Wednesday, September 3, 2008

Model 6 Bulan Khatam al-Quran

Model 6 Bulan Khatam al-Quran

Model 6 bulan khatam al-quran dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dengan menggunakan peruntukkan waktu Pendidikan Islam yang sedia ada. Model ini akan menggunakan pendekatan talaqi dan Musyafahah ( iaitu satu kaedah pembelajaran secara bersemuka dengan guru bagi mendengar, membetul kesalahan dan menyebut semula dengan baik dan lancar) . Murid yang belum menguasai bacaan al-Quran dibimbing dengan kaedah IQRA’, sementara yang telaah menguasainya diteruskan menggunakan model khatam al-Quran modul 6 bulan.

Model 6 bulan Khatam al-Quran ialah program yang menumpukan kepada penguasaan kemahiran membaca al-Quran pada enam bulan pertama Tahun Satu.

Matlamat pelaksanaannya adalah seperti berikut :-


· Murid dapat menguasai kemahiran bacaan al-Quran dengan kaedah Iqra’.
· Murid dapat membaca al-Quran dengan lancer dan bertajwid.
· Murid dapat menghabiskan bacaan al-Quran sebanyak 30 juzuk.

Pelaksanaan Model 6 Bulan Khatam al-Quran

1. Tempoh Pelaksanaan.

Murid tahun 1 akan mengikuti aktiviti Model 6 Bulan Khatam al-Quran selama 6 bulan pertama setiap tahun dari bulan Januari hingga Jun. Bagi 6 bulan berikutnya mereka akan mengikuti kurikulum Pendidikan Islam berdasarkan sukatan pelajarn sedia ada.

2. Peruntukan Waktu

Pengajaran dan pembelajaran di Tahun Satu berfokus kepada penguasaan kemahiran membaca al-Quran selama 6 bulan (18 minggu Pengajaran dan Pembelajaran ) mulai bulan Januari hingga Jun dengan peruntukan masa empat kali seminggu. Dua waktu selebihnya digunakan untuk Pemulihan Jawi. Pada enam bulan berikutnya mulai Julai hingga Disember peruntukan waktu Asuhan Tilawah al-Quran ialah tiga waktu, Ulum Syariah dua waktu dan jawi satu waktu.
3. Proses Pengajaran dan Pembelajaran


· Murid Tahun 1 pada enam bulan petama hendaklah menggunakan buku Iqra’ 1 hingga 6 dengan berdasarkan Agihan Bacaan Iqra’ Model 6 Bulan Khatam al-Quran.

· Proses pengajaran dan pembelajaran ini bermula dengan penentuan tahap pencapaian murid melalui ujian ringkas bagi tujuan diagnostic.

· Berdasarkan hasil ujian, guru membahagikan murid kepada beberapa kelompok mengikut tahap kebolehan masing-masing. Bagi murid-murid yang belum membaca Iqra’, dimulakan dengan Iqra’ 1 manakala murid yang telah membaca Iqra’ dan menguasainya mereka menyambung bacaan pada buku Iqra yang seterusnya. Murid-murid yang telah menguasai bacaan al-Quran boleh meneruskan dengan aktiviti bacaan al-Quran model 6 Bulan khatam al-Quran. Murid yang telah khatam al-Quran akan mengulangi bacaan untuk tujuan peningkatan mutu bacaan.

· Pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara individu menggunakan pendekatan talaqqi dan musyafahah.

· Proses talaqqi dan musyafahah dalam kelas dikendalikan oleh Guru Pendidikan Islam (GPI) dan 3 orang guru pelatih j-QAF. Proses ini dilakukan secara langsung oleh guru untuk setiap murid. Guru hendaklah menetapkan target minima lima minit masa bacaan untuk setiap murid bagi setiap waktu pengajaran dan pembelajaran. Bagi kelas yang ramai murid target ini sukar dicapai, oleh itu guru boleh meminta dua orang murid yang berkebolehan membaca secara serentak.

· Penilaian hendaklah dilakukan pada setiap bulan pengajaran dijalankan. Laporan penilaian Iqra’ hendaklah dilengkapkan dengan menggunakan boring penilaian al-Quran seperti yang digunakan dalam pelaksanaan Program Jawi dan al-Quran Enam Bulan Pertama Tahun Satu 2005.

· Penilaian khatam al-Quran hendaklah dijalankan dengan berpandukan kepada agihan markah di mukasurat 87.

· Jika terdapat murid yang tidak mencapai tahap yang diharapkan dalam tempoh tersebut, pemulihan mesti dijalankan agar tidak ada pelajar yang tercicir.

· Selepas tamat tempoh 6 bulan, satu lagi bentuk penilaian keseluruhan hendaklah dibuat bagi mengenalpasti semua pelajar dapat membaca al-Quran dengan baik.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
- Sedikit catatan ringkas dalam menyiapkan tugasan PBS di SK Meranek.. Terima Kasih pada Ustazah Wan, guru Jqaf yang banyak membantu dalam menerangkan konsep dan pelaksanaan model ini.
- Untuk rujukan bersama rakan-rakan guru Pelatih Sarjana Muda Pendidikan Pengajian Islam seluruh IPG.

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 3 September

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin