Tuesday, July 1, 2008

Pemandu dibenar kahwin ke-4

GEMBIRA: Mohamed Nor menunjukkan isyarat empat selepas permohonannya untuk mengahwini isteri keempatnya, Suzi Sulong diluluskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu, semalam.
Mahkamah Tinggi Syariah ambil kira sokongan 3 isteri, kesungguhan Mohamed Nor KUALA TERENGGANU: Setelah empat kali berulang alik ke mahkamah, hasrat seorang pemandu lori, Mohamed Nor Awang, 57, dari Kampung Tok Fakir, Merchang, Marang, dekat sini, untuk memiliki isteri keempat akhirnya tercapai. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Shaikh Ahmad Ismail dalam penghakimannya, berkata mahkamah meluluskan permohonan Mohamed Nor selepas mengambil kira kesungguhannya yang sanggup hadir ke mahkamah sebanyak empat kali bagi menyelesaikan perkara berkenaan. Selain itu, kata Shaikh Ahmad, mahkamah turut mengambil kira sokongan tiga isteri, bakal isteri, Suzi Sulong, 34, dan saksi yang dibawa Mohamed Nor semalam.
Beliau berkata, walaupun mahkamah agak keberatan untuk memberi kelulusan kerana berpendapat keterangan pemohon dan saksi tidak memberi apa-apa sokongan, mahkamah perlu mempertimbangkan permohonan bapa 18 anak itu berdasarkan keperluan dan sokongan tiga isteri yang berkehendakkan suami mereka berkahwin isteri keempat serta bakal isteri yang bersetuju untuk bernikah.
"Selepas saya mendengar keterangan Mohamed Nor, isteri-isteri yang hadir sebelum ini menyatakan Mohamed Nor mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab walaupun pada pandangan kasar pendapatan tidak mencukupi dan isteri-isteri beliau sanggup mencari jika tidak mencukupi (pendapatan).
"Ini membuktikan pada mahkamah kesanggupan isteri-isteri yang ada untuk membantu. Bapa dan bakal isteri juga ada hadir ke mahkamah dan menyatakan persetujuan dan kehendaknya untuk berkahwin dengan Mohamed Nor. Beliau juga kata, selagi mahkamah tidak luluskan permohonan, Mohamed Nor tak boleh kerja dengan tenteram...tertekan.

"Saksi yang dibawa (ke mahkamah) hari ini (semalam) pada saya tidak mendatangkan apa-apa keterangan untuk membuktikan kemampuan Mohamed Nor. Boleh jadi, mahkamah kena pertimbangkan keperluan Mohamed Nor untuk dapatkan seorang isteri serta kehendak bakal isteri untuk berkahwin dengan Mohamed Nor. "Dalam kes Mohamed Nor, ketiga-tiga isteri sangat setuju dan harapkan suami berkahwin lagi. Begitu juga saksi dan ikrar Mohamed Nor mampu zahir dan batin. Atas alasan itu, saya luluskan permohonan Mohamed Nor untuk berkahwin dengan pasangan yang diidam-idamkan itu," katanya.
Terdahulu, pada prosiding semalam Mohamed Nor mengemukakan dua saksi iaitu Abdul Halim Daud, 39, dan Mat Chik, 49, untuk menyokong permohonannya berkahwin isteri keempat. Bagaimanapun, bakal isteri keempat Mohamed Nor dan tiga responden iaitu isteri pertama Wan Rukiah Mat Yusoff, 52; kedua, Kalthum Dollah, 39, dan ketiga Noraini Daud, 40, tidak hadir di mahkamah. Pada prosiding sebelum ini, ketiga-tiga isteri Mohamed Nor menyatakan persetujuan dan sokongan tanpa bantahan untuk Mohamed Nor berkahwin isteri keempat. Mohamed Nor sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan kerani dari Chendering itu pada 23 Mei lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan belum mendapat kelulusan mahkamah.

Pada 9 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah sama membenarkan permohonan berpoligami seorang broker tanah, Abu Bakar Embong, 45, untuk berkahwin isteri keempat selepas isteri kedua pemohon yang mewakili dua isteri lain, Mazumi Ismail, 45, memberi keterangan bahawa pemohon seorang yang bertanggungjawab dan berkemampuan dari segi kewangan, termasuk nafkah zahir dan batin untuk meneruskan perkahwinan keempatnya dengan Suhaili Alias, 24.
Rujuk juga Utusan Malaysia
-------------------------------------------------------------------------------------------------
- Orang lelaki suka dengar ni.. Namun..tumpuan pada agama itu yang penting...

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin