Friday, February 27, 2009

Keselamatan Parlimen akan diperketat - Speaker


KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh hari ini berkata, tahap keselamatan di Parlimen akan diperketatkan berikutan insiden pergaduhan semalam.

"Apa yang berlaku semalam adalah sesuatu yang tragis dan tidak patut berlaku di Parlimen tetapi disebabkan kebodohan kumpulan tertentu, sekatan terpaksa dikenakan terhadap sesiapa yang ingin memasuki kawasan Parlimen," katanya selepas menerima kunjungan hormat delegasi anggota Parlimen Eropah di Parlimen di sini, hari ini.

Petang semalam, suasana di pintu masuk ke bangunan Parlimen kecoh apabila Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdul dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Amiruddin mengepung ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh sambil meminta Karpal mengakui ada menyebut perkataan "Pemuda Umno celaka" dan meminta maaf kepada mereka.

Bagaimanapun, keadaan menjadi bertambah kecoh apabila Ahli Parlimen Segambut, Lip Li Eng dan Bukit Bintang, Fong Kui Lun cuba mempertahankan Karpal.

Campur tangan mereka bagaimanapun menimbulkan pergaduhan antara kedua-dua pihak sehingga mendapat campur tangan pihak keselamatan Parlimen.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Hamid berkata, beliau berasa sedih mengenai insiden itu dan menyifatkan kumpulan tersebut sebagai manusia yang tidak memahami penguatkuasaan undang-undang dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Bagaimanapun katanya, mereka yang ingin melawat Parlimen tidak akan dihalang berbuat demikian.

"Pelajar-pelajar sekolah masih boleh mengadakan lawatan ke sini.

"Kita cuma mengadakan sekatan terhadap mereka yang dikesan boleh mengganggu atau mengancam ketenteraman dan keselamatan Parlimen," katanya.

Ditanya sama ada mereka yang menimbulkan kekecohan semalam akan disenaraihitam daripada memasuki kawasan Parlimen, beliau berkata, langkah itu tidak perlu namun katanya, pihaknya perlu bergantung kepada maklumat dan risikan pihak keselamatan.

Katanya, insiden semalam bukan hanya memalukan Parlimen malah seluruh rakyat Malaysia.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin