Monday, August 25, 2008

Moga kekal momentum ini...

Lagi ganjaran buat pemain Kedah

ALOR STAR - Skuad bola sepak Kedah yang mencatat kejayaan cemerlang mempertahankan koleksi tiga piala buat dua musim berturut-turut mendapat dua khabar gembira apabila dijanjikan imbuhan dan bakal dikurniakan anugerah bintang selepas memenangi Piala Malaysia kelmarin.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, kerajaan negeri akan menimbangkan ganjaran yang setimpal kepada pasukan Hijau Kuning berikutan kejayaan terbaru mereka itu.

Bagaimanapun, kata beliau, bentuk ganjaran yang bakal diberikan hanya akan diputuskan selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan jawatan kuasa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Pada masa yang sama, katanya, pemain- pemain Kedah akan menerima Anugerah Bintang Semangat Jerai bagi menghargai kejayaan mereka dalam mengharumkan sukan bola sepak negeri.

Sultan Kedah, Tunku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijadual mengurniakan anugerah tersebut kepada para pemain di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

"Kami berasa amat bangga dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain Kedah. Ganjaran akan diberikan bagi menghargai jasa mereka," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis khas bagi meraikan kejayaan skuad Kedah mempertahankan koleksi tiga piala buat dua musim berturut-turut di Stadium Darul Aman di sini semalam.

Kira-kira 3,000 peminat dan penyokong setia Sang Kenari membanjiri pekarangan stadium itu untuk turut sama meraikan kejayaan berkenaan selain untuk melihat dengan secara lebih dekat tiga piala yang dimenangi Kedah yang dipamerkan pada majlis tersebut.

Sebelum itu, kepulangan skuad Hijau Kuning ke negeri ini pagi semalam disambut bagaikan wira oleh ribuan penyokong Sang Kenari dalam meraikan kejayaan pasukan kesayangan mereka itu.

Skuad kendalian Mohd. Azrai Khor Abdullah itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas di sini kira-kira pukul 9 pagi dengan disambut oleh para penyokong yang begitu teruja dengan kejayaan Kedah mempertahankan Piala Malaysia.

Wira-wira Kedah itu bersama tiga piala yang dipertahankan musim ini iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia kemudian diarak dengan menaiki kenderaan khas berwarna hijau kuning yang tertera tulisan 'Wira Kedah' dan 'Tiga Juara Dalam Dua Musim' sejauh lebih 10 kilometer dari lapangan terbang ke Stadium Darul Aman.

Perarakan tersebut turut melalui bandar raya Alor Star sambil diiringi oleh kira-kira 1,500 peminat setia pasukan berkenaan sebelum diraikan dalam satu majlis khas di stadium tersebut.

Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia malam kelmarin, Kedah mempertahankan kejuaraan piala paling berprestij itu selepas menewaskan Selangor 3-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

UTUSAN MALAYSIA
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Piala AFC misi terbaru Kedah

KUALA LUMPUR - Tiga gelaran Liga Malaysia (Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super) sudah disahkan milik Kedah tetapi bagi jurulatihnya, Azraai Khor Abdullah, masih ada misi yang perlu diselesaikan iaitu menentang kelab Bahrain, Al Muharraq dalam pusingan suku akhir Piala AFC pada 16 dan 23 September ini.

Malah skuad Si Kenari cuma diberikan rehat seminggu sebelum dikerah semula ke padang latihan walaupun pada bulan Ramadan, tidak lama lagi sambil mereka terpaksa melupakan khidmat trio wira import - Marlon Alex James, Cornelius Bernard Huggins dan Nelson Sam Martin.

Kata Azraai, Marlon dan Huggins dari St. Vincent & Grenadines bakal berhijrah ke kelab Liga Bola Sepak Utama (MSL) Amerika Syarikat, San Jose Earthquake dengan meninggalkan Kedah mulai Rabu ini sementara Nelson akan pulang ke Chile, Sabtu ini tetapi jurulatih itu mengambilnya dari sudut positif.

"Saya masih positif apabila Kedah turun tanpa import, seperti yang dibuktikan dalam perlawanan akhir Piala FA, kami bermain tanpa Marlon dan Huggins. Ada ketikanya Nelson juga digantung dalam liga kerana dua kad kuning," katanya pada sidang akhbar selepas Kedah menjulang Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Kedah, naib juara Kumpulan D mewakili Malaysia selain Perak dalam suku akhir Piala AFC dengan Si Kenari akan bertandang ke Stadium Kebangsaan, Manama bagi perlawanan pertama 16 September ini - gelanggang Al Muharraq, bekas naib juara Piala AFC 2006 dan juara Liga Bahrain.

Al Muharraq yang menjuarai Kumpulan A Piala AFC dikatakan dilatih Salman Sharida dengan memiliki dua pemain Brazil, Nelson De Silva dan Juliano Fernandez serta Jamal Abraror (Maghribi) selain membariskan lapan pemain kebangsaan Bahrain antaranya pemain tengah, Mahmoud Abdel Rahman dan penyerang, Abdellah Al Dekhil.

"Perlawanan keduanya di Alor Star pada 23 September. Ini satu pengalaman baru bagi saya, biasanya bagi dua minggu pertama bulan Ramadan, kami berehat dan hanya mula berlatih sekali sejam pada minggu ketiga tetapi kerana kejohanan berlangsung, ia perlu diubah," katanya.

Tanpa menamakan sesiapa, kata Azraai, Kedah kini mengadakan siri rundingan untuk mendapatkan beberapa pemain tempatan secara pinjaman bagi memperkuatkan barisan dalam usaha memburu satu lagi pencapaian bersejarah pada Piala AFC - persaingan bahagian dua kelab Asia selepas Liga Juara-juara Asia (ACL).

PRESIDEN KFA yang baru.....

Mengenai kejayaan membenam Selangor 3-2, kelmarin - mengulangi keputusan perlawanan akhir Piala FA di gelanggang lawan, Jun lalu, katanya, "ia impian yang menjadi kenyataan. bukan senang hendak mencapai tiga gelaran semusim berturut-turut. Kami akui kami bermain dengan sebuah pasukan yang hebat apatah lagi setelah ketinggalan satu gol.

"Kemenangan ini kami tujukan terutamanya kepada sifu saya, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil (penasihat bola sepak Kedah) yang telah memberikan banyak cetusan idea dan cara pengurusan pasukan dan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah sempena 50 tahun pemerintahannya serta penyokong Kedah.

"Kehadiran mereka begitu menakjubkan kerana kami nampak walaupun masih bermain di Lembah Klang, penyokong Hijau Kuning jauh lebih ramai di stadium. Sokongan padu peminat turut memainkan peranan dan merekalah pemain ke-12 pasukan dalam kejayaan kami," kata Azraai.

Kedah yang ketinggalan dengan gol pendahuluan penyerang import Selangor, Frank Seator pada minit ke-17, bangkit mendadak dalam tempoh lapan minit apabila menyumbat tiga gol berturut-turut menerusi Marlon, Nelson dan Fadly Baharom mulai minit ke-30 sebelum Safee Sali merapatkan kedudukan Merah Kuning (minit ke-77).

Ini merupakan Piala Malaysia keempat milik Kedah selepas menjulangnya pada 1990, 1993 dan 2007 malah pasukan utara Semenanjung ini merupakan pasukan pertama yang berjaya mempertahankan koleksi tiga gelaran bagi dua musim berturut-turut. Nelson turut dipilih sebagai Pemain Terbaik perlawanan kelmarin.

Malah Kedah menguasai tujuh daripada 10 kategori Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2007-2008 kelmarin dengan penjaga golnya, Helmi Eliza Elias menggondol gelaran Penjaga Gol Popular dan Pemain Paling Bernilai selain Victor Andrag (Pertahanan), Khyril Muhymeen Zambri (Pemain Tengah) dan Marlon (Pemain Import) serta Azraai (Jurulatih).

UTUSAN MALAYSIA

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin