Sunday, October 19, 2008

Menyantuni keluarga mangsa ISA menjelang Aidilfitri

"BOLEH kita ke Negeri Sembilan esok, sampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa ISA dan kalau larat ke Johor ..."

Aduhai, serba salah tatkala menerima SMS Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman, lewat malam 27 September lalu. Maklumlah saya sedang bersiap-siap mengemas untuk pulang ke kampung...nak raya sakanlah katakan. Ish! Tak boleh ke tunggu lepas raya hulurkan dana, bebel hati saya.

Seperti memahami resah saya, tidak semena-mena Lutfi menghubungi menjelaskan keadaan dengan berkata: "Ada yang tak bernasib baik, raya mereka tak sama macam kita ... lagi pun ramai penyumbang amanahkan kepada Harakah dan Harakahdaily, sampaikan sumbangan kepada mereka sebelum Hari Raya."

Terkedu seketika, dan keriangan saya yang memuncak tadi dicantas cerita sedih keluarga malang yang mendapat musibah akibat ISA, akta zalim yang tidak bermata, berjiwa dan berperikemanusiaan itu.

Akur dengan permintaan, lantas tiga hari menjelang Aidilfitri, pada Ramadan yang ke-28, selepas bersahur dan menunaikan solat subuh, kami (saya dan Lutfi) berangkat menuju ke Serting, Negeri Sembilan bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan sebelum Hari Raya ... sekurang-kurangnya dana diterima, buat pengubat duka dan meringankan beban seketika.
Dalam perjalanan dua jam itu, Lutfi 'membasuh' saya akan erti nilai-nilai keinsafan dan pengajaran pengalaman pahit yang dilalui oleh orang lain.

Beliau menceritakan kembali serba kepayahan yang menyesakkan dada, beberapa keluarga mangsa ISA yang ditemui di Sandakan, Sabah pertengahan Ramadan lalu, bersama rakan wartawan Anis Nazri dan jurufoto Wan Zahari.

Ya ... bayangkanlah anda sama ada sebagai guru, penoreh getah, peniaga, anggota polis, wakil rakyat mahupun bergelar menteri, tidak akan sanggup melalui ujian 'maha hebat' ...dipisahkan daripada insan tersayang, ada yang selama tujuh tahun.

"Usahkan lapan tahun, lapan jam tak bertemu anak pun kita dah rasa gelisah ... tapi tergamak kerajaan mendera jiwa dan perasaan mereka. Ada kalangan anak yang mengalami kemurungan dan gangguan mental sehingga dihantar ke pakar jiwa," cerita Lutfi kepada saya yang memandu laju.

Kebetulan melalui Kuala Pilah, saya meminta izin Lutfi untuk singgah sebentar di Mahad Ittiba As-Sunnah, sebuah madrasah di mana suatu ketika dahulu saya pernah menuntut ilmu Harfiah (menterjemah al-Quran) dan mendalami pengetahuan agama selama setahun.

"Kebetulan mak saya juga tinggal sendirian di sini ... jadi nak jumpa kejap," kata saya. Selesai melepaskan rindu kira-kira 20 minit dengan ibu yang tercinta yang sudah sebulan tidak bertemu, kami meneruskan perjalanan selama setengah jam ke pekan Bahau untuk bertemu rakan wartawan Wan Nordin Wan Yaacob yang pada ketika itu sedang membantu ayahnya berniaga sayur di pasar berdekatan.

Dia menjadi 'penunjuk jalan' kepada kami ke rumah keluarga mangsa ISA di Serting. Tatkala bertemu Nordin, beliau dengan wajah sedikit kerut bersuara: "Tuan, keluarga tu dah balik ke kampung mentua di Keratong, Pahang ... aaa kalau nak saya tunjukkan jalan, bolehlah."

Tanpa banyak cerita, Lutfi menyanggupi lantas meminta saya mengekori Nordin dan memandu selama dua jam lagi ke Pahang demi mencapai tujuan asal misi.

Tekak cukup kering, mata seakan kuyu dibakar terik mentari pagi. Dalam hati rasa nak guna sahaja 'fatwa musafir' iaitu berbuka puasa kerana perjalanan yang jauh, tapi berjaya bertahan dan tak terluah pada Lutfi. Malulah ... budak-budak pun boleh puasa.

Tiba di Keratong Lima, Halimah Ishak, 46, dan bapa mentuanya yang dikenali sebagai 'Pak Anjang' menyambut kedatangan kami dengan penuh santun.

"Ini masuk tahun ke-7 suami Akak ditahan ISA. Selama itulah saya menyara lapan orang anak dengan menjual air soya," luah Halimah, isteri kepada tahanan Mohammad Khider, 43.

"Anak-anak akak yang kecil, hari-hari tanya bila ayah pulang. Tak sampai hati nak mendengarnya," sambungnya lagi dengan nada lebih pilu manakala bapa mentuanya sebak dan mengalirkan air mata mengenangkan kesempatan untuk bertemu semula anaknya di sebalik usia senjanya itu.

Pak Anjang, atau nama sebenarnya Kadran Mohamad, 85 tahun, bersembang dengan Lutfi tentang pengalaman hidup ditangkap polis semasa negara belum merdeka atas kesalahan amat kecil - terlupa memberhentikan basikal ketika melalui hadapan balai polis.
"Semuanya kehendak Allah. Dulu saya ditahan kini anak pula. Saya reda atas ketentuan Ilahi," katanya yang juga peminat setia Harakah. Ralit berbual, saya memintas dengan rasa bersalah untuk berundur diri kerana perjalanan kami masih jauh ke selatan tanah air.

Sebelum berangkat, Lutfi menyampaikan amanah penyumbang kepada Halimah sejumlah RM2,000 beserta duit raya kepada anak-anak beliau yang masih bersekolah.

Tepat jam 12.15 tengah hari, dari Keratong kami mengorak langkah ke Air Hitam, Johor untuk bertemu wartawan Salman Hussin dalam usaha untuk bertemu dua keluarga lagi yang telah menerima musibah yang sama si bapa merengkok tujuh tahun di bilik kurungan, kem Kamunting, Taiping, Perak.

"Memalukan saya sebagai orang Taiping sahaja ... asal sebut ISA sahaja, orang akan ingat bandar ni," kata saya pada Lutfi yang sedang merenung jauh di sisi cermin kereta. Barangkali cuba menyelusuri liku-liku keperitan yang dialami mangsa dan keluarga ISA.

Beliau begitu faham malah lebih dari itu. Kebetulan Lutfi adalah mangsa dan bekas tahanan ISA pada akhir 80-an.

"Duhai ... bonda, duhai ayahanda. Dengarlah rayuan anak anakanda ... yang jauh di mata. Tanpa kusedari, air mataku mengalir ..." lirik lagu kumpulan Exits yang berkemundang di radio kereta saya mengusik kalbu seketika.

Sesekali lagu raya menggamit nostalgia apatah lagi tatkala menjelma lebaran pada saat dirampas dan dipisahkan kasih sayang bertahun lamanya.

Melihat kiri kanan jalan raya, suasananya agak lengang. Mungkin sudah ramai yang pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga tercinta. "Orang di Johor dah mula berangkat pulang, yang kita datang ke sini pula ... terbalik kot nampaknya," kata saya yang cuba menghilangkan sedikit kepeningan kerana memandu terlalu lama.

Jam 2.00 petang kami tiba di sisi kiri jalan di Pekan Ayer Hitam tatkala melihat Salman yang sudah menunggu kami dan tanpa membuang masa, saya pun melakonkanlah aksi kepenatan yang melampau untuk meraih simpati.

"Aaah, dah tau dah. Asal datang Johor je, akulah yang kena memandu. Tak pe, tak pe, tidurlah dulu," kata Salman bergurau. Kecil tapak tangan, padang golf saya tadahkan, kata saya sambil melabuhkan badan di belakang kereta.

Salman memandu selama dua jam lagi dan kami tiba di rumah keluarga Dr Abdullah Daud, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Skudai jam 4.45 petang, lewat Asar.

Isteri beliau, Zakiah Mat dan empat anaknya menyambut kedatangan delegasi Harakah dengan rasa sedikit segan dan silu. Manakala tujuh anaknya tidak berada di rumah.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Ketua Pemuda dan Ketua Muslimat PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Athiah Ahmad bersama AJK Perhubungan PAS negeri, Arbiah Kasman.

"Suami dan menantu saya ditahan pada Januari 2002 sebelum menunaikan solat subuh. Rumah kami digeledah sementara kami sekeluarga diarah duduk di anjung rumah bersama anak-anak yang lain," kata Zakiah menceritakan trauma enam tahun lalu.

Wajahnya yang kelam dan tunduk ketika ditemu bual, menzahirkan segala kesusahan yang dirasai. Menampung kehidupan, isteri bekas pensyarah ini membuat dan menjual kuih 'tepung pelita' sekitar kawasan perumahannya.

"Mujurlah ada juga jiran yang bersimpati. Mereka hantar anak-anak mereka untuk saya jaga dan dengan cara itu mereka beri bantuan dana sedikit sebanyak," katanya yang tidak bercadang untuk melawat suaminya atas faktor kewangan.

"Mana-mana anak yang dah besar dan mampu, mereka pergi sendiri melawat ayah mereka di Taiping. Saya kena teruskan kehidupan dan tampung perbelanjaan keluarga seharian di sini," katanya menahan air matanya tumpah.

Sambil mewancara, saya menunjukkan keratan Harakah lalu kepada Zakiah, kisah sama menimpa sebuah keluarga di Simpang Durian, Negeri Sembilan yang meruntun hati, dengan tajuk, "Acik, bawa ayah balik ya." Kalimah itu masih terngiang-ngiang lagi di benak saya.

Hampir sejam menyantuni keluarga ini, Khairul dan Athiah menyampaikan sumbangan orang ramai dan PAS Johor kepada keluarga Abdullah ini, disusuli Lutfi mewakili Harakah menghulurkan jumlah yang sama seperti keluarga di Negeri Sembilan tadi.

"Ini program yang kami lakukan setiap kali menjelang lebaran dan perkembangan keluarga mangsa sentiasa kami pantau dari semasa ke semasa dan kita sentiasa memberi sokongan moral dan material kepada mereka khususnya mengenai pendidikan anak-anak," kata Ketua Pemuda PAS Johor itu.

Sambung Athiah pula: "Semoga suaminya dibebaskan segera. Saya tahu perasaan ditinggalkan dan dipisahkan sebab saya sendiri sudah ketiadaan suami yang meninggal dunia empat tahun lalu. Perit, pilu dan sedih ... semuanya bercampur-baur, janganlah aniaya wanita seperti yang berlaku kepada Zakiah ini."

Selesai menyempurnakan amanah, kami meluncur laju selama dua jam lagi ke Kampung Sungai Tiram di Ulu Tiram Johor untuk bersua dan menyelami keluh gelisah sebuah keluarga dua beranak yang terpisah daripada suami dan ayah selama tujuh tahun kerana dituduh menyertai Gerakan Jemaah Islamiyah - tuduhan yang sama ke atas suami Halimah dan Zakiah.

"Kalau tuduh, bawa ke mahkamah dan kalau salah dihukum. Bukannya dicap sebagai bersalah selama-lamanya macam ini, sampai kadang-kadang orang pulau dan anak-anak jadi tertekan," getus Lutfi pada Salman dengan nada sedikit marah. Mungkin sebab letih dan lapar agaknya, bisik hati saya.

Berada di belakang kereta, saya sambil beralaskan setimbun akhbar Harakah dan beberapa buku '20 tahun Harakah' sebagai 'bantal' mamai dibuai mata yang amat mengantuk, antara dengar dan tidak perbualan hangat kedua-dua mereka di depan kereta.

"Amacam selebriti kita, Azhan. Juara Akademi Nasyid tu ada call kah?" saya bersuara mengusik Salman.

"Alaa ... orang terkenal dan dah mula sibuk, manalah sempat jumpa kita," kata Salman bersuara ala-ala merajuk.

Ya, saya dan Lutfi pernah bertemu Azhan dan Salman awal tahun 2007. Ke mana sahaja Salman pergi, di situlah Azhan mengiringi.

Ketika itu Azhan, berbaju merah Unit Amal sedang bersiap-siap nak membantu mangsa banjir besar di Johor. Dalam kekurangannya dan penglihatan yang kabur, masih setia membantu golongan yang susah dan dilanda bencana.

Malu juga, orang kurang upaya boleh menandingi orang seperti saya yang segar-bugar dalam hal-hal kemanusiaan.

Belum sempat nak melayan mata dan melempar mimpi siang hari, kereta terasa terhenjut-henjut dan tersagat.

Rupanya perjalananan kami melalui kawasan ladang sawit yang berbongol dan becak menuju jauh di pedalaman ke Kampung Sungai Tiram. Turut mengiringi kami, aktivis PAS Tebrau, termasuk Yang Dipertuanya, Roslani Sharif.

Tepat jam 6.15 petang, isteri mangsa akta kejam, Saodah Matin, 26, menjemput kami ke ruang tamu setibanya kami di rumahnya manakala anaknya Hawa Baraah Zakaria, 7, kelihatan canggung dan takut-takut. Tangannya tak lekang dari jemari ibunya itu.

"Maafkan saya. Anak saya ini agak takut-takut sejak penahanan ayahnya itu sehingga dia merasakan ada orang nak memisahkan antara saya dan dia.

"Malah jika saya keluar atau mengajar, dia sangkakan yang saya nak tinggalkan dan membenci dirinya. Dulu dia salahkan ayah kerana tinggalkan dia ...," jelas Saodah yang kelihatan tenang dari raut matanya.

Akibat daripada trauma dan ketakutan yang amat sangat, Hawa tidak pernah bersekolah sedangkan rakan sebayanya sudah berada di dalam darjah satu. Tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran, Saodah mengupah guru mengajar di rumahnya dengan bayaran RM200 sebulan.

"Saya sendiri tidak bekerja sebab anak takut nak berpisah. Ayah, mak, jiran dan rakan-rakanlah yang banyak membantu menyara mana yang mampu keperluan kami ini," katanya yang masih terkenang hari penangkapan suaminya itu di Kota Bharu Kelantan, seminggu selepas Hari Raya pada Disember 2002.

Jika diizinkan, beliau akan menemui suaminya, Zakaria Mat di Kamunting pada Hari Raya kedua, bagi mengelak kesibukan Aidilfitri termasuk kesesakan kenderaan di jalan raya.

Tidak mahu membuai perasaan dengan lebih lama dan menambahkan sayu di dada, tambahan pula waktu menghampiri waktu berbuka, Lutfi beserta beberapa pimpinan PAS kawasan menghulurkan bantuan keperluan dapur dan dana mangsa ISA.


Sejumlah RM2,000 hasil simpati orang ramai yang menyumbang wang secara 'online' ke tabung ISA di laman web Harakahdaily dihulurkan.

"Terima kasih banyak-banyaklah Harakah dan PAS kerana banyak membantu kami sekeluarga," celah ibu Saodah yang terharu dengan kepulangan kami dan kami terus ke bandar berdekatan seraya dijemput pimpinan kawasan untuk sama-sama berbuka puasa.

Selesai menjamu selera, ada yang meminta kami tidur semalam dan hadir ke beberapa program PAS keesokan harinya namun sempat disambut dan ditolak Lutfi dengan nada mengusik saya.
"Aaaii, kacau nanti, Azamin terpaksa raya di Johor pulak. Dia ni sibuk nak balik kampung sangat dah ..." kata Lutfi disambut ketawa semua.

Beransur pulang kami singgahkan Salman di Ayer Hitam dan meneruskan pemanduan semula ke Kuala Lumpur.

Di pertengahan jalan, saya bersuara: "Tuan, kita berhenti di hentian rehat lebuh raya sekejap."

"Kenapa?" tanya Lutfi lantas tanpa segan saya menjawab: "Lapar ..."

"Macam mana nak berjuang kalau macam nih?" kata Lutfi bergurau lalu berhenti di hentian Pagoh dan jam 11 malam kami masih di Johor lagi.

Setelah mengisi tangki perut, mata menjadi semakin terang, fikiran kembali lapang, saya tanpa lengah memecut laju.

Ketika tiba di Kuala Lumpur kira-kira jam 2.00 pagi, telefon bimbit Lutfi berdering, lantas menjawab panggilan lewat itu.

"Awak tinggalkan saya di sini. Ada orang nak jumpa sekarang, nak bagi sumbangan ISA lagi. Mereka nak saya sampaikan sebelum Hari Raya dan ada yang khusus untuk keluarga tertentu," kata Lutfi lantas saya memberhentikan kereta di kawasan sekitar Ampang.

"Azamin ... kita tak tahu lagi ujian dan bahagian kita. Orang lain taklah sesenang kita dan kita dah tengok sengsara dan derita orang, giliran kita entah macam mana.

"Nak bantu cara lain tak daya dah ... selagi mampu kita tolonglah dengan cara macam ini," kata Lutfi sambil menutup pintu kereta dan lafaznya itu berbekas dan 'menikam' hati saya yang meninggalkan beliau 'meneruskan' perjuangan misi bantuan kemanusiaan walaupun kepenatan dan sayu Aidilfitri sudah menggamit jiwa.
Sumber :- di sini..
------------------------------
*Mohd Nazmi merupakan salah seorang penentang kepada apa jua unsur mahupun undang-undang yang punya warna zalim di dalamnya. Saya bertanggungjawab pada artikel ini demi menentang kezaliman di bumi Allah ini !!!
------------------------------

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 19 Oktober 2008

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin