Saturday, August 16, 2008

Zamri bukti semangat kental walau lengan terkena benet

BERSEMANGAT: Zamri (tengah) cedera dalam perbarisan sempena Istiadat Pertukaran Panji-Panji Rejimen Batalion Keenam RAMD, di Stadium Darulaman, semalam.
Zamri bukti semangat kental walau lengan terkena benet ALOR STAR: Semangat kental dan disiplin ketenteraan yang tinggi menjadi pendorong bagi seorang anggota tentera yang lengannya tertusuk benet M-16 rakannya ketika perbarisan Istiadat Pertukaran Panji-Panji Rejimen Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Stadium Darulaman di sini, semalam, untuk meneruskannya.

Anggota Batalion Keenam RAMD, Lans Koperal Zamri Md Sood, 29, cedera selepas lengan kirinya tertusuk benet senjata M-16 rakannya ketika melakukan rusuk senjata dalam perbarisan perarakan keluar padang Panji-Panji Rejimen lama, jam 9 pagi.

Zamri yang berlumuran darah bagaimanapun tetap meneruskan perbarisan sehingga istiadat itu tamat jam 10.30 pagi.

Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah merangkap Kolonel Yang Dipertua RAMD, kemudian melawat Zamri di bilik rawatan Stadium Darulaman di sini, sejurus istiadat pertukaran panji baru selesai.

Baginda Sultan juga mengarahkan Zamri dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan susulan. Pengerusi RAMD, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd Zin, berkata kejadian itu berlaku secara tidak sengaja.

"Saya kagum dengan semangat tinggi yang ditunjukkan Zamri. Selepas melihatnya cedera, beberapa pegawai mahu membawanya keluar untuk mendapatkan rawatan, tetapi Zamri enggan dan mahu meneruskan perbarisan kerana tidak mahu mencacatkan majlis," katanya ketika ditemui selepas tamat istiadat pertukaran panji-panji itu, semalam.

Beliau berkata, kecederaan yang dialami Zamri tidak serius, bagaimanapun beliau perlu dirawat kerana kehilangan banyak darah selepas bertahan lebih satu jam.

"Semangat yang ditunjukkan Zamri patut menjadi contoh kepada anggota lain. Saya juga bersyukur kerana walaupun kehilangan banyak darah, Zamri masih mampu meneruskan perbarisan," katanya.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin