Wednesday, December 17, 2008

Muntadar, but saiz 10 dan kebebasan media

MUNTADAR Al-Zeidi, 29, kini tiba-tiba menjadi ikon. Kasut but saiz 10-nya juga menjadi terkenal. Kasut yang dibalingnya hampir mengenai kepala orang paling berkuasa di dunia - George W. Bush. Seluruh dunia Arab memuji keberaniannya yang teramat sangat. Penduduk Iraq, negara kelahirannya, keluar ke atas jalan raya menari-nari sambil mengangkat but yang sama seperti milik Muntadar itu.

Tindakan Muntadar, walaupun bukan satu amalan biasa bagi wartawan di Malaysia atau di mana-mana negara sekalipun, dianggap sebagai luar biasa. Ia adalah nilai berita terhebat setakat ini. Ia juga akan menjadi catatan year ender terhebat bagi tahun ini.

Muntadar mengambil kesempatan di sidang akhbar yang diadakan sempena 'lawatan perpisahan' Bush sebagai Presiden Amerika ke kota Baghdad itu, untuk meluahkan perasaannya yang amat berat dipendamnya selama ini.

Sambil melontar, Muntadar melaung ''ini kucupan perpisahan untuk kami anjing!'' Lelaki itu mengambil sebelah lagi kasutnya dan terus melontar sambil melaung ''ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq." Bush tangkas menunduk bagaikan pemain besbol mengelak bola lisut yang akan menghentam mukanya.

Laungan itu menterjemahkan betapa ribuan rakyat Iraq - wanita, kanak-kanak dan orang tua terkorban atau dilenyapkan dari muka bumi negara itu.

Jeritan Muntadar itu juga pastinya akan menjadi ikonik. Ia datangnya dari dalam hati nuraninya. Muntadar hanyalah insan biasa, seorang rakyat Iraq yang hanya mahu meluahkan perasaannya.

Dia bukanlah pengebom berani mati, yang mahu meletupkan dirinya sia-sia, tetapi mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Bush perlu diaibkan. Bagi orang Arab, membaling kasut ke muka seseorang adalah perkara yang paling hina.

Walaupun balingan itu tidak mengenai sasaran - namun aib telah dilemparkan. Bush tidak akan lupa kejadian yang menimpa dirinya itu, sampai mati.

Simbolik

Semasa menyatakan rancangannya akan ke Iraq, sebagai simboliknya sebelum meninggalkan White House, tertanya kita betapa egonya Presiden itu. Mengapakah perlu beliau pergi ke situ, setelah perbuatannya terhadap Iraq selama ini telah dikutuk satu dunia. Malah rakyatnya sendiri menolaknya mentah-mentah, sehinggakan calon partinya sendiri pun menjadi mangsa akibat badi Bush itu. Semuanya gara-gara serangan-penjajahan, arahan Bush ke atas Iraq.

Apa pun, Muntadar kini menjadi hero bagi rakyat Arab. Ternyata bukan puak Sunni sahaja yang membenci Bush, malah Syiah seperti Muntadar pun sama. Lawatan Bush itu diadakan beberapa hari sebelum rakyat Iraq memperingati dua tahun Saddam Hussein digantung sampai mati oleh rejim Iraq, boneka Bush.

Para wartawan Arab yang lain menyifatkan tindakan rakan sejawatan mereka itu sebagi satu manifestasi ''kebencian yang amat sangat terhadap Bush." Sementara laporan dari Washington pula memihakkan berita (slant) dengan menyifatkan Muntadar ''hanya mahu mendapatkan perhatian dan ia satu kes terpencil."

Majikan Muntadar, sebuah stesen televisyen, Al-Banghdadia berpangkalan di Mesir, mengeluarkan kenyataan mendesak pekerjanya itu dibebaskan daripada tahanan dengan alasan ''selari dengan demokrasi dan kebebasan bersuara yang mahu diterapkan oleh Amerika ke atas rakyat Iraq.

''Sebarang langkah ke atas Muntadar bolehlah dianggap sebagai satu tindakan oleh rejim diktator."

Ironinya, sebaik sahaja insiden itu berlaku media Barat dipercayai cuba menutup aib itu. Agensi berita menghantar gambar yang tertera nota kepada editor di bawah imej itu yang menegaskan bahawa gambar itu hanya untuk kegunaan editorial sahaja, dan bukan untuk tujuan lain termasuk ''pengiklanan, papan tanda…''

Namun, yang penting seorang insan wartawan bernama Muntadar Al-Zeidi - telah mencipta berita dunia.

rujuk di sini

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin