Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Sunday, October 23, 2011

Kisah ahli politik bertudung di parlimen Denmark

Pada 3 Oktober lalu Denmark mendapat perdana menteri wanita pertama apabila Helle Thorning-Schmidt dari Parti Demokrat Sosial menubuhkan kerajaan setelah mengalahkan Parti Liberal.

Penubuhan kerajaannya itu menamatkan pentadbiran Parti Liberal yang membawa suara kurang senang terhadap pendatang orang Islam.

Keupayaan Thorning-Schmidt menubuhkan kerajaan walaupun dari segi kedudukan bilangan kerusi adalah kedua berbanding Parti Liberal terletak pada sokongan dari Parti Rakyat Sosialis, Parti Liberal Sosialis dan Perikatan Merah-Hijau.

Apa yang disebut dengan merah dan hijau itu adalah gabungan fahaman sosialisme dan perjuangan alam sekitar.

Seorang tokoh kontroversi Perikatan Merah-Hijau ialah wanita bertudung, Asmaa Abdol Hamid.

Asmaa ialah seorang pekerja sosial dan ahli politik yang tinggal di Odense, Denmark.

Asmaa lahir di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 22 November tahun 1981. Ibu bapanya adalah orang Palestin.


Bapanya membesar di kem pelarian Lebanon. Ketika mula Israel ditubuhkan pada tahun 1940-an di atas tanah orang Palestin, maka banyaklah menjadi pelarian dan mendapatkan perlindungan di Tebing Barat yang ketika itu milik Jordan.

Pada tahun 1970-an, Yasser Arafat menubuhkan Fatah di situ. Oleh kerana serangannya ke atas Israel dari wilayah Jordan, maka Amman mendapat tekanan daripada rejim Tel Aviv untuk menghalau Arafat, Fatah dan kumpulan gerila Palestin lain daripada Tebing Barat.

Arafat yang kemudian menggabungkan kumpulan-kumpulan gerila Palestin di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) memindahkan pangkalannya dari Tebing Barat ke Beirut, Lebanon.

Turut sama dengan perpindahan ini ialah beribu-ribu pelarian Palestin yang terpaksa tinggal di kem pelarian.


Dari wilayah Lebanon ini, PLO meneruskan serangan ke atas Israel. Akhirnya Israel menyerang dan menduduki Lebanon Selatan pada tahun 1980-an.

Ketika itulah berlaku tragedi kem Shabra dan Shatilla yang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Kristian Maronit Lebanon ke atas pelarian Palestin di bawah restu tentera Israel.

Pada tahun-tahun inilah keluarga ibu Asmaa yang juga tinggal di Lebanon berpindah ke Arab Saudi untuk beberapa tahun.

Pada tahun-tahun 80-an, ibu bapanya berpindah ke UAE. Oleh kerana gangguan daripada polis tempatan, mereka menghubungi agensi bantuan Denmark, Dansk Flygtningehjaelp pada pertengahan tahun 1980-an untuk mendapatkan perlindungan.

Mereka mendapat perlindungan politik di Denmark dan tinggal di Genner, Jutland Selatan.

Asmaa mempunyai tujuh orang adik beradik dan keluarganya berpegang teguh pada agama Islam, maksudnya melakukan amal ibadat dan berusaha memenuhi tuntutan agama Islam.

Sebab itulah Asmaa memakai tudung dan enggan bersalaman dengan lelaki.

Ketika dia berusia 14 tahun, keluarganya berpindah ke Rodekro dan pada tahun 1998, mereka menetap di Vollsmore, Odense hanya kerana untuk mendapatkan peluang lebih besar dalam pendidikan tinggi.

ada tahun 2004, dia memperoleh ijazah dalam bidang bimbingan sosial dari Kolej Universiti Odense di Lillebaelt dan bekerja sebagai penyelaras keluarga di Roskilde. Asmaa juga menubuhkan sebuah kelab untuk orang perempuan. Kini dia masih bekerja di Vollsmore.

Asmaa berninat dalam kegiatan politik dan sejak sekolah, dia menyertai Pemuda Demokratik Sosial Denmark, sebuah badan sosialis demokrat bagi anak-anak muda.

Pada tahun 2005, Asmaa dilantik sebagai ahli majlis bandar raya Odense bagi pihak Perikatan Merah-Hijau.

Parti ini ditubuhkan pada tahun 1989 ekoran penggabungan parti Sosialis Kiri, Parti Komunis Denmark dan Parti Pekerja Sosialis.

Justeru dia menjadi wanita pertama yang memakai tudung menghadiri Majlis Bandar Raya Denmark.

"Memakai tudung tidak bererti saya ditindas atau ditekan. Nilai-nilai yang saya hayati ialah Islam, bukannya Arab. Adalah penting untuk membuat perbezaan antara agama dan budaya.

"Dalam banyak hal, cara pemikiran Arab mendiskriminasi wanita. Walaupun saya seorang Arab, saya tidak membuat pilihan menurut asas budaya, tetapi mengikut agama saya," kata Asmaa.



Ketika menjadi ahli majlis bandar raya itu juga, Asmaa menarik perhatian media apabila beliau enggan bersalaman dengan seorang rakan lelaki daripada partinya. Sebaliknya Asmaa meletakkan tangan pada dadanya ketika mengucap salam pada lelaki.

Asmaa juga menjadi jurucakap bagi sebelas pertubuhan Islam Denmark yang mengajukan aduan terhadap akhbar Jyllands-Posten kerana menyiarkan kartun menghina Nabi Muhammad.

Pada tahun 2006, Asmaa menjadi pengacara undangan di televisyen Denmark dalam rancangan Adam og Asmaa. Acara itu menimbulkan perdebatan di kalangan pertubuhan-pertubuhan wanita di negara itu kerana buat pertama kalinya seorang pengacara di televisyen negara itu memakai tudung.

Pada tahun 2007, Asmaa mengumumkan rancangannya untuk bertanding bagi kerusi parlimen Denmark, Folkerting untuk sebuah kerusi bagi Copenhagen bagi mewakili parti Perikatan Merah-Hijau dengan menyifatkan dirinya sebagai seorang Islam dan sosialis.

Pencalonannya menimbulkan perdebatan di Denmark kerana Asmaa menyatakan bahawa dia akan tetap bertudung. untuk menghadiri sidang Parlimen.

Beberapa imam di negara itu menyokongnya sementara ada pihak di kalangan kumpulan Islam seperti Hizb-ut-Tahrir menentangnya.

Pencalonannya menggegarkan parti Perikatan Merah-Hijau. Akibat daripada itu, tokoh-tokoh kiri terkemuka menarik diri daripada menyokong parti itu.

Suatu rangkaian anti-agama ditubuhkan dalam parti itu untuk memperjuangkan supaya Perikatan Merah-Hijau menjadi parti atheis dengan berasaskan materialis-Marxis.

Akibat pencalonan Asmaa, maka dikatakan undi bagi partinya merosot.

Walaupun Asmaa gagal dipilih tetapi dia muncul di Parlimen sebagai ahli politik pengganti kepada rakan separtinya, Johanne Schmidt-Nielsen.

Mengenai kehadirannya di Parlimen, pemimpin Parti Rakyat Denmark, Pia Kjaersgaard memberi amaran akan menghalaunya keluar jika Asmaa menyebut Bismillah ketika mula menyampaikan ucapannya.

Parti ini mempertahankan sistem beraja dan keunggulan gereja Denmark.

Rujukan di sini

Thursday, November 11, 2010

Sajak : Dua Tahun tak bersuara


Dua Tahun tak bersuara,

Sekali bersuara terus tercengang.


Dua Tahun tak bersuara,

Sekali bersuara terus terkesima.


Dua Tahun tak bersuara,

Sekali bersuara terus terkejut.


Dua Tahun tak bersuara,

Sekali bersuara terus terlompat.


Dua Tahun tak bersuara,

Sekali bersuara terus terasa.


Dua Tahun tak bersuara,

Sekali bersuara terus tak sangka.


Dua Tahun tak bersuara,

Sekali bersuara terus berburuk sangka.


Dua Tahun tak bersuara,

Sekali bersuara…..ada juga yang baik sangka.


Alhamdulillah

------------------------------------

Hafidun Amin

11/11/2010 12.37pm

Kota Samarahan

- Berunsur politik dituju khusus buat Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Zaid Ibrahim.

Monday, August 9, 2010

Inilah Menteri Besaq aku...

Oleh AZAMIN AMIN

Rumah dua tingkat di tepi jalan itu, sekilas pandang tiada satu pun kelihatan istimewa. Tiada bezanya dengan rumah-rumah sebaris dengannya. Bawahnya batu, menempatkan ruang dapur dan tamu. Tingkat atasnya kayu, tempat sepasang suami isteri beradu dan berkumpulnya anak menantu jua cucu. Pekarangannya agak sempit, cukup-cukup memuatkan dua buah kereta. Di pagarnya tersidai dua karpet kecil dan sebatang mop lantai.

Sekelilingnya beberapa pokok sederhana besar ditanam, menghijaukan laman. Tiada kolam renang mahupun rekaan air terjun buatan yang melambangkan kemampuan penghuninya berbelanja besar, menghias kediaman.

Sesiapa yang lalu-lalang, baik pejalan kaki mahupun pengguna jalan raya, pasti terlepas pandang dek kerana tiadanya nilai estitika ataupun kemuncak kemewahan yang mampu menarik perhatian.

FOKUSKAN LENSA

Lebih-lebih lagi pelancong atau orang luar, jika tidak diberitahu, mereka lalu begitu sahaja tanpa merakamkan atau memfokuskan lensa ke arah rumah itu.

Na[2009-07-10_165939.jpg]mun, di situlah diamnya seorang pemimpin negeri. Di satu sudut rumah, seorang lelaki tanpa kaca mata, segak membetulkan songkok sejurus mengenakan kot cerah coklat dan mengikat tali leher merahnya.

Kemudian dia duduk seketika, sambil menghirup kopi, minuman kegemarannya. Pagi itu, dia tidak sempat bersarapan, seperti kelaziman hari-hari lain juga.

Jadualnya padat dan waktu yang singkat, adakala tidak upaya menjamah hidangan pagi. Itulah rutin yang dilaluinya, sejak hampir tiga tahun memikul amanah rakyat dan agama.

Sekali hirup, beliau merenung jauh. Kini tidak sama seperti dulu. Malah dia terasa kehilangan sesuatu iaitu tidak dapat melakukan perkara yang disukainya sejak dulu. Rupanya dia merindui untuk ke pasar secara sendirian membeli ikan dan bersembang panjang dengan masyarakat di warung kopi atau di kedai makan!

MENUNGGU ARAHAN

Lamunannya terhenti tatkala, seorang pengawal peribadi muda memaklumkan semuanya telah siap siaga menunggu arahan selanjutnya.

Di luar sana, kereta peronda bersama polis pengiring bermotosikal, sudah terpacak setia. Di tepi laman rumah dua buah kereta rasmi kerajaan, dua pemandu beserta empat pegawai lelaki kemas berpakaian kemeja lengan panjang berdiri di sisi pintu, menghormati dia, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak selaku Menteri Besar Kedah mendahului pergerakan semua.

Tepat jam 8.00 pagi itu, pasukan pengiringnya bersama pemimpin negeri itu bergerak ke satu lokasi,jauh di pendalaman di mana majlis besar dihadiri ribuan rakyat yang sudah menunggu tanpa jemu.

Di sana, rakyat sudah tidak sabar menantikan amanatnya. Gurau dan seloroh Menteri Besar mereka itu, seringkali mencuit hati. Tanpa laras bahasa yang sukar, menggunakan ayat-ayat bersahaja, beliau bijak dalam mencernakan dan mencanaikan ucapannya agar mudah difahami semua.

Baik isu ekonomi, sosial, agama, politik, pendidikan mahupun undang-undang, Ustaz Azizan tahu apa yang diperkatakan. Tidak sekadar membaca teks, beliau benar-benar faham apa yang diluahkan. Sesekali beliau menggunakan metafora, analogi dan contoh-contoh sekeliling, untuk mencantas atau menjelas letak duduknya sesuatu perkara.

"Saya ini umpama ketam batu. Sekali saya sepit ekor beruk, pasti menggelupur. Jangan cabar saya kembali ke perangai lama, nanti saya bongkar habis semua ...!"

Seusai berucap laungan takbir bergema dengan iringan tepukan gemuruh, menghangat suasana malam itu sewaktu berceramah di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut dengan disaksikan puluhan wartawan dan pengamal media dalam dan luar negara.

ACAH-ACAH LAWAN

Kehadiran 10,000 hadirin semata-mata mahu mendengar petikan dan amaran Ustaz Azizan yang tak mungkin dilupakan berhubung isu Adun Lompat beberapa bulan lalu, akibat diacah-acah lawan bagi mencalarkan imej bersih dan amanah yang galas beliau selama ini.

Itu cerita dan kehebatan Ustaz Azizan bersilat dalam gelanggang ceramah. Lain pula kisahnya ketika dia menggulung hujah dan menepis segala jurus-jurus lawan yang dihalakan kepadanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah.

"Soalan itu seolah-olah menghina bidang kuasa Sultan. Tarik balik soalan itu!" kata seorang Adun Pembangkang daripada Barisan Nasional dengan penuh emosi berang.

Tanpa membuang masa, Azizan bangun mencelah: "Perkataan 'seolah-olah' bukanlah ayat yang jelas atau mempunyai bukti. Jika di mahkamah, perkataan ini tidak terpakai sama sekali".

Hujahnya tepat, menyiku lawan. Beliau sudah lama dan sebati dengan Dewan. Undang-undang dan peraturan mesyuarat, umpama 'zikir' di bibirnya. Dia yang paling lama sebagai Adun Pembangkang dan kini beralih kuasa di tangan, beliau memegang tampuk pemerintahan.

Bukan sembarangan Ustaz Azizan ini. Berwatak sederhana dan bersahaja. Anak kelahiran kampung Sungai Limau, yang diasah sopan, akhlak dan pendirian. Bijak berilmu sehingga melanjutkan pelajaran ke University Of Kent, Canterbury, United Kingdom, pengkhususan dalam bidang perlembagaan. Tak mudah lawan atau musuh menyerangnya bertubi-tubi kerana tajinya sangat tajam.

Tidak cukup dengan itu, pengikut dan anak muridnya terlalu ramai. Masakan tidak, beliau dulu adalah seorang tenaga pengajar di Maktab Mahmud, Ketua Jabatan Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia, dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Tidaklah berhasrat menceritakan fakta-fakta, statistik atau angka-angka kejayaan pimpinan Ustaz Azizan ini berkaitan bab peningkatan hasil balak, pengurangan kadar jenayah, percambahan projek pertanian atau apa sahaja, kerana ia sudah terang lagi bersuluh. Risalah, berita, dokumentasi, rakaman dan cd-vcd sudah bercambah dan sentiasa memenuhi ruang galeri.

BANGUNKAN INSANIAH

Memadai diceritakan antara kejayaan Ustaz Azizan bersama kerajaan Pakatan Rakyat ini ialah berjaya membangunkan Kolej Universiti Insaniah dengan penambahan bangunan baru di Kuala Ketil dan peningkatan mata pelajaran yang ditawarkan.

Sebelum ini, selama 12 tahun di bawah kerajaan lama, hanya 7 subjek ditambah sedangkan di kala pemerintahannya selama dua tahun ini, sudah 42 subjek baru diperkenalkan.

Sebenarnya beliau bukan seorang pemimpin yang suka melakonkan watak atau berlakon di hadapan lensa malah cukup keberatan untuk dikutip kisah perjuangan sepanjang hayatnya. Dia pernah menolak diwawancara Harakah secara eksklusif Harakah, walaupun beliau amat sayang akan organ parti ini dan pernah memegang jawatan Pengarah Urusan Harakah.

Katanya kepada saya, ketika melaporkan diri sebagai Ketua Wartawan Harakah Negeri Kedah awal tahun ini, beliau lebih suka bersikap merendah diri dan kurang menggemari publisiti berbentuk sensasi.

"Takpalah...Azamin. Biar saya 'low profile' dan buat kerja-kerja macam biasa. Azamin buatlah kerja dan duduklah elok-elok di sini ya," katanya bernada rendah menyinggah hati nurani.

Dan sejak itu saya memerhati dari jauh dan mengekorinya tanpa disedari. Tidak pernah saya mendekatinya dengan lebih rapat lagi bimbang-bimbang disalah erti. Sehinggalah selepas tujuh purnama saya di sini, beliau buat pertama kalinya menjemput saya ke rumah. Berbual santai, sembang-sembang hal keluarga dan menitipkan luahan hatinya tentang pergolakan politik semasa.

Dulu bermacam-macam nista dipalit kepada Ustaz Azizan. Tidak mesra, tidak pandai ceramah, ego dan bengis kata mereka yang tidak puas hati dengan Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Adun Sungai Limau ini.

Namun setelah dua kali berbual mesra dan mengikuti segala aktiviti serta program beliau selama tujuh bulan ini, nyata tusukan dan cacian itu, tidak benar dan hanya fitnah semata.

AMAT TEGAS

Ini tidaklah bermakna, dikesampingkan warna sebenar, perwatakan beliau. Ustaz Azizan sememangnya seorang yang amat tegas terutama melibatkan tugasan dalam parti mahupun kerajaan negeri. Bekas pensyarah kehormat di Universiti Mindanao ini juga tidak suka kerja "cincai-bomcai".

Baginya semua 'perfect' dan 'zero-defect'. Tidak kurang kakitangan atau petugas parti yang menerima terjahan teguran dan kritikan daripadanya. Katanya setiap tindakan memberi kesan kepada agama dan perjuangan parti yang dibawa. Yang akan menerima tempias ialah, Islam dan PAS.

Betapa seriusnya Ustaz Azizan mentadbir parti sehingga adakalanya bermesyuarat sampai malam dan sesekali beliau mengejutkan para pegawainya yang sedang lena diulit mimpi, untuk berkumpul di rumahnya lewat tengah malam bagi membincangkan isu amat genting.

Pernah sekali, walaupun pintu tertutup rapat, saya mendengar beliau berang memarahi seseorang kerana kelemahan menyelesaikan tugas yang diberi. Gamam juga saya yang kemudian beransur beredar perlahan-lahan daripada pejabat Menteri Besar itu sebelum menambah lagi murka.

Akan tetapi ironinya, puncak kemarahannya hanya di bucu empat penjuru biliknya sahaja. Selepas melintasi ruang legar atau di luar bilik itu, beliau akan bersikap sediakala malah orang yang dimarahinya, boleh berbual dan makan semeja dengannya.

CUKUP BERANG

"Paling pantang, ada orang minta projek daripadanya. Dia juga cukup berang jika sesuatu itu harganya amat mahal dan tidak munasabah. Dia begitu teliti dan cerewet tentang duit," kata seorang kakitangan kerajaan negeri tentang sikap MB Kedah itu terhadap perbelanjaan dan peruntukan kewangan.

Selain itu beliau turut mengarahkan semua Exco Kerajaan negeri, melalui potongan gaji, menyumbang dana ke Tabung Tunku Mahmud, bagi tujuan kebajikan untuk rakyat Kedah.

Ya, memang tidak disangkal, Ustaz Azizan begitu cermat bila masuk bab wang kerajaan. Sikapnya itu sudah tidak menjadi rahsia lagi bahkan sebelum beliau bergelar Menteri Besar lagi. Malah tidak pernah campur adukkan antara wang kerajaan negeri dengan wang milik parti.

Apatah lagi dalam hal ehwal lantikan kuasa atau jawatan, Ustaz Azizan, bapa 14 orang anak ini tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk menawarkan pekerjaan kepada anak-anaknya di pejabat kerajaan negeri sungguhpun diketahui ada antaranya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kata satu sumber rapat dengan MB Kedah itu.

Ketika mula-mula mengangkat sumpah sebagai pemimpin negeri Mac 2008 yang lalu, rumahnya tidak mempunyai pagar. Kosong dan lapang begitu sahaja.

Namun atas nasihat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) demi faktor keselamatan, Ustaz Azizan bersetuju dengan cadangan mereka supaya membina pagar rumah dan pondok pengawal. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebaliknya membina menggunakan duit sendiri.

Sejak dua tahun lebih menjadi MB, beliau tidak pernah ke luar negara walaupun pernah dijemput oleh gabenor jiran senegeri iaitu Thailand. Menjelang Ramadan ini, khabarnya kali pertama beliau mahu akan ke negara Timur Tengah, setelah lama mendiamkan diri melaksanakan tanggungjawabnya di sini.

Beliau sebenarnya tidak mahu, dianggap memoncah dalam berbelanja dan dilihat membuang masa serta bersuka ria ke sini sana lebih-lebih lagi ke luar negara. Hatta dalam berbelanja untuk kegunaan sendiri pun, Ustaz Azizan cukup sederhana dan bersikap berpada-pada.

HARGA KEMEJA MB

Bagi membeli pakaian, beliau akan ke sebuah kedai cina di Simpang Empat, Kangkong dan sebuah kedai di Pulau Pinang bagi membeli baju-baju kemeja yang diminatinya dan kedua buah kedai ini, merupakan kedai pakaian kegemarannya sejak dulu lagi.

Dan lebih mengujakan, ada antara kemeja-kemeja yang dibelinya di sini, yang dipakai ketika majlis rasmi ataupun sewaktu bertugas rata-ratanya sekitar RM19.00 sahaja!

Pernah pentadbiran kerajaan negeri berhasrat melupuskan atau menjual kenderaan rasmi Menteri Besar dua buah kereta Mercedes lama plat nombor KY12 dan KN 2000, akibat terlalu teruk kerosakannya namun dihalang Ustaz Azizan yang meminta dibaiki dan akhirnya dipakai semula oleh beliau sendiri.

Tidak cukup dengan itu, jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur atau ke mana sahaja di negara ini,beliau tidak pernah menaiki kapal terbang sebaliknya menggunakan jalan darat semata. Ustaz Azizan 'tahan' berjam-jam dalam kenderaan untuk ke lokasi yang jauh.

Kata juruiring dan pengawal peribadinya, beliau tidak akan singgah di sepanjang perjalanannya seperti dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju. Malah masa bertolak dan pulang tidak tentu masa, adakalanya tengah malam atau menjelang subuh.

Selain mengurangkan kos, beliau berasa selesa dan bergerak ke sini sana bertemu sesiapa sahaja menggunakan kereta. Cuma sesekali dijemput Tuanku Sultan Kedah untuk menaiki pesawat peribadi Boeing 737, beliau tidak upaya menolaknya.

HUBUNGAN DENGAN ISTANA

Bercerita pula hubungannya dengan istana, ustaz Azizan sememangnya terkenal dengan sikap hormatnya kepada Sultan dan institusi raja-raja. Kerana itulah, setiap hari Rabu, di awal pagi sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri, beliau akan mengadap Sultan Kedah, untuk melaporkan perkembangan dan perjalanan urusan kerajaan.

Bukan itu sahaja, MB Kedah ini akan mengiringi Sultan Kedah di lapangan terbang sama ada ketika baginda bertolak mahupun pulang daripada luar negara. Biarpun sekadar 5 ke 10 minit cuma bersua dan mengiringi baginda, tanda hormat yang ditunjukkan kepada Sultan amat tinggi.

Lazimnya, para pemimpin negara atau negeri akan menginap di hotel mewah khususnya di Kuala Lumpur bagi urusan-urusan rasmi. Bukan seorang perbelanjaan yang ditanggung, malah melibatkan para pegawai, setiausaha, petugas, pemandu dan pegawal peribadi

Tidak seperti Ustaz Azizan, bagi mengelakkan pembaziran, beliau menyewa sebuah rumah tiga bilik di lokasi yang dirahsiakan di ibu kota untuk didiaminya bersama para petugas. Betapa cermatnya dan bayangkan apabila perbelanjaan menginap di hotel yang boleh mencecah RM80,000 sebulan dapat dijimatkan!

Menarik cerita MB Kedah ini ketika berada di rumah sewanya itu. Saya bertanya makanan kesukaan beliau dan kata pegawainya sekiranya lapar, lewat malam Ustaz Azizan meminta pegawainya membungkus Roti Arab kuah Dal atau seperti selalunya, hanya meminta mereka memasakkan mee segera untuknya!

Jika di Kedah pula, beliau suka hidangan gulai masam ikan dan ulam-ulaman disajikan. Dan tatkala melawat kawasan kampung di sekitar Kedah bagi tujuan rasmi ataupun tidak formal, masyarakat rata-ratanya sudah tahu makanan kegemaran beliau dan menghidangkannya setiap kali beliau menziarahi penduduk di situ.

Manakala kalau di rumah, sebelum waktu tidur jam 10 malam, Ustaz Azizan suka berbaring di sofa panjang sambil membaca buku-buku atau kitab-kitab tafsir. Itu hobinya sejak dulu lagi. Kadang-kadang asyik membaca, beliau boleh terlena di situ. Minatnya pada buku sukar disangkal. Presiden PAS Dato' Seri Hadi Awang juga, ada masa meminta Azizan menyemak buku tulisannya sebelum diterbitkan.

SAMPAI KULIAH

Jika berkesempatan, beliau meneruskan kesinambungan dakwah dengan menyampaikan kuliah yang selalunya diadakan di Kompleks PAS ataupun Kediaman Rasmi MB di Seri Mentaloon setiap Jumaat. Bukan sedikit pengikut atau yang minta mendengar kuliah yang disampaikan, dan ada masa bergilir dengan Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din.

Ya, beliau tidak mahu menetap di Seri Mentaloon yang gah laksana istana itu tetapi menjadikan bangunan luas itu untuk dimanfaatkan oleh rakyat bagi apa jua program pembangunan Insan ataupun majlis-majlis rasmi, tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Sikap Ustaz Azizan terhadap rakyat, kawan dan lawan sudah menjadi buah mulut orang. Mereka amat kenal gerak gaya dan perangai Menteri Besar mereka yang cukup mesra dan suka berseloroh. Beliau jarang menghampakan orang, bahkan tetamu yang menjengah ke rumah ataupun ke pejabatnya sama ada melalui temujanji ataupun yang datang secara spontan.

Saya sendiri pernah, menyaksikan serombongan 10 artis serta 40 krew produksi sebuah drama yang menjalankan penggambaran di Kedah diraikan oleh Azizan di Seri Mentaloon dengan jamuan makan tengah hari.

Biarpun rombongan itu terlewat satu jam sedangkan MB mempunyai acara di lokasi yang lain, Ustaz Azizan masih sabar menunggu dan melayan tetamu, membuat kebanyakannya malu tersipu. Bukti, pemimpin parti Islam ini sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja.

Selain itu, Ustaz Azizan sering mempamerkan keprihatinannya terhadap masalah dan kebajikan rakyat. Buktinya, sejurus selepas mengadap Sultan Kedah, beliau dengan lengkap berpakaian baju melayu bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan terdapat 14 buah kedai hangus terbakar di Sungai Limau sewaktu cuti Tahun Baru Cina tempoh hari.

Beliau tiba, ketika api sedang naik menjulang sambil memerhatikan bomba dan sukarelawan memadamkan kebakaran malah datang sekali lagi keesokan harinya bersama Tengku Bendahara Kedah, menyampaikan sumbangan derma kilat kepada mangsa.

Begitu juga dengan kejadian ribut kuat di Kuala Ketil yang melibatkan lebih 300 penduduk mengalami kerosakan kediaman, yang mana sehari selepas kejadian, Ustaz Azizan tiba awal dengan pasukan rombongannya menyampaikan sumbangan derma.

MATI RENTUNG

Ada satu kisah ketika, alam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur kerana urusan mesyuarat, beliau mendapat khabar sebuah keluarga Cina di Jitra yang kehilangan dua orang anaknya akibat mati rentung. Kisah menyayat hati itu, dilaporkan semua media. Beliau kemudian lantas ke tempat kejadian, tanpa pulang ke rumah terlebih dahulu.

Ustaz Azizan tiba menyampaikan sendiri bantuan dan duduk bersama kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut sambil cuba mententeramkan kesedihan mereka tatkala jenazah keduanya masih berada dalam keranda dan belum dikebumikan.

Selain itu, jika tetamu yang hadir atau membuat kunjung hormat, Ustaz Azizan akan melayan dan meraikan mereka sehabis mungkin sehinggakan beliau meneliti terlebih dahulu menu makanan yang bakal dihidangkan[2009-07-10_165827.jpg]supaya para tetamunya mendapat sambutan yang terbaik.

Jika tiada acara lain, beliau lebih suka makan di dalam pejabatnya bersama staf mahupun para pegawai, di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan warga kerja di Wisma Darul Aman itu.

Bukan sedikit yang sudah bertandang ke pejabatnya, daripada beberapa Menteri Pusat, para kedutaan, korporat atau konglomerat, guru, pelajar, bomba dan aneka ragam sehinggalah makcik pakcik dari kampung. Semua teruja dan mahu bertemu pemimpin disegani ini.

Biarpun beberapa media adakalanya cuba menconteng arang, tetapi secara purata dan majoriti, ramai yang tidak termakan racun hasutan. Semua telah menjadi saksi kepala. Tinjaun rambang yang dibuat, semuanya amat menyukai corak pentadbiran Azizan dan jika kekal begini, maka berputih matalah, mereka yang berhasrat atau mahu merujuk kembali kuasa yang sudah lama berpisah dari diri.

Walaupun media melaporkan songsang, hakikatnya pengamal media arus perdana dan alternatif di Kedah, menganggap Ustaz Azizan seorang yang mesra media. Beliau amat kenal seorang demi seorang wartawan yang membuat liputan. Ingatannya tajam. Bukan itu, sahaja, AUstaz zizan akan menjawab semua soalan yang ditujukan dengan pancungan hujahnya yang bernas.

PERANGKAP WARTAWAN

Tetapi awas, bagi sesiapa yang tidak bersedia atau cuba 'menggoreng' fakta, akan menerima padah daripadanya yang cukup arif selok belok perangkap wartawan. Ada masa bidasan jawapan cukup pedih sehingga wartawan begitu berhati-hati mengelak serkap jarang.

"Sekarang ini Kedah tak ada air, macamana Dato' Seri? tanya seorang wartawan arus perdana yang dilihat cuba-cuba memprovokasi beliau.

"Kamu ni mandi tak pagi tadi?" tanya Ustaz Azizan pantas, kemudian dijawab 'ya' oleh wartawan itu, bagi mengelak dirinya dikatakan tidak mandi atau berbau busuk.

"Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya hujan," katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.

Sebenarnya setiap kali, sidang media di pejabat Menteri Besar, seminggu sekali adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh pengamal media. Bukan setakat mendapatkan berita, tetapi lebih kepada kemesraan hubungan serta bergurau senda dengan Ustaz Azizan, yang menganggap para wartawan sebagai sebahagian daripada keluarganya.


JADI PENTERJEMAH

Jika sidang media dibuat dengan para duta atau diplomat asing, Ustaz Azizan lazimnya bertindak sebagai penterjemah dalam bahasa Inggeris dan membantu media menjelaskan jawapan.

Selain asakan fitnah lawan, beliau juga sering dilambakkan dengan segunung harapan oleh penyokong parti dan rakyat negeri supaya melakukan perubahan besar-besaran agar nampak hebat dan boleh dipandang semua, tetapi tidak pernah melatah. Beliau bukan seorang yang gopoh dalam mengatur langkah.

Kata seorang ustaz menjawat exco pemuda negeri, Ustaz Azizan bukan seorang yang 'ghairah' berceramah atau suka menunjuk aksi di sana sini, baik sebelum menjadi MB ataupun kini. Beliau sering mengutamakan jentera parti, memantapkan sistem dan pentadbiran kerajaan negeri.

RAMADAN

Ada kisah menarik perhatian saya, ketika dititipkan semula pegawai khas MB tentang satu usaha kejadian sabotaj yang dilakukan pihak lawan sekitar Ramadan tahun lalu.

Waktu itu, di masjid-masjid telah teredar ribuan risalah palsu yang menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku MB Kedah akan memberi sumbangan wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat Kedah.

Esok paginya lebih 300 orang memenuhi pekarangan pejabat MB bagi menuntut apa yang dijanjikan seperti yang dicanang risalah palsu itu. Ustaz Azizan yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga dengan kehadiran orang ramai itu, lantas memanggil para pegawainya menjelaskan apa yang berlaku.

Anda tahu keputusannya? Jika dilihat perwatakannya yang bengis dan tegas itu, ramai boleh mengagak tindakan selanjutnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya!

Ustaz Azizan berasa simpati pula dengan orang ramai yang tertipu dengan risalah itu. Lebih menghibakan beliau, ada bersusah payah datang dari jauh, hulu kampung, semata-mata berharap dan bergantung ihsan sumbangan yang dihebahkan palsu itu.

Lantas beliau mengarahkan para pegawainya mengagihkan wang sebanyak RM50.00 seorang kepada semua yang hadir dan wang yang dikeluarkan itu datangnya daripada poketnya sendiri!

TERTIKAM MATA SENDIRI

Akhirnya permainan muslihat lawan, tertikam mata sendiri. Perbuatan keji yang diharapkan dapat menusuk dan mencincang imej Azizan atau nama busuk parti bertukar pujian melangit atas sifat pemurah pemimpin itu. Rupanya, kilasan dan serangan lawan melukakannya pun belum tentu!

Begitulah kehebatan seorang Azizan yang tiada duanya, yang mampu dinukilkan semoga bisa merungkai kekeliruan dan tuduhan tak bermata terhadapnya selama ini.

Sesungguhnya rakaman dua tahun lebih, kelibat keperibadian beliau, tidak mampu dikarang berkajang-kajang. Hanya selembar kisah, secebis cerita untuk tatapan semua untuk mengenali, cuba mendekati dan mencontohi sikap beliau, yang jauh di mata dekat di hati.

Moga mendoakan, agar kepimpinannya berpanjangan dan sekiranya berterusan, maka mudahlah saya menyudahkan cerita 1001 macam di sebalik tabir Ustaz Azizan Razak ini. Salam Ramadan al-Mubarak!

Ramadan bulan ibadat, tambah rezeki, rezeki melimpah

ESOK tengok anak bulan Ramadan bagi menentukan tarikh permulaan puasa. Sama-samalah kita nantikan pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Majlis Raja-Raja.

Tentunya umat Islam sudah tidak sabar menanti kehadiran bulan yang penuh keberkatan ini. Semoga kita diberi ‘kekuatan’ untuk menunaikan salah satu daripada Rukun Islam itu. Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sebaliknya ia turut mengingatkan umat Islam untuk tidak melakukan perbuatan atau tindakan yang boleh mengurangkan ganjaran pahala atau membatalkan puasa. Bukanlah bermakna di luar Ramadan kita bebas melakukan apa yang dilarang. Ramadan mampu mengajar atau membentuk diri kita untuk meninggalkan perkara-perkara yang dilarang. Apa pun fadilat puasa lebih daripada itu. Jadi janganlah menjadikan puasa sebagai bulan pesta makan ketika menghampiri waktu berbuka atau pesta membeli-belah menjelang Hari Raya Aidilfitri. Sebaliknya jadikan Ramadan ini bulan ibadah, muhasabah diri atau menilai semula apa yang dilakukan. Hidup di dunia ini hanya sementara, tidak ada apa yang boleh dibawa selepas mati kecuali amal ibadat. Semua orang tahu perkara ini tetapi kadang-kala orang mudah lupa dan menjadi ‘jahil’ dilanda ‘godaan’ dunia. Maka coretan ini sekadar ingatan sempena kehadiran bulan yang mulia ini. Sama-samalah kita penuhkan surau dan masjid dengan majlis-majlis ilmu ketika waktu makan (solat zuhur) dan waktu minum petang (waktu asar) dan pada sebelah malamnya pula dengan solat sunat tarawih dan witir.

Tidak perlulah berkomentar lagi sama ada hendak dilakukan lapan rakaat tarawih campur tiga witir (8+3) atau 20 campur 3 (20+3). Isu ini sering timbul pada bulan Ramadan. Ada yang nak buat lapan dan ada pula nak buat 20. Pada masa yang sama ada pula yang menyelitkan dengan tazkirah serta tahlil. Terpulanglah kepada jawatankuasa surau dan masjid sama ada nak teruskan dengan tazkirah atau solat tarawih terus menerus tanpa diselitkan tazkirah. Tarawih datang setahun sekali tetapi tazkirah boleh diadakan pada bila-bila masa. Jangan jauhkan ahli jemaah yang berkobar-kobar untuk menunaikan solat sunat setahun sekali itu. Tidak dinafikan, tazkirah selepas solat menyebabkan ramai yang angkat kaki sebaik sahaja selesai tarawih . Tetapi adalah lebih baik jemaah ‘lekat’ di surau/masjid daripada angkat kaki selepas sunat tarawih dihentikan untuk memberi laluan kepada tazkirah. Dan tazkirah pula janganlah diserapkan unsur-unsur politik, tak kiralah sama ada yang memihak kepada pihak kerajaan yang memerintah atau sebaliknya. Janganlah kita musnahkan hubungan erat silaturahim, kasih sayang dan perpaduan semasa solat berjemaah dengan tazkirah yang berunsurkan politik. Ingatlah tidak semua jemaah ahli parti politik. Malahan ada yang langsung tidak peduli soal politik.

Pada masa yang sama seperti saranan Mufti Perak, Harussani Zakaria kelmarin, kehadiran Ramadan harus dijadikan ruang terbaik kepada orang Melayu merapatkan hubungan seterusnya mewujudkan perpaduan yang utuh.

Diharapkan kenyataan itu tidak pula dianggap rasis. Sekarang ini, pantang disebut Melayu dan usaha mempertahankan Melayu kerana ia akan dianggap rasis. Kata Harussani, sekiranya masyarakat Islam benar-benar menghayati hikmah bulan yang mulia ini, mereka akan bersedia untuk menghilangkan perasaan angkuh, bongkak dan ego masing-masing.

Tetapi Harussani sekadar boleh mengeluarkan kenyataan itu sebagai peringatan daripada seorang mufti. Terserahlah kepada mereka di luar sana untuk mengingati ingatan itu kerana sebelum ini, orang politik mempunyai ‘fatwa’ mereka sendiri. Mereka tidak peduli itu semua. Mereka cakap apa sahaja termasuk maki hamun dan mengaibkan orang lebih-lebih lagi semasa kempen pilihan raya kecil. Orang politik yang angkuh, bongkak, sombong dan ego itu tidak pernah peduli bulan yang mulia asalkan matlamatnya ‘meracuni’ fikiran rakyat tercapai dalam usaha mengekalkan kuasa politik atau mahu ‘menakluki’ takhta politik.

Mungkin mereka ini tidak dapat menghayati Ramadan dengan sebenar-benarnya. Tetapi seperti disebut sebelum ini, mereka mempunyai ‘fatwa matlamat menghalalkan cara’.

Seperti kata Harussani, hanya orang yang tidak faham falsafah di sebalik keberkatan Ramadan akan kekal dengan sikap mereka itu.

Namun, majoriti umat Islam sudah tentu mahu menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

Pada bulan ini juga, akan banyaklah majlis berbuka puasa. Di samping meraikan saudara mara, sahabat handai, rakan-rakan perniagaan, banyak pihak tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim. Maka berlumba-lumba orang ramai mahu menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim ini. Di samping berbuka, sumbangan turut diberikan untuk persiapan hari raya. Bagi orang korporat pula, bukanlah tujuan mereka mahu menunjuk-nunjuk tetapi ia tanda mensyukuri nikmat yang diberi. Hasil yang diperoleh mahu dikongsi bersama dengan orang-orang yang tidak mampu. Maka diharapkan, ketika sumbangan mencurah-curah itu, tidak ada rumah anak yatim terpaksa menolak rezeki pihak yang mahu menaja majlis berbuka puasa.

Bagi peniaga pula, Ramadan juga memberi peluang kepada mereka untuk menambah pendapatan. Mereka sama ada menjual juadah berbuka/bersahur atau menjual pakaian serta persiapan menyambut hari raya. Pihak berkuasa tempatan eloklah memberi peluang kepada orang Melayu Islam ini untuk menambah pendapatan.

Tidak payahlah kecoh-kecoh dengan rezeki setahun sekali itu.

Namun apa yang berlaku di Pulau Pinang menarik perhatian. Peristiwa yang hampir sama berulang lagi. Tahun lalu, suasana di kaki lima berdekatan Bazar Chowrasta, Jalan Penang kecoh gara-gara tindakan kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) cuba menghalau peniaga Bazar Ramadan di situ. Mereka sudah berniaga di situ setiap kali Ramadan sejak 24 tahun lalu. Akhirnya selepas didesak, mereka dibenarkan berniaga semula.

Tahun ini, giliran Bazar Ramadan di tingkat tiga Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pula. Sebanyak 27 peniaga yang khabarnya sejak 20 tahun lalu berniaga di situ setiap kali menjelang hari raya. Begitulah nasib peniaga-peniaga kecil Melayu Pulau Pinang. Tidak perlulah diulas setinggi Komtar masalah peniaga Melayu ini. Bukan lagi pi mai pi mai tang tu, tetapi mereka dah kena ‘angkat kaki’. Melayu tak boleh lagi duduk di situ.

Bagi orang politik terutama wakil rakyat, Ramadan juga memberi peluang mendekati rakyat. Tempoh sebulan itu boleh dimanfaatkan untuk bersama rakyat sama ada ketika berbuka puasa atau solat tarawih. Ramai orang politik menjelajahi satu persatu surau dan masjid di kawasan masing-masing. Bukanlah bermakna sebelum ini mereka tidak berbuat demikian tetapi sentuhan Ramadan ada kelebihannya. Begitulah di sebalik kedatangan Ramadan. Selamat berpuasa!

Tuesday, May 18, 2010

Jelajah 2010 : XPDC Dakwah ke Kpg. Sawai, Daro

HARI PERTAMA : Setelah melalui perjalanan selama 9 jam dari Kuching akhirnya tiba di Sibu, dan kemudiaannya bertukar kenderaan kepada 4x4 untuk melalui jalan ladang dan sambung perjalanan lagi dengan Perahu Enjin penduduk kampung selama 20 minit untuk sampai ke SK Kampung Sawai
Mula menyusuri sungai yang dapat bersambung dengan batang Igan, dari makluman cikgu2 sekolah..kedalamannya melebihi 15 kaki...Air Hitam..banyak ikan kelah dan juga udang galah...hoho...
Air sudah mula masuk perahu dari bawah... Driver perahu kata ok sahaja, air tak penuh perahu lagi..namun kami yang tak biasa ni apalagi..terus sahaja timba air....
Muka para Da'e yang sedia berjuang....
Kedai runcit & Kedai minyak di Kampung Sawai
Akhirnya sampai juga... Di sambut oleh penduduk kampung Sawai yang mempunyai enrolmen seperti berikut..200 orang Islam, 200 orang Kristian dan 300 orang masih belum ada apa2 agama (secara anggaran lebih kurang la)
Surau Kampung Sawai menandakan syiar Islam sudah tertegak di sini... Dan kefahaman Islam harus diperkasakan lagi...
Kedatangan saya di sambut dengan telatah2 anak Kampung Sawai...
SUBUH HARI KE DUA : Mempersiapkan barangan untuk sumbangan kepada keluarga Muslim di Kampung Sawai.. Inilah antara hasil sumbangan kewangan yang disalurkan oleh sahabat-sahabat semua....Terima kasih juga kepada Bank Rakyat, Tabung Haji dan juga Baitulmal..
Pakat lipat sejadah, buku panduang solat, kain sembahyang untuk wanita, yassin terjemahan dan juga kalendar solat....
Alhamdulillah... Banyak sumbangan yang diperolehi...
Bersama orang kuat PPD Samarahan, Ustaz Yazid Rajali... Banyak perkongsian ilmu yang saya perolehi sepanjang 3 hari bersama....
Sumbangan derwawan daripada seluruh Malaysia untuk diagihkan kepada penduduk kampung....
Slot penuh yang dikendalikan oleh saya sepenuhnya : motivasi kecemerlangan...
Cuba mengambil hati murid-murid....
Bertanya khabar dan juga taaruf....
Mari kita bertaarufan....
Sedikit gugup bilamana KS SPI JPN Sarawak sendiri memantau slot saya dalam 30 minit yang terakhir...
Moga tangisan ini tangisan yang inginkan kecemerlangan untuk mengubah nasib keluarga dan mengangkat martabat bangsamu wahai adikku....
Guru di bandar letih ingatkan anak murid agar menjaga keselamatan di jalan raya... Namun guru di pedalaman sibuk ingatkan anak murid untuk menjaga keselamatan di sungai dan juga di dalam perahu...
Tempat "parking" kenderaan waris pelajar...
Dah nak balik rumah....
Ternyata Allah angkat keizzahan Islam bilmana Kaunter rawatan Islam DarusSyifa' mendapat sambutan hangat hinggakan orang kuat gereja pun turut hadir untuk mendapatkan rawatan...
Kaunter perubatan ABIM
Turut mendapat sambutan hangat..Hingga ke petang....
Surau
Sesi ceramah pengenalan Islam dan juga soal jawab agama... Diteruskan dengan kursus sembelihan....
Ini yang MAHAL ni....
Sukaneka pelajar sekolah pada sebelah petang.....
Tiup belon berganti-ganti....
Satu-satunya tempat di SK Kampung Sawai yang mendapat line telefon....
Orang kuat SPI JPN Sarawak... Ustaz Md Ahhad Ahmad...
Bersama Ustaz Baharom daripada SK Niup...Hampir 10 aktiviti sukaneka dijalankan pada petang tersebut..Turut dijalankan perlawanan bola sepak dengan pemuda kampung... kami kalah 6-0....
petangnya di bawa pengerusi PIBG Sekolah untuk melihat suasana hidup masyarakat kampung Sawai...
Ustaz Sayuti (baju Kuning- Unit Dakwah SPI JPN) berbual dengan pengerusi PIBG SK Kampung Sawai..
Majlis makan malam (BBQ Ayam & Udang).. Kelihatan KS SPI JPN bersama penghulu kampung... Majlis di jalankan di Surau kampung...Namun melimpah dengan kehadiran masyarakat Non Muslim....Kita semua adalah bersaudara...
Di sampaikan sumbangan pada yang layak...
HARI KE TIGA : Sepanjang di sini saya hanya mandi dengan air sungai, manakala untuk minum pula menggunakan air hujan yang di simpan di dalam tong ini....
Air pasang pada waktu pagi sehingga melimpah ke dalam kawasan sekolah....
Pandangan akhir SK Kampung Sawai...
Bersiap untuk perjalanan pulang....
Orang kampung yang hadir untuk menghantar kepulangan kami...
Bergambar kenangan...
Dalam perjalanan pulang saya dan Alifah seperahu dengan Ketua Sektor, Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, Ustaz Md. Akhir Bin Ahmad... Walaupun berjawatan tinggi..namun humble dalam aktiviti sebegini....
Menghayati panorama akhir Kampung Sawai
Bergambar kenangan dengan guru-guru yang sanggup berkhidmat di pedalaman...kebetulan masa ni 16 Mei hari guru... Saya nyanyikan kepada mereka sedikit lagu Guru Malaysia sebagai pemangkin semangat buat mereka...
Kenangan dengan orang kuat program...
Penghulu hantar kami hingga ke jalan keluar...
Bersama tuan Doktor....
Makan tengah hari di SMKA Sibu.. Disambut oleh pelajar2 tingkatan enam...
Panorama...
Diberi taklimat oleh Puan Pengetua SMKA Sibu
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan...
Kuliah Zohor oleh Datuk Ahmad Maslan kepada pelajar SMKA Sibu

--------------------------------
- Banyak lagi gambar sepatutnya... namun aktiviti yang dijalankan amatlah padat.. hinggakan ada 3 aktiviti serentak pada hari kedua dalam satu2 masa di Kampung Sawai..
- XPDC kali ini cukup menginsafkan saya, selama ini hanya selesa berdakwah di kawasan bandar sedangkan perjuangan yang lebih getir menunggu kita untuk mempertahan Aqidah saudara seagama dengan kita di kawasan pedalaman.
- Jazakallah buat semua yang menyumbang tenaga dan juga kewangan...
- Moga saya mampu hadir ke Kpg Sawai lagi...
--------------------------------
:: Dakwah Itu Perlu Hikmah :
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 18 Mei 2010
Kota Samarahan 9.07 pm

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin