Monday, September 8, 2008

Mengenali buku, pengarang terlaris sepanjang zaman

Oleh ROOSFA HASHIM

AL-Quran dan Injil adalah dua kitab paling banyak dibaca oleh manusia zaman berzaman. Kitab Injil yang mula diterbitkan pada sekitar 1451 sampai kini dianggarkan telah dicetak sebanyak enam bilion naskhah. Tidak ada sesiapapun yang mengetahui berapa jumlah al-Quran atau Injil yang dicetak, terjual atau yang dibahagi-bahagikan. The Bible Society menganggarkan jumlah Injil yang dicetak antara 1816-1975 sekitar 2.5 bilion naskhah. Kajian terbaru menunjukkan angka ini mencecah 6 bilion naskhah dalam lebih dua ribu bahasa dan dialek.

Di Kota Mekah sahaja, sejak berabad-abad lamanya al-Quran terjual berjuta-juta naskhah pada setiap musim haji. Mekah dikunjungi sepanjang masa dalam setahun oleh orang Islam yang menunaikan Umrah. Jika diambil kira jualan dan edarannya di seluruh dunia Islam jumlah cetakannya pada bila-bila masa boleh mengatasi angka cetakan dan edaran Injil.

Apakah buku terlaris tulisan manusia dalam rekod peradaban manusia sejak dulu sampai sekarang? Buku bagaimana yang digilai pembaca dan peminat buku? Berapakah jumlah cetakannya? Siapakah penulis atau penerbit buku-buku ini.

Soalan-soalan ini pada asasnya sukar dijawab. Siapa pun tidak mengetahui dengan tepat buku mana yang paling laris dijual kerana kita tidak mempunyai rekod tentang buku yang meliputi semua zaman. Jawapan yang ada cumalah tekaan terbaik berdasarkan anggaran oleh ahli sejarah dan pakar perbukuan dan penerbitan.

Quotations from Chairman Mao direkodkan telah diterbitkan sebanyak 900 juta naskhah sejak mula diterbitkan empat dekad lalu pada 1966. Ini adalah sebuah buku buah fikiran manusia yang tertinggi jualannya setakat ini. Buku yang dikenal juga dengan nama Little Red Book ini menyimpan ungkapan Mao Tse Tung, pemimpin Komunis China dan menjadi buku yang wajib dimiliki dan dibaca oleh setiap orang dewasa di China antara 1966-1971.

Buku The American Spelling Book mencecah angka 90 juta naskhah. Mula terbit pada 1783, buku teks pendidikan oleh Noah Webster (1758-1843), iaitu penulis yang terkenal dengan jolokan The American man of letters ini kekal sebagai buku terlaris di Amerika Syarikat sepanjang abad ke-19.

Buku tentang fakta dan maklumat juga sering digilai oleh pembaca buku. Justeru, pada tangga berikutnya adalah buku Guiness Book of World Records oleh Mark C. Young yang mencecah angka cetakan 90 juta naskhah. Mula terbit pada 1955, The Guinness Book of Records muncul sebagai pencapaian terbesar dalam bidang penerbitan mutakhir. Buku ini terbit secara tahunan mulai 1964 dan di UK sahaja telah terbit 37 edisi selain pelbagai edisi bahasa asing.

Demikian juga buku World Almanac yang dicetak sehingga 73.5 juta naskhah. Buku rujukan penting bagi penulis dan wartawan ini mulai terbit secara tahunan pada 1868. Buku ini bagaimanapun terhenti penerbitannya antara 1876-1886. Akan tetapi buku ini kekal sebagai buku rujukan tahunan terlaris sampai sekarang.

Tulisan Elbert Hubbard berjudul A Message to Garcia dicetak 40 juta naskhah. Buku yang pernah menjadi polemik ini berkisar pada isu hubungan buruh dan dalam beberapa tahun sejak mula diterbitkan pada 1899 telah mencecah angka jualan yang besar disebabkan ramai majikan di Amerika yang membelinya dalam jumlah yang besar untuk dibahagi-bahagikan kepada pekerja mereka.

Novel berjudul The Valley of the Dolls tulisan Jacqueline Susann (19211974) mungkin dapat dianggap sebagai novel terlaris dunia. Terbitan 1966 ini berkisar tentang seks, keganasan dan dadah. Saingan terdekat novel ini adalah tulisan Margaret Mitchell, iaitu sebuah novel yang berjudul Gone With the Wind, yang mencecah 28 juta naskhah. Banyak novel lain yang mencapai angka 10 juta naskhah. Di Sepanyol, novel oleh Unamuno berjudul El rbol de la ciencia menjadi novel terlaris sejak mula diterbitkan.

Siapakah pula penulis buku terlaris dunia sepanjang zaman? Menurut Guinness World Records pengarang buku fiksyen terlaris adalah Agatha Christie yang mencatatkan jualan dua bilion naskah bagi jumlah keseluruhan judul buku tulisan beliau.

Penulis buku kanak-kanak juga telah mencatatkan pencapaian yang besar. Ren Goscinny dan Albert Uderzo menghasilkan watak komik Ast rix the Gaul pada 1959. Mereka menerbitkan 30 judul buku dengan jualan mencecah 25 juta naskhah. Georges R. (1907-1983), penulis dan ilustrator dari Belgium yang memakai nama pena Herg, menghasilkan watak komik Tintin pada 1929. Tintin muncul dalam bentuk buku mulai tahun 1948 dan menjadi popular di seluruh dunia sehingga diterjemahkan ke dalam 45 bahasa dan dialek. Jumlah jualan dan edaran tidak kurang daripada 160 juta naskhah.

Seorang lagi penulis buku kanak-kanak yang kaya raya dengan jualan bukunya ialah Enid Blyton. Jualan buku Noddy sahaja mencecah lebih 60 juta naskhah dan lebih 700 buku kanak-kanak yang dihasilkannya. UNESCO menganggarkan pada tahun 1960-an sahaja buku beliau mencecah 974 judul terjemahan. Jumlah keseluruhan cetakan buku beliau mencecah 100 juta naskhah dan menjadikan Enid Blyton sebagai penulis buku terlaris dalam bahasa Inggeris.

Jumlah jualan dua buku klasik oleh Lewis Carroll iaitu Alice's Adventures in Wonderland dan Alice Through the Looking Glass, tidak terkira banyaknya. Bagaimanapun, dengan dua buku ini sahaja telah berjaya meletakkan nama beliau dalam kalangan 20 buku kanak-kanak terlaris sepanjang zaman.

Buku terlaris kanak-kanak yang lain termasuklah The Poky Little Puppy yang menduduki tangga teratas dalam senarai buku kulit keras dengan jualan mencecah 14,898,341 naskhah manakala buku berjudul Charlotte's Web yang mencapai jualan 9,899,696 naskhah mengungguli tangga teratas buku kulit nipis.

Mendahului senarai buku mutakhir yang terlaris adalah The Seven Habits of Highly Effective People yang mencatatkan jualan 1.5 juta naskhah. Demikianlah, buku akan kekal menjadi teman sejati bagi setiap manusia yang cintakan ilmu. Buku menjadi cermin diri yang membentuk citra seorang manusia melalui pembacaan.

Rujukan di sini
-------------------------------------------------------------------------------------------------
:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Markaz Tarbiah Haraki 8 Sept

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin