Monday, July 7, 2008

Minyak Oh Minyak....

Ni lah keadaan di Petronas Tandop di Telok Bagan.. satu petang yang menghiuk pikukkan suasana kampungku....
Semasa artikel ini di tulis, saya yakin kesemua rakyat Malaysia sudah mengetahui dan telah merasai keperitan kenaikan harga minyak. Kenaikan yang mendadak harga petrol kepada RM2.70 se liter pada kadar 78 sen atau 41% dan minyak diesel RM1 kepada RM2.58 se liter telah menimbulkan keresahan di kalangan semua terutama mereka yang berpendapatan sederhana ke bawah. Hampir setiap tempat yang kita lalui samaada di warung-warung atau di pasaraya maupun di tempat kerja maka tidak ada yang lain melainkan rungutan tentang kenaikan petrol.

Mahu atau tidak inilah realiti yang kita hadapi dan inilah yang dikatakan pasaran global di mana harga sesuatu barangan tidak lagi ditentukan oleh pasaran tempatan tetapi oleh pasaran antarbangsa. Kemelesetan ekonomoi yang melanda Amerika Syarikat kini telah dirasai akibatnya oleh negara-negara lain terutamanya negara sedang membangun yang bergantung sebahgian besar ekonomi mereka kepada Amerika dan negara-negara barat.

Tahun Bulan Harga satu Tong (USD)

2001 Jan 29.59
2002 Jan 19.71
2003 Jan 32.95
2004 Jan 34.31
2005 Jan 46.84
2006 Jan 65.49
2007 Jan 54.51
2008
Jan 92.97
Feb 95.39
March 105.45
Jun 139.00

Kalau di lihat dari segi statistik, kenaikkan harga minyak ini telah berlaku hampir setiap tahun (lihat carta di bawah). Tetapi tahun 2008 ini kenaikannya begitu mendadak sehingga memaksa kerajaan menaikkan harga minyak negara walaupun dari aspek politiknya ia membawa kesan yang sangat negatif kepada parti pemerintah. Kenaikan ini didorong oleh permintaan yang semakin banyak manakala pengeluarannya masih terhad. Oleh sebab itu satu mesyuarat tergempar telah diadakan di Arab Saudi baru-baru ini di mana kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan untuk menambahkan pengeluaran sebanyak 500,000 tong sehari bagi membendung peningkatan harga ini.

Harga minyak memang perlu naik..namun kita mampu bertahan pada harga yang munasabah....
Sebenarnya kesan ini bukan saja dirasai oleh masyarakat negara ini tetapi seluruh dunia. Ini kita dapat saksikan bagaimana demonstrasi serta mogok telah berlaku secara besar-besaran di India, Cina, Eropah dan negara-negara lain. Tidak sukar untuk kita meramalkan bahawa perkara yang sama akan juga berlaku di negara ini seperti yang telah di uar-uarkan oleh pihak pembangkang yang bercadang untuk menganjurkan tunjuk perasaan 1,000,000 orang pada bulan Julai hadapan. Apa akan jadi jika harga pasaran minyak dunia meningkat kepada USD200 se tong???

Apakah akibat kenaikkan harga minyak ini?

Saya rasa tidak perlu saya berhujah dengan panjang lebar tentang akibat kenaikkan harga minyak ini. Pergi saja ke pasaraya-pasaraya atau kedai-kedai barangan, kita akan dapati makanan-makanan utama sudah melonjak tanpa batasan lagi. Kenaikan berkadar mengikut jenis barangan dari RM1 hingga RM10. Industri pembinaan antara yang akan terjejas begitu ketara. Cukuplah sekadar saya menyatakan beberapa implikasi melalui beberapa perkara berikut :-

- Kenaikkan harga makanan asas seperti tepung, beras, gula dan sebagainya.
- Beberapa projek mega yang dirancang sebelum ini mungkin akan terpaksa di tangguh antaranya RM1.3 billion Projek Monorail di P.Pinang dan RM5 billion projek pembekalan air dari Pahang ke Selangor.
- Ini akan mengakibatkan kadar inflasi dijangka akan naik kepada 5%-7%.
- Kadar elektrik rumah akan naik 18% manakala industri 26% pada Julai ini
- Bajet defisit akan meningkat kepada 6% - 8%
- MAS akan meningkatkan harga surcaj minyak
- DBKL telah mengumukan kenaikkan harga caj letak kereta dari 60 sensejam kepada 80 sen sejam

Semua naik..naik...dan naik.. yang turun hanyalah HUJAN...
Bukankah Malaysia negara pengeluar minyak?

Saya yakin ramai yang tertanya-tanya persoalan ini. Tak mungkin sebuah negara pengeluar minyak tidak dapat mengawal harganya. Kenapa tidak kita keluarkan untuk kegunaan sendiri? Bukankah itu dapat membantu rakyat.

Sekali pandang memang ada kebenarannya tetapi pada hakikatnya minyak yang dikeluarkan oleh Petronas sebahgian besarnya bukanlah untuk kegunaan tempatan tetapi sebaliknya dieksport. Minyak yang kita semua gunakan hari ini diimport kembali oleh negara kerana dari segi “economic of scale” ianya lebih menguntungkan kerana perbezaan harga eksport dan import begitu besar dan menguntungkan negara.

Adakah Petronas harus di salahkan?

Mengikut statistik, tahun 2007 saja Petronas telah menyumbangkan sejumlah RM53 billion atau 35% kepada pendapatan negara. Ini bukanlah jumlah yang sedikit. Ada juga berita-berita yang didengar bahawa minyak simpanan negara hanya akan mampu bertahan dalam masa 10 tahun saja lagi. Bolehkah negara ini terus mengekalkan ekonominya jika masa tersebut sampai nanti?

Satu perancangan rapi harus dilakukan. Sudah pasti Petronas tidak boleh menyumbangkan kesemua keuntungannya kepada kerajaan kerana ia juga harus melakukan pelaburan di negara-negara luar untuk mencari kawasan minyak yang baru dan ini memerlukan bukan jumlah wang yang sedikit. Walaupun Petronas dianggap syarikat minyak terkecil di dunia jika di bandingkan dengan Esso, Shell dan yang seumpamanya tetapi rakyat harus berbangga kerana Petronas telah berjaya mendapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda, pada tahun 2008 ini Petronas dijangka akan mendapat keuntungan sejumlah RM90 billion. Dari aspek ini kita rasakan sukar untuk kita menyalahkan Petronas.

Cuma walaupun Petronas mampu menunjukkan prestasi yang begitu baik namun ada juga suara yang mengkehendaki Petronas membentangkan akan perbelanjaan yang mereka buat secara terperinci. Apa yang dimaksudkan di sini ialah Petronas harus telus dalam pemberian kontraknya supaya rakyat tahu duit itu digunakan pada kadar yang benar bukan berlaku kronism. Pendedahan ini mungkin akan mampu menambahkan lagi keuntungan Petronas di masa hadapan dan duit keuntungan ini dapat di salurkan kembali kepada rakyat.


Kenapa kerajaan tidak boleh bagi subsidi?

Menurut pakar ekonomi, pada tahun 2007 kerajaan telah memberi subsidi minyak sejumlah RM45 billion pada masa harga petrol USD100 se tong atau 79% dari jumlah subsisdi keseluruhannya. Dengan kadar kenaikkan kepada USD130 se tong hari ini, jika harga petrol ingin dikekalkan maka kerajaan dijangka akan terpaksa mengeluarkan subsidi sejumlah RM60 - RM65 billion pada 2008.

Cuba kita semua bayangkan berapa banyakkah projek yang boleh dilaksanakan dengan jumlah wang RM60 billion ini? Sudah pasti ini akan memberi kesan kepada pembangunan negara jika kerajaan terus memberikan subsidi. Mungkin rakyat tidak sedar dan merasa selesa dengan budaya subsidi tetapi negara akan mengalami kemelesetan ekonomi yang boleh mengakibatkan kadar pertumbuhan yang perlahan.

Akibatnya mungkin tidak dirasai sekarang tetapi 20 tahun akan datang. Menyedari hakikat ini kerajaan telah mengawal jumlah subsidi dan dijangka hasil pengawalan ini akan menyebabkan kerajaan mampu untuk menjimatkan perbelanjaan sejumlah RM13.7 billion setahun. Jumlah penjimatan ini akan disalurkan kembali kepada :-

- RM7 billion untuk subsidi minyak
- RM4 billion untuk subsidi makanan
- RM1.5 billion untuk subsidi minyak masak
- RM0.4 billion untuk subsidi beras di Sabah & Sarawak
- RM0.3 billion untuk subsidi roti dan tepung

Kerajaan juga memperuntukan RM5 billion rebet untuk semua pembaharuan cukai jalan.
Masyuarat Ultraman sedunia pun tidak bersetuju kenaikan yang melampau..boleh naik jika memang tak dapat elak.. tapi naik dalam keadaan kewangan masih digunakan untuk perkara lain yang kurang berfaedah...
Apa yang kita minta kerajaan lakukan?

1. Ketelusan di dalam penggunaan dana kerajaan.

Menurut kajian yang dibuat oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pesoalannya bukanlah samaada bila subsidi ini harus diberhentikan atau tidak tetapi sebaliknya rakyat harus dimaklumkan secara telus tentang kemanakah duit ini dibelanjakan. Isu rasuah dan kronism atau nepotism dalam pemberian projek harus dihapuskan. Ini akan memberikan keyakinan kepada rakyat akan keperihatinan kerajaan kepada masaalah mereka.

Persoalannya, dalam sistem yang korup sekarang ini bolehkah perkara ini dilaksanakan? Ini yang sangat membimbangkan kita semua di mana yang kaya semakin kaya dan terus mengaut keuntungan manakala yang miskin akan terus merempat. Lambat laun akan berlakulah “disparity” (jurang) pendapatan yang ketara di antara golongan miskin dengan kaya seperti yang berlaku di negara jiran. Siapakah harus kita salahkan jika jenayah rompakan dan kecurian akan berlaku semakin berleluasa di masa hadapan jika ini tidak di bendung?

2. Memberhentikan Projek-projek pembaziran

Kerajaan harus berhemah dalam berbelanja terutama terhadap projek-projek yang tidak memberikan manfaat kepada rakyat secara langsung. Kalaulah boleh di ambil contoh terdapat beberapa projek yang dianggap tidak begitu mendesak seperti :

i. Membelanjakan RM500 juta untuk kompleks sukan di UK
ii. Membelanjakan RM17 juta untuk menganjurkan perlawanan bolasepak remaja
iii. Membelanjakan RM50 juta untuk projek angkasawani
v. Projek Monsoon Cup yang menelan ratusan juta
v. Pembinaan Perkampungan Islam Hadhari yang menelan lebih dari RM200 juta.

Walaupun ada sebahgian kita mungkin mengatakan projek-projek ini baik untuk imej negara tetapi kita harus ingat semua ini adalah merupakan duit cukai rakyat.

3. Pekej relief (pelepasan) yang komprehensif

Untuk mengurangkan bebanan rakyat, kerajaan harus menyediakan pakej pelepasan yang komprehensif, terutama kepada golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah. Pengumuman pemberian rebat kepada pembaharuan cukai jalan, sejumlah RM625 untuk kereta dan RM150 untuk motosikal, adalah satu yang sangat dialu-alukan tetapi sudah pasti ianya tidak cukup.

Rakyat sudah muak dengan umpan-umpan seperti ini seperti yang berlaku sebelum pilihnaraya yang lepas bila Menteri Pelajaran mengumumkan pengecualian yuran sekolah sedangkan yuran-yuran yang lain, yang jauh lebih tinggi, masih terus perlu dibayar. Rakyat kini bukan lagi seperti zaman 70-an atau 60-an yang boleh di momok-momok dengan kenyataan seperti ini lagi.

Kita sangat mengharapkan dalam Bajet 2009 nanti akan banyak lagi pakej pelepasan yang akan diberi bagi menampung bebanan rakyat, contoh: pengurangan kadar cukai pendapatan, pengurangan kadar cukai jalan, mengawal harga barangan asas dan lain-lain. Yang pasti kita akan pegang pada janji PM bahawa harga minyak tidak akan naik lagi dalam masa terdekat ini.



4. Mengkaji kembali kadar gaji minima

Tidak cukup dengan memberikan insentif, kerajaan mesti melihat kembali kadar gaji minima yang ada sekarang ini terutama pada yang berpendapatan rendah. Pemberian bonus, kadar kenaikan gaji tahunan, kelonggaran untuk kerja sampingan dan lain-lain lagi antara perkara yang kita harapkan kerajaan boleh pertimbangkan. Kerajaan harus juga melihat kembali Indeks Kadar Kemiskinan terutamanya penduduk bandar.

Menurut indeks ini seseorang itu dianggap miskin jika pendapatannya di bawah RM690 sebulan tetapi hari ini walaupun pendapatan mencecah RM1,000 sebulan, ia masih sukar untuk hidup selesa dengan kadar kenaikan harga yang mendadak.

5. Membaiki infrastruktur pengangkutan awam

Kerajaan harus menyediakan infrastruktur pengangkutan yang baik sebagai alternatif kepada masyarakat yang tidak mampu. Di Singapura walaupun harga minyak naik tetapi ia tidak merisaukan rakyatnya kerana sistem pengangkutannya yang baik yang menyebabkan mereka tidak perlu memandu ke tempat kerja.

6. Perbelanjaan yang berhemah dalam sistem pentadbiran Kerajaan

Adalah sangat melucukan apabila kerajaan menyuruh rakyat berjimat cermat dalam berbelanja dan menyesuaikan diri dengan kenaikan harga barang jika dalam masa yang sama kerajaan tidak mengambil langkah-langkah yang proaktif untuk mengawal perbelanjaan pentadbiran mereka. Elaun keraian, perjalanan untuk tugas-tugas rasmi, penginapan harus dilihat kembali.

Apa pula yang rakyat harus lakukan?

Secara umumnya rakyat semua mesti berhemah dalam berbelanja. Tidak ada erti jika kerajaan laksanakan semua langkah-langkah pemulihan jika rakyat sendiri tidak pandai menguruskan kewangan mereka. Memang mudah untuk menuding jari kepada satu pihak tetapi kita harus cermin diri sendiri samada kita telah merancang kewangan rumah kita atau tidak. Berapa banyak yang kita buat tabungan? Ada atau tidak perbelanjaan yang tidak perlu kita lakukan? Dan lain-lain persoalan lagi yang harus kita tanya diri sendiri.

Orang lain tidak boleh menyusun untuk diri kita tetapi hanya kita sendiri yang mampu menentukan masa depan hidup kita.
Sedikit olahan, tambahan dan juga gubahan dari link ini...

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin