Sunday, October 12, 2008

Mufti Perlis tamat kontrak 30 November

KANGAR 11 Okt. - Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (gambar) mengesahkan beliau telah membuat keputusan untuk tidak melanjutkan khidmat sebagai Mufti Perlis apabila kontraknya tamat 30 November ini.

Beliau berkata, ia bagi membolehkannya melanjutkan pengajian selama enam bulan mengenai Islam dan hadis di United Kingdom sebelum kembali berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia (USM).

Mohd. Asri turut menafikan keputusan itu berikutan tekanan mana-mana pihak kerana beliau bukan orang yang mudah tunduk kepada sebarang tekanan.

"Keputusan ini atas pilihan saya sendiri. Kalau ada tawaran kerajaan negeri untuk teruskan khidmat, saya ucapkan terima kasih,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Mohd. Asri, 37, berkata, keputusannya itu juga bagi memberi ruang kepada orang baru menjadi mufti negeri.

Ditanya sama ada beliau mempunyai masalah dengan kerajaan negeri, katanya:

"Seperti yang ditulis dalam beberapa blog dan laman web, kerajaan negeri tiada masalah dengan saya. Kebenarannya ialah saya mahu berhenti."

Mengenai khidmatnya selama dua tahun di Perlis, beliau merasakan telah menabur banyak idea dan cadangan yang diterima baik oleh kerajaan negeri.

"Malah beberapa idea saya juga menjadi isu nasional tetapi sekarang saya perlu fikirkan masa depan saya pula," katanya.

Mohd. Asri berkata, keputusannya itu telah disampaikan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dalam pertemuan dengan baginda baru-baru ini.

"Tuanku meminta saya menangguhkan hasrat itu tetapi saya sudah ada perancangan yang telah disusun," katanya.

Kontrak Mohd. Asri akan tamat pada 31 Oktober ini tetapi setelah diminta oleh Raja Perlis, beliau bersetuju untuk melanjutkannya sehingga 30 November.

Katanya, Raja Perlis turut meminta beliau mencadangkan nama penggantinya.

"Saya telah mencadangkan dua nama kepada Tuanku iaitu seorang dari Majlis Fatwa Perlis dan seorang lagi ahli akademik," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama dua individu berkenaan.

Utusan Malaysia

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin