Monday, January 5, 2009

Perutusan Maal Hijrah Dan Tahun Baru Masihi

Assalamualaikum wtb Salam Perjuangan..

Setinggi-tinggi kesyukuran dirafaqkan ke hadrat Allah swt atas nikmat yang diberi serta selawat dan salam buat junjungan yang tercinta, Nabi Muhammad SAW serta para pejuang Baginda. Saya mengambil peluang yang terhad ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1430 kepada semua umat Islam serta pengerak gerakan dakwah dan mahasiswa.

Menoleh ke Belakang..

1429H telah pun pergi meninggalkan dengan nostalgianya yang tersendiri. Satu tahun yang pada saya penuh dengan warna warni kehidupan ranjaunya samada peristiwa di dalam negara mahupun di luar negara. Bermula dengan isu Pilihanraya ke 12, kenaikkan harga Minyak mentah dunia , harga barang, ketidak seimbangan ekonomi Uncle Sam yang jelas membebankan dunia, sukan olimpik dan juga bencana Alam. Ada yang manis untuk dibicarakan, ada juga yang kelat untuk didengari. Namun itulah aturan Allah sebagai mehnah untuk melihat hambat ber ‘Taq qilun’ (berfikir).

Kita seharusnya berfikir, apakah Hikmah serta pengajaran setiap peristiwa yang pernah kita lalui serta yang lampau yang mana kini hanyalah menjadi tulisan serta dilipat di dalam sejarah. Sarjana barat yang mengkaji ketamadunan Islam sehingga hari ini merasa hairan. Bagaimana tamadun Islam di era kegemilangannya di sandarkan pembinaannya hanya pada unsur teologi (ketuhanan) mampu untuk berjaya. Rom Timur (byzantine), negara eropah serta banyak lagi tidak mampu melakukannya, bukan dogengan, sudah ada yang bereksperimen, dan hasilnya mereka mengalami zaman kegelapan. Namun Islam sebaliknya, dengan bersandarkan perjuangannya kepada konsep Ubudiyyah (pengabdian diri), 2/3 dunia disinari dengan cahaya Islam, bermula dari Zinjang hinggalah ke Venice serta negara di sekitarnya.

Dosa dan Pahala

Masyarakat Jahiliah menjadi bobrok di era sebelum kedatangan Islam kerana mereka tidak mempunyai tujuan hidup. Mereka masyarakat yang pintar, pandai berniaga, menguasai bidang syair serta semangat kabilah yang kuat. Namun mereka Jahil kerana di dalam hidup mereka tiadanya timbang tara. Ya, timbang tara, biarlah saya katakan ia timbang tara dosa dan pahala. Yang mana bila manusia memahami konsep ini, Ubudiyah pada Allah akan subur. Hendak lakukan maksiat, jiwa terus bertimbang tara, perkara ini natijahnya dosa. Tidak perlu diteruskan, Begitulah sebaliknya, inilah perkara yang Islam bawakan pada ummat ketika itu. Hijrah kan mereka daripada tiada matlamat hidup kepada Ubudiyyah kepada Allah yakni berusaha memperoleh pahala yang merupakan token Ubudiyyah kepada Allah.

Sesungguhnya tiada lagi Hijrah selepas Hijratul Nabi. Namun pada masa kini, hijrah yang dituntut ialah hijrah dari perkara mazmumah kepada mahmudah, negatif kepada positif serta yang baik kepada lebih baik. Maksudnya di sini, ada peningkatan tahap serta gerak kerja pada Ummat Islam.

Dakwah Bukan no 2

Apabila anda bergelar mahasiswa, sudah tentu portfolio anda ialah belajar. Belajar menuntut ilmu serta berjaya dalam hidup. Itu prioritinya. Namun, dalam keadaan kita meletakkan belajar sebagai perkara no satu, dakwah bukanlah no dua. Apatah lagi di dalam keadaan mahasiswa yang masih muda dan bertenaga serta buah fikirannya juga masih segar.

Pemuda seharusnya sedar akan kebejatan akhlak, social serta kebejatan akidah yang melanda umat Islam hari ini. Kita seharusnya bersaing dengan golongan yang menjadikan hedonism sebagai jalan hidup dan kita bertanggungjawab untuk memperjelaskan semula kepada mereka tentang fitrah awal kejadian manusia iaitu ubudiyyah. remaja yang ada pada hari ini nampaknya mereka tidak lagi berhijrah, tetapi berundur ke belakang. Mereka mencari sesuatu yang langsung tidak membekalkan harapan kepada mereka. Mahasiswa adalah orang muda, yang mana jiwanya barangkali masih remaja disulami kekentalan cintakan ilmu. kita harus menyelamatkan masyarakat kita, dakwah bermakna kita mengajak masyarakat untuk berbuat perkara kebaikan dan menyeru mereka meninggalkan perkara yang mungkar. Oleh itu saya menyeru kepada semua mahasiswa agar mengambil peluang ini untuk mengencarkan semangat dakwah kita dikalangan masyarakat.

Ilmu yang tidak pernah habis

Yang akhirnya, saya mengambil peluang ini untuk menyeru kepada semua golongan mahasiswa agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ilmu dengan sebanyak mungkin dan pastikan ilmu yang kita perolehi bermanfaat samada ilmu duniawi mahupun ukhrawi agar ilmu yang diperolehi dapat digunakan untuk membantu agama, bangsa dan negara. Ilmu itu juga data digunakan dalam membentuk keluarga dan masyarakat yang dinaungi lembayung rahmat Allah swt.

Moga tahun baru yang sedang kita tempuh ini mampu memberikan sesuatu yang bermanfaat pada diri kita. Tingkatkan azam dan usaha untuk memajukan diri dengan sebaik mungkin dan simpan dalam diri bahawa kita ingin berdiri sebaris dalam saff yang sama dengan para pejuang-pejuang agama Allah.

Maal Hijrah 1430H
Selamat Tahun Baru 2008 M

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 3 Januari 2009
Kota Samarahan

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin