Tuesday, October 14, 2008

Kedah mahu pertahan tiga piala

ALOR STAR - Skuad bola sepak Kedah yang akan menampilkan beberapa muka baru musim depan percaya mampu mempertahankan tiga kejuaraan yang digondol berdasarkan keupayaan barisan pemain yang dimilikinya pada masa ini, lapor SHARIZA ABDULLAH.

Meskipun ramai yang meramalkan sukar untuk Kedah meraih tiga kejuaraan buat musim ketiga berturut turut, namun ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah (gambar) tetap optimis dengan keupayaan pasukan Hijau Kuning yang rata-rata masih dibarisi muka lama.

Katanya, 90 peratus pemain Kedah yang membantu pasukan itu menjulang kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia sejak dua musim lalu masih kekal bersama Sang Kenari dan menyifatkan mereka masih berada di puncak prestasi.

"Kedah memiliki barisan pemain yang hampir sama dengan musim lalu, cuma bezanya tiada pemain import. Isya-Allah kami akan mempertahankan tiga kejuaraan yang diraih.

"Kehadiran muka-muka baru yang dijangka mengikat kontrak dalam tempoh terdekat juga dipercayai dapat memantapkan lagi pasukan Kedah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mohd. Azraai berkata, barisan pemain mudanya yang semakin matang dan kerap kali menempuh perlawanan Liga Malaysia pada musim lalu tanpa khidmat pemain import memberi kelebihan kepada Hijau Kuning untuk meneruskan prestasi cemerlang pada tahun depan.

Bagaimanapun, katanya, Hijau Kuning dijangka akan menghadapi saingan sengit daripada beberapa pasukan terutama Terengganu dan MyTeam.

Dalam pada itu, dia memberitahu skuad Kedah akan memulakan latihan bermula 23 Oktober ini iaitu sejurus selepas kontrak baru para pemain dan pengurusan ditandatangani.

Katanya, tiga pemain Kedah tidak akan disambung kontrak mereka manakala muka-muka baru yang ingin dipikat Kedah kini hampir pasti menyertai pasukan itu dalam tempoh terdekat.

"Kami terpaksa melepaskan beberapa pemain kerana pada musim ini semua pasukan hanya dibenar mendaftarkan seramai 25 pemain sahaja berbanding 30 orang pada musim lepas," katanya.
Utusan Malaysia

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin