Bulan Ramadan seharusnya menjadi penguji dan pendidik kepada nafsu syahwat yang asyik ingin membara. Nafsu syahwat yang menjurus kepada syahwat seksual sentiasa cuba melepaskan diri dari kekangan Ramadhan.
Bagi yang sudah berumahtangga, apa yang Allah swt minta untuk diusahakan hanyalah jangan ‘bersama' di siang hari Ramadhan. Ia kelihatan mudah, tapi jangan pelik dan hairan, amat ramai yang gagal. Web dan email saya juga dibanjiri dengan soalan berkaitan hal ini, masing-masing bertanya cara dan kaedah membayar kaffarah dan sebagainya.
Memang benar, Allah swt maha mengetahui ramai manusia akan gagal dalam ujian tahan syahwat seks ini, justeru disediakan untuk manusia kaffarah bagi mereka menebus dosa, kesalahan dan kegagalan mereka. Bagi yang belum berumahtangga, sepatutnya isu berpuasa syahwat seks di siang Ramadhan tidak menjadi hal, kerana mereka belum berumahtangga dan belum merasa nikmat ‘bersama'.
Namun, amat ramai si bujang Muslim dan Muslimah yang jatuh tewas, seburuk-buruk ketewasan itu adalah apabila mereka berzina di siang hari Ramadhan. Innalillahi wa inna ilayhi raji'un. Amat buruklah apa yang mereka kerjakan. Yang lain pula tewas dalam ‘ringan-ringan' syahwat bersama pasangan ‘kekasih', atau juga melalui medium komunikasi elektronik dan internet.
Sekumpulan lagi tewas dengan penangan ‘tangan' sendiri (onani). Semuanya buruk, namun menjadi lebih buruk apabila dilakukan di bulan Ramadhan, di siang harinya pula. Kes seperti ini juga tidak kering dari menjengah kotak email dan web saya, memberikan satu gambaran sebenar umat Islam di tanahair tercinta. Pada bulan yang nafsu syahwat patut dididik dan dipukul kerana degil, malangnya ia berterusan menguasai sang diri. Amat dibimbangi, jika itu berlaku, itu adalah tanda diri akan terus menjadi hamba si nafsu syahwat di bulan-bulan lain yang mana nafsu akan diperkukuh kedudukannya oleh Syaitan yang berlegar.
Allah menyebut melalui hadis qudsi :
يترك طعامه وشرابه وشهوته من أجلي الصيام لي وأنا أجزي به
Ertinya : Dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya kerana aku (ALLAH), maka puasa khas untukKU, dan aku akan memberikan ganjaran untuknya.. ( Riwayat Al-Bukhari, no 1795, 2/670 )
Bagaimana mengubatin syahwat luar kawalan ini? Tiada jalan mudah wahai anak Adam! Nafsu ini perlu ditekan dan dipaksa untuk tidak dituruti. Siapa yang diharap dapat membantu? Jawapannya adalah diri sendiri, utuhkan keazaman dalam diri, seperti ketika dirimu ingin sesuatu lalu akan kamu redah dan bijak mencari aqal demi mencapainya.
Namun pelik, mengapa ‘diri' masih ingin kepada yang ditegah dan diharamkan. Lalu timbullah rintihan ‘saya lemah', ‘saya tidak cukup kuat', mereka ingin beritahu saya, bahawa mereka insaf tapi mereka mengaku lemah untuk melawan kehendak nafsu. Ketahuilah, mengakuilah lemah dan tewas terhadap musuh Allah, syaitan dan nafsu adalah kunci untuk tewas selama-lamanya dan bakal tersemat kukuh kejahatan dalam diri sehingga ke akhir hayat. Justeru JANGAN SESEKALI mengaku diri lemah terhadap godaan nafsu, sebaliknya nyatakan kepada diri, "Hanya kali ini sahaja aku tewas, tidak di waktu yang lain!."
Akhirnya bertubi-tubi ruangan komen web saya dan email dibanjiri puluhan soalan berkenaannya. :
"Bagaimana ingin jadi kuat dan kalahkan nafsu ini?"
Jawapannya boleh jadi berjela-jela panjangnya, atau pendek mewakili seribu ayat. Biar saya pilih yang pendek, sesudah puas menghuraikan dengan panjang berjela di dalam pelbagai artikel.
"Yakinilah balasan Allah swt dan hari akhirat"
Itulah kunci yang boleh membuka pintu yang diingini. Kerana itulah setiap kali Allah menyebut di dalam Al-Quran beriman kepada Allah, akan menurutinya beriman kepada hari akhirat. Ia adalah kunci kekuatan melawan semua jenis syahwat negative dan semua jenis syaitan.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
No comments:
Post a Comment