Monday, August 18, 2008

Kedah melangkah ke akhir

KUALA TERENGGANU - Penyandang juara, Kedah melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia walaupun tewas 2-0 kepada Terengganu pada separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, malam tadi.

Kedah mara menerusi agregat 3-2 selepas menang 3-0 dalam separuh akhir pertama di Stadium Alor Star, empat hari lalu.Kemenangan tersebut sekali gus menemukan Kedah dengan Selangor dalam perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Ahad ini.

Selepas tumpas 3-0 di pada pertemuan pertama, Terengganu cuba bangkit dengan bertindak garang sebaik wisel perlawanan ditiupkan apabila mengasak pintu gol Kedah sejak awal saingan.

Tuan rumah berjaya membuka jaringan seawal minit keenam menerusi Md. Ashaari Samsuddin.Malah, Terengganu juga beroleh beberapa sepakan sudut, yang diambil Zairo Anuar Zalani pada minit 15 dan 20 tetapi gagal disempurnakan.

Kurang seminit sebelum tamat separuh masa pertama, Ashaari meletakkan Terengganu dalam keadaan selesa apabila menambah gol kedua.Pasukan Penyu juga menggandakan asakan di babak kedua dan hampir memperoleh gol ketiga pada minit ke-89, tetapi rembatan Ashaari sedikit tersasar ke kanan pintu gol lawan.

Kedah cuba bangkit dengan melancarkan serangan balas menerusi Marlon Alex James, namun rembatan pemain import Hijau Kuning itu diselamatkan penjaga gol Terengganu, Md. Sharbinee Allawee. Ahmad Fauzi Shaari juga cuba mencari jaringan pada minit terakhir permainan, tetapi Sharbinee sekali lagi menjadi wira menyelamatkan percubaan lawan.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin