Showing posts with label Hari Valentine. Show all posts
Showing posts with label Hari Valentine. Show all posts

Thursday, February 12, 2009

Budaya Hari Kekasih bercanggah syariat Islam


TIBANYA 14 Februari tidak lengkap tanpa peringatan supaya umat Islam tidak menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang sudah menjadi sebahagian budaya masyarakat khususnya generasi muda sekarang.

Ada berpendapat usah dibangkitkan isu itu kerana hanya akan menjadi pencetus kepada amalan bercanggah dengan syariat Islam. Namun, ada baiknya dibincangkan perkara ini sebagai peringatan kepada mereka yang sudah memasang niat untuk meraikannya.

Malah, ia sebagai penjelasan kerana ada yang cuba menghalalkan sambutan Hari Kekasih ini supaya perancangan meraikannya tidak dipandang serong dengan pendapat, ia adalah hari untuk menterjemahkan perasaan kasih sayang bukan saja kepada kekasih, malah juga keluarga serta sahabat handai.

Hakikatnya, apa juga alasan diberikan untuk membolehkan Hari Kekasih disambut terutama oleh golongan muda Islam, Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam.”

Buku Elak Sambut Valentine’s Day terbitan Jakim membincangkan secara lanjut alasan mengapa umat Islam dinasihatkan supaya tidak meraikan hari yang mengambil sempena nama paderi besar Kristian Saint Valentine.

Berdasarkan fakta dalam buku itu, bagi merungkaikan isu kenapa umat Islam perlu elak menyambut Hari Kekasih, ialah dengan mendalami dan memahami apakah maksud Valentine itu sendiri serta asal usul ia menjadi sebuah perayaan.

Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud: kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology dand History of First Name).

Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri.

Justeru, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan itu dengan dinamakan hari Valentine.

Ada tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari Valentine bermula ketika pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti orang Juno, ratu kepada dewa dan dewi Rom.

Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisional masyarakat Rom iaitu mana pada malam pesta berkenaan, nama gadis Rom ditulis atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 masihi, St Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270 masihi). Pada waktu itu Raja Claudius membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terbabit dalam peperangan.

Menyedari hakikat itu, St Valentine dan St Marius mengahwinkan orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan itu, St Valentine ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari tahun 270 masihi.

Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St Valentine sebagai upacara keagamaan.

Pendapat ketiga pula menyatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope.

Apabila St Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal Protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St Valentine adalah paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin.

Tindakan St Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St Valentine sendiri.

Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine adalah perayaan keagamaan yang disambut orang Kristian. Malah jika merujuk kepada kenyataan pihak Kristian hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual dalam agama Kristian.

Laman web Spiritrestoration,org : The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah tajuk Pengertian Hari-Hari Suci Keagamaan - indeks Saint Valentine’s Day menyebut: Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian. St Valentine adalah syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di Amerika Syarikat sebagai perayaan cinta di zaman sekular.

Termaktub dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa juga versi berkenaan dengan St Valentine, kesemua mereka dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut: ‘sekurang-kurangnya ada tiga orang St Valentine yang berbeza, semua mereka adalah syahid, ia disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.’

Berdasarkan fakta itu, jelas sekali Hari Valentine adalah perayaan yang menjadi amalan ritual agama Kristian. Ini sekali gus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih lagi dalam soal membabitkan akidah Islam.

Islam sangat prihatin serta menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain.

Dalam erti kata lain, umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan amalan ibadat agamanya dengan akidah dan ibadat agama lain.

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)

Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal bersifat individu seperti dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariat Islam.

Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Monday, May 5, 2008

Sambungan Sambutan Tersirat yang dibumikan pada Syabab

Hukum Sambutan Perayaan Agama Lain

Sebarang hukum yang digariskan oleh Islam bukanlah berbentuk tindasan ataupun kongkongan. Tetapi kita rujuk semula makna Islam itu sendiri yang membawa makna “Sejahtera”. Bukan sekadar sejahtera di dunia bahkan sejahtera dari Azab Allah. Fungsi manusia dan Jin dalam surah az-Zariyat harus kita teliti yang mana kita tidak dijadikan melainkan untuk menyembah Allah swt. Abdikan diri pada Allah. Arahan, suruhan, Galakan, tentangan dan larangan yang diberi adalah menjurus ke arah komitmen yang harus kita tunjukkan sebagaimana fitrah penciptaan kita.

Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Dalil al-Quran :-


Firman Allah swt :-

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti danjalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah(wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu,kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yanglurus” (Surah al-Hajj : 67)


Dalil Hadith :-


Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda:


“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri” -(Hadis riwayat al-Nasaai).


Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Rujuklah kepada para alim Ulama, apakah nilai sesuatu perayaan itu bahkan ia juga boleh dinilai dengan akal kita, adakah Baginda Nabi Muhammad saw sendiri menyambut perayaan-perayaan agama lain? Kita wajar menghormati kebebasan beragama dan juga unsur teologi yang terdapat dalam agama lain, namun kita punya kehendak serta pegangan agama kita sendiri.

Terdapat larangan dari baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang kafir dan bagi mereka yang meniru budaya orang kafir maka ditakuti dia akan tergolong ke dalam golongan tersebut. Sabdanya:


“Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”.
(Hadis riwayat ImamAbu Daud)


Sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian . Jelas terbukti samada dari segi majority yang merayakannya ataupun aktiviti yang terdapat di dalamnya. Adalah ditakuti anak-anak muda kita tergolong dalam golongan tersebut. Kita merayakan sambutan Kristian, maka samalah nilai kita dengan Agama Kristian serta penganutnya. Sia-sialah amalan yang dilakukan selama ini. Stand Tauhid yang dipertahankan hanya akan lulur dan luruh akibat tindakan sebahagian golongan muda ini.

Tidak kiralah apa hujah anda, samada anda bermaksud untuk mengenang peristiwa kematian St. Valentine atau apapun, tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan-perbuatan ini boleh menyebabkan pelakunya kafir.

Jika ada yang menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka sebenarnya pelakunya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan orang kafir.

Tambahan pula 14 Februari 1492 adalah hari kejatuhan Kerajaan Islam Sepanyol. Paderi ini mengumumkan atau mengisytiharkan hari tersebut sebagai hari 'kasih sayang' kerana padanya Islam adalah ZALIM!!!

Tumbangnya Kerajaan Islam Sepanyol dirayakan sebagai Hari Valentine. Semoga Anda Semua Ambil Pengajaran!!! Jadi, mengapa kita ingin menyambut hari Valentine ini kerana hari itu adalah hari jatuhnya kerajaan Islam kita di Sepanyol.

Apatah lagi sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim,membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tidak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal.

Segala yang berkaitan seperti asal-usul, kenapa ia diharamkan serta wajarnya kita menyambutnya telah diterangkan ataupun dengan bahasa lebih mudah lagi.Kebenaran telah disampaikan.Maka terpulanglah kepada anda untuk merayakan atau tidak.Sesungguhnya yang HARAM itu jelas dan yang HALAL itu jelas.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

- Ini merupakan antara isi Ceramah U I Love (Februari) dan Ceramah Bulanan (April) yang telah saya sampaikan di Politeknik Kuching Sarawak.

-Maaf, Terdapat banyak perkara yang ingin disentuh tapi sukar diterjemahkan dalam bentuk tulisan.

- Sejarah jatuh bangun umat Islam adalah perkara penting yang harus di fahami dan dihadam masyarakat Islam di era Urbanisasi pada hari ini.

-Segala maklumat dan fakta di atas adalah hasil pembacaan dan carian atas talian saya. Sebarang pembetulan fakta dan pendapat amatlah dialu-alukan.

- Penulis merupakan Guru Pelatih Tahun 2 Sarjana Muda Pengajian Islam Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Tun Abdul Razak

Sunday, May 4, 2008

Sambutan Tersirat yang dibumikan pada Syabab

Valentine yang sesat dan merosakkan...


MUQADDIMAH

Dasawarsa hari ini, pemuda pemudi kita makin terjebak dengan kebejatan yang melampau. Bukan sahaja dari segi budaya (Thaqafah) makin terhakis, bahkan agama yang menjadi darah daging juga sudah disiat dari diri mereka.

“Islam adalah Islam, apa kena hidup kami dengan Islam. Gothik, Punk, Skin Head adalah wadah hidup kami.”

Itulah kata-kata mereka andaikata di tegur, dan dikira masih bagus mereka menjawab. Ada juga yang sanggup memukul dan halau insan yang tegur mereka. Pernah tersiar di Berita Harian bagaimana seorang Imam maut dipukul dengan bata kerana menegur sekumpulan mat rempit.

Akibat kejahilan juga, bangsa Malaysia yang entah tidak tahu mana satu Melayu mahupun India atau Cina, kini semakin gemar menyambut perayaan – perayaan serta smbutan agama lain. Bagi mereka, menyambut hari Valentine, April Fool atau Pesta Tanglong adalah perayaan yang bersifat Universal. Harus disambut. Anda mundur dan jumud jika tidak menyambutnya. Rasanya perbicangan kita masih panjang. Lebih molek rasanya saya ceritakan terlebih dahulu sejarah sambutan hari Valentine dan juga April Fool. Apakah kisah tersirat dan tersurat di sebalik keduanya. Apa implikasinya pada Muslim dan juga hukum menyambutnya.

VALENTINE DAY

Tidak banyak pengetahuan sedia ada tentang sambutan ini dalam kotak minda saya. Namun ketika di jemput untuk berceramah U I Love di Politeknik Kuching sempena sambutan hari Kekasih, saya cuba siapkan diri juga dengan maklumat yang sewajarnya.

Secara umumnya, yang kita maklum tentang hari kekasih ini cumalah penjualan mawar merah ditepi jalan pada 14 Februari dan itulah bukti kekuatan cinta pasangan-pasangan yang dibuai nafsu. Nafsu yang melonjak segar itu akan turut kendur sebagaimana mawar yang mekar akan layu pabila proses biologi yang lazimnya dilakukan oleh liang stoma dan floemnya tak dapat dilakukan dek kerana terputusnya hubungan antara mawar dan batangnya serta akar pokok. Pasangan - pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adegan-adegan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membukti kan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Sambutan hari Valentine ini dikhabarkan sudah pun disambut sejak sekian lama dan berasal dari Rom. Terdapat 3 versi cerita asal usul sambutannya, rujuk The World Book Encyclopedia (1998) untuk lebih kefahaman.


Dewa Lupercalia

Versi Valentine 1

Ketika era awal masyarakat Rom kuno sebelum kedatangan kristian, mereka menyambut satu perayaan dipanggil Lupercalia. Satu acara penyucian diri bagi mereka. Berlangsung dari 13-18 Februari setiap tahun. Dua hari yang pertama iaitu 13 dan 14 Februari mereka akan Dewi Cinta Juno Februata. Kemudian pemuda Rom akan pilih gadis yang mereka suka, tulis nama gadis tersebut di atas kertas dan memasukkan namanya ke dalam kotak. Kemudian para pemuda akan cabut nama secara rawak dan gadis yang nama tertulis harus jadi hamba seksnya selama setahun.

Pada 15 Februari, upacara akan diteruskan dengan meminta dewa Lupercalia lindung mereka serta ternakan dari gangguan serigala. Untuk itu mereka juga akan menyembelih seekor kambing dan anjing. Dua orang pemuda Rom yang paling gagah akan dipilih lalu disapukan darah binatang yang disembelih ke badan mereka dan kemudian dicuci dengan susu.

Dua orang pemuda tersebut dibawa berarak sambil memukul orang ramai dengan kulit binatang. Wanita-wanita Rom akan berebut-rebut merima pukulan tersebut. Mengikut kepercayaan mereka, mereka yang kena pukulan tersebut akan lebih subur.

Secara mudahnya untuk versi satu ini, tidakkah wanita Islam berasa untung Islam menyebelahi mereka. Lihatlah wanita Rom hanya dilahirkan untuk manjadi hamba seks lelaki selama setahun. Dan barangkali pada tahun berikutnya pula menjadi hamba seks untuk lelaki yang lain pula. Mereka boleh ditukar sesuka hati. Ini amatlah bersalahan dengan biologi manusia bahkan wanita itu sendiri bahkan secara emosi atau psikologinya seorang wanita hanya mampu untuk setia pada seorang lelaki sahaja. Jika bertukar-tukar suami, sudah tentu gelora serta minda bawah sedarnya akan terganggu.

Indahnya Islam di sini, wanita yang dikahwini harus dijaga dan dipelihara hak-hak mereka. Wanita bukan sekadar untuk nafsu bahkan merupakan antara insan yang turut bertanggungjawab menjaga serta memimpin keluarga. Suami yang patuh pada agama akan menjaga zaujahnya dengan sebaik mungkin bahkan mungkin berfikir dua tiga kali untuk berpoligami. (Rujuk tanggungjawab suami dalam poligami-Kitab Ikhnaq)


Paderi Pedro Saint Valintino....
Versi Valentine 2

Hari Valentine ini disambut sempena untuk menghargai pengorbanan paderi St Valentine (Pedro Saint Valintino) yang mati ketika pemerintahan Raja Rom Claudius II. Umum mengetahui pada ketika itu, Kerajaan Rom amatlah memusuhi penganut agama Kristian. St Valentine dipenjarakan kerana mengajar tentang Kristian. Setelah dipenjarakan pun beliau tetap mengajar agama dan dalam masa yang sama membantu banduan meloloskan diri.

Ketika di penjara juga dia telah jatuh hati pada anak pegawai penjara. Sentiasa cuba untuk berjumpa. Sebelum dibunuh ia telah menghantar surat bertandatangan “from your Valentine” (dari Valentinemu).

Antara punca beliau dihukum bunuh adalah kerana Raja Cladius II amat marah pada paderi St Valentine yang mengenepikan raja dalam urusan hidup tentera. Cladius II menganggap tentera yang masih muda belum berkahwin adalah kuat dan tabah di medan peperangan berbanding mereka yang sudah berkahwin. Atas dasar itu beliau mengharamkan perkahwinan dikalangan tenteranya.

St. Valentine secara diam mengkahwinkan pemuda Rom secara sulit. Perbuatannya diketahui Cladius.Cladius II amaat marah dan memerintahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum bunuh pada 14 Februari 269M. Bagi orang Kristian, kematiannya membawa signifikan yang besar. Pengorbanan yang mulia pada agama mereka.

Sekali lagi fitrah manusia yang Allah ciptakan ditentang. Setiap Insan amatlah memerlukan pasangan dalam hidup, Namun hak ini dinafikan. Kemunculan Islam telah menjadi juara dalam membela hak-hak kemanusiaan sejagat.


Versi 3 yang dikaitkan dengan musim burung mengawan...


Versi Valentine 3

Pendapat ini tidaklah ‘rajih’. Sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris. Rujuk The World Book Encyclopedia, 1998 dan juga wikipedia.
APRIL FOOL.

Pembicaraan kita mungkin panjang untuk sampai ke maksud yang hendak saya sampaikan. Saya sambung dengan sambutan Jahiliah kedua yang menjadi tunggangan anak muda kita yang ada diantara mereka adalah sebaya dengan saya. Adalah penting untuk kita tahu serba ringkas, agar batil yang terselindung dapat kita lihat.

Sejarah April Fool

April Fool juga dikenali sebagai hari April Mop dan disambut pada tiap 1 April setiap tahun. Di gelar hari bodoh kerana pada masa itu, semua surat-menyurat masih melalui jalan kaki. Adalah difahami, kalendar tahun baru pertama kali di isytiharkan pada masa itu. Sambutan Tahun baru ditukar kepada bulan Januari namun, terdapat sekelompok masyarakat yang tidak menerima pengumuman kalendar baru sehingga selepas setahun lebih. Kesannya mereka masih merayakan tahun baru pada bulan April. Sebab itulah golongan ini sering diketawakan oleh mereka yang telah terima surat pengumuman sebelum itu. Bayangkan, orang lain dah sambut tahun baru pada Januari, namun terdapat sekelompok yang menyambut selepas 3 bulan.

Namun cara sambutannya ditukar mengikut kehendak zaman pada hari itu boleh dilakukan perkara yang pelik-pelik dan bodoh pada orang lain dan yang terkena tidak boleh marah kerana hari itu adalah April Fool. Macam filem 3 Abdul yang dilakonkan P. Ramlee.

Graf jatuh bangun Umat Islam...

YANG TERSIRAT

Kedua-dua perayaan ini sebenarnya adalah luka yang dalam pada sejarah umat Islam. Pemuda pemudi menyambutnya dalam keadaan mereka jahil soal hukum dan juga sejarah. Saya secara peribadi mengatakan sejarah sambutan hari Valentine adalah pembohongan besar musuh-musuh Islam. Kisah April Fool juga begitu. Pada pembacaan saya , Paderi Pedro St. Valentino adalah tidak wujud. Kisahnya hanyalah diada-adakan sahaja.

Sedangkan tarik 14 Februari adalah tarikh kejatuhan Kerajaan Islam di Sepanyol manakala 1 April umpama kisah pembunuhan beramai-ramai di Shabra Shatila. Umat Islam Sepanyol disembelih hidup-hidup ! Dan kita meraikan hari jatuhnya Islam dan hari gugur serta mengalirnya darah Umat Islam di Greenada.
Suasana Kota Grenada Pada Hari Ini...

SEJARAH ISLAM DI SEPANYOL.

Pada tahun 711 M di bawah pimpinan panglima perang Thoriq bin Ziyad dan Musa Bin Nushair yang hanya berbekalkan 7000 orang tentera Muslim yang mendambakan syahid telah menyerbu masuk ke Sepanyol. Mereka ingin menegakkan syiar Islam di sana. Semenanjung Iberia berjaya mereka tawan pada 718M. Selama 781 tahun Islam berjaya menguasai kawasan tenggara Sepanyol yang bergunung dan juga kawasan di sekitar bandar Granada.

Pada 755M, Abdurrahman I atau Abdurrahman ad-Dakhil (daripada kerajaan Umaiyah) dilantik sebagai pemimpin di selatan Sepanyol, yang menyaksikan Islam semakin bersinar. Sebagai mercu tandanya, pada 788 dibangunkan Masjid Jamek Cordoba yang dikatakan dibina di kawasan bekas sebuah gereja.

Disebabkan Sepanyol merupakan antara tanah yang subur di Eropah maka Sepanyol telah menjadi salah satu tamadun Islam yang hebat pada ketika itu, umat Islam menguasai ekonomi, politik dan juga laluan antarabangsa dan ia mencapai kemuncaknya dengan Kerajaan Bani Ummaiyyah pada abad kesepuluh.

Kolam air Istana al-Hambra
Gerbang Istana al-Hambra..

Masjid Cordova...


Kekuatan Islam Di Sepanyol.

Kekuatan yang ada pada orang-orang Islam ialah TAQWA Muslim di sana tidak hanya sekadar muslim pada nama, tetapi mereka mempraktikkan ajaran Islam

Mereka tidak hanya membaca Al-Quran, bahkan melaksanakan kandungan Al-Quran. Mereka berkata 'tidak' kepada muzik, mereka juga berkata 'tidak' kepada arak dan semua benda yang diharamkan oleh Islam.Jika mereka baca dalam Al-Quran mengenai hijab, mereka laksanakannya, berbeza dengan keadaan kebanyakan masyarakat Islam kita pada hari ini.

....mereka baca dalam Al-Quran mengenai hijab, mereka laksanakannya...(Gambar Hiasan)

Kerajaan Islam Jatuh.

Kawalan Islam Sepanyol telah terhakis secara perlahan oleh Reconquista (Taklukan semula) Sepanyol. Reconquista disemarakkan oleh gabungan (ahzab) kerajaan-kerajaan Kristian Sepanyol utara untuk ambil semula Sepanyol dari Islam dan akhirnya berjaya mengalahkan dan menakluki negeri-negeri Islam selatan di Semenanjung Iberia

Bandar utama pertama yang jatuh ke dalam kekuasaan Kristian adalah Toledo pada 1085. Manakala pusat pemerintahan di Grenada jatuh pada 1492. Kebanyakan orang bukan Katolik dipaksa untuk meninggalkan Sepanyol atau menganut Katolik, jika tidak mahu menghadapi penyeksaan atau kematian.

Sultan terakhir Dinasti Nasriyyah, Sultan Abu Abdillah Muhammad XII (juga dikenali Boabdil) terpaksa tunduk kepada Ratu Isabella dan Ferdinand serta menyerahkan maruah kerajaan Islam terakhir kepada pemerintah Kristian tersebut. Sultan Abu Abdillah menangisi hal tersebut, lantas ditegur oleh ibunya. Kata ibunya:

“Janganlah engkau menangisi kejatuhan kerajaan ini seperti seorang perempuan kerana engkau gagal mempertahankan maruah pemerintahan kerajaan Islam seperti seorang lelaki.”

Gerakan Reconquista...
Salah satu punca Islam jatu di Sepanyol..(Gambar Hiasan)

Punca Kekalahan

Orang-orang Kristian telah menjumpai satu jalan yang boleh melemahkan kekuatan yang dimiliki orang-orang Islam. Mereka telah menghantar pelbagai jenis alkkohol dan rokok ke Sepanyol dengan percuma (free of cost). Teknik ini nampaknya berkesan dan ianya telah mula melemahkan keimanan orang-orang Islam terutamanya generasi muda Sepanyol.

Pemuda merupakan asset bagi sesuatu Negara, tamadun mahupun dinasti. Pemuda Sepanyol telah rosak, maka apabila diserang, hanya tinggal golongan tua yang tidak lagi berdaya. Manakala golongan muda pula hanyalah berperang untuk hidup, dan bukan lagi untuk agama. Barangkali mereka sudah lupa kata-kata Khalid al-Walid ketika berhadapan dengan tentera Rom:

Masuklah kamu ke dalam agama Islam, jika belum ada cahaya keimanan dalam hati kamu, kamu harus membayar Jizyah, jika kamu enggan, maka berdepanlah dengan kami, kami merupakan satu kaum yang cintakan kematian (syahid) sebagaimana kamu cintakan kehidupan.
Queen Isabel

Kaitan dengan Valentine’s Day dan April Fool.

14 Februari yang disambut sebagai hari Valentine adalah untuk meraikan kejatuhan kerajaan Islam sebenarnya. Kerajaan Islam Sepanyol gugur pada tanggal 14 Februari 1492 M. Perayaan April Fool merupakan rentetan kejayaan Queen Isabel dan suaminya Ferdinand menjatuhkan kerajaan Islam terakhir di Sepanyol.Negeri terakhir yang dapat dirampas ialah Grenada.

Queen Isabel memerintahkan umat Islam berpindah keluar dari Sepanyol. Satu-satunya jalan keluar yang ada pada ketika itu hanyalah dengan melalui dengan jalan laut. Bilamana orang Islam keluar dari rumah dan berada di pertengahan perjalanan, rumah mereka di bakar Sebelum mereka sampai ke laut, kapal-kapal mereka pula di bakar.

Kemudian umat Islam dikepung dan dibunuh serta di bakar. Tentera kristian berasa seronok kerana sebelum merekan membunuh umat Islam, mereka disuruh terlebih dahulu melakukan pelbagai aksi yang bodoh terlebih dahulu.

KESIMPULAN.

Adakah wajar kita menyambutnya lagi??? Soal hukum akan saya terangkan pada entri yang kana datang. Sama2lah kita hayati Firman Allah :-

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah Itulah petunjuk (yang benar)”. dan Sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, Maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”.
(QS. Al-Baqarah [2]: 120).
-------------------------------------------------------------------------------------------------

- Ini merupakan antara isi Ceramah U I Love (Februari) dan Ceramah Bulanan (April) yang telah saya sampaikan di Politeknik Kuching Sarawak.
-Maaf, Terdapat banyak perkara yang ingin disentuh tapi sukar diterjemahkan dalam bentuk tulisan.
- Sejarah jatuh bangun umat Islam adalah perkara penting yang harus di fahami dan dihadam masyarakat Islam di era Urbanisasi pada hari ini.
-Segala maklumat dan fakta di atas adalah hasil pembacaan dan carian atas talian saya. Sebarang pembetulan fakta dan pendapat amatlah dialu-alukan.
- Penulis merupakan Guru Pelatih Tahun 2 Sarjana Muda Pengajian Islam Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Tun Abdul Razak

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin