Showing posts with label Kisah Masyarakat. Show all posts
Showing posts with label Kisah Masyarakat. Show all posts

Saturday, May 8, 2010

Kisah Ibu



PASIR PUTEH 6 Mei - Apa yang dipanggil rumah buat seorang ibu bersama sembilan orang anaknya berteduh di Kampung Kolam Tembesu di sini hanyalah sebuah bangsal, bekas kandang lembu.

Sudah lima bulan keluarga itu menetap di situ dan mereka tidak mempunyai pilihan lain biarpun terpaksa tinggal bersesak, tanpa kemudahan bekalan air bersih, malam yang diterangi pelita ayam dan basah bila hujan.

Seperti ibu-ibu yang lain, Rosnani Mamat, 38, mengimpikan anak-anaknya tinggal dalam keadaan sempurna tetapi nasib keluarganya tidak sebaik orang lain kerana himpitan kemiskinan dan diburukkan dengan konflik keluarga.

"Sebelum ini kami menumpang di rumah orang tua tidak jauh dari sini dan kemudiannya terpaksa berpindah, menjadikan keadaan lebih buruk," ujarnya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Bangsal seluas tiga meter persegi di tanah datuknya dibaiki dan diubahsuai menggunakan plastik tebal dan papan lama sebagai dinding (Baca Lagi)

Mu bacalah...bacalah..
Bacalah bagaimana lima bulan sudah berlalu....
Lima bulan....
lima bula dulu ..tika YB hulu Selangor pon masih belum Mati...
YB Sibu pon belum nazak......
Orang Felda Sg.Buaya masih belum dapat 50 ribu....


Sebuah kisah sedih...sebuah kisah sadis....
Kisah ibu yang mahu membela anak nya....
Kisah ibu yang tinggal dalam bangsal lembu...........

Aku tidak mahu menulis tentang ketuanan Melayu...
Aku juga tidak mahu bersurah tentang serambi Mekah, bumi tadahan wahyu, barisan kepimpinan Ulama..
Kerana Ku tahu Ibu ini pasti tidak akan mengerti....
Aku juga tidak mahu menulis tentang empat Juta...
Aku juga tidak mahu mengulas tentang Perarakan Perkasa di Pulau Pinang...
Kerana ku tahu ibu ini pasti tidak mengerti siapa itu Ibrahim Ali siapa itu Kickdefella......

Ohhh..aku tidak ingin berbicara tentang PMBK....kerana ibu tidak kenal siapa itu menantu...
Aku juga tak ingin bersurah tentang hutan-hutan lojing....
ataupon tentang kambing jamnapari , tentang jagung atau pon tentang depu....
ohhh sama sekali tidak....

Jumaat ini ...aku tidak ingin mengumpat...
Aku tidak ingin membuat dosa.....
ohh... aku tidak akan bertanya....dimanakah
Duit zakat...dimanakah duit baitulmal....
Di manakah mereka bermesyuarat....
Walaupon ku tahu kerusi mufti sangatlah empuk..
Kereta pengutip zakat sangatlah besar....
Rumah mereka tersergam indah............

Bayangkan anak-anak ini bermain...
bayangkan anak-anak ini makan....
bayangkan anak-anak ini mengaji.......
bayangkan tika malam anak-anak ini tidur...
bayangkan hujan yang mencurah tika mereka tidur....
bayangkan......ketika pelita ayam menerangi malam.......

ohh sadis ohh sedih
ohh shahrizat....ohh rosmahhh...
memang mahal gincu mu....
memang mahal jambul mu.....
Tidak ku minta lampu cindelia rumah mu menerangi mereka........
Tidak ku mintak pelapik cawan rumah mu menjadi pingan mereka....
Tidak ku mintak pengelap kaki rumah mu menjadi alas tidur mereka..........
memandang ke langit lihatlah sama rumput di bumi.....

Apakah anak-anak ini tahu tentang telaga minyak...
Apakah anak-anak ini tahu tentang wang ehsan...
Apakah anak-anak ini tahu tentang burung kakak tua berbulu emas

Ohh kawan-kawan ku..
bacalah kisah ini..........bacalah
tika kamu memakai baju merah berarak di komtar........
tika kamu mengucup keris.....
tika kamu melaung di PWTC.......
ohh ini lah Melayu yg kamu perlu cari....
bukan nya Melayu yang berkereta besar........
bukan nya Melayu yang berperut besar..........

Kawan ku perjuangan ini masih belum selesai...
perjuangan ini perlu ketulenan..
janganlah hanya memetingkan perut boroi mu sahaja..........
Lihatlah mereka...sama

Malaysia nak jadi Las Vegas ke???

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan tindakan pemimpin Umno melalui Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang mahu menimbangkan sekali lagi cadangan meluluskan lesen judi Bolapsepak Piala Dunia 2010.

Hal ini sudah jelas mendapat tentangan rakyat sejak cadangan pertamanya tahun lepas. Namun kali ini ia berbangkit lagi dengan alasan bahawa kerajaan gagal membanteras aktiviti sindiket perjudian haram. Alasan ini dengan sendirinya membuktikan kelemahan sistem pentadbiran dan penguatkuasaan kerajaan. Bila sudah gagal mereka keluarkan lesen untuk menghalalkan pula.

Kempen memerangi dadah masih diteruskan walaupun belum berjaya menghapuskan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah. Dadah diistihar sebagai musuh negara. Kenapa selepas bertahun-tahun gagal membasmi dadah hingga ke akar umbi Kerajaan tidak mengeluarkan lesen pengedaran dadah pula.

Kerajaan kata dadah itu merosakan rakyat dan menjadi ancaman kepada negara kerana menyebabkan ketagihan serta dorongan melakukan jenayah. Apakah judi tidak memainkan peranan yang sama. Berapa ramai rakyat Malaysia yang jadi kaki judi mengabaikan keluarga mereka, malah ada yang sanggup jadi penjenayah untuk mendapatkan modal berjudi. Sepatutnya judi diistihar sebagai musuh utama negara juga.

Rakyat Kelantan khususnya pasti bersyukur dengan kekalahan Umno dan Awang Adek dalam pilihanraya lalu di negeri itu. Jika beliau menang dan Umno rampas kerajaan Kelantan, pastilah beliau yang kononnya mahu diangkat menjadi Menteri Besar akan menjadikan Kelantan sebagai Negeri Serambi Las Vegas bukan lagi Serambi Mekah.

Disebabkan gagal di Kelantan beliau yang mendapat peluang jadi Menteri melalui ehsan Najib mahu jadikan Malaysia pula sebagai serambi Las Vegas. Tak dapat Kelantan, satu negara diperjudikannya.

Mungkin tindakan ini terdorong dek peluang yang dinikmati Singapura yang baru-baru ini mendapat suntikan pelaburan sebanyak USD 5.7 Bilion dari Las Vegas Sand Corp yang mahu membina sebuah Resort Perjudian mewah dinegara itu bagi menyaingi Genting Highland. Projek Marina Bay Sand itu dijangkakan mendatangkan pulangan USD 2 Bilion setahun dan menjadi antara sumber kewangan baru bagi Kerajaan Singapura.

Oleh itu, Awang Adek cuba menunjukan Malaysia lebih terbuka dari Singapura dengan harapan syarikat Perjudian antarabangsa berminat membuka resortnya di Malaysia pada masa akan datang. Krisis kewangan global menjadikan pemimpin Umno buta mata, dan sanggup mengambil apa sahaja peluang untuk mengaut keuntungan bagi membiayai projek-projek politik yang mereka janjikan kepada rakyat sejak PRU-12.

Tahun ini usia Umno 64 tahun, bermakna sudah lebih 64 tahun mereka bergelumang dengan perjudian. Di awal penubuhannya berbondong-bondong Ulama' dan Ustaz-Ustazah keluar dari Umno menubuhkan PAS kerana kedegilan pemimpin Umno yang tekad menjadikan loteri kebajikan dan pelbagai jenis judi sebagai aktiviti ekonomi mereka hingga ke hari ini.

Hari ini Umno masih bersandarkan hasil judi untuk terus berdiri megah di PWTC. Lihat sahaja senarai pemegang saham dan ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat judi dalam negara. Malah, bila sebut pasal tokoh pelaburan judi dalam Umno rakyat akan terbayang wajah Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor.

PAS berharap agar rakyat membuka mata dan bangkit menolak dasar-dasar perjudian yang cuba dihalalkan Umno. PAS yakin, tanpa duit hasil judi, ekonomi negara ini mampu melangkah jauh ke hadapan.

Ust. Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Friday, November 13, 2009

Kerana 20 sen


Beberapa tahun dahulu, ada seorang Imam yang berasal dari Thailand telah dipanggil ke Malaysia untuk menjadi Imam tetap di sebuah masjid di Malaysia. Telah menjadi kebiasaan baginya menaiki bas untuk pergi ke masjid. Pada suatu hari, selepas Imam membayar tambang dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah memulangkan wang baki yang lebih daripada sepatutnya sebanyak 20 sen.

Sepanjang perjalanan Imam memikirkan tentang wang 20 sen tersebut. "Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?" Imam bertanya kepada dirinya. "Ah... syarikat bas ni dah kaya... setakat 20 sen ni... nak beli tosei pun tak cukup," kata Imam.

Apabila tiba di hadapan masjid, Imam menekan loceng dan bas tersebut pun berhenti. Ketika Imam ingin turun sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas sambil memulangkan wang 20 sen. "Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen," kata Imam kepada pemandu bas.

"Ohhh...!!! Terima kasih!!! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni... kan sedikit je nilainya," kata pemandu bas. Imam menjawab, "Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya wajib berlaku jujur." Pemandu bas tersenyum, dan berkata, "Sebenarnya saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk memeluk Islam."

Imam turun dari bas dan seluruh jasadnya menggigil dan kesejukan. Imam berdoa sambil menadah tangan, "Astaghfirullah!!! Ampunkan daku Ya Allah... Aku hampir-hampir menjual harga sebuah Iman dengan 20 sen!!!

Sahabat-sahabatku sekalian... Apa yang anda dapat daripada peristiwa di atas? Ingatlah... Kita mungkin tidak melihat dan tahu kesan tindakan kita terhadap orang lain. Kadang-kadang manusia akan menganggap kita sebagai 'tingkap' untuk melihat ke dalam dunia Islam.

Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu
terdapat contoh ikutan TERBAIK.

"DUNIA sebagai ALAT; AKHIRAT sebagai MATLAMAT"

-------------------

- Disalin semula dari sini

Wednesday, August 26, 2009

PLKN di Dun Pengkalan Kundor

Kehadiran pelatih-pelatih PLKN di perkarangan rumah Cikgu Ghani sebelum khidmat masyarakat dijalankan...
Penghulu Kampung memberikan taklimat kepada pelatih PLKN yang hadir...
Peka terhadap segala maklumat yang disampaikan..
Taklimat daripada jurulatih PLKN kepada hadirin..
Kehadiran YB Exco Kerajaan Negeri, YB Dato Ir. Hj Phahrolrazi Zawawi.
Mengalu-alukan kehadiran pelatih PLKN ke Kampung Teluk Bagan dan juga Dun Pengkalan Kundor...
Sekitar jamuan makan...
Pelatih PLKN menikmati jamuan makan tengah hari
Pelatih berbilang kaum...

Makanan disediakan oleh mak cik-mak cik di kampung ini..
Bermesra dengan tuan rumah..
Bersama-sama dengan penghulu...
Datang dengan dua biji bas.. Terima kasih daun keladi, lain kali datanglah lagi..

Friday, August 21, 2009

Rasa 'ummpp' durian kampung


WALAUPUN klon durian B24, Susu, Otak Udang, D11 dan pelbagai lagi klon durian telah berjaya menambat hati penggemarnya di negara kita, tetapi durian kampung tetap menjadi kegilaan kaki durian.

Nama-nama seperti lancang kuning, seulas sepiring, nasi kunyit, trohogoh, buah hijau dan pelbagai nama lagi terus mendapat perhatian khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.

"Durian kampung sedap, isinya lemak, manis, halus dan ada ummp...!," ujar Ah Soon, 38.

Menurut pengusaha membaiki motosikal di pekan Bandar Baharu, Kulim, Kedah itu, beliau sekeluarga tidak pernah membeli durian 'kahwin', sebaliknya mencari durian kampung pada setiap kali musim raja buah itu tiba.

"Saya suka 'buah hijau'. Isteri saya pula suka 'duri kecil', isinya kuning dan cukup sedap. Kami pembeli tetap buah durian pemilik dusun dari Kampung Bukit Tok Din dekat sini," ceritanya.

Bagi seorang kakitangan bank, Ramli Mat, 54, beliau pasti membeli durian kampung pada setiap kali musim durian kerana rasa yang lebih sedap dan harganya tidak terlalu mahal.

"Pernah sekali saya beli durian 'kahwin' jenis baik, tetapi keluarga tak berapa suka kerana kata mereka, rasanya tidak asli," katanya.

Bagi Mohd. Sallehuddin Hamid, 24, dia tidak begitu minat dengan durian 'kahwin' kerana isinya terlalu banyak, kasar dan tidak boleh dimakan banyak kerana cepat berasa muak.

"Tidak seperti durian kampung, isinya cukup sedap, lemak dan manisnya juga lain tidak seperti durian 'kahwin'. Paling saya suka rasanya semacam ada gas, bila sendawa menyucuk hidung," ujarnya

Seorang peraih yang dikenali sebagai Ah Huat, 58, pula memberitahu, adakalanya beliau terpaksa mendapatkan bekalan durian kampung di Taiping, Perak bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Sejak berniaga durian lebih 30 tahun lalu di pekan Parit Buntar, kalangan pelanggan Cina lebih menggemari durian kampung dan permintaannya tinggi jika dibandingkan dengan durian 'kahwin'," katanya.

Selain harga, beliau juga tidak menolak kemungkinan faktor keaslian rasa durian itu sendiri menjadi penyebab kenapa durian kampung terus digemari oleh penggemar-penggemar durian.

Pemilik dusun, Hasan Abd. Rahman, 64, memberitahu, ramai penggemar durian datang ke dusunnya terutama pada hujung minggu untuk membeli durian, selain beliau menjualnya secara borong kepada peraih yang datang awal pagi.

Beliau percaya, durian kampung tetap digemari biarpun pelbagai klon baru durian dicipta kerana selain sedap, durian kampung juga bebas daripada penggunaan racun makhluk perosak dan baja kimia secara berlebihan.
------------------------
- Lamanya ana dah tak makan durian… Rujukan di sini.

Saturday, August 8, 2009

Katakan TIDAK pada ISA-Siri 4


Tragedi 1 Ogos merupakan pengulangan beberapa tragedi menyayat hati yang dapat dilihat di negara kita. Peristiwa tindakan ganas pihak polis, khususnya FRU bertindak ke atas himpunan aman rakyat, merupakan malapetaka kepimpinan BN yang masih tidak belajar dari kesilapan lampau. Tindakan rakus menyembur gas pemedih mata, semburan air kimia ke atas himpunan aman tersebut ternyata mengundang kemarahan masyarakat di negara ini dan badan-badan hak asasi antarabangsa.

Himpunan yang berjalan secara aman dengan kawalan Unit Amal bagi memastikan tidak berlaku tindakan diluar batas yang dibenarkan oleh pihak penganjur. Himpunan hari itu tentulah akan berjalan dengan santai dan berakhir dengan baik seandainya mereka tidak disembur gas pemedih mata serta tindakan ganas pihak FRU. Sayang, himpunan aman ini akhirnya bertukar kelam kabut, bilamana sebilangan rakyat yang berhimpun dikejar, ditangkap, digari dan dijemur dalam trak berjam-jam lamanya.

Tembakan gas pemedih mata dan semburan air kimia menyaksikan kanak-kanak, remaja dari pelbagai kaum terpaksa berlindung di mana sahaja. Mungkin bagi pihak FRU dan polis, tindakan ini adalah lambang keegoan dan kemegahan. Megah kerana berjaya menghalang himpunan, berjaya memecahkan himpunan rakyat. Namun apakah ianya berakhir di situ sahaja?

Persoalannya, salahkah rakyat berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap akta yang zalim ini, setelah pelbagai cara dilakukan bagi menentangnya. Rakyat telah gunakan seluruh saluran lain. Bantahan dalam Dewan Negara dan Dewan Rakyat, surat, kenyataan, seminar, resolosi bengkel bahkan tandatangan rakyat telah dibuat. Apa lagi bagi rakyat untuk menentang akta yang zalim ini. Kezaliman tiada kompromi dalam Islam, Nabi tidak mengaku umat mereka yang menyokong kezaliman, sehingga Baginda memberi amaran:

“Sesiapa yang berjalan bersama orang yang zalim bagi membantunya, sedang ia mengetahui kezaliman orang tersebut, maka telah terkeluar ia dari Islam” - Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi.

Kerana itu Imam Nawawi dalam syarahnya dalam juzuk 17, hal 190 sewaktu menghuraikan hadis :

“Ada dua golongan dari ahli neraka, yang belum aku saksikan iaitu suatu kaum yang membawa cemeti seperti ekor sapi untuk memukul manusia, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka bertelanjang, yang menanggalkan tutup kepala, yang menarik kepada maksiat. Kepala (rambut) mereka diikat seperti bonggol unta. Mereka ini tidak akan memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya, sedangkan bauannya dapat dihidu dari jarak sekian-sekian”. -(Hadis Muslim)

Imam Nawawi menyatakan yang dimaksudkan dengan golongan yang keluar rumah ditangannya ada cemeti, mengejar dan memukul manusia ialah polis ( FRU). Wallahu a'lam. Apakah itu sebenarnya dimaksudkan, namun mari kita meneliti sifat yang dinyatakan oleh Rasulullah dengan tidak menuduh sesiapa, kalau bukan FRU siapa lagi.

Lihat pula sebuah hadis yang juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah sabda Baginda:

“Hampir sahaja sekiranya kamu panjang umur, maka kamu akan melihat sekelompok orang yang pada tangan mereka ada cemeti (cota) yang diikat seumpama ekor sapi mereka berangkat keluar dari rumah dengan kemarahan Allah dan mereka kembali ke rumah mereka dalam kemurkaan Allah”.

Apakah hati kamu puas bilamana kamu berjaya memukul orang-orang tua, membelasah kanak-kanak, menangkap muslimat dan menyemburkan gas kepada para ulamak. Demi Allah kalaupun kezaliman ini tidak dibalas oleh Allah di dunia, kita pasti bertemu di akhirat.

Apa yang berlaku di hadapan mata kita menyaksikan bagaimana rakyat yang tidak berdosa diterajang, dipukul dengan cota, digari, diheret setelah mereka ditembak dengan gas pemedih mata hanya kerana berhimpun untuk membantah akta yang zalim ini. Tindakan ini tentunya akan mengundang kemarahan rakyat, namun sekalung tahniah diucapkan kerana rakyat kerana tidak membalas bantahan dengan kekerasan, tiada satu pun tingkap kedai pecah, tiada sebuah kereta pun yang diserang, tiada sebarang kerosakan harta awam. Inilah akhlak yang dipamir oleh rakyat.

Lalu demi membenarkan tindakan kejam meraka dicari pelbagai alasan luar, kononnya demonstrasi tersebut menyebabkan berlakunya kesesakan jalan yang teruk. Sebenarnya puluhan himpunan yang dianjurkan melibatkan berlaku kesesakan jalan raya. Kalau kerajaan boleh mengisytiharkan penutupan jalan semata-mata bagi memberi laluan kepada pelumba basikal, pelumba jalan kaki, pesta perayaan pelbagai agama, perarakan pesta hiburan, bahkan beberapa orang artis pernah membuat konsert di tengah Chow Kit Road, apa payah pula untuk memberi laluan sekadar dua jam kepada rakyat untuk berhimpun menyerahkan memorandum rakyat kepada Istana, kamudian mereka bersurai dengan aman. Menyaksikan tindakan ganas yang ditunjukkan ini, maka benarlah kata-kata A. Samad Said:

“Kalau kerajaan tidak melayan tuntutan rakyat di jalan raya, kita mesti terjemahkannya dalam pilihanraya”.
------------------------
- Rujukan di sini.
- Artikel ini di tulis oleh Tuan Guru Dato Tuan Ibrahim Bin Tuan Man

Wednesday, June 24, 2009

Undang-undang Dunia


THAILAND :

* Dilarang keluar rumah tanpa memakai seluar dalam.

SWISS :

* Dilarang berkebun di hari minggu.

SWEDIA :

* Dilarang mengecat rumah tanpa izin dari kerajaan dan harus menggunakan cat yang sudah mendapat sertifikasi dari mereka.

KOREA SELATAN :

* polis wajib melaporkan jumlah wang rasuah yang mereka terima dari para pemandu yang ditahan.

SINGAPURA :

* Dilarang berjalan (bogel)
* Tidak flusk jamban setelah buang air di toilet, dikenakan denda.

UNITED KINGDOM :

* Dilarang menjual sayuran di hari minggu .
* Wanita dilarang makan coklat di tempat umum.

MEXICO :

* Wanita yang bekerja dilarang mengenakan pakaian seksi yang dapat memprovokasi rakan kerja selama jam kerja.
* Dilarang memaki di tempat umum.

AUSTRALIA :

* Dilarang mengangkat telepon pada deringan pertama.
* Dilarang mengenakan spenda Hot Pink di hari minggu.

YUNANI :

* Dilarang mengenakan topi di stadium , kerana dapat mengganggu pandangan orang lain.

KANADA :

* Dilarang menempel plester luka di tempat umum..
* Dilarang menyirami tananam di kebun waktu sedang hujan.
* Dilarang memanjat pokok.

PERANCIS :

* Dilarang berciuman di keretapi bawah tanah.

ISRAEL :

* Dilarang memelihara babi di Israel . Orang yang melakukannya akan ditembak mati.

AMERIKA - ARIZONA :

* Dilarang memandu tanpa kasut.
* Dilarang bermain domino di hari Minggu.
* Dilarang memakai kumis palsu di gereja.
* Hukuman mati dikena bagi sesiapapun yang menaburkan garam di atas rel kereta api.
* Dilarang memandu dengan mata tertutup.

- ALASKA :

* Dilarang mengambil gambar beruang yang sedang tidur.
* Dilarang memberi minum bir pada rusa.
* Dilarang berjalan-jalan sambil membawa busur dan anak panah.

- ARKANSAS :

* suami diizinkan memukul isterinya, tapi tidak boleh lebih dari 1 kali sebulan.
* Dilarang memelihara buaya di dalam bathtub.
* wanita yang saling menggoda di tepi jalan, akan dikenakan 30 hari penjara.
* Dilarang membawa lembu berjalan-jalan di jalan utama di hari Minggu.

- CALIFORNIA :

* Binatang peliharaan dilarang dibiarkan berhubungan seks di sekitar lokasi sekolah, taman, dan tempat ibadah.

- COLORADO :

* Dilarang berdebat dengan polis, kecuali kenderaan Anda ditahan olehnya.

- CONNECTICUT

* Dilarang mencium istrinya di hari Minggu.

- FLORIDA :

* Dilarang bernyanyi di depan umum sambil mengenakan pakaian renang.
* Dilarang kentut di tempat umum setelah pukul 6 .
* Dilarang memecahkan piring dan gelas lebih dari 3 buah sehari.

- WASHINGTON :

* Dilarang menyusui anak di tempat awam.

MALAYSIA

* Motosikal wajib memasang lampu pada waktu siang

Tuesday, June 23, 2009

Santai-menyantai

SIAPA HEBAT

Man : Bapa aku hebat. Dia polis. Semua orang takut ngan dia.
Ali : Eleh, bapa aku lagi terer. Kalau dia suruh orang tunduk, mesti orang tu tunduk.
Man : Wow! Bapa kau keja apa?
Ali : Tukang gunting rambut.


KELAS BI
Ayah : Apasal B.I kamu nie asyik dapat kosong jer...! Apasal hah?
Anak : Eh, ayah! Tu bukan kosong. Tadi cikgu adik dah kasi bintang banyakkat bebudak lain. Ada dapat 5 bintang la, 4 bintang la. Bila turn adikjer, bintang dah abis. Sebab tu cikgu bagi kat adik bulan.


SUDU
Doktor : Encik kena ambil 3 sudu ubat ni setiap hari.
Pesakit : Eh! tak boleh la doktor.
Doktor : Kenapa?
Pesakit : Rumah saya ada dua sudu jer.


MAYAT
Cikgu : Hasan,sambungkan 2 ayat ini menjadi satu. 'Ali menaiki basikal ke sekolah. Ali ternampak mayat.'
Hasan : Ali ternampak mayat menaiki basikal ke sekolah.


TIRU

Cikgu : Encik,anak awak didapati meniru Ali dalam exam.
Bapa : Apa bukti cikgu?
Cikgu : Encik tengok soalan nombor 4 nie. Siapakah menemui Pulau Pinang? Seman tulis "Saya tak tahu" dan anak encik tulis "Kalau engkau tak tahu, aku lagi la tak tahu".


DOKTOR
Suatu petang datang seorang lelaki berumur ke klinik ENT , kerana telinganya di masuki biji kacang hijau semasa dia membeli barang dapur di pasar.

Doktor : "Selamat petang..."
Pesakit : "Selamat petang Doktor!"
Doktor : " Ada masaalah apa .....?"
Pesakit : "Telinga saya dimasuki biji kacang hijau, Doktor..."
Doktor : "Biar saya periksa telinga anda!" setelah diperiksa... .
Doktor : " Ada2 cara untuk mengeluarkan biji tersebut..."
Pesakit : "Apa caranya doktor?"
Doktor : "Pembedahan kecil kosnya 2 ribu ringgit dan pilihan kedua pula percuma..."
Pesakit : "Mahal sangat Doktor, kalau yang percuma bagaimana?"
Doktor : "Yang percuma kena sabar..."
Pesakit : "Baik, saya sabar, dan bagaimana caranya...?"
Doktor : "Anda sirami telinga anda 2 kali sehari dan nanti jika sudah jadi tauge' anda
tinggal tarik keluar."
Pesakit : "Huh

Monday, May 25, 2009

Gambar Hari Ini : Petani Moden di Jelapang Padi

Jentera Moden
Memudahkan tugas para petani..
Best juga naik benda alah ni...
Tak payah dah nak penat-penat menyulam

Menyulam pakai mesin saja...

Friday, May 22, 2009

Pelesit Jalan Raya


1. Isu Mat Rempit adalah salah satu isu nasional yang membimbangkan kerajaan.Isu ini adalah signal yang jelas mengenai keruntuhan moral dan akhlak sebilangan rakyat Malaysia sekaligus pengurangan bilangan bakal-bakal modal insan negara yang berkualiti. Kerajaan terpaksa membelanjakan banyak wang dan memperuntukkan banyak masa dan tenaga untuk mengatasi masalah ini.

2. Selain pihak berkuasa, NGO-NGO berkaitan turut sama bertindak dan memikirkan kaedah terbaik untuk mengatasi masalah ini. Walaupun telah banyak tindakan cuba dilakukan, masalah Mat Rempit bukan setakat tidak mampu diatasi, malahan ia belum mampu dikurangkan.

3. Usaha pihak tersebut untuk mendekati Mat Rempit adalah hampir ia-sia.Perbelanjaan kerajaan untuk menyelesaikan masalah tersebut juga adalah hampir sia-sia. Kempen-kempen memujuk Mat Rempit untuk berhenti merempit juga adalah hampir sia-sia.

Hakikatnya, Mat Rempit tidak akan berhenti merempit melainkan mereka merasa sudah tiba masanya untuk mereka berhenti merempit (umur sudah tua), ataupun apabila mereka maut ketika merempit, ataupun jika mereka cedera parah dalam kemalangan dan tidak lagi mampu merempit.

Tuesday, May 19, 2009

Kisah cikgu & Mariam

Pagi 16 Mei 2005, saya dikejutkan dengan beberapa orang anak murid yang meluru ke arah saya. Wajah mereka berseri-seri lalu masing-masing menghulurkan bungkusan berwarna-warni.

"Cikgu.. Selamat Hari Guru!" kata mereka bertepuk tangan sambil berlari-lari anak mengelingi saya.

Memang saya terkejut kerana sebelum itu tidak pernah saya khabarkan pada anak-anak murid tentang tarikh sambutan Hari Guru apalagi mengingatkan mereka. Bagi saya mereka terlalu muda dan belum dapat menilai erti sambutan Hari Guru. Rupa-rupanya saya silap. Tanpa saya menyangka, pagi itu meja saya dipenuhi pelbagai jenis hadiah. Hari itu saya rasakan terlalu indah. saya rasa disanjungi, lalu pipi anak-anak murid saya kucup tanda menghargai pemberian dan ingatan mereka.

"Terima kasih.. Beritahu ibu, cikgu ucapkan terima kasih, ya!" pesan saya pada Arina lalu satu kucupan singgah di pipi gebunya.

Di sisi Arina, saya lihat Mariam tersengih-sengih. "Cikgu.. Mariam pun nak bagi hadiah. Tapi tak bawa hari ni, lupa. Boleh ya cikgu?" kata anak kecil itu bersungguh.

"Tak payahlah Mariam. Tak bagi pun tak apa, cikgu bukan minta hadiah. Cukuplah Mariam ucap Selamat Hari Guru buat cikgu. Itu pun sudah buat cikgu gembira".

Saya cuba memujuknya kerana tidak mahu menyusahkan Mariam dan anak-anak murid yang lain. Sebagai cikgu, saya tahu serba sedikit latar belakang keluarga mereka. Kerana itu saya tidak mahu ada di antara nak-anak murid saya yang bersusah payah menyediakan hadiah lebih-lebih lagi Mariam.

Dia bukan anak orang senang. Ibu bapa Mariam membesarkannya hanya dengan meraut lidi dan mencari daun getah kering lalu menjualkannya. Sebab itu saya tidak mahu Mariam merasa bersalah bila melihat teman-teman yang lain memberikan hadiah sedangkan dia tidak membawa apa-apa. bagi saya, lebih baiklah duit yang ada itu digunakan ibu bapa Marian untuk makan minum keluarganya, atau membelikan baju baru untuk Mariam buat menggantikan baju yang kusam dan masam dek peluh.

Saya gembira mendidik murid seperti Mariam. Biarpun ibu Mariam sudah lama meninggal dunia, namun anak kecil itu masih bertuah kerana ibu tirinya menyayangi Mariam tidak ubah seperti anak kandung sendiri. Buktinya, setiap pagi saya lihat anak kecil itu datang ke tadika sambil dipimpin ibunya, berjalan 2 kilometer setiap hari. kalau ada yang bersimpati, keluarga murid-murid lain akan menumpangkan Mariam ditengah jalan. kalau tidak, mariam akan terus berjalan kaki dalam panas gerimis, pergi dan balik. Begitulah setiap hari.

Esoknya, sekali lagi meja saya dipenuhi dengan pelbagai jenis hadiah. Kali ini datang dari anak-anak murid yang tidak sempat memberikannya semalam. saya hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala. Sambutan Hari Guru tahun ini benar-benar meriah! Seperti biasa, pagi itu saya berdiri di hadapan pintu menyambut seorang demi seorang ibu bapa yang datang menghantar anak masing-masing.

Di muka pintu sekolah, saya dengar seorang bapa berpesan, "Hadiah tu bagi kat cikgu tau". Tatkala itu saya benar-benar tersentuh kerana tidak menyangka cukup dihargai oleh anak-anak murid yang masih kecil usianya.

Dari halaman, saya lihat Mariam berpimpin tangan dengan ibunya. Saya sambut kedua-dua mereka dengan senyuman. sama seperti pagi-pagi sebelumnya, Mariam tiba di tabika dengan tubuh yang bermandikan peluh. bajunya basah, namun kanak-kanak itu tetap ceria, tersenyum seperti biasa.

"Cikgu, Mariam bawa hadiah untuk cikgu!" laungnya sambil ketawa.

"Kan cikgu dah pesan tak payah bagi cikgu hadiah" kata saya lalu mengusap rambut Mariam yang bertitisan peluh dengan rasa kasih yang mendalam.

"Tak apa.. Hadiah ni best cikgu!" kata Mariam bersungguh-sungguh.

mariam meletakkan begnya di atas meja. Pantas jari jemari comelnya membuka zip beg sekolahnya yang sudah pudar warnanya kaibat dimamah cahaya matahari.

"Sekejap ya cikgu" kata Mariam yang masih tengucap-ngucap kepenatan.

Saya lihat Mariam mengeluarkan sesuatu dari dalam beg. Dia tersenyum sebaik menghulurkan segumpal surat khabar yang berkecai dalam genggamannya.

"Alaa.. koyak pulak cikgu!" rungut Mariam penuh kekesalan.

Matanya membulat memandang saya yang masih setia menantinya. Beberapa murid lain turut berdiri tidak sabar melihat apa yang Mariam keluarkan.

"Apa yang Mariam bawa tu?" saya bertanya penuh kekhairanan melihat sesuatu yang bulat dibungkus dengan surat khabar lama.

Saya dekati anak kecil itu lalu menyelak beg yang dibawanya. Di saat itu, hati tiba-tiba menjadi sebak sebaik melihat 5 biji buah bacang betindih-tindih dengan buku tabikanya. Dada saya ini mula terasa berat, ada air yang mula bertakung dikelopak mata.

"Cikgu ambillah plastik. Rumah Mariam tak ada plastik, sebab itu mak bungkus dengan kertas, tapi koyak pulak" katanya lincah sambil mengeluarkan sebiji demi sebiji buah bacang dari beg sekolahnya.

Gelak tawa kawan-kawannya mula kedengaran, namun Mariam masih tersenyum lalu matanya merenung saya dengan pandangan yang cukup sayu. "Cikgu, cikgu tak suka buah bacang ke?" tanya anak kecil itu bila melihat saya merenung wajahnya dan buah bacang 5 biji yang bergulingan di atas meja.

Saya cuba tahan air mata supaya tidak mengalir. Terlalu sebak rasanya. "Tak.. Cikgu suka.. Suka sangat. Balik nanti cikgu buat sambal belaan ya" kata saya perlahan.

Suara saya bagai tersekat dikerongkong. Dapat saya lihat anak kecil itu mengukir senyuman. Saya peluk tubuhnya yang masih bermandikan peluh. Tidak dapat saya gambarkan bagaimana anak kecil itu membawa 5 biji buah bacang sambil berjalan sejauh 2 kilometer. saya kucup pipinya beberapa kali lalu tidak henti-henti ucapan terima kasih saya bisikkan ke telinga Mariam.

"Bagitahu emak, cikgu suka buah bacang. Terima kasih ya" ucap saya lagi. Anak kecil itu mengangguk.

"Tengok, Mariam pun bagi hadiah kat cikgu jugak" katanya kepada kawan-kawan sambil tersenyum riang.

"Eleh.. buah bacang bukan hadiah. Orang bagi hadiah kena bungkus lawa-lawa, bukan dengan kertas koyak" kata seorang murid yang masih tidak mengerti nilai sebuah hadiah yang sebenar-benarnya.

"Tak apa.. Semua hadiah cikgu suka. Balut lawa atau tidak semuanya sama. Cikgu sayang semua anak murid cikgu" saya ucapkan kata-kata itu agar hati anak sekecil Mariam tidak terguris.

Dapat saya luhat Mariam sekali lagi ketawa lalu bertepuk suka. beberapa titis air mata yang sejak tadi saya tahan akhirnya tumpah di pipi. Cepat-cepat saya kesat, bimbang anak-anak kecil yang suci dan bersih itu perasan kerana mereka belum dapat menyelami perasaan seorang insan bergelar guru.

Buah bacang pemberian Mariam itu saya bawa pulang dengan perasaan bangga bercampur hiba. Walaupun ia hanya 5 biji buah bacang, tetapi hadiah itu amat istimewa. Wajah Mariam, bajunya yang dibasahi peluh dan senyumannya yang ikhlas bermain-main di ruang mata saya. Tengahari itu, sambal belacan buah bacang menjadi santapan kami sekeluarga. Semasa menelannya, titis air mata ini tumpah lagi ke pipi.

(berdasarkan cerita sebenar oleh Cikgu Rokiah - Kulim, Kedah)

-------------------
- Mood sambutan hari guru belum habis lagi.. Tahun ni saya bergelar guru (masa Praktikum) dan tahun ni la hari guru yang cukup best pada saya.. Hargailah guru anda…

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 19 Mei 2009
Kota Samarahan

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin