Wednesday, July 16, 2008

Alu-aluan buat penuntut baru..


Assalamualaikum wtb Salam Perjuangan…

Seinfiniti kesyukuran dirafaqkan ke hadrat Allah swt. Selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw serta para pejuang agama Baginda.

Tahniah

Sekalung ucapan tahniah saya rakamkan buat para penuntut baru Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tun Abdul Razak di atas terpilihnya anda menjadi bakal guru dan bakal dilatih di Institut ini untuk tempoh 5 tahun akan datang.

Peluang sebegini haruslah dihargai dengan sebaik mungkin, daripada makluman saya, hampir 80 000 orang calon telah memohon untuk ditemuduga dan hanya 1/5 ditemuduga dan bagi IPGM kita andalah yang terpilih untuk mendaftar. Sekalung Tahniah diucapkan dan sama-samalah kita ikhlaskan niat untuk menuntut ilmu kerana Allah swt.


Bidang Mulia

Sesungguhnya bidang perguruan adalah bidang yang mulia. Profesion ini akan dikenang sehingga kita meninggal dunia jika kita berjaya menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya. Lebih penting lagi ini adalah merupakan salah satu peluang kita meneruskan perjuangan Nabi Muhammad saw. Nabi kita merupakan guru bagi sahabat2nya dalam pelbagai bidang. Nabi merupakan guru dalam bidang tafsir, guru bagi kehidupan bersosial, guru bagi kehiduapan berkeluarga bahkan Nabi juga merupakan guru bagi kepimpinan yang berkualiti.

Inilah tanggungjawab yang tersandar dan terbeban di atas pundak kita di mana perjuangan dalam memahamkan insan lain tentang erti hidup. Saidina Ali r.a pernah mengatakan “ untuk menyatakan kebenaran pada orang lain adalah mudah. Tetapi untuk memahamkan orang lain tentang makna kebenaran itu adalah sesuatu yang susah”. Dr Sidek Baba, bilamana ia ditanya tentang makna pendidikan, ia menyatakan pendidikan ialah sesuatu yang berkaitan tentang adab.

Maka saya merasakan di sini, profesion perguruan haruslah bertindak bukan sahaja melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan juga Plan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang baru dilancarkan sebelum ini, profesion perguruan juga haruslah merealisasikan hasrat agama iaitu untuk memahamkan insan mengenai kebenaran yang hak dan dalam masa yang sama menekankan soal adab sebagai pemangkin pembentukan peribadi modal insan yang luhur dan berpekerti mulia.
Pusat Pengajian Islam

Sesungguhnya pada kami yang telah lama di sini, Pusat Islam merupakan tempat bertemunya semua guru pelatih muslim yang ada di IPG ini. Pelbagai aktiviti dirancang dan disusun untuk memenuhi fitrah beragama kita semua di samping penambahbaikkan akan dijalankan dari semasa ke semasa untuk mewujudkan suasana tarbiah dan juga biah solehah di bumi IPG kita ini.

Aktiviti seperti solat jamaah, pengajian kitab dan diskusi Ilmu, usrah, aktiviti Muslimah, qiam secara berkala, ifthar jamae, latihan menyampaikan khutbah Jumaat dan pelbagai lagi adalah untuk membentuk keperibadian peribadi guru muslim. Guru, bilamana menyedari dan menghayati bahawa ia adalah Islam dan punya tanggungjawab untuk memahamkan pelajarnya tentang agama, maka ini akan menjadikan pula generasi yang memahami agama serta mengamalkannya akan makin bertambah.

Harapan

Menjadi harapan semua warga IPG ini, supaya guru pelatih baru akan dapat memberikan kerjasama yang wajar serta menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap aktiviti yang telah dirancang dan disusun di samping dalam masa yang sama, berilah peluang pada diri untuk dididik dengan nilai-nilai agama sebagai persiapan kita menjadi guru yang berwawasan dan beraklak Islamiah. Pilihan di tangan anda, pilihlah jalan yang lurus dan tidak merugikan anda. Tahniah untuk semua dan moga berjaya.

Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Pengerusi,
Jawatankuasa Pusat Pengajian Islam Peringkat Pelajar,
Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tun Abdul Razak,
Kota Samarahan.
- Dakwah Itu Perlu Hikmah -

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin