Sunday, October 26, 2008

Pengalaman bersama Kedah julang Helmi

SELEPAS dua musim beraksi cemerlang bersama Kedah dalam saingan Liga M, Helmi Eliza Elias kini membuktikan kemampuannya di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan di Pestabola Merdeka.

Walaupun beraksi di kejohanan pertamanya selaku penjaga gol utama kebangsaan, kemampuan Helmi memastikan gawang negara tidak dibocori membuktikan kematangannya beraksi di peringkat lebih tinggi.

Namun, dia menganggap kemampuan beraksi dengan baik adalah kerana dorongan yang diberikan pemain-pemain di posisi pertahanan terutamanya bek tengah, Norhafiz Zamani Misbah.

“Saya beruntung sebenarnya kerana mempunyai rakan senior berpengalaman seperti Norhafiz dalam pasukan, dia banyak memberi sokongan kepada saya ketika waktu tertekan dalam permainan dan ia membolehkan saya bermain tanpa tekanan.

“Norhafiz dan juga Aidil (Zafuan Abdul Radzak) turut kerap berkomunikasi dengan saya di atas padang dan ini memudahkan saya mengawal benteng kerana ia mirip seperti persefahaman saya bersama Bernard (Hugging) dalam skuad Kedah, ” kata Helmi.

Helmi sudah biasa menjulang pelbagai kejuaraan dalam saingan Liga M bersama Kedah, tetapi kini dia mahu mula melakar kejayaan bersama skuad kebangsaan dalam usaha membantu memulihkan semula imej bola sepak negara di peringkat antarabangsa.

Daripada seorang penjaga gol simpanan dalam skuad Kedah pada 2004, Helmi kemudian menunjukkan kemampuannya selaku penjaga gol utama Hijau Kuning sejak dibimbing bekas penjaga gol utama negara dan Kedah, Ahmad Sobri Ismail pada 2005.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin