Thursday, July 3, 2008

Kedah, Selangor terdesak


KUALA LUMPUR - Penyandang juara, Kedah dan juara 32 kali, Selangor semakin terdesak untuk mengembalikan sentuhan kemenangan hari ini bagi mengelak berlakunya kejutan tersingkir awal daripada saingan bola sepak Piala Malaysia.

Selangor dan Kedah kini melalui tempoh sukar apabila mencatat penurunan prestasi secara mendadak sehingga terpaksa menghuni tangga keempat dalam kumpulan masing-masing.

Selangor di tangga keempat Kumpulan A selepas dua kali kalah dalam dua perlawanan terakhir iaitu 0-3 di tangan Negeri Sembilan dan dibelasah 2-5 oleh Terengganu.

Nasib yang sama dialami Kedah dalam Kumpulan B apabila sekadar mencatat satu kemenangan selepas empat perlawanan dan kalah sekali.

Status selaku naib juara Piala FA, kemerosotan Selangor menjadi tanda tanya apatah lagi menjadi pasukan paling banyak bolos dalam kumpulan iaitu 10 gol.

Namun, penyerang Selangor, Safee Sali berkata, dia tidak gusar dengan prestasi Selangor dan peluang ke suku akhir masih terbuka luas.

Katanya, Selangor cuma tewas dua perlawanan sedangkan banyak lagi perlawanan yang akan diharungi.

''Saya berharap Selangor akan kembali mencatat kemenangan pada perlawanan esok (hari ini) apabila beraksi dalam perlawanan terakhir pusingan pertama ke atas Melaka.

''Peluang ke suku akhir masih terbuka kerana apabila masuk pusingan kedua nanti, Selangor lebih banyak beraksi di tempat sendiri,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengenai dakwaan para pemain Selangor terkilan dan merosot moralnya gara-gara 'salam pengenalan' kurang enak selepas diambil alih pengurusan baru skuad itu, Safee enggan mengulas.

Cuma, katanya, walau apa pun ia bukan masalah besar dan sama sekali tidak menjejaskan semangat para pemain dalam memastikan Selangor terus cemerlang dalam kempen Piala Malaysia.

''Ia bukan isu bagi pemain. Fokus saya ialah mengembalikan sentuhan gol jika diturunkan pada perlawanan esok.

''Kali terakhir saya menjaringkan gol ialah ketika menentang Sarawak.

''Saya yakin jika para pemain mengembalikan kesungguhan untuk menang, Selangor akan kembali ke landasan kemenangan,'' katanya.

Kedah turut mengikut jejak kemerosotan mendadak Selangor apabila sekadar meraih lima mata daripada empat perlawanan dan kini di tangga keempat Kumpulan B.

Pasukan juara tiga kali musim lalu itu berdepan kesukaran untuk mencatat kemenangan apabila berdepan Johor FC di tempat lawan di Stadium J-Corp, Pasir Gudang, hari ini.

Skuad Kenari perlu berwaspada dengan ancaman Johor FC yang bertandang ke padang lawan tanpa rasa rendah diri.

Johor FC dijangka cuba mengambil kesempatan daripada kemerosotan prestasi Kedah sekarang.
Utusan Malaysia
-------------------------------------------------------------------------------------------------
- Dah dapat dua Piala.. Pastikan Piala Malaysia juga menjadi milik kita pada tahun ini..
- Kedah pantang kalah !!!

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin