Sunday, October 26, 2008

Berterus terang jika mahu berpoligami

BERIKANLAH isteri hak ke atas apa yang sepatut menjadi haknya. Biarpun mungkin terdapat sedikit 'kekurangan' dan 'tidak sempurna' seperti wanita normal namun hak isteri mesti dihormati.

Itu antara pengajaran yang dapat dikupas dan menjadi renungan hasil penghakiman seorang Hakim Syarie di salah sebuah Mahkamah Syariah di Selangor baru-baru ini. Hakim berkenaan membaca sepotong hadis yang bermaksud: "Di akhirat nanti ramai lelaki yang berjalan dalam keadaan bahu akan menjadi senget. Ia adalah akibat tidak berlaku adil kepada isteri-isteri mereka.''

Hakim memberi peringatan, di dunia ini jika berjalan dalam keadaan bahu senget kita tahulah bagaimana. Tetapi, jika di akhirat berjalan dalam keadaan sebegitu, tidaklah dapat digambarkan.

Beliau memetik hadis tersebut ketika memberi keputusan dalam permohonan seorang suami mendapatkan kebenaran mahkamah untuk berpoligami.

Sebenarnya, jika melihat kepada fakta yang dibentangkan dalam prosiding itu, maka jelaslah permohonan itu bukanlah didorong oleh perasaan meluap-luap seorang suami untuk beristeri lagi. Ini kerana hakim tersebut, dalam penghakimannya ada mengimbas sedikit sebanyak fakta yang pernah dibentangkan di hadapan beliau.

Pemohon terpanggil memfailkan permohonan disebabkan faktor usianya yang semakin meningkat, namun belum mendapat rezeki memperoleh anak hasil darah daging sendiri.

Penantian berkat kesabaran pasangan menunggu kehadiran cahaya mata bukan sekadar setahun, dua. Malah menjangkau 13 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, mereka tidak putus asa berikhtiar pelbagai teknik termasuklah berubat secara tradisional dan perubatan moden. Apakan daya sehingga kini isterinya belum disahkan mengandung.

Memandangkan usia semakin meningkat, akhirnya suami mengambil keputusan berpoligami dengan seorang wanita berstatus anak dara. Lagipun pemohon menyatakan, tujuan utama perkahwinan untuk memastikan perkembangan manusia (melahirkan zuriat).

Keikhlasan suami untuk membahagikan kasih sayang antara isteri pertama dan bakal isteri jelas tergambar apabila beliau mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Keterangan

Demi keadilan, semua saksi iaitu pemohon dan isteri pertamanya, serta bakal isteri dan juga wali kepada bakal isteri (bakal bapa mertua) tampil memberikan keterangan. Suami dalam keterangannya berjanji akan berlaku adil dalam semua hal dan tidak membeza- bezakan kasih sayang.

Pemohon yang mengusahakan bengkel membaiki bot dan memiliki perniagaan menyewa kenderaan iaitu lori dan bas, menyediakan tempat tinggal bakal isteri (kini tunangannya) di Selangor. Manakala isteri pertamanya akan terus tinggal di kediaman mereka sekarang.

Berdasarkan keterangan yang dikemukakan, kemampuan pemohon, persetujuan diberikan dan fakta sokongan yang memerlukan dia beristeri lagi, akhirnya hakim berpuas hati dan membenarkan permohonan si pemohon untuk berpoligami.

Hakim turut mengingatkan pemohon bahawa mahkamah hanya memberikan kebenaran ntuk berpoligami dengan wanita yang namanya tertera dalam permohonan tersebut bukannya untuk berkahwin dengan wanita lain pula.

Pengertian sepotong hadis turut dibacakan kepada pemohon agar sentiasa menjadi pedoman sepanjang menjalani hidup berpoligami kelak. Terdapat perkara menarik yang dikupas dan diberikan penjelasan panjang lebar oleh hakim melalui hadis nabi tersebut. Ia mengenai hak atau giliran bermalam antara isteri. Sekiranya bakal isteri yang akan dinikahi itu berstatus anak dara maka giliran bermalam selama tujuh malam berturut-turut. Akan tetapi, jika bakal isteri ialah janda maka gilirannya, tiga malam sahaja. Namun tempoh tersebut hanya bagi peringkat awal perkahwinan, tegas hakim.

Beliau juga menyentuh tindakan pemohon mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami sebagai menghormati hak isterinya. Walaupun menyedari perlu membahagikan kasih sayang tetapi pemohon tetap sedar segala yang dilakukan perlulah mengikut kehendak peruntukan undang-undang.

Tetapi cuba fikirkan mengapakah ramai lelaki lebih rela bernikah secara senyap-senyap di negara jiran daripada menyatakan keinginan secara terus terang? Sedangkan, umum sudah mengetahui bahawa bernikah di negara jiran memang jalan mudah bagi menyelesaikan masalah.

Peguam Syarie, Amli Embong yang pernah mengendalikan kes-kes permohonan untuk berpoligami, melihat tindakan pemohon berkenaan sebagai langkah yang terbaik bagi kedua belah pihak.

"Mesej yang dapat disampaikan, setiap lelaki yang berhasrat berpoligami sepatutnya menyerahkan permohonan tersebut kepada pihak yang berkuasa (mahkamah) untuk menentukan sama ada dia benar-benar layak untuk beristeri lebih daripada seorang. Perasaan isteri yang sedia ada juga dapat dielakkan daripada terguris. Jika dibandingkan antara permohonan itu dengan perkahwinan secara rahsia yang pada akhirnya diketahui, sudah pasti akan memberikan impak yang negatif,'' jelas Amli.

Mengambil keputusan bernikah di sempadan dan merahsiakannya, seolah-olah menjadi ikut-ikutan sejak dahulu hingga kini. Amli bimbang perkahwinan di sempadan barangkali tidak sah kerana ia mungkin dikendalikan oleh juru nikah tidak bertauliah. Akhirnya, mereka akan berhadapan tindakan undang-undang.

Selangor adalah antara negeri yang ketat meluluskan permohonan berpoligami jika dibandingkan dengan Terengganu, Kelantan dan Perlis. Jika melihat Seksyen 23(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, ia menetapkan keperluan mendapatkan izin mahkamah sebelum seseorang lelaki mahu berpoligami.

"Jika seseorang lelaki mengemukakan permohonannya, dia mestilah memenuhi kriteria yang disebutkan dalam seksyen itu. Jika mahkamah selepas membuat pertimbangan yang maksimum dari segenap aspek, mendapati pemohon tidak layak berpoligami maka permohonan akan ditolak,'' jelas Amli.

Pun begitu, andai kata mahkamah mendapati pemohon sesungguhnya memang layak dan memenuhi kriteria untuk berpoligami, sungguhpun isteri terdahulu tidak bersetuju, permohonan tersebut tetap diluluskan.

----------------------
Rujukan di sini

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 26 Oktober 2008

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin