Saturday, June 21, 2008

Kedah Pantang KALAH!!!!


Ramai ramal Selangor juara

KUALA LUMPUR - Majoriti jurulatih pasukan Liga Malaysia memilih Selangor akan menjulang Piala FA dengan mengatasi Kedah, manakala jurulatih negara, B. Sathianathan menganggap kedua-duanya seimbang dan sepakan penalti mungkin menjadi penentu perlawanan akhir, malam ini.

Gergasi Merah menjadi pilihan Mohamed Bakar (Pulau Pinang), K. Devan (Kuala Muda) dan Steve Darby (Perak), sementara hanya jurulatih Polis, K. Thaiyanathan yang meletakkan Kedah selaku pemilik trofi persaingan bola sepak kalah mati kebangsaan itu.

Ketika Sathianathan memberikan peluang 50-50 bagi kedua-dua gergasi Liga M itu, jurulatih pasukan lain menganggap keputusan perlawanan yang diramalkan hebat lagi mendebarkan di Stadium Shah Alam ini hanya akan dibezakan dengan satu gol.

Kata Mohamed, pengalaman kerap beraksi dalam perlawanan akhir kebanyakan pertandingan besar bakal memberikan banyak kelebihan kepada Selangor untuk kembali menjulang Piala FA buat kali kelima selepas 1991, 1997, 2001 dan 2005.

"Kedah akan turun tanpa dua pemain importnya walaupun masih memiliki ramai pemain muda dan tempatan yang bagus tetapi perlawanan sehebat ini bakal jadi milik Selangor dengan bezanya cuma satu gol," kata bekas penolong jurulatih skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 ini.

Bagi Devan yang anak buahnya ditewaskan Selangor dengan agregat 4-2 dalam suku akhir Piala FA, berkata, setelah kerap hampa kepada Kedah dalam dua perlawanan Liga Super dan dipotong tiga mata, Selangor bakal menang 2-1 kerana keazaman untuk menebus kembali kesilapan lalu.

"Stadium Shah Alam (gelanggang sendiri) merupakan satu lagi faktor yang memihak Selangor di samping kekuatan serangan mereka (yang dibarisi Safee Sali dan Frank Seator)," katanya yang turut pernah melatih Negeri Sembilan dan Melaka.

Sependapat dengannya dalam memilih Merah Kuning mengatasi Hijau Kuning ialah Darby yang mengatakan ia satu aksi sengit tetapi tanpa tonggak import, kemenangan akan menyebelahi Selangor namun ia tetap akan berakhir dalam tempoh 90 minit permainan sebenar.

Sebagai rekod, Darby sendiri telah merasai keperitan jentera serangan anak buah Dollah Salleh yang memusnahkan Seladang dengan agregat 6-5 dalam pusingan kedua Piala FA selain 4-1 ketika pusingan kedua Liga Super di Ipoh pada 12 Februari lalu.

Thaiyanathan bagaimanapun berkata, Kedah walaupun memiliki barisan pemain muda, tetap mempunyai pengalaman lebih luas dalam Piala AFC (kelab Asia bahagian dua) dan persefahaman mantap kerana sudah bermain bersama sejak dua atau tiga musim Liga M yang lalu.

"Kedah mampu menang 2-1 kerana kekuatan mereka seimbang pada semua bahagian," katanya yang menolak kemungkinan perlawanan akhir edisi ke-19 ini bakal diheret ke masa tambahan mahupun sepakan penalti seperti yang menyebelahi Kedah 4-2 ke atas Perlis, tahun lalu.

Kata Sathianathan, yang membezakan Selangor dan Kedah ialah kemantapan penyerang masing-masing dalam menyudahkan setiap peluang terhidang dengan perhatian pasti terarah kepada Safee Sali dan Khyril Muhymeen Zambri - dua ayam tambatannya dalam skuad negara.

"Selangor kuat, Kedah pun gagah tetapi dalam setiap perlawanan akhir, siapa yang menyambar peluang dan kurang kesilapan, dialah juara," katanya yang bakal menyaring beberapa pemain lagi daripada Piala FA dan Piala Malaysia ke skuad negara untuk menentang India di Hyderabad, bulan depan.

Utusan Malaysia

-------------------------------------------------------------------------------------------------



Amri jadi sandaran gempur kubu Kedah

TATKALA tumpuan lebih terarah terhadap kelincahan penyerang Safee Sali dan ketangkasan Indra Putra Mahayudin memastikan kebangkitan Selangor, nama Amri Yahyah kurang mendapat perhatian peminat Merah Kuning sejak kebelakangan ini. Namun pemain kelahiran Tanjung Karang itu dalam diam memikul peranan penting yang merangka laluan Selangor ke final Piala FA di Stadium Shah Alam, malam ini. Pemain serba boleh yang memulakan karier bersama Selangor pada 2001 itu pada awalnya beraksi sebagai penyerang sebelum digunakan di posisi tengah dan pertahanan kanan. Tetapi kini, jurulatih Dollah Salleh kembali memilihnya selaku penyerang utama Selangor.

Amri memainkan peranan penting dalam dua aksi separuh akhir bertemu Terengganu dan bagi pemain itu, dia tidak kisah beraksi di mana-mana posisi kerana apa yang penting adalah kejayaan Selangor. "Saya sebenarnya lebih selesa beraksi sebagai penyerang, tetapi demi membantu pasukan saya rela beraksi di mana-mana posisi mengikut perancangan jurulatih. "Jika diturunkan sebagai penyerang esok (hari ini), saya mahu membantu Selangor menjulang kejuaraan kelima Piala FA dan jika boleh, menjaringkan gol kemenangan seperti dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2002," kata Amri.

Pemain lincah itu juga tidak kisah jika peminat Selangor lebih tertumpu kepada rakan sepasukan seperti Safee dan Indra Putra kerana kurangnya tumpuan peminat membolehkan dia lebih bebas beraksi tanpa tekanan. "Bagi saya, apa yang penting ialah kejayaan pasukan dan cukup jika kehadiran saya dalam pasukan dapat menyuntik kestabilan dan membantu kemenangan," kata Amri. Sementara itu, ketiadaan Marlon Alex James juga membolehkan tugas selaku penggempur utama Kedah digalas pemain sayap kebangsaan, Khyril Muhymeen Zambri yang semakin serasi dengan tugas itu. Seperti Amri, Khyril turut memasang impian untuk menggegarkan jaring lawan malam ini bagi memastikan kejuaraan Piala FA kekal milik Kedah.

"Saya rasa gandingan saya bersama Shafiq (Jamal) kini bertambah baik dan ia membuatkan ketiadaan Marlon seperti kurang dirasai. Saya juga semakin selesa bermain selaku penyerang utama. "Apabila bermain di depan, tugas utama saya adalah untuk menembusi gawang lawang dan saya akan berusaha melakukannya malam esok (malam ini). Apapun, saya tetap meramalkan pertarungan sengit dengan Selangor kerana mereka juga mengenali corak permainan kami," kata Khyril.

Berita Harian

-------------------------------------------------------------------------------------------------



MENDEPANI CABARAN HIJAU KUNING

Di sebalik kehangatan EURO 2008, tabir saingan pertandingan bolasepak Piala FA musim ini sudah pun menghampiri garisan penamat. Menepati ramalan, Hijau Kuning telah berjaya membelah badai yang menghalang untuk menerpa kesana, kepentas saingan akhir yang sudah pun semakin terbuka.Bersesuaian dengan label kemuncak pertandingan akhir, tentunya Sang Kenari sudah mempersiapkan diri untuk mendepani suatu bentuk cabaran paling getir yang bakal menghalang. Menjinakkan Gergasi Merah, pasukan cukup berwarna warni di kancah bolasepak negara, bukanlah suatu tugas yang mudah.Namun segala kesukaran itu bukan pula alasan terbaik untuk kita mengibarkan bendera putih sebelum bingkas berjuang.

Pokok pangkalnya kita perlu merangkakan apa yang akan dibuat sambil mempastikan tidak ada kesilapan yang akan dibuat. Sesungguhnya orang yang tidak pernah menempuh sebarang kesukaran tidak akan menghargai sebarang kejayaan!Tidak seperti Kedah, Selangor seharusnya merasa bertuah kerana tidak dipaksa beraksi di gelanggang lawan atau berkecuali untuk edisi akhir kali ini. Mereka akan berjuang di laman sendiri, di hadapan penyokong sendiri.

Dan tentunya mereka memasang hajat besar untuk meraikan kejayaan menjulang piala kemenangan sambil disaksikan puluhan ribu penyokong fanatik yang bakal membanjiri nanti.Tetapi ingat, jika kecundang, ketewasan mereka itu juga akan berlaku di kandang sendiri, di hadapan mata penyokong sendiri. Bukankah itu lebih memedihkan lagi memalukan?Selama membimbing Kedah, Azrai telah membuktikan di bawah asuhannya Hijau Kuning telah muncul sebagai kuasa bolasepak yang paling bergaya lagi konsisten mutu persembahannya.

Di peringkat liga musim ini, Sang Kenari ternyata terlalu gagah untuk ditandingi oleh sesiapa. Tidak seperti musim lalu, musim ini kejuaraan Piala Liga telah didakap terlalu awal yakni ketika masih berbaki beberapa perlawanan untuk ditamatkan.Kalau pembabitan bolasepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dijadikan sebagai penanda aras, pengendali skuad Selangor Dolah Salleh ternyata lebih menyerlah jika dibandingkan dengan Azrai.Tidak keterlaluan kalau saya katakan kemuncak kehebatan Dollah ialah ketika beliau menjaringkan gol penting pasukan kebangsaan sewaktu bertemu pasukan Korea Selatan dalam pertandingan pra Olimpik suatu ketika dahulu. Di Kuala Lumpur, Malaysia menang hasil jaringan Dollah tetapi di Seoul Malaysia kalah teruk.

Namun dari aspek pengendalian kejurulatihan pula, Azrai yang jauh meninggalkan Dollah. Azrai telah memperagakan keunggulannya musim lalu ketika membimbing pasukan Kedah menyapu bersih apa juga bentuk kejuaraan bolasepak domestik yang dianjurkan.Dan sekali lagi musim ini Azrai telah memperlihatkan kelicikan serta keberkesanan corak taktikal dalam memimpin Sang Kenari kearah mengulangi sejarah yang telah terlakar musim lalu. Hasilnya kejuaraan Piala Liga sudah pun berada didalam genggaman manakala 2 lagi perisai kejuaraan masih dalam pemburuan.Secara peribadi, saya tidak pernah membimbangi tentang kemampuan barisan pemain-pemain Hijau Kuning yang membarisi kesebelasan utama pasukan kita.

Di bawah asuhannya, Azrai telah melentur setiap pemain-pemainnya di samping menerapkan ciri-ciri untuk muncul sebagai seorang pemain bolasepak yang benar-benar berkualiti lagi bertanggung jawab. Mereka sentiasa bersiap sedia sepanjang masa untuk memikul tugas yang diamanahkan ketika pemain2 utama tidak dapat beraksi bersama.Itulah kelebihan Azrai, penuh variasi perwatakan. Alhamdulillah, sehingga kini dia telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang walau pun seringkali berhadapan dengan seribu satu masalah yang menjadi batu penghalang.Dan Sabtu nanti Azrai serta seterunya Dolah akan bertemu dalam versi yang berbeza tetapi memacu matlamat yang sama : mencatur perencanaan bagi mencorak kejayaan pasukan masing-masing. Di antara mereka siapakah yang lebih hebat?

Semua persoalan itu akan terjawab sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan nanti.Selamat berjuang Hijau Kuning!Sesungguhnya anda Hijau Kuning memerlukan sebanyak mungkin pengalaman getir seperti ini untuk menzahirkan keunggulan diri. Hanya setelah menuruni lembah yang dalam barulah anda dapat menghargai keindahan gunung yang tertinggi!

KEDAHLANIE
-------------------------------------------------------------------------------------------------


KHYREL...

JIKA Khyril Muhymeen Zambri tidak kisah seandainya final Piala FA Sabtu ini ditentukan menerusi sepakan penalti, Helmi Eliza Elias mengharapkan kesudahan yang berbeza.Dua tonggak Sang Kenari ini mempunyai alasan masing-masing.Biarpun Helmi dianggap wira kerana menyelamatkan dua sepakan penalti, masing-masing daripada Zacharia Simukonda dan Nazaruddin Zain ada final di Stadium Batu Kawan tahun lalu, dia tidak mahu dipaksa berdepan situasi yang sama tahun ini.“Kalau boleh, biarlah final ini tamat selepas 90 minit,” kata anak jati Alor Star ini.

Bagi Khyril atau lebih dikenali sebagai Meen, dia sudah bersedia dari segi mental jika perlawanan dengan Selangor kali ini diheret melepasi masa tambahan.“Saya sudah bersedia jika perlu,” kata Muhymeen.

Berbeza dengan Helmi yang dijulang selaku wira hasil tampanannya yang menafikan percubaan Simukonda dan Nazaruddin, Muhymeen tidak mengambil bahagian dalam penentuan sepakan penalti tahun lalu.“Saya masih dilanda trauma sesudah gagal menyempurnakan penalti untuk pasukan negara dalam Piala AFF beberapa bulan sebelum itu,” kata Muhymeen.

Helmi atau Mie Yeh bagi rakan-rakannya, kemudiannya dipilih Pemain Terbaik Final apabila ketangkasannya membolehkan skuad Hijau Kuning bimbingan Azraai Khor Abdullah menang 4-2 disaksikan lebih 35,000 penonton - kebanyakannya penyokong Hijau Kuning.Bagi Muhymeen, dia sekadar memerhati Bunyamin Umar, Hasmawi Hassan, Shafizan Hashim dan Sabre Mat Abu menyempurnakan misi masing-masing.

Dia dijangka melaksanakan fungsi yang lebih penting Sabtu ini, selaku penggempur utama Kedah di sisi Shafiq Jamal atau Samransak Kram.Ini disebabkan ketiadaan penyerang utama Marlon Alex James yang terikat dengan komitmen pasukan kebangsaannya.Muhymeen sedar final di Stadium Shah Alam itu menghidangkan peluang terbaik buat barisan anak jati Kedah untuk membuktikan bahawa mereka boleh bertindak cemerlang tanpa sentuhan awang import.

Satu-satunya rakyat asing yang dijangka membarisi pasukan Kenari ialah perancang licik dari Chile, Nelson San Martin. Selainnya, Azraai dijangka menyandar harapan kepada rata-rata pemain kelahiran Kedah.“Biarpun Selangor dilihat memiliki kelebihan bermain di gelanggang sendiri, saya dan rakan-rakan didorong semangat untuk mempertahankan gelaran,” kata Muhymeen.

Bagi Helmi yang disuntik semangat sesudah membuat penampilan sulung untuk pasukan kebangsaan ketika seri 1-1 dengan Indonesia baru-baru ini, final ini adalah pentas peribadi bagi mengukuhkan kedudukannya selaku penjaga gol terbaik tempatan pada detik ini.

KEDAHLANIE
-------------------------------------------------------------------------------------------------



Ahmad Shafie kembali perkuat Hijau Kuning

ALOR SETAR - Jurulatih yang membawa skuad bola sepak Kedah ke perlawanan akhir Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut bermula pada 1987, Ahmad Shafie, kini dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Presiden KFA, Azizan Abdul Razak memberitahu, pelantikan Ahmad berdasarkan pengalaman mendalam beliau dalam kejurulatihan yang boleh membangunkan bola sepak Kedah khususnya dalam melahirkan bakat-bakat baru.

''Beliau (Ahmad) mempunyai pengalaman cukup luas (kejurulatihan) dan sudah tentu dapat membantu jurulatih-jurulatih di negeri ini dalam mengetengahkan lebih ramai lagi pemain," kata beliau selepas mempengerusikan Mesyuarat KFA di Wisma Darulaman, di Alor Star, kelmarin.

Jurulatih yang pernah membimbing skuad kebangsaan itu mengharumkan Kedah apabila buat pertama kali dalam sejarah, skuad Hijau Kuning melakar kejayaan beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut pada 1987, 1988 dan 1989.

Dalam kesemua perlawanan akhir itu, Kedah hanya mampu muncul naib juara Piala Malaysia apabila tewas kepada pasukan Kuala Lumpur 1-0 (1987), 3-0 (1988) dan 2-1 (1989), sebelum berjaya menjulang piala berprestij tersebut selepas menewaskan Singapura 3-1 pada 1990 di bawah jurulatih, Milaous Kvacek.

Namun, kebangkitan Kedah bermula pada 1987 di bawah Ahmad yang bersama-sama pengurus ketika itu, Datuk Ahmad Basri Akil membentuk gandingan pemain mantap untuk meneruskan kesinambungan sebagai sebuah pasukan yang disegani sehingga ke hari ini.

Sementara itu, kata Azizan, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan negeri, Dr. Hamdan Mohamed Khalib yang juga Bendahari KFA dilantik sebagai Setiausaha Kehormat persatuan tersebut.

Mengenai pengurusan pasukan bola sepak Kedah, Azizan berkata, KFA masih mengekalkan Datuk Othman Aziz sebagai pengurus skuad Hijau Kuning bagi menghadapi Piala FA dan Piala Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Azizan menjelaskan, pihaknya tetap memberi perhatian kepada pemain yang berjaya membawa kejuaraan kepada Kedah khususnya menerusi pemberian insentif.

''Kita akan bincangkan nanti, buat sementara saya akan panggil mereka (pemain) dan pegawai pasukan ke rumah untuk meraikan mereka," kata beliau.

Kedah kini memburu dua lagi kejuaraan iaitu Piala FA dan Piala Malaysia selepas berjaya mempertahankan trofi Liga Super. Pada musim lalu, Kedah mencatat sejarah merangkul tiga kejuaraan iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Utusan Malaysia
-------------------------------------------------------------------------------------------------
- Maaf la.. Banyak berita bola.. Almaklumlah..malam ni final Piala FA..
- Akhbar tempatan memang tak adil.. bnyak berita tentang selangor ja.. walaupun secara rekodnya pertemuan 2 3 tahun kebelakangan ni.. Kedah yang banyak menang bila bertemu..
- Masih segar diingatan ketika saya di stadium darulaman beberapa bulan yang lalu..Selangor dibantai 6-2..
- Apapun mainlah dengan semangat kesukanan yang tinggi...

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin