Wednesday, December 17, 2008

Sudi menjadi isteri ke dua saya?

Gambar Hiasan-Perkahwinan Presiden PMIUM-Saudara Hafizuddin baru-baru ini..


“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

“Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…” Fulanah mula sebak.

“Tak. Maksud saya…”

“Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fulanah dengan kasar.

“Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?” suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu ‘Fulanah’ di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini.

Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya yang berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

“Ada hikmah,” bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang Muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai Muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fulanah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian.

Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fulanah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun.

Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.

“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tanpa segan silu.
“Sudi,” jawab Nusaibah ringkas.
“Err, err, betul ke ni?!” tergagap Fikri apabila menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

“Kenapa saya?” tanya Fikri ingin tahu.
“Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
“Baiklah,” jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
“Ye sayang?” jawab Fikri sambil memandu.
“Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
“Yeke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut hati kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

“Kita dah sampai,” Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya. Fikri berdiri, menghadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

“Itu isteri pertama abang,” Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.
“Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.
“Tak nampak pun,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
“Siapa nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

“Perjuangan!!” jawab Fikri.
——————————————
Sedarlah semua kalian akan dimadukan!
Jika dirimu bakal seorang isteri…
Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan,
Bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini…

Tetapi anda adalah bakal isteri kedua!!!
Kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!!!

Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…
Kehadiran dirimu…
Adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan Islam
Bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu!
Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga dirimu…
Dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan Islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…
Terimalah hakikat…
Anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya
Atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu!!!
Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya,
Kerana suami yang pertama bagi isterimu…
Ialah perjuangan Islam dan memartabatkannya!

Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai Islam dan memperjuangkan Islam.
Jika dirimu tidak sedemikian,
Sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu!
Bantulah isterimu dan kuatkanlah dia untuk teruskan perjuangan

----------------------
-Karya Abu Izz yang boleh dijadikan renungan..

:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Teratak Bonda 17 Disember 2008

4 comments:

Syahida _Masri said...

masyaAllah...
menariknyer artikel ni...
patut dicontohi sikap nusaibah...

Nazmie Samarahan said...

Bukan sahaja muslimah..bahkan muslimin juga patut mengambil pengiktibarannya...

Fakhrur Ridzwan said...

Allah... hebat jln ceritana. mesti org yg menulisnya pun hebat. Insya Allah, pejuang yg sejati akan terus berjuang..

p/s: lama lg ke nak tunggu kenduri nta?? jgn sampai ana dah ke syubra nanti, melepas ana. hehe... gurau ja akhi

Nazmie Samarahan said...

ya..cerita yang hebat...

Kenduri ana..lambat lagi tu..

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin