Showing posts with label Pengajian Islam. Show all posts
Showing posts with label Pengajian Islam. Show all posts

Sunday, August 21, 2011

Runtuhnya Ramadan dilanda tsunami Aidilfitri

HARI ini 21 Ramadan 1432 Hijrah. Sudah masuk 10 hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa. Jika diibaratkan berlumba lari, kita kena memecut lebih laju untuk sampai dulu ke garisan penamat dan muncul juara.

Laju yang dimaksudkan ialah meningkatkan amal ibadat tambahan sama ada memperbanyakkan membaca dan menghafal al- Quran, bersedekah, solat sunat malam (tarawih, tahajud, tasbih). Rasulullah SAW beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir Ramadan dan menjauhkan diri daripada menggauli isteri-isteri baginda.

Di Malaysia, adakah kita umat Islam meningkatkan ibadat pada 10 akhir berpuasa sebagaimana Rasulullah? Atau sudah masuk ke gear rendah dan memperlahankan amal pengabdian kepada Allah SWT?

Semua orang tahu jawapannya. Inilah masanya persiapan untuk menyambut Aidilfitri bertambah ligat. Gedung membeli-belah semakin penuh sendat. Jalan-jalan raya di pusat bandar besar semakin sesak. Bunyi mercun dan bunga api semakin gempita. Kerap kali ledakan mercun bola berhampiran surau memusnahkan kekhusyukkan jemaah yang sedang bersolat tarawih.

Sesungguhnya keghairahan mengimarahkan Ramadan yang amat ketara pada dua minggu pertama mulai lesu apabila Syawal semakin hampir. Lagu-lagu Aidilfitri yang berkumandang di radio dan di pusat-pusat beli-belah turut melonjakkan nafsu untuk beraya dan mengendurkan semangat beribadat yang begitu kental pada awal Ramadan.

Tambahan pula gaji awal dan bonus baru diperoleh. Makin ligatlah otak dan nafsu mencongak jumlah barang yang hendak dibeli. Bukan sekadar kuih-muih, pakaian dan gajet baru, malah ramai juga yang mengintai iklan-iklan kereta untuk pulang ke kampung dengan mobil baru yang mempamerkan peningkatan karier dan kejayaan hidup di kota.

Masing-masing juga telah lama meneliti kalendar, menghitung hari cuti yang layak dipohon. Kerani-kerani yang menjaga rekod cuti juga semakin sibuk melayani permohonan yang bertambah. Bos-bos yang tidak mengatur jadual cuti raya kakitangan mengikut giliran akan pening berhadapan dengan kerenah orang-orang bawah berebut cuti. Yang rambut beruban pun boleh bertukar perangai bagaikan kanak-kanak, sanggup bergaduh kerana berebut cuti.

Berapa orangkah yang memohon cuti untuk memberikan lebih tumpuan kepada ibadat pada 10 hari terakhir Ramadan?

Tahap kesabaran juga mulai menurun bersama kehampiran Syawal. Bukan sahaja di jalan raya dan gedung beli-belah, malah di masjid juga terserlah perangai sebenar kebanyakan anak Adam.

Barisan saf jemaah solat tarawih mulai menipis. Imam-imam yang memimpin solat juga semakin kerap terlupa ayat al-Quran yang dibaca. Ramai juga yang mempercepatkan bacaan dan pergerakan solat tanpa mengambil kira kecergasan orang-orang tua yang menjadi jemaah setia.

Bersahutan

Makcik-makcik yang bertadarus juga mulai menggesa rakan-rakan mempercepatkan bacaan al-Quran supaya lebih lekas khatam. Ada juga yang mengingatkan rakan-rakan tadarus tentang kumpulan-kumpulan lain yang telah jauh meninggalkan mereka dengan menghabiskan lebih banyak juz. Ketergesaan mengambil tempat kesabaran.

Suasana syahdu menjelang subuh dengan suara-suara merdu bacaan Quran dan tahmid saling bersahutan melalui pembesar suara juga turut lesu bersama tsunami menjelang Aidilfitri. Ada kalanya kita terpaksa menengok jam untuk mendapatkan kepastian tentang waktu subuh kerana mikrofon di masjid dan surau masih membisu walaupun waktu imsak semakin hampir.

Aneh sungguh perangai manusia. Hendak dikatakan pengaruh syaitan, Rasulullah telah menegaskan bahawa syaitan-syaitan dirantai pada bulan Ramadan.

Bukan sahaja syaitan-syaitan di rantai, malah Allah SWT telah menyediakan insentif paling istimewa pada 10 akhir Ramadan, iaitu Lailatul Qadar atau malam penuh kemuliaan.

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. - Al Qadr 97: 1,2 dan 3

Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Salman bahawa Rasulullah SAW pada hari terakhir bulan Syaaban berkhutbah di hadapan para sahabat yang bermaksud:

Wahai manusia, sesungguhnya kmu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasaNya suatu fardu dan qiyam di malam harinya suatu tathauwu'. Barang siapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa menunaikan suatu fardu di bulan Ramadan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardu di bulan yang lain.

Ramadan itu adalah bulan sabar sedangkan sabar itu, pahalanya adalah syurga. Ramadan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah menambah rezeki para mukmin. Sesiapa memberi makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa, tanpa sedikitpun berkurang (pahala yang berpuasa).

Betapa keghairahan persiapan untuk menyambut Aidilfitri telah mengenepikan 'bonus besar' yang sepatutnya diperoleh setiap jiwa yang beriman di bulan Ramadan.

Aidilfitri pertama yang berlangsung pada 1 Syawal tahun 2 Hijrah bergema dengan takbir di seluruh Madinah bagi merayakan kemenangan tentera Islam pimpinan Rasulullah di Perang Badar. Pada hari-hari Aidilfitri seterusnya, takbir dilaungkan tanda kesyukuran atas kemenangan dalam jihad melawan hawa nafsu pada bulan Ramadan.

Malangnya pada hari ini, ramai umat Islam terlebih tumpu kepada persiapan untuk menyambut Aidilfitri. Anehnya peperangan melawan hawa nafsu belum habis, kita lebih sibuk dengan persiapan untuk kononnya merayakan hari kemenangan.

Kemenangan apa jika jihad perjuangan sudah kendur pada hari-hari terakhir Ramadan? Ibarat berlumba lari, kita memperlahankan langkah ketika hendak sampai ke garisan penamat setelah begitu pantas memecut pada awal perlumbaan.

Inilah fenomena umat Islam di Malaysia pada hari ini. Puasa sebulan, beraya pun sebulan. Hadiah kemenangan yang hakiki berupa rahmat dan keampunan daripada Allah belum tentu dapat, tetapi yang bertambah subur ialah nafsu yang dibajai untuk menyambut Aidilfitri.

Dan turut memeriahkan sambutan ialah budaya yang tidak kena mengena dengan syariat agama. Lagu-lagu raya berkumandang lebih lantang daripada bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Bunyi mercun menjelang Aidilfitri lebih hebat daripada gema takbir. Pemberian 'angpau' seolah-olah jadi suatu perkara yang wajib.

Astaghfirullah! Marilah kita kembali kepada landasan yang betul. Berlari kencanglah dari awal hingga ke garisan penamat Ramadan. Pasti kita akan merasai betapa syahdunya takbir di ambang Aidilfitri. Hancur luluh jiwa dan perasaan melaungkan takbir mengagungkan nama Allah Yang Maha Agung. Itulah tanda kemenangan sejati.

Rujukan di sini.

Saturday, August 13, 2011

Ramadan mendidik akhlak mulia

PERTANYAAN ini dimajukan oleh Nabi kepada para sahabatnya dan kepada umat Islam umumnya. Ini menunjukkan tidak sedikit dari kalangan orang Islam yang menahan makan dan minum pada bulan Ramadan, namun tidak mendapat apa-apa faedah dan pahala daripadanya.

Mulut yang berpuasa bukan sekadar tidak makan atau minum serta tidak memasukkan sesuatu yang membatalkan puasa. Puasa juga menuntut kita menahan mulut daripada perkara-perkara yang akan menghilangkan pahalanya.

Selain merehatkan jasad dan anggota badan, Ramadan juga medan melatih akhlak mulia. Imam Bukhari merekodkan hadis dari Nabi: Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.

Perintah menjaga pendengaran, penglihatan dan lidah atau ringkasnya menjaga adab dan akhlak tidak hanya khusus pada bulan Ramadan sahaja. Namun penekanan diberi pada bulan Ramadan ketika umat Islam berpuasa. Ini kerana orang-orang yang lapar berpuasa cenderung gagal mengawal emosi dan bertindak di luar kawalan. Sehingga lahir ungkapan 'bangsa yang pemarah adalah bangsa yang rakyatnya lapar.'

Banyak pakar-pakar kesihatan di seluruh dunia menyarankan untuk mengatasi amarah dengan makanan yang mengandung glukosa atau makanan peningkat suasana hati untuk mencegah rasa lapar. Salah satu makanan yang kaya dengan glukosa ialah makanan pilihan Nabi ketika berbuka puasa iaitu buah kurma.

Antara akhlak yang dituntut oleh Nabi ketika berpuasa termasuklah meninggalkan kata-kata dusta. Ia termasuk hal yang membatalkan pahala puasa.

Ini dijelaskan dalam hadis yang direkodkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya: Siapa yang puasanya tidak mencegah dari bercakap dusta dan melakukan kedustaan, maka Allah merasakan dia tidaklah perlu menahan makan dan minumnya (puasa).

Demikian juga meninggalkan hal yang tidak berfaedah dan sia-sia, Bukanlah puasa itu dengan semata-mata menahan diri dari makan dan minum, tetapi puasa itu ialah dengan menahan diri dari hal yang sia-sia dan perkataan yang keji. (Sahih Al-Jami As-Saghir) (riwayat Bukhari dan Muslim)

Hal yang sia-sia paling banyak dilakukan oleh orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadan. Antara kegiatan yang selalu dilakukan untuk menghabiskan masa di siang hari Ramadan ialah menonton televisyen, mendengar rancangan radio dan muzik-muzik di radio.

Secara umumnya kedua media ini menyajikan kandungan yang tidak berfaedah dan sia-sia. Bahkan ada kandungan khusus disiapkan untuk siaran Ramadan seperti drama sinetron. Manakala bulan puasa adalah bulan yang paling banyak rancangan bertemakan makan, baik makan bersahur, makan berbuka dan makanan hari raya. Maknanya, Ramadan sudah bertukar menjadi pesta makanan.

Sungguh-sungguh ia tidak mengiltizami semangat menahan lapar dan dahaga. Benarlah apa yang dikatakan oleh masyarakat Barat suatu ketika dahulu tentang televisyen sebagai idiot box.

Banyak lagi hal lain yang tidak dilakukan secara berlebihan melainkan pada bulan Ramadan. Demi menunggu waktu berbuka ramai yang memilih untuk window shoping di pasar raya dan pasar Ramadan. Ada juga yang bersiar-siar menaiki kereta pusing kota atau menunggang motosikal pusing kampung. Sedang umat Islam digalakkan perbanyak doa pada bulan Ramadan terutama menjelang waktu berbuka puasa.

Rujukan di sini.

Friday, July 30, 2010

Mengapa Yahudi Bijak?


Setelah berada 3 tahun di Israel kerana menjalani housemanship dibeberapa hospital disana, ada beberapa perkara yang menarik dapat saya perhatikan untuk dijadikan tesis ini, iaitu "Mengapa Yahudi Bijak?". Memang tidak dapat dinafikan ramai cendikiawan berbangsa Yahudi, dari segala bidang, Engineering, musik, saintis dan yang paling hebat ialah bidang perniagaan, dimana ia memang paling tersohor. Hampir 70% perniagaan di dunia dikuasai oleh kaum Yahudi, dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, perfileman di Hollywood dan sebagainya.

Ketika tahun kedua, akhir bulan December 1980 dan sedang saya menghitung hari untuk pulang ke California saya terfikir apakah sebabnya kaum Yahudi begitu pintar? Kenapa tuhan memberi kelebihan kepada mereka? Apakah ini suatu kebetulan? Atau olah manusia sendiri? Adakah bijak boleh dijana? Seperti kilang pengeluaran? Maka saya pon tergerak membuat tesis untuk Phd saya, disamping kebaikan untuk umat sejagat dan dapat hidup secara harmoni. Untuk pengetahuan anda tesis yang saya lakukan ini mengambil masa hampir lapan tahun, ini kerana untuk mengumpulkan data-data yang setepat mungkin. Antara data-data yang saya kumpulkan ialah pemakanan, adat resam, ugama, persiapan awal untuk melahirkan zuriat dan sebagainya dan data data tadi saya cuba bandingkan dengan bangsa dan kaum kaum lain.

Marilah kita mulakan dengan persiapan awal melahirkan zuriat. Di Israel, setelah mengetahui yang sang ibu sedang mengandung, pertama kali saya perhatikan ialah, sang ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu dan bapa akan membeli buku metamatik dan menyelesaikan masalah metamatik bersama suami, saya sungguh hairan kerana teman saya yang mengandung sering membawa buku metamatik dan bertanya kepada saya beberapa soalan yang beliau tak dapat menyelesaikanya, oleh kerana saya memang minat tentang metamatik, tentu saja dengan senang saya bantu beliau. Saya bertanya kepada beliau, adakah ini untuk anak kamu? Beliau menjawab, "ia, ini untuk anak saya yang masih didalam kandungan, saya sedang melatih otak beliau, semuga ia menjadi genius apabila dewasa kelak" Perkara ini membuat saya tertarik untuk mengikut perkembangan beliau seterusnya. Berbalik kepada metamatik tadi, tanpa merasa jenoh beliau membuat latihan metamatik sehingga beliau melahirkan anak.

Seperkara lagi yang saya perhatikan ialah pemakanan beliau, sejak awal mengandung beliau gemar sekali memakan kacang badam dan korma bersama susu, dan untuk tengah hari makan utama beliau ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang, menurut beliau daging ikan sungguh baik untuk perkembangan otak dan kepala ikan mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan penumbuhan otak anak didalam kandungan. menurut beliau ini adalah adat orang orang yahudi ketika mengandung dan ianya menjadi semacam kewajipan untuk ibu ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan.

Ketika saya diundang untuk makan malam bersama orang orang Yahudi, perkara pertama yang saya perhatikan ialah menu mereka.. Setiap undangan yg sama perhatikan ialah mereka gemar sekali memakan ikan (hanya isi atau fillet) dan biasanya daging tidak akan ada bersama dimeja jika ada ikan, menurut mereka, campuran daging dan ikan tak elok dimakan bersama. Salad dan kacang adalah suatu kemestian, terutama badam.

Seperkara yang pelik ialah mereka akan memakan buah buahan dahulu sebelum memakan hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang kerumah Yahudi anda akan dihidangkan buah buahan dahulu. Menurut mereka, dengan memakan hidangan kabohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah buahan, ini akan menyebabkan kita merasa ngantuk dan lemah dan payah untuk memahami pelajaran disekolah.

Di Israel, merokok adalah taboo, apabila anda diundang makan dirumah Yahudi, jangan sekali kali merokok, dan tanpa malu mereka akan menyuruh anda keluar dari rumah mereka dam merokok diluar rumah mereka. Menurut saintis di Universiti Israel , siasatan menunjukkan nikotin dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada genes, ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yg cacat otak ( bodoh atau lembab). Suatu penemuan yg dahsyat ditemui oleh saintis yg mendalami bidang genes dan DNA. Para perokok harap ambil perhatian. (Ironi nya, pemilik pengeluar rokok terbesar adalah ...... tekalah sendiri..!)

Perhatian saya selanjutnya ialah melawati tadika mereka, Pemakanan anak anak tadi cukup dikawal, makanan awal ialah buah buahan bersama kacang badam, diikuti dengan menelan pil minyak ikan (code oil lever) Didalam pengamatan saya, kanak Yahudi sungguh bijak dan rata rata mereka memahami 3 bahasa iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris dan sedari awal lagi mereka telah dilatih bermain piano dan violin, ini adalah suatu kewajipan. Menurut mereka bermain musik dan memahami nota notanya dapat meningkatkan lagi IQ kanak kanak dan sudah tentu bakal menjadikan budak itu bijak. Ini menurut saintis Yahudi, gegaran musik dapat stimulate (semacam senaman untuk otak) maka itu terdapat ramai sekali genius musik terdiri dari kaum Yahudi.

Seterusnya ke darjah 1 hingga 6, anak anak Yahudi akan diajar matematik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Di dalam perhatian peribadi saya, perbandingan dengan anak anak di California, ianya jauh berbeza tentang IQ dan boleh saya katakan 6 tahun kebelakang!! !. Segala pelajaran akan dengan mudah di tangkap oleh anak Yahudi. Selain dari pelajaran tadi sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yg diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari, menurut teman saya ini, memanah dan menembak dapat melatih otak mem fokus sesuatu perkara disamping mempermudahkan persiapan untuk perhidmatan negara.

Selanjutnya pemerhatian saya menuju ke sekolah tinggi (menengah) di sini murid-murid ditekan dengan pelajaran sains dan mereka digalakkan mencipta produk. Segala projek mereka walaupon kadangkala kelihatannya lucu dan mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi ianya berupa senjata, perubatan dan engineering, idea itu akan dibawa ke institute tinggi di Politeknik dan Universiti.

Satu lagi yang diberi keutamaan ialah fakulti perniagaan. Saya sungguh terperanjat melihat mereka begitu agresif dan seriusnya mereka tentang perniagaan. Di akhir tahun di universiti, para penuntut dibidang niaga dikehendaki melakukan projek dan mempraktikkannya dan anda hanya akan lulus jika kumpulan anda (10 pelajar setiap kumpulan) dapat keuntungan sebanyak $US1juta! Anda terperanjat? Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi, maka tidak hairanlah mereka dapat menguasai ½ perniagaan didunia! Siapakah yg mencipta design Levis yg terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh fakulti bisnes dan fesyen.

Pernahkah anda melihat cara orang Yahudi melakukan ibadah mereka? Salah satu caranya ialah dengan menggoyangkan kepala mereka, menurut mereka ini dapat mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksijan dikepala, banyak ugama lain di Timur Tengah, seperti Islam juga ada menyuruh umatnya menunduk atau menggoyangkan kepala, ini guna dapat mensimulasikan otak kita supaya bertambah aktif. Lihat orang orang Jepun, mereka sering menunduk-nundukkan kepala dan ianya sebagai adat. Ramai orang orang Jepun yg pandai? Adakah ianya sebagai kebetulan? Kegemaran mereka ialah sushi (ikan mentah). Adakah ini kebetulan? Fikirkanlah!

Berpusat di New York, Dewan Perniagaan Yahudi bersedia membantu mereka yg berminat untuk melakukan bisnes (sudah tentu untuk Yahudi sahaja). Jika mereka ada idea yg bernas, jawatan kuasa akan memberi pinjaman tanpa faedah dan pentadbir dari jawatan kuasa tadi akan bekerjasama dengan anda untuk memastikan yg perniagaan mereka menurut landasan yg betul. Maka itu lahirlah Starbuck, Dell, Coca cola, DKNY, Oracle, Perfileman di Hollywood, Levis, Dunkin Donut dan ada beratus kedai ternama dibawah naungan dewan perniagaan Yahudi di New York. Graduan Yahudi dari fakulti perubatan New York akan disarankan untuk mendaftar dipersatuan ini dan digalakkan memulakan klinik mereka sendiri dengan bantuan wang tanpa faedah. Barulah saya tahu mengapa hospital di New York dan California sentiasa kekurangan doktor pakar.

Kesimpulanya, pada teori saya, melahirkan anak dan keturunan yg bijak boleh dilaksanakan dan tentunya bukan semalaman, ianya memerlukan masa, beberapa generasi mungkin? Persiapan awal adalah ketika sang ibu mengandung, galakkanlah si ibu melakukan latihan matematik yg mudah tetapi konsisten di samping mendengar musik klasik (bagi umat Islam lebih baik diperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran - admin). Seterusnya ubahlah cara pemakanan, makanlah makanan yg elok dan berkhasiat yg baik untuk otak, menghayati musik sejak kecil adalah baik sekali untuk pertumbuhan otak kanak kanak, dengan bermain piano dan violin sudah tentu dapat melatih anak anak mencerdaskan otak mereka. Demikian juga sukan yg memerlukan kosentrasi yg tinggi, seperti memanah, bola keranjang, dart dan menembak.

Merokok menjanjikan generasi yg moron (goblok) dan sudah tentu genes bodoh akan mengikut ke generasi si perokok. Lawatan saya ke Singapore pada tahun 2005 amat memeranjatkan sekali! Di sini perokok seperti di anak tirikan dan begitu susah sekali untuk perokok, dan anda tahu berapa harga sekotak rokok? US$ 7 !!! ini bersamaan perbelanjaan sehari untuk makan anda!! Saya puji sekali sikap pemerintah Singapore dan menakjubkan sekali!!! Dan seperti Israel ianya begitu taboo dan cara pentadbiran dan segi pembelajaran mereka hampir serupa dengan Israel , maka itu saya lihat banyak institusi pelajaran mereka bertaraf dunia walaupun hakikatnya negeri Singapore hanyalah sebuah pulau sebesar Manhattan !!


Anda mungkin musykil, benarkah merokok dapat melahirkan generasi goblok? Saya telah menemui beberapa bukti menyokong teori ini. Lihat saja Indonesia, jika anda ke Jakarta, di mana saja anda berada, dari restoran, teater, kebun bunga hingga ke muzium, hidung anda akan segera terbau asap rokok! Dan harga rokok? Cuma US$ .70cts !!! dan hasilnya? Dengan penduduknya berjumlah jutaan orang berapa banyakkah universiti terdapat di sana? Hasil apakah yg dapat dibanggakan? Teknologi? Jauh sekali. Adakah mereka dapat berbahasa selain dari bahasa mereka sendiri? Mengapa mereka begitu sukar sekali menguasai bahasa Inggeris? Ditangga berapakah kedudukan mereka di pertandingan matematik sedunia? Adakah ini bukan akibat merokok? Anda fikirlah sendiri.


Di tesis saya ini, saya tidak akan menimbulkan soal ugama atau bangsa, adakah Yahudi itu zalim sehingga diusir dari semenjak zaman Paraoh hingga ke Hitler, bagi saya itu isu politik dan survival, yg ingin saya ketengahkan ialah, mampukah kita dapat melahirkan generasi yg bijak seperti Yahudi? Jawapannya ialah mungkin dan tidak mustahil dan ianya memerlukan perubahan, dari segi pemakanan dan cara mendididik anak dan saya kira hanya memerlukan 3 generasi sahaja. Ini dapat saya lihat sendiri tentang cucu saya, ini setelah saya mengajar anak saya melalui program yg telah saya nyatakan di atas tadi, pada umur 9 tahun (cucu saya) dia dapat menulis esei sepanjang 5 mukasurat penuh. Eseinya hanyalah mengenai 'Mengapa saya gemarkan tomato!


Selamat sejahtera dan semuga kita dapat melahirkan manusia yg bijak dan bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.

Penulis : Dr. Stephen Carr Leon

Di alih bahasa oleh :
Adibah Mohd Noor
Matriculation Lecturer, Department of Sciences
UIA Matriculation Centre, Petaling Jaya, Selangor.

Friday, March 5, 2010

Kenapa Nabi Muhammad Berkahwin Lebih?

(GAMBAR HIASAN DISEBELAH)
Demi yang menciptakan hati manusia, demi yang mengurniakan rasa cinta dan kasih, demi yang mengurniakan taufik dan hidayah, tunjukilah kami semua jalan yang benar, jalan para Anbiya’, Siddiqin, Syuhada’ dan Solehin, sesungguhnya engkau Ya Allah maha berkuasa ke atas setiap sesuatu”.

Ramai ulama yang tidak membincangkan perkara ini kecuali untuk menjawap keraguan-keraguan dan tohmahan yang ditimbulkan oleh orientalis dan beberapa anak-anak islam yang liberal @ jahil agama. Sepatutnya semua tindakan Nabi tidak dipertikaikan dan dipersoal jika keimanan kita kepada baginda menebal. Ini kerana Nabi tidak melakukan sesuatu kecuali dengan perintah tuhan. Saya timbulkan persoalan ini sebagai menjawap kepada keraguan-keraguan yang ditimbulkan oleh beberapa golongan yang mahu mencalarkan imej kenabian Muhammad bin Abdullah insan termulia, pemilik syafaat pada hari akhirat dengan izin Allah Ta’ala.

Mari kita fahami kelebihan yang Allah berikan kepada Nabi ini tanpa kita cuba menyeleweng dan menjadikannya hujjah kepada kesesatan sebahagian orang yang berkahwin lebih daripada 4 orang dalam satu masa. Kemulian yang dikurniakan kepada Nabi ini, iaitu kahwin lebih daripada 4 orang adalah perkara yang khusus kepada baginda & tidak dihalalkan kepada umatnya. Demikian juga dibolehkan bagi Nabi mengahwini wanita yang dimahukannya tanpa memberi mahar. Seperti juga permasalahan khumus (1/5) yang diperuntukkan hanya kepada Nabi. Justeru wajar diketahui bahawa disana terdapat beberapa perkara khusus hanya dibolehkan untuk baginda Nabi sahaja berdasarkan kepada dalil-dalil kitab dan sunnah.

Terdapat banyak hikmah yang dapat dikaji daripada keizinan ini kepada Nabi Muhammad Alaihissolatu Wassalam. Nabi tidak pernah bertindak mengikut hawa nafsunya kerana baginda maksum, ditarbiyah dan dipantau oleh Allah Ta’ala. Semua perbuatan baginda adalah terpuji. Nabi tidak pernah marah dan membalas dendam untuk mengambil hak-haknya, akan tetapi marahnya baginda adalah jika hak-hak Allah dicerobohi, marah Nabi adalah jika hak-hak agama ditentang dan dipermainkan. Mari kita lihat beberapa hikmah kepada pernikahan Nabi yang semuanya berjumlah 9 orang dalam satu masa.

Hikmah Mendidik dan Mentarbiyah;
Ini dapat dilihat dengan jelas apabila isteri-isteri nabi yang merupakan ibu-ibu kepada seluruh umat islam menjadi ilmuan yang terkenal dan dihormati oleh para sahabat. Lebih khusus lagi mereka inilah yang mengajarkan kita ilmu-ilmu rumahtangga dan apa-apa permasalahan hukum hakam berkait dengan wanita. Kita mengetahui petunjuk-petunjuk Nabi tatkala Nabi bermuamalah bersama isteri-isterinya melalui Ummahatil Mukminin. Bagaimana cara-cara yang diajarkan baginda dalam masalah perhubungan suami isteri, dalam permasalahan haid dan nifas, dalam permasalahan tandas dan sebagainya. Ummul mukminin Aisyah binti Abu Bakar adalah isteri Nabi yang paling berilmu. Paling dihormati dari sudut keilmuaannya oleh para sahabat yang telah banyak meriwayatkan hadis-hadis Nabi.

Justeru inilah kesan yang dapat dilihat hasil daripada pernikahan baginda yang sebenarnya bertujuan tarbiyah dan mendidik serta melahirkan seorang wanita mukminah yang memahami dan beramal dengan tuntutan agama. Sebagai contoh hadis dalam soheh bukhari dan muslim yang diceritakan oleh Ummu Salamah Radiyallahu anha berkata; “Telah datang seorang perempuan kepada Nabi lalu berkata; “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu daripada perkara-perkara yang hak, adakah seorang wanita wajib mandi jika dia bermimpi?” Nabi menjawap kepadanya; (Ya, jika dia melihat air).

Hikmah Pensyariatan;
Banyak hikmah dan manfaat yang dapat diambil daripada pernikahan Nabi yang ramai itu. Ianya melibatkan pensyariatan kepada agama ini dan menjelaskan kepada beberapa hukum islam itu sendiri. Islam membatalkan beberapa hukum-hukum jahiliyyah yang tersohor ketika itu. Sebagai contoh permasalahan berkaitan dengan anak angkat. Arab jahiliyyah mengaggap bahawa anak angkat menjadi pewaris dan mewariskan, haram dinikahi dan sebagainya yang mengambil hukum seorang anak kandung. Nabi juga pernah mengambil anak angkat bernama Zaid bin Harithah yang akhirnya menceraikan isterinya bernama Zainab binti Jahsyin disebabkan beberapa pertelingkahan rumahtangga diantara mereka.

Nabi meminati Zainab binti Jahsyin setelah diceraikan. Lalu Allah memerintakan agar dinikahi oleh Nabi. Tetapi kerana Nabi risau kepada percakapan orang-orang munafik dan fitnah yang bakal ditimbulkan maka nabi melengah-lengahkannya. Pasti mereka akan mengatakan “Muhammad telah menikahi isteri kepada anaknya (Zaid)”. Akhirnya turun ayat yang menyangkal tindakan Nabi itu. Allah berfirman dalam al-Ahzab ayat 37 yang maksudnya;

“Dan (ingatlah), ketika kamu Berkata kepada orang yang Allah Telah melimpahkan nikmat kepadanya dan kamu (juga) Telah memberi nikmat kepadanya: “Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah”, sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. Maka tatkala Zaid Telah mengakhiri keperluan terhadap Istrinya (menceraikannya), kami kawinkan kamu dengan dia[1] supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengawini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu Telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya [2], dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi”.

Lihatlah hikmah daripada pernikahan ini yang ianya datangnya daripada arahan Allah. Sebab itulah Zainab bte Jahsyin berbangga dengan pernikahan ini dan ianya menjadi satu-satunya aset termahal beliau kerana dinikahkan oleh Allah daripada atas langit. Dalam soheh Bukhari dinyatakan bahawa Zainab berbangga ke atas isteri-isteri Nabi yang lain dan berkata; “Kamu semua dikahwinkan oleh ahli keluarga masing-masing, sedangkan aku dikahwinkan oleh Allah daripada atas langit yang tujuh”. Dengan pernikahan Nabi ini, maka terbatallah beberapa hukum jahiliyyah dan persepsi buruk mereka kerana Nabi telah menikahi bekas isteri kepada anak angkatnya. Maha suci Allah yang tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia.

Hikmah Sosial & Kemasyarakatan;
Ini dapat dilihat daripada perkahwinan Nabi dengan Aisyah yang merupakan anak kepada Abu Bakar as-Siddiq. Insan yang paling banyak menyumbang kepada agama Allah. Yang paling banyak membantu baginda dari semua segi sehinga tidak mampu dibalas oleh Nabi. Kemudian pernikahan Nabi dengan Hafsah binti Umar al-Khattab. Pernikahan ini amatlah menggembirakan Abu Bakar dan Umar yang masing-masing menawarkannya kepada baginda. Dengan pernikahan ini juga menjadikan hubungan kekeluargaan semakin erat dikalangan kabilah Quraish yang terkenal. Ini secara langsung menjadikan hati orang-orang kafir Mekah semakin hampir terhadap dakwah Nabi. Demikianlah pernikahan Nabi dengan anak perempuan Abu Sufian yang mana Abu Sufian ketika itu masih kafir. Apabila sampai khabar berita itu kepada Abu Sufian, beliau tidak membantahpun, bahkan memujinya sedangkan beliau ketika itu amat memusuhi Nabi. Ini kerana mereka mengetahui bahawa nabi muahammad adalah insan yang mulia, bertanggungjawab bahkan sangat jujur (al-amin) seperti diakui sendiri oleh kafir Quraish sebelum perutusan Nabi.

Perkahwinan ini menjadi kebanggaan kepada bapa-bapa mertua Nabi. Menjadi kemulian kepada mereka dan secara langsung menguatkan hubungan mereka secara nasab dan perbesanan. Justeru hikmahnya dapat diketahui melalui hikmah social dan amatlah salah jika perkahwinan ini hanya dikaitkan dengan nafsu semata-mata. Amatlah silap, biadap bahkan menjadi kafir jika Nabi dipersendakan dengan sebab perkahwinan baginda yang ramai ini. Semua yang dilakukan oleh Nabi ini telah mendapat keredhoaan Allah, maka siapakah anda untuk mempertikaikan? Bahkan para Anbiya’ sebelum baginda dikalangan Bani Israel lebih banyak bilangan isteri mereka berpuluh kali ganda berbanding Nabi Muhammad. Umpamanya Nabi Sulaiman, mengapakah tidak timbul prejudis terhadap beliau menurut pandangan orientalis? Jelaslah bahawa kedengkian mereka terhadap islam dan Nabi menjadikan mereka mencari-cari kelemahan tertentu yang kononnya boleh menjadi umpan bagi memesongkan akidah umat islam.

Hikmah Politik;
Perkahwinan seringkali menjadi penyumbang kepada perubahan banyak pihak. Sekurang-kurangnya ianya memberi kesan samada positif mahupun negetif kepada hidup seseorang. Sebab itu islam melarang wanita mengahwini golongan kafir dan membenarkan muslimin mengahwini kafir ahli kitab. Ikatan individu terhadap sesuatu kaum melalui pernikahan menjadi kuat, permusuhan menjadi kurang, dan hati semakin terbuka untuk menerima sesuatu pandangan. Demikian diterimanya dakwah Nabi oleh kaum arab jahiliyyah yang sangat kasar tabiatnya. Lihatlah bagaimana kehebatan siasah @ politik Nabi dalam menjalankan tugas dakwahnya.

Mari kita lihat beberapa contoh perkahwinan Nabi yang melibatkan hikmah politik. Sebagai contoh, perkahwinan Nabi dengan Juwairiyah bte al-Harith. Bapa Juwairiyah adalah ketua kaum bani al-Mustoliq. Juwairiyah ini telah ditawan bersama ahli keluarganya setelah tewas dalam peperangan. Maka beliau datang kepada Nabi meminta supaya dibebaskan daripada menjadi tawanan kaum muslimin dengan meminta bantuan kewangan daripada Nabi. Nabi telah menawarkan kepada Juwairiyah untuk membayar pampasan baginya dan mahu menikahi dirinya. Juwairiyah telah menerima lamaran tersebut dan bersetuju menjadi isteri baginda. Tatkala para muslimin mengetahuinya mereka berkata; “Besan kepada Nabi dibawah tawanan kita?”. Maka mereka membebaskan semua tawanan yang punya hubungan persaudaraan dengan Juwairiyah yang jumlah mereka 100 keluarga. Akhirnya mereka semua memeluk islam setelah melihat penghormatan muslimin terhadap keluarga tersebut. Rujuk kisah ini dalam sunan Abi Daud no 3429 “Bab Fi Bai’e Makatib…”. Lihatlah ketinggian politik Nabi yang akhirnya menjadi sebab kepada keislaman mereka!

Demikianlah juga hal pernikahan Nabi dengan Sofiah binti Huyai yang merupakan anak kepada seorang pembesar Yahudi Khaibar (Huyai bin Akhtob). Hal yang sama juga berlaku dalam kes pernikahan Nabi dengan anak Abu Sufian bernama Ramlah yang kematian suaminya. Ramlah telah memeluk islam ketika di Mekah dan berhijrah ke Habsyah. Disanalah suaminya meninggal dunia yang menyebabkan Ramlah binti Abu Sufian keseorangan dibumi asing. Apabila Nabi mendapat khabar, lalu baginda menghantar surat kepada Najasyi untuk menikahinya. Betapa gembiranya Ramlah apabila dimaklumkan hal itu oleh Najasyi, kerana Ramlah mengetahui bahawa pasti dia dipaksakan kepada kafir jika kembali ke Mekah dan tinggal bersama keluarganya.

Pernikahan ini menjadi sebab kepada kurangnya seksaan terhadap umat islam di Mekah. Ianya juga telah melunakkan hati golongan kafir Bani Umayyah kepada islam disebabkan ikatan perkahwinan ini. Demikianlah diantara hikmah-hikmah pernikahan baginda melebihi 4 orang dalam satu-satu masa. Ianya didasari niat dakwah. Ianya adalah dengan keizinan Allah dan ianya adalah kemulian kepada Nabi yang Allah mengharamkan orang islam menikahi isteri-isteri Nabi setelah kewafatan baginda pada tahun 10 Hijrah.

Diantara maklumat terpenting yang wajar diketahui ialah, semua isteri-isteri Nabi adalah janda kecuali Aisyah bte Abu Bakar sahaja. Ini menjadi bukti jelas bahawa perkahwinan Nabi adalah didasari oleh iman, sifat rahmah, memelihara akidah, tarbiyah, siasah, dan lain-lain lagi maslahat umum melibatkan umatnya. Wallahu a3lam.

[1] Maksudnya: setelah habis Eddahnya.
[2] Yang dimaksud dengan Orang yang Allah Telah melimpahkan nikmat kepadanya ialah Zaid bin Harisah. Allah Telah melimpahkan nikmat kepadanya dengan memberi taufik masuk Islam. Nabi Muhammad pun Telah memberi nikmat kepadanya dengan memerdekakan kaumnya dan mengangkatnya menjadi anak. Ayat Ini membuktikan bahwa harus bagi umat islam mengawini bekas isteri anak angkatnya.

sumber–hafiz basir

Thursday, October 15, 2009

Apa Macam?? Poligami??

(Gambar..Kredit buat Ulamak Hebat Indon..K.H Aa Gym)
Ramai orang tak berani bercakap Hal Poligami...kenapa??? Pengunjung yang budiman..ada respons??? Biar saya mula..Bagi panas enjin dulu..Orang lelaki suka poligami...bagi mereka poligami ni sunnah Rasul..Jangan bantah..Berdosa nanti...Kata mereka (orang lelaki) la.. saya panjangkan di sini sahaja...

Friday, February 27, 2009

Tulisan dan bahasa menunjukkan bangsa


DI mana letaknya tulisan orang Melayu? Tulisan jawi. Tulisan orang Melayu inilah yang menjadi identiti bangsa Melayu.

Kita boleh lihat tulisan kaum Cina, India, Thailand, Jepun, Korea dan lain-lain di televisyen. Sedihnya di mana tulisan jawi, tulisan orang Melayu? Mengapa tulisan ini dipinggirkan? Pemimpin atasan semuanya orang Melayu, apakah pemimpin-pemimpin ini tidak sayangkan identiti bangsanya?

Dahlah Bahasa Melayu jadi Bahasa Malaysia hilang Melayunya, sesetengah drama-drama TV menggunakan bahasa Malaysia rojak.

Anak-anak orang Cina jiran saya setiap hari berlanggan akhbar tulisan Cina. Mereka megah, bangga dengan tulisan bangsanya. Apa sudah jadi dengan bangsa saya (Melayu) akhbar tulisan jawinya terselit seminggu sekali sahaja di dalam akhbar tulisan rumi.

Saya pasti akhbar berbahasa Melayu akan terkubur 20 tahun lagi dari tarikh saya menulis ini. Seperti terkuburnya akhbar tulisan jawi. Lebih kurang 20 tahun kemudian setelah orang Melayu sendiri menghina akhbar tersebut.

Saya teringat pada tahun awal 70-an dulu ketika saya mengepit Utusan Melayu masuk ke bilik guru di sebuah sekolah di Felda, seorang kawan sebangsa dan seagama dengan saya menyatakan Utusan Melayu ialah akhbar orang sekolah atap.

Jelas, lebih kurang 20 tahun kemudian akhbar Utusan Melayu terkubur.

Orang Melayu jangan berasa sedih jika 20 tahun akan datang surat khabar berbahasa Melayu tulisan rumi pula akan juga terkubur. Sekarang ini kita lihat orang Melayu sudah mula seperti malu hendak bertutur dalam bahasa ibundanya. Kita boleh lihat temuramah-temuramah di TV dan drama-drama TV bahasa Inggeris seperti diutamakan.

Pemimpin-pemimpin ini hendaklah sedar bahawa mereka naik kerana undi rakyat khususnya undi orang Melayu. Agama yang dianuti orang Melayu jangan diperlekehkan. Bahasa Melayu hendaklah terus diguna pakai dalam pembelajaran semua perkara di sekolah.

Untuk meningkatkan penguasaan dalam Bahasa Inggeris, apa salahnya pembelajarannya ditambah selama satu jam seminggu. Saya tidak nampak guru-guru atau tenaga pengajar akan memberontak. Selamanya saya lihat guru-guru sentiasa taat arahan dan perintah.

Tulisan jawi saya sarankan diwajibkan diajar di peringkat sekolah rendah lagi selama 45 minit seminggu diselitkan dalam pelajaran agama Islam. Tulisan jawi ini adalah identiti bangsa Melayu. Insya-Allah Utusan Melayu akan kembali segar.

Saya menyeru kepada kepimpinan Melayu agar terus mengagungkan Bahasa Melayu, tulisan Melayu (jawi) dan budaya Melayu.

Kembalikan hak Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains. Gunakan seterusnya istilah-istilah matematik dan sains yang beribu-ribu yang dicipta oleh DBP.

Pemimpin-pemimpin Melayu sibuk dengan katanya "ketuanan Melayu" terhakis selepas pilihan raya yang lalu. Tetapi pemimpin Melayu tidak sedar ketuanan bahasa Melayu, tulisan Melayu (jawi) terhakis kini dan selamanya. Siapa yang menghakis?

Orang Melayu sekalian, sayangilah bahasa anda dan tulisan bangsa anda (tulisan jawi) yang menjadi identiti bangsa anda. Hilang bahasa, Melayu akan lenyap di Malaysia dan seterusnya di muka bumi ini.

'Tulisan dan bahasa menunjukkan bangsa.'

MD. ESA KARDI

Persara Guru Muar, Johor

Wednesday, January 7, 2009

Cinta Asyura dan Karbala

PADA 1 Muharam setiap tahun, umat Islam merayakan sambutan Maal Hijrah, bergembira atas kehadiran tahun baru dalam kalendar Islam.

Sambutan itu tidak disebut dalam al-Quran atau nas Sunah Nabi secara terus terang tetapi ia tetap dianggap perayaan umat Islam.

Ironinya umat Islam masih lebih cenderung meraikan secara berlebihan-lebihan tahun baru Masihi baru-baru ini termasuk dicemari perbuatan songsang lantas mencemarkan kemuliaan Muharam.

Kemuliaan Muharam yang pada hari itu kita berselawat memuji-muji Rasulullah - satu amalan yang diperintah Allah.

Kita alunkan nasyid-nasyid seperti Talaal Badru Alaina bagi mengingati kembali betapa gembira kaum Ansar menyambut kehadiran Rasulullah bersama Muhajirin di Madinah.

Hijrahnya Rasulullah, menandakan tamatnya segala penindasan ke atas golongan mustadafin (tertindas dan lemah) lantas membuka era baru perkembangan Islam - darinya juga bermula sebuah negara yang berlandas pimpinan Ilahiah.

Namun bulan Muharam juga mengingatkan kita peristiwa besar yang terjadi dalam sejarah tamadun manusia selepas Rasulullah iaitu 10 Muharram 61 Hijrah yang menyaksikan cucu kesayangan baginda, Hussin bin Ali bersama rombongannya terbunuh di Karbala.

Jika Maal Hijrah, umat Islam bergembira, peristiwa 10 Muharam pula disaduri dengan kesedihan. Tetapi apabila disebut kita sambut 10 Muharam dengan ingatan pada peristiwa Karbala, ia sering kali dianggap suatu yang asing, sesat lagi menyesatkan. Benarkah begitu?

Kerana ia selama ini disambut dengan penuh emosi oleh pengikut Syiah dan Ahlul Bait tetapi tidak di sisi pengikut sunni amnya. Bagaimanapun tradisi di rantau ini yang Sunni begitu rapat dengan Asyura sebagaimana rapatnya masyarakat sebelah sini dengan ritual seperti tahlil dan marhaban yang didatangkan dari Hadratulmaut.

Semuanya dikaitkan dengan ingatan terhadap Ahlul Bait.

Bergantung kepada budaya setempat, Asyura (versi Syiah?) disambut seperti di ibu kota Teheran, Iran; Karbala di Iraq; Lucknow, India dan Nabatiye, selatan Lebanon, malah tidak ketinggalan di serata tempat termasuk Malaysia.

Hari mereka berdukacita dari 1 Muharam sampailah kepada 10 Muharam dan ia berlanjutan selama 40 hari perkabungan (Arbaen).

Ya, semua itu tiada dalam al-Quran dan Hadis nabi secara berterus terang sebagaimana sambutan Maal Hijrah. Tetapi peristiwa penjarahan kejam terhadap Hussin, ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya oleh tentera Umar bin Saad di Karbala membuka lembaran sejarah kepada umat.

Ia tidak seharusnya menjadi milik Syiah semata-mata tetapi ia milik seluruh umat yang cintakan perdamaian dan kebencian pada kezaliman. Kerana Ahlul Bait adalah warisan tinggalan Rasulullah buat pegangan seluruh umat selepas al-Quran.

Menyambut 10 Muharam dengan mengingati Hussin bukan bererti kita semua menjadi Syiah atau Rafidhah (sesat). Tetapi mengingati kesyahidannya di Karbala adalah sebahagian rasa cinta dan sayang pada belahan jiwa Rasulullah itu.

Sedih

Sebagaimana yang diulang sebut dalam tahlil kita, ''Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai Ahlul Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya" (al-Ahzab:33).

Justeru wajarkah manusia-manusia yang dibersihkan oleh Allah itu dibunuh kejam. Layakkah insan yang dikasihi Nabi diperlakukan sebegitu rupa. Umat apakah kami ini, ya Allah?

Jadi wajarkah kita tidak mempunyai secebis rasa sedih meskipun tidak beremosi bila mengenangkan sejarah hitam itu.

Ketika Hussin menyaksikan dengan matanya, Ali Akbar dipanah dalam keadaan tekaknya kering kehausan. Tidak cukup itu, bayi kecil, Ali Asghar yang merengek-rengek perlukan air tetapi panah pula yang dilayang ke tubuhnya.

Bagi mereka yang begitu rapat dengan sejarah itu, emosinya membuak-buak, linangan air mata tidak dapat dibendung. Kadang kala kerana faktor budaya setempat, ada yang terdorong melukakan badan mereka, mungkin ingin merasai penderitaan Hussin dan keluarganya.

Apa peliknya jika Presiden, Gamal Abdul Naser mati dibunuh Khalid Islamboli, ada juga orang Mesir meratap hingga membunuh diri, inikan cucu Nabi yang dibunuh. Jadi tidak mustahil ada yang bertindak terlalu emosi dan meluahkan segala-galanya.

Namun wajarkah mereka yang dikatakan sebagai pengamal bidaah itu dihapuskan dan dihalalkan darah mereka dengan aksi letupan bom sebagaimana sering terjadi di Pakistan dan juga Iraq apabila golongan Syiah beramai-ramai keluar menyambut Asyura secara terbuka selepas puluhan tahun dihalang rejim Saddam Hussein.

Seharusnya umat Islam kini tidak lagi dibebankan dengan pertelingkahan sejarah lama. Ketika ada yang marah kerana sambutan Asyura, sebenarnya Karbala moden sedang berlaku dan Asyura terus menangis.

Bumi Gaza dibedil, dijarah sejak 27 Disember lalu. Serangan darat yang telah dimulakan oleh tentera Zionis tidak mengenal kanak-kanak, bayi dan wanita. Sasarannya membabi buta - masjid, hospital dan pasar.

Tentera rejim itu tiada bezanya dengan kejamnya Umar bin Saad atau Syamir bin Dzi Al-Jausyan ketika di Karbala.

Keadaannya juga sama, jika tiada seorang pun penduduk Kufah yang berani melawan kezaliman tentera Umayyah untuk menyelamatkan Hussin yang sepatutnya mereka baiah sebagai pemimpin dan ikutan.

Begitu juga Gaza, tiada penguasa atau negara yang mampu melawan Israel. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak mampu berbuat apa-apa meskipun Palestin adalah isu yang melibatkan sama ada Sunni atau Syiah.

Kita hanya mampu berdemonstrasi, melaung-laungkan ''Jahanam-jahanam Israel, Hidup-Hidup Islam' atau Hancur Amerika! dan setidak-tidaknya hulurkan bantuan kemanusiaan. Itu semua sekadar tindakan ad-hoc untuk Palestin.

Selepas itu, masing-masing pulang ke rumah boleh bersuka ria dan bergelak ketawa di bulan Muharam ini. Tetapi Asyura membuatkan penderitaan Palestin terasa dekat di hati.

Ahli sejarah al-Makrizi dalam al-Khuthath sebagaimana yang dipetik dari tulisan Jalaluddin Rakhmat menyebut; ''Dinasti Fatimiah di Mesir menjadikan Asyura sebagai hari dukacita (mengenang kematian Hussin di Karbala)… Ketika Bani Ayub merebut Mesir, mereka menjadikan hari itu hari gembira… Melanjutkan tradisi orang Syam yang dirintis oleh Al-Hajjaj pada zaman Abdul Malik bin Marwan.''

Untuk catatan sepanjang ratusan tahun Hijrah, mimbar masjid di zaman Umaiyah disuruh mengutuk Imam Ali sehinggalah ia ditamatkan oleh Khalifah Umar al-Abdul Aziz yang mengubahnya kepada kalimah ''Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu kepada keadilan dan ihsan.''

Jalaluddin dalam bukunya, Meraih Cinta Ilahi,Pencerahan Sufistik mengungkapkan setiap kali Asyura, pengikut Ali di Karbala merekonstruksi peristiwa itu dan merintih penuh nestapa.

Mereka berteriak, ''Setiap hari adalah Asyura dan setiap bumi adalah Karbala. Kita baca ungkapan itu sebagai ''Setiap hari adalah perjuangan dan di mana saja kita berpijak itulah bumi perjuangan," Selawat…

Kezaliman

Lantas Asyura bukan sekadar menjadi lambang penentangan kezaliman pemerintah dalam dinasti Umaiyah. Memandangkan Khilafah ketika itu mendokong aliran sunnah maka ada pihak yang menganggap sambutan Asyura adalah lambang penentangan kepada sunni.

Namun sebenarnya Asyura adalah sumbu penolakan kepada sebarang kekejaman dan penindasan ke atas mustadafin. Gelombang semangat Asyura jugalah satu ketika dulu menumbangkan Syahansyah Reza Pahlawi atau Shah Iran oleh pendukung garisan Imam Khomeini, meskipun raja segala raja itu adalah Syiah.

Sambutan Asyura tahun demi tahun itulah menyalakan semangat penentangan ke atas tentera Israel oleh Hizbullah, pimpinan Hassan Nasrallah yang mengisytiharkan kemenangan dalam perang 34 hari dengan rejim itu pada 2006.

Dan Hizbullah secara jelas mengiktiraf kepimpinan wilayah al-faqih di Iran.

Dengan semangat menentang kezaliman itulah juga Presiden George Bush dimalukan oleh wartawan, Muntazer al-Zaidi, seorang Syiah dengan lontaran jamrah 'kasut but' saiz 10 itu.

Oleh itu, apabila membaca sejarah Karbala, ia sebenarnya terlalu dekat dengan apa yang telah berlaku sekarang dan mengajak kita berfikir bagaimana harus dilakukan untuk merubah nasib umat.

Asyura adalah menyatakan rasa sedih dan meluahkan kecintaan mendalam pada Hussin dan ahli keluarganya, sebagaimana Nabi pernah menyatakan rasa sedemikian rupa pada cucunya itu.

Sunday, December 7, 2008

Ibadat korban mengikut sunah

Oleh MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS

ULAMA ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh Allah. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima oleh Allah. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba') sunnah Nabi SAW.

Firman Allah SWT: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat). (al-Mulk: 2).

Menurut Fudhail bin 'Iyaadh r.h: "Maksud amalan yang lebih baik ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin 'Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin 'Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah". - Dinukil daripada kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258.

Betapa ramai umat Islam di seluruh pelosok dunia yang mengerjakan suatu amalan yang dianggap baik serta ikhlas kerana Allah. Namun, realitinya ia tidak menepati sunnah Rasulullah SAW. Oleh itu, sewajarnya dalam melaksanakan ibadah korban bersempena dengan perayaan Aidiladha ini, kita berusaha sedaya upaya mencontohi sunnah- sunnah Nabi seperti berikut:

Waktu pelaksanaan ibadah korban

Menyembelih binatang korban hanya boleh dilaksanakan setelah selesai solat hari raya Aidiladha dan berlanjutan sehingga akhir hari Tasyriq, iaitu tiga hari selepas solat hari raya Aidiladha.

Oleh itu, penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Sabda Rasulullah SAW: "Seluruh hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan". (riwayat Ahmad di dalam Musnadnya, no: 16151).

Haiwan korban tersebut tidak memiliki kecacatan

Kita hendaklah pastikan bahawa haiwan yang hendak kita korbankan tersebut adalah dari jenis baka yang baik serta tidak memiliki kecacatan seperti buta, tempang, kurus, tanduk patah, telinga terkoyak, lemah dan penyakit lain.

Sabda Rasulullah SAW: "Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban: Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus)". (riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 2420).

Tidak menggunting rambut dan memotong kuku

Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

Sabda Nabi SAW: Jika telah masuk 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1977).

Larangan memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahupun mencukur atau apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan bulu di badan.

Menurut Imam al-Nawawi r.a: "Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut baik sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atu bulu-bulu lain di bahagain anggota badan yang lain". (Rujuk Kitab Syarh Muslim karya Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139. Dinukil dari kitab Ahkaam al-'Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh 'Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, Pustaka Imam asy-Syafie, Jakarta (2005), ms. 98).

Bagi mereka yang sengaja atau tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian

Jabir r.a berkata: Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah ketika di Hudaibiyah. Seekor unta untuk tujuh orang dan menyembelih lembu untuk tujuh orang bersama-bersama Rasulullah SAW. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1318).

Boleh berkorban untuk diri sendiri serta ahli keluarganya

Seseorang dibenarkan berkorban serta berkongsi pahalanya bagi dirinya sendiri serta bagi pihak keluarganya sekalipun jumlah yang ramai dan hanya dengan seekor kambing atau sebahagian dari tujuh bahagian itu.

Atha' bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansori tentang cara berkorban pada zaman Rasulullah lalu Abu Ayyub menjawab: "Dulu seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain". (riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 1425).

Ibadah korban dilaksanakan di musolla

Menurut sunnah Nabi SAW solat sunat Aidiladha mahupun Aidilfitri dilaksanakan di musolla, tempat terbuka (seperti padang) sehingga khatib dapat melihat semua hadirin.

Dalil disunnahkan solat sunat hari raya di musolla adalah sebuah hadis daripada Abu Sa'id al-Khudri r.a, dia berkata: Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat hari raya. (riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 956).

Sunnah menyembelih sendiri haiwan korban

Sunnah dan afdal mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban tersebut agar menyembelih haiwan korban dengan tangannya sendiri.

Anas r.a berkata: Nabi pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri. (riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 5565).

Namun, dibolehkan juga bagi mereka yang ingin berkorban mewakilkan penyembelihan kepada orang Islam yang lain.

Menyembelih haiwan korban mengikut sunnah

Hendaklah menyembelih haiwan korban menggunakan objek yang tajam seperti pisau dan dilakukan dengan cepat agar haiwan tersebut mati dengan serta-merta.

Sebelum upacara menyembelih diadakan, baringkan haiwan korban tersebut pada sebelah sisi kirinya agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri. Ketika menyembelih hendaklah membaca Bismillahir Rahmanir Rahim. Anas r.a berkata: Nabi SAW pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut nama Allah dan bertakbir seraya meletakkan kaki baginda pada lambung kedua-duanya. (riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 5565).

Ketika menyembelih kita hendaklah mengerat salur udara, kerongkong dan saluran darah leher haiwan tersebut tanpa mengerat gentian saraf di dalam tulang belakang. Darah dari anggota badan haiwan korban tersebut hendaklah dialirkan keluar sepenuhnya sebelum melapahnya.

Daging korban tersebut boleh dimakan, disedekah dan dihadiahkan

Sunnah bagi keluarga yang melakukan ibadah korban turut memakan sebahagian daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan menyedekahkan sebahagian yang lain. Malah, mereka juga boleh menyimpan daging tersebut. Sabda Nabi SAW: Makan dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban itu). (riwayat al-Muslim di dalam Sahihnya, no: 1971).

Tidak boleh mengupah tukang sembelih dengan daging korban

Menjadi lumrah bagi masjid-masjid di Malaysia memberi tukang sembelih daging korban tersebut sebagai upah bagi kerjanya. Perbuatan ini bertentangan dengan syarak dan dilarang keras oleh Rasulullah.

Upah kepada tukang sembelih hendaklah diberikan menggunakan harta sendiri dan bukannya dari hasil daging binatang korban itu.

Ali r.a berkata: Nabi SAW pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya serta aku juga tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami memberinya dengan harta kami sendiri. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1317).

Sunday, October 26, 2008

Berterus terang jika mahu berpoligami

BERIKANLAH isteri hak ke atas apa yang sepatut menjadi haknya. Biarpun mungkin terdapat sedikit 'kekurangan' dan 'tidak sempurna' seperti wanita normal namun hak isteri mesti dihormati.

Itu antara pengajaran yang dapat dikupas dan menjadi renungan hasil penghakiman seorang Hakim Syarie di salah sebuah Mahkamah Syariah di Selangor baru-baru ini. Hakim berkenaan membaca sepotong hadis yang bermaksud: "Di akhirat nanti ramai lelaki yang berjalan dalam keadaan bahu akan menjadi senget. Ia adalah akibat tidak berlaku adil kepada isteri-isteri mereka.''

Hakim memberi peringatan, di dunia ini jika berjalan dalam keadaan bahu senget kita tahulah bagaimana. Tetapi, jika di akhirat berjalan dalam keadaan sebegitu, tidaklah dapat digambarkan.

Beliau memetik hadis tersebut ketika memberi keputusan dalam permohonan seorang suami mendapatkan kebenaran mahkamah untuk berpoligami.

Sebenarnya, jika melihat kepada fakta yang dibentangkan dalam prosiding itu, maka jelaslah permohonan itu bukanlah didorong oleh perasaan meluap-luap seorang suami untuk beristeri lagi. Ini kerana hakim tersebut, dalam penghakimannya ada mengimbas sedikit sebanyak fakta yang pernah dibentangkan di hadapan beliau.

Pemohon terpanggil memfailkan permohonan disebabkan faktor usianya yang semakin meningkat, namun belum mendapat rezeki memperoleh anak hasil darah daging sendiri.

Penantian berkat kesabaran pasangan menunggu kehadiran cahaya mata bukan sekadar setahun, dua. Malah menjangkau 13 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, mereka tidak putus asa berikhtiar pelbagai teknik termasuklah berubat secara tradisional dan perubatan moden. Apakan daya sehingga kini isterinya belum disahkan mengandung.

Memandangkan usia semakin meningkat, akhirnya suami mengambil keputusan berpoligami dengan seorang wanita berstatus anak dara. Lagipun pemohon menyatakan, tujuan utama perkahwinan untuk memastikan perkembangan manusia (melahirkan zuriat).

Keikhlasan suami untuk membahagikan kasih sayang antara isteri pertama dan bakal isteri jelas tergambar apabila beliau mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Keterangan

Demi keadilan, semua saksi iaitu pemohon dan isteri pertamanya, serta bakal isteri dan juga wali kepada bakal isteri (bakal bapa mertua) tampil memberikan keterangan. Suami dalam keterangannya berjanji akan berlaku adil dalam semua hal dan tidak membeza- bezakan kasih sayang.

Pemohon yang mengusahakan bengkel membaiki bot dan memiliki perniagaan menyewa kenderaan iaitu lori dan bas, menyediakan tempat tinggal bakal isteri (kini tunangannya) di Selangor. Manakala isteri pertamanya akan terus tinggal di kediaman mereka sekarang.

Berdasarkan keterangan yang dikemukakan, kemampuan pemohon, persetujuan diberikan dan fakta sokongan yang memerlukan dia beristeri lagi, akhirnya hakim berpuas hati dan membenarkan permohonan si pemohon untuk berpoligami.

Hakim turut mengingatkan pemohon bahawa mahkamah hanya memberikan kebenaran ntuk berpoligami dengan wanita yang namanya tertera dalam permohonan tersebut bukannya untuk berkahwin dengan wanita lain pula.

Pengertian sepotong hadis turut dibacakan kepada pemohon agar sentiasa menjadi pedoman sepanjang menjalani hidup berpoligami kelak. Terdapat perkara menarik yang dikupas dan diberikan penjelasan panjang lebar oleh hakim melalui hadis nabi tersebut. Ia mengenai hak atau giliran bermalam antara isteri. Sekiranya bakal isteri yang akan dinikahi itu berstatus anak dara maka giliran bermalam selama tujuh malam berturut-turut. Akan tetapi, jika bakal isteri ialah janda maka gilirannya, tiga malam sahaja. Namun tempoh tersebut hanya bagi peringkat awal perkahwinan, tegas hakim.

Beliau juga menyentuh tindakan pemohon mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami sebagai menghormati hak isterinya. Walaupun menyedari perlu membahagikan kasih sayang tetapi pemohon tetap sedar segala yang dilakukan perlulah mengikut kehendak peruntukan undang-undang.

Tetapi cuba fikirkan mengapakah ramai lelaki lebih rela bernikah secara senyap-senyap di negara jiran daripada menyatakan keinginan secara terus terang? Sedangkan, umum sudah mengetahui bahawa bernikah di negara jiran memang jalan mudah bagi menyelesaikan masalah.

Peguam Syarie, Amli Embong yang pernah mengendalikan kes-kes permohonan untuk berpoligami, melihat tindakan pemohon berkenaan sebagai langkah yang terbaik bagi kedua belah pihak.

"Mesej yang dapat disampaikan, setiap lelaki yang berhasrat berpoligami sepatutnya menyerahkan permohonan tersebut kepada pihak yang berkuasa (mahkamah) untuk menentukan sama ada dia benar-benar layak untuk beristeri lebih daripada seorang. Perasaan isteri yang sedia ada juga dapat dielakkan daripada terguris. Jika dibandingkan antara permohonan itu dengan perkahwinan secara rahsia yang pada akhirnya diketahui, sudah pasti akan memberikan impak yang negatif,'' jelas Amli.

Mengambil keputusan bernikah di sempadan dan merahsiakannya, seolah-olah menjadi ikut-ikutan sejak dahulu hingga kini. Amli bimbang perkahwinan di sempadan barangkali tidak sah kerana ia mungkin dikendalikan oleh juru nikah tidak bertauliah. Akhirnya, mereka akan berhadapan tindakan undang-undang.

Selangor adalah antara negeri yang ketat meluluskan permohonan berpoligami jika dibandingkan dengan Terengganu, Kelantan dan Perlis. Jika melihat Seksyen 23(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, ia menetapkan keperluan mendapatkan izin mahkamah sebelum seseorang lelaki mahu berpoligami.

"Jika seseorang lelaki mengemukakan permohonannya, dia mestilah memenuhi kriteria yang disebutkan dalam seksyen itu. Jika mahkamah selepas membuat pertimbangan yang maksimum dari segenap aspek, mendapati pemohon tidak layak berpoligami maka permohonan akan ditolak,'' jelas Amli.

Pun begitu, andai kata mahkamah mendapati pemohon sesungguhnya memang layak dan memenuhi kriteria untuk berpoligami, sungguhpun isteri terdahulu tidak bersetuju, permohonan tersebut tetap diluluskan.

----------------------
Rujukan di sini

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 26 Oktober 2008

Wednesday, September 17, 2008

17 Ramadhan - perang Badar atau Nuzul Quran?

Terjemahan oleh Ustaz Abdul Kareem as-Saquofi- Imam Masjid Hidayatul Islam

Perayaan 17 ramadhan adalah sebenarnya untuk mengingati Peperangan Badar yang berlaku pada tarikh tersebut. Nuzul Quran iaitu hari turunnya Al-Quran sememangnya jatuh pada bulan Ramadhan tetapi kebanyakan ulama' berpendapat bahawa tarikhnya adalah pada 27 ramadhan

Peperangan badar berlaku di sebuagh tempat yang bernama Badar pada tahun ke 2 Hijrah. Ianya jatuh pada hari Jumaat 17 Ramadan pada tahun tersebut. Islam sememangnya menerima tentangan dari orang kafir Quraisy sejak dari mulanya lagi, dari masa Islam mula diperkenalkan secara tertutup dan kemudiannya secara terang. Ini akhirnya telah membawa kepada penghijrahan Rasullulah s.a.w dan orang Islam ke Madinah di mana penduduk di sana telah menerima mereka dan juga agama Islam. Walaubagaimanapun keadaan orang Islam yang tinggal di Mekah menjadi semakin teruk dan ini mula merebak ke Madinah.

Perang Badar adalah peperangan yang pertama dalam Islam dan merupakan cara yang digunakan untuk membela keselamatan sosial dan politik mereka. Islam sememangnya tidaklah menggalakkan peperangan melainkan terpaksa. Ianya juga merupakan tindakan untuk mempertahankan kebebasan agama dan menyekat ajaran sesat yang berleluala pada masa itu.

Pada tahun ke 2 Hijrah Rasulullah s.a.w serta sahabat bersetuju mempertahankan Islam di luar kota Madinah. Tentera Islam seramai 313 orang telah keluar untuk menyekat rombongan pedagang Mekah yang sedang pulang dari Syam. Abu sufian yang mengetuai rombongan perdagangan Quraisy itu telah mengikut jalan lain untuk kembali ke Mekah dan sebuah bala tentera melebihi 1000 dan serba lengkap dengan peralatan perang telah datang untuk menentang tentera Islam. Kedua- dua pasukan telah sampai ke temapt bernama Badar pada 16 Ramadhan.

Tentera Quraisy telah bertahan di tempat yang ada air sementara tentera Islam berkhemah di tempat yang lebih kering. Allah telah menunjukkan kekuasaannya dengan menurunkan hujan yang lebat. Ini menyebabkan tempat orang Islam mendapat air sementara , air di tempat musuh menjadi berlumpur dan tidak sesuai digunakan. Rasullullah s.a.w , bagaimanapun telah membenarkan orang Quraisy yang datang,mengambil air untuk kegunaan mereka

Peperangan di Badar hanya berlanjutan untuk satu hari sahaja bermula dengan pertarungan perseorangan diikuti oleh peperangan terbuka. Seramai 70 orang Quraisy yang terdiri dari pahlawan handal dan pemimpin telah terkorban sementara 70 lagi menjadi tahanan perang. Hanya 14 orang Islam sahaja yang telah mati syahid tetapi Allah telah mengurniakan pahala syahid kepada kesemua mereka ynag telah mengambil bahagian dalam peperangan tersebut.


Peperangan Badar merupakan satu kejayaan besar bagi umat Islam. Ianya telah menukar idoelogi Islam kepada sebuah negara Islam yang tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak. Peperangan Badar memberi pengajaran kepada kita bahawa melaksanakan sesuatu tugas dengan kepercayaan kepada Allah serta keyakinan pasti membawa kejayaan. Insya Allah


:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 17 September

Thursday, September 11, 2008

Sheikh Idris Al-Marbawi pengarang Bahrul Mazi

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ULAMA besar yang diperkenalkan pada kali ini tidak asing bagi kebanyakan pelajar-pelajar Alam Melayu amnya, dan di Malaysia khususnya. Beliau sangat terkenal dengan kamus Arab-Melayunya, iaitu Qamus al-Marbawi. Beliau ialah Sheikh Muhammad Idris Abdur Rauf al-Marbawi, seorang ulama yang berketurunan dari Kampung Merbau, Perak. Dilahirkan pada tahun 1893 M di Mekah, dan tarikh kembalinya beliau ke rahmatullah juga telah banyak ditulis orang pada 10 Oktober 1989, dimakamkan di Kampung Lubuk Merbau, Perak pada usia 96 tahun.

Tok Kenali antara Guru Sheikh Idris al-Marbawi

Ilmu yang paling banyak diperolehnya adalah dari Tok Kenali Kelantan. Sebelum ini, artikel mengenai Tok Kenali pernah dibicarakan penulis dengan judul Tok Kenali: Ulama Peringkat Wali yang dikeluarkan pada Isnin, 2 Oktober 2006.

Namun dirasakan perlu dibicarakan lagi secara umum berkenaan guru kepada Sheikh Idris Marbawi tersebut.

Tok Kenali adalah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam bersistemkan pondok di Malaysia, bahkan juga seluruh Alam Melayu.

Beliau ialah murid yang paling dipercayai oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, sehinggakan tiada satu rahsia perjuangan Sheikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh beliau.

Beliau meninggalkan murid yang sangat ramai. Antara yang menjadi ulama besar adalah Sheikh Idris Marbawi dan Sheikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber ini penulis perolehi daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, seorang Mufti Mempawah Indonesia, yang didengar penulis pada tahun 1969 di Indonesia, Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah, yang didengar pada tahun 1970, Kadi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala Patani pada tahun 1970, Kadi Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ramai yang lain yang belum perlu disebutkan).

Karya-karya yang dihasilkan

Sheikh Idris al-Marbawi meninggalkan karya-karya yang tidak kurang banyaknya. Terdapat dua karya beliau yang sangat terkenal, sehingga masih digunakan sehingga ke hari ini iaitu Qamus al-Marbawi dan Bahrul Mazi. Keterangan maklumat mengenai kedua-dua karya tersebut adalah berikut:

A. Qamus Idris al-Marbawi

Qamus Idris al-Marbawi adalah judul sebenar dalam persuratan. Dalam percakapan umum dinamakan kamus Marbawi. Kamus ini bukan kamus Arab-Melayu yang pertama ditulis. Terdapat kamus lain ditulis sekitar tahun berhampirannya. Namun, kamus ini mendapat tempat tersendiri dalam bidang perkamusan.

Paling luas penyebarannya

Antara keistimewaan kamus ini berbanding yang lainnya adalah kamus Arab-Melayu yang ditulis dengan Melayu-Jawi dan yang pertama paling luas penyebarannya di seluruh dunia Melayu. Bahkan ia turut digunakan oleh masyarakat Melayu di Mekah, Mesir dan beberapa tempat lain.

Ia turut digunakan oleh hampir semua orang yang belajar bahasa Arab dari kalangan suku kaum Melayu, Jawa, Bugis dan sebagainya.

Dalam mukadimahnya, beliau meluahkan yang terkandung dalam hatinya demi kemajuan bangsa Melayu, iaitu katanya: “Kemudian dari itu, maka sebelum masuk mengarang kamus ini, lebih dulu menerangkan maksudku mengadakannya, ialah memajukan bangsaku Melayu, sekiranya menuntut bahasa Arab adalah kamus penyuluhnya yang diharap, mendapatkan pelajarannya umpama nahu dan saraf.”

Kamus ini mengandungi dua juzuk. Juzuk pertama yang mengandungi 384 halaman dimulakan huruf Alif dan berakhir dengan Zha, yang mengandungi 18,000 kosa kata perkataan Arab yang diberi takrif atau ertinya ke dalam bahasa Melayu, dan terdapat juga 700 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Dalam juzuk kedua pula mengandungi 401 halaman, yang dimulakan daripada huruf ‘Ain dan berakhir dengan huruf Ya, juga terdapat 18,000 kosa kata Arab dan 500 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Berkenaan maklumat-maklumat lainnya berkaitan kamus Marbawi tersebut, telah banyak penulis bicarakan dalam Berita Harian, 28 Mac 2006 (Selasa) dengan judul ‘Kamus Marbawi Rujukan Pelajar Kuasai Bahasa Arab.’

B. Bahrul Mazi
Karya Syeikh Idris al-Marbawi yang berupa hadis yang terkenal ialah Bahrul Mazi, judul lengkapnya Bahrul Mazi li Syarh Mutkhtasar Sahihit Tarmizi. Ia merupakan terjemahan kitab Sahih Tarmizi dan disyarah oleh beliau.

Terjemahan Sahih Tarmizi secara lengkap ini adalah merupakan yang pertama sekali dilaksanakan dalam bahasa Melayu.

Bahrul Mazi adalah karya besar yang terdiri daripada 22 jilid yang sudah diterbitkan. Maklumat ringkas tentang keseluruhan jilidnya, adalah seperti berikut:

- Jilid I : Tanpa menyebut tarikh. Tebal 227 halaman. Menerangkan bicara bersuci dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 126 hadis dan 591 masalah.

- Jilid II: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 454 masalah.

- Jilid III: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 240 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 161 hadis dan 558 masalah.

- Jilid IV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang; zakat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 115 hadis dan 519 masalah.

- Jilid V: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 208 halaman. Menerangkan bicara puasa dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 110 hadis dan 473 masalah.

- Jilid VI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara haji dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 108 hadis dan 458 masalah.

- Jilid VII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara umrah dan jenayah. Terdiri daripada 114 hadis dan 483 masalah.

- Jilid VIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan baki bab-bab jenayah dan membicarakan Kitabun Nikah. Terdiri daripada 99 hadis dan 330 masalah.

- Jilid IX: Tarikh selesai menulis malam Rabu, 29 Syawal 1357 H di rumah berdekatan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Tebal 224 halaman. Menerangkan bab-bab talak, li’an dan jual beli. Terdiri daripada 117 hadis dan 226 masalah.

Bab-bab jualan

- Jilid X: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Menerangkan baki bab-bab jualan, bab-bab kadi, diat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 180 hadis dan 259 masalah.

- Jilid XI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan korban, nazar-nazar, sumpah-sumpah, perjalanan Nabi dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 151 hadis dan 486 masalah.

- Jilid XII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan perang sabil, pakaian, makanan dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 170 hadis dan 353 masalah.

- Jilid XIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan minum-minuman, kebaktian, perhubungan rahim dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 152 hadis dan 472 masalah.

- Jilid XVI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Melengkapi atas baki bab-bab perhubungan rahim, perubatan, faraid, wala’, hibah, qadar dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 395 masalah.

- Jilid XV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 248 halaman. Melengkapi bab-bab huru-hara, ta’bir mimpi dan saksi-saksi. Terdiri dari 105 hadis dan 301 masalah.

- Jilid XVI: Tarikh akhir Bab ar-Ru‘ya dan mengiringi bab-bab syahadah. Selesai malam Rabu, 21 Ramadan 1359 H/1940 M. Melengkapi atas bab-bab mimpi, saksi-saksi dan zuhud. Terdiri daripada 128 hadis dan 237 masalah.

- Jilid XVII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat kiamat; pelembut hati, wara’ dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 100 hadis dan 210 masalah.

- Jilid XVIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat syurga, neraka, iman dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 109 hadis dan 210 masalah.

Minta izin

- Jilid XIX: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab ilmu, minta izin dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 148 hadis dan 266 masalah.

- Jilid XX: Tarikh dicatat oleh pengarangnya, katanya: “Telah selesai hamba daripada menulis dan mengarangkan juzuk yang kedua puluh ini dengan kurnia Allah SWT kemudian daripada tergendala mengarangnya 16 tahun. Iaitu mula perang Inggeris dengan Jerman dan Jepun dan Itali pada tahun 1949, dan sudah juzuk ini pada malam Rabu 25 Ramadan dan 1373 bersamaan 18 Mei 1955." Melengkapi atas baki bab-bab adab, misal-misal, bab-bab pahala Quran dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 127 hadis dan 311 masalah.

- Jilid XXI: Mulai penulisan pada hari Khamis, 26 Syaaban 1374 H/19 Mei 1955 M, dan diselesaikan pada 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M. Tebal 255 halaman. Melengkapi atas segala bab tafsir. Terdiri daripada 92 hadis dan 335 masalah.

- Jilid XXII: Dimulai 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M, dan selesai pada malam 2 Jamadilakhir 1377 H/24 Disember 1957 M. Tebal 242 halaman. Melengkapi atas tafsir setengah-setengah ayat di dalam surah al-Maidah dan lain-lainnya. Terdiri daripada 95 hadis dan 351 masalah.

Penerbitan keseluruhan diusahakan oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, mulai tahun 1352 H/1933 M.

Pada kata aluan jilid pertama, pengarangnya menerangkan bahawa beliau telah belajar ilmu hadis daripada Sheikh Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadis yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyidina Husein di Kaherah, Mesir. Bahawa ketika pulang ke rumah, beliau terus mencatat pelajarannya sehingga tersusunlah kitab besar Bahrul Mazi tersebut.

Kurang tersebar

Sebuah lagi karangan Sheikh Idris al-Marbawi yang kurang tersebar ialah kitab Tafsir Surah Yasin. Asal kitab ini adalah karangan Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad asy-Syaukani dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sheikh Idris al-Marbawi atas permintaan Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H.

Pada mukadimah Sheikh Idris al-Marbawi menulis: “Adapun kemudian daripada itu, maka telah menuntut kepada hamba oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bahwa hamba terjemahkan tafsir yasin karangan asy-Syaukani daripada Arab kepada Melayu...”.

Kitab ini telah diterbitkan oleh Mathba‘ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H/ 1935 M.

Wednesday, September 3, 2008

Model Tasmik Khatam al-Quran.

Model Tasmik Khatam al-Quran.

Model Tasmik Khatam al-Quran ialah satu program membimbing dan merekod perkembangan Iqra dan bacaan al-Quran murid secara individu berdasarkan program yang di atur bagi membolehkan murid khatam al-Quran semasa berada di Sekolah Kebangsaan dan dilaksanakan di luar jadual waktu.

Model Tasmik Khatam al-Quran pula dilaksanakan di luar waktu persekolahan normal mengikut kesesuaian, keupayaan murid dan waktu guru tasmik yang terdiri daripada guru-guru j-QAF, Guru Pendidikan Islam (GPI) , guru-guru matapelajaran lain yang berkemampuan. Guru tasmik tersebut hendaklah dilantik secara rasmi oleh pihak sekolah.

Matlamat pelaksanaannya adalah seperti berikut :-

· Murid dapat membaca al-Quran dengan bertajwid.
· Murid dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran 30 juzuk.
Pelaksanaan Model Tasmik Khatam al-Quran.

· Semua murid hendaklah menggunakan buku Iqra’ yang dibekalkan oleh Kemeterian dan al-Quran Rasm Uthmani.

· Setiap murid perlu mempunyai guru tasmik yang dilantik oleh pihak sekolah.

· Guru tasmik terdiri daripada pelatih j-QAF. Pihak sekolah boleh melantik guru pendidikan Islam dan guru akademik yang berkebolehan al-Quran untuk terlibat dalam program ini. Murid yang telah khatam al-Quran boleh menjadi pembantu kepada guru tasmik.

· Guru tasmik hendaklah membimbing bacaan dan merekod bacaan murid dalam Buku Rekod Bacaan setiap kali ditasmik.

· Murid yang masih tidak dapat menguasai Iqra dan Bacaan al-Quran perlu dibimbing secara berterusan menggunakan kaedah dan aktiviti yang sesuai seperti Kem Literasi al-Quran , kelas tambahan dan sebagainya oleh guru pelatih j-QAF dan guru Pendidikan Islam.


· Setiap murid mesti memiliki Buku Rekod Bacaan al-Quran yang disediakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.

· Guru j-QAF hendaklah memastikan murid-murid mendapat bimbingan dari guru tasmik sebelum penilaian dilaksanakan.

· Murid dikehendaki membaca al-Quran berdasarkan agihan muka surat yang dicadangkan dalam agihan rancangan tahunan bacaan individu.

· Murid-murid yang cemerlang boleh meneruskan bacaan tanpa terikat dengan agihan juzuk yang dicadangkan.

· Bagi melaksanakan agihan yang dicadangkan, murid digalakkan membaca al-Quran setiap hari supaya mereka dapat member tumpuan kepada kualiti bacaan. Ini penting terutama bagi murid yang belum menguasai bacaan.

· Murid boleh membaca dan mentasmik bacaan al-Quran pada masa-masa yang sesuai (luar jadual waktu) seperti:-
- Waktu Petang bagi Sesi pagi
- Waktu Pagi bagi sesi petang
- Waktu Kokurikulum

· Pihak sekolah hendaklah membuat penilaian dan menyediakan laporan kepada JPN.
------------------------------------------------------------------------------------------------
- Sedikit catatan ringkas dalam menyiapkan tugasan PBS di SK Meranek.. Terima Kasih pada Ustazah Wan, guru Jqaf yang banyak membantu dalam menerangkan konsep dan pelaksanaan model ini.
-Gambar- Suasana ketika saya dan rakan-rakan menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
- Untuk rujukan bersama rakan-rakan guru Pelatih Sarjana Muda Pendidikan Pengajian Islam seluruh IPG.

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 3 September

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin