Tuesday, July 8, 2008

Ummah diminta kukuh perpaduan

Ketepi perbezaan politik demi agama: PM
JITRA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mahu umat Islam meningkatkan usaha ke arah mengukuhkan perpaduan dan penyatuan ummah tanpa mengira perbezaan fahaman politik supaya dapat mengangkat martabat agama. Beliau berkata, peranan membina kesatuan ummah adalah tanggungjawab setiap umat Islam dan usaha itu perlu dilakukan secara berterusan.

“Kita perlu menyedari pentingnya keperluan meningkatkan perpaduan dan penyatuan ummah. “Usaha yang berterusan perlu dilakukan bagi mencapai hasrat yang murni ini walaupun kita berbeza pendapat atau politik, tetapi jangan sampai ia menjadi penghalang kepada menjaga kepentingan ummah. “Marilah kita bersatu terhadap perkara asas iaitu mempertahankan syiar Islam dan mengangkat martabat bangsa,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-51 di Dewan Wawasan Jitra, di sini, malam tadi.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdulah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu. Seramai 14 qari dan 13 qariah akan memperdengarkan bacaan pada tilawah yang akan berlangsung sehingga Jumaat ini. Pada malam ini qariah dari Selangor, Nor Faizah Panut; qari dari Kedah, Yusri Abdul Rahim dan qari dari Wilayah Persekutuan, Amirahman Abas memperdengarkan bacaan.
Abdullah berkata, dengan perpaduan yang kukuh itu umat Islam akan dapat menghadapi pelbagai cabaran dan mampu meneruskan kehidupan dengan selesa dan tidak ragu ketika menghadapi sebarang kemungkinan. Perdana Menteri juga berkata, umat Islam hendaklah menjauhkan diri daripada sifat mazmumah supaya ia dapat mengurangkan sengketa, dan perasaan iri hati.

Beliau juga mengajak umat Islam di negara ini, supaya meningkatkan daya juang supaya sentiasa menjadi contoh.
BERITA HARIAN
-------------------------------------------------------------------------------------------------

JITRA 7 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa umat Islam mengenepikan sebarang perbezaan pendapat dan fahaman politik serta bersatu dalam membina kekuatan bangsa dan meningkatkan lagi syiar Islam.

Beliau berkata, menerusi perpaduan, umat Islam akan dapat menghadapi segala cabaran yang timbul termasuk membetulkan pandangan negatif musuh Islam yang menggambarkan umat Islam sebagai mereka yang suka keganasan dan tidak suka keamanan.

"Kita haruslah berusaha untuk menjana dan membina umat Islam yang tinggi mutunya dan saya percaya satu-satunya jalan yang baik untuk mencapai usaha itu ialah dengan kembali ke jalan yang di redhai Allah SWT.

"Usaha menghayati ajaran al-Quran haruslah menjadi budaya berterusan supaya umat Islam dapat menjauhkan diri daripada sikap mazmumah, jauhkan diri dari persengketaan dan iri hati sesama umat Islam", kata beliau ketika merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Kebangsaan Ke-51 di sini hari ini.


Beliau berkata, umat Islam juga haruslah menghayati ajaran al-Quran dan menjauhi diri daripada fahaman hendoisme serta terperangkap dalam angan-angan yang berpanjangan.

Abdullah berkata, semua umat Islam harus membina kekuatan mental dan fizikal dalam usaha menegakkan syiar Islam dengan menguasai semua bidang ilmu dan kepakaran.

"Kita harus mempunyai kekuatan untuk menjadi umat yang dihormati supaya Islam tidak dipandang sebagai mundur, miskin dan tidak baik dan kita juga tidak mahu menjadi golongan yang menimbulkan kerosakan di muka bumi ini," kata beliau.

Katanya, untuk menjadi umat yang dihormati, umat Islam haruslah mempunyai sikap jujur, ikhlas, berdedikasi dan berbaik sangka.

"Menerusi perpaduan yang kuat, umat Islam mampu menjadi perancang dalam pembangunan dan membuktikan bahawa pandangan kononnya Islam itu mundur adalah tidak betul," kata beliau.

Perdana Menteri juga meminta umat Islam di negara ini supaya mengatasi masalah kenaikan harga barang dengan berjimat dalam perbelanjaan tetapi tidak pula pula kedekut untuk berbelanja.

"Dalam al-Quran, Islam telah mengajar kita untuk hidup dalam cara yang sederhana iaitu tidak membazir dan tidak juga kedekut", katanya.

Majlis Tilawah al-Quran itu akan berlangsung selama lima hari.

UTUSAN MALAYSIA

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin