Friday, August 22, 2008

Catatan Mengenai Kedah

Lagu rasmi pasukan kedah...
Helmi tidak rela rekod tercalar

ALOR STAR - Pertarungan sengit antara Kedah dengan Selangor dalam final Piala Malaysia musim 2007/2008 hanya akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok namun gendang Hijau Kuning sudah dipalu menyemarakkan sesi latihan skuad Kenari di Stadium Darulaman, di sini, semalam.

Begitulah hebatnya sokongan peminat-peminat setia Hijau Kuning yang terus membakar semangat pemain-pemain Kedah dalam usaha untuk memastikan Piala Malaysia musim ini terus kekal di negeri yang dikenali sebagai Jelapang Padi Malaysia itu.

Namun, di hujung padang, penjaga gawang Kedah, Helmi Eliza Elias gigih berlatih menangkap kemas rembatan kencang rakan-rakan sepasukannya terutama penjaring terbanyak, Marlon Alex James dalam sesi latihan yang membayangkan betapa dia benar-benar bersedia untuk menghadapi Selangor.

Gendang dipalu penyokong-penyokong Kedah itu bagi Helmi menunjukkan bahawa mereka begitu mengharapkan kemenangan skuad Kenari ke atas Selangor dan tugas tersebut turut dipikul Helmi yang tidak mahu menghampakan.

Sudah pasti peminat-peminat bola sepak Kedah begitu mengharap untuk skuad Kenari meraih pula Piala Malaysia selepas muncul juara berganda musim 2007/2008 apabila memenangi Liga Super dan Piala FA.

Apatah lagi, Kedah mahu mengulangi pencapaian musim lalu dengan mencipta sejarah tersendiri dengan memenangi ketiga-tiga kejuaraan iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Helmi mengakui pertarungan akhir Piala Malaysia kali ini penuh berbeza dan tugasnya berat, bukan sahaja membabitkan kehebatan kedua-dua penyokong pasukan tetapi perlawanan antara dua pasukan yang mempunyai sejarah dan keunikan tersendiri.

''Saya berpengalaman bermain dalam perlawanan akhir Piala Malaysia ketika membantu Kedah menjadi juara mengatasi Perak pada musim lalu tetapi dengan Selangor, sudah tentu ia berbeza, cuma kami (Kedah) sudah tentu akan berhati-hati," kata Helmi ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.
Radhi Md Din antara tonggak yang membantu kejayaan Kedah
Pemain berusia 25 tahun itu tidak menafikan bahawa Selangor mempunyai penyerang berbahaya seperti Frank Seator dan Safee Sali namun pengalaman dan komitmen tinggi kesemua pemain diharap menjadi senjata untuk mengekang kemaraan Red Giants. ''Kami pernah beberapa kali mengatasi pasukan ini (Selangor).

Sudah tentu kami tidak rela rekod Kedah tercalar di tangan Selangor walaupun menyedari Red Giants lebih berbahaya kali ini kerana mahu membalas dendam selepas tewas 3-2 pada perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini," kata Helmi.

Malah, perlawanan akhir Piala Malaysia menjadi medan untuknya mempamerkan lebih jitu selepas dipilih mewakili Malaysia dalam perlawanan persahabatan menentang kelab terkemuka Liga Perdana England, Chelsea yang sudah tentu meninggalkan kesan cukup mendalam.

Berdasarkan faktor tersebut, sudah pasti lebih banyak mata akan tertumpu kepadanya, apatah lagi apabila reputasinya sebagai penjaga gawang cukup memberangsangkan pada perlawanan menentang Chelsea tetapi bagi Helmi ia bukan ukuran.

''Dalam setiap perlawanan, apa sekali pun kita kena bermain dengan sepenuh tumpuan. Begitu juga dengan penjaga gol kerana kesilapan bakal membawa padah," katanya yang tersenyum apabila diajak mengimbau salah satu aksi menariknya ketika menepis rembatan kencang pemain handalan Chelsea, Deco dalam perlawanan persahabatan tersebut.

''Itu lain (perlawanan menentang Chelsea), kali ini lain, saya punya tanggungjawab untuk merebut kejuaraan dan akan memberikan komitmen tinggi untuk membantu rakan-rakan sepasukan," tambahnya.

Di bawah bimbingan bekas penjaga gol Kedah dan kebangsaan, Ahmad Sobri Ismail, Helmi yakin barisan pertahanan Kedah dapat menyerap asakan barisan serangan Selangor, malah dia percaya persefahaman di antara pemain dapat membantu skuad Kenari memburu kejuaraan.

Ahmad Sobri ketika ditemui berkata, dia yakin Helmi dapat memberikan persembahan menarik selepas beberapa latihan yang giat dijalankan menjelang perlawanan akhir itu.

UTUSAN MALAYSIA
-------------------------------------------------------------------------------------------------

Azrai, jurulatih Kedah yang berkarisma...
'Tiada masalah kekang Marlon'

NAMA Marlon Alex James mencetuskan keresahan di kalangan barisan pertahanan tetapi tidak buat Evans Chisulo yang mungkin diberi tugas 'merantai' penyerang berbadan sasa itu pada perlawanan akhir Piala Malaysia, esok.

Marlon yang memiliki ketinggian 6 kaki 2 inci adalah mimpi ngeri buat pertahanan Selangor dengan pemain antarabangsa St Vincent & Grenadines itu sudah meledakkan tiga gol dalam kemenangan 6-2 ke atas Merah Kuning dalam liga di Alor Star.

Evans, pemain tunggal Selangor yang paling hampir menyamai ketinggian Marlon, gagal menghalang amukan Marlon ketika itu tetapi pemain Zambia itu berjaya menghalangnya menjaringkan gol pada perlawanan kedua di Selangor namun ia tidak cukup dengan Marlon masih dapat menyumbangkan hantaran lintang yang disudahi Samransak Kram untuk kemenangan 1-0 di Shah Alam.

Dalam pertemuan ketiga, di pentas final Piala FA, tanpa Marlon sekali pun yang tidak beraksi, Kedah masih mampu merangkul trofi pertama mereka musim ini menerusi kemenangan 3-2, dengan pemain Zambia itu mengakui menyimpan perasaan hormat yang tinggi kepada lawannya yang sama sepertinya, bakal mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Malaysia musim depan.

"Saya tidak takutkannya, cuma menghormatinya. Dia mempunyai kekuatan, kepantasan dan ledakan yang bagus. Saya pernah menghalangnya daripada menjaringkan gol (di Shah Alam) tetapi dia berjaya membuat hantaran lintang buat rakannya untuk menjaringkan.
"Kedah Pantang Kalah"

"Pada pertemuan di tempat mereka, saya gagal menghalangnya menjaringkan hatrik dalam perlawanan yang turut menyaksikan saya menjaringkan gol bersama-sama Frank Seator.

"Di Zambia, saya pernah bertemu ramai pemain hebat, tetapi Marlon adalah lawan paling sukar yang pernah saya temui," katanya yang ditemui pada majlis makan tengah hari skuad Selangor bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di kediaman rasminya, Bukit Megawati, Shah Alam, semalam.

Pada majlis itu, Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor, enggan menjanjikan sebarang habuan buat kejayaan merangkul gelaran ke-33 Piala Malaysia, sebaliknya mahukan pemain terlebih dulu membuktikan diri mereka di atas padang.
"Marlon Perlu Mengganas..."
"Kami tak mahu janji kosong, anda akan diberikan habuan atas kejayaan anda, selepas mencapai kejayaan, baru kami akan membincangkan mengenai habuan," katanya yang turut mengumumkan berita baik penajaan RM1 juta yang diterima daripada penaja utama mereka, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

BERITA HARIAN
-------------------------------------------------------------------------------------------------

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 22 Ogos

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin