Showing posts with label Sains dan Islam. Show all posts
Showing posts with label Sains dan Islam. Show all posts

Friday, March 5, 2010

FACEBOOK: Photos & Tagging Yang Mengundang Dosa


Ketika mula-mula saya mendaftar dan menyertai laman rangkaian sosial Facebook, saya tertarik dengan satu fungsi dalam aplikasi ‘Photos‘ yang dikenali sebagai ‘Tagging‘. Mungkin dalam Bahasa Melayu boleh diterjemahkan sebagai ‘penandaan’.

Fungsinya, pengguna Facebook yang muat naik gambar ke dalam album fotonya boleh melakukan ‘tagging‘ iaitu menanda pengguna-pengguna lain yang ada dalam gambar tersebut. Aturannya ringkas, semudah ABC, dan hasilnya gambar-gambar yang ditanda itu secara automatik akan masuk dalam senarai ‘Photos of‘ bagi pengguna lain yang ditanda.

Menariknya fungsi ‘tagging‘ dalam aplikasi ‘Photos‘ ini, ialah semua gambar-gambar yang dilakukan tagging kepada seseorang pengguna akan terkumpul di bahagian ‘Photos‘ di profile nya. Mungkin pengguna tersebut tidak pernah mempunyai atau melihat gambar yang ditagkan itu. Tetapi ‘tagging‘ membantu pengguna mendapatkan dan mengumpulkan gambar-gambarnya yang ada pada orang lain. Itu dari sudut positifnya.

Dari sudut yang lain, tagging adalah satu operasi penyebaran gambar kepada khlayak pengguna Facebook secara berleluasa. Lagi banyak nama-nama yang ditag pada satu-satu gambar, bererti makin ramai pengguna yang dapat melihat gambar tersebut. Contohnya, satu gambar ditagkan kepada 10 pengguna, dan setiap pengguna secara purata mempunyai 200 orang kawan atau ‘friends‘. Bererti sekurang-kurangnya 2000 pengguna dapat menatap gambar tersebut.

Jadi apa masalah dengan penyebaran gambar ini? Masalahnya ialah apabila gambar yang ditagkan kepada ramai pengguna itu mengandungi unsur yang tidak baik. Contohnya, pendedahan aurat atau lain-lain kandungan yang mengaibkan dan menjatuhkan maruah.

Saya sedih melihat sebahagian rakan-rakan pengguna Facebook yang makin terhakis rasa malunya. Tidak segan memuat naikkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat lagi mengaibkan. Yang lelaki meletakkan gambarnya tanpa berbaju, memperagakan pusatnya, berseluar pendek, menampakkan pehanya. Yang perempuan meletakkan gambar sekumpulan anak dara waktu di asrama wanita dengan masing-masing berpakaian tidur mendedahkan rambut dan aurat lain.

Kemudian, gambar-gambar mengaibkan ini disebarkan pula dengan cara tagging kepada pengguna lain seberapa ramai yang boleh. Sekurang-kurangnya dia telah melakukan dua kesalahan.

Pertama: Memuat naikkan gambar yang mendedahkan aurat, dan memberi peluang kepada pengguna lain dari kalangan rakan-rakannya menatap gambar-gambarnya yang mendedahkan aurat. Hukumnya, rata-rata ahli fatwa berautoriti pada zaman kini berpendapat memperlihatkan gambar mendedahkan aurat kepada orang lain adalah haram. Ia termasuk dosa bantu-membantu dalam perkara maksiat.

Kedua: Menyebarkan gambar tersebut kepada rakan-rakan pengguna lain melalui fungsi ‘tagging‘, mendedahkan lagi gambar tersebut kepada khalayak pengguna yang lebih ramai. Dosanya lebih besar, kerana dia menjadi penyebab kepada berleluasanya satu maksiat kepada Allah. Kaedah dalam agama menyatakan orang yang menunjukkan kepada satu kejahatan, akan dibebankan dengan dosa tersebut dan dosa orang yang melakukannya.
Amat malang orang yang dibebankan dengan dosa yang banyak lagi berterusan, disebabkan oleh perbuatannya menyebarkan gambar yang demikian.

Saya menyeru kepada semua rakan-rakan pengguna Facebook, jika ada gambar-gambar yang dimuat naikkan mengandungi unsur yang mendedahkan aurat dan mengaibkan, wajarlah ia dipadam. Jangan memandang perkara ini satu isu remeh. Kerana resam orang beriman, melihat satu dosa umpama gunung yang hampir menghempapnya. Sebaliknya resam orang kafir, melihat satu dosa umpama lalat yang hinggap di batang hidungnya.
Sumber :- Abuumair

Sunday, July 26, 2009

Hikmah Cara Islam


Barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap perbuatan menyembelih haiwan yang dilakukan umat Islam mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana banyak darah tertumpah ke bumi terutama ketika amalan korban pada Aidiladha.

Malah, ketika kempen keganasan sibuk dilancarkan oleh Barat, mereka menggunakan alasan amalan korban ini sebagai satu daripada hujah mereka bagi membuktikan betapa Islam mengajar umatnya menjadi ganas.

Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya haiwan dikenakan kejutan elektrik di kepala sebelum dibunuh, kononnya bagi memastikan haiwan itu pengsan terlebih dulu sebelum ia dibunuh. Selain itu, kononnya tindakan mereka itu bertujuan untuk menghalang binatang berasa sakit sebelum ia mati.

Apakah pandangan Barat ini benar?

Pendirian Islam mengenai apa yang boleh dimakan dan apa yang diharamkan adalah jelas terutama membabitkan daging. Dalam Surah al-Maidah ayat 5, Allah menyatakan: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala.”

Selain itu, Islam juga mengharamkan memakan daging haiwan tanpa disembelih seperti mencucuk leher, menghempap dengan batu atau cara selain daripada sembelihan.

Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Kaedah ini dikaji pakar Jerman. Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar.

Kajian itu bertajuk, `Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing’, menyimpulkan kaedah Islam terbaik kerana lebih berperikemanusiaan. Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada haiwan.

Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu. Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP)

Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP. Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan. Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit.

Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan. Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan. Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.

Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan itu. Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan. Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia.

Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas A&M dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada. Ia menyatakan, kaedah kejutan pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi) menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang haiwan itu.

Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan saraf tunjang adalah bahagian yang paling terjejas teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke daging.

Malah, lebih menggemparkan, kaedah ini digunakan ke atas 30 hingga 40 peratus lembu yang dimatikan untuk diambil dagingnya di Amerika Syarikat. Malah, kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia juga mendapati daging menjadi lebih lembut berbanding daging yang tidak disembelih menurut Islam seperti ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelih dan tidak sembelih.

Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia. Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan dengan lebih baik.

Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW pernah mengarahkan supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi mengurangkan rasa sakit. Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan dengan pantas bagi memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan kepada otak.

Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih. Pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang.

Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya, kata Dr Aisha El-Awady, yang menulis dalam Islamonline pada 2003. Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad SAW juga menegaskan, adalah tidak wajar seseorang penyembelih, menajamkan pisaunya di depan haiwan yang akan disembelih atau menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain. Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha menyatakan, kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang. “Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih. “Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging. Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma,” kata Aisha dalam kajiannya.

Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat berkempen supaya menggunakan kaedah Islam ketika proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman mereka terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Rujukan dari Akhi Razak di sini.

Friday, April 17, 2009

Nik Nur Madihah pilih Jordan lanjutkan pelajaran

KUALA LUMPUR – Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Muhd. Kamal, 18, memilih Jordan untuk melanjutkan pelajaran di bawah biasiswa Bank Negara Malaysia.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah melakukan solat Istikharah dengan memilih bidang Fizik Islam.

“Saya akan berlepas ke sana pada bulan Ogos atau September ini.

“Buat masa ini saya sedang membuat penyelidikan bersama pihak Bank Negara untuk memilih universiti terbaik dalam bidang Fizik Islam,” katanya.

Nik Nur Madihah berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan buku kisah hidupnya bertajuk Catatan Hati Nik Nur Madihah terbitan Hijjaz Records Publishing (HRP) di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah ibu dan bapanya, Mariyani Omar dan Nik Muhd. Kamal Husin.

Nik Nur Madihah yang fasih berbahasa Arab memberitahu, dia masih tidak percaya kisah hidupnya dibukukan dan berharap pembaca akan mengambil ilmu dalam buku itu sebagai pengajaran dalam hidup.

Buku berharga RM25.90 itu akan mula dijual hari ini dan ia diterbitkan oleh Pengurus HRP, Faizal Osman dengan dibantu oleh Ummu Hani Abu Hassan.

http://kosmo.com.my

Saturday, January 31, 2009

Kebenaran maklumat sains cungkil rahsia al-Quran

ADA rasul dan nabi dikurniakan mukjizat iaitu pemberian Allah untuk melakukan perkara luar biasa yang tidak mengikut kaedah sebab musabab. Mukjizat adalah antara bukti kenabian.

Mukjizat terbahagi dua iaitu hissi dan aqli. Mukjizat hissi dalam bentuk yang boleh dikesan pancaindera (dilihat, didengar atau disentuh) dan bertindak secara fizikal seperti tongkat Nabi Musa bertukar menjadi ular atau Nabi Musa menyembuhkan orang buta sejak lahir. Mukjizat aqli hanya mampu difahami manusia dengan akal sihat, bebas daripada emosi dan prasangka serta dengan mata hati yang masih boleh menerima hidayah. Satu-satunya mukjizat aqli ialah al-Quran.

Keagungan dan kebenaran kandungan al-Quran tidak dapat disangkal sesiapa. Hal ini membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Kandungan al-Quran tidak mampu dicipta sesiapa selain Allah Maha Pencipta.

Firman Allah bermaksud: “Maka apakah mereka tidak memerhatikan al-Quran? Kalau sekiranya al-Quran itu bukan dari Allah, tentulah mereka mendapat percanggahan yang banyak di dalamnya.” (Surah an-Nisa, ayat 82)

Menurut doktor perubatan Perancis, Maurice Bucaille (1978) dalam bukunya The Bible The Quran and Science, “Sementara ada kesalahan amat ketara dalam Bible, saya tidak mendapati satu kesalahan pun dalam al-Quran.”

Bible yang menjadi kitab orang Kristian asalnya diturunkan Allah yang dinamakan Injil. Bagaimanapun, Bible sekarang banyak diubah pendeta Kristian mengikut kemahuan mereka. Tindakan pendeta itu tidak ubah seperti tikus membaiki labu. Semakin banyak diubah, lagi jelas kesalahannya.

Sebagai umat Islam, cukup kita mempercayai Allah pernah menurunkan Injil kepada Nabi Isa tetapi tidak perlu berpegang kepada Bible yang diubah sekarang. Tambahan pula, Injil sudah ‘dihapuskan’ sebaik turun al-Quran yang lengkap kandungannya dan tidak perlu lagi kitab lain sebagai tambahan.

Perlu diingatkan, ada pihak yang sengaja memesongkan akidah umat Islam dengan menyebut kita wajib mempercayai kandungan Bible sekarang dengan alasan setiap umat Islam wajib percayakan kitab Allah sebagai Rukun Iman yang wajib diyakini.

Biarpun al-Quran sudah diturunkan kira-kira 1,400 tahun lalu, manusia masih belum mampu membongkar semua kandungannya. Semakin banyak dikaji, semakin banyak manusia berasakan tidak mengetahui mengenainya.

Banyak maklumat sains dalam al-Quran dibongkar dan diakui kebenarannya oleh pakar termasuk bukan Islam. Mereka mengakui kandungan dalam al-Quran bukan direka Nabi Muhammad SAW. Tidak mungkin maklumat setepat al-Quran dapat dicipta atau dikarang manusia.

Perkara yang dijelaskan dalam al-Quran mengenai sains wajar dijadikan pemangkin supaya umat Islam mencari lebih banyak pengetahuan untuk dimanfaatkan dalam kehidupan manusia. Sesungguhnya Islam amat mementingkan ilmu pengetahuan termasuk berkaitan sains.

Sebenarnya dalam Islam, segala ilmu penting untuk kebaikan. Manusia lebih mengenali Maha Pencipta apabila mengetahui lebih banyak mengenai ciptaan-Nya. Encyclopedia Britannica edisi kesembilan mencatatkan Islam tidak pernah memisahkan antara ilmu sains dengan ketuhanan.

Islam menyuruh umatnya memanfaatkan seluruh kejadian alam dan ini hanya dapat dilakukan jika dilakukan dengan ilmu. Jika Islam menolak sains, pasti hal berkaitan sains tidak dimasukkan dalam al-Quran.

Sebenarnya tidak ada agama selain Islam yang turut mencatatkan kejadian alam semesta, malah ada kira-kira 750 rujukan berkaitan ilmu dalam kandungannya.

Ayat berkaitan kosmologi (mengkaji asal-usul, proses, dan struktur alam semesta) menyebut mengenai langit dan bumi sebanyak 29 ayat; planet, bintang dan orbit (15), musim (25), penerbangan angkasa lepas (lima), tahi bintang (empat), kehidupan di angkasa lepas (59) dan angkasa lepas (lapan).

Selain sebagai ilmu, kandungan al-Quran berkaitan sains mengajak manusia memperteguhkan tauhid mengesakan Allah. Banyak ayat al-Quran mengajak manusia berfikir serta mengkaji dan memahami tabii alam.

Firman Allah bermaksud: “Maka apakah kamu tidak menggunakan akal?” (Surah al-Anam, ayat 32)

Mengagumi kandungan al-Quran menjadi inspirasi kepada sarjana Islam dulu yang berjaya menemukan banyak ilmu sains yang menjadi asas kepada ilmu sains dan teknologi sekarang.

Mereka berusaha bersungguh-sungguh memartabatkan Islam sebagai agama yang syumul. Nama seperti al-Biruni, Nazir, al-Dinb, Ibnu Sina, Muhammad Ibnu Musa al-Khuwarizmi, Ibnu Yunus dan Habsah al-Hasib mencungkil dan mengemukakan teori sains mereka berdasarkan pengetahuan asas yang diperoleh daripada al-Quran.

Penguasa atau pemerintah umat Islam pada era kebangkitan Islam dulu memberi kedudukan tinggi kepada ahli sains. Pakar sains dalam sesuatu bidang ditugas melakukan kajian untuk manfaat umum.

Contohnya, kumpulan ahli astronomi diketuai Muasa ibn Shaki diarahkan Khalifah al-Mamum mengukur lilitan bumi. Mereka dapat mengira lilitan bumi di Khatulistiwa sepanjang 40,253.4 kilometer. Anggaran dibuat pada hari ini ialah 40,068 kilometer. Perbezaannya ialah 185.4 kilometer atau 0.46 peratus.

Perintah itu berdasarkan hakikat bahawa bumi itu bulat, maka ia ada ukur lilitnya. Maklumat mengenai bumi bulat banyak dijelaskan dalam al-Quran, biarpun tidak secara khusus.

Banyak ayat al-Quran menjelaskan mengenai bumi dan setiap satu mempunyai kaitan yang jika dikaji secara menyeluruh menemukan maklumat lebih tepat mengenai bumi serta cakerawala lain.

Perkara itu dilakukan ilmuwan Islam dulu. Mereka mengumpul setiap maklumat termasuk yang ditemui atau diperkatakan ahli sebelumnya dan dipadankan pula dengan apa yang dijelaskan dalam al-Quran. Hasilnya, mereka mendapat satu keputusan lebih tepat dan menjadi rujukan ahli dalam bidang berkenaan sehingga ke hari ini.

Tidak dapat disangkal bahawa asas ilmu atau penemuan dilakukan ilmuwan Islam menjadi pencetus kepada kajian seterusnya oleh ilmuwan Barat. Semua kajian itu bermula daripada apa yang dijelaskan dalam al-Quran.

Christopher Columbus (1451 - 1506 Masihi) mengakui naluri atau dorongan kuat untuk belayar ke arah barat dari Eropah sehingga menemui benua Amerika berdasarkan rujukan tulisan ilmiah kitab geografi Ibn Rushd.

Justeru, umat kini perlu bangkit untuk meneruskan apa yang pernah dicapai tokoh ilmu sains Islam dulu. Masih terlalu banyak kandungan dalam al-Quran memerlukan penelitian untuk dimanfaatkan.

Sekarang kandungan al-Quran semakin banyak dikaji pakar sains bukan Islam. Mereka mendapati apa terkandung dalam al-Quran adalah benar. Ada antara mereka yang menganut Islam selepas mengkaji kandungan al-Quran. Sedangkan sebahagian yang lain hanya menjadikan al-Quran bahan kajian, juga tidak mampu untuk menolak kebenarannya.

Jika bukan Islam berminat terhadap kandungan al-Quran, mengapa umat Islam tidak mengambil kesempatan itu. Orang Islam kini hanya membaca al-Quran, tetapi tidak cuba mencungkil rahsia di sebalik setiap isi terkandung dalam 6,666 ayat itu.

Rujukan di sini

Thursday, October 30, 2008

Muslimah dan gambar

MUQADDIMAH

Terkadang bila melayari weblog-weblog rakan, menjelajah ke dalam dunia maya bagi manusia yang memayakan diri mereka, saya merasa hairan melihat sesetengah weblog muslimah, yang bertudung, yang menutup aurat, tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing. Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda, ya muslimah sekalian, namun, sayangnya, anda terlupa bahawa gambar yang anda posting itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!


MUSLIMAH & GAMBAR : ADA APA DENGANNYA?

Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu. Sahabat kamu. Yang enggan melihat wajah-wajah anda itu, dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ianya ditutup dari pandangan umum?

Muslimahku,
Dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari, satu weblog, mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya setiap hari. Di kalangan mereka ada yang bagus, yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.” Namun, kita harus akui, bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.

Muslimahku,
Kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih instant, sesegera mee segera yang sama kerosakan yang dibawanya, penyakit hati.

Alangkah malangnya, kalau wajah-wajah anda yang terpamer itu, mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki, yang beriman akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya, akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda….Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet!

Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi, dengan tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, hati-hatilah!

PENYELESAIANNYA….

Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya. Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?

Kerana weblog-weblog dan web foto itu milik anda, seharusnyalah anda kecilkan wajah-wajah anda dengan mengecilkan saiz gambar itu. Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar pada rakan muslimah anda itu.

Ingat, wajah anda, anugerah Allah. Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.

Wallahu A’lam..

Dipetik daripada :
http://www.iluvislam.com.../

Monday, May 12, 2008

Al-Quran dikagumi saintis

MEMBACA buku bertajuk Quran Saintifik-Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains Dr. Danial Zainal Abidin mampu membawa pembaca kepada bukti kebesaran Allah bahawa kandungan al-Quran bukan setakat ibadat semata-mata serta sejarah umat terdahulu malah ia turut menyentuh segala perkara termasuk ilmu sains.


Malah apa yang lebih menarik ramai di kalangan saintis Barat serta saintis di benua Asia yang bukan beragama Islam mengakui kebenaran al-Quran setelah mereka membaca tafsiran ayat-ayatnya yang memperkatakan ilmu sains.


Sebagai contoh dalam satu bab di dalam buku ini penulis menceritakan bagaimana seorang pakar dalam bidang anatomi yang berasal dari Thailand, Prof. Tejatat Tejasen akhirnya memeluk Islam selepas mengakui kehebatan al-Quran.


Bekas dekan Fakulti Perubatan Universiti Chiang Mai itu memeluk Islam ketika berucap di seminar perubatan ke-8 yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi.


Kata Tejasen ''Tiga tahun lepas saya amat berminat dengan al-Quran. Saya meyakini segala apa yang dinyatakan dalam al-Quran seribu empat ratus tahun dahulu adalah benar kerana ia boleh dibuktikan secara saintifik.


''Oleh sebab Muhammad (Rasulullah) tidak tahu membaca dan menulis, beliau semestinya merupakan seorang utusan yang menyampaikan kebenaran daripada Tuhan mencipta. Pencipta itu semestinya Allah, justeru saya rasa sudah sampai masanya untuk saya berkata 'Lailahaillallah Muhammadur Rasulullah''.


Dalam bab yang sama penulis juga menceritakan kekaguman Dr. Gary Miller yang merupakan seorang pakar matematik di samping seorang tokoh dalam ilmu teologi Kristian terhadap al-Quran. Pada tahun 1978, beliau dihadiahkan dengan sebuah al-Quran terjemahan Inggeris.
Ilmu yang beliau peroleh daripada al-Quran kemudian mengubah hidupnya kerana selepas itu beliau memeluk Islam.


Antara petikan menarik Miller dan tulisannya yang bertajuk The Amazing Quran ''Seperkara yang mengejutkan golongan bukan Islam selepas mengkaji al-Quran adalah tidak seperti yang mereka jangkakan.


''Pada awalnya sebahagian mereka menjangkakan isi al-Quran pasti tua lagi kuno seperti umurnya yang hanya membicarakan mengenai padang pasir. Bagaimanapun mereka mula sedar bahawa al-Quran mampu menyahut cabaran ahli-ahli sains.''


Kata Miller lagi, konsep sains pada hari ini adalah satu konsep yang memerlukan bukti dan sememangnya isi kandungan al-Quran mampu membuktikan setiap kebenaran ayat-ayatnya.
Seribu empat ratus tahun sudah berlalu dan tidak ada sesiapa pun yang mampu membuktikan kepalsuan al-Quran, justeru al-Quran adalah sebuah kitab yang hak lagi benar.


Penulis buku ini bijak membahagikan beberapa bahagian bagi memudahkan pembaca meneliti setiap bab yang membincangkan ilmu sains berdasarkan ayat-ayat al-Quran.


Secara umumnya terdapat lima bab yang mengupas mengenai kehebatan al-Quran dalam konteks ilmu sains iaitu;


Daripada kelima-lima bab itu dapat disimpulkan bahawa perbincangan ilmu sains yang terdapat di dalam al-Quran menyentuh bidang penciptaan alam, astronomi, kejadian asal-usul manusia, hikmah ibadat dalam konteks sains, pengharaman babi dan khasiat beberapa tumbuhan seperti buah tamar, zaitun dan tin serta air zam zam.



Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang menyentuh bagaimana alam ini dijadikan antaranya dalam surah Fussilat ayat ke-11 iaitu kejadian langit dan bumi adalah daripada asap (dukhan).


Antara saintis yang kagum dengan kenyataan Quran ini adalah Prof. Yoshihide Kozai dari universiti Tokyo, Jepun. Beliau juga merupakan Pengarah National Astronomical Observatory di Mikata, Jepun.


Beliau ditunjukkan ayat-ayat al-Quran yang menceritakan berkenaan kejadian langit dan bumi. Selepas mengkaji ayat-ayat itu beliau merasakan seolah-olah ayat-ayat tersebut diceritakan oleh seorang yang melihat kejadian alam ini di peringkat tertinggi.


Beliau berkata, penemuan-penemuan semasa adalah sama dengan fakta yang terdapat di dalam al-Quran iaitu kejadian langit dan bumi adalah daripada asap. Daripada gumpalan asap itu lahir bintang-bintang dan kelahiran itu menjadi asas kepada kelahiran alam ini.


Akhirnya Kozai mengakui kebenaran al-Quran dengan berkata: ''Saya kagum dengan fakta-fakta astronomi yang terdapat di dalam al-Quran. Dengan membaca al-Quran dan menjawab persoalan-persoalan yang timbul, saya rasa saya akan menemui cara untuk mengkaji alam semesta pada masa akan datang.''


Rata-rata saintis khususnya Barat mengakui apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad (SAW) mengenai ilmu ini seperti mana yang terdapat di dalam al-Quran adalah sesuatu yang amat menakjubkan.


Ini kerana ilmu mengenai astronomi dan cakerawala hanya ditemui dalam tempoh terdekat ini sedangkan Nabi Muhammad telah menyampaikan kebenaran ini 1,400 tahun yang lalu.


Mereka hairan bagaimana Nabi Muhammad mampu menyampaikan satu ilmu yang pada masa itu tidak tercapai oleh fikiran manusia kerana ketiadaan teknologi yang membolehkan ilmu itu diakses.


Mereka akhirnya mengakui apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad itu adalah wahyu Allah dan bukannya satu rekaan. Katanya, ilmu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad merupakan kebenaran yang tercatat di dalam al-Quran.


Mengenai kejadian manusia ramai di kalangan saintis terkenal takjub dengan penyusunan kejadian manusia di dalam al-Quran seperti mana disebut dalam surah al-Mukminun ayat ke-14.


Para saintis terbabit cukup kagum kerana susunan kejadian manusia di dalam ayat tersebut begitu terperinci, benar dan menepati ilmu sains moden.


Mereka hairan bagaimana al-Quran melalui ayat tersebut yang pada masa itu mampu menggambarkan secara tepat kejadian manusia iaitu daripada nutfah (air mani) menjadi alaqah (sebuku darah beku) dan mudghah (seketul daging).


Selepas itu ayat berkenaan menerangkan selepas dicipta seketul daging dijadikan pula beberapa tulang dan tulang tersebut membalut daging. Setelah sempurna kejadian Allah membentuk makhluk.


Dalam satu bab lain penulis ada menerangkan mengenai hikmat kewajipan mandi junub, wuduk, sembahyang dan berpuasa dalam konteks sains selain khasiat buah-buahan yang sering dimakan oleh Nabi Muhammad antaranya tamar, tin dan zaitun.
------------------------------------------------------------------------------------------------

-Amat tertarik pada artikel ni.. Rujuk di sini.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin