Wednesday, February 11, 2009

Persoalan suami Isteri..

Agar bulan madu itu bulannya menjadi tahun yang berpanjangan, dan madu tidak menjadi racun, saya mengajak setiap pasangan yang masih ’sedar’ sebelum dibius cinta, agar menjawab soalan-soalan berikut dengan jujur dan telus. Jangan tergesa-gesa menjawabnya, fikirkan satu persatu, sehari demi sehari, sebelum menabur janji menyulam kata, sebelum janji dimeterai, sebelum ikatan disahkan agama:

SOALAN PEREMPUAN KEPADA PASANGANNYA:

Syukur Alhamdulillah, aku disahkan mengandung. Tetapi alahanku menyebabkan aku tidak mampu mencium baumu sayang. Mendekatimu sahaja sudah cukup mengundang loya. Entahlah berapa lama, mungkin sebulan dua, mungkin empat bulan atau lima. Ada kemungkinan bukan sahaja untuk kandungan kali pertama, malah yang depan-depan juga. Sabarkah engkau dengan kerenahku? Masihkah aku ini cintamu di kala itu?

Semasa mengandung, aku tidak lalu makan, mulutku asyik mengeluh sakit sini dan sakit sana. Tidur sering tidak lena, aku yang ceria berubah menjadi pemarah dan sering berduka. Bukan aku sengaja tetapi segala yang kurasa di setiap inci tubuhku, menimbulkan resah dan tidak selesa. Sabarkah engkau dengan kelemahanku ini?

Semasa mengandung, upayaku untuk melayan keperluan batinmu tidak seperti biasa. Aku lemah, sering juga hambar tiada penariknya. Sehebat-hebat mujahadahku, diri ini amat terbatas dalam upaya berperanan sebagai isterimu. Masihkah aku buah hatimu?

Semasa kita mula berumahtangga, pasti hidup kita indah bagai di Syurga. Tambah pula dengan kurniaan cahaya mata pertama. Namun ketika cahaya mata bertambah bilang, kerjaya kita semakin berkembang. Pendapatan bertambah, tanggungan dan beban juga bertambah. Dalam suasana yang banyak tekanan di rumahtangga kita, apakah engkau masih mampu ceria? Sabar dengan kerenah anak-anak dan ibu mereka, terus tersenyum menawarkan bahagia?

Selepas beberapa tahun berumahtangga, aku belum merahimkan cahaya mata impian kita, saudara mara dan teman memperlimu dan menuduh engkau bukan seorang jantan. Sedangkan aku punca sepimu tanpa zuriat. Di kala engkau diasak keluarga dan teman, masihkah aku ada tempat di lubuk cintamu?

Andai selepas beberapa tahun berumahtangga, aku diputuskan pemeriksaan perubatan bahawa diri ini mandul dan tidak mampu merahimkan cahaya mata impian kita, apakah aku masih kekasih hatimu?

Jika aku ditakdirkan Allah diuji dengan barah payu dara, terpaksa mengorbankan salah satu atau keduanya, kimoterapi meluruhkan rambutku yang pernah menjadi pujianmu, tubuh lemahku menumpang kasih dalam pelukanmu, berak kencingku di dalam kain batik yang pernah kauhadiahkan kepadaku, masihkah engkau mencintaiku?

SOALAN LELAKI KEPADA PASANGANNYA:

Keceriaanku mungkin pudar oleh tekanan kerja dan kehidupan. Aku cenderung untuk diam dan senyumanku mungkin kurang manis dan indahnya. Diri ini yang pada masa ini suka bergurau senda, ketika itu pulang dengan kerut dahi, kurang sense of humor, dan hanya bercakap benda-benda besar yang serius. Sabarkah engkau dengan perubahanku itu nanti? Kuatkah cintamu kepadaku?

Tekanan hidup mungkin menyebabkan perananku sebagai suami kepadamu terjejas. Upayaku untuk memberi nafkah batin kepadamu terganggu dan untuk menyuarakannya kepadamu aku terasa malu. Masalah mati pucuk yang sering menimpa lelaki yang tertekan dengan pekerjaan dan kehidupan menggugat kepuasan dirimu sebagai isteriku. Sabarkah engkau dengan keadaan itu, dan apa rancanganmu untuk kita menempuh saat-saat itu? Terjejaskah cinta kita di hatimu?

Andai kerjayaku dirempuh badai dan surut seketika, kewanganku dan keluarga kita jauh dari mencapai sempurna keperluan. Keluarga dan teman mencemuhmu kerana ‘menanggung’ aku sebagai seorang suami yang dilabel dayus. Aku akan berusaha agar ia hanya seketika, namun sabarkah engkau menempuhnya? Masihkah aku kekasih hatimu?

Aku menjadi seorang lelaki yang menjemukan. Aku mengharapkan dirimu sebagai insan yang akan membantu menceriakan aku, namun sabarkah engkau dengan diriku dan mampukah cinta kita di hatimu terus membenih bahagia?

Jika kerjayaku berkembang di luar jangkaan kita, engkau terpaksa berkongsi diriku dengan massa, dan aku terpaksa selalu ke sini sana untuk bekerja. sabarkah engkau dengan suasana itu, dan aku masih cinta hatimu?

Jika aku disahkan doktor tidak mampu memberikan kita zuriat, rumahtangga kita sunyi tanpa cahaya mata, apakah engkau masih sudi menemaniku dalam bahtera rumahtangga kita?

Sekiranya rumahtangga kita teruji apabila aku ditimpa kemalangan atau stroke yang melumpuhkan pergerakan fizikal serta upayaku sebagai suami, kencing berakku yang bertubuh berat ini di dalam kain pelekat yang pernah kauhadiahkan kepadaku, apakah ia menggugat cinta kita dan mampukah engkau terus hidup di sisiku yang hanya suamimu dengan status suami tanpa mampu melaksanakan banyak tanggungjawabku sebagai suami?

Seorang suami dan seorang isteri, akan berusaha dan berdoa agar tidak teruji dengan situasi sedemikan rupa. Memohon kepada Allah agar tidak dibebankan dengan ujian yang di luar upaya diri.

-------------------------
- Sekadar renungan bersama.. Hasil nukilan Ustaz Hasrizal…

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 11 Februari 2009
Kota Samarahan

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin