Thursday, October 30, 2008

Abang Nak Beli Kuih??

Hari itu, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar disebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki - berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan. 'Abang nak beli kuih?' Katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya. "Tak apalah dik...Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas. Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya.

Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja. "Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya. "Abang baru lepas makan dik, masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut. Dia beredar, tapi cuma setakat dikaki lima. Sampai disitu, di meletakkan bakulnya yang masih sarat Setiap yang lalu ditanya... " Tak nak beli kuih saya bang.. Pak cik... Kakak atau makcik." Molek budi bahasanya!

Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan dihati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya. Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu , membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta.

Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumanya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun. "Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang", katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya. Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul persaan kasihan di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya. " Ambil ni dik! Abang sedekah... Tak payah abang beli kuih tu" saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak.

Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak- kanak itu. "Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya. "Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" kata saya tanpa menjawap pertanyaannya. "Bang, saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. "Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekali gus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu. "Abang nak beli semua ke?" dia betanya dan saya cuma ngangguk. Lidah saya kelu nak berkata. "RM25 saja bang.....! Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu. Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan.



****
Dalam perjalanan ke K. Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatim kah?? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya?? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan. Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkn saya, siapa kita sebenarnya!!!

-------------------------------------
- di ambil daripada blog sahabat saya.. Akhi Hamdan

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 30 Oktober 2008

Muslimah dan gambar

MUQADDIMAH

Terkadang bila melayari weblog-weblog rakan, menjelajah ke dalam dunia maya bagi manusia yang memayakan diri mereka, saya merasa hairan melihat sesetengah weblog muslimah, yang bertudung, yang menutup aurat, tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing. Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda, ya muslimah sekalian, namun, sayangnya, anda terlupa bahawa gambar yang anda posting itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!


MUSLIMAH & GAMBAR : ADA APA DENGANNYA?

Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu. Sahabat kamu. Yang enggan melihat wajah-wajah anda itu, dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ianya ditutup dari pandangan umum?

Muslimahku,
Dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari, satu weblog, mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya setiap hari. Di kalangan mereka ada yang bagus, yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.” Namun, kita harus akui, bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.

Muslimahku,
Kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih instant, sesegera mee segera yang sama kerosakan yang dibawanya, penyakit hati.

Alangkah malangnya, kalau wajah-wajah anda yang terpamer itu, mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki, yang beriman akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya, akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda….Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet!

Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi, dengan tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, hati-hatilah!

PENYELESAIANNYA….

Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya. Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?

Kerana weblog-weblog dan web foto itu milik anda, seharusnyalah anda kecilkan wajah-wajah anda dengan mengecilkan saiz gambar itu. Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar pada rakan muslimah anda itu.

Ingat, wajah anda, anugerah Allah. Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.

Wallahu A’lam..

Dipetik daripada :
http://www.iluvislam.com.../

Tuesday, October 28, 2008

Puteriku Siti Hajar - Permata Hati Ayah Dalam Kenangan

Hati mana tak akan pilu apabila anak tersayang diambil di kala kasih sayang sedia terbelai. Perasaan mana tidak hiba apabila permata hati dirampas ketika dalam dakapan mesra. Emosi mana yang tidak terganggu apabila insan harapan ghaib dalam sekelip mata. Mungkin rintihan ini dek kerana “emotional outburst” yang melulu dan tidak terkawal. Tetapi hakikatnya itulah perasaan seorang ayah yang kehilangan anak tercinta ……

Tanggal Isnin 8 September 2008, di kala umat Islam sedang asyik mengerjakan solat sunat Tarawih, puteriku Siti Hajar dalam diam-diam dijemput menemui PenciptaNya. Umurnya yang baru menempuh 23 tahun, pelajar tahun 1 UIA di dalam bidang Bahasa Arab dan memiliki tubuh badan yang sihat bukanlah merupakan alasan untuk memanjangkan usianya. Saat dan ketika puteriku dah sampai, dan sebagaimana janji Allah swt, 1 saat pun tidak akan ditangguhkan apabila ajal dah tiba. Aku pasrah kepada ketentuan Ilahi …….

Kakak, begitulah ia membahasakan dirinya, tidak pernah sakit lebih daripada 2 hari lamanya sebelum ini. Itu pun jarang berlaku. Kakak seorang yang sihat dan aktif di dalam kerja-kerja jamaah dan pelajaran. Secara tiba-tiba Kakak terkena sakit ruam di seluruh badan lebih kurang sebulan yang lalu. Aku ubati Kakak sebagaimana biasa. Ruamnya sembuh tetapi sendi-sendi kakinya pula rasa sengal dan sakit. Ujian darah di SJMC menunjukkan Kakak mengidap “Rheumatoid Athritis” yakni radang sendi di peringkat awal. Menurut doktor yang mana juga aku persetujui, ia hanya kecil, mudah sembuh dan tidak merbahaya. Kakak mengambil ubat-ubatan secara alopati, homeopati dan juga rawatan secara Islam. Hasilnya Kakak hampir sembuh 2 minggu kemudian. Apa yang peliknya, kebiasaan manusia apabila penyakitnya makin sembuh maka tahap kecergasannya pun semakin meningkat. Tetapi tidak dengan Kakak. Kecergasannya semakin menurun walaupun penyakitnya semakin sembuh. Ini yang membingungkanku dan semua orang ……

Lebihkurang 1 minggu yang lepas, Kakak tiba-tiba demam. Demam biasa saja, suhu tinggi sikit dan diiringi dengan batuk dan cirit-birit. Walaubagaimana pun keadaannya tidaklah begitu membimbangkan, musim demamlah katakan …..

Hari Isnin, ketika aku sibuk bersiap untuk ke tempat kerja pada sebelah pagi, isteriku memaklumkan bahawa Kakak merasa sedikit penat hari itu. Aku jenguki Kakak dan mendapati ia sedang berbaring relaks. “Nampak biasa saja,” bisik hati ku lantas bergegas ke tempat kerja. Di sekitar pukul 6.30 petang aku pulang dari kerja dan terus menjenguk Kakak. Pelik hari tu kerana Kakak tidak berbaring di biliknya sebaliknya memilih berada di bilik tetamu. Sebaik aku masuk, terpandang keadaan penat Kakak yang agak melampau sehinggakan kepala dan tangannya tergoyang-goyang di luar kawalan. “Ini sangat serius,” bentak hatiku. Saya cadangkan kepada Kakak supaya kita ke klinik tetapi Kakak menolak dengan lembut. “Kakak tak taulah ayah, Kakak penat betul hari ini. Boleh tak esok saja kita pergi klinik?”,ujarnya dengan nada yang amat memilukan. Hatiku bagai disiat-siat melihat keadaan Kakak. Aku angguk kepala tanda setuju. Aku duduk di sisinya lantas memegang dan mengusap tangan dan muka Kakak. Suhu badan normal, sendi-sendinya pun sudah tidak sakit lagi dan batuknya pun telah ghaib entah ke mana. Kakak berkata ia semakin sihat. Peluhnya keluar mencurah-curah dan ia berselera sekali makan. Walaupun ketika aku amati wajahnya dalam-dalam kelihatan seolah-olah ia seperti nazak tetapi aku cuba nafikan hakikat ini kerana keadaan fizikalnya tampak semakin baik. Baru aku sedari kemudian bahawa Kakak bukan penat biasa tetapi nyawanya semakin pendek dek ditarik perlahan-lahan oleh Malikul-Maut.

Aku berbual-bual mesra dengan Kakak sambil ia memegang erat tangan ku. Apabila aku menarik tangan untuk pergi bersiap berbuka puasa, Kakak merayu supaya aku tunggu sekejap lagi bersamanya. Aku berjanji akan kembali menemani Kakak selepas berbuka puasa di masjid. Sekembali aku dari masjid aku dapati Kakak semakin ok, siap senyum lagi dan meminta ayah pergi bertarawih ke masjid. Dia dah sembuh, katanya. Aku pergi bertarawih dengan agak ceria apabila mendengar pengakuan Kakak. Telepon bimbit pun tidak “bervibrate” ketika solat bermakna semua ok di rumah.

Ketika aku berada 100 meter dari rumah waktu pulang bertarawih, tiba-tiba telepon bimbit berbunyi. “Cepat bang anak kita tak mahu bangun!”, jerit isteriku. Menurut isteriku kemudiannya, selepas aku ke masjid, Kakak minta nak solat segera selepas azan Isya. Selesai solat ia meminta kebenaran maknya untuk berbaring relaks buat seketika. Maknya pun bersetuju dan membiarkan Kakak berbaring sambil ia sendiri menunaikan solat tarawih berhampiran dengan Kakak. Selesai solat witir isteriku berpaling ke belakang dan mendapati Kakak sedang berbaring tidak bergerak-gerak. Ia lantas cuba membangunkannya tetapi Kakak tetap membisu…..

Aku periksa nadinya, cuba mengesan bunyi nafas dan degupan jantungnya, tapi tiada. Aku cuba lakukan CPR, dan sebaik saja aku tiup di mulutnya udara mudah saja sampai ke paru-paru seolah-olah aku sedang meniup melalui straw ke dalam belon. Ini membuktikan bahawa Kakak sudah pergi, pergi selama-lamanya …..

Aku tidak mahu menghampakan isteriku. Lantas aku ajak abang ipar ku untuk mengangkat Kakak ke dalam kereta dan segera menuju ke pusat perubatan berhampiran. Sebaik tiba di pusat perubatan berkenaan, doktor di bahagian kecemasan hanya mengambil masa 10 minit untuk mengesahkan apa yang kami amat takuti, yang Kakak telah pun meninggalkan kita lebih setengah jam yang lalu. Air mata semua berguguran tak tertahan-tahan lagi. Aku cuba gagahi bertahan. Sebagai ayah aku kena pujuk ahli keluarga lain. Bagaimana dapat aku lakukan tugas ini jika aku turut sama terheret di dalam pesta air mata. Berterusan doaku semoga aku diberi kekuatan untuk menghadapi ujian yang amat hebat ini. Alhamdulillah makbul …..

Doktor tidak tahu nak tulis kematian mengejut ini disebabkan oleh penyakit apa. Umur muda dan tidak ada sejarah sebarang penyakit merbahaya. Dia meminta saya bersetuju dihantar ke hospital kerajaan untuk dibedahsiasat. Aku merayu dan merayu supaya jenazah puteriku tidak disiksa begitu rupa. Berkat doa dan pertolongan semua, sekali lagi Allah swt makbulkan doaku. Jenazah Kakak sedia untuk dibawa pulang ke rumah. Di saat itu pusat perubatan sudah dibanjiri oleh saudara dan rakan yang datang untuk berkongsi sedih. Di sekitar 1.30 pagi, jenazah Kakak sudah ada di rumah menunggu esok untuk dikebumikan. Ayah dan makku di kampong sudah luluh di dalam tangisan hiba. Mereka segera bertolak dari Perlis untuk bersama berkabung bersama keluargaku. Rakan taulan dan saudara mara tidak putus-putus berkunjung ke rumah ku sehingga ke subuh. Pukul 11 pagi Kakak dimandi, dikapan dan disolat jenazah (yang aku imami) sebaik saja selesai solat zohor. Menurut sorang Pak Aji yang tinggal berdekatan masjid mengakui bahawa ini adalah sejarah kehadiran paling ramai makmum bersolat jenazah sejak masjid ini mula dibuka. Rezekimu Kakak ……

Kakak selamat dikebumikan di Seksyen 21, Shah Alam sekitar jam 3.00 petang. Ayahku sendiri yang membuat tazkirah dan doa selepas selesai upacara pengkebumian. Kami sekeluarga pulang, pasrah kepada ketentuan Ilahi bahawa Kakak telah pergi buat selama-lamanya menemui allah rabbuljalil.

Ramai teman bertanya bagaimana aku boleh begitu “cool” menghadapi saat-saat kematian puteri sulong tercinta. Jawapannya mudah, kerana kekuatan yang Allah beri kepada ku. Kakak pergi dalam keadaan yang paling baik yang boleh kita minta. Ia anak yang sentiasa patuh kepada ibubapa, berakhlak mulia, sentiasa menjaga kehormatan diri dan ibadat. Malah ketika berbaring, lidahnya tidak lekang membaca Al-Qur’an dan berwirid. Kakak adalah insan yang mudah bertolak ansur dalam bab keduniaan. Jawapannya sentiasa,”Ikut suka hati ayah …..”.

Walaubagaimanapun, Kakak begitu tegas dalam bab agama. Berapa kali bapa saudaranya ditegur kerana masih merokok. Kakak diberi pendidikan agama sejak kecil sehingga di Universiti, samada di sekolah atau di rumah. Kakak seorang yang rajin di dalm kerja-kerja jamaah dan memang memiliki jiwa pemimpin. Kehadiran ramai temannya dari UIA membuktikan hakikat ini. Di samping itu Kakak sangat cemerlang di dalam pelajarannya. Beberapa hari selepas meninggal dunia, kami menerima sepucuk surat daripada UIA memaklumkan Kakak tersenarai di dalam Senarai Dekan kerana kecemerlangan akademiknya.

Saya menyaksikan sendiri banyak tanda-tanda kurniaan Allah kepada Kakak. Bilik tempat Kakak meninggal dunia harum semerbak bau bunga-bungaan (sehingga ke hari ini) walaupun kita tak pernah bawa masuk sekuntum bunga pun ke dalam rumah. Waktu dimandi jenazahnya oleh maknya tak ada sedikit najis apa pun keluar darinya. Wajahnya puteh berseri-seri, lembut ayu dan tersenyum seolah-olah seperti sedang tidur. Kombinasi semua ini dan banyak lagi memberikan seribu alasan untuk kami lebih gembira daripada bersedih di atas pemergiannya. Namun sebagai ayah, kehilangan Kakak tetap dirasai dan dirindui.
Kakak telah membawa bersama secebis hati ayah yang tak mungkin dapat ayah perolehi kembali di dunia ini. Ayah sayang kepada Kakak dunia hingga ke akhirat ……..

Anak Bapa: Moga Allah cucuri ruh Kakak dan ditempatkan di kalangan orang yang solihin …….

------------------------------
Dikala hati saya rungsing di rundung masalah, saya terjumpa artikel ini di blog rakan saya Saintis Islam (Rujuk link di sebelah).. Sudah lama mata ini tidak menangis.. Ingatkan diri bahawa masa saya juga bakal tiba.. Anda boleh lawati sebuah blog yang dinukilkan khas oleh rakan-rakan arwah untuk memperingati arwah di sini..

Moga Allah tempatkannya di kalangan hambanya yang soleh lagi beriman..

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 28 Oktober 2008

Makluman : Jadual Exam SMPPA 1107

3 November (Isnin)
EDU 3105 Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran

4 November (Selasa)
PIM 3107 Pendidikan Akhlak Sekolah Rendah

5 November (Rabu)
PIM 3108 Pengajaran Jawi Sekolah Rendah

10 November (Isnin)
BAE 3103 Pengurusan Sumber Pengajaran dan Pembelajaran serta Penilaian Bahasa Arab

12 November (Selasa)
Ulum al-Quran dan Ulum al-Hadis

* Semua kertas bermula pada jam 2.30 ptg hingga 5.00 ptg

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 28 Oktober 2008

Makluman : Majlis Bacaan Yassin

MAJLIS BACAAN YASSIN DAN SOLAT HAJAT PERDANA

BERSEMPENA MUSIM PEPERIKSAAN YANG MENJELANG TIBA. PUSAT PENGAJIAN ISLAM MENGANJURKAN MAJLIS BACAAN YASSIN DAN JUGA SOLAT SUNAT HAJAT PERDANA. SELURUH MUSLIMIN DAN MUSLIMAT WARGA IPTAR DI JEMPUT HADIR.

30 OKTOBER 2008
KHAMIS
BERMULA JAM 6.30 PETANG

Sunday, October 26, 2008

Ganti Sistem Kapitalis !!!

dipetik dari Kosmo 13 Oktober 2008

Umat Islam sepatutnya mengambil kesempatan daripada krisis kewangan global untuk membina satu sistem ekonomi yang bersesuaian dengan prinsip-prinsip Islam, kata ulama berpengaruh Sheikh Yusuf al-Qardawi semalam.

"Keruntuhan sistem kapitalis berlandaskan wang kertas dan lintah darat antarabangsa, bukannya dagangan barang di pasaran menunjukkan sistem tersebut dilanda krisis dan ia turut membuktikan bahawa falsafah ekonomi Islam adalah kukuh," kata ulama kelahiran Mesir tetapi menetap di Qatar.

"Semua kekayaan dimiliki oleh kita (umat Islam). Negara- negara Islam memiliki hampir semua minyak dan kita memiliki falsafah ekonomi yang tidak dimiliki oleh orang lain," jelasnya.

Sheikh Yusuf yang menyampaikan ucaptama persidangan berhubung Baitulmaqdis di Doha semalam turut menggesa umat Islam supaya mengambil iktibar daripada krisis tersebut bagi membawa negara-negara Islam ke arah kemenangan

Persidangan keenam mengenai Baitulmaqdis itu dihadiri kira-kira 300 peserta yang mewakili parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan dari berbagai negara.

Ia dianjurkan oleh Institusi Antarabangsa Al-Quds (Baitulmaqdis) yang ditubuhkan bagi memulihara bandar itu dan tempat-tempat suci di dalamnya.

Persidangan kali ini yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bertujuan untuk melindungi tempat-tempat suci di Baitulmaqdis seperti Masjid Al-Aqsa yang dipercayai diancam oleh Israel.

Pelajar wanita serang guru

dipetik dari Kosmo 17 Oktober 2008

KANGAR - Gara-gara tidak berpuas hati dengan tugasan kerja yang diberikan, dua pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini didakwa bertindak di luar batasan membelasah seorang guru wanita.

Pelajar tingkatan dua berkenaan dipercayai telah menendang dan memukul guru Sivik dan Geografi, Azhana Ibrahim, 27, pada pukul 10 pagi semalam.

Menurut Azhana, dalam pergelutan itu, dia cuba mempertahankan diri selepas dua pelajar itu menyerangnya.

Ceritanya lagi, kejadian itu berlaku selepas pelajar itu menulis perkataan kesat dalam buku tugasan yang diserahkan kepada guru tersebut.

"Pelajar itu gagal menghantar tugasan yang diberikan kepada mereka sejak beberapa minggu lalu dan hanya menghantar kepada saya hari ini (semalam) selepas diminta berulang kali.

"Bagaimanapun saya terkejut apabila terdapat perkataan kesat pada buku tugasan tersebut dan pelajar itu bercakap kasar serta kurang sopan sebelum menyerang saya," dakwa guru itu di sini semalam.

Guru yang berasal dari Perlis itu berkata, beliau kemudian melaporkan kejadian kepada Penolong Kanan Sekolah sebelum membuat laporan di Balai Polis Kangar.

Jelasnya, beliau membuat laporan polis kerana bimbang diancam kedua-dua pelajar terbabit.

"Selama lima tahun berkhidmat sebagai guru, ini adalah kali pertama saya diserang,'' ujarnya.
------------
- Juga di blog pendidikan saya di http://pedagogi-islam.blogspot.com/
- Fikir-fikirkanlah wahai semua bakal guru...

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::

Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani ::

Markaz Tarbiah Haraki 26 Oktober 2008

Berterus terang jika mahu berpoligami

BERIKANLAH isteri hak ke atas apa yang sepatut menjadi haknya. Biarpun mungkin terdapat sedikit 'kekurangan' dan 'tidak sempurna' seperti wanita normal namun hak isteri mesti dihormati.

Itu antara pengajaran yang dapat dikupas dan menjadi renungan hasil penghakiman seorang Hakim Syarie di salah sebuah Mahkamah Syariah di Selangor baru-baru ini. Hakim berkenaan membaca sepotong hadis yang bermaksud: "Di akhirat nanti ramai lelaki yang berjalan dalam keadaan bahu akan menjadi senget. Ia adalah akibat tidak berlaku adil kepada isteri-isteri mereka.''

Hakim memberi peringatan, di dunia ini jika berjalan dalam keadaan bahu senget kita tahulah bagaimana. Tetapi, jika di akhirat berjalan dalam keadaan sebegitu, tidaklah dapat digambarkan.

Beliau memetik hadis tersebut ketika memberi keputusan dalam permohonan seorang suami mendapatkan kebenaran mahkamah untuk berpoligami.

Sebenarnya, jika melihat kepada fakta yang dibentangkan dalam prosiding itu, maka jelaslah permohonan itu bukanlah didorong oleh perasaan meluap-luap seorang suami untuk beristeri lagi. Ini kerana hakim tersebut, dalam penghakimannya ada mengimbas sedikit sebanyak fakta yang pernah dibentangkan di hadapan beliau.

Pemohon terpanggil memfailkan permohonan disebabkan faktor usianya yang semakin meningkat, namun belum mendapat rezeki memperoleh anak hasil darah daging sendiri.

Penantian berkat kesabaran pasangan menunggu kehadiran cahaya mata bukan sekadar setahun, dua. Malah menjangkau 13 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, mereka tidak putus asa berikhtiar pelbagai teknik termasuklah berubat secara tradisional dan perubatan moden. Apakan daya sehingga kini isterinya belum disahkan mengandung.

Memandangkan usia semakin meningkat, akhirnya suami mengambil keputusan berpoligami dengan seorang wanita berstatus anak dara. Lagipun pemohon menyatakan, tujuan utama perkahwinan untuk memastikan perkembangan manusia (melahirkan zuriat).

Keikhlasan suami untuk membahagikan kasih sayang antara isteri pertama dan bakal isteri jelas tergambar apabila beliau mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Keterangan

Demi keadilan, semua saksi iaitu pemohon dan isteri pertamanya, serta bakal isteri dan juga wali kepada bakal isteri (bakal bapa mertua) tampil memberikan keterangan. Suami dalam keterangannya berjanji akan berlaku adil dalam semua hal dan tidak membeza- bezakan kasih sayang.

Pemohon yang mengusahakan bengkel membaiki bot dan memiliki perniagaan menyewa kenderaan iaitu lori dan bas, menyediakan tempat tinggal bakal isteri (kini tunangannya) di Selangor. Manakala isteri pertamanya akan terus tinggal di kediaman mereka sekarang.

Berdasarkan keterangan yang dikemukakan, kemampuan pemohon, persetujuan diberikan dan fakta sokongan yang memerlukan dia beristeri lagi, akhirnya hakim berpuas hati dan membenarkan permohonan si pemohon untuk berpoligami.

Hakim turut mengingatkan pemohon bahawa mahkamah hanya memberikan kebenaran ntuk berpoligami dengan wanita yang namanya tertera dalam permohonan tersebut bukannya untuk berkahwin dengan wanita lain pula.

Pengertian sepotong hadis turut dibacakan kepada pemohon agar sentiasa menjadi pedoman sepanjang menjalani hidup berpoligami kelak. Terdapat perkara menarik yang dikupas dan diberikan penjelasan panjang lebar oleh hakim melalui hadis nabi tersebut. Ia mengenai hak atau giliran bermalam antara isteri. Sekiranya bakal isteri yang akan dinikahi itu berstatus anak dara maka giliran bermalam selama tujuh malam berturut-turut. Akan tetapi, jika bakal isteri ialah janda maka gilirannya, tiga malam sahaja. Namun tempoh tersebut hanya bagi peringkat awal perkahwinan, tegas hakim.

Beliau juga menyentuh tindakan pemohon mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami sebagai menghormati hak isterinya. Walaupun menyedari perlu membahagikan kasih sayang tetapi pemohon tetap sedar segala yang dilakukan perlulah mengikut kehendak peruntukan undang-undang.

Tetapi cuba fikirkan mengapakah ramai lelaki lebih rela bernikah secara senyap-senyap di negara jiran daripada menyatakan keinginan secara terus terang? Sedangkan, umum sudah mengetahui bahawa bernikah di negara jiran memang jalan mudah bagi menyelesaikan masalah.

Peguam Syarie, Amli Embong yang pernah mengendalikan kes-kes permohonan untuk berpoligami, melihat tindakan pemohon berkenaan sebagai langkah yang terbaik bagi kedua belah pihak.

"Mesej yang dapat disampaikan, setiap lelaki yang berhasrat berpoligami sepatutnya menyerahkan permohonan tersebut kepada pihak yang berkuasa (mahkamah) untuk menentukan sama ada dia benar-benar layak untuk beristeri lebih daripada seorang. Perasaan isteri yang sedia ada juga dapat dielakkan daripada terguris. Jika dibandingkan antara permohonan itu dengan perkahwinan secara rahsia yang pada akhirnya diketahui, sudah pasti akan memberikan impak yang negatif,'' jelas Amli.

Mengambil keputusan bernikah di sempadan dan merahsiakannya, seolah-olah menjadi ikut-ikutan sejak dahulu hingga kini. Amli bimbang perkahwinan di sempadan barangkali tidak sah kerana ia mungkin dikendalikan oleh juru nikah tidak bertauliah. Akhirnya, mereka akan berhadapan tindakan undang-undang.

Selangor adalah antara negeri yang ketat meluluskan permohonan berpoligami jika dibandingkan dengan Terengganu, Kelantan dan Perlis. Jika melihat Seksyen 23(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, ia menetapkan keperluan mendapatkan izin mahkamah sebelum seseorang lelaki mahu berpoligami.

"Jika seseorang lelaki mengemukakan permohonannya, dia mestilah memenuhi kriteria yang disebutkan dalam seksyen itu. Jika mahkamah selepas membuat pertimbangan yang maksimum dari segenap aspek, mendapati pemohon tidak layak berpoligami maka permohonan akan ditolak,'' jelas Amli.

Pun begitu, andai kata mahkamah mendapati pemohon sesungguhnya memang layak dan memenuhi kriteria untuk berpoligami, sungguhpun isteri terdahulu tidak bersetuju, permohonan tersebut tetap diluluskan.

----------------------
Rujukan di sini

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 26 Oktober 2008

Pengalaman bersama Kedah julang Helmi

SELEPAS dua musim beraksi cemerlang bersama Kedah dalam saingan Liga M, Helmi Eliza Elias kini membuktikan kemampuannya di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan di Pestabola Merdeka.

Walaupun beraksi di kejohanan pertamanya selaku penjaga gol utama kebangsaan, kemampuan Helmi memastikan gawang negara tidak dibocori membuktikan kematangannya beraksi di peringkat lebih tinggi.

Namun, dia menganggap kemampuan beraksi dengan baik adalah kerana dorongan yang diberikan pemain-pemain di posisi pertahanan terutamanya bek tengah, Norhafiz Zamani Misbah.

“Saya beruntung sebenarnya kerana mempunyai rakan senior berpengalaman seperti Norhafiz dalam pasukan, dia banyak memberi sokongan kepada saya ketika waktu tertekan dalam permainan dan ia membolehkan saya bermain tanpa tekanan.

“Norhafiz dan juga Aidil (Zafuan Abdul Radzak) turut kerap berkomunikasi dengan saya di atas padang dan ini memudahkan saya mengawal benteng kerana ia mirip seperti persefahaman saya bersama Bernard (Hugging) dalam skuad Kedah, ” kata Helmi.

Helmi sudah biasa menjulang pelbagai kejuaraan dalam saingan Liga M bersama Kedah, tetapi kini dia mahu mula melakar kejayaan bersama skuad kebangsaan dalam usaha membantu memulihkan semula imej bola sepak negara di peringkat antarabangsa.

Daripada seorang penjaga gol simpanan dalam skuad Kedah pada 2004, Helmi kemudian menunjukkan kemampuannya selaku penjaga gol utama Hijau Kuning sejak dibimbing bekas penjaga gol utama negara dan Kedah, Ahmad Sobri Ismail pada 2005.

Saturday, October 25, 2008

Walimah Faisal di Ganu









Sekitar majlis walimah Faisal Hamdi dan Zaujahnya di rumah pengantin perempuan, hari ini adalah walimah di rumah pengantin lelaki.. Didoakan keduanya bahagia dunia dan akhirat..
:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 25 Oktober

Friday, October 24, 2008

Teruskan perjuangan...

" Tidak gentar "

Ketika sidang media di Parlimen


Assalamulaikum wtb dan Salam Perjuangan..

Alhamdulillah.. Sudah berada di bumi sarawak semula.. Ketika di lipis pahang, menderu mesej masuk ke talefon bimbit saya .. isu sahabat saya, shafiqa di halau keluar daripada asramanya di UPM.. dalam keterbatasan waktu, saya terus melayari internet.. Ternyata berita itu langsung tidak ada di akhbar perdana secara biasa mahupun online.. Anda boleh rujuk pada link berikut..

Dua pelajar UPM dedah isu di Parlimen
2 pelajar cemerlang UPM dibuang kolej
UPM siasat isu 2 siswi dibuang kolej

---------------
Saya sebenarnya bersimpati terhadap perkara yang telah menimpa beliau, shafiqa merupakan rakan sekelas saya di maktab Mahmud (5 sc1).. Saya kurang mengenalinya kerana biah maahad menyediakan suasana ikhtilad yang berkualiti.. Seorang yang pendiam, jaga pandangan, namun amat tangkas dalam medan dakwah.. Buat sahabat.. Teruskan perjuangan.. Usah gentar pada kezaliman.. Jangan lupa pada kisah para anbia yang terdahulu, tidak ada seorang pun daripada mereka yang dihamparkan dengan permaidani merah.. namun di sambut dengan pedang serta cercaan.. Teruskan perjuangan.. Anda telah dipilih Allah..

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 24 Oktober 2008

Makluman : Walimah Kak Faridha

Kenangan Fasi KBS 4 yang lalu

Ustazah Faridha (paling kiri)

Walimah Ustaz Ridhuan Othman dan Ustazah Faridha
pada 25 Oktober 2008 (sabtu)
349 f, Kampung Kemumbong, Sidam Kiri,
09400 Padang Serai, Kedah Darul Aman.

“Di jemput hadir seisi keluarga”
---------------------------------------
- Maaf la Kak Faridha.. Saya tak dapat hadir..dah berada di Sarawak semula.. Kak Faridha merupakan exmaahadian SPM 2000 (kelas sains) .. Seorang pimpinan pelajar ketika di Maahad .. Sambung belajar di UPM, Serdang juga dalam bidang sains.. Sekarang merupakan tenaga pendidik di Maktab Mahmud Cawangan Langkawi.. Saya mula mengenalinya ketika bertugas sebagai Ketua Fasilitator Kem Bina Shaksiah 4 (KBS 4) yang lalu, Kak Faridha bertugas sebagai Timbalan Kem Komandan yang bertanggungjawab dalam menguruskan urusan peserta muslimat. Seorang yang lembut namun ada ketegasannya.. Amat bertanggungjawab.. Didoakan bahagia dunia dan akhirat.. Dah beroleh penyambung zuriat yang soleh dan soleheh.. Insya Allah..


:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 24 Oktober 2008

Tahniah Datuk Shah Rukh Khan


TAHNIAH Datuk Shah Rukh Khan, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka dan Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka di atas penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada 'Raja Bollywood' itu bersempena dengan ulang tahun kelahiran Tun yang ke 70.

Sememangnya kemasyhuran Melaka kini hanya tinggal kenangan sejak negeri bersejarah itu kehilangan sultan berdaulat bermula tahun 1511! Jika dahulu kesultanan Melaka adalah pengasas kesultanan Pahang di mana Sultan Melaka, Sultan Mansor Shah mengutuskan wazir baginda, Seri Bira Diraja sebelum anakanda baginda, Sultan Muhammad Shah ditabal sebagai Sultan Pahang I pada tahun 1470 dan setelah 534 tahun, Melaka kini ber-Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob iaitu seorang rakyat jelata di negeri Pahang yang pernah menjadi Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Agung UMNO.

Jika Datuk Shah Rukh Khan adalah bintang Bollywood pertama yang mendapat anugerah gelaran 'Datuk' maka jangan terperanjat lambakan gelaran ‘Datuk’ akan melanda industri perfileman yang berpusat di Mumbai, India itu dengan gelaran Datuk Amitabh Bachchan, Datuk Hrithik Roshan, Datuk John Abraham, Datuk Salman Khan, Datuk Saif Ali Khan, Datuk Abishek Bachchan, Datuk Shahid Kapoor, Datuk Aishwarya Rai, Datuk Kajol Mukherjee, Datuk Rani Mukherjee , Datuk Kareena Kapoor, Datuk Katrina Kaif, Datuk Priyanka Chopra, Datuk Preeti Zinta dan banyak lagi penerima.

Nampaknya tidak sia-sia Kuala Lumpur dipilih sebagai tuan rumah kepada majlis Anugerah Filem India Sedunia (GIFA 2006). Selepas ini kita akan melihat pula siapakah artis Cina, Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Hollywood yang pertama bakal mendapat gelaran Datuk (kecuali Datuk Michelle Yeoh iaitu seorang warganegara Malaysia). Tetapi mereka perlu terlebih dahulu mengharumkan nama Malaysia dengan menjadikan negara ini tuan rumah bagi sebarang penganjuran majlis anugerah hiburan di atas 'karpet merah' sebelum layak berjalan di atas 'karpet kuning' sebagai penerima anugerah ‘Datuk’!

Malah adalah lebih membanggakan Melaka dengan anugerah ‘lingua franca’-nya jika dapat men-Datuk-kan nama-nama besar dunia hiburan antarabangsa dengan gelaran Datuk Tom Cruise, Datuk Brad Pit, Datuk Michael Jackson, Datuk Nicole Kidman, Datuk Mariah Carey, Datuk Oprah Winfley, Datuk Avril Lavigne, Datuk Justin Timberlake, Datuk Jackie Chan dan Datuk Chow Yun Fat. Saya tidak pasti adakah ini pemberian timbalbalik untuk menjadikan semua penerima anugerah ‘Datuk’ antarabangsa ini sebagai ‘Duta Pelancongan’ Melaka Bandaraya Bersejarah dan Bandaraya Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Justifikasi penganugerahan tersebut yang cuba dirasionalkan oleh Ketua Menteri-nya, Mohd Ali Rustam sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Shah Rukh Khan kepada bidang seni perfilemen di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia hanya sesuai diucapkan untuk majlis penyampaian anugerah seperti Anugerah Era, Anugerah Cit-Cat, Anugerah Bintang Popular, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Seri Angkasa, Anugerah Industri Muzik atau Anugerah Planet Muzik. Barangkali Mohd Ali Rustam menilai melalui bibliografi buku "Still Reading Khan" dan dokumentari "The Inner and Outer World of Shah Rukh Khan" atau paling tidak sebagai seorang ahli 'Shah Rukh Khan Fun's Club' yang berpusat di Kolkata, India.

Anugerah DMSM yang membawa gelaran ‘Datuk’ turut diberikan antaranya kepada Abdul Karim Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksklutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); Saroni Judi, Naib Presiden Universiti Tun Abdul Razak (Unitar); Prof Madya Dr Azarae Idris, Timbalan Naib Canselor Univeriti Malaya (UM); Datuk Jalilah Baba, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia; Martini Osman, Presiden Agro Bank; Mohamed Azmi Mahmood, Pengarah Urusan Ambank (M) Berhad; Lee Say Thsin, Pengarah Urusan HSBC Bank Malaysia Berhad; Datuk Iskandar Mizal Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Biotechnology Corporation; Mohamed Ashaaree Mahmood, Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Iktisad Islam Malaysia; Ir Dr Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran; Othman Samin, Duta Besar Malaysia di Morocco; dan, SAC I Mazlan Mansor, Ketua Polis Melaka.

Tidak kurang hebat penerima sebelumnya antaranya ialah Rohani Jamil, Ketua Pengarah Arkib Negara; Sureth Singh, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR); Prof Dr Ghauth Jasman, Presiden Universiti Multimedia Malaysia (MMU); Kris Azman Abdullah, Pengarah Suruhanjaya Sekuriti; Prof Dr Hassan Mohd Said, Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi; Mohd Salleh Abdullah, Pengarah Urusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB); Syed Hisham Syed Wazir, Pengarah Urusan Edaran Otomobil Nasional (EON); Ahmad Mustafa, Pengurus Besar Sepang International Circuit (SIC); Datuk Hishamuddin Aun, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP; Datuk Mohd Khalid Mohd, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan; Zaini Md Nor, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah; SAC I Ayub Yaakob, Ketua Polis Melaka; Abidin Borhan, Setiausaha Gabungan Penulis Nasional (Gapena); Misbun Sidek, Jurulatih Badminton Negara; dan Noraini Ahmad, Ketua Puteri Umno. Dalam senarai panjang yang ‘bukan calang-calang orang’ itu, adakah mereka berbangga segelaran dengan Shah Rukh Khan atau Shah Rukh Khan berbangga segelaran dengan mereka?

Nampaknya Majlis Raya-Raja Melayu perlu membuat ketetapan bersama dan peyelarasan dalam kriteria penganugerahan darjah dan bintang kebesaran supaya kualiti, kredebiliti dan reputasi penerima anugerah dapat dipertahankan wibawanya. Bayangkan satu masa dahulu sebuah Institusi Di-Raja Perak iaitu Muftinya, Datuk Seri Harussani Zakaria telah berfatwa bahawa budaya Bollywood adalah haram kerana budaya hedonisme yang melalaikan kini negeri Melaka pula mengiktiraf sumbangan dari Bollywood itu. Tindakkan kerajaan negeri Melaka itu sebenarnya tidak ubah seperti memberikan gelaran Datuk kepada pengunjung Melayu di bar minuman keras, The Ship atau peserta Melayu dalam pertandingan ratu cantik separuh bogel yang mana keduanya ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) satu masa dahulu.

Empat tahun yang lalu, Melaka membuat kontroversi yang sama dengan lambakkan penganugerahan darjah dan bintang kebesaran terbanyak kepada 84 orang penerima walaupun Melaka adalah negeri terkecil selepas Perlis. Antara penerima kontroversi pula ialah Datuk Khalid Jafri seorang penulis merangkap penfitnah dalam bukunya "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri" dan Hasnoor Sidang Husin, Pengurus Besar Melaka International Trade Centre (MITC) yang pernah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Melaka atas jenayah pecah amanah pada tahun 1995.

Pemilihan Datuk Shah Rukh Khan yang turut memenangi anugerah lelaki paling seksi dan dilihat sebagai simbol seks oleh pemujannya mungkin boleh difahami jika keputusan tersebut dibuat oleh Ketua Menteri dan Yang Di-Pertua Negeri dari kalangan kaum wanita. Jika inilah antara kriteria yang diambilkira adalah lebih baik anugerah Datuk diberikan kepada Sufiah Yusuf, seorang pelacur berprofil tinggi yang disensasikan ke seluruh dunia sebagai warganegara Malaysia. Sekurang-kurang beliau pernah membanggakan negara sebagai manusia terpintar dengan memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun!

Sebenarnya adalah lebih baik mengiktiraf pejuang seni tempatan dan jika kerajaan Melaka tiada calon yang bersesuaian maka saya mencadangkan anugerah Datuk diberikan kepada pelakon bangsawan dan penggiat teater Perlis, Ismail Hashim. Apatahlagi beliau telah berjasa dengan menarik diri dari meneruskan hasrat 'gila bayang' bertanding jawatan tertinggi sebagai Presiden Umno. Ini kerana jika beliau meneruskan percubaan 'untung sabut timbul, untung batu tengelam'-nya, maka tidak mustahil Ketua Menteri dan Yang Di-Pertua Negeri Melaka akan ber-Presiden-kan dan ber-Perdana Menteri-kan Ismail Hashim!

Jika calon Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memerlukan pengaruh dari Oprah Winfley, hos rancangan bual-bicara The Oprah Winfley Show yang dinobatkan sebagai selebriti paling berpengaruh di dunia oleh majalah Forbes maka adakah usaha kerajaan Melaka ini boleh dilihat sebagai meraih pengaruh dari Datuk Shah Rukh Khan yang juga hos kuiz popular 'Kaun Banega Crorepati' yang dinobatkan sebagai lelaki Asia paling seksi di dunia tahun 2007 oleh akhbar Eastern Eye bagi membolehkan Mohd Ali Rustam mengalahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden? Pastinya hati ahli Wanita dan Puteri Umno akan tersentuh jika melihat lakonan melankolis Datuk Shah Rukh Khan dalam Baazigar, Darr, Anjaam, Dilwale Dulhania Le Jayenge, Dil To Pagal Hai, Kuch Kuch Hota Hai, Mohabbatein, Kabhi Khushi Kabhie Gham, Kal Ho Naa Ho dan Veer-Zhaara.

Melaka yang diisytiharkan sebagai 'Bandaraya Bersejarah' oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamed 12 April 1989 sememang benar-benar bersejarah pada hari ini. Apapun jika satu masa nanti saya menampa sejarah peribadi mendapat anugerah ‘Datuk’, saya berharap ianya bukan dari negeri Melaka. Sekurang-kurangnya apabila ada orang mempersoal, saya masih boleh menjawab, "Datuk saya bukan Datuk Melaka!" .

Sehingga kini saya masih mencuba untuk tidak mempercayai berita ini dengan harapan beberapa hari lagi Bernama dan seluruh media akan mengeluarkan kenyataan “Ralat” kerana berita tersalah lapor atau tersalah tulis "Nasir Bilal Khan" sebagai "Shah Rukh Khan". Jika tidak, gelaran 'Datuk' Melaka itu akan sama nilainya dengan sekeping VCD Bollywood berharga RM9.90 di Pasaraya Besar Mydin!

---------------------------------
* Saya copy artikel ini sepenuhnya daripada KL Pos.. Tulisan ini tidak menggambarkan sepenuhnya pendapat saya...

Sunday, October 19, 2008

Menyantuni keluarga mangsa ISA menjelang Aidilfitri

"BOLEH kita ke Negeri Sembilan esok, sampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa ISA dan kalau larat ke Johor ..."

Aduhai, serba salah tatkala menerima SMS Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman, lewat malam 27 September lalu. Maklumlah saya sedang bersiap-siap mengemas untuk pulang ke kampung...nak raya sakanlah katakan. Ish! Tak boleh ke tunggu lepas raya hulurkan dana, bebel hati saya.

Seperti memahami resah saya, tidak semena-mena Lutfi menghubungi menjelaskan keadaan dengan berkata: "Ada yang tak bernasib baik, raya mereka tak sama macam kita ... lagi pun ramai penyumbang amanahkan kepada Harakah dan Harakahdaily, sampaikan sumbangan kepada mereka sebelum Hari Raya."

Terkedu seketika, dan keriangan saya yang memuncak tadi dicantas cerita sedih keluarga malang yang mendapat musibah akibat ISA, akta zalim yang tidak bermata, berjiwa dan berperikemanusiaan itu.

Akur dengan permintaan, lantas tiga hari menjelang Aidilfitri, pada Ramadan yang ke-28, selepas bersahur dan menunaikan solat subuh, kami (saya dan Lutfi) berangkat menuju ke Serting, Negeri Sembilan bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan sebelum Hari Raya ... sekurang-kurangnya dana diterima, buat pengubat duka dan meringankan beban seketika.
Dalam perjalanan dua jam itu, Lutfi 'membasuh' saya akan erti nilai-nilai keinsafan dan pengajaran pengalaman pahit yang dilalui oleh orang lain.

Beliau menceritakan kembali serba kepayahan yang menyesakkan dada, beberapa keluarga mangsa ISA yang ditemui di Sandakan, Sabah pertengahan Ramadan lalu, bersama rakan wartawan Anis Nazri dan jurufoto Wan Zahari.

Ya ... bayangkanlah anda sama ada sebagai guru, penoreh getah, peniaga, anggota polis, wakil rakyat mahupun bergelar menteri, tidak akan sanggup melalui ujian 'maha hebat' ...dipisahkan daripada insan tersayang, ada yang selama tujuh tahun.

"Usahkan lapan tahun, lapan jam tak bertemu anak pun kita dah rasa gelisah ... tapi tergamak kerajaan mendera jiwa dan perasaan mereka. Ada kalangan anak yang mengalami kemurungan dan gangguan mental sehingga dihantar ke pakar jiwa," cerita Lutfi kepada saya yang memandu laju.

Kebetulan melalui Kuala Pilah, saya meminta izin Lutfi untuk singgah sebentar di Mahad Ittiba As-Sunnah, sebuah madrasah di mana suatu ketika dahulu saya pernah menuntut ilmu Harfiah (menterjemah al-Quran) dan mendalami pengetahuan agama selama setahun.

"Kebetulan mak saya juga tinggal sendirian di sini ... jadi nak jumpa kejap," kata saya. Selesai melepaskan rindu kira-kira 20 minit dengan ibu yang tercinta yang sudah sebulan tidak bertemu, kami meneruskan perjalanan selama setengah jam ke pekan Bahau untuk bertemu rakan wartawan Wan Nordin Wan Yaacob yang pada ketika itu sedang membantu ayahnya berniaga sayur di pasar berdekatan.

Dia menjadi 'penunjuk jalan' kepada kami ke rumah keluarga mangsa ISA di Serting. Tatkala bertemu Nordin, beliau dengan wajah sedikit kerut bersuara: "Tuan, keluarga tu dah balik ke kampung mentua di Keratong, Pahang ... aaa kalau nak saya tunjukkan jalan, bolehlah."

Tanpa banyak cerita, Lutfi menyanggupi lantas meminta saya mengekori Nordin dan memandu selama dua jam lagi ke Pahang demi mencapai tujuan asal misi.

Tekak cukup kering, mata seakan kuyu dibakar terik mentari pagi. Dalam hati rasa nak guna sahaja 'fatwa musafir' iaitu berbuka puasa kerana perjalanan yang jauh, tapi berjaya bertahan dan tak terluah pada Lutfi. Malulah ... budak-budak pun boleh puasa.

Tiba di Keratong Lima, Halimah Ishak, 46, dan bapa mentuanya yang dikenali sebagai 'Pak Anjang' menyambut kedatangan kami dengan penuh santun.

"Ini masuk tahun ke-7 suami Akak ditahan ISA. Selama itulah saya menyara lapan orang anak dengan menjual air soya," luah Halimah, isteri kepada tahanan Mohammad Khider, 43.

"Anak-anak akak yang kecil, hari-hari tanya bila ayah pulang. Tak sampai hati nak mendengarnya," sambungnya lagi dengan nada lebih pilu manakala bapa mentuanya sebak dan mengalirkan air mata mengenangkan kesempatan untuk bertemu semula anaknya di sebalik usia senjanya itu.

Pak Anjang, atau nama sebenarnya Kadran Mohamad, 85 tahun, bersembang dengan Lutfi tentang pengalaman hidup ditangkap polis semasa negara belum merdeka atas kesalahan amat kecil - terlupa memberhentikan basikal ketika melalui hadapan balai polis.
"Semuanya kehendak Allah. Dulu saya ditahan kini anak pula. Saya reda atas ketentuan Ilahi," katanya yang juga peminat setia Harakah. Ralit berbual, saya memintas dengan rasa bersalah untuk berundur diri kerana perjalanan kami masih jauh ke selatan tanah air.

Sebelum berangkat, Lutfi menyampaikan amanah penyumbang kepada Halimah sejumlah RM2,000 beserta duit raya kepada anak-anak beliau yang masih bersekolah.

Tepat jam 12.15 tengah hari, dari Keratong kami mengorak langkah ke Air Hitam, Johor untuk bertemu wartawan Salman Hussin dalam usaha untuk bertemu dua keluarga lagi yang telah menerima musibah yang sama si bapa merengkok tujuh tahun di bilik kurungan, kem Kamunting, Taiping, Perak.

"Memalukan saya sebagai orang Taiping sahaja ... asal sebut ISA sahaja, orang akan ingat bandar ni," kata saya pada Lutfi yang sedang merenung jauh di sisi cermin kereta. Barangkali cuba menyelusuri liku-liku keperitan yang dialami mangsa dan keluarga ISA.

Beliau begitu faham malah lebih dari itu. Kebetulan Lutfi adalah mangsa dan bekas tahanan ISA pada akhir 80-an.

"Duhai ... bonda, duhai ayahanda. Dengarlah rayuan anak anakanda ... yang jauh di mata. Tanpa kusedari, air mataku mengalir ..." lirik lagu kumpulan Exits yang berkemundang di radio kereta saya mengusik kalbu seketika.

Sesekali lagu raya menggamit nostalgia apatah lagi tatkala menjelma lebaran pada saat dirampas dan dipisahkan kasih sayang bertahun lamanya.

Melihat kiri kanan jalan raya, suasananya agak lengang. Mungkin sudah ramai yang pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga tercinta. "Orang di Johor dah mula berangkat pulang, yang kita datang ke sini pula ... terbalik kot nampaknya," kata saya yang cuba menghilangkan sedikit kepeningan kerana memandu terlalu lama.

Jam 2.00 petang kami tiba di sisi kiri jalan di Pekan Ayer Hitam tatkala melihat Salman yang sudah menunggu kami dan tanpa membuang masa, saya pun melakonkanlah aksi kepenatan yang melampau untuk meraih simpati.

"Aaah, dah tau dah. Asal datang Johor je, akulah yang kena memandu. Tak pe, tak pe, tidurlah dulu," kata Salman bergurau. Kecil tapak tangan, padang golf saya tadahkan, kata saya sambil melabuhkan badan di belakang kereta.

Salman memandu selama dua jam lagi dan kami tiba di rumah keluarga Dr Abdullah Daud, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Skudai jam 4.45 petang, lewat Asar.

Isteri beliau, Zakiah Mat dan empat anaknya menyambut kedatangan delegasi Harakah dengan rasa sedikit segan dan silu. Manakala tujuh anaknya tidak berada di rumah.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Ketua Pemuda dan Ketua Muslimat PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Athiah Ahmad bersama AJK Perhubungan PAS negeri, Arbiah Kasman.

"Suami dan menantu saya ditahan pada Januari 2002 sebelum menunaikan solat subuh. Rumah kami digeledah sementara kami sekeluarga diarah duduk di anjung rumah bersama anak-anak yang lain," kata Zakiah menceritakan trauma enam tahun lalu.

Wajahnya yang kelam dan tunduk ketika ditemu bual, menzahirkan segala kesusahan yang dirasai. Menampung kehidupan, isteri bekas pensyarah ini membuat dan menjual kuih 'tepung pelita' sekitar kawasan perumahannya.

"Mujurlah ada juga jiran yang bersimpati. Mereka hantar anak-anak mereka untuk saya jaga dan dengan cara itu mereka beri bantuan dana sedikit sebanyak," katanya yang tidak bercadang untuk melawat suaminya atas faktor kewangan.

"Mana-mana anak yang dah besar dan mampu, mereka pergi sendiri melawat ayah mereka di Taiping. Saya kena teruskan kehidupan dan tampung perbelanjaan keluarga seharian di sini," katanya menahan air matanya tumpah.

Sambil mewancara, saya menunjukkan keratan Harakah lalu kepada Zakiah, kisah sama menimpa sebuah keluarga di Simpang Durian, Negeri Sembilan yang meruntun hati, dengan tajuk, "Acik, bawa ayah balik ya." Kalimah itu masih terngiang-ngiang lagi di benak saya.

Hampir sejam menyantuni keluarga ini, Khairul dan Athiah menyampaikan sumbangan orang ramai dan PAS Johor kepada keluarga Abdullah ini, disusuli Lutfi mewakili Harakah menghulurkan jumlah yang sama seperti keluarga di Negeri Sembilan tadi.

"Ini program yang kami lakukan setiap kali menjelang lebaran dan perkembangan keluarga mangsa sentiasa kami pantau dari semasa ke semasa dan kita sentiasa memberi sokongan moral dan material kepada mereka khususnya mengenai pendidikan anak-anak," kata Ketua Pemuda PAS Johor itu.

Sambung Athiah pula: "Semoga suaminya dibebaskan segera. Saya tahu perasaan ditinggalkan dan dipisahkan sebab saya sendiri sudah ketiadaan suami yang meninggal dunia empat tahun lalu. Perit, pilu dan sedih ... semuanya bercampur-baur, janganlah aniaya wanita seperti yang berlaku kepada Zakiah ini."

Selesai menyempurnakan amanah, kami meluncur laju selama dua jam lagi ke Kampung Sungai Tiram di Ulu Tiram Johor untuk bersua dan menyelami keluh gelisah sebuah keluarga dua beranak yang terpisah daripada suami dan ayah selama tujuh tahun kerana dituduh menyertai Gerakan Jemaah Islamiyah - tuduhan yang sama ke atas suami Halimah dan Zakiah.

"Kalau tuduh, bawa ke mahkamah dan kalau salah dihukum. Bukannya dicap sebagai bersalah selama-lamanya macam ini, sampai kadang-kadang orang pulau dan anak-anak jadi tertekan," getus Lutfi pada Salman dengan nada sedikit marah. Mungkin sebab letih dan lapar agaknya, bisik hati saya.

Berada di belakang kereta, saya sambil beralaskan setimbun akhbar Harakah dan beberapa buku '20 tahun Harakah' sebagai 'bantal' mamai dibuai mata yang amat mengantuk, antara dengar dan tidak perbualan hangat kedua-dua mereka di depan kereta.

"Amacam selebriti kita, Azhan. Juara Akademi Nasyid tu ada call kah?" saya bersuara mengusik Salman.

"Alaa ... orang terkenal dan dah mula sibuk, manalah sempat jumpa kita," kata Salman bersuara ala-ala merajuk.

Ya, saya dan Lutfi pernah bertemu Azhan dan Salman awal tahun 2007. Ke mana sahaja Salman pergi, di situlah Azhan mengiringi.

Ketika itu Azhan, berbaju merah Unit Amal sedang bersiap-siap nak membantu mangsa banjir besar di Johor. Dalam kekurangannya dan penglihatan yang kabur, masih setia membantu golongan yang susah dan dilanda bencana.

Malu juga, orang kurang upaya boleh menandingi orang seperti saya yang segar-bugar dalam hal-hal kemanusiaan.

Belum sempat nak melayan mata dan melempar mimpi siang hari, kereta terasa terhenjut-henjut dan tersagat.

Rupanya perjalananan kami melalui kawasan ladang sawit yang berbongol dan becak menuju jauh di pedalaman ke Kampung Sungai Tiram. Turut mengiringi kami, aktivis PAS Tebrau, termasuk Yang Dipertuanya, Roslani Sharif.

Tepat jam 6.15 petang, isteri mangsa akta kejam, Saodah Matin, 26, menjemput kami ke ruang tamu setibanya kami di rumahnya manakala anaknya Hawa Baraah Zakaria, 7, kelihatan canggung dan takut-takut. Tangannya tak lekang dari jemari ibunya itu.

"Maafkan saya. Anak saya ini agak takut-takut sejak penahanan ayahnya itu sehingga dia merasakan ada orang nak memisahkan antara saya dan dia.

"Malah jika saya keluar atau mengajar, dia sangkakan yang saya nak tinggalkan dan membenci dirinya. Dulu dia salahkan ayah kerana tinggalkan dia ...," jelas Saodah yang kelihatan tenang dari raut matanya.

Akibat daripada trauma dan ketakutan yang amat sangat, Hawa tidak pernah bersekolah sedangkan rakan sebayanya sudah berada di dalam darjah satu. Tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran, Saodah mengupah guru mengajar di rumahnya dengan bayaran RM200 sebulan.

"Saya sendiri tidak bekerja sebab anak takut nak berpisah. Ayah, mak, jiran dan rakan-rakanlah yang banyak membantu menyara mana yang mampu keperluan kami ini," katanya yang masih terkenang hari penangkapan suaminya itu di Kota Bharu Kelantan, seminggu selepas Hari Raya pada Disember 2002.

Jika diizinkan, beliau akan menemui suaminya, Zakaria Mat di Kamunting pada Hari Raya kedua, bagi mengelak kesibukan Aidilfitri termasuk kesesakan kenderaan di jalan raya.

Tidak mahu membuai perasaan dengan lebih lama dan menambahkan sayu di dada, tambahan pula waktu menghampiri waktu berbuka, Lutfi beserta beberapa pimpinan PAS kawasan menghulurkan bantuan keperluan dapur dan dana mangsa ISA.


Sejumlah RM2,000 hasil simpati orang ramai yang menyumbang wang secara 'online' ke tabung ISA di laman web Harakahdaily dihulurkan.

"Terima kasih banyak-banyaklah Harakah dan PAS kerana banyak membantu kami sekeluarga," celah ibu Saodah yang terharu dengan kepulangan kami dan kami terus ke bandar berdekatan seraya dijemput pimpinan kawasan untuk sama-sama berbuka puasa.

Selesai menjamu selera, ada yang meminta kami tidur semalam dan hadir ke beberapa program PAS keesokan harinya namun sempat disambut dan ditolak Lutfi dengan nada mengusik saya.
"Aaaii, kacau nanti, Azamin terpaksa raya di Johor pulak. Dia ni sibuk nak balik kampung sangat dah ..." kata Lutfi disambut ketawa semua.

Beransur pulang kami singgahkan Salman di Ayer Hitam dan meneruskan pemanduan semula ke Kuala Lumpur.

Di pertengahan jalan, saya bersuara: "Tuan, kita berhenti di hentian rehat lebuh raya sekejap."

"Kenapa?" tanya Lutfi lantas tanpa segan saya menjawab: "Lapar ..."

"Macam mana nak berjuang kalau macam nih?" kata Lutfi bergurau lalu berhenti di hentian Pagoh dan jam 11 malam kami masih di Johor lagi.

Setelah mengisi tangki perut, mata menjadi semakin terang, fikiran kembali lapang, saya tanpa lengah memecut laju.

Ketika tiba di Kuala Lumpur kira-kira jam 2.00 pagi, telefon bimbit Lutfi berdering, lantas menjawab panggilan lewat itu.

"Awak tinggalkan saya di sini. Ada orang nak jumpa sekarang, nak bagi sumbangan ISA lagi. Mereka nak saya sampaikan sebelum Hari Raya dan ada yang khusus untuk keluarga tertentu," kata Lutfi lantas saya memberhentikan kereta di kawasan sekitar Ampang.

"Azamin ... kita tak tahu lagi ujian dan bahagian kita. Orang lain taklah sesenang kita dan kita dah tengok sengsara dan derita orang, giliran kita entah macam mana.

"Nak bantu cara lain tak daya dah ... selagi mampu kita tolonglah dengan cara macam ini," kata Lutfi sambil menutup pintu kereta dan lafaznya itu berbekas dan 'menikam' hati saya yang meninggalkan beliau 'meneruskan' perjuangan misi bantuan kemanusiaan walaupun kepenatan dan sayu Aidilfitri sudah menggamit jiwa.
Sumber :- di sini..
------------------------------
*Mohd Nazmi merupakan salah seorang penentang kepada apa jua unsur mahupun undang-undang yang punya warna zalim di dalamnya. Saya bertanggungjawab pada artikel ini demi menentang kezaliman di bumi Allah ini !!!
------------------------------

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 19 Oktober 2008

Zalim Barangkali


Cuba anda bayangkan, suatu hari semasa anda sedang enak menjamu selera bersama keluarga, tiba-tiba datang sekumpulan polis menangkap anda.

“Anda ditahan di bawah ISA kerana disyaki menganggu ketenteraman awam!”

“Tapi..,izinkan saya membela diri, saya tidak bersalah encik”

“Takde tapi-tapi. Ikut kami ke tahanan sekarang!”

Tanpa banyak bicara dan tanpa peluang untuk mempertahankan diri dari tuduhan anda terus ditahan berhari-hari. Menangis ibu anda memperhatikan anda. Mengalir air mata anak dan isteri melihat hilangnya tempat bergantung.Tidak tahu mereka sama ada anda benar atau mereka yang benar.

Tiada ruang perbicaraan dibuka.

Kawan-kawan, Zalim , tak??

“Kita menggunakan akta ini adalah untuk mengelakkan gangguan awam yang lebih teruk”

“ISA diguna bila keadaan mampu menggugat kesejahteraan negara”

Benar perkara tersebut. Kita tidak nafikan ISA amat berjasa besar sewaktu zaman komunis dahulu. Tapi itu dahulu. Zaman K.O.M.U.N.I.S

Zaman sekarang dah lain. Pelik, rakyat awam juga boleh ditahan.

Sepanjang yang pernah saya belajar dalam mata pelajaran undang-undang dahulu, “seseorang tidak akan didapati bersalah sehingga ia dibuktikan bersalah”

Ya, perhatikan ayat tersebut, “DIBUKTIKAN BERSALAH”

Berbeza pula dengan hokum karma ISA . Pemerintah boleh menahan sesiapa sahaja yang dirasakan macam nak kena tahan untuk ditahan.

Kawan-kawan, sekali lagi, zalim …tak???

MasyaAllah. Saya tidak kisah jika negara ini dikata negara komunis atau sekutu dengannya.

Amat memalukan pabila negara yang dikatakan negara Islam contoh ini sanggup menggunapakai system zalim sebegitu rupa pada penduduknya.

Tidak, ini bukan ajaran Islam yang di bawa Rasulullah. Setahu saya, Islam amat menitikberatkan persaksian yang benar dan bukti sebelum menjatuhkan sebarang hokum.Untuk membuktikan seseorang itu bersalah dan patut dijatuhi hukuman pun amatlah berhati-hati.

Oleh kerana itu, hokum hudud yang termaktub dalam Al-Quran lebih berupa ancaman dan ugutan namun amat ketat perlaksanaannya demi menutup ruang penyalahgunaan dan ketidakadilan berlaku.

Udahlah penahanannya Ikut Suka Aku. Isu yang terkini asbab pada penahanan pula adalah isu agama. Jika diamati, sememangnya tidak adil pada mereka (Theresa Kok and the gang) kerana pemerintah sendiri tidak menunaikan tanggungjawab dengan baik dalam menjelaskan kefahaman Islam kepada mereka. Bagaimana kita hendak berdakwah kepada mereka sekiranya kita bersikap keras sebegini?

Maka disebabkan oleh rahmat Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka.Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling kamu….” (Ali Imran : 159)

Astaghfirullah, Ya Allah, mudah-mudahan , Fitnah terhadap agama kami tidak semakin bertambah. Selamatkanlah kami ya Tuhan..
* Gambar: Isteri tahanan ISA Zalim.
-------------------------------
*Mohd Nazmi merupakan salah seorang penentang kepada apa jua unsur mahupun undang-undang yang punya warna zalim di dalamnya. Saya bertanggungjawab pada artikel ini demi menentang kezaliman di bumi Allah ini !!!

Usik-usik Mat Naim

Seorang ‘pendidik’ memberi arahan kepada murid-muridnya..
“Hampa semua jangan naik atas simen ni kalau hampa pakai kasut, buang kasut kat tepi”
“oklah ‘pendidik’ ”,
jawab murid-murid.
“Eh, ‘pendidik’ pun pakai kasuit jugak, kotoq la simen ni”, kata Meon
“ Takpa, aku teguq nanti, ‘pendidik’ lupa kot?”, husnozon Mat Naim.

“ En ‘pendidik’ , awat en ‘pendidik’ tak buka kasuit, kotoq la simen ni”, kata Mat Naim kepada ‘pendidik’.
“ Hang silap arahan ni, arahan tu untuk hampa sebagai pelajaq, bukan untuk aku sebagai pendidik”, herdik ‘pendidik’..

USIK-USIK Mat Naim

Mauidzah: Waktu makruh mendirikan solat sunat tidak bersebab


Andai kata dengan hanya sekali mendirikan solat 'istikharah' belum mendapat sebarang tanda kebaikan, ulangi kali kedua dan seterusnya.

Di kalangan ulama ada yang berpendapat bahawa ulangi solat teresebut hingga satu minggu. Kadang kala Tuhan buka pintu hati kita dengan istikharah itu, ada ketikanya Tuhan kurniakan melalui sahabat yang ikhlas.

Dalam perbualan ditakdirkan sahabat itu menyentuh perkara tersebut, lalu terjawablah istikharahnya kepada Allah SWT.

Ada kalanya Tuhan kurniakan petunjuk melalui mimpi dengan jelas, diceritakan secara nyata dan fahamlah melalui mimpi itu. Ada ketikanya mimpi itu memerlukan 'ta'bir' melalui orang yang arif tentang rahsia mimpi.

Kini tiba ketikanya untuk menghuraikan tentang waktu yang makruh untuk tunaikan solat sunat. Dalam erti kata bahawa masa 24 jam yang dikurniakan Allah SWT, tidak seluruh waktu boleh digunakan untuk solat.

Meskipun solat merupakan ibadat yang terunggul di sisi Allah SWT, namun ibadat tersebut mesti mengikut cara peraturan yang dikehendaki-Nya.

Walau bagaimana indah dan baiknya sesuatu ibadat mengikut pandangan sendiri, Tuhan akan ditolak ibadah itu sekiranya tidak menepati kehendak Allah SWT.

Dalam banyak perkara yang perlu waspada adalah mengenai waktu, terdapat lima ketika yang makruh melakukan solat.

Pertama, selepas solat Ashar. Kedua, sesudah solat Subuh. Masa ketiga waktu gelincir tengah hari (zawal). Waktu keempat ketika mata hari sedang naik di ufuk timur. Detik kelima ketika mata hari sedang jatuh di ufuk Barat.

Semua lima waktu yang dinyatakan itu makruh mendirikan solat yang tidak bersebab, seperti solat sunat mutlaq, termasuk solat sunat hajat kerana yang menjadi sebab musababnya muncul kemudian (mutakhir).

Adapun solat yang bersebab seperti qadha solat ratibah (kapit solat fardhu) lantaran sesuatu sebab, dengan mengqadha solat ratibah bagi melazimkan solat sunat tersebut yang lazimnya dilakukan. Hanya lantaran keuzuran tertentu solat tersebut tertinggal.

Termasuk dalam solat bersebab ialah solat gerhana (kusyuf), solat jenazah. Bagi solat bersebab tidak dimakruhkan melakukannya pada lima ketika yang dinyatakan itu.

Sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri, diriwayatkan: Bahawa Nabi s.a.w. pernah solat dua rakaat selepas solat Ashar, lalu seorang sahabat bertanya; ya Rasulullah, bukankah kamu pernah melarang kami solat selepas solat Ashar?

Berkata Nabi s.a.w.: "Bahawa dua rakaat yang aku dirikan itu sebagai ganti (qadha) solat dua rakaat selepas Zuhur, oleh kerana ada tamu datang ke rumahku menyebabkan aku tidak sempat solat sunat selepas Zuhur."

Hadis kedua yang menjadi dalil bahawa Nabi s.a.w. pernah menggunakan waktu yang makruh untuk qadha solat tahajud, hadis tersebut riwayat Saiyidatina 'Aisyah r. anha katanya: "Nabi s.a.w. apabila sekali sekali terlalu mengantuk atau sakit, menyebabkan beliau tidak boleh bangun malam untuk tahajud, maka baginda s.a.w. qadha solat pada awal pagi (selepas solat Subuh) dua belas rakaat."

Hadis tersebut menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. pernah mendirikan solat qadha tahajud pada awal pagi, iaitu waktu yang dimakruhkan mendirikan solat yang tidak bersebab. Oleh kerana Nabi s.a.w. mempunyai sebab mengapa beliau tidak dapat bangun solat tahajud malam, maka digantinya solat tahajud itu pada awal pagi.

Rahsia dimakruhkan oleh syara' mendirikan solat pada waktu tersebut ialah untuk mengelak daripada menyerupai penganut agama para penyembah mata hari.

Sesungguhnya Islam mengajar umatnya supaya beribadat dengan caranya sendiri, seperti yang ditegaskan oleh al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Tidak meniru atau menyerupai ibadat agama lain termasuk penyembah mata hari.

'Illat tersebut meskipun berkait khusus dengan perkara solat, namun ia meliputi perkara yang lain termasuklah dalam soal akhlak atau adab dan soal menutup aurat (terutama bagi wanita) yang diwajibkan menurut al-Quran, hatta berpolitik dan mentadbir negara secara Islam.

Dengan cara demikian jelaslah perbezaan antara peribadi atau cara hidup orang Islam yang beriman, dengan masyarakat kuffar yang lain.

Kemurnian Islam amat nyata pada pandangan masyarakat umum, antara cara hidup orang yang berlandaskan iman kerana beramal dengan syari'at Islam, dengan golongan yang mencabar syari'at Allah SWT.

Di antara jenis ibadat di kalangan manusia kufur kepada Allah SWT ialah ibadat menyembah mata hari. Ibadat tersebut dilakukan ketika mata hari naik di awal pagi, ketika tengah hari mata hari gelincir (zawal) dan ketika mata hari jatuh ketika senja.

Justeru jika umat Islam mendirikan solat ketika tersebut, ia dianggap menyerupai ibadat penyembah mata hari, kecuali solat qadha dan solat yang bersebab.

Berdasarkan peristiwa qadha solat sunat yang berlaku kepada Nabi s.a.w., Imam Ghazali juga berpendapat bukan saja solat sunat, tetapi seseorang mempunyai amalan wirid, lalu terhalang kerana sesuatu keuzuran, maka wirid tersebut perlu diqadha pada waktu yang lain. Sehingga dia merasa tidak mengapa duduk sahaja tanpa wirid itu.

YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat
Menteri Besar
Negeri Kelantan Darul Naim

Tuesday, October 14, 2008

Makluman : Berpisah seketika

Assalamulaikum wtb Salam Perjuangan

Saya mengambil peluang ringkas ini untuk memperkatakan beberapa perkara sebagai makluman kepada pengunjung blog “Dakwah Itu Perlu Hikmah” ini. Pertama sekali, terima kasih atas sokongan sahabat-sahabat yang sentiasa hadir, menatap dan membaca blog saya walaupun kekerapan update dah semakin terbatas. Blog saya ini tidak lebih di dalamnya perihal peribadi saya dan juga ulasan saya sendiri terhadap beberapa isu pada kacamata sendiri.

Kedua, kepada sahabat-sahabat yang ingin memberi komen pada sesuatu artikel, klik lah “comments” di penghujung setiap artikel saya. Dan tinggalkanlah komen anda di situ. Pada saya ini adalah langkah yang terbaik daripada anda meninggalkan komen di shoutbox saya kerana komen yang baru akan menolak komen yang lama ke bawah dan begitu jugalah seterusnya dan akhirnya komen anda akan hilang begitu saja ja..Komen anda akan kekal bersama artikel saya dan kita boleh berbincang di situ…

Ketiga, Bitaufiq Wan Najah pada adindaKu Azimah Abdul Ghani yang menduduki peperiksaan PMR. Moga berjaya dengan jayanya dan mampu menjadi Insan yang cemerlang di dunia dan juga akhirat. Insya Allah.

Yang akhirnya, bermula esok blog ini akan berehat buat seketika. Saya akan berada di PULAKO IPR, Bintangor dari esok 15 Okt hinggalah 18 Oktober. Kemudian pulang semula ke IPTAR. Dan pada 20 Oktober hingga 23 Oktober saya akan berada di IPTAA, Kuala Lipis, Pahang. Doakanlah perjalanan saya selamat pergi dan selamat kembali. Moga kita berjumpa lagi. Jika punya batasan waktu yang mencukupi, saya kira, update pada blog ini akan berlaku. Jika tidak, mungkin selepas 23 Oktober kita akan berjumpa lagi. Salam Jihad.. Salam Perjuangan.

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 14 Oktober 2008

Kedah mahu pertahan tiga piala

ALOR STAR - Skuad bola sepak Kedah yang akan menampilkan beberapa muka baru musim depan percaya mampu mempertahankan tiga kejuaraan yang digondol berdasarkan keupayaan barisan pemain yang dimilikinya pada masa ini, lapor SHARIZA ABDULLAH.

Meskipun ramai yang meramalkan sukar untuk Kedah meraih tiga kejuaraan buat musim ketiga berturut turut, namun ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah (gambar) tetap optimis dengan keupayaan pasukan Hijau Kuning yang rata-rata masih dibarisi muka lama.

Katanya, 90 peratus pemain Kedah yang membantu pasukan itu menjulang kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia sejak dua musim lalu masih kekal bersama Sang Kenari dan menyifatkan mereka masih berada di puncak prestasi.

"Kedah memiliki barisan pemain yang hampir sama dengan musim lalu, cuma bezanya tiada pemain import. Isya-Allah kami akan mempertahankan tiga kejuaraan yang diraih.

"Kehadiran muka-muka baru yang dijangka mengikat kontrak dalam tempoh terdekat juga dipercayai dapat memantapkan lagi pasukan Kedah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mohd. Azraai berkata, barisan pemain mudanya yang semakin matang dan kerap kali menempuh perlawanan Liga Malaysia pada musim lalu tanpa khidmat pemain import memberi kelebihan kepada Hijau Kuning untuk meneruskan prestasi cemerlang pada tahun depan.

Bagaimanapun, katanya, Hijau Kuning dijangka akan menghadapi saingan sengit daripada beberapa pasukan terutama Terengganu dan MyTeam.

Dalam pada itu, dia memberitahu skuad Kedah akan memulakan latihan bermula 23 Oktober ini iaitu sejurus selepas kontrak baru para pemain dan pengurusan ditandatangani.

Katanya, tiga pemain Kedah tidak akan disambung kontrak mereka manakala muka-muka baru yang ingin dipikat Kedah kini hampir pasti menyertai pasukan itu dalam tempoh terdekat.

"Kami terpaksa melepaskan beberapa pemain kerana pada musim ini semua pasukan hanya dibenar mendaftarkan seramai 25 pemain sahaja berbanding 30 orang pada musim lepas," katanya.
Utusan Malaysia

Sunday, October 12, 2008

Diariku...Sebuah catatan

*Sebuah catatan Muslimah pejuang...

4.30 pagi

Terasa hangat kucupan pada dahi ini. Ku lihat zauji di sebelah sudah siap berjubah putih dan berkopiah. Lantas daku hadiahkan sekuntum senyuman buat zauji. Sungguh semangat dia pagi itu. Mungkin kerana malam semalam dia tidak ada tugasan di luar. Kalau tidak nampak juga wajah keletihannya jika pulang lewat dari mesyuarat atau usrah cawangan. Namun, ianya tidak pernah tinggal.


Ya Allah, bersyukurnya aku padaMu kerana dikurniakan aku seorang suami yang soleh. Kau tetapkanlah imannya, kekalkanlah ketaqwaannya padaMu, dan eratkan lagi kasih sayang yg telah Engkau berikan kepada kami. Ameen!

6.30 pagi

Selesai menunaikan solat subuh dan mengaminkan doa kudus zauji, seperti biasa zauji akan memberikan sedikit kuliah buatku. Wajahnya sangat tenang. Walaupun ku tahu disebalik ketenangan itu terlalu banyak tugasan yang perlu zauji selesaikan. Jawatan sebagai Ketua Pemuda Kawasan membuatkan waktu untuk kami bersama amat terhad. Jadi, waktu beginilah zauji manfaatkan bersamaku. Aku redha dan pasrah, malah aku bangga miliki zauji. Dialah suamiku dunia akhirat.

8.00 pagi

Pagi sabtu begini zauji ada mesyuarat mingguan di Taman Melawati. Lagipun pula sekarang sedang hangat isu pilihanraya umum, semakin sibuk insan kesayanganku itu, kekadang tak sampai hati melihat keadaan zauji. Ke sana dan ke mari menjalankan tugas. Namun tak pernah ia merintih dan mengadu. Aku persiapkan kelengkapannya untuk mnghadiri mesyuarat. Baju dan seluarnya telah siap ku gosok. Kopiah, sapu tgn, dan stoking sudah pun kucuci, ku susun rapi di atas katil. Zauji kata hari ini dia perlu bawa fail Tarbiyyah dan Siasah. Aku capai fail2 yg sedia tersusun rapi di atas rak dan ku satukan bersama pen dan beberapa helai kertas kosong untuk zauji membuat catatan dan ku letakkan ke dalam briefcasenya.

Aku bergegas ke dapur. Melihat pisang yang ku goreng. Zauji sedang menikmati teh panas, aku suakan pisang goreng ke mulutnya. Zauji tersenyum, katanya pisang gorengku sedap, lantas cubitan manjaku singgah ke pipinya yang semakin usang dibawa usianya yang semakin meningkat.

Ya Allah, bahagianya aku pagi ini. Kau lindungilah suamiku, permudahkanlah tugasnya dan peliharalah dia. Kekalkanlah kemesraan ini hingga ke akhir hayat kami?

Sebelum zauji pergi ke Taman Melawati, dia berpesan padaku agar menjaga diri baik-baik. Zauji berjanji akan pulang selepas sahaja habis mesyuarat. Aku betulkan kopiah zauji yg senget sedikit. Aku pastikan segala kelengkapan yang perlu zauji bawa tidak tertinggal. Aku kucup tangan kasar zauji yg telah banyak bersusah payah mencari rezeki untuk kami sekeluarga. Walau tak seberapa gaji zauji terima, namun keberkatan dari Allah, wang yang sedikit itulah mengajar kami bersifat zuhud dan bersederhana dalam apajua keadaan. Zauji mengucup dahiku. Sebak rasanya di dada. Aku rangkul tubuhnya yang nampak letih namun di dalamnya membara darah hangat semangat seorang pejuang yg bakal mengalir titisan saga seorang mujahid. Jelas di wajahnya kerisauan utk meninggalkan diriku berseorangan di rumah. Namun ku yakini zauji bahawa aku pandai menjaga diri. Zauji mengucapkan terima kasih kepada ku kerana menyiapkan kelengkapannya pagi itu dan sarapan untuknya.

Sama-sama zauji, berjuanglah wahai mujahid Allah.

10.00 pagi

Alhamdulillah, Semuanya telah selesai. Baju sudah siap ku cuci dan ku sidai. Aku pastikan keadaan rumahku berada dalam keadaan bersih. Walau kecil rumah yang zauji sediakan untuk kami berteduh, namun aku tidak pernah merungut. Di rumah kecil inilah kami menyemai kasih sayang. Aku redha bahawa seorang isteri solehah tidak akan mengungkit-ungkit akan pemberian yang diberikan oleh suami, apatah lagi meminta-minta sesuatu yang diluar kemampuan zauji.

Selepas selesai segala kerja-kerja rumah, aku ke bilik khas tempat di mana zauji dan aku menyimpan fail-fail jemaah dan tempat kami berbincang. Rak buku yg mengandungi buku zauji dan buku ku yg kami kumpul sejak di universiti lagi. Zauji memang minat membaca.

Aku membelek-belek planner dan sesekali aku mengerling ke arah jadual yg sedia terlekat di dinding. Sepatutnya aku ada usrah tetapi terpaksa dibatalkan. Waktu yg lapang ku cuba siapkan kerja-kerja zauji. Zauji kata, kalau ada masa lapang, buatkan teks tazkirah dan ceramah utknya. Zauji selalu juga mendapat undangan ceramah dan tazkirah setiap malam isnin, zauji akan memberi kuliah maghrib di surau berdekatan rumah kami. Zauji tahu aku tidak mempunyai ilmu yg mantap sepertinya, namun zauji selalu memberikan ku keyakinan padaku yg aku boleh. Jika ada kesalahan pada teks ku, zauji akan memperbetulkan dan memberi penerangan kepadaku.


11.45 pagi

Zauji baru sahaja telefon. Katanya mesyuarat baru sahaja habis. Aku bergegas ke dapur melihat asam pedas yg ku masak tadi. Tentu zauji suka, aku pastikan segalanya dalam keadaan sedia. Diriku bersih dan terurus, itulah tanggungjawab seorang isteri. Kedengaran bunyi motor zauji dari kejauhan. Aku buka sedikit pintu, tersenyum zauji melihatku. Gembiranya hati ini melihat zauji tersenyum. Lapang rasa hati, tenang pula dijiwa. Aku sambut kepulangannya dengan mengucup tangannya. Zauji lantas memegang tanganku, dihulurkan satu bungkusan kepadaku. Di dalamnya ada sepasang jubah berwarna merah jambu. Aku senyum kepada zauji., tanda terima kasihku.

Ya Allah, semoga zauji menjadi suami yg soleh dan ku menjadi pendampingnya yg solehah. RedhaMu adalah kemuncak segala cita-cita, moga baitul muslim ini kekal hingga akhir hayat kami, amin!

3.00petang

Petang ini seperti biasa zauji duduk bersamaku menyelesaikan tugasan jemaah. Zauji selalu berpesan kepadaku jika ada sesuatu yang perlu dibicarakan, maka luahkanlah, zauji memang tidak pernah mengabaikan perasaanku. Aku selalu meyakinkan pada zauji agar jangan risau tentang diriku. Aku takut diriku menjadi asbab akan gugurnya zauji dari perjuangan ini. Tidak ingin sekali-kali.

Ku dambakan hati setabah Khadijah, minda secerdik Aisyah, jiwa setenang Fatimah dan diri sehebat Sumayyah. Ingin aku hadiahkan ketabahan, kecerdikan, dan ketenangan itu kepada zauji. Moga zauji bangga memiliki zaujah seperti itu. Namun, kurasakan diriku amat kerdil dan jauh untuk ku capai maqam setinggi itu.

Zauji selalu meyakinkan bahawa aku zaujah yang baik, itulah doa buatku, moga doa zauji dimakbulkan Allah.

9.00 malam

Malam ini zauji ada tugasan di luar. Zauji diarahkan ke Kelantan untuk menghadiri mesyuarat bersama Tuan Guru. Aku siapkan kelengkapannya. Zauji kata, urusan ini mengambil masa seminggu. Sedih juga di hati ini, tapi aku harus terima hakikat bahawa zauji bukan milikku seorang. Allah adalah punya mutlak zauji kesayanganku. Maka aku mesti redha miliki suami ahli gerakan Islam. Sebelum zauji pergi, zauji menghulurkan sampul surat kepadaku. Aku tersenyum, zauji pun tersenyum. Pastinya surat buatku. Zauji pasti akan mengarang surat untukku jika dia bertugas di luar. Zauji akan menasihatiku dan memberikan perangsang buatku. Terima kasih zauji.

Zauji semakin hilang di kepakatan malam yg hening itu. Dia pergi utk menunaikan tanggungjawabnya kepada Islam. Selamat berjuang wahai mujahid Allah! Aku sentiasa di sini menanti kepulanganmu dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Ketahuilah zauji tercinta, tidak pernah walau sekelumit aku menyesal menjadi surimu walau selalu ditinggalkan. Malah, aku bersyukur dan merasa amat bangga kerana diizin Allah untuk bersamamu. Biarlah dunia ini penjara buat kita, namun di akhirat sana Allah pasti akan memberikan ganjaran pada hamba yg ikhlas dan sabar.
--------------------
::Dakwah Itu Perlu Hikmah::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 12 Oktober 2008

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin