Thursday, October 9, 2008

Kedah rahsia muka baru

ALOR STAR - Selepas terpaksa melupakan khidmat pemain import yang membantu Kedah menjulang tiga kejuaraan sekali gus sejak dua musim lalu, Sang Kenari kini mengintai sekurang-kurangnya tiga muka baru bagi mengisi kekosongan posisi yang ditinggalkan mereka.

Tiga pemain berkenaan yang masing-masing merupakan bekas pemain Selangor, Perak dan Kelantan itu dikatakan mampu memainkan peranan penting untuk membantu Kedah dalam usahanya untuk mempertahankan kejuaraan yang diraih sebelum ini.

Utusan Malaysia difahamkan, ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah sedang melamar bekas penyerang Selangor bagi mempertajamkan bahagian serangannya berikutan ketiadaan Marlon Alex James.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan pemain kebangsaan itu dikatakan masih 50-50 kerana Hijau Kuning perlu bersaing dengan pasukan Brunei yang dilaporkan turut memburu khidmatnya.

Bagi mengisi kekosongan di bahagian tengah yang ditinggalkan oleh Nelson Sam Martin, Mohd. Azraai dikatakan berminat memikat seorang pemain berpengalaman yang pernah beraksi untuk pasukan Perak di posisi berkenaan.

Ketiadaan Benard Hugging di posisi pertahanan turut mendorong ketua jurulatih Kedah itu memancing seorang pemain muda dari pasukan Kelantan.

Mohd. Azraai ketika dihubungi, semalam belum mahu mendedahkan pemain yang akan menyertai pasukannya kerana perbincangan sedang dilakukan dengan mereka.

"Kami sudah membuat tawaran kepada pemain-pemain baru yang dipercayai mampu menguatkan pasukan Kedah dan kini ia di peringkat akhir perbincangan. Jika semuanya berjalan lancar, mereka dijangka mengikat kontrak pada minggu depan," katanya.

Beliau berkata, Kedah tidak akan terburu-buru memancing pemain baru kerana pemain sedia ada dalam pasukan berkenaan juga berwibawa dan mempunyai kualiti seperti yang dibuktikan mereka pada musim-musim lalu.

Pada masa sekarang, katanya, dia sedang berbincang untuk menyambung kontrak pemain-pemain berkenaan dan berharap ia akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Utusan Malaysia

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin