Thursday, December 11, 2008

Berhenti merokok suatu pengorbanan terbaik

Oleh DR. IRFAN MOHAMAD

DALAM kemeriahan menyambut hari Lebaran Aidiladha pastinya mimbar masjid tidak lekang daripada menyebut kisah pengorbanan agung yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan anak baginda Nabi Ismail. Juga peranan yang dimainkan oleh seorang ibu yang bernama Siti Hajar yang daripada keyakinannya kepada Allah dan kesetiaannya kepada suaminya menjadikan Mekah sebuah bandar yang berkembang pesat sehingga mencapai statusnya pada hari ini.

Entah mengapa seminggu dua ini isu rokok kembali segar dalam perbicaraan masyarakat, bermula daripada isu untuk mewartakan fatwa haram merokok yang telah diputuskan sejak 1995 oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, pensyarah dan pakar perubatan yang muncul dengan pelbagai penemuan kesan buruk akibat merokok, sehinggalah kepada soal penajaan syarikat rokok dalam mempengaruhi hala tuju perkembangan bola sepak kebangsaan.

Walau apa pun perbincangannya, dalam kapasiti individu, setiap orang antara kita lebih-lebih lagi seorang Muslim haruslah melihat isu rokok ini sebagai suatu yang mega serius dan bukan sekadar menyertai perbincangan secara di pinggiran.

Sudah penat rasanya menghebahkan tentang keburukan dan bahaya merokok, juga telah hampir habis ikhtiar oleh kerajaan yang dijalankan termasuklah kempen 'Tak Nak,' menaikkan cukai hampir setiap tahun, meletakkan gambar kesan rokok pada kotaknya, pengharaman merokok di tempat-tempat awam yang diwartakan dan sebagainya.

Namun ia sekadar menjadi seperti air banjir yang melanda yang akan surut kepada keadaan asal sehabis musim kehadirannya. Yang membezakannya ialah paras bilangan perokok ini tidak pula menunjukkan tanda-tanda turun, bahkan ia semakin naik setiap hari.

Kajian oleh sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat yang diterbitkan dalam sebuah akhbar arus perdana baru-baru ini melengkapkan sedikit lagi kepada senarai bahaya merokok yang kian bertambah panjang saban tahun.

Wanita yang terdedah kepada asap rokok ketika zaman kanak-kanak dan remaja berisiko tinggi menghadapi masalah untuk hamil dan kerap mengalami keguguran berbanding wanita yang tidak menjadi perokok pasif ketika awal usia mereka.

Kerosakan

Kajian yang melibatkan 4,800 wanita itu juga turut menyatakan bahawa bentuk kerosakan yang berlaku dalam sistem tubuh adalah berbentuk kekal.

Dalam kerancakan pelbagai usaha dan ikhtiar pihak kedua atau ketiga untuk membantu golongan perokok ini daripada meneruskan tabiat mereka, faktor yang teramat penting yang sering kali kita terlepas pandang ialah kesanggupan dan 'insight' perokok itu sendiri.

Semua orang boleh menghulurkan tangan untuk membantu mereka yang terperangkap dalam amalan ini, namun jika perokok itu sendiri tidak turut sama-sama memberikan tangan mereka untuk ditarik keluar, maka sebanyak mana pun keringat dan bantuan yang dihulurkan ia akan menjadi suatu yang sia-sia sahaja.

Sambutan Aidiladha yang dirayakan setiap tahun seharusnya menjadi pembakar semangat untuk kita berhenti merokok, dan bukannya membakar batang rokok pada saat kita sedang melapah daging korban.

Mendengar sirah pengorbanan Nabi dan Rasul merupakan suatu yang indah, mengeluarkan sedikit wang untuk membeli seekor kambing atau satu per tujuh daripada bahagian lembu atau unta lagi indah. Namun membuktikan pengorbanan kita yang sebenar kepada Tuhan merupakan suatu yang paling indah jika ia dapat dilaksanakan.

Tidak perlulah kita menunggu untuk setiap negeri mewartakan fatwa haram rokok untuk dilaksanakan kerana ia hanyalah sekadar halangan teknikal sahaja.

Ulama seluruh dunia telah sepakat mengatakan ia haram, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia yang terdiri daripada mufti-mufti negeri juga telah sepakat mengatakannya haram, para doktor telah membuktikan secara saintifik dan berasaskan bukti bahawa ia adalah membinasakan.

Allah telah mengatakan bahawa mencampakkan diri ke dalam kebinasaan adalah haram, maka siapakah kita untuk kekal mengatakan bahawa ia tidak haram.

Tidak malukah kita apabila ditimpa penyakit akibat rokok ini maka doktor yang menasihati kita itulah yang kita pergi jumpa, atau apabila nyawa di hujung halkum maka mufti itulah yang kita harapkan mengajarkan kita mengucap kalimah suci atau lebih hebat lagi jika kita meninggal dunia,

Allah yang mengamanahkan kita supaya menjaga kesihatan itulah yang kita jumpa dan memohon supaya dikasihani?

Dengan kemuliaan Aidiladha ini dan semangat pengorbanan yang kian memuncak ini marilah sama-sama kita membuktikan pengorbanan kita dalam apa jua kapasiti yang termampu agar kita menjadi hamba-Nya yang termasuk dalam golongan mereka yang sanggup berkorban demi-Nya dan bukannya mereka yang terkorban akibat mengingkari larangan-Nya.

Sesungguhnya sedikit perubahan dalam diri mungkin boleh menjadikan kita sebagai seorang manusia yang mulia pada pandangan-Nya seperti mana pada ejaan 'ROKOK' itu sendiri, dengan hanya mengubahkan 'O' kepada 'U', maka seorang makhluk Allah yang sentiasa merokok akan bertukar menjadi hamba yang rukuk (patuh) kepada kehendak-Nya.

Rujukan Utusan Malaysia
-----------------------
:: Dakwah Itu Perlu Hikmah ::
Mohd Nazmi Bin Abdul Ghani
Teratak Bonda 11 Disember 2008

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin