Mohamad Sabu dan hidupnya

Ketika masih di Tingkatan Lima, beliau pernah mengarang dan menyampaikan pidato yang agak luar biasa bagi seorang pelajar yang sebaya dengannya. Pidatonya mengenai ‘Diplomasi Ping Pong’ (iaitu mengenai pembuka hubungan diplomasi antara Amerika Syarikat dan China) menarik perhatian guru besarnya. “Suatu hari awak akan jadi ahli politik,” kata guru besar itu. Akhirnya, apabila Hj. Mohamad Sabu bertanding dalam Pilihanraya Umum 1982 di mana bekas guru besarnya itu kebetulan menjadi pegawai pilihanraya, beliau memberitahu Mohamad, “Tengok, betul dak apa yang saya kata dulu!”

Dalam politik, pegangan Hj. Mohamad adalah selaras dengan pemikiran pemimpin yang amat disanjunginya, Imam Khomeini. “Kebenaran (truth) lebih penting dari kemenangan (victory),” itulah yang terus dilaungkan dalam ceramah-ceramahnya. “Kalau mereka tuduh kita gila kuasa, kita mengaku: Ya, memang kita gila kuasa. Sebab, dengan kuasa kita boleh merubah keadaan negara kita yang dicengkam kezaliman. Tetapi yang lebih penting dari kuasa (power) ialah kebenaran (truth)”.

Di awal penglibatannya dengan gerakan Islam, pemikiran Hj. Mohamad banyak dibentuk oleh pemimpin-pemimpin dan pembimbing-pembimbing yang terpengaruh dengan Ikhwan Muslimin. Berikutan pengalamannya berinteraksi dengan beberapa tokoh Ikhwan, Hj. Mohamad meneruskan pencarian dalam membentuk pemikiran politiknya. Beliau membaca dan mengkaji hasil tulisan tokoh-tokoh seperti Imam Khomeini, Ayatullah Mutahhari, Ali Shariati, Kalim Siddiqui, Muhammad Al-Asi, Jalaluddin Rachmat dan banyak lagi tokoh yang lain-lain. Di antara kalangan tokoh-tokoh tempatan pula, pemikiran dan pandangan Syed Naquib Al-Attas dan Tan Sri Musa Hitam menarik perhatian beliau.

Kejayaan Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 banyak memberi inspirasi kepada pandangan pemikiran politik Hj. Mohamad. Antara pendirian yang semakin teguh di jiwanya hingga sekarang ialah sikap anti Amerika Syarikat, negara yang disifatkan oleh Imam Khomeini sebagai syaitan besar. Beliau menentang sebarang hubungan yang tidak sewajarnya dengan syaitan besar itu dan sanggup melepaskan apa sahaja bagi mempertahankan sikapnya itu. Beliau juga sering merungut apabila ada suara yang seolah-olah memberi kredit kepada syaitan besar itu.

Selain dari Revolusi Islam, perkembangan-perkembangan yang berlaku di Filipina dan Indonesia di hujung kediktatoran Marcos dan Suharto pula mengukuhkan keyakinan Hj.Mohamad bahawa kezaliman hanya boleh ditumpaskan oeleh kuasa rakyat (people’s power). Meskipun beliau menerima pilihanraya sebagai cara menumpaskan kezaliman, tetapi beliau tidak menolak kebangkitan rakyat untuk menghancurkan kezaliman jika semua saluran lain dinafikan.

Bagi Hj. Mohamad Sabu, tahun 1979 adalah tahun yang penuh kenangan baginya. Selain dari kejayaan Imam Khomeini memimpin Revolusi Islam yang kemudiannya merubah politik dunia dan memartabatkan semula kekuatan politik umat Islam, pada tahun yang sama juga beliau berumahtangga. Isterinya, Hajjah Normah Alwi, juga seorang aktivis PAS yang aktif. Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat dan juga pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan. Mereka dikurniakan empat orang cahaya mata. Dua orang perempuan dan dua orang lelaki.

Penglibatan awal Hj. Mohamad dalam gerakan Islam ialah dengan menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1975 selepas dipecat dari Institut Teknologi Mara (ITM) kerana penglibatannya dalam tunjuk perasaan menentang Akta Universiti. Pada tahun 1978, Hj. Mohamad menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Pada tahun 1981, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat.

Pada tahun 1982, ketika baru berumur 28 tahun, beliau meletakkan jawatannya di dalam sebuah syarikat swasta untuk bertanding dalam pilihanraya. Beliau menjadi calon PAS di Kepala Batas menentang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga di DUN Penanti. Pada tahun yang sama juga beliau meninggalkan ABIM sebagai memprotes penyertaan presidennya pada masa itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke dalam Umno.

Pada tahun 1983, Hj. Mohamad dilantik sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat hinggalah tahun 1985. Dalam pilihanraya 1986 pula, Hj. Mohamad bertanding menentang Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, yang dianggap oleh banyak pihak sebagai pertandingan “dua seteru politik yang sukar didamaikan” pada ketika itu.

Pada tahun 1989, beliau dipilih sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda PAS pusat hinggalah beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan itu pada tahun 1997. Beliau mula menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada tahun 1991. Semasa menjadi Naib Ketua Dewan PAS Pusat, beliau dihantar untuk bertanding di Nilam Puri dalam Pilihanraya Umum 1990 yang penuh bersejarah di mana PAS berjaya menerajui semula kerajaan negeri itu. Dalam pilihanraya itu, beliau mengalahkan Datuk Annuar Musa dengan majoriti hampir 8,000 undi, dan menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri pada masa itu.

Dalam Pilihanraya Umum 1995, beliau memenangi kerusi Parlimen Kubang Kerian dengan majoriti lebih 10,000 undi, antara majoriti terbesar di Kelantan pada masa itu.

Dalam Pilihanraya Umum 1999 pula, ketika masih menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Kerian, beliau menerima tawaran PAS Kedah khususnya Presidan PAS, Ustaz Fadzil Noor sendiri, untuk bertanding di Kuala Kedah. Beliau memenangi kerusi Kuala Kedah dengan majoriti 991 undi, dan menjadi Ahli Parlimen Kuala Kedah untuk terus menyumbang baktinya kepada masyarakat di sana pula.

Manakala dalam Pilihanraya Umum ke 11 , pada tahun 2004 setelah beliau menjadi Ahli Parlimen sebanyak 3 penggal, beliau kalah bertanding di kawasan Parlimen Kuala Kedah dengan kekalahan majoriti sebanyak 10,214 undi.

Tahun 2008 pula, di mana gelombang rakyat yang memenangkan Pakatan Rakyat (dalam gabungan PAS, PKR dan DAP) untuk memerintah di lima buah negeri, iaitu melalui Pilihanraya Umum ke 12 pada bulan Mac 2008 , Hj Mohamad telah mengalami kekalahan sekali lagi ketika bertanding di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, dengan kekalahan yang tipis sebanyak 628 undi sahaja.

Perjuangan Hj. Mohamad di dalam PAS menghadapi pelbagai cabaran. Antaranya, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1984 semasa beliau menjadi aktivis Dewan Pemuda PAS Pusat. Selepas ditahan selama 60 hari di Kuala Lumpur, beliau dibuang daerah ke Kuala Pilah pada September 1984 hinggalah September 1986 dengan pergerakan terhad selama dua tahun. Sebelum ditahan di bawah ISA, beliau pernah dikurung di dalam lokap selama dua minggu pada tahun 1975 kerana penglibatannya dalam tunjuk perasaan pelajar ITM menentang Akta Universiti.

Dalam tahun 1987 pula, iaitu dalam Operasi Lalang, Hj. Mohamad sekali lagi ditahan di bawah ISA (penahanan kali kedua). Beliau di kurung di Kamunting sehingga Januari 1990. Beliau ditahan bersama ramai anggota pembangkang dari PAS dan DAP di bawah Operasi Lalang. Semasa dalam tahanan beliau berkenalan dengan YAB Lim Guan Eng kini menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Bagi Mohamad Sabu ketegangan itu berpunca dari memarakkan api perkauman di antara MCA yang melibatkan Tan Sri Lee Kim Sai dan Pemuda UMNO yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak kini adalah Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Menteri Besar Selangor ketika itu berhubung isu tuntutan Timbalan Perdana Menteri yang dimainkan oleh MCA. Walaupun dibebaskan dari Kamunting, beliau terus dikenakan perintah tahanan daerah di Shah Alam hinggalah April 1990. Beliau selalu mengulas penahanannya di bawah Operasi Lalang itu. “Umno berkelahi dengan MCA, aku yang ditangkap,” kata beliau.

Setelah dilantik sebagai Ketua Lujnah Buruh dan Setinggan PAS, Hj. Mohamad mempertingkatkan lagi usahanya untuk membela nasib kaum buruh dan setinggan yang memang menjadi minat beliau. Antara lain, beliau pernah berusaha untuk mendapatkan pam air dan janakuasa elektrik untuk penduduk setinggan Kampung Chubadak di Kuala Lumpur setelah dikenakan tindakan zalim melalui pemotongan bekalan air dan elektrik untuk menghalau mereka. Dalam membela nasib setinggan, beliau sanggup bergaduh dengan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang mengambil sikap berlepas tangan dan memimpin rombongan setinggan untuk berhadapan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau juga berusaha membela nasib Orang Asli di Tapah Perak sehingga akhirnya bantuan untuk mereka termasuk pakaian sekolah anak-anak mereka diberikan semula. Pada beliau, kejayaan yang paling manis ialah penglibatannya sebagai salah seorang peneraju utama perhimpunan rakyat untuk menentang pembinaan Jerai International Park yang melibatkan kawasan kira-kira 4,000 hektar termasuk sawah para petani. Perhimpunan itu disertai kira-kira 100,000 rakyat dan akhirnya projek tersebut dibatalkan.

Manakala jawatan tertinggi di dalam di dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) , beliau telah menjadi Naib Presiden selama 2 penggal berturut-turut, iaitu Sessi 2005-2007 dan Sessi 2007-2009.

Sekarang ini juga, beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi & Mobilisasi (Penggerak Demokrasi) , beliau juga adalah antara salah seorang peneraju utama yang memainkan peranan dalam menggerakkan rakyat dalam himpunan BERSIH pada 10 November 2007 itu, di mana melebihi 100,000 orang hadir di sekitar tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Diperingkat antarabangsa, Hj. Mohamad pernah menyertai rombongan lapan Ahli Parlimen Islam dari seluruh dunia yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan, menemui Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ketika itu, Boutros Boutros Ghali. Beliau juga menyertai pelbagai seminar di peringkat antarabangsa termasuk Seminar Buruh di Pakistan, Seminar Mengenai Bosnia Herzegovina di London dan Seminar Gerakan Islam di Afrika Selatan. Beliau juga pernah menjadi tetamu dan bercakap di Radio 786 di Afrika Selatan. Beliau juga aktif memperjuangkan nasib umat Islam Palestin, Acheh, Pattani, Selatan Filipina, Kashmir dan lain-lain.

Hj.Mohamad juga seorang peminat seni yang aktif semasa di ITM. Beliau amat berminat dalam drama dan lakonan serta pernah menjadi Juara Pantun di ITM Jalan Othman pada tahun 1973.

Rujukan di sini

Saturday, May 8, 2010

Bawalah Politik Ke Masjid-Ustaz Nasruddin Tantawi


Bagaimana Mendirikan Siasah [berpolitik] di Masjid.

Sebagai “ Rumah Allah ” , masjid merupakan institusi terpenting dalam pembinaan ummah yang bertamaddun. Malah penubuhan Negara Islam oleh Baginda saw. di Madinah al Munawwarah menyaksikan bagaimana masjid dinobat sebagai mercu peradaban dan kedaulatan yang dibina.

Pembinaan masjid di Quba’ , Wadi Ranuna’ [1] dan di Yathrib ( Madinatun Nabi ) menjadi batu asas pembinaan tamaddun Islam unggul berpaksikan kedaulatan syariat dan ummah yang bermartabat.

Ianya ( masjid ) tidak dibina semata – mata untuk mendirikan solat , tetapi juga sebagai nokhtah mula keagungan ummat. Dari situlah nabi saw. menggerakkan jentera kerajaan dan mengatur strategi membangunkan ummah .


Masjid : Iktibar dari Seerah an Nabawiyyah

Syeikh Dr. Musthafa as Sibae’i menyebut di dalam kitabnya as Seeratun Nabawiyyah : Durus wa I’bar :

“ Memang tidak dapat disangkal lagi , bahawa masjid membawa risalah kemasyarakatan dan kerohanian yang agung nilainya terhadap kehidupan ummat Islam . Masjid lah yang menyatukan saf – saf ummat Islam , menyucikan jiwa mereka , menghidupkan hati dan aqal mereka , menyelesaikan masaalah yang dihadapi oleh mereka dan akhirnya menampilkan kekuatan jua hubungan erat mereka .

Sesungguhnya telah terbukti bahawa sejarah masjid di dalam Islam , menjadi markaz bagi tentera Islam berangkat ke medan untuk menakluki muka bumi dengan hidayah Allah swt .

Dari masjid jua terpancarnya sinaran cahaya dan hidayah buat ummat Islam dan lainnya malah masjidlah juga berkembangnya peradaban Islam . Bukan kah Abu Bakar , Umar , Uthman , A’li , Khalid , Saad , Abu U’baidah dan tokoh – tokoh seumpama mereka yang terdiri daripada pemimpin – pemimpin agung dalam sejarah Islami merupakan anak -anak murid di Madrasah al Muhammadiyyah yang berpusat di Masjid an Nabawi .

Antara keistemewaan yang lain , masjid pada setiap minggu berkumandang kalimah al haq menerusi seruan khatib yang menentang kemungkaran , memperjuangkan syariat , menyeru kearah kebaikan , menginsafkan mereka yang lalai , menyeru kearah kesatuan, membasmi kezaliman dan memerangi perbuatan yang melampaui batas .

Sesungguhnya kita telah menyaksikan bagaimana dulunya masjid – masjid menjadi markaz – markaz yang menyemarakkan gerakan anak watan menentang penjajah Perancis . Berpangkalan di masjidlah , tokoh – tokoh jihad menetang penjajah dan menentang zionisme .

Apabila kita menyaksikan kepincangan masjid hari ini dari fungsi dan peranannya yang hebat , maka tiada lain melainkan kesalahan sebahagian khatib yang terdiri daripada khatib yang hanya bertugas memburu elaun atau jahil lagi leka .

Alangkah beruntungnya , jika dalam keadaan seperti ini , lahir segolongan pendakwah yang tegas membawa kebenaran , bangkitnya ulama yang memperjuangkan syariat Allah . Mereka ikhlas kerana Allah dan Rasulnya saw. , mereka menasihati pemimpin dan ummat Islam seluruhnya .

Mengembalikan masjid sebagai tempat kegiatan masyarakat , mendidik tokoh – tokoh dan melahirkan pejuang – pejuang , mengislahkan kefasadan , memerangi mungkar dan membentuk masyarakat berasaskan taqwa dan redha Allah swt.”

Rujuk : Seerah an Nabawiyyah : Durus wa I’bar
Oleh Dr. Musthafa Sibae’I . Muka surat 74 – 75
Cetakan ke 9 oleh al maktab al islami ( 1986 ) Dimasyq


Masjid Terbelenggu.

Realiti hari ini bertambah parah apabila melihat nasib masjid dan pengurusannya yang kian terabai . Lebih malang apabila wujudnya fenomena terancang untuk membelenggu masjid agar ia tidak berfungsi sebagai markaazul ummah .

Siapa lagi yang lebih bejad daripada mereka yang menghalang rumah Allah ( masjid ) agar tidak diimarahkan dengan ilmu dan zikrullah . Lebih parah apabila mereka “ sampai hati ” meruntuhkan rumah Allah yang pastinya dibina di atas tanah waqaf milik Allah swt. Firman Allah swt :

و من أظام ممن منع مساجد الله أن يذكر فيها اسمه و سعى في خرابها أولئك من كان لهم أن يدخلوها إلا خآئفين لهم في الدنيا خزي و لهم في الأخرة عذاب عظيم


“ Siapa lagi yang terlebih zalim daripada orang yang menghalang masjid – masjid Allah bahawa disebut didalamnya namaNya dan berusaha merobohkannya ? Mereka tidak layak memasukinya kecuali dengan rasa takut ( kepada Allah ) . Bagi mereka kehinaan di dunia dan bagi mereka azab yang sangat dahsyat di akhirat .”

Surah al Baqarah . Ayat : 114

Terlalu banyak masjid dalam Negara kita hari ini hanya dijadikan tempat solat dan lebih melucukan bagaimana terdapat masjid yang hanya berfungsi sebagai tempat kunjungan pelancung selain daripada solat berjamaah yang sangat kecil kuantitinya berbanding saiz masjid tersebut.

Keghairahan mendirikan masjid yang tidak seimbang dengan keghairahan mengurus dan mengimarahkannya meletakkan situasi ini sebagaimana yang pernah dibimbangi oleh Rasulullah saw. dalam hadis baginda yang diriwayatkan dari Saidina Ali Karramallahuwajhah :

يُوشِكُ أنْ يأتيَ علَى النَّاسِ زَمانٌ لاَ يَبْقَى مِنَ اْلإسلامِ إلاَّ اسْمُهُ وَلاَ يَبْقَى مِنَ اْلقُرْآنِ إلاَّ رَسْمُهُ مَسَاجِدُهُمْ عَامِرَةٌ وَهِيَ خَرَابٌ مِنَ اْلهُدَى عُلَمَاؤهُمْ شَرُّ مَنْ تَحْتَ أَدِيْمِ السَّمَاءِ مِنْ عِنْدِهِمْ تَخْرُجُ اْلفِتْنَةُ وَفِيْهِمْ تَعُوْدُ

رواه البيهقي


Sudah hampir suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya dan tidak tinggal daripada al Quran itu kecuali hanya tulisannya . Masjid – masjid mereka tersergam indah tetapi ia kosong daripada hidayah . Ulama’ mereka adalah sejahat – jahat makhluk yang ada di bawah naungan langit . Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali .

Rujuk Kanzuul U’mal
M/surat 80, Juzuk 11
Cetakan Darul Kutub al I’lmiyyah Beirut


Pengalaman saya dikepung oleh polis yang lengkap bersama anjing , menyerbu masuk ke kawasan laman Masjid Peramu Kuantan sementara waktu itu saya sedang menyampaikan ceramah Maulidur Rasul saw , cukup menggambarkan bagaimana masjid dibelenggu .

Perlantikan ahli jawatan kuasa masjid dikalangan mereka yang tidak pernah menjejak kaki ke masjid semata – mata tidak mahu masjid itu diimarahkan dengan majlis ilmu antara bukti bahawa pembelengguan masjid sangat ketara .

Menghantar SB [2] untuk memantau aktiviti masjid atau surau bukan sahaja menakut – nakutkan masyarakat untuk menghidupkan aktiviti masjid dan surau tetapi juga bermaksud untuk memberi tekanan kepada penceramah dan guru agama yang mengajar agar tidak menyentuh soal penyelewengan dan mungkar yang berlaku dalam Negara.

Sedang kelab – kelab malam dan pusat – pusat hiburan yang menjadi tempat subur untuk bercambahnya maksiat dan jenayah tidak dilayan sedemikian rupa .

Pekeliling yang pernah dihantar kepada surau dan masjid di Lembang Klang agar tidak mengadakan tazkirah di bulan Ramadhan juga mempunyai maksud yang sama untuk mengekalkan pembelengguan tersebut.

Arahan agar khatib hanya dibenarkan membaca teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama meskipun khatib tersebut seorang yang diiktiraf ilmunya oleh universiti yang mu’taraf turut dilihat sebagai usaha menyempitkan fungsi surau dan masjid.

Sudahlah ruang dan peluang untuk bercakap Islam amat terhad , tiba – tiba masjid dan surau yang dianggap ruang yang paling kondusif untuk berbicara perkara agama turut dikekang , maka dimana lagi Islam ini boleh dijelaskan secara bebas dalam Negara ini ?

Pengurusan Masjid.

Selayaknya masjid diurus selia secara professional dan jujur bagi meletakkannya sebagai institusi penting dan suci dalam masyarakat .

Sangat malang apabila masjid bagaikan bangunan usang yang terbiar tanpa dipedulikan penyelenggaraannya sebagai sebuah tempat ibadah. Masing – masing melepaskan tanggungjawab kepada pihak yang lain dan akhirnya semua berlepas harap .

Sesetengahnya sangat berbangga dengan jumlah kutipan derma mingguan yang meningkat saban minggu dan dipaparkan di papan putih masjid berkenaan , sedang masjid tersebut sangat tidak terurus dengan sistem pengaliran air di kolam wudhu’ , kebersihan tandas yang sangat rendah dan menyedihkan , sistem pembesar suara yang uzur serta lemah dan pelbagai kelemahan yang ketara .

Kenapa tidak wang yang begitu banyak hasil sumbangan orang ramai dimanafaat sepenuhnya untuk meletakkan masjid dan surau sebagai sebuah institusi yang hebat dan menarik . Apa yang paling penting ialah masjid mesti menjadi tempat yang paling selesa dan tenang untuk ummat mengabdikan diri kepada Allah swt.

Imej tandas masjid sebagai tandas yang paling kotor sepatutnya tidak kedengaran lagi . Bukankah kebersihan adalah sebahagian daripada tanggungjawab utama setiap individu muslim ? Bukan sahaja bermaksud supaya masjid tidak dipandang rendah oleh masyarakat umum, tetapi juga untuk mencari redha Ilahi .

Peranan dan Fungsi Masjid.

Selayaknya masjid diimarahkan . Sebagaimana tiada nilai masjid yang tidak diurus , begitulah tiada erti dan gunanya masjid yang diperbesar dan diperbanyakkan tetapi sepi tanpa aktiviti .
Masjid juga mestilah dilihat sebagai mesra remaja dan mesra ummah seluruhnya.

Masjid tidak sepatutnya menghadkan aktiviti kepada solat berjamaah semata – mata , demikian juga tazkirah dan kupasan ilmu yang hambar dan tidak membawa ahli jamaahnya wujud dalam cabaran zaman mereka yang sebenarnya.

Sebaliknya masjid mestilah aktif menganjurkan pelbagai aktiviti yang mendekatkan masjid kepada mereka yang cuba menjauhkan dirinya daripada masjid. Malah aktiviti kemasyarakatan dan budaya mereka yang tidak bercanggah dengan Islam amatlah baik didekatkan kepada masjid .
Biarpun asalnya aktiviti itu bukan berbentuk ibadah namun apabila ia bertolak dari masjid dan surau , kita mengharapkan ia menjadi satu bentuk ibadah yang diredhai oleh Allah swt .

Tuisyen akademik juga boleh diadakan di masjid atau surau agar tidak sahaja ustaz dan pak lebai menguasai ruang legar masjid tersebut tetapi juga guru akademik dan murid – muridnya berhak ber“mesra” dengan masjid .

Saya berkeyakinan , jika semua pihak mengambil ruang dan bahagian mem“peranan”kan masjid seperti kaum ibu dengan aktiviti mereka , pelajar dengan aktiviti mereka dan ajk masjid dengan aktiviti mereka , masjid akan dilihat makmur , meriah , ceria dan menarik .

Pengalaman saya di Damsyik dan Tanta dapat melihat dari dekat bagaimana di sana terdapat masjid yang dilengkapi dengan maktabah ( perpustakaan ) untuk masyarakat merujuk pelbagai sumber ilmu dan Klinik yang beroperasi di masjid sepanjang hari dengan hanya ditutup pada waktu solat.

Keadaan itu tidak lagi meletakkan masjid dan surau sepi bersendirian dan akhirnya menjadi sasaran mat gian dan kaki lepak beroperasi dan mencuri . Malang ada masjid yang kehilangan besi keranda , tongkat khutbah dan set P.A system. Jawab mudahnya , kerana masjid tersebut sepi ditinggalkan oleh imam dan makmumnya.

Masjid sepatutnya tidak perlu berkunci dan berjaga , sudah cukup amalan iktikaf dan mengimarahkan masjid menjadikan masjid kawasan atau zon paling selamat dalam dunia .

Kalaupun keadaan memaksa demi memelihara barangan milik masjid daripada dicuri oleh penjenayah , maka saya syorkan agar sediakan kawasan berkunci untuk menyimpan barangan berharga milik masjid sementara ruang masjid terbuka untuk aktiviti umum mengabdikan diri kepada Allah swt.

Ataupun , sediakan ruangan khas yang tidak berkunci ( sebahagian dari masjid ) tersebut agar tidak menghalang aktiviti ummah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. terutama buat musafir lalu .

Pendekkata , sebagaimana pengurusan hotel ada kursus yang disediakan untuk meningkatkan prestasi pengurusan maka saya kira pengurusan masjid juga min baabil aula [ terlebih layak ] patut diadakan kursus untuk tujuan meningkatkan kesedaran dan keinsafan dikalangan ummah terhadap pengurusan masjid dan surau .

Berpolitik di Masjid.

Politik sebahagian daripada Islam yang telah dibawa oleh Nabi saw malah perjuangan baginda saw diwarnai oleh gerakkerja politik sehingga tertegaknya Negara Islam pertama di Madinah al Munawwarah . Pengurusan , pentadbiran dan pemerintahan Nabi saw juga berpusat di Masjid an Nabawi .

Masjid an Nabawi turut menjadi tempat Nabi saw mengajar ilmu politik kepada ummah agar mereka kekal menjadi ummah yang bertanggungjawab memelihara dan mentadbir negeri atau negara berdasarkan agama yang telah diwahyukan oleh Allah swt . sehingga lahir sebuah negera yang aman , maju , sejahtera dan mendapat keampunan daripada Allah swt .

Memisahkan Masjid daripada politik dan aktivitinya yang benar dan tulen mengikut ajaran Islam adalah satu percubaan untuk mensekularkan ummah dengan menjarakkan urusan politik daripada agama .

Tindakan memisahkan politik daripada masjid hanya menjadikan politik itu kotor kerana terpisah dari ruh agama . Sebetulnya inilah yang sangat diinginkan oleh ahli – ahli politik sekular agar politik mereka bebas dari pengaruh masjid yang mengingatkan mereka kepada syurga dan neraka serta dosa dan pahala . Tentunya politikus duniawi ini akan rimas dan lemas apabila politik mereka diganggu oleh ulama’ atau imam yang mengingatkan tentang dosa pahala dalam berpolitik lantaran politik mereka adalah membujur lalu melintang patah , dihulur aku sapu yang hilang aku tak kisah. Segala elemen negatif seperti politik kebencian dan fitnah yang terbentuk dari aksi politik duniawi dan sekular sewajar dihapuskan kerana politik sedemikian tidak memberi keuntungan kepada ummah dan negara . Justeru itu , masjid bagaikan “washing machine” untuk membersihkan politik dari segala elemen negatif tersebut .

Bawalah politik masuk ke dalam masjid nescaya politik itu akan menjadi tenang , murni dan terhindar dari sebarang fitnah dan kebencian sesama ummah. Bukankah masjid adalah tempat suci yang dilarang keras pengunjung membuat bising tidak tentu pasal apalagi melemparkan fitnah dan menghasut masyarakat agar saling benci membenci kerana masjid adalah simbol perpaduan dan kasih sayang .

Bertolak dari masjidlah , politik ummat Islam harus digerakkan untuk memerangi kemungkaran politik, kebathilan politik , kemaksiatan politik , penyelewengan politik dan penyalahgunaan kuasa politik kerana segala macam kemungkaran , kemaksiatan dan kebathilan itu adalah dosa dan noda yang mesti disucikan sebelum mati bettemu Allah swt.

Inilah bezanya politik Islam yang membawa ke akhirat . Berbanding kitaran politik sekular yang hanya berlegar di kaki dunia dan tidak pun sekali – kali mampu melepasi sempadannya.
Rujukan di sini
___________________________________________________________________________________________________________________
[1] Tempat mula – mula Nabi saw. mendirikan solat jumaat di Madinah .
( di Tengah – tengah Wadi Ranuna’ )
Rujuk : Sirah an Nabawiyyah Li Ibni Hisyam .
M/s 315 Juz. Pertama. Cetakan Dar Ibn Rejab . Mansourah

[2] Antara contohnya sebagaimana yang berlaku kepada Surau al Muhajirin Bandar Muadzam Shah. Kelihatan SB sering memantau aktiviti di surau berkenaan dan saya sendiri selaku salah seorang tenaga pengajar di surau tersebut pernah diadu ke Pejabat Agama kononnya saya mengajar ajaran salah

Friday, May 7, 2010

Lesen Judi Piala Dunia??

Saya mengucapkan syabas di atas keberanian kerajaan 1Malaysia dengan cadangan ideal mengeluarkan lesen pertaruhan halal sempena kehadiran World Cup dan juga Piala Thomas nanti.

Kita sebagai rakyat tidak harus hanya memandang serong terhadap tindak-tanduk kerajaan. Janganlah kita hanya tahu mengkritik tanpa mengambil kira pandangan dan faktor dari pelbagai sudut.

Memang benar bagai dikata, sekiranya kerajaan tidak mengeluarkan lesen yang halal untuk perjudian Piala Dunia, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan yang akhirnya menyebabkan kecacatan dalam pemerintahan negara.

Seperti sebelum ini, saya juga menyokong pemberian kondom percuma kepada remaja-remaja yang mahu mempraktikkan cara-cara menghasilkan zuriat, sebagai sumber pembelajaran dan sumber rujukan supaya gejala pembuangan bayi dapat dielakkan. Ini kerana sekiranya kondom tidak disediakan, perlakuan seks secara bebas pasti tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan jabatan agama.

Oleh demikian, dicadangkan juga dengan pemberian kondom tersebut, pakej seterusnya ialah menawarkan bilik hotel dengan kadar separuh bayaran, supaya gejala ini tidak berlaku di taman-taman bunga yang akhirnya akan mencacatkan pemandangan. Jika bilik hotel ini tidak disediakan, pasti taman bunga, rumah terbengkalai, panggung wayang, tangga-tangga apartment menjadi sarang melepaskan maksiat.

Justeru itu saya juga ingin mencadangkan agar lesen pelacuran juga diperkenalkan kerana aktiviti sosial seumpama ini tidak lagi dapat dibendung oleh pihak berkuasa. Contohnya yang berlaku di lorong Haji Taib, pusat-pusat karaoke dan rumah-rumah urut. Daripada membiarkan gejala ini berlaku secara haram, adalah lebih baik kerajaan menawarkan lesen pelacuran dengan cukai yang tinggi, lantas langkah anjakkan paradigma ini memberi pulangan terhadap kantung kewangan negara.

Pengeluaran lesen pelacuran halal ini juga akan membuka ruang kepada pelancung dari negara china untuk berkerjaya dengan lebih profesional kerana selama ini mereka kerap mengambil kesempatan di atas kapasiti pas lawatan sementara. Dengan kebenaran ini, ia memberi ruang kepada warga tempatan yang melalui kesempitan hidup agar mencuba nasib sebagai pelacur berlesen. Tidak kurang juga kekosongan jawatan sebagai bapak ayam berlesen.

Pihak kerajaan 1Malaysia memang prihatin keperluan semasa kerana Islam 1Malaysia itu adalah Islam yang mengikuti peredaran zaman. Kita sebagai rakyat yang bijak tidak harus hanya tahu memberi kritikan lantang semata-mata.

Tanpa kerajaan 1Malaysia, sudah pasti negara ini kucar-kacir dan berada di dalam kegelapan zaman. Kita akan ketinggalan arus sekiranya tidak menyokong kerajaan 1Malaysia kerana tanpa 1Malaysia, maka tiadalah jalan raya, tiadalah hospital, tiadalah sekolah, tiadalah empangan, tiadalah kapal selam yang tidak boleh menyelam, tiadalah pili air, tiadalah menara berkembar, tiadalah pusat judi 4 nombor ekor, tiadalah proton sagat, tiadalah litar F1, tiadalah masjid kristal berupa vincent tan, tiadalah macam-macam lagi dan mungkin juga, tiadalah agama...

Revolusi ini menuntut setiap nafas yang dihirup itu dibayar dengan keazaman menegakkan keadilan !!

Edyes - 6 Mei 2010 - 10.41pm

Saturday, August 8, 2009

Katakan TIDAK pada ISA-Siri 2

Evolusi ISA Amerika - ISA Malaysia

SEMEMANGNYA tidak dapat dinafikan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah wujud hampir separuh abad lamanya, memerlukan kajian semula supaya sesuai dengan tuntutan dan kehendak semasa.

Sukar juga untuk mempertikaikan bahawa salah satu sebab utama mengapa Malaysia jarang menghadapi dugaan yang kritikal yang mampu mengugat kestabilan negara adalah kerana wujudnya undang-undang seperti ISA.

Penggunaan secara berhemah dan bertanggungjawab beberapa peruntukkan yang terkandung dalam ISA yang sesetengah pihak menggelarnya sebagai sudah lapuk dan tidak relevan, namun dapat membantu Malaysia mengekalkan keharmonian bagi komposisi rakyat berbilang kaum yang dianggap begitu unik sekali.

Kini adalah masa terbaik untuk mengkaji semula ISA bukan kerana bantahan jalanan Sabtu minggu lalu tetapi kerana rakyat yang memahami keperluan undang-undang seperti ISA, mahukan sesuatu yang mengikut peredaran semasa.

Harapan rakyat yang mahukan kaedah pencegahan yang lebih relevan dapat disimpulkan dalam komen yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas mengenai peristiwa demonstrasi tempoh hari.

"Saya dah kata lebih awal lagi terutamanya ISA itu, kita sedang membuat kajian semula, kedua kita sedang mendapat maklumat timbal balas daripada masyarakat dan kumpulan tertentu. Jadi demonstrasi ini tak perlu kerana demonstrasi ini hanya menimbulkan kesusahan kepada warga kota," kata beliau.

Satu perkara yang perlu difahami oleh mereka yang menentang kewujudan ISA adalah tidak kira bagi negara yang dikatakan mengamalkan demokrasi tulen seperti Amerika Syarikat (AS) atau negara yang diperintah oleh diktator seperti Myanmar, peruntukan pencegahan ala ISA masih diperlukan.
Indonesia umpamanya yang dikatakan tidak mempunyai peruntukkan undang-undang pencegahan yang ketat, menghadapi masalah strategi organisasi keselamatan negara tersebut untuk mengekang aktiviti melampau yang menjurus kepada pembabitan berlakunya peristiwa keganasan.

Adalah begitu menarik untuk membuat perbandingan evolusi undang-undang pencegahan ISA di antara Malaysia dan AS kerana ia mempunyai banyak persamaan yang selari. Cuma yang berbeza adalah ISA AS diolah mengikut kehendak semasa, sementara ISA Malaysia diguna pakai untuk keadaan yang berbeza tanpa memberi penjenamaan yang baru.

ISA Malaysia mula digunakan pada tahun 1960-an yang mempunyai satu tujuan iaitu untuk mengekang ancaman komunis pada ketika itu. Peruntukkan pencegahan yang terkandung dalam ISA dikatakan begitu efektif kerana ia telah mampu mengekalkan kestabilan negara yang baru merdeka walaupun sedang menghadapi ancaman bersenjata komunis.

Begitu juga dengan AS, ISA Amerika atau lebih dikenali sebagai Akta McCarran mula diperkenalkan pada tahun 1950. Akta tersebut walaupun diveto oleh Presiden AS pada ketika itu Harry Truman, tetapi telah diluluskan oleh Kongres AS dengan undi majoriti 90 peratus menyokong.

Seperti juga ISA Malaysia, ISA Amerika diperkenalkan untuk mengekang ancaman komunis yang dikatakan mampu mengugat kestabilan pentadbiran AS. Cuma yang berbeza adalah jika aktiviti komunis Malaysia melibatkan ancaman bersenjata, ancaman komunis Amerika hanya melibatkan ancaman ideologi.

Untuk memperkuatkan hujah ISA Amerika ini ancaman ideologi komunis dikaitkan dengan aktiviti pengintipan, sabotaj dan pengkhianat yang memberi peruntukkan kepada pihak keselamatan AS untuk menahan seseorang tanpa bicara.

ISA Amerika begitu aktif digunakan pada peringkat awal ia diperkenalkan untuk memberi tekanan kepada mereka yang disyaki mempunyai fahaman ideologi komunis.

Pada tahun 1977, Jawatankuasa Senat terhadap ISA dibubarkan bersama-sama dengan ISA Amerika yang dikatakan sudah tidak relevan mengikut kehendak semasa.

Tetapi AS tidak membubarkan seratus peratus perundangan pencegahan mereka kerana perundangan bentuk baru diperkenalkan sesuai dengan ancaman yang dihadapi ketika itu.

Akta Perisikan Pengintipan Asing (FISA) diperkenalkan pada tahun 1978 yang mempunyai objektif untuk mengekang aktiviti perisikan yang boleh memudaratkan keselamatan AS. Tiada bezanya ISA Amerika 1950 dan FISA 1978 kerana kedua-duanya adalah undang-undang pencegahan aktiviti yang boleh memudaratkan keselamatan AS.

Undang-undang pencegahan AS boleh dikatakan kerap diubah untuk mengikut kehendak semasa kerana pada tahun 2007 Akta Melindungi Amerika (PAA) diperkenalkan untuk memberi kuasa tambahan kepada FISA sebagai menghadapi ancaman pengganas ekoran daripada peristiwa 11 September 2001.

AS bukan sahaja mempunyai FISA dan PAA malah memperkenalkan Akta Patriot 2001 sebagai undang-undang pencegahan yang ditujukan khas untuk mengekang ancaman pengganas terhadap AS.

Cuma yang berbeza jika FISA dan PAA digunakan khas untuk ancaman dari luar, Akta Patriot pula diolah khas untuk mengekang ancaman dalam negeri dan perlu diingatkan akta tersebut telah banyak digunakan untuk menahan tanpa bicara rakyat Amerika sendiri.

Mungkin Malaysia agak alpa menambah baik ISA sehinggakan menimbulkan persepsi bahawa peruntukkan tersebut amat kejam dan tidak berperi kemanusiaan. Tetapi hakikatnya adalah ISA Malaysia tiada bezanya dengan ISA Amerika, FISA, PAA atau Akta Patriot yang dimiliki oleh AS.

Memang benar apa yang dimiliki oleh AS tidak semesti semuanya betul, tetapi tidak dapat ditolak bahawa undang-undang pencegahan adalah perlu lebih-lebih lagi untuk negara seperti Malaysia yang bukan sahaja menghadapi ancaman pengganas, tetapi sentiasa berhadapan dengan isu sensitif yang menyentuh bangsa dan agama rakyatnya.

PENULIS ialah Geo-Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
----------------------------------------
- Rujukan di sini
- Saya dengan penuh kesedaran mengatakan TIDAK pada ISA..

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 8 Ogos 2009

Saturday, February 7, 2009

Patik di Dangau.. Tuanku di Istana

Ampun tuanku, sembah patik harapkan diampun. Ampun tuanku kerana patik tidak biasa menyusun patah-patah bahasa istana untuk diucapkan kepada tuanku. Ampunkan patik kerana meluahkan isi hati patik secara maya. Ini kerana patik tidak mungkin berpeluang mengadap tuanku di istana. Patik hanya mampu melihat dari jauh akan kehebatan istana tuanku. Begitu tersergam indah berbanding dengan dangau patik di hujung kampung.

Tuanku, izinkan patik meluahkan rasa sayu dan rasa hiba yang teramat sangat perihal negeri ini pada hari ini. Perihal akan ketentuan yang tuanku telah putuskan. Perihal yang tuanku putuskan atas bicara tuanku. Patik tergamam lesu letih lemah longlai dengan keputusan tuanku. Dan sebentar tadi patik maghrib dan isyak bersama bayangan keputusan tuanku. Patik sayu dan menangis di sejadah Allah. Patik yang begitu sukar mengalirkan air mata boleh menangis kerana keputusan tuanku petang tadi. Patik tidak menyangka begitu sekali keputusan tuanku.

Tuanku, patik teringat zaman sekolah. Cikgu patik semasa mengajar pernah memberitahu bahawa semua rakyat yang berusia atas 21 tahun layak mendapat kuasa menentukan sesebuah kerajaan pusat atau negeri melalui undinya dalam pilihanraya. Rakyat lebih berkuasa daripada pemimpin pada waktu itu. Pemimpin yang menang majoriti akan diistiharkan sebagai wakil rakyat. Kumpulan majoriti wakil rakyat ini akan memilih seseorang di kalangan mereka untuk dilantik sebagai Menteri Besar. Apabila seseorang Menteri Besar telah dilantik secara sah oleh istana, maka tempoh jawatannya hanya akan berakhir jikalau dia meninggal dunia, meletakkan jawatan, kalah dalam usul undi tidak percaya di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri ataupun setelah tuanku memperkenankan pembubaran DUN. Cikgu patik juga memberitahu bahawa budi bicara sultan hanya boleh digunakan apabila terdapat sebarang keraguan yang tidak boleh diselesaikan melalui peruntukan undang-undang yang sedia ada. Jikalau peruntukan undang-undang itu telah sedia ada, maka undang-undang itu hendaklah diguna pakai. Itulah yang dimaksudkan dengan Sistem Pemerintahan Demokrasi & Raja Berperlembagaan.

Tuanku, setelah patik mendapat perkhabaran akan keputusan tuanku ini, patik menung, patik murung. Cikgu patik mengajar tidak betul. Cikgu patik dangkal ilmunya. Cikgu patik telah membohongi patik dan rakan-rakan patik. Patik dan rakan-rakan patik telah memanjangkan pembohongan cikgu patik ini kepada marhaen di maya ini. Patik malu kerana telah berbohong akan maksud Raja Berpelembagaan itu. Cikgu patik tidak layak menjadi cikgu. Sepatutnya cikgu patik mesti mengajar dan memberitahu patik bahawa sultan berkuasa mutlak menentukan nasib hidup rakyat di negeri ini.

Tuanku, di hati nurani patik terfikir kenapa tuanku tidak izinkan pembubaran DUN seperti yang dipohon oleh memanda tuanku. Jikalau pembubaran DUN boleh disamakan dengan membuang masa atau satu pembaziran, apakah jaminan kerajaan yang mengganti ini akan stabil atau semakin tidak dihormati oleh majoriti rakyat tuanku. Jikalau tuanku berat hati untuk membubarkan DUN Perak, tuanku boleh mengistiharkan kekosongan di tiga DUN Bebas. Ini tentu adil untuk kedua-dua pihak iaitu BN dan PR untuk dihakimi kembali oleh rakyat. Jikalau BN menang, PR akan menghormati kemenangan itu.

Tuanku, keputusan tuanku hari ini seolah-olah memperlihatkan bahawa tuanku lebih menyebelahi BN. Kasihan PR seolah-olah dilihat sebagai rakyat kelas kedua. Tolonglah tuanku. Patik merayu kepada tuanku sementara masa masih ada lagi untuk tuanku mengubah keputusan menangguhkan dahulu perlantikan Menteri Besar baru. Sekiranya tuanku tidak berkenan akan exco bukan Melayu yang lebih ramai bilangannya daripada Melayu, ia boleh diperbetulkan semula. Patik yakin PR akan terus menjunjung kedaulatan tuanku.

Ampunkan patik tuanku. Patik tidak beradab kepada tuanku. Patik sekadar meluahkan isi hati sedih dan kecewa yang entah bila akan kembali ceria.

Patik memohon mengundur diri. Ampun tuanku. Daulat tuanku.
:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 7 Februari 2009

Sunday, January 25, 2009

Seorang Hussein jadi Presiden AS

DALAM sejarah moden, empat negara telah dipimpin oleh seorang yang bernama Hussein. Malaysia pernah dipimpin oleh Allahyarham Tun Hussein Onn. Sementara Jordan pula pernah dipimpin oleh Almarhum Almalik Hussein. Tetapi tentunya Hussein paling terkenal ialah Saddam Hussein yang menyebabkan Iraq ditawan oleh Amerika Syarikat.

Penaklukan Iraq oleh George Walker Bush membuatkan orang Amerika juga marah. Maka antara perkara itulah yang memungkinkan rakyat Amerika memilih Barack Hussein Obama. Beliau ialah Hussein keempat dan terbaharu yang memerintah sebuah negara moden ekoran pengangkatan sumpah beliau pada 20 Januari lalu. Tentu nama Hussein yang ada padanya tidak akan dibesar-besarkan oleh media Barat kerana bukan saja ia merupakan nama tengah di mana di Amerika ia sering tidak disebut tetapi namanya yang berasal Islam itu hanya menimbulkan rasa tidak wajar oleh rakyat Amerika.

Maka ketika semua stesyen televisyen hanya menyebut nama Barack Obama, rangkaian Al-Jazeera terang-terang memaparkan namanya sebagai Barack Hussein Obama. Begitulah ironi hidup. Setelah menumbangkan seorang Presiden bernama Hussein di Iraq, kini Amerika memperoleh Presiden bernama Hussein.

Malangnya sebelum Obama mengangkat sumpah, Israel menyerang Gaza dan membunuh lebih 1,000 orang Palestin. Pada hari Obama mengangkat sumpah, Israel mengundurkan semua tenteranya dari Gaza. Adakah ini merupakan perancangannya untuk menghancurkan Gaza pada hari-hari akhir pemerintahan Bush? Kemudian serta-merta menghentikan serangan ke atas Gaza apabila Amerika memperoleh Presiden baru. Adakah perkara ini semuanya kebetulan?

Dan pada keesokan harinya juga mungkin kebetulan TV2 pada sebelah malamnya menyiarkan filem The Independence Day, sebuah filem fiksyen sains Hollywood yang sarat dengan mesej patriotisme Amerika. Tentu dalam keadaan banyak umat Islam yang sedang memboikot barangan Israel dan Amerika serta berasa benci terhadap kedua-dua negara, penayangan filem ini menimbulkan rasa serba pelik.

Independence Day dibikin pada tahun 1996. Ia menceritakan bagaimana makhluk asing menakluk planet bumi tetapi berjaya dikalahkan pada 24 Julai iaitu tarikh hari kemerdekaan Amerika. Maka dengan kemenangan itu, 24 Julai turut dihebahkan sebagai hari kemerdekaan bumi. Tidakkah ia mengandungi mesej bahawa Amerika yang menakluk dunia?

Dalam filem itu, kota-kota Amerika diserang teruk oleh kapal angkasa makhluk asing. New York, Washington dan Los Angeles musnah kerana serangan udara makhluk asing yang menggunakan bantuan satelit milik manusia. Maka dibicarakan betapa makhluk asing menggunakan peralatan milik Amerika untuk memusnahkannya.

Pada tahun 1996, Pusat Dagangan Dunia (WTC) belum diserang dan runtuh lagi. Maka dapat dilihat tersergam dua menara itu dalam filem tersebut. Tetapi kapal angkasa makhluk asing memusnahkan bandar-bandar itu termasuk White House. Pada tahun itu tentunya tidak ada sesiapa boleh sangka akan berlaku Peristiwa 11 September pada tahun 2001 di mana WTC runtuh apabila dirempuh oleh kapal terbang penumpang Amerika. Pengganas menggunakan peralatan Amerika untuk memusnahkan negara itu, selain dari WTC, ia juga mensasarkan Pentagon dan White House tetapi gagal.

Namun begitu, melihat filem Independence Day itu, runtuhan yang dilihat daripada bandar New York dan Los Angeles yang diserang oleh makhluk asing mengingatkan para penonton betapa ada persamaan gambaran antaranya dengan kemusnahan Gaza akibat serangan Israel. Bagi rakyat Palestin di Gaza, tentera Israel merupakan makhluk asing yang mahu memusnahkan kehidupan. Dalam cerita itu, Presiden Amerika adalah bekas juruterbang tentera yang cenderung untuk berperang. Tetapi ia memaparkan betapa kejayaan mengalahkan makhluk asing dapat dilakukan hasil daripada kecerdikan buah fikiran seorang penganut Yahudi. Maka idea yang merupakan kunci kemenangan manusia mengalahkan makhluk asing itu pula dilakukan oleh dua wira Amerika, seorang Yahudi dan seorang kulit hitam dilakonkan oleh aktor Will Smith sebagai ketua juruterbangnya. Mungkinkah ia menggambarkan suatu era akan datang di mana pemimpin Amerika yang berkulit hitam bekerjasama dengan pihak Yahudi untuk menentang makhluk asing. Maka adalah kebetulan bahawa tahun 2009 menyaksikan kejayaan Obama sebagai Presiden Amerika dapat dijayakan dengan sokongan lobi Yahudi.

Selain itu, dalam filem Independence Day, tentera bukan Amerika yang membantu dipaparkan datang dari Iraq dan Israel. Ia ditunjukkan melalui bendera mereka di mana tentera kedua-dua negara itu bekerjasama menentang makhluk asing di bawah pimpinan Amerika. Paparan itu merupakan satu ironi kerana ia dibikin lama jauh sebelum Iraq diserang dan ditawan Amerika. Perang Iraq itu berlangsung mulai tahun 2003 dan banyak penganalisis melihat antara sebab ia dilakukan adalah untuk menyelamatkan Israel. Kini Iraq seperti juga Israel adalah sekutu Amerika, suatu yang telah digambarkan oleh filem tahun 1996 itu.

Sememangnya Hollywood gemar mengeluarkan filem bencana dan kemusnahan di mana Amerika digambarkan sebagai sebuah negara baik yang sentiasa diancam. Maka seringkali gambaran pemusnahan ditunjukkan baik melalui bencana alam semula jadi mahupun serangan ketenteraan di pihak luar. Sedangkan pada hakikatnya, Amerika banyak melancarkan serangan terhadap negara-negara lain serta merestui Israel melakukannya terhadap jiran-jirannya.

Tuesday, August 12, 2008

Gambar Hari Ini : Demo bantah Majlis Peguam

Suasana di luar bangunan Majlis Peguam, Kuala Lumpur

Kumpulan berdemonstrasi berucap di luar bangunan Majlis Peguam, Kuala Lumpur pagi tadi dengan pasukan FRU mengawal keselamatan.

Shahril Aziz berang dengan Majlis Peguam

Zulkifli Nordin turut serta dalam demonstrasi tersebut dan selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Peguam.

Kira-kira lebih 300 orang yang sertai demonstrasi tersebutdi luar Majlis Peguam

Barisan panel forum.

Prof. Mehrun Siraj dan peguam Sulaiman Abdullah.

Suasana di luar bangunan Majlis Peguam, Kuala Lumpur pagi tadi.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk menimbangkan sama ada akan mengambil tindakan, termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan terhadap Majlis Peguam kerana menganjurkan forum Memeluk Islam sehingga menimbulkan kekecohan. "Serah pada Kementerian Dalam Negeri untuk menimbang kaji semua yang berlaku. Jika ada bukti kukuh, KDN akan tentukan tindakannya," katanya ketika ditanya desakan pelbagai pihak yang mahukan kerajaan menggunakan ISA dan akta itu terhadap Majlis Peguam. Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Ekonomi Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam, beliau berharap tindakan menganjurkan forum seperti itu tidak berulang lagi pada masa hadapan.


Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob. "Isu berkaitan agama adalah isu sensitif. Perkara dah termaktub.... perkara tak perlu dibincangkan, tak perlu bincang," katanya. Beliau berkata, forum terbuka seumpama itu lebih elok tidak diadakan daripada diadakan.

Sabtu lalu, Majlis Peguam mengadakan forum itu di ibu negara dan mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, termasuk Menteri Kabinet kerana menyentuh sentimen kaum, agama serta Perlembagaan. Abdullah berkata, adalah penting bagi semua pihak untuk memahami keadaan itu dan mengelak daripada keadaan itu berulang. Mengulas mengenai perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan lepas meminta Umno membayar RM218 juta kepada syarikat Elegant Advisory bagi pembekalan peralatan bagi Pilihan Raya Umum 2004, Abdullah yang juga Presiden Umno berkata, parti akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

- Sedutan dari MStar (Gambar) dan juga Berita Harian ( Berita)
-------------------------------------------------------------------------------------------------
:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 12 Ogos

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin