Cerewetkah saya?
Harapnya tidak begitu.
Dalam rumahtangga, Insya Allah saya jarang berkira tentang makan minum. Saya survive dengan apa sahaja. Pakaian juga tidak pernah berubah. Seluar dengan baju Melayu dan bagpack, itulah saya semenjak di bangku pengajian hinggalah sekarang.
Tetapi saya tersedar bahawa kebelakangan ini saya jadi seperti cerewet. Bukan dengan keluarga, bukan dengan sahabat handai.
Saya cerewet dengan adik-adik di kampus.
Cerewet dengan mahasiswa.
BERTAHAN SELAMA INI
Entah di mana silap penganjur, saya survive apabila pernah berceramah 3 hari 2 malam, tidurnya di atas papan katil double decker di stor tilam gara-gara urusetia tidak terfikir yang penceramah dan fasilitator perlukan tempat tidur untuk program sebegitu.
Saya juga survive apabila saya yang menaiki pesawat dengan wang sendiri dari London ke Dublin untuk berceramah, berakhir dengan saya menjadi peserta serta membayar yuran penyertaan gara-gara urusetia melantik dua AJK mencari penceramah dan mereka tidak bersinergi.
Setakat ini, saya juga survive apabila urusetia mengambil saya di rumah pada jam 4:30 pagi untuk ke lokasi ceramah yang hanya 15 minit perjalanan, sedangkan ceramah dijadualkan bermula jam 7 pagi, gara-gara urusetia takut tidak bertemu dengan rumah saya. Saya anggap ia satu paksaan daripada Allah untuk saya memanjangkan Qiamullail pagi tersebut.
Saya bertahan dan tidak luntur semangat untuk terus mengusahakan apa sahaja yang saya usahakan semalam dan hari ini.
Tetapi kebelakangan ini saya jadi seperti cerewet.
Saya rasa keluhan saya di Facebook telah mencederakan hati ramai anak muda yang pernah berurusan dengan saya. Mereka mungkin serik dan menjauhkan diri.
Entahlah!
BUKAN KERANA KESAKITAN
Segala keluhan itu hakikatnya bukanlah kerana sakit yang terkena ke atas diri saya. Apalah sangat semua itu jika dibandingkan dengan kesusahan-kesusahan lorong dakwah para Nabi dan generasi Islam yang terdahulu. Malah saya juga tidak pernah lupa kepada hadith Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
عن أبي موسى قال كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا بعث أحدا من أصحابه في بعض أمره قال بشروا ولا تنفروا ويسروا ولا تعسروا
Daripada Abu Musa beliau berkata, apabila Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengutuskan seseorang daripada kalangan sahabatnya untuk apa-apa urusan, Baginda akan berpesan: “Berikan khabar-khabar yang menggembirakan, jangan kamu liarkan (manusia dengan pendekatanmu yang kasar), permudahkan dan jangan kamu susah-susahkan!”
Saya berusaha untuk memudahkan.
Namun bukan itu yang jadi persoalan.
Ada beberapa perkara asas yang perlu diberi perhatian.
Saya bertahan, tetapi saya risaukan adik-adik ini. Mereka pada satu hari nanti akan menjadi pekerja, profesional, suami, isteri, bapa, ibu, pemimpin dan pelbagai lagi tugasan. Kecuaian mereka daripada menjaga beberapa perkara asas ini membimbangkan saya. Risau memikirkan masa depan mereka.
KEMAHIRAN HIDUP
Bukan semua kemahiran hidup kita datang daripada buku teks.
Apabila menghulurkan pisau kepada seseorang, hulurkan hulu dan bukan mata pisau tersebut. Ini tiada di dalam buku teks. Ia datang daripada asahan hidup pada fikiran-fikiran yang betul tentang kehidupan. Malah banyak urusan Fiqh, yang muqaddimahnya adalah common sense atau logical thinking seperti ini. Misal kata, andai sudah tahu bakal bersolat di dalam pesawat dek penerbangan jarak jauh, maka jagalah kebersihan pakaian. Pakailah pakaian yang mesra solat supaya tidak perlu menyarung ‘kelambu’ di dalam pesawat. Sang teruna pula, maaf cakap. Janganlah kencing berdiri di Lapangan Terbang (atau di mana-mana sahaja) kerana kekotoran seluar akan menyulitkan diri untuk menyarung kain pelekat Cap Gajah Duduk di dalam pesawat.
Hal inilah yang membimbangkan saya.
Apabila anda menerima tetamu untuk program di kampus, tentukan makan minum tetamu dipastikan cara dan masanya. Jika saya tidur kelaparan atau terus berceramah di pagi hari tanpa sarapan, saya bertahan. Tetapi anda satu hari ini akan menjadi tuan rumah di rumahtangga anda sendiri. Tetamu yang datang itu perlu disediakan tempat tidurnya. Ditunjukkan bilik airnya. Diberitahu mana arah kiblat di rumah tersebut. Sediakan air kosong untuk minuman di malam hari sebelum tetamu tidur. Tawarkan kepadanya kain pelekat, tuala dan selimut. Itu semua di hujung jari generasi ibu bapa kita setiap kali menerima kedatangan tetamu ke rumah. Tetapi bagaimana pula ketika tiba giliran kita?
Saya bukan marah kerana tidur atau berceramah dalam kelaparan.
Tetapi saya marah jika anda yang sudah di menara gading, satu hari nanti melayan tetamu di rumah begitu.
Saya juga meraikan, jika urusetia meminta agar Yuran Profesional kursus dikurangkan berbanding kertas cadangan asal. Kita sentiasa berusaha untuk seimbangkan antara keperluan dan tujuan. Tetapi setelah sama-sama bersetuju dengan satu jumlah, saya marah apabila jumlah yang dibayar kurang daripada persetujuan dengan alasan sebahagian peruntukan untuk Yuran Profesional itu digunakan untuk cenderahati penceramah atau perbelanjaan yang lain. Apatah lagi saya diminta pula mengeluarkan resit dengan jumlah yang lebih tinggi. Bukan sahaja lebih tinggi daripada jumlah yang dibayar, malah lebih tinggi daripada jumlah persetujuan asal. Rupa-rupanya bahagian kewangan meluluskan jumlah peruntukan seperti kertas cadangan, tetapi saya yang dimaklumkan dengan jumlah yang berbeza.
Saya marah bukan kerana wang itu.
Saya marah kerana integriti yang cedera. Sifat amanah yang gagal dilunaskan.
Bagaimanakah kualiti urus tadbir seperti ini mahu dibawa memimpin perubahan tatkala kalian memegang tampuk kuasa di gelanggang massa satu hari nanti?
Apakah nanti bakal ada satu kategori jenayah baru bergelar JENAYAH KETAYAP PUTIH?
Ia menjadi fitnah kepada agama.
TELUS
Apa-apa sahaja urusan, bawalah kepada perbincangan. Apa yang tidak pasti, jangan segan bertanya. Apa yang tidak tahu, jangan malu meminta pandu. Apa yang berat dan sulit, jangan keberatan membawanya ke perbincangan. Tetapi jangan menipu, atau berliku-liku dalam aqad ijab dan qabul muamalat.
Semua kemarahan saya itu terbit daripada rasa kasih dan sayang. Saya tidak mahu usia muda kalian tercemar oleh perbuatan-perbuatan seperti ini. Apatah lagi dengan fatwa jalanan yang mengharuskan tindakan sedemikian atas alasan-alasan agama yang lebih bersifat manipulasi nas yang membelakangkan konteks.
Itu berat!
Kalian bakal memimpin masa depan ummah, maka pimpinlah dengan penuh integriti dan kompetensi. Kami sudah penat dengan salah guna kuasa yang menjadi darah daging budaya semasa. Jangan itu yang kalian petik sebagai warisan!
Maafkan saya andai luahan ini berbunyi leteran.
Bukankah yang kuat berleter itu yang berjaga malam mengelap selsema hingus dan demammu?
Saya kasihkan antum, wahai anak-anak muda, kerana ALLAH…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
No comments:
Post a Comment