Bintang baru bergelar imam muda unggul muncul malam itu. Bintang baru yang dicipta dengan ciri dan karakter tersendiri hasil kreativiti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Astro Oasis. Program pencarian bakat seorang imam ini lantas menerima reaksi luar dugaan masyarakat.
Bukan sahaja di Malaysia tetapi popularitinya juga merambat sehingga ke Eropah. Program genius ini mungkin sahaja menyaingi populariti Akademi Fantasia dari Mexico itu. Bahkan ia mampu lebih popular daripada Malaysian Idol yang konsep asalnya dari Amerika Syarikat.
Program ini bukan sekadar memberi makna baru kepada tugas seorang imam. Imam yang dikenal umum peranannya sekadar untuk urusan solat, nikah kahwin dan kenduri doa selamat.
Imam Muda telah mengisi ruang di hati masyarakat yang dahagakan program bercorak kerohanian. Imam Muda dalam caranya tersendiri menjadi medium pendidikan,
Bagi ibu bapa pula, bertuahlah mereka punya anak hafaz al-Quran. Kepada ramai gadis dan ibu-ibu, inilah ciri suami/menantu idaman.
Ciri-ciri seorang imam dalam program ini memberikan harapan. Imam, seorang pemimpin yang bukan setakat petah berceramah dan bijak berhujah tetapi cermat kata-katanya. Imam yang bukan sekadar mampu menarik masyarakat mengimarahkan masjid tetapi aktif dalam kegiatan harian komuniti.
Lebih penting, imam yang tidak bernada sinikal dan sengaja menyemai rasa benci sesama umat atas kepentingan politik sempit. Imam yang boleh diharapkan menjadi perantara menyatukan kelompok masyarakat. Imam sebagai sebuah institusi yang menjadi model kepada masyarakat.
Ciri-ciri seorang Imam Muda dalam program realiti selama tiga bulan itu merupakan jawapan mengapa ia mendapat tempat di hati masyarakat.
Kehadiran imam sebegini memang begitu dinanti-nantikan. Dalam kehidupan realiti, sukar untuk menarik orang muda mendekati agama sekali gus mempopularkan gaya hidup sosial positif. Imam Muda mahu menjadi antara jawapan kepada permasalahan itu.
Sebenarnya ramai anak muda di luar yang setaraf Imam Muda. Buktinya, lebih 1,000 anak muda menyertai uji bakat Imam Muda. Program ini pun diikuti oleh lebih 50,000 peminat melalui laman sosial Facebook.
Tentu sekali sebagaimana pengakuan kesemua 10 Imam Muda, populariti bukanlah yang mereka cari.
Mereka mahu memberi nafas baru terhadap kerjaya seorang imam. Imam daripada fizikalnya yang selalu dikenal sebagai seorang yang berumur, berserban dan berjubah.
Imam dalam Imam Muda adalah seorang yang berketrampilan, berperwatakan komtemporari dan menguasai pelbagai ilmu. Imam Muda telah mengangkat harkat dan martabat seorang imam.
Harapan Imam Muda Unggul
Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan (gambar), 26, ketika ini sibuk dengan tugasan merakam jejaknya yang telah diatur oleh Astro Oasis di kampungnya di Pulau Pinang.
Mengikut jadual, beliau kemudian ke Kuala Lumpur sebelum berkumpul semula dengan semua sembilan Imam Muda untuk lawatan ke Bandung, hari ini.
Baginya, sambutan luar dugaan masyarakat terhadap Imam Muda walaupun satu kejutan tetapi dianggap positif. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Fiqh, Universiti Malaya (UM) ini sentiasa optimis dengan peranannya nanti selepas bergelar Imam Muda Unggul.
Selagi orang masih menerimanya, kata Asyraf, beliau akan mengambil peluang itu untuk melakukan dakwah dan secara santai mengajak orang muda mendekati Islam.
"Saya akan cuba sedaya mungkin. Sekarang ini masih lagi peringkat permulaan. Takut juga tak dapat penuhi harapan tinggi masyarakat," katanya.
Tekadnya ialah mengubah pemikiran khususnya orang muda bahawa memenuhi kehendak agama itu susah. Contohnya, solat yang boleh dilakukan di mana-mana walaupun dalam keadaan berpeluh selepas bersukan.
Bagi beliau, kerja-kerja agama tidak boleh hanya diletakkan di atas bahu orang tua-tua. Orang muda dan rakan sebaya boleh memberi sumbang bakti yang signifikan.
Asyraf dan rakan-rakannya juga pernah berbincang untuk menghasilkan album kerohanian sebagai cara mendekatkan agama kepada orang muda. Cuma ia belum mencapai kata sepakat.
"Kita mungkin boleh popularkan semula nasyid. Mungkin dengan gabungan zikir dan marhaban. Tapi ada yang berpendapat takkan imam nak nasyid," ujarnya yang telah beristeri dengan seorang pelajar UM.
Sebenarnya banyak perkara yang boleh dilakukan oleh Imam Muda. Walaupun agak tertekan dengan jadual ketat, tetapi bagi Asyraf "biarlah berpenat sekarang, sebelum kita penat nanti" - semangat anak muda yang wajar dicontohi.
No comments:
Post a Comment