Showing posts with label Sultan Kedah. Show all posts
Showing posts with label Sultan Kedah. Show all posts

Sunday, May 24, 2009

Tuanku Sultan @ Idul Ilmi Maahad

TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan Anugerah Pelajar Mithali 2009 kepada Mohd. Hafizul Amin Sallehuddin pada majlis Idul Ilmi 2009 di Maktab Mahmud di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 23 Mei - Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru semua lapisan masyarakat terutama golongan pelajar supaya menghayati prinsip Rukun Negara.
Baginda bertitah prinsip itu perlu dihayati demi memupuk semangat patriotik, menghargai nikmat kemerdekaan dan berbangga kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia.

Ia penting kerana semua lapisan masyarakat memainkan peranan penting untuk sama-sama memikul amanah menjaga keamanan serta kestabilan ekonomi dan politik negara demi kelangsungan hidup yang makmur dan berdaulat, titah baginda pada majlis Idul Ilmi Maktab Mahmud 2009 di sini hari ini.

Pada majlis itu, kira-kira 200 pelajar cemerlang Maktab Mahmud menerima sijil penghargaan yang disampaikan Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun.

Dua pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Hafizul Amin Sallehuddin dan Nur Syidatul Isma Rosedi yang memperoleh gred mumtaz dalam peperiksaan itu menerima Anugerah Pelajar Mithali 2009. Anugerah disampaikan baginda Sultan.

Tuanku Abdul Halim turut meminta golongan pendidik, ibu bapa termasuk masyarakat agar melakukan nilai tambah kerana sistem pendidikan masa kini memerlukan perubahan selaras dengan keperluan serta tuntutan semasa.

"Beta juga mahu pihak sekolah mengamalkan budaya sekolah cemerlang secara menyeluruh bagi memastikan kecemerlangan yang dikecapi berterusan," titah baginda. - BERNAMA

Tuesday, April 14, 2009

Dapat Exco Baru

ALOR SETAR – Pilihan Raya Kecil Bukit Selambau yang diadakan 7 April lalu telah memberi kemenangan kepada calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), YB. S. Manikumar, sekaligus menjadikan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau. Sebagai menunakan janji yang dibuat oleh YAB Menteri Besar terhadap pengundi Bukit Selambau, kini S. Manikumar dilantik pula sebagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Pelantikan beliau telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Istiadat Pelantikan telah berlangsung di Istana Anak Bukit.
Upacara tersebut diadakan serentak dengan pelantikan Penasihat Undang-undang Negeri Kedah baru, YB. Tuan Anas Ahmad Zakie, menggantikan YB. Dato’ Zakiah Kassim yang ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri.YB. S. Manikumar dan YB. Tuan Anas mengangkat sumpah di hadapan KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan menerima watikah pelantikan daripada baginda.YB. S. Manikumar, 35, menggantikan bekas Exco V. Arumugam yang meletakkan jawatan pada Februari lalu.

Beliau kini merupakan Exco yang memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Turut berkenan berangkat pada istiadat itu adalah KDYMM Tuanku Sultanah, Sultan Hajjah Haminah Haji Hamidun. Hadir sama ialah Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Wednesday, March 4, 2009

EXCO Kedah 2009


ALOR SETAR: Semua sembilan anggota Exco kerajaan negeri sedia ada kekal dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit di sini, pagi semalam, bagi tempoh setahun.

Ia melenyapkan spekulasi sebelum ini seorang daripada mereka akan digugurkan dan diganti dengan calon lain berikutan dakwaan mengeluarkan perkataan yang mencerca Sultan Kedah seperti terkandung dalam satu surat layang baru-baru ini.

Mereka yang mengangkat sumpah itu ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kundor, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (Tokai), Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Siti Aishah Ghazali (Merbau Pulas), Dr Hamdan Mohamed Khalib (Tanjung Dawai), Abdullah Jusoh (Pantai Merdeka), Dr Ismail Salleh (Alor Mengkudu), Mohammad Radzi Salleh (Lunas) dan Tan Wei Shu (Bakar Arang).

Pelantikan baru itu turut menyaksikan perubahan beberapa portfolio barisan exco, antaranya Mohamed Taulan yang sebelum ini memikul tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan beralih kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi.

Phahrolrazi pula mengisi portfolio dikosongkan Taulan, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala portfolio Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga yang disandangnya sebelum ini dikekalkan.

Amiruddin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Penerangan yang sekali gus menyaksikan portfolio Pembangunan Usahawan yang disandang sebelum ini digugurkan.

Abdullah yang sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi menyandang satu pertambahan portfolio iaitu Pembangunan Usahawan.

Dr Ismail pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan dan portfolio Penerangan yang disandang olehnya sebelum ini diambilalih Amiruddin.

Bagaimanapun, portfolio empat lagi exco kerajaan negeri kekal dengan Mohamad Radhzi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia; Dr Hamdan dilantik Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan.

Siti Aishah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat manakala Tan, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan.

KEDAHLANIE

Sunday, January 18, 2009

Daulat Tuanku

ALOR STAR 17 Jan. - Puteri Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz mengetuai senarai 62 penerima darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang ke-81 esok.

Tunku Puteri Intan Safinaz merupakan satu-satunya penerima darjah Orang Besar Empat yang membawa gelaran Tunku Panglima Besar.

Ini diikuti penerima Bintang Keberanian Kedah (BKK) kepada Kpl. Mohd. Zamri Md. Scoot.

Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali pula merupakan antara lima penerima Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah (DGMK) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Empat lagi penerima DGMK ialah Panglima Medan, Markas Medan Tentera Darat, Lt. Jen. Datuk Raja Moahamad Affandi Raja Mohamed, Lt. Jen. (B) Datuk Masood Zainal Abidin, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Nordin Kardi dan Presiden Management & Science Universiti (MSU), Datuk Mohd. Shukri Ab. Yajid.

Sementara itu, Panglima Markas 4 Divisyen, Mej. Jen. Datuk Zulkiple Kassim dianugerahkan Datuk Paduka Mahkota Kedah (DPMK) yang membawa gelaran Datuk Paduka.

Seramai 38 penerima pula dianugerahkan Datuk Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima terlibat ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Dr. Abdul Isa Ismail, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ir. Amiruddin Hamzah, Pegawai Daerah Kubang Pasu, Datin Che Barni Mohd. Noor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang, Md. Rohsidi Osman dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Pertahanan, Abdullah Kassim.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul turut menerima DSDK.

Presiden First Solar Malaysia Sdn. Bhd., Heiner J. Eichermueller dianugerahkan Datuk Setia Diraja Kedah (DSDK) Kehormat manakala Tunku Shazuddin Arif Tunku Sallehuddin dan Syed Nasir Syed Abdullah, masing-masing menerima anugerah Setia Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (SMS).

Ahli Dewan Negara, Senator Ir. Zamri Yusuf dan Timbalan Speaker DUN Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam, Abdul Ghani Ahmad masing-masing menerima anugerah Setia Mahkota Kedah (SMK).

Sebelas lagi menerima Jaksa Pendamai (JP) termasuk Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden.

Tuesday, December 30, 2008

Tinggalkan sikap tidak hormati ulama - Timbalan Yang di-Pertuan Agong

PUTRAJAYA, 29 Dis - Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru umat Islam di negara ini supaya melakukan perubahan demi memartabatkan dan memperkasakan kedudukan Islam ke tahap lebih gemilang.

Baginda bertitah sehubungan itu umat Islam perlu memahami dan menzahirkan wawasan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t melalui kitab suci Al-Quran dan Al-Hadis di mana Islam dan umatnya perlu memberi sinar "rahmatan lil a'lamin" (pembawa rahmat bagi seluruh alam).

Wawasan itu juga perlu dijadikan tunggak ke arah memupuk semangat perpaduan sesama Islam dan bukan Islam agar rangkaian kehidupan sosial yang mantap dapat diwujudkan, titah baginda pada majlis sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1430H/2OO8M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini, lapor Bernama.

"Sikap tidak menghormati para ulama, suka mengambil jalan mudah dengan mengenepikan ajaran agama, malas berfikir dan berusaha, bermusuhan sesama umat Islam dan mengutamakan kepentingan peribadi tanpa mempedulikan hukum halal dan haram perlu ditinggalkan oleh semua umat Islam kerana unsur-unsur inilah yang telah menjadi kekangan bagi membangunkan ummah yang gemilang," titah baginda.

Turut hadir pada majlis sambutan Ma'al Hijrah yang bertema "Menjana Ummah Gemilang" ialah Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Baginda bertitah sempena kedatangan tahun 1430H amat wajar bagi umat Islam di negara ini bermuhasabah, melihat perkembangan dan perubahan hidup yang telah dilalui sepanjang tempoh tersebut.

"Beta percaya, melalui muhasabah diri, kekuatan dan kelemahan yang ada boleh dinilai dengan sebaiknya dan akhirnya umat Islam mampu bergerak ke tahap yang lebih gemilang seperti yang diharapkan," titah baginda.

Baginda menyeru seluruh umat Islam supaya menyorot kembali kelemahan dan kesilapan diri yang telah dilakukan selama ini sebagai ikhtibar dalam mencorak masa depan yang bakal dihadapi dan juga menilai kembali segala kekuatan yang telah dikurniakan tuhan.

"Beta yakin tema yang sama dipilih bagi sambutan Ma'al Hijrah pada tahun ini mampu mendorong umat Islam untuk berfikir dan menyusun perjalanan masa depan yang lebih teratur sehinga berupaya meletakkan diri dalam persaingan global yang begitu mencabar pada hari ini," titah baginda.

Baginda menggesa seluruh umat Islam agar sama-sama berusaha dan mempertingkatkan lagi keupayaan serta melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan penuh keikhlasan kerana untuk mencapai sebuah kegemilangan, ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin