Tuesday, July 15, 2008

Sekitar Berita dari Jelapang Padi 15 Julai

AHMAD BASRI MENINGGAL DUNIA
ALOR STAR: Bekas pengurus pasukan bola sepak Kedah, Datuk Ahmad Basri Akil (gambar) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di sini jam 3 petang tadi.
Beliau yang dipercayai mengalami serangan jantung, rebah ketika berada di Istana Anak Bukit untuk menghadiri majlis pelancaran stam Jubli Emas pemerintahan Sultan Kedah jam 2.30 petang sebelum dihantar ke hospital. Berusia 68 tahun, beliau adalah bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah. Beliau memimpin pasukan Kedah yang terkenal dengan jolokan Hijau Kuning apabila menjadi juara Piala Malaysia selepas 47 tahun pada 1990.
BERITA HARIAN
-------------------------------------------------------------------------------------------------
USTAZ AZIZAN BAKAL BERGELAR DATO SERI..
ALOR STAR 15 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak merupakan antara 72 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Najib akan dikurniakan Darjah Mahkota Kedah (DMK) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada istiadat penganugerahan yang dijadual berlangsung di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini esok.

Azizan yang mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah pada 9 Mac lalu selepas pakatan pembangkang menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, pula dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun mendahului senarai 72 penerima darjah dan bintang kebesaran itu apabila dianugerahkan Darjah Kerabat Halimi (DKH).

Anugerah tersebut turut dikurniakan kepada dua lagi kerabat Diraja Kedah iaitu Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tunku Anuar Sultan Badlishah dan Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.
UTUSAN MALAYSIA
-------------------------------------------------------------------------------------------------
UPAH TUAI PADI NAIK 30 %
ALOR STAR 14 Julai - Persatuan Usahawan Jentuai Kedah/Perlis (KICAI) akan menaikkan kadar upah menuai padi antara 25 peratus hingga 30 peratus serelung pada Musim 1 2008 yang bermula esok.

Presidennya, Md. Nor Hamzah (gambar) berkata, kenaikan itu diputuskan pada mesyuarat agung persatuan itu pada bulan lalu dengan mendakwa mereka terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi bagi menuai padi pada masa ini.

Menurut beliau, kadar upah baru yang diputuskan pada musim ini ialah RM120 serelung bagi kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), manakala di luar MADA pula sebanyak RM130 berbanding RM90 pada musim lalu.

"Pemilik mesin jentuai terpaksa menanggung kos yang besar bagi membeli minyak diesel dan penyelenggaraan mesin sedangkan kadar upah yang diterima tidak setimpal dengan modal dikeluarkan.

"Jadi, kenaikan kadar upah baru ini terpaksa dibuat kerana kami tidak mahu menanggung kerugian," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Md. Nor mendakwa, peningkatan kos operasi pada musim ini termasuk pembelian minyak diesel yang naik sebanyak 63 peratus; alat-alat ganti import (45 peratus); alat-alat ganti besi buatan tempatan (95 peratus); kos pengangkutan (52 peratus); upah pekerja (30 peratus) dan bateri (95 peratus).

Justeru, katanya lagi, berikutan peningkatan itu, pemilik mesin jentuai terpaksa menaikkan kadar upah berkenaan, lebih-lebih lagi apabila permintaan mereka untuk mendapatkan subsidi minyak diesel ditolak kerajaan.

"Kenaikan kadar upah ini juga dilihat bersesuaian berikutan keputusan kerajaan yang bersetuju menaikkan Harga Minimum Terjamin (HMT) padi daripada RM650 setan metrik kepada RM750 setan metrik baru-baru ini," ujarnya.

Menurut beliau, KICAI telah menghantar notis pembaharuan kadar upah itu kepada kesemua 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA supaya mereka mengambil maklum mengenai perkara berkenaan.

Katanya lagi, sebanyak 40 kain pemidang turut digantung selain mengedarkan 2,000 keping risalah kepada pihak-pihak yang terlibat.

UTUSAN MALAYSIA
-------------------------------------------------------------------------------------------------
JANGAN TERLALU "GOYANG KAKI"

JANGAN terlalu 'goyang kaki'. Itu peringatan daripada jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah kepada anak buahnya menjelang pertemuan dengan Sabah dalam saingan Kumpulan B bola sepak Piala Malaysia di Stadium Darulaman malam ini.
"Saya harap pemain tidak leka dan memandang mudah perlawanan ini, sebaliknya tampil memberi tumpuan serta komitmen yang tinggi," katanya.
Menurut Azraai, mereka tidak boleh lagi keciciran mata kerana saingan hanya berbaki tiga perlawanan lagi untuk menentukan tempa ke pusingan suku akhir. Jelasnya, walaupun perancang Skuad Kenari, Nelson Sam Martin tidak dapat diturunkan pada perlawanan itu selepas menerima tiga kad kuning namun masalah itu tidak akan menjejaskan rentak permainan Kedah.
"Kami sudah biasa turun gelanggang tanpa tonggak utama, jadi pemain tempatan seperti Sabree Abu yang akan digandingkan dengan Fauzi Shaari pasti mampu menghidupkan rentak permainan Kedah.
"Malah pemain juga tiada jalan lain selain memungut tiga mata penuh pada perlawanan itu memandangkan kami menghadapi laluan getir dalam saingan Piala Malaysia," kata Azraai ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Katanya, dia mungkin akan menggunakan percaturan yang sama seperti perlawanan lalu kerana persefahaman yang telah dihasil di setiap posisi cukup memberansangkan.Tambahnya, dengan komitmen yang ada pada pemain ketika ini, dia yakin pasukannya pasti dapat memeriahkan lagi hari sambutan Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan Sultan Kedah hari ini melalui kemenangan yang akan dihasilkan kelak.
KEDAHLANIE
-------------------------------------------------------------------------------------------------
- Segmen ini dibuat bukan untuk semangat ke negerian.. tetapi sebagai penghibur hati anak kedah yang jauh di seberang laut..

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin