Monday, July 28, 2008

Bandar Terapung

Semalam sempat saya membelek-belek Harian Metro. Menarik sekali berita-berita di dalam akhbar ini. Tetapi saya agak tertarik berita berkenaan bandar terapung. Bandar terapung ini merupakan idea seorang arkitek bagi mengatasi masalah kenaikan paras air laut dunia dengan merancang membina bandar terapung yang mampu mengelilingi dunia.

Bandar terapung, Lilypad, bakal menjadi kediaman 50,000 penduduk dunia, termasuk London yang paling teruk dilanda krisis itu.

Kaji selidik terkini meramalkan, paras air laut akan meningkat sehingga 88 sentimeter atau kira-kira tiga kaki menjelang 2100 yang berkemungkinan besar bakal menenggelamkan kebanyakan pulau di Lautan Pasifik. Kenaikan paras air juga mengancam sebahagian besar kawasan rendah di persisiran pantai dan bandar besar seperti London, New York dan Tokyo.

Menurut Panel Perubahan Cuaca Antara Negara (IPCC), paras laut dunia dijangka meningkat antara sembilan hingga 88 sentimeter menjelang 2100 dengan anggaran purata pada 50 sentimeter.Ia berpunca daripada pemanasan global yang mencairkan ais di kutub. Di kebanyakan kawasan, kenaikan 50 sentimeter bakal menenggelamkan pantai dan juga sebahagian besar pesisiran pantai.

Kepulauan Pasifik seperti Tuvalu, Kiribati atau Maldives, kawasan paling tinggi hanya dua atau tiga meter daripada paras laut.Jika paras air meningkat 50 sentimeter, sebahagian besar kawasan tiga pulau ini akan ditenggelami air.Malah, jika ada bahagian tidak tenggelam sekalipun, penduduk pasti berdepan masalah air bersih kerana air laut yang masin pasti mencemari sumber air tawar.

Jutaan lagi penduduk dunia yang menetap di pesisiran pantai di selatan Asia seperti Pakistan, India, Sri Lanka, Bangladesh dan Myanmar berdepan masalah sama.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa apabila hampirnya kiamat, maka suhu bumi akan meningkat, kemudian di susuli dengan cairnya ais-ais di kutub utara. Apa yang dapat saya bayangkan, pada masa itu tiada lagi tempat untuk semua manusia bergantung melainkan pada amalan yang dikerjakan.

Mungkin kisah Nabi Nuh berulang kembali. Tetapi adakah semua yang berada di atas bandar terapung ini akan selamat? Sedangkan pada suatu masa dahulu Tokyo ada membina bangunan yang dapat terselamat dari gempa bumi. Tetapi pada akhirnya kekuasaan manusia tidak dapat melawan kekuasaan Allah, bangunan tersebut ranap menyembah bumi.

Sepertimana kisah Nabi Nuh a.s, Nuh menerima wahyu dari Allah:"Siap-siaplah engkau dengan kapalmu, bila tiba perintah-Ku dan terlihat tanda-tanda daripadaKu maka segeralah angkut bersamamu di dalam kapalmu dan kerabatmu dan bawalah dua pasang dari setiap jenis makhluk yang ada di atas bumi dan belayarlah dengan izin-Ku."

Kemudian tercurahlah dari langit dan memancur dari bumi air yang deras dan dahsyat yang dalam sekelip mata telah menjadi banjir besar melanda seluruh kota dan desa menggenangi daratan yang rendah mahupun yang tinggi sampai mencapai puncak bukit-bukit sehingga tiada tempat berlindung dari air bah yang dahsyat itu kecuali kapal Nabi Nuh yang telah terisi penuh dengan para orang mukmin dan pasangan makhluk yang diselamatkan oleh Nabi Nuh atas perintah Allah.

Dengan iringan"Bismillah majraha wa mursaha"belayarlah kapal Nabi Nuh dengan lajunya menyusuri lautan air, menentang angin yang kadang kala lemah lembut dan kadang kala ganas dan ribut. Di kanan kiri kapal terlihatlah orang-orang kafir bergelut melawan gelombang air yang menggunung berusaha menyelamat diri dari cengkaman maut yang sudah sedia menerkam mereka di dalam lipatan gelombang-gelombang itu.

Tatkala Nabi Nuh berada di atas geladak kapal memperhatikan cuaca dan melihat-lihat orang-orang kafir dari kaumnya sedang bergelimpangan di atas permukaan air, tiba-tiba terlihatlah olehnya tubuh putera sulungnya yang bernama "Kan'aan" timbul tenggelam dipermainkan oleh gelombang yang tidak menaruh belas kasihan kepada orang-orang yang sedang menerima hukuman Allah itu. Pada saat itu, tanpa disadari, timbullah rasa cinta dan kasih sayang seorang ayah terhadap putera kandungnya yang berada dalam keadaan cemas menghadapi maut ditelan gelombang.

Nabi Nuh secara spontan, terdorong oleh suara hati kecilnya berteriak dengan sekuat suaranya memanggil puteranya:Wahai anakku! Datanglah kemari dan gabungkan dirimu bersama keluargamu. Bertaubatlah engkau dan berimanlah kepada Allah agar engkau selamat dan terhindar dari bahaya maut yang engkau menjalani hukuman Allah." Kan'aan, putera Nabi Nuh, yang tersesat dan telah terkena racun rayuan syaitan dan hasutan kaumnya yang sombong dan keras kepala itu menolak dengan keras ajakan dan panggilan ayahnya yang menyayanginya dengan kata-kata yang menentang:"Biarkanlah aku dan pergilah, jauhilah aku, aku tidak sudi berlindung di atas geladak kapalmu aku akan dapat menyelamatkan diriku sendiri dengan berlindung di atas bukit yang tidak akan dijangkau oleh air bah ini."

Nuh menjawab:"Percayalah bahawa tempat satu-satunya yang dapat menyelamatkan engkau ialah bergabung dengan kami di atas kapal ini. Masa tidak akan ada yang dapat melepaskan diri dari hukuman Allah yang telah ditimpakan ini kecuali orang-orang yang memperolehi rahmat dan keampunan-Nya."Setelah Nabi Nuh mengucapkan kata-katanya tenggelamlah Kan'aan disambar gelombang yang ganas dan lenyaplah ia dari pandangan mata ayahnya, tergelincirlah ke bawah lautan air mengikut kawan-kawannya dan pembesar-pembesar kaumnya yang durhaka itu.

Daripada kisah Nabi Nuh a.s ini,maka kita dapat ambil beberapa pengajaran, antaranya manusia tidak dapat memberi hidayah kecuali Allah sahaja yang mampu memberikan hidayah pada manusia. ”Innaka la tahdi man ahbab ta walakinnaAllah ayahdi manyasyak”. Kemudian kita bayangkan bahawa bukit yang tinggi(Lillypad) dapat menyelamatkan, tetapi keimanan pada Allah sahajalah yang mampu mengatasi segalanya.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
- Satu kajian dan analisis daripada sahabat saya Akh Amin (MPP UM)
-Lihat ilustrasinya teringatkan komik yang menjadi tumupan ramai satu ketika dahulu, "DEWATA RAYA"
- Namun perhalusi mesej kebergantungan pada Allah yang cuba disampaikan melalui artikel ini.

- Dakwah Itu Perlu Hikmah -
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 29 Julai

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin