Monday, August 9, 2010

Ramadan bulan ibadat, tambah rezeki, rezeki melimpah

ESOK tengok anak bulan Ramadan bagi menentukan tarikh permulaan puasa. Sama-samalah kita nantikan pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Majlis Raja-Raja.

Tentunya umat Islam sudah tidak sabar menanti kehadiran bulan yang penuh keberkatan ini. Semoga kita diberi ‘kekuatan’ untuk menunaikan salah satu daripada Rukun Islam itu. Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sebaliknya ia turut mengingatkan umat Islam untuk tidak melakukan perbuatan atau tindakan yang boleh mengurangkan ganjaran pahala atau membatalkan puasa. Bukanlah bermakna di luar Ramadan kita bebas melakukan apa yang dilarang. Ramadan mampu mengajar atau membentuk diri kita untuk meninggalkan perkara-perkara yang dilarang. Apa pun fadilat puasa lebih daripada itu. Jadi janganlah menjadikan puasa sebagai bulan pesta makan ketika menghampiri waktu berbuka atau pesta membeli-belah menjelang Hari Raya Aidilfitri. Sebaliknya jadikan Ramadan ini bulan ibadah, muhasabah diri atau menilai semula apa yang dilakukan. Hidup di dunia ini hanya sementara, tidak ada apa yang boleh dibawa selepas mati kecuali amal ibadat. Semua orang tahu perkara ini tetapi kadang-kala orang mudah lupa dan menjadi ‘jahil’ dilanda ‘godaan’ dunia. Maka coretan ini sekadar ingatan sempena kehadiran bulan yang mulia ini. Sama-samalah kita penuhkan surau dan masjid dengan majlis-majlis ilmu ketika waktu makan (solat zuhur) dan waktu minum petang (waktu asar) dan pada sebelah malamnya pula dengan solat sunat tarawih dan witir.

Tidak perlulah berkomentar lagi sama ada hendak dilakukan lapan rakaat tarawih campur tiga witir (8+3) atau 20 campur 3 (20+3). Isu ini sering timbul pada bulan Ramadan. Ada yang nak buat lapan dan ada pula nak buat 20. Pada masa yang sama ada pula yang menyelitkan dengan tazkirah serta tahlil. Terpulanglah kepada jawatankuasa surau dan masjid sama ada nak teruskan dengan tazkirah atau solat tarawih terus menerus tanpa diselitkan tazkirah. Tarawih datang setahun sekali tetapi tazkirah boleh diadakan pada bila-bila masa. Jangan jauhkan ahli jemaah yang berkobar-kobar untuk menunaikan solat sunat setahun sekali itu. Tidak dinafikan, tazkirah selepas solat menyebabkan ramai yang angkat kaki sebaik sahaja selesai tarawih . Tetapi adalah lebih baik jemaah ‘lekat’ di surau/masjid daripada angkat kaki selepas sunat tarawih dihentikan untuk memberi laluan kepada tazkirah. Dan tazkirah pula janganlah diserapkan unsur-unsur politik, tak kiralah sama ada yang memihak kepada pihak kerajaan yang memerintah atau sebaliknya. Janganlah kita musnahkan hubungan erat silaturahim, kasih sayang dan perpaduan semasa solat berjemaah dengan tazkirah yang berunsurkan politik. Ingatlah tidak semua jemaah ahli parti politik. Malahan ada yang langsung tidak peduli soal politik.

Pada masa yang sama seperti saranan Mufti Perak, Harussani Zakaria kelmarin, kehadiran Ramadan harus dijadikan ruang terbaik kepada orang Melayu merapatkan hubungan seterusnya mewujudkan perpaduan yang utuh.

Diharapkan kenyataan itu tidak pula dianggap rasis. Sekarang ini, pantang disebut Melayu dan usaha mempertahankan Melayu kerana ia akan dianggap rasis. Kata Harussani, sekiranya masyarakat Islam benar-benar menghayati hikmah bulan yang mulia ini, mereka akan bersedia untuk menghilangkan perasaan angkuh, bongkak dan ego masing-masing.

Tetapi Harussani sekadar boleh mengeluarkan kenyataan itu sebagai peringatan daripada seorang mufti. Terserahlah kepada mereka di luar sana untuk mengingati ingatan itu kerana sebelum ini, orang politik mempunyai ‘fatwa’ mereka sendiri. Mereka tidak peduli itu semua. Mereka cakap apa sahaja termasuk maki hamun dan mengaibkan orang lebih-lebih lagi semasa kempen pilihan raya kecil. Orang politik yang angkuh, bongkak, sombong dan ego itu tidak pernah peduli bulan yang mulia asalkan matlamatnya ‘meracuni’ fikiran rakyat tercapai dalam usaha mengekalkan kuasa politik atau mahu ‘menakluki’ takhta politik.

Mungkin mereka ini tidak dapat menghayati Ramadan dengan sebenar-benarnya. Tetapi seperti disebut sebelum ini, mereka mempunyai ‘fatwa matlamat menghalalkan cara’.

Seperti kata Harussani, hanya orang yang tidak faham falsafah di sebalik keberkatan Ramadan akan kekal dengan sikap mereka itu.

Namun, majoriti umat Islam sudah tentu mahu menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

Pada bulan ini juga, akan banyaklah majlis berbuka puasa. Di samping meraikan saudara mara, sahabat handai, rakan-rakan perniagaan, banyak pihak tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim. Maka berlumba-lumba orang ramai mahu menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim ini. Di samping berbuka, sumbangan turut diberikan untuk persiapan hari raya. Bagi orang korporat pula, bukanlah tujuan mereka mahu menunjuk-nunjuk tetapi ia tanda mensyukuri nikmat yang diberi. Hasil yang diperoleh mahu dikongsi bersama dengan orang-orang yang tidak mampu. Maka diharapkan, ketika sumbangan mencurah-curah itu, tidak ada rumah anak yatim terpaksa menolak rezeki pihak yang mahu menaja majlis berbuka puasa.

Bagi peniaga pula, Ramadan juga memberi peluang kepada mereka untuk menambah pendapatan. Mereka sama ada menjual juadah berbuka/bersahur atau menjual pakaian serta persiapan menyambut hari raya. Pihak berkuasa tempatan eloklah memberi peluang kepada orang Melayu Islam ini untuk menambah pendapatan.

Tidak payahlah kecoh-kecoh dengan rezeki setahun sekali itu.

Namun apa yang berlaku di Pulau Pinang menarik perhatian. Peristiwa yang hampir sama berulang lagi. Tahun lalu, suasana di kaki lima berdekatan Bazar Chowrasta, Jalan Penang kecoh gara-gara tindakan kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) cuba menghalau peniaga Bazar Ramadan di situ. Mereka sudah berniaga di situ setiap kali Ramadan sejak 24 tahun lalu. Akhirnya selepas didesak, mereka dibenarkan berniaga semula.

Tahun ini, giliran Bazar Ramadan di tingkat tiga Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pula. Sebanyak 27 peniaga yang khabarnya sejak 20 tahun lalu berniaga di situ setiap kali menjelang hari raya. Begitulah nasib peniaga-peniaga kecil Melayu Pulau Pinang. Tidak perlulah diulas setinggi Komtar masalah peniaga Melayu ini. Bukan lagi pi mai pi mai tang tu, tetapi mereka dah kena ‘angkat kaki’. Melayu tak boleh lagi duduk di situ.

Bagi orang politik terutama wakil rakyat, Ramadan juga memberi peluang mendekati rakyat. Tempoh sebulan itu boleh dimanfaatkan untuk bersama rakyat sama ada ketika berbuka puasa atau solat tarawih. Ramai orang politik menjelajahi satu persatu surau dan masjid di kawasan masing-masing. Bukanlah bermakna sebelum ini mereka tidak berbuat demikian tetapi sentuhan Ramadan ada kelebihannya. Begitulah di sebalik kedatangan Ramadan. Selamat berpuasa!

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin