Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Sunday, August 21, 2011

Runtuhnya Ramadan dilanda tsunami Aidilfitri

HARI ini 21 Ramadan 1432 Hijrah. Sudah masuk 10 hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa. Jika diibaratkan berlumba lari, kita kena memecut lebih laju untuk sampai dulu ke garisan penamat dan muncul juara.

Laju yang dimaksudkan ialah meningkatkan amal ibadat tambahan sama ada memperbanyakkan membaca dan menghafal al- Quran, bersedekah, solat sunat malam (tarawih, tahajud, tasbih). Rasulullah SAW beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir Ramadan dan menjauhkan diri daripada menggauli isteri-isteri baginda.

Di Malaysia, adakah kita umat Islam meningkatkan ibadat pada 10 akhir berpuasa sebagaimana Rasulullah? Atau sudah masuk ke gear rendah dan memperlahankan amal pengabdian kepada Allah SWT?

Semua orang tahu jawapannya. Inilah masanya persiapan untuk menyambut Aidilfitri bertambah ligat. Gedung membeli-belah semakin penuh sendat. Jalan-jalan raya di pusat bandar besar semakin sesak. Bunyi mercun dan bunga api semakin gempita. Kerap kali ledakan mercun bola berhampiran surau memusnahkan kekhusyukkan jemaah yang sedang bersolat tarawih.

Sesungguhnya keghairahan mengimarahkan Ramadan yang amat ketara pada dua minggu pertama mulai lesu apabila Syawal semakin hampir. Lagu-lagu Aidilfitri yang berkumandang di radio dan di pusat-pusat beli-belah turut melonjakkan nafsu untuk beraya dan mengendurkan semangat beribadat yang begitu kental pada awal Ramadan.

Tambahan pula gaji awal dan bonus baru diperoleh. Makin ligatlah otak dan nafsu mencongak jumlah barang yang hendak dibeli. Bukan sekadar kuih-muih, pakaian dan gajet baru, malah ramai juga yang mengintai iklan-iklan kereta untuk pulang ke kampung dengan mobil baru yang mempamerkan peningkatan karier dan kejayaan hidup di kota.

Masing-masing juga telah lama meneliti kalendar, menghitung hari cuti yang layak dipohon. Kerani-kerani yang menjaga rekod cuti juga semakin sibuk melayani permohonan yang bertambah. Bos-bos yang tidak mengatur jadual cuti raya kakitangan mengikut giliran akan pening berhadapan dengan kerenah orang-orang bawah berebut cuti. Yang rambut beruban pun boleh bertukar perangai bagaikan kanak-kanak, sanggup bergaduh kerana berebut cuti.

Berapa orangkah yang memohon cuti untuk memberikan lebih tumpuan kepada ibadat pada 10 hari terakhir Ramadan?

Tahap kesabaran juga mulai menurun bersama kehampiran Syawal. Bukan sahaja di jalan raya dan gedung beli-belah, malah di masjid juga terserlah perangai sebenar kebanyakan anak Adam.

Barisan saf jemaah solat tarawih mulai menipis. Imam-imam yang memimpin solat juga semakin kerap terlupa ayat al-Quran yang dibaca. Ramai juga yang mempercepatkan bacaan dan pergerakan solat tanpa mengambil kira kecergasan orang-orang tua yang menjadi jemaah setia.

Bersahutan

Makcik-makcik yang bertadarus juga mulai menggesa rakan-rakan mempercepatkan bacaan al-Quran supaya lebih lekas khatam. Ada juga yang mengingatkan rakan-rakan tadarus tentang kumpulan-kumpulan lain yang telah jauh meninggalkan mereka dengan menghabiskan lebih banyak juz. Ketergesaan mengambil tempat kesabaran.

Suasana syahdu menjelang subuh dengan suara-suara merdu bacaan Quran dan tahmid saling bersahutan melalui pembesar suara juga turut lesu bersama tsunami menjelang Aidilfitri. Ada kalanya kita terpaksa menengok jam untuk mendapatkan kepastian tentang waktu subuh kerana mikrofon di masjid dan surau masih membisu walaupun waktu imsak semakin hampir.

Aneh sungguh perangai manusia. Hendak dikatakan pengaruh syaitan, Rasulullah telah menegaskan bahawa syaitan-syaitan dirantai pada bulan Ramadan.

Bukan sahaja syaitan-syaitan di rantai, malah Allah SWT telah menyediakan insentif paling istimewa pada 10 akhir Ramadan, iaitu Lailatul Qadar atau malam penuh kemuliaan.

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. - Al Qadr 97: 1,2 dan 3

Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Salman bahawa Rasulullah SAW pada hari terakhir bulan Syaaban berkhutbah di hadapan para sahabat yang bermaksud:

Wahai manusia, sesungguhnya kmu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasaNya suatu fardu dan qiyam di malam harinya suatu tathauwu'. Barang siapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa menunaikan suatu fardu di bulan Ramadan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardu di bulan yang lain.

Ramadan itu adalah bulan sabar sedangkan sabar itu, pahalanya adalah syurga. Ramadan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah menambah rezeki para mukmin. Sesiapa memberi makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa, tanpa sedikitpun berkurang (pahala yang berpuasa).

Betapa keghairahan persiapan untuk menyambut Aidilfitri telah mengenepikan 'bonus besar' yang sepatutnya diperoleh setiap jiwa yang beriman di bulan Ramadan.

Aidilfitri pertama yang berlangsung pada 1 Syawal tahun 2 Hijrah bergema dengan takbir di seluruh Madinah bagi merayakan kemenangan tentera Islam pimpinan Rasulullah di Perang Badar. Pada hari-hari Aidilfitri seterusnya, takbir dilaungkan tanda kesyukuran atas kemenangan dalam jihad melawan hawa nafsu pada bulan Ramadan.

Malangnya pada hari ini, ramai umat Islam terlebih tumpu kepada persiapan untuk menyambut Aidilfitri. Anehnya peperangan melawan hawa nafsu belum habis, kita lebih sibuk dengan persiapan untuk kononnya merayakan hari kemenangan.

Kemenangan apa jika jihad perjuangan sudah kendur pada hari-hari terakhir Ramadan? Ibarat berlumba lari, kita memperlahankan langkah ketika hendak sampai ke garisan penamat setelah begitu pantas memecut pada awal perlumbaan.

Inilah fenomena umat Islam di Malaysia pada hari ini. Puasa sebulan, beraya pun sebulan. Hadiah kemenangan yang hakiki berupa rahmat dan keampunan daripada Allah belum tentu dapat, tetapi yang bertambah subur ialah nafsu yang dibajai untuk menyambut Aidilfitri.

Dan turut memeriahkan sambutan ialah budaya yang tidak kena mengena dengan syariat agama. Lagu-lagu raya berkumandang lebih lantang daripada bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Bunyi mercun menjelang Aidilfitri lebih hebat daripada gema takbir. Pemberian 'angpau' seolah-olah jadi suatu perkara yang wajib.

Astaghfirullah! Marilah kita kembali kepada landasan yang betul. Berlari kencanglah dari awal hingga ke garisan penamat Ramadan. Pasti kita akan merasai betapa syahdunya takbir di ambang Aidilfitri. Hancur luluh jiwa dan perasaan melaungkan takbir mengagungkan nama Allah Yang Maha Agung. Itulah tanda kemenangan sejati.

Rujukan di sini.

Thursday, August 18, 2011

Dokumentasi kisah Anbiya




BUMI Palestin sudah lama diancam dan diceroboh dengan hebatnya oleh kaum Kuffar dan Yahudi. Kekejaman mereka itu sudah berlarutan sejak tahun 1948 lagi.

Malahan, perebutan bumi Palestin telah lama berlaku sejak zaman Saidina Umar al-Khattab iaitu Khalifah Kedua antara tiga penganut agama samawi iaitu Islam, Kristian dan Yahudi apabila Kota Jerusalem ditakluk oleh Nabi Daud AS bermula pada tahun 636 Masehi.

Menyaksikan peperangan yang telah berlaku hampir beratus-ratus tahun itu, SNR Multitech Production bersama CIMB Islamic Bank Berhad telah mengambil inisiatif bagi menyingkap fakta atau penceritaan di sebalik negara yang telah dijajah Zionis sejak sekian lama itu untuk diungkap menerusi dokumentari 30 episod yang diberi judul, Palestin-Bumi Para Anbiya.

Ini kerana di sebalik kekejaman tersebut, wujud kisah-kisah para anbiya yang mungkin tidak diketahui masyarakat. Penerokaan bumi Palestin yang mengambil masa selama tiga tahun ini telah dimanfaatkan dengan mengambil al-Quran menjadi sumber utama.

Mungkin pengalaman tiga tahun tidak cukup untuk didokumentasikan untuk 30 episod namun, kru produksi telah mengerah keringat masing-masing selama dua bulan menjalani penggambaran bagi memberikan yang terbaik kepada masyarakat di luar sana.


SUASANA di Sanli Urfa, Turki, lokasi Nabi Ibrahim AS dizalimi Raja Namrud iaitu pemerintah Mesopotamia purba yang kini dikenali sebagai negara Iraq.


Menceritakan pengalaman berada di bumi Palestin itu, pengarah bersama program itu, Abdul Razak Kassim atau lebih mesra disapa sebagai Pak Yeop mengakui banyak masalah yang timbul di negara yang sememangnya sedang bergolak itu.

"Sebaik menjejakkan kaki ke sana, pasti ada pihak berkuasa akan mengikuti kami. Dua buah kamera kami ditahan, termasuk beberapa peralatan lain yang tidak lepas semasa membuat pemeriksaan kastam di sana.

"Walau bagaimanapun, terdapat kamera video yang saiznya sedikit kecil yang dapat dibawa masuk. Jadi, sepanjang penggambaran, kami hanya gunakan kamera tersebut," cerita Pak Yeop yang bersyukur kerana akhirnya penggambaran siap dan semuanya berjalan dengan lancar.

Ujar Pak Yeop lagi, situasi tersebut berlaku kerana mereka beranggapan kru produksi yang hadir adalah untuk membuat publisiti keadaan rusuhan yang berlaku di sana namun pada hakikatnya bukan seperti yang difikirkan mereka.

Berbicara melalui pengalaman yang ditempuh sepanjang berada di negara timur tengah itu, akuinya, masalah akan menjadi peneman setia walau ke mana jua pelosok bumi Palestin diterokai.

Diambil sebagai contoh, ke mana sahaja mereka pergi, pasti ada pihak berkuasa yang menemani kerana katanya, mereka risau akan kehadiran warga luar yang hadir kerana khuatir akan membawa provokasi.

Selain itu, mereka juga turut ditahan di beberapa balai polis sepanjang melakukan penggambaran di sana. Sewaktu kehadiran mereka di sana, pihak berkuasa turut menghantar unit gerakan khas polis untuk memantau gerak geri mereka seharian.

"Bukan hanya pada siang hari, malah kami diiringi sehingga ke larut malam selain krew produksi sering disoal sepanjang penggambaran kerana ingin ketahui apa yang kami lakukan," kata Pak Yeop yang bersyukur dengan izin Tuhan mereka berjaya mengharungi rintangan tersebut.


PAK YEOP (kiri) dan Shahool di hadapan Masjid Khalid Al-Walid di Syria.


Namun, demi ingin merakamkan aset berharga di bumi Palestin itu, semua kru program ini sanggup menempuh rintangan sepanjang penggambaran berlangsung.

"Mengapa kami mahu menerbitkan cerita ini dalam bentuk dokumentari adalah kerana saya sendiri pernah berada di Gaza, saya lihat betapa daifnya mereka dan apabila mereka ketahui kami dari Malaysia, mereka terus memeluk kami kerana menghargai kita yang ingin membantu," jelas Pak Yeop lagi.

Namun, masalah peperangan Palestin bukanlah maklumat baru yang diketahui umum. Ia telah terjadi di bumi itu sejak beratus tahun yang lalu seperti tanpa ada jalan penyelesaian.

Bagaimanapun, siri dokumentari ini bukan semata-mata menceritakan tentang kezaliman zionis ke atas bumi Palestin ini, ia juga menceritakan mengenai kedudukannya yang sangat istimewa di sisi agama Islam yang jelas dinyatakan di dalam al-Quran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SNR Multitech, Shahool Hameed Mohd Meerah, sebelum dokumentari itu berjaya direalisasikan, penyelidikan telah dilakukan bagi mengkaji semua aspek yang berkaitan dengan misi program ini untuk membuat dokumentasi kisah anbiya di bumi Palestin itu.

Ini kerana pengisian program itu bukan sahaja dari sudut agama Islam, tetapi juga meliputi dari sudut Kristian dan Yahudi juga turut mengatakan fakta yang diberi mereka benar.

Al-Quran sumber utama


MAKAM Khalifah Umar Abdul Aziz di Syria.


Istimewanya, penceritaan serta maklumat dalam dokumentari ini merupakan kajian yang telah dibuat selama tiga tahun yang mana kajian mendalam tersebut telah dijalankan dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber yang utama dan sebagai penyokong fakta, kitab Injil dan kajian pakar-pakar sejarah juga turut diambil.

"Walau bagaimanapun, jika sesuatu fakta itu bertentangan dengan al-Quran, maka kami akan tolak kerana kami yakin bahawa al-Quran adalah sumber paling benar dan tepat.

"Namun, jika dilihat, kebanyakan fakta daripada pakar sejarah menyatakan sememangnya mereka menyokong apa yang telah tertulis di dalam kitab suci, al-Quran," ujar Shahool.

Tambahnya, seringkali kaum Yahudi mengakui bahawa kaum mereka merupakan pewaris kepada kaum Bani Israel yang mana dahulunya pernah mengasas sebuah kerajaan di sana pada 3,000 tahun yang lalu.

Namun, setelah kajian menyeluruh dibuat sehingga ke zaman Nabi Adam AS yang mana kru program ini juga telah menuju ke perkampungan pertama Nabi Adam AS serta melawat kesan-kesan sejarah di situ termasuk makam dan sebagainya, akhirnya telah menemukan mereka satu jawapan yang pasti iaitu kaum Bani Israel sebenarnya diasaskan oleh kerajaan Islam ketika itu.


PERKAMPUNGAN Nabi Isa AS di Mau'lala di Jordan.


Di penghuung dokumentari ini, mungkin akan menimbulkan persoalan kelak kepada umat manusia yang mana ia akan menjurus kepada apakah tindakan seterusnya sebagai umat Islam dan manusia yang cintakan keamanan dalam menegakkan hak asasi manusia di atas muka bumi ini.

Ini kerana apa yang pasti, kesengsaraan yang berlaku di bumi Palestin itu bukanlah hanya berlaku terhadap umat Islam, namun ada juga umat bukan Islam yang turut merasai kepedihan yang tidak pernah selesai itu.

Memang tidak dinafikan apabila kru produksi berhijrah ke Gaza, jelas kelihatan masyarakat di sana yang sentiasa berada dalam keadaan susah termasuk tiada pekerjaan dan keperluan harian juga terganggu.

"Namun, apa yang membuat kami insaf iaitu apabila melihat kanak-kanak yang baru ingin mengenal dunia kerana menyaksikan trauma mereka terhadap peperangan. Akibat daripada peperangan tersebut, ada yang mengalami kecacatan tidak kiralah dari segi mental mahupun fizikal.

"Mereka juga masih mengharapkan bantuan untuk belajar dan sebagainya. Namun, ada insiden yang membuatkan kami terdetik rasa hormat kepada anak muda di sana. Mereka menyatakan tidak akan meninggalkan negara kelahiran mereka walau apa pun yang terjadi," bicara Pak Yeop yang kelihatan cukup terharu sepanjang bercerita tentang pengalamannya itu.

KOSMO 18 Ogos 2011

Saturday, August 13, 2011

Pesta ibadah di Masjidil Haram



UMAT Islam menunggu waktu berbuka puasa di perkarangan Masjidil Haram, Mekah.

ANTARA nikmat yang paling besar bagi umat Islam adalah peluang atau kesempatan berada pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Ia juga digelar Syahrul Quran kerana di dalamnya diturunkan al-Quran pada 17 Ramadan.

Tiada lafaz yang lebih bermakna selain alhamdulillah sebagai tanda bersyukur yang amat sangat ke hadrat ilahi yang memanjangkan usia kita sehingga dapat sekali lagi bertemu bulan Ramadan.

Antara perkara sunat yang semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada Ramadan adalah mengerjakan umrah. Manakan tidak, ganjaran pahala yang begitu besar menjadi tarikan kepada mereka yang berkemampuan.

Ia sebagai mana sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya: Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji. (riwayat Bukhari)

Justeru, tidak hairan saban tahun bilangan umat Islam di Malaysia yang menunaikan umrah pada bulan puasa semakin bertambah, biar pun kos perbelanjaan umrah dalam Ramadan lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain.

Di Masjidil Haram, kedatangan Ramadan disambut begitu meriah. Bagaikan pesta ibadat di mana setiap ruang dan inci masjid sentiasa dipenuhi mereka yang beribadat dan bermunajat kepada Allah SWT.

Masyarakat Arab begitu menunggu-nunggu ketibaan Ramadan. Ini dibuktikan apabila Masjidil Haram padat dan sendat pada setiap kali solat fardu.

Ini satu fenomena positif bagi umat Islam Malaysia yang berada di Mekah pada Ramadan. Sebabnya, kita juga terpengaruh dengan budaya masyarakat Arab yang datang awal ke masjid dan kemudian beriktikaf sementara menunggu masuknya waktu solat.

Umumnya, untuk mendapat tempat yang selesa dalam ruang masjid, seseorang perlu bergerak ke sana sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu solat fardu.

Untuk solat Jumaat pula, kita perlu berada di Masjidil Haram sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu solat pada pukul 12.30 tengah hari. Namun, tiada yang merungut.

Bagi yang datang lewat, mereka reda 'dibakar' matahari sementara menunggu waktu solat. Sebabnya terpaksa berada di tingkat paling atas yang berbumbungkan langit atau berada di dataran putih.

Jika ingin melihat orang 'bertengkar' mendapatkan ruang dalam saf, inilah masanya. Semuanya kerana mereka menyedari ganjaran besar yang menanti bagi mereka yang solat di Masjidil Haram iaitu 100,000 berbanding di masjid lain.

Sebab itu, mereka yang terlewat akan cuba menyelit di ruang-ruang yang sempit. Asalkan 'celus' kepala untuk sujud sudah memadai. Di sini, teruji kesabaran para jemaah. Sama ada mahu memberi laluan atau ruang kepada saudara yang lewat datang atau berkeras 'mempertahankan ruang' yang ada.

Dalam keadaan sulit begitu, berkat doa, selalunya ada sahaja individu yang menawarkan tempat untuk solat. Demikianlah antara keajaiban dan kuasa Allah yang sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya.

Tugas paling sukar adalah di kalangan anggota polis yang berada di sekeliling Masjidil Haram. Mereka perlu memastikan tiada laluan masuk ke masjid yang terhalang oleh para jemaah.

Namun, hal itu keadaan itu hanya boleh bertahan sebelum iqamat. Sejurus iqamat, hampir semua ruang dalam masjid dipenuhi jemaah daripada pelbagai pelosok dunia.

Selesai solat fardu, biasanya disusuli solat jenazah. Ini antara peluang menambah saham akhirat kerana sudahlah pahalanya 100,000, ia ditunaikan dalam bulan Ramadan.

Dalam hadis disebut bahawa pahala ibadat sunat diberi ganjaran ibadat fardu manakala ibadat fardu pula digandakan 70 kali. Demikian hebatnya bonus yang dijanjikan Allah kepada kita pada Ramadan.

Disebabkan ganjaran itu juga, ramai kalangan jemaah yang beriktikaf hampir setiap hari di masjid. Selepas solat fardu, mereka solat sunat diikuti dengan membaca al-Quran.

Selepas itu, mereka tidur sebentar. Bangun tidur, terus sambung membaca al-Quran dan solat sunat yang lain. Demikianlah rutin bagi 'para penghuni' Masjidil Haram sepanjang Ramadan.

Barangkali budaya tidur sekejap ini yang perlu dipraktikkan di negara kita. Hendaknya jangan pula pihak Ahli Jawatankuasa Masjid marah-marah atau 'mengusir' orang yang mahu tidur dan iktikaf.

Cuma individu yang mahu tidur itu pula perlu menjaga adab-adab dalam rumah Allah. Bak kata orang, janganlah pula sampai meleleh air liur basi di sejadah atau karpet masjid.

Sementara sebahagian besar umat Islam bertarawih, tidak kurang juga mereka yang bertawaf di Baitullah mengerjakan umrah.

Yang jelas, Kaabah tidak pernah sunyi daripada laungan talbiah labbaikallah humma labbaik....

Demikianlah hebatnya pesta ibadat di Masjidil Haram. Keadaannya persis tiada yang terlibat dalam perkara lagha seperti menonton program-program hiburan di televisyen.

Ramadan mendidik akhlak mulia

PERTANYAAN ini dimajukan oleh Nabi kepada para sahabatnya dan kepada umat Islam umumnya. Ini menunjukkan tidak sedikit dari kalangan orang Islam yang menahan makan dan minum pada bulan Ramadan, namun tidak mendapat apa-apa faedah dan pahala daripadanya.

Mulut yang berpuasa bukan sekadar tidak makan atau minum serta tidak memasukkan sesuatu yang membatalkan puasa. Puasa juga menuntut kita menahan mulut daripada perkara-perkara yang akan menghilangkan pahalanya.

Selain merehatkan jasad dan anggota badan, Ramadan juga medan melatih akhlak mulia. Imam Bukhari merekodkan hadis dari Nabi: Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.

Perintah menjaga pendengaran, penglihatan dan lidah atau ringkasnya menjaga adab dan akhlak tidak hanya khusus pada bulan Ramadan sahaja. Namun penekanan diberi pada bulan Ramadan ketika umat Islam berpuasa. Ini kerana orang-orang yang lapar berpuasa cenderung gagal mengawal emosi dan bertindak di luar kawalan. Sehingga lahir ungkapan 'bangsa yang pemarah adalah bangsa yang rakyatnya lapar.'

Banyak pakar-pakar kesihatan di seluruh dunia menyarankan untuk mengatasi amarah dengan makanan yang mengandung glukosa atau makanan peningkat suasana hati untuk mencegah rasa lapar. Salah satu makanan yang kaya dengan glukosa ialah makanan pilihan Nabi ketika berbuka puasa iaitu buah kurma.

Antara akhlak yang dituntut oleh Nabi ketika berpuasa termasuklah meninggalkan kata-kata dusta. Ia termasuk hal yang membatalkan pahala puasa.

Ini dijelaskan dalam hadis yang direkodkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya: Siapa yang puasanya tidak mencegah dari bercakap dusta dan melakukan kedustaan, maka Allah merasakan dia tidaklah perlu menahan makan dan minumnya (puasa).

Demikian juga meninggalkan hal yang tidak berfaedah dan sia-sia, Bukanlah puasa itu dengan semata-mata menahan diri dari makan dan minum, tetapi puasa itu ialah dengan menahan diri dari hal yang sia-sia dan perkataan yang keji. (Sahih Al-Jami As-Saghir) (riwayat Bukhari dan Muslim)

Hal yang sia-sia paling banyak dilakukan oleh orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadan. Antara kegiatan yang selalu dilakukan untuk menghabiskan masa di siang hari Ramadan ialah menonton televisyen, mendengar rancangan radio dan muzik-muzik di radio.

Secara umumnya kedua media ini menyajikan kandungan yang tidak berfaedah dan sia-sia. Bahkan ada kandungan khusus disiapkan untuk siaran Ramadan seperti drama sinetron. Manakala bulan puasa adalah bulan yang paling banyak rancangan bertemakan makan, baik makan bersahur, makan berbuka dan makanan hari raya. Maknanya, Ramadan sudah bertukar menjadi pesta makanan.

Sungguh-sungguh ia tidak mengiltizami semangat menahan lapar dan dahaga. Benarlah apa yang dikatakan oleh masyarakat Barat suatu ketika dahulu tentang televisyen sebagai idiot box.

Banyak lagi hal lain yang tidak dilakukan secara berlebihan melainkan pada bulan Ramadan. Demi menunggu waktu berbuka ramai yang memilih untuk window shoping di pasar raya dan pasar Ramadan. Ada juga yang bersiar-siar menaiki kereta pusing kota atau menunggang motosikal pusing kampung. Sedang umat Islam digalakkan perbanyak doa pada bulan Ramadan terutama menjelang waktu berbuka puasa.

Rujukan di sini.

Sunday, August 7, 2011

Semangat perang Badar di bulan Ramadan


IBADAT puasa pada bulan Ramadan diwajibkan bermula pada tahun 2 Hijrah, bersama dengan kewajipan membayar zakat.

Pada 2 Hijrah juga berlaku satu peristiwa yang amat signifikan dalam sejarah Islam. Perang Badar yang berlangsung pada 17 Ramadan adalah perang pertama di antara umat Islam dengan puak kafir musyrikin dari Mekah. Ia berlaku di satu kawasan lembah bernama Badar yang menjadi persimpangan perjalanan kabilah-kabilah perdagangan antara Madinah, Mekah dan Syria.

Pertempuran itu melibatkan dua pihak yang saling mengenali kerana hubungan kekeluargaan dan persahabatan sebelum kedatangan Islam. Misalnya di pihak kafir musyrikin terdapat bapa saudara Rasulullah SAW, Al Abbas bin Abdul Mutallib dan anak Saidina Abu Bakar yang bernama Abdul Rahman.

Sudah tentulah faktor ini merupakan satu ujian keimanan yang amat hebat kepada orang-orang Islam yang dipimpin Rasulullah dan disertai oleh para sahabat yang ternama termasuk Abu Bakar. Bukan sahaja soal kekeluargaan dan persahabatan yang menguji keimanan, malah kekuatan dari segi bilangan perajurit dan kelengkapan yang amat kurang berbanding pasukan musyrikin juga amat mencabar keyakinan pasukan Islam.

Menurut catatan sejarah, bilangan perajurit Islam adalah antara 300 hingga 316, berbanding kira-kira 1,000 anggota pasukan musyrikin. Mereka menunggang dua ekor kuda dan 70 ekor unta secara bergilir dari Madinah. Bukan sahaja kurang dari segi keanggotaan dan kelengkapan, malah perajurit-perajurit Islam juga sedang menjalani ibadat berpuasa Ramadan yang pertama dalam hidup mereka. Namun di sebalik pelbagai kekurangan itu, mereka mempunyai satu kelebihan.

Kelebihan mereka ialah iman atau keyakinan bahawa Allah SWT akan memberikan pertolongan dan kemenangan. Sungguhpun begitu, ada juga yang asyik bertanya kepada Rasulullah: "Bila Allah akan memberikan kita kemenangan?"

Lantaran pertanyaan-pertanyaan mereka, Rasulullah berasa terdesak dan tidak henti-henti memanjatkan doa kepada Allah agar diberikan kemenangan dalam peperangan yang pertama ini. Di antara kata-kata baginda dalam doanya sebelum berperang ialah "Ya Allah, andainya orang-orang Muslim tewas pada hari ini, mereka tidak akan lagi menyembah-Mu."

Memendekkan cerita, dengan pertolongan Allah yang memerintahkan para malaikat membantu tentera Islam, mereka mencapai kemenangan. Kemenangan mereka disambut dengan takbir yang bergema lantang, syahdu dan bertali arus di Madinah apabila tibanya Aidilfitri pertama pada 1 Syawal berikutnya

Sesungguhnya semangat tentera Islam yang berperang pada bulan Ramadan dengan kekurangan serba-serbi wajar menjadi inspirasi perjuangan kepada kita umat Islam pada hari ini. Apalah sangat perjuangan kita sekadar melawan nafsu makan dan nafsu syahwat berbanding mereka yang terpaksa berjalan kaki beratus-ratus kilometer ke medan perang sambil berpuasa dan hanya mampu bergilir-gilir menunggang kuda dan unta, yang pasti amat mencabar keupayaan fizikal mereka.

Sebaliknya ramai di antara kita pada hari ini begitu mudah berasa lesu apabila tiba waktu tengah hari pada bulan Ramadan. Ada yang terus tertidur di surau atau masjid selepas menunaikan solat zohor. Malah ada yang bangun hanya apabila kedengaran azan solat Asar.

Jika ditanya, mereka ini akan memberikan pelbagai alasan. Ada yang berbangga menyatakan mereka bertadarus selepas solat terawih 20 rakaat. Ada pula yang bangun tengah malam untuk bersolat tahajud. Pendek kata, segala solat sunat mahu dilakukan sepanjang malam Ramadan kerana mahu mengejar pahala. Akibatnya apabila sampai waktu tengah hari, ramai yang tidak produktif lagi dalam urusan kerja mereka.

Ada yang tidak boleh memberikan tumpuan apabila bermesyuarat. Ada yang melakukan banyak kesilapan dalam mencatat dokumen. Malah ada yang ponteng kerja kerana tertidur di surau dari selepas solat Zohor hingga terlajak ke waktu Asar. Bukankah mereka ini sudah melanggar amanah dengan majikan mereka. Orang beriman pastinya beramanah?

Tidakkah mereka ini pernah terbaca atau mendengar hadis popular yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosa mereka."

Memang lumrah manusia mengantuk apabila kurang tidur, tetapi siapakah yang menyuruh kita berjaga sepanjang malam pada bulan Ramadan? Sebab itulah Rasulullah hanya menunaikan solat tarawih lapan rakaat secara berjemaah di masjid dan yang lebih sehingga 20 rakaat dilakukan bersendirian di rumah. Sebabnya baginda tidak mahu umatnya melakukan perkara yang mereka tidak berupaya melakukan dengan ikhlas.

Pernah baginda berpuasa tanpa berbuka sehingga keesokan harinya dan cuba diikuti oleh para sahabat. Tetapi baginda melarang dengan penjelasan bahawa beliau sentiasa "diberi makan dan minum oleh Allah." Ertinya baginda tidak sama dengan umatnya dari banyak segi.

Mengimarah

Pada hari ini, kebanyakan masjid dan surau di bandar-bandar besar berlumba-lumba mempamerkan siapakah yang lebih hebat mengimarahkan Ramadan. Lalu dipanggil hafiz untuk menjadi imam supaya dapat khatam Quran melalui bacaan solat Tarawih. Ada juga yang dengan bangganya mengumumkan bahawa solat tarawih mereka akan dipimpin oleh imam dari Mekah. Yang tidak memperoleh hafiz akan menggunakan sebesar-besar Quran dengan kanta yang diletakkan di depan imam. Kusyukkah si imam apabila membaca dengan menatap Quran? Dan adakah kita bersolat kerana Allah atau mahu mendengar bacaan sedap imam Mekah.

Sama ada betul atau tidak, apa yang kita lakukan dalam konteks beribadat pada bulan Ramadan, boleh dicerminkan dengan memperhalusi maksud hadis nabi di atas. Kunci kepada hadis itu ialah 'berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan.' Tidak pula disebut beserta solat Tarawih 20 rakaat atau bermakmumkan imam khatam Quran? Apakah dengan membaca surah-surah lazim yang pendek semasa solat Tarawih tidak melayakkan seseorang mendapat keampunan Allah?

Wajar difahami maksud 'keimanan dan keikhlasan' yang Rasulullah tegaskan dalam hadis itu. Seseorang yang melakukan ibadat dengan ikhlas tidak mengharapkan balasan daripada Allah. Kita bukan pekerja tetapi hamba kepada-Nya. Pekerja meminta upah bagi setiap yang dikerjakan, tetapi hamba melakukan segala suruhan atas dasar ketaatan atau ketakwaan, iaitu sifat-sifat orang beriman.

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." - Al Baqarah 2: 183

Jauh sekali daripada hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain yang kita ini kuat beribadat pada bulan Ramadan. Menunjuk-nunjuk atau berlumba-lumba mempamerkan kelebihan adalah sifat riak yang Allah benci.

Maka lakukanlah puasa dan iringi dengan ibadat-ibadat sunat dengan penuh keimanan dan keikhlasan. Janganlah menghitung pahala kerana itu sifat pekerja, bukannya sifat hamba. Allah menilai segala ibadat kita bukan sekadar daripada apa yang kita zahirkan, tetapi lebih kepada apa yang tersemat di hati kita. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Bersolat Tarawihlah mengikut kemampuan dan keikhlasan, sama ada 8, 10, 12...hatta 20 rakaat. Jika tidak sempat berjemaah di masjid, lakukan di rumah bersama isteri adalah memadai. Bacalah Quran dan dalami maksudnya, bukan sekadar bertadarus tanpa memahami apa yang dibaca. Lebih baik membaca sekadar 10 ayat dan menjiwai kandungannya, daripada membaca 100 ayat tanpa memahami maksudnya.

Bersedekahlah dengan ikhlas sekalipun sedikit. Sedekah RM10 bagi orang yang berpendapatan RM1,000 sebulan adalah lebih besar pahalanya daripada sumbangan RM100 seorang jutawan kerana nilai sedekah terletak pada rasa sayang dan berharganya sesuatu barang itu kepada orang yang bersedekah. Bersedekahlah dengan ikhlas sekalipun hanya RM1.

Yang paling pokok, tingkatkan kualiti rohaniah kita. Ujian sebenar ialah bagaimana kita dapat mengawal nafsu, emosi dan melawan sifat-sifat buruk mazmumah ketika diri dalam keadaan lapar, dahaga, letih dan lesu. Perbanyakkan doa memohon keampunan-Nya, minta kemaafan ibu bapa, kaum keluarga dan orang- orang di sekeliling kita. Mudah-mudahan kita akan tampil sebagai orang yang lebih beriman dan bertakwa setiap kali berakhirnya Ramadan.

Rujukan di sini

Monday, August 9, 2010

Ramadan bulan ibadat, tambah rezeki, rezeki melimpah

ESOK tengok anak bulan Ramadan bagi menentukan tarikh permulaan puasa. Sama-samalah kita nantikan pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Majlis Raja-Raja.

Tentunya umat Islam sudah tidak sabar menanti kehadiran bulan yang penuh keberkatan ini. Semoga kita diberi ‘kekuatan’ untuk menunaikan salah satu daripada Rukun Islam itu. Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sebaliknya ia turut mengingatkan umat Islam untuk tidak melakukan perbuatan atau tindakan yang boleh mengurangkan ganjaran pahala atau membatalkan puasa. Bukanlah bermakna di luar Ramadan kita bebas melakukan apa yang dilarang. Ramadan mampu mengajar atau membentuk diri kita untuk meninggalkan perkara-perkara yang dilarang. Apa pun fadilat puasa lebih daripada itu. Jadi janganlah menjadikan puasa sebagai bulan pesta makan ketika menghampiri waktu berbuka atau pesta membeli-belah menjelang Hari Raya Aidilfitri. Sebaliknya jadikan Ramadan ini bulan ibadah, muhasabah diri atau menilai semula apa yang dilakukan. Hidup di dunia ini hanya sementara, tidak ada apa yang boleh dibawa selepas mati kecuali amal ibadat. Semua orang tahu perkara ini tetapi kadang-kala orang mudah lupa dan menjadi ‘jahil’ dilanda ‘godaan’ dunia. Maka coretan ini sekadar ingatan sempena kehadiran bulan yang mulia ini. Sama-samalah kita penuhkan surau dan masjid dengan majlis-majlis ilmu ketika waktu makan (solat zuhur) dan waktu minum petang (waktu asar) dan pada sebelah malamnya pula dengan solat sunat tarawih dan witir.

Tidak perlulah berkomentar lagi sama ada hendak dilakukan lapan rakaat tarawih campur tiga witir (8+3) atau 20 campur 3 (20+3). Isu ini sering timbul pada bulan Ramadan. Ada yang nak buat lapan dan ada pula nak buat 20. Pada masa yang sama ada pula yang menyelitkan dengan tazkirah serta tahlil. Terpulanglah kepada jawatankuasa surau dan masjid sama ada nak teruskan dengan tazkirah atau solat tarawih terus menerus tanpa diselitkan tazkirah. Tarawih datang setahun sekali tetapi tazkirah boleh diadakan pada bila-bila masa. Jangan jauhkan ahli jemaah yang berkobar-kobar untuk menunaikan solat sunat setahun sekali itu. Tidak dinafikan, tazkirah selepas solat menyebabkan ramai yang angkat kaki sebaik sahaja selesai tarawih . Tetapi adalah lebih baik jemaah ‘lekat’ di surau/masjid daripada angkat kaki selepas sunat tarawih dihentikan untuk memberi laluan kepada tazkirah. Dan tazkirah pula janganlah diserapkan unsur-unsur politik, tak kiralah sama ada yang memihak kepada pihak kerajaan yang memerintah atau sebaliknya. Janganlah kita musnahkan hubungan erat silaturahim, kasih sayang dan perpaduan semasa solat berjemaah dengan tazkirah yang berunsurkan politik. Ingatlah tidak semua jemaah ahli parti politik. Malahan ada yang langsung tidak peduli soal politik.

Pada masa yang sama seperti saranan Mufti Perak, Harussani Zakaria kelmarin, kehadiran Ramadan harus dijadikan ruang terbaik kepada orang Melayu merapatkan hubungan seterusnya mewujudkan perpaduan yang utuh.

Diharapkan kenyataan itu tidak pula dianggap rasis. Sekarang ini, pantang disebut Melayu dan usaha mempertahankan Melayu kerana ia akan dianggap rasis. Kata Harussani, sekiranya masyarakat Islam benar-benar menghayati hikmah bulan yang mulia ini, mereka akan bersedia untuk menghilangkan perasaan angkuh, bongkak dan ego masing-masing.

Tetapi Harussani sekadar boleh mengeluarkan kenyataan itu sebagai peringatan daripada seorang mufti. Terserahlah kepada mereka di luar sana untuk mengingati ingatan itu kerana sebelum ini, orang politik mempunyai ‘fatwa’ mereka sendiri. Mereka tidak peduli itu semua. Mereka cakap apa sahaja termasuk maki hamun dan mengaibkan orang lebih-lebih lagi semasa kempen pilihan raya kecil. Orang politik yang angkuh, bongkak, sombong dan ego itu tidak pernah peduli bulan yang mulia asalkan matlamatnya ‘meracuni’ fikiran rakyat tercapai dalam usaha mengekalkan kuasa politik atau mahu ‘menakluki’ takhta politik.

Mungkin mereka ini tidak dapat menghayati Ramadan dengan sebenar-benarnya. Tetapi seperti disebut sebelum ini, mereka mempunyai ‘fatwa matlamat menghalalkan cara’.

Seperti kata Harussani, hanya orang yang tidak faham falsafah di sebalik keberkatan Ramadan akan kekal dengan sikap mereka itu.

Namun, majoriti umat Islam sudah tentu mahu menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

Pada bulan ini juga, akan banyaklah majlis berbuka puasa. Di samping meraikan saudara mara, sahabat handai, rakan-rakan perniagaan, banyak pihak tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim. Maka berlumba-lumba orang ramai mahu menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim ini. Di samping berbuka, sumbangan turut diberikan untuk persiapan hari raya. Bagi orang korporat pula, bukanlah tujuan mereka mahu menunjuk-nunjuk tetapi ia tanda mensyukuri nikmat yang diberi. Hasil yang diperoleh mahu dikongsi bersama dengan orang-orang yang tidak mampu. Maka diharapkan, ketika sumbangan mencurah-curah itu, tidak ada rumah anak yatim terpaksa menolak rezeki pihak yang mahu menaja majlis berbuka puasa.

Bagi peniaga pula, Ramadan juga memberi peluang kepada mereka untuk menambah pendapatan. Mereka sama ada menjual juadah berbuka/bersahur atau menjual pakaian serta persiapan menyambut hari raya. Pihak berkuasa tempatan eloklah memberi peluang kepada orang Melayu Islam ini untuk menambah pendapatan.

Tidak payahlah kecoh-kecoh dengan rezeki setahun sekali itu.

Namun apa yang berlaku di Pulau Pinang menarik perhatian. Peristiwa yang hampir sama berulang lagi. Tahun lalu, suasana di kaki lima berdekatan Bazar Chowrasta, Jalan Penang kecoh gara-gara tindakan kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) cuba menghalau peniaga Bazar Ramadan di situ. Mereka sudah berniaga di situ setiap kali Ramadan sejak 24 tahun lalu. Akhirnya selepas didesak, mereka dibenarkan berniaga semula.

Tahun ini, giliran Bazar Ramadan di tingkat tiga Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pula. Sebanyak 27 peniaga yang khabarnya sejak 20 tahun lalu berniaga di situ setiap kali menjelang hari raya. Begitulah nasib peniaga-peniaga kecil Melayu Pulau Pinang. Tidak perlulah diulas setinggi Komtar masalah peniaga Melayu ini. Bukan lagi pi mai pi mai tang tu, tetapi mereka dah kena ‘angkat kaki’. Melayu tak boleh lagi duduk di situ.

Bagi orang politik terutama wakil rakyat, Ramadan juga memberi peluang mendekati rakyat. Tempoh sebulan itu boleh dimanfaatkan untuk bersama rakyat sama ada ketika berbuka puasa atau solat tarawih. Ramai orang politik menjelajahi satu persatu surau dan masjid di kawasan masing-masing. Bukanlah bermakna sebelum ini mereka tidak berbuat demikian tetapi sentuhan Ramadan ada kelebihannya. Begitulah di sebalik kedatangan Ramadan. Selamat berpuasa!

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin