Showing posts with label Guru. Show all posts
Showing posts with label Guru. Show all posts

Tuesday, August 23, 2011

Terasing di bumi sendiri


Guru di pulau terpencil

TERASING di bumi sendiri mungkin menterjemahkan luahan rasa hati paling sesuai bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke pulau ini.Bagaikan dua dunia berbeza, Pulau Danawan (juga disebut sebagai Denawan) di Semporna, Sabah hanya berkeluasan 0.63 kilometer persegi tidak mempunyai magnet yang mampu menarik kunjungan orang ramai ke sini.

Tanyalah siapa pun mereka pasti tidak sanggup pergi ke pulau di mana sebahagian besarnya dihuni oleh masyarakat tanpa negara - tiada taraf kerakyatan.Pemikiran skeptikal melenyapkan keberanian dan keyakinan mereka untuk menjadi tetamu Pulau Danawan berikutan kedudukannya berhampiran dengan Pulau Sipadan yang mengimbau kembali ancaman kumpulan militan Abu Sayaf pada tahun 2000.

Mereka fikir biarlah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Markas Pertahanan Hadapan ATM mengawal keselamatan di pulau ini.Hendak menaiki bot dari tanah besar di Semporna yang paling dekat pun mengambil masa tiga jam apatah lagi tinggal di sini walaupun sekadar untuk beberapa hari.

Pulau Danawan mempunyai kira-kira 1,400 penduduk tetapi tidak banyak kemudahan yang terdapat di sini. Cuma ada hanya balai raya, sekolah dan surau.Jangan harap untuk membayangkan pasar raya besar, pawagam atau pusat beli-belah. Pusat karaoke dan kelab malam jauh sekali. Ironinya, tiada sumber hiburan di sini.

Sekolah Kebangsaan Denawan pada masa ini mempunyai seramai lapan guru dan 31 pelajar.

Tiada kemudahan elektrik dan air yang dirawat. Mereka hidup bercahayakan lilin dan pelita. Hanya dua tiga keluarga yang bernasib baik menggunakan enjin generator.

Kemudahan internet juga tidak ada. Lupakan saja hasrat untuk menghabiskan masa dengan menonton video di YouTube atau melayari laman sosial Facebook. Semuanya serba kekurangan. Tiada istilah lima bintang - setengah bintang pun tidak dapat menggambarkan kehidupan seharian masyarakat Pulau Danawan.

Bayangkan saat anda berkobar-kobar memulakan kerjaya yang diidamkan sejak sekian lama bagaimanapun menerima arahan untuk ditugaskan di pulau ini.

Sebagai guru pendidikan Islam, Hafiz (kiri) membantu para pelajarnya mendalami ilmu itu meskipun di luar waktu sekolah.

Bukan untuk sehari dua tetapi sekurang-kurangnya sehingga empat tahun. Keputusan itu memaksa diri untuk meninggalkan kehidupan moden dan insan tersayang.

Hidup di perantauan bukannya mudah. Ini bukan kota metropolitan London atau New York yang barangkali mampu melupakan seketika kegusaran dalam hati.

Tetapi ini Pulau Danawan yang tidak mempunyai apa-apa melainkan rumah-rumah kampung, lalang-lalang, pokok-pokok kelapa dan persisiran pantai.

Begitulah realiti yang dilalui tiga guru apabila ditugaskan untuk mendidik anak-anak penduduk setempat di Sekolah Kebangsaan Denawan (SK Denawan).

Tanda tanya

Umurnya masih muda baru 22 tahun pada 2008 sewaktu membuat keputusan amat berat itu tambahan pula dia merupakan anak sulung daripada sembilan adik-beradik.

Mohd Hafiz Yusof, 25, berasal dari Kampung Gong Pasir, Dungun, Terengganu bagaimanapun terpaksa menggagahkan diri apabila memikirkan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga selepas ayah dan ibunya.

“Jujurnya, saya begitu terkejut apabila dimaklumkan untuk ditugaskan mengajar di SK Denawan. Saya tertanya-tanya di mana Pulau Danawan,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar yang berkesempatan berada di situ sempena lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan editor-editor kanan di Pangkalan Hadapan Operasi (Op) Pasir anjuran Kementerian Pertahanan, baru-baru ini.

Mengetahui kedudukan Pulau Danawan berhampiran dengan Pulau Sipadan sudah cukup membuatkannya rasa tidak keruan memikirkan risiko yang bakal dihadapi.

Wajah kanak-kanak di Pulau Danawan yang mahu diberikan peluang pendidikan untuk menjadi insan berguna dan berilmu suatu hari nanti.

“Pada mulanya saya bimbang tentang keselamatan saya rentetan daripada insiden ancaman pengganas itu tetapi akhirnya sedar semuanya sudah lama kembali pulih.

“Apa yang menjadi tanda tanya bagaimana persekitaran dan kehidupan di situ (Pulau Danawan). Saya tahu budayanya cukup berbeza,” katanya.

Hafiz yang merupakan guru Pendidikan Islam dan Pendidikan Seni Visual berkata, selain kekurangan dari segi kemudahan, dia turut berhadapan dengan masalah komunikasi dengan masyarakat setempat terutama para pelajarnya.

“Sebahagian besar masyarakat Pulau Danawan bertutur dalam bahasa Bajau dan tidak ramai yang boleh berbahasa Melayu. Bagaikan ayam bercakap dengan itik.

“Saya berusaha belajar bahasa Bajau kerana begitulah adat bila merantau ke tempat orang menyesuaikan diri dengan kehidupan mereka,” katanya.

Menurut Hafiz, dia hanya pulang ke kampung halaman apabila tiba cuti pertengahan tahun, cuti akhir tahun dan cuti Hari Raya Aidilfitri.

“Perjalanan saya dari Pulau Danawan ke Dungun tidak semudah yang disangka tetapi kepulangan itu amat bermakna buat keluarga di kampung,” katanya yang terpaksa menggunakan perkhidmatan bot selama tiga jam dari Pulau Danawan ke Semporna, menaiki bas satu setengah jam (Semporna-Tawau), kapal terbang kira-kira tiga jam (Tawau-Kuala Lumpur) dan 45 minit (Kuala Lumpur-Kuala Terengganu) dan bas selama satu jam (Kuala Terengganu-Dungun).

Hafiz sedang merangka modul pembelajaran untuk para pelajarnya.

Pertama kali

Bagi Mohd Salehudin Rosdi, 28, pula tidak menyangka pengalaman pertama kalinya menjejakkan kaki di bumi Sabah adalah Pulau Danawan yang begitu asing.

Mungkin pengalaman pertama segelintir orang adalah sesuatu yang mengujakan namun tidak bagi anak kelahiran Felda Redung, Segamat, Johor ini.

“Pada awalnya, saya berasa amat bosan di sini. Mana ada kawan-kawan yang boleh berjumpa. Jika dahulu, bolehlah juga menghabiskan masa dengan bermain boling.

“Saya hanya bersiar-siar di tepi pantai, berenang dan memancing. Namun lama-kelamaan saya sudah biasa dengan persekitaran di sini,” katanya.

Salehudin yang merupakan guru Matematik dan Bahasa Melayu berkata, dia mula mengajar di SK Denawan pada Januari 2010 dan ketika itu masih belum ada penggunaan genarator bagi mendapatkan tenaga elektrik.

“Di sekolah pun tidak ada kemudahan elektrik. Sudah menjadi lumrah apabila berada dalam keadaan panas. Tingkap dibiarkan terbuka untuk memudahkan angin masuk.

“Bagaimanapun saya kagum dengan masyarakat di sini. Mereka masih boleh hidup tanpa elektrik maka kenapa tidak saya membiasakan dengan keadaan itu,” katanya yang sering tidur dalam keadaan berlengeng atau tidak berbaju kerana cuaca panas.

Tambahnya lagi, Pulau Danawan yang serba kekurangan menyebabkan dia dan rakan-rakan sejawatnya ke Semporna pada setiap hujung minggu.

“Menaiki bot mengambil masa kira-kira tiga jam sudah menjadi perkara biasa kerana itu saja cara untuk mendapatkan barangan keperluan dan peluang bersiar-siar.

“Di sini mana ada restoran. Jika tidak, beli saja ikan-ikan yang ditangkap oleh penduduk kampung,” kata Salehudin yang turut meluangkan masa bergaul dengan anggota ATM dari Markas Pertahanan Hadapan ATM yang sering beramah mesra dengan masyarakat setempat di Pulau Danawan.

Pertama kali menjejakkan kaki di bumi Sabah tidak melunturkan semangat Salehudin (kiri) untuk mendidik kanak-kanak di Pulau Danawan.

Amat berbeza

Sementara itu, Zurizan Zakaria, 28, berasal dari Kampung Usaha Jaya, Kinabatangan, Sabah berkata, tugasan pertama sebagai guru turut dilaluinya di Pulau Danawan.

Walaupun dia sendiri merupakan anak kelahiran Negeri di Bawah Bayu namun berpendapat bahawa masyarakat di kepulauan itu jelas berbeza.

“Sebahagian besar mereka adalah Bajau Laut. Cara hidup mereka tidak sama seperti masyarakat di darat,” katanya yang merupakan guru Sains dan Bahasa Inggeris.

Zurizan yang mula mengajar di SK Denawan pada Januari 2009 berkata, ketika itu merupakan tahun pertamanya dia berumahtangga dengan Norsyahida Abdul Sani yang juga merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Bandar Sibu, Sarawak.

Jelasnya, pada tahun pertama itu sememangnya agak sukar berikutan masing-masing berjauhan namun demi tanggungjawab sebagai pendidik, ianya ditangani dengan baik.

“Saya hanya berjumpa isteri pada musim cuti sekolah yang panjang. Selain itu, kami mengubat rasa rindu dengan menelefon antara satu sama lain,” katanya.

Menceritakan keadaan di Pulau Danawan, Zurizan berkata, kebanyakan masyarakat setempat lebih gemar membuat hal sendiri daripada bergaul dengan orang luar.

“Ini terutama mereka di kalangan suku Bajau Laut namun masih ramah. Mereka hanya jeling-jeling dan senyum apabila kami berselisih.

Pembelajaran secara visual merupakan antara pendekatan yang dilakukan oleh guru-guru di Sekolah Kebangsaan Denawan.

“Pulau Danawan begitu asing tetapi penduduk di sini hidup aman damai meskipun perbezaan budaya, latar belakang dan komunikasi,” katanya.

Begitulah kisah kehidupan tiga guru yang pertama kali diarahkan bertugas di SK Denawan, satu pengalaman yang sukar dicari ganti.

Difahamkan sekolah ini sudah lama ditubuhkan sejak lebih separuh abad dan pada masa ini mempunyai seramai lapan guru dan 31 pelajar. Ia mempunyai tiga kelas, pejabat, pusat sumber dan kuaters guru.

SK Denawan hanya menempatkan pelajar tahun satu, dua dan tiga manakala pelajar tahun empat, lima dan enam bersekolah di Sekolah Kebangsaan Berpusat Bumbum, Semporna.

Ketiga-tiga guru ini akur berada asing di bumi sendiri demi tanggungjawab mendidik anak-anak masyarakat Pulau Danawan agar menjadi insan berguna dan berilmu.

Kehidupan di perantauan nyata mencabar dan memerlukan pengorbanan besar dan pastinya jasa mereka sebagai pendidik tidak ternilai dan penuh bermakna.

Rujuk di sini

Tuesday, May 19, 2009

Kisah cikgu & Mariam

Pagi 16 Mei 2005, saya dikejutkan dengan beberapa orang anak murid yang meluru ke arah saya. Wajah mereka berseri-seri lalu masing-masing menghulurkan bungkusan berwarna-warni.

"Cikgu.. Selamat Hari Guru!" kata mereka bertepuk tangan sambil berlari-lari anak mengelingi saya.

Memang saya terkejut kerana sebelum itu tidak pernah saya khabarkan pada anak-anak murid tentang tarikh sambutan Hari Guru apalagi mengingatkan mereka. Bagi saya mereka terlalu muda dan belum dapat menilai erti sambutan Hari Guru. Rupa-rupanya saya silap. Tanpa saya menyangka, pagi itu meja saya dipenuhi pelbagai jenis hadiah. Hari itu saya rasakan terlalu indah. saya rasa disanjungi, lalu pipi anak-anak murid saya kucup tanda menghargai pemberian dan ingatan mereka.

"Terima kasih.. Beritahu ibu, cikgu ucapkan terima kasih, ya!" pesan saya pada Arina lalu satu kucupan singgah di pipi gebunya.

Di sisi Arina, saya lihat Mariam tersengih-sengih. "Cikgu.. Mariam pun nak bagi hadiah. Tapi tak bawa hari ni, lupa. Boleh ya cikgu?" kata anak kecil itu bersungguh.

"Tak payahlah Mariam. Tak bagi pun tak apa, cikgu bukan minta hadiah. Cukuplah Mariam ucap Selamat Hari Guru buat cikgu. Itu pun sudah buat cikgu gembira".

Saya cuba memujuknya kerana tidak mahu menyusahkan Mariam dan anak-anak murid yang lain. Sebagai cikgu, saya tahu serba sedikit latar belakang keluarga mereka. Kerana itu saya tidak mahu ada di antara nak-anak murid saya yang bersusah payah menyediakan hadiah lebih-lebih lagi Mariam.

Dia bukan anak orang senang. Ibu bapa Mariam membesarkannya hanya dengan meraut lidi dan mencari daun getah kering lalu menjualkannya. Sebab itu saya tidak mahu Mariam merasa bersalah bila melihat teman-teman yang lain memberikan hadiah sedangkan dia tidak membawa apa-apa. bagi saya, lebih baiklah duit yang ada itu digunakan ibu bapa Marian untuk makan minum keluarganya, atau membelikan baju baru untuk Mariam buat menggantikan baju yang kusam dan masam dek peluh.

Saya gembira mendidik murid seperti Mariam. Biarpun ibu Mariam sudah lama meninggal dunia, namun anak kecil itu masih bertuah kerana ibu tirinya menyayangi Mariam tidak ubah seperti anak kandung sendiri. Buktinya, setiap pagi saya lihat anak kecil itu datang ke tadika sambil dipimpin ibunya, berjalan 2 kilometer setiap hari. kalau ada yang bersimpati, keluarga murid-murid lain akan menumpangkan Mariam ditengah jalan. kalau tidak, mariam akan terus berjalan kaki dalam panas gerimis, pergi dan balik. Begitulah setiap hari.

Esoknya, sekali lagi meja saya dipenuhi dengan pelbagai jenis hadiah. Kali ini datang dari anak-anak murid yang tidak sempat memberikannya semalam. saya hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala. Sambutan Hari Guru tahun ini benar-benar meriah! Seperti biasa, pagi itu saya berdiri di hadapan pintu menyambut seorang demi seorang ibu bapa yang datang menghantar anak masing-masing.

Di muka pintu sekolah, saya dengar seorang bapa berpesan, "Hadiah tu bagi kat cikgu tau". Tatkala itu saya benar-benar tersentuh kerana tidak menyangka cukup dihargai oleh anak-anak murid yang masih kecil usianya.

Dari halaman, saya lihat Mariam berpimpin tangan dengan ibunya. Saya sambut kedua-dua mereka dengan senyuman. sama seperti pagi-pagi sebelumnya, Mariam tiba di tabika dengan tubuh yang bermandikan peluh. bajunya basah, namun kanak-kanak itu tetap ceria, tersenyum seperti biasa.

"Cikgu, Mariam bawa hadiah untuk cikgu!" laungnya sambil ketawa.

"Kan cikgu dah pesan tak payah bagi cikgu hadiah" kata saya lalu mengusap rambut Mariam yang bertitisan peluh dengan rasa kasih yang mendalam.

"Tak apa.. Hadiah ni best cikgu!" kata Mariam bersungguh-sungguh.

mariam meletakkan begnya di atas meja. Pantas jari jemari comelnya membuka zip beg sekolahnya yang sudah pudar warnanya kaibat dimamah cahaya matahari.

"Sekejap ya cikgu" kata Mariam yang masih tengucap-ngucap kepenatan.

Saya lihat Mariam mengeluarkan sesuatu dari dalam beg. Dia tersenyum sebaik menghulurkan segumpal surat khabar yang berkecai dalam genggamannya.

"Alaa.. koyak pulak cikgu!" rungut Mariam penuh kekesalan.

Matanya membulat memandang saya yang masih setia menantinya. Beberapa murid lain turut berdiri tidak sabar melihat apa yang Mariam keluarkan.

"Apa yang Mariam bawa tu?" saya bertanya penuh kekhairanan melihat sesuatu yang bulat dibungkus dengan surat khabar lama.

Saya dekati anak kecil itu lalu menyelak beg yang dibawanya. Di saat itu, hati tiba-tiba menjadi sebak sebaik melihat 5 biji buah bacang betindih-tindih dengan buku tabikanya. Dada saya ini mula terasa berat, ada air yang mula bertakung dikelopak mata.

"Cikgu ambillah plastik. Rumah Mariam tak ada plastik, sebab itu mak bungkus dengan kertas, tapi koyak pulak" katanya lincah sambil mengeluarkan sebiji demi sebiji buah bacang dari beg sekolahnya.

Gelak tawa kawan-kawannya mula kedengaran, namun Mariam masih tersenyum lalu matanya merenung saya dengan pandangan yang cukup sayu. "Cikgu, cikgu tak suka buah bacang ke?" tanya anak kecil itu bila melihat saya merenung wajahnya dan buah bacang 5 biji yang bergulingan di atas meja.

Saya cuba tahan air mata supaya tidak mengalir. Terlalu sebak rasanya. "Tak.. Cikgu suka.. Suka sangat. Balik nanti cikgu buat sambal belaan ya" kata saya perlahan.

Suara saya bagai tersekat dikerongkong. Dapat saya lihat anak kecil itu mengukir senyuman. Saya peluk tubuhnya yang masih bermandikan peluh. Tidak dapat saya gambarkan bagaimana anak kecil itu membawa 5 biji buah bacang sambil berjalan sejauh 2 kilometer. saya kucup pipinya beberapa kali lalu tidak henti-henti ucapan terima kasih saya bisikkan ke telinga Mariam.

"Bagitahu emak, cikgu suka buah bacang. Terima kasih ya" ucap saya lagi. Anak kecil itu mengangguk.

"Tengok, Mariam pun bagi hadiah kat cikgu jugak" katanya kepada kawan-kawan sambil tersenyum riang.

"Eleh.. buah bacang bukan hadiah. Orang bagi hadiah kena bungkus lawa-lawa, bukan dengan kertas koyak" kata seorang murid yang masih tidak mengerti nilai sebuah hadiah yang sebenar-benarnya.

"Tak apa.. Semua hadiah cikgu suka. Balut lawa atau tidak semuanya sama. Cikgu sayang semua anak murid cikgu" saya ucapkan kata-kata itu agar hati anak sekecil Mariam tidak terguris.

Dapat saya luhat Mariam sekali lagi ketawa lalu bertepuk suka. beberapa titis air mata yang sejak tadi saya tahan akhirnya tumpah di pipi. Cepat-cepat saya kesat, bimbang anak-anak kecil yang suci dan bersih itu perasan kerana mereka belum dapat menyelami perasaan seorang insan bergelar guru.

Buah bacang pemberian Mariam itu saya bawa pulang dengan perasaan bangga bercampur hiba. Walaupun ia hanya 5 biji buah bacang, tetapi hadiah itu amat istimewa. Wajah Mariam, bajunya yang dibasahi peluh dan senyumannya yang ikhlas bermain-main di ruang mata saya. Tengahari itu, sambal belacan buah bacang menjadi santapan kami sekeluarga. Semasa menelannya, titis air mata ini tumpah lagi ke pipi.

(berdasarkan cerita sebenar oleh Cikgu Rokiah - Kulim, Kedah)

-------------------
- Mood sambutan hari guru belum habis lagi.. Tahun ni saya bergelar guru (masa Praktikum) dan tahun ni la hari guru yang cukup best pada saya.. Hargailah guru anda…

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 19 Mei 2009
Kota Samarahan

Monday, May 18, 2009

Penilitian


Saya tidak pernah melihat KEZALIMAN yang paling besar melainkan di Perak sepanjang saya hidup hingga ke hari ini... Barua-barua dengan mudah masuk mengheret speaker dan juga sorang YB OKU keluar begitu sahaja... KEZALIMAN yang ke dua saya lihat ialah ISA.. Barangkali mereka lupa.. Semangat kemerdekaan negara dibangkitkan oleh para Ulama, kemudian oleh para guru... Yang lambai tangan atas flight mereka itu BUKAN pejuang kemerdekaan, tetapi hanyalah ROMBONGAN KEMERDEKAAN.. Para guru muda sudah mencapai resolusinya yang tersendiri, kita akan bangkitkan semula semangat dan iltizam sebagaimana guru-guru tahun 40-an dahulu telah memulakannya...

Sunday, May 17, 2009

Berbahasa Tamil demi murid


Kehadiran guru-guru berdedikasi tinggi seperti Fadly itu adalah antara secebis kisah pengorbanan profesion guru. Sebagai tanda penghargaan untuk golongan guru bersempena Hari Guru yang jatuh pada tanggal 16 Mei setiap tahun.

Meneruskan bicaranya, guru muda yang berasal dari Tumpat, Kelantan itu berkata, profesion guru ialah satu kerjaya yang mulia dan sentiasa disegani masyarakat umum.

Ini kerana golongan guru merupakan 'jurutera' yang bakal membina generasi muda yang menjadi tonggak negara dan bangsa.

"Selain keikhlasan dan kejujuran, seorang guru memerlukan komitmen tinggi terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan itu. Mengajar murid-murid sahaja bukan kerja kami. Sebaliknya, kami mendidik dan mengasuh mereka dengan baik supaya menjadi anak-anak yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak.

"Guru juga perlu bijak mengenal pasti potensi anak muridnya bagi memperbaiki kredibiliti diri mereka untuk mencapai kejayaan cemerlang dan gemilang," katanya ketika ditemui Kosmo! di SJK(T), Sungai Choh, Rawang, Selangor baru-baru ini.

Apabila Fadly ditempatkan di sekolah berkenaan, pada awalnya dia berasa sedikit terkejut. Bukan kerana ia sebuah sekolah luar bandar tetapi alamatnya yang menyatakan bahawa ia terletak di sebuah kawasan ladang.

Namun semua jangkaan buruk mengenai kawasan itu meleset apabila dia menjejak kaki ke sekolah tersebut pada tahun 2008.

Bekas graduan jurusan Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya itu berkata, keyakinan Guru Besar Gandimathi dan penerimaan guru-guru lain yang menganggap dia sebagai salah seorang anggota keluarga baru menghilangkan perasaan takut dan memudahkannya menyesuaikan diri dengan cepat.

Katanya, kebanyakan murid-murid di sekolah Tamil tersebut boleh memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu. Cuma kadangkala penggunaan tatabahasa dan istilah yang tidak betul berlaku kerana mereka masih kecil.

Oleh kerana itu, Fadly bertekad serba sedikit mempelajari bahasa Tamil supaya dapat membantu mereka memahami bahasa kebangsaan dengan lebih baik.

"Namun, mengajar subjek bahasa Melayu tidak mencabar seperti mata pelajaran Kemahiran Hidup (KH). Ini kerana buku teks untuk KH sepenuhnya dalam bahasa Tamil, maka saya perlu menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu untuk memudahkan murid memahaminya dengan betul.

"Sebab itulah saya mula mempelajari dan menulis dalam bahasa Tamil untuk membantu murid-murid saya memahami ilmu KH secara tepat dan betul memandangkan ia adalah subjek yang berasaskan kemahiran diri," ujarnya yang kini menetap di Bukit Beruntung, Selangor.

Fadly ialah contoh guru zaman ini. Yang pasti, walaupun matlamatnya adalah untuk mendidik anak bangsa, namun misi dan visi guru-guru hari ini dan guru-guru zaman 60-an tidak serupa.
--------------------
- Rujukan di sini

Saturday, May 16, 2009

Bagaimana menyambut Hari Guru


PADA 16 Mei 2009, sudah 38 kali masyarakat Malaysia khasnya kaum guru merayakan sambutan Hari Guru. Tarikh 16 Mei dipilih bagi perayaan tersebut kerana memperingati tarikh penguatkuasaan Penyata Razak, iaitu Dasar Pendidikan Negara yang dilaksanakan bagi Persekutuan Tanah Melayu, yang berhasrat menyatukan pendidikan di sekolah bagi semua kaum di negara ini, yang berteraskan perpaduan kaum melalui bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Pada kebiasaannya sambutan diadakan di peringkat negara, negeri, daerah dan sekolah. Berbagai tema perayaan dikemukakan seperti: "Guru Pembentuk Pembangunan Negara" dan sebagainya.

Di perhimpunan tersebut biasanya dibacakan perutusan Hari Guru daripada Menteri Pelajaran. Biasalah selepas itu diadakan kegiatan seperti sukan kecil, jamuan dan diakhiri dengan sumbangan hadiah daripada murid atau pelajar kepada guru-guru mereka.

Hadiah hanya berupa jambangan bunga, pen atau buku dan sambutan Hari Guru berakhir begitu sahaja, sehingga menunggu sambutan pada tahun hadapan. Tiada kesan yang ditinggalkan yang menjadi kenangan kepada guru dan murid.

Bagaimana sepatutnya masyarakat menyambut atau merayakan Hari Guru yang nampaknya semakin malap, yang agaknya sudah hampir kehabisan idea dan tenaga.

Bagi murid adakah cukup hanya mengucapkan "Selamat Hari Guru" bila menjelang hari tersebut? Di samping itu hanya menghadiahkan kuntuman bunga, kemudian layu, dibuang dan dilupakan begitu sahaja.

Ketika ini, mungkin boleh dianggap sebagai kelakar, katakan seorang murid yang belajar di sekolah rendah di tahun lima pada 2000, berjumpa semula dengan guru mereka pada tahun 2009.

Perkataan yang keluar daripada pelajar tersebut: "Ini guru saya dulu semasa di sekolah rendah yang selalu mencubit perut saya kalau tak menyiapkan kerja sekolah". Patutkah pelajar tersebut berkata begitu?

Perkataan "mencubit" itu sangat diingati tetapi pengajaran guru tersebut hingga dia ke institusi pengajian tinggi (IPT), langsung tidak timbul atau diingati. Masyarakat masa kini sangat sukar untuk 'menghargai' apatah lagi 'mengingati' jasa guru.

Kepada kaum guru sekarang, jangan bersikap negatif kerana kerjaya seorang pendidik juga seperti kerjaya seorang doktor - mereka selalu dilupakan bila pelajar pandai dan berjaya, dan ketika pesakit sihat dan boleh bergerak dengan cergas dan makan dengan berselera.

Kerjaya seorang pendidik adalah kerja yang mulia. Jika dilakukan dengan penuh keikhlasan, pahalanya akan sampai ke akhirat.

Sesuatu perlu dilakukan dalam sistem pendidik sekarang, seperti program "tanam semangat" dilakukan seawal-awalnya di peringkat sekolah. Melalui langkah ini, setidak-tidaknya masyarakat kita tahu menghormati ibu bapa, menghargai guru dan berterima kasih kepada pemerintah yang telah membelanjakan begitu banyak wang dalam pendidikan.

Kepada ibu bapa, adakah pernah menghantar sepucuk surat penghargaan kepada pihak sekolah kerana kejayaan anak kita dalam pelajaran atau kerana telah berjaya menyelesaikan satu-satu kes yang melibatkan anak kita.

Kepada kaum guru, fikirkan slogan dulu yang menyatakan "Guru ibarat lilin, membakar diri dan menerangi orang lain" - sesuai lagikah dengan keadaan semasa sekarang.

PENULIS ialah Tokoh Guru Temerloh 1998

Friday, May 15, 2009

Selamat Hari Guru





Guru oh Guru


Berburu ke padang datar

Dapat rusa belang kaki

Berguru kepalang ajar

Ibarat bunga kembang tak jadi


Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum menjadi dewasa


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa


Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakill seribu buku

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara


Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulang ilmu

Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.



Usman Awang1979
--------------------
- Terima kasih buat semua guru...Terima kasih buat ayah dan ibu (guruku dalam hidup).. buat arwah tokcik (guru hidup bermasyarakatku).. Guru Maahad (guru tarbiah dan pidato ku) dan juga buat semua guru ku.. Terima Kasih Cikgu.. Tanpa Cikgu.. Mohd Nazmi tidak akan bergelar Ustaz Nazmi..Tidak akan di bidang pendidikan ini..Syukarn..Moga Allah yang membalas jasa kalian...
:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 15 Mei 2009

Sunday, October 19, 2008

Usik-usik Mat Naim

Seorang ‘pendidik’ memberi arahan kepada murid-muridnya..
“Hampa semua jangan naik atas simen ni kalau hampa pakai kasut, buang kasut kat tepi”
“oklah ‘pendidik’ ”,
jawab murid-murid.
“Eh, ‘pendidik’ pun pakai kasuit jugak, kotoq la simen ni”, kata Meon
“ Takpa, aku teguq nanti, ‘pendidik’ lupa kot?”, husnozon Mat Naim.

“ En ‘pendidik’ , awat en ‘pendidik’ tak buka kasuit, kotoq la simen ni”, kata Mat Naim kepada ‘pendidik’.
“ Hang silap arahan ni, arahan tu untuk hampa sebagai pelajaq, bukan untuk aku sebagai pendidik”, herdik ‘pendidik’..

USIK-USIK Mat Naim

Friday, May 16, 2008

Pelbagai tanggungjawab terpikul di atas bahu guru

Ustaz Saiful Azhar yang menguruskan anak muridnya yang lincah2...
UNGKAPAN ringkas tetapi penuh bermakna pernah diucapkan oleh seorang guru "Hina besi kerana karat, hina manusia kerana tidak berilmu". Ia memberi gambaran umum bahawa ilmu pengetahuan mampu memartabatkan kedudukan manusia dan menyelamatkan diri daripada lembah kehinaan, kemunduran dan kejahilan.

Siapa lagi kalau bukan guru, insan yang wajar kita hormati sehingga ke akhir hayat disebabkan jasa yang tidak mungkin dapat kita balas dengan apa jua cara sekalipun.

Bertepatan dengan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah "Guru Cemerlang Negara Terbilang" begitu signifikan terhadap pengorbanan guru dalam menjayakan pendidikan yang bertaraf dunia, merentas sempadan dan masa untuk melahirkan generasi muda yang mampu berkhidmat kepada masyarakat.

Ilmu merupakan nadi penggerak kepada pencapaian unggul terhadap sesebuah bangsa dan negara daripada cengkaman kejahilan. Hanya dengan ilmu jugalah manusia tidak akan mudah terpengaruh dan terjebak dengan budaya yang tidak bermoral dan membinasakan diri sendiri.

Bayangkan di sebalik kejayaan Perdana Menteri ada guru yang pernah mendidiknya. Kejayaan seseorang jutawan juga hasil didikan gurunya. Kita juga tidak boleh menafikan usaha melahirkan saintis dan angkasawan negara tidak akan tercapai tanpa tenaga guru. Malah lahirnya tokoh-tokoh ulama turut mendapat sentuhan ilmu seorang yang bernama guru. Apatah lagi sudah tentu kita tidak dapat menghitung jumlah para pemimpin dan golongan profesional adalah manifestasi daripada jasa warga guru.

Sebagaimana hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang mempunyai mentaliti kelas pertama, menambah bilangan manusia yang mempunyai personaliti unggul, merealisasikan Misi Nasional, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010), Wawasan 2020 serta pelbagai tugasan yang terpikul di atas bahu guru. Tanpa semangat guru yang cemerlang pasti tidak akan terlaksana semua impian dan wawasan negara.

Oleh kerana pentingnya mendalami ilmu pengetahuan ke dalam jiwa manusia maka agama Islam sangat menitikberatkan usaha untuk mencari ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang dan membentuk akhlak manusia ke arah sifat-sifat yang terpuji sepanjang masa.

JihadKonsep menuntut ilmu sepanjang hayat dianggap sebagai satu kefarduan dan salah satu jihad yang sangat tinggi ganjarannya di sisi Allah SWT. Ini dapat dibuktikan melalui sebuah hadis Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya "Menuntut ilmu adalah satu kefarduan ke atas setiap Muslim dan Muslimat." (Riwayat Ibn Majah).

Ustaz Nazmi membantu program jqaf di sekolah Ustaz Saiful pada 2007 yang lepas..Sekadar mencari pengalaman baru...
Di sebalik saranan daripada hadis di atas yang meletakkan tugas menuntut ilmu sebagai satu ibadat yang perlu dilaksanakan maka sudah pasti sangat memerlukan seorang guru yang mahir dalam dunia pendidikan.

Guru atau pendidik juga berperanan sebagai ejen membangunkan minda ummah, menjadikan kita bangsa yang dihormati dan disegani serta membentuk sebuah negara maju. Dengan komitmen dan kesungguhan yang tinggi maka cabaran untuk memikul tanggungjawab tersebut memerlukan guru yang menyanjung tinggi nilai-nilai kecemerlangan dalam dunia pendidikan masa kini.

Betapa luasnya ilmu pengetahuan yang perlu diterokai oleh manusia turut menuntut kesedaran untuk terus belajar dalam pelbagai bidang. Allah SWT memberi perumpamaan betapa hebatnya ilmu melebihi segala-galanya yang ada di bumi. Firman-Nya di dalam surah al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud: "Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan."

Sejarah Islam telah membawa satu mesej yang sangat jelas bahawa kejahilan tidak wajar dijadikan alasan untuk menggagalkan komitmen memartabatkan ummah di persada dunia. Apabila diri manusia telah dihiasi dengan keindahan akhlak Islam maka amat mudahlah untuk menumpukan sepenuh jiwa dan minda agar menjadi masyarakat yang cerdik akalnya daripada dunia kesesatan.

Betapa indahnya dunia ini jika didiami oleh mereka yang celik minda, akal dan hati kerana dapat memberi manfaat kepada orang lain. Ingatlah bahawa Allah SWT memberi amaran keras agar tidak melakukan sebarang kemudaratan atau mendatangkan kemusnahan yang hanya merugikan bangsa dan negara.

Sekadar bertanya, siapakah kita hari ini tanpa guru?
Lihat juga

Thursday, May 15, 2008

Guru Cemerlang Negara Terbilang

Inilah cabaran guru yang posting di pedalaman.. Adakah aku berani???
Assalamualaikum wtb.
Itulah tema hari guru pada tahun 2008 ini, membawa makna yang amat besar pada diri aku. Nampak kerja cikgu ni mcm mudah. Tu kalau kat Bandar mungkin la. Tapi bayangkanlah klu pedalaman. Siaplah. Tambah lagi pedalaman Sabah dan Sarawak ni. Namun ini tetap pekerjaan yang mulia. Ye lah, bakal bergelar guru suatu hari nanti. Bakal mendidik anak bangsa, anak agama satu hari nanti. Tak banyak yang nak saya perkatakan tentang hari guru. Cuma nak cerita beberapa tahap pendidikan yang aku pernah lalui dan guru2 yang pernah aku jumpa.

Dakwah ni kena hikmah sheikh...Jgn Asyik nak makan pree saja..bankrup ana..Pesan ustaz Mus ada anak buah dia..
Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tun Abdul Razak.

Ni lah tempat aku belajar sekarang. Banyak pahit manis yang aku lalui di sini. Sini jugalah aku mula mengenali cara hidup berjamaah. Menjadi pemimpin dalam keadaan tak bersedia. Dan di sini jugalah mula proaktif berceramah (Akan ku nukilkan kemudian).

Ustaz Mustapha dan Ust Shubki merupakan dua orang insan yang mengajar aku hidup berjamaah. Lebih2 lagi Ustaz Mustapha. Kami dikumpul dan di tarbiah. Dalam keadaan biah aku mula masuk di sini sungguh teruk. Masih ingat ketika hujung Ramadhan 2005, kami menangkap seorang ustaz, ustaz tu. KDPM. Tak puasa. Boleh bayang la mentality dan tahap kefahaman orang sini. Aku tak maksudkan semua.

Jamuan perpisahan dengan Ustaz Mus..

Ustaz Mus juga begitu mengambil berat aktiviti Pusat Islam yang aku jadi pengerusi. Kami bermula dengan dua usrah sahaja dan kini berkembang beberapa usrah. Begitu juga dengan Usrah muslimat. Aktiviti PI juga dah berkembang dengan banyaknya pengajian kitab turos dan kitab moden. Ust Mus juga mendidik aku untuk bercakap benar dan memperjuangkan perkara yang benar. Rakan2ku di sini mungkin maqruf dan mengetahui bagaimana aku bangun memperjuangkan beberapa isu sensitive dan isu yang melanggar agama. Bukan nak tunjuk lagak, tetapi kebenaran tetap benar. Biarlah kita tak naik DG masa kerja pun daripada naik kerana mengampu.

Boleh dikatakan dialah aspirasi kehidupan kami di sini. Sekarang dia smbung PHD di UM. Harap tarbiah beliau terus bersama dengan kami.

Inilah wajah para pendidik Maahad...
Ustaz Sofian menunjukkan kemahiran kayuh basikal lambat...

Ketika di Maktab Mahmud.

Inilah tempat yang aku dapat banyak tarbiah permulaan. Pernag memegang amanah penting seperti Timbalan Ketua Pengawas. Yang banyak mengajar aku erti kepimpinan dalam Islam yang aku rasa ada yang aku terapkan di bumi Sarawak ini. Di sini jugalah aku kenal banyak ulama’ feqah, tauhid dan juga ulama serba boleh. Ustaz Aminuddin, ustaz Fauzi Tahir, Ustaz Hamid Tahir dan ramai lagi. Menjadi rujukan kami dalam pelbagai perkara. Walaupun mereka hanyalah guru sandaran, namun kredebiliti mereka mengalahkan pensyarah university. Siqoh yang ada pada mereka begitu tinggi.

Dari kiri, Che Che (Atma), Kamil (German), Nazmi (IPTAR), Zool (Medic Mesir) dan Firdaus Cop (Bukit Jalil)

Pi jumpa pasangan yang bina baitul muslim masa belajaq, cikgu akmal puteri dan suaminya..(raya tahun lepas..kami pi minta duit raya ni..)

Ustazah Farishana juga antara ustzah yang membimbing. Kata2nya sentiasa panas menusuk kalbu. Begitu juga Ustaz Zaini dan Ustaz Yusuf. Bimbingan kalian soal kepimpinan amatlah dihargai.

Bagi mengajar aku erti kemanusiaan pula sudah tentulah tarbiah dan didikan daripada Cikgu Faridah Akma dan juga Cikgu Akmal Puteri. Teguran, nasihat mereka sentiasa di sisi. Tak penah jemu. Mereka tak kondem pelajar dengn suka hati. Wadah perbincangan adalah pilihan utama mereka. Terima Kasih Ustaz. Terima Kasih Ustazah. Terima Kasih Cikgu. Terima kasih Maahadian.
Cikgu Habesah dan Cikgu Ghanie yang di bawa melawat muzium Kucing di Sarawak.. Jauh datang ziarah anak teruna ni..bukan apa..bueh sangat..
Masa konvo Bang Nip di UM.. Wpun best, namun bagi kami sekeluarga, kejayaan ni disambut dengan kembalinya ke rahmatullah dua Insan penting..

Terima Kasih Cikgu Ghanie dan Cikgu Besah

Ketika masuk dalam bilik Ust Syahid beberapa minggu yang lalu. Dia bancuhkan aku air Nescafe. Bila minum terus bnyak nostalgia menimpa-nimpa dalam kepala. Masa sekolah rendah. Mula di sek keb Dato Wan Mohd Saman. Dan kemudian berpindah ke Sekolah Kebangsaan Tebengau. Setiap pagi cikgu ghanie aku ni akan mancuh air Nescafe, letak dalam botol air. Serika baju aku, seluaq aku. Aku akan pi sekolah dengan dia. Dialah yang masukkan aku ke Maktab Mahmud. Mungkin yakin didikan di sana mampu bentuk aku sebagai manusia. Jarang sekali marah dan pukul aku. Rasanya dalam 5 tahun terakhir ni, dah tak dengaq lagi dia tinggi suara. Kami selesa berbincang bahkan hingga hal peribadi.

Masih aku ingat. Cikgu Ghanie dimasukkan ke Wad masa aku form 5. Buat pembedahan pundi Kencing. Bahkan peringkat awal aku langsung tak tahu. Pelajaran aku terganggu masa exam penggal satu. Dan keputusannya dah dijangka. Aku dapat temat terakhir 5 sains 1. Tekanan ku bertambah bila seorang muslimat kelas mengeluarkan kenyataan jumpa aku di CT Plaza ekori dia. Aku pakai seluar jeans dan pakai cap. Cukup memalukan aku. Dengan jawatan yang aku sandang, bagaimanakah persepsi pengawas yang hampir 60 orang ketika itu (jumlah terbesar yang penah ada di maahad) dan juga sebagai AJK badan Dakwah. Fitnah wanita amat besaq. Tekanan yang amat besaq. Aku pejelaskan pada kepimpinan puteri. Bukan aku org itu.

Dah macam YB dah Cikgu Ghanie ni..


Dalam keadaan cikgu baru sihat. Sekolah buat temu mesra. Sain report card. Cikgu dtg ke sekolah dan lihat keputusan aku. Dia tak marah dan bagi kata2 semangat. Aku rasa mcm nak nangis ja. Cikgu faridah pun bnyak bagi semangat. Aku bangkit semula. Tapi mgkin dah lambat. Dah bulan ogos dah time tu. Namun paling manis bila percubaan SPM aku berjaya skor BIO.. Wpun bukan A1. Tapi peningkatan yang amat baik. Namun Allah punya perancangannya sendiri.

Cikgu Besah (Habesah) pula agak tegas. Selalu juga kena marah. Tiap2 pagi hantaq aku ke sek (maahad). Mmmg hebat. Sentiasa tahu apa yang aku suka makan. Aku pun tak tau apa aku suka. Namun sentiasa kena dengan selera aku. Tiap2 kali balik dari Sarawak bercuti. Pasti ada perut lembu rebus civah ayaq asam. Tanpa aku minta, ini antara menu yang akan ada di rumah.

Melebihi 20 tahun mengajaq di SKT, lebih 31 tahun dalam era perguruan, bayangkanlah berapa ramai murid yang hadir ketika persaraannya.. Kebanyakkan muridnya adalah anak kepada muridnya yang terdahulu.. penulis juga adalah muridnya..


Aku tak pasti adakah aku anak murid yang baik. Jarang dipuji berdepan. Tapi bila berbual dengan adik2 Cikgu Besah. Ternyata, pujian tetap ada pada aku. Pernah dia bagitau. Suka naik kereta yang aku pandu. Cermat bawa mcm Cikgu Ghanie. Bila real punya. Dia teguq. Jgn laju. Jalan kampung gear tiga saja. Banyak pujian dan kata2 kedua2 cikgu ni pada aku. Tapi jarang dengar berdepan. Selalunya dari wan dan tok cik yang akan cerita. Namun la nie, kedua2nya Allah dah ambil. Jadi payah la nak dengan apa cikgu bedua ni komen pasai aku. Selain depa aku hanya rapat dengan wan dan tok cik.

Kedua-duanya adalah cikgu, dan dalam masa yang sama merupakan ayah dan ibu aku. Haji Abdul Ghani Bin Ali Amin dan Hjh Habesah binti Omar. Tak dapat digambarkan betapa sayangnya cek pada ayah dan mak. Rasa sayang ni mula bererti dan amat dirasai bila duk jauh ni. Setiap kali nak berpisah, mak dan ayah akan peluk aku dalam keadaan yang amat erat. Kehangatan kasih sayang tu cukup menjadi bekal pada aku untuk setiap sem. Ya Allah, berilah peluang pada aku ya Allah. Selama ini aku memuhasabah anak org lain untuk jadi anak yang soleh. Aku juga ingin demikian Ya Allah. Aku ingin jadi anak yang soleh. Penyejuk di mata dan penenang di hati ke dua ibu bapa ku. Rahmatilah ke dua ibu bapa aku. Berkatilah mereka. Rahmati juga kesemua guru aku, yang mungkin tak sempat aku nyatakan nama mereka disini…..Amin…
-------------------------------------------------------------------------------------------------
- Selamat Hari Guru, dedikasikan pada semua guru dan bakal guru.
- Banyak lagi nama guru yang hendak disenaraikan. Namun keterbatasan.
- Amatlah berputik hati bila adik2 Maahad dah ada blog, dan blog tu pula untuk dakwah dan tarbiah. Bertambah kembang bila blog abg Nazmi turut di link kan. Terima Kasih!!!

Wednesday, May 14, 2008

Pangkat, gred ‘hadiah’ Hari Guru

Bakal-bakal guru yang sedang membentang..


KUALA LUMPUR: Guru di seluruh negara dijangka menerima `hadiah istimewa’ pada sambutan Hari Guru tahun ini iaitu kenaikan pangkat atau gred sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan besar mereka. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mat Dom, berkata berita gembira berkenaan akan diumumkan Perdana Menteri pada perayaan Hari Guru 2008 peringkat kebangsaan, Jumaat depan di Dewan Sri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.


Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu kerana ingin memastikan pengumuman oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu nanti menjadi `kejutan menggembirakan’ buat guru kepada guru sebagai dorongan untuk terus maju. “Apa yang boleh saya katakan ialah pengumuman bakal dilakukan ialah berkaitan cadangan yang dikumpulkan sejak dulu lagi menerusi memorandum pelbagai pihak, termasuk kesatuan guru yang dikaji Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). “Insentif khusus ini sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap golongan guru selama ini dalam membina serta membangunkan modal insan berkualiti bagi menjadikan Malaysia setanding negara maju lain,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Berdasarkan laporan media sebelum ini, beberapa perkara berkaitan kenaikan pangkat atau gred dituntut pelbagai pihak, antaranya Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Tuntutan lain yang dimajukan kepada Kementerian Pelajaran untuk diselesaikan segera adalah masalah guru bukan siswazah yang mendapat gaji rendah walaupun dinaikkan gred DG41 selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah dan kenaikan pangkat menerusi sistem `time-based' bagi guru gred DGA29 ke DGA32. Tuntutan ini dibuat berikutan dakwaan guru yang mereka tidak dinaikkan pangkat walaupun sudah berkhidmat melebihi 10 tahun serta lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sekurang-kurangnya tahap III. Alimuddin berkata, pemberian insentif memang sering dilakukan pada setiap sambutan Hari Guru dan tahun ini, tumpuan diberikan kepada kenaikan pangkat guru terutama yang layak.


Pada sambutan tahun lalu, Abdullah mengumumkan skim kenaikan pangkat, tetapi ia membabitkan guru besar iaitu kenaikan gred DGA34 kepada DGA38 bagi guru besar sekolah rendah bukan siswazah yang menunjukkan prestasi cemerlang. Menerusinya, 1,600 jawatan itu diwujudkan merangkumi 30 peratus daripada keseluruhan guru besar di seluruh negara dan sebagai permulaan 300 jawatan berkenaan diisi. Selain itu, anak guru juga diberi buku teks secara percuma selain penyediaan dana khas bagi menjaga kebajikan guru menerusi penubuhan Yayasan Guru Tun Hussein Onn.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

- Teringat pada guru-guru di Maahad dulu.
- Juga peringatan pada diri yang akan jadi bakal guru. Akan ku nukilkan sesuatu untuk hari guru.
- Sumber maklumat di sini.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin