Wednesday, September 9, 2009

Tiada bezanya melainkan pada takzir


APABILA timbul polemik mengenai hukuman terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno atas kesalahan minum arak, ada pihak mempertikaikan kenapa hukuman sebat dikenakan terhadap wanita menurut undang-undang Syariah sedangkan dalam undang-undang sivil, pesalah wanita tidak disebat.

Dalam Islam, tanggungjawab jenayah wanita sama seperti lelaki. Jika ketika jenayah dilakukan, wanita mempunyai kapasiti sebagai taklif, yakni ada daya sedar dan pilihan di samping baligh dan berakal. Islam tidak membezakan kedudukan antara wanita dan lelaki sebagai penjenayah, tidak kira sama ada jenayah membabitkan nyawa, tubuh badan atau harta.

Imam Syafie dalam kitab al-Umm menyebutkan: "Tidak ada khilaf ahli ilmu yang aku temui bahawa darah antara orang yang membunuh dan kena bunuh adalah sama jika mereka merdeka dan Islam. Apabila lelaki membunuh wanita dengan sengaja, dia akan dibunuh.

"Begitu juga wanita akan dibunuh apabila dia membunuh seorang lelaki. Tidak boleh diambil daripada wanita itu atau keluarganya sesuatu untuk diberi kepada pihak lelaki jika ia dihukum bunuh. Hukumannya seperti lelaki dalam kes membabitkan kematian."

Dalam ayat itu hukuman hudud terhadap penjenayah wanita tidak dibezakan dengan penjenayah lelaki. Firman Allah, "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, sebatlah mereka 100 sebatan" (An-Nur: 2). Wanita disebut dulu kerana pada waktu itu zina banyak dilakukan wanita terang-terangan. Ia juga amaran keras agar menjaga nafsu kerana nafsu wanita lebih kuat berbanding lelaki.

Dalam sejarah awal Islam, ada beberapa kes jenayah membabitkan wanita dihukum seperti lelaki. Antaranya ialah pembunuhan wanita mengandung oleh madunya.

Mereka ialah isteri lelaki suku Hudzayl. Wanita itu memukul madunya dengan batu dan kayu sehingga ia dan kandungannya mati. Apabila diadukan kepada Rasulullah, Baginda memutuskan wanita membunuh itu membayar ghurrah (ganti rugi) atas kematian anak dalam kandungan. Keluarganya pula diperintahkan membayar diyat kerana kematian si ibu.

Kes zina pertama terkenal dengan nama 'al-Asif' bererti pengambil upah yang dizalimi dan dibebankan dengan kerja yang tidak wajar dan jahat. Abu Hurairah dan Zayd Ibn Khalid meriwayatkan, seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah katanya: "Sesungguhnya anak lelaki saya mengambil upah kepada lelaki ini dan berzina dengan isterinya. Saya ingin menebus dosanya dengan memberi 100 kambing dan seorang khadam. Saya bertanya ramai ulama mengenai hal ini. Mereka memberitahu hukuman ke atas anak saya ialah 100 sebatan dan buang daerah setahun."

Nabi SAW bersabda: "Demi Tuhan, aku akan memberi keputusan antara kamu mengikut apa yang ditetapkan kitab Allah. Seratus kambing dan khadam yang kamu tawarkan perlu dipulangkan. Sesungguhnya atas anak kamu 100 sebatan dan buang daerah setahun. Pergilah kamu wahai Unays dan tanyalah wanita berkenaan. Jika dia mengaku maka rejamlah dia."

Kes jenayah yang membabitkan wanita sama ada bunuh, zina mencuri atau murtad membuktikan Islam tidak membezakan hukuman antara penjenayah lelaki dan wanita. Asalkan si penjenayah faham erti perbuatannya, kesan dan akibat, berakal, baligh, pilihan sendiri dan niat jahat melakukannya.

Merujuk hukuman mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri, termasuk dijatuhkan terhadap Kartika Sari, walaupun ia hukuman takzir, fuqaha berpendapat kedudukan wanita dalam hukuman takzir tidak terkecuali.

Mereka boleh menjadi subjek kepada semua jenayah takzir. Pandangan fuqaha berasaskan prinsip persamaan kedudukan antara wanita dan lelaki dalam hal jenayah.

Hukuman pesalah wanita dalam kes takzir boleh berbeza dengan pesalah lelaki bukan atas sifat jantina, tetapi nilai khusus mengenai kesalahan dan hukuman takzir.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin