|
|
PELBAGAI isu yang kita baca di akhbar-akhbar melibatkan penceramah dan integritinya khususnya dalam aspek keagamaan, kemasyarakatan, sosial dan politik yang tidak mendapat pentauliahan daripada pihak berkuasa berkaitan.
Apabila memperkatakan mengenai pentauliahan, kita akan bercakap mengenai peraturan dan prosedur yang perlu diikuti oleh seseorang penceramah sebelum menyampaikan ceramahnya terutama yang berkaitan dengan isu-isu yang boleh mendatangkan impak kepada masyarakat keseluruhannya.
Sebenarnya bukan mudah untuk menjadi seorang penceramah, baik penceramah dalam aspek sosial kemasyarakatan, undang-undang, bahasa dan budaya, keagamaan atau kerohanian. Ini kerana seseorang yang hendak menjadi penceramah perlu mempunyai integriti dan kredibiliti yang mencerminkan apa yang hendak disampaikan dan memikirkan pengaruh dan kesan daripada ceramahnya itu dan bukannya bersikap lepas tangan jika ada permasalahan yang berkaitan dengan topik yang diceramahkan atau hanya merasa seronok bahawa ceramahnya itu telah menarik minat orang ramai.
Tugas dan tanggungjawab sebagai penceramah itu berat dan perlu bergerak seiring dengan kehendak dan keperluan masyarakat atau organisasi yang menjemput penceramah itu agar mendapat manfaat dan perkembangan yang positif daripada ceramahnya. Penceramah perlu memahami apakah maksud 'penceramah' kerana daripada perkataan 'penceramah' itu sendiri membawa maksud yang jelas mengenai tugas, peranan dan kredibiliti penceramah.
Dari aspek personaliti, penceramah perlu menjaga personalitinya sama ada luaran atau dalaman agar dihormati oleh pihak yang mendengar ceramahnya. Keterampilan dan keperibadian perlu dijaga dengan baik seperti sikap yang menyenangkan hati orang ramai, tidak sombong, suka tersenyum, merendah diri dan menjaga penampilan dari segi pakaian dengan menjaga bau badan, pakaian yang kemas dan sopan serta tidak menjolok mata bagi penceramah wanita.
Personaliti penceramah penting kerana sepanjang masa berceramah, diri penceramah akan direnung, dilihat dan dinilai daripada pelbagai sudut oleh penonton. Selain itu, keperibadian penceramah perlulah melambangkan kepada kepakaran, pengalaman dan pengetahuannya terhadap bidang yang diceramahkan dan ini akan memberi pengukuhan keyakinan peserta dan penonton terhadap apa yang disampaikan di dalam ceramah tersebut.
Dari aspek etika pula, seorang penceramah yang baik dan berkesan perlu menjaga tata susila dan etika peradaban dalam percakapan, perbuatan dan perlakuan. Langkah awal adalah mendapat kebenaran daripada pihak-pihak yang berkaitan jika menjalankan sesi ceramah secara bebas dan jika dijemput oleh organisasi dan masyarakat serta badan-badan bukan kerajaan, penceramah perlu memastikan semua kod etika pihak yang dijemput dipatuhi dan mengikut protokol serta prosedur dalam penyampaian ceramah seperti kata pepatah, 'masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang kerbau menguak'.
Jangan melanggar etika dan berkelakuan yang tidak menyenangkan pihak-pihak yang berkaitan dengan majlis ceramah seperti datang lambat, tidak membuat persediaan ceramah, bercakap melebihi masa yang ditetapkan dan sebagainya.
Jadilah penceramah yang disegani dan dihormati dengan menunjukkan etika diri yang baik. Penceramah juga perlu menerapkan nilai-nilai murni dan nilai positif semasa dan selepas menyampaikan ceramah. Semua penceramah diminta memberikan maksud, objektif, strategi, operasi dan implikasi dari topik yang diberi itu menjurus kepada nilai-nilai positif dalam dunia pekerjaan, kehidupan rumah tangga dan keagamaan. Seorang penceramah yang baik mampu mengungkapkan intipati ceramah kepada kesimpulan yang mantap dan padat dengan nilai-nilai murni yang positif untuk pegangan penonton dan pendengar.
Selain itu, majlis ceramah adalah antara siri cerita-cerita mengenai topik yang berkaitan. Pencerita yang baik perlu mempunyai persediaan dalam usaha untuk memberi penceritaan yang berkesan kepada pendengar. Penceramah perlu membuat persediaan dari segi bahan-bahan, isi kandungan yang mantap dengan fakta dan data serta persembahan visual dan sebagainya bagi memantapkan persembahan isi cerita yang akan didengar oleh peserta yang terlibat.
Penceramah yang baik mempunyai personaliti yang memaparkan kredibiliti padu sebagai penceramah dengan sikap yang prihatin dan empati kepada penonton. Jika topik ceramah yang disampaikan berkaitan dengan ibu bapa dan masalah sosial remaja hari ini, sudah tentunya ada persoalan dan keluhan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang terjebak dengan masalah sosial. Penceramah perlu mendekati dan memberi motivasi serta sokongan moral kepada ibu bapa berkaitan. Sikap empati dan simpati yang ditunjukkan memberikan harapan baru kepada penonton atau peserta yang mempunyai masalah.
Seorang penceramah yang efektif perlu memiliki reputasi dan positif dari segi latar belakang pendidikan, pengalaman, pengetahuan, pergaulan dan sebagainya tanpa kontroversi. Kita tidak mahu penceramah mempunyai banyak cerita-cerita sensasi yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi dan kontroversi yang akhirnya memberikan implikasi yang negatif terhadap ceramahnya. Jagalah reputasi diri dengan baik agar disegani oleh pendengar dan ahli masyarakat.
Seorang penceramah itu sebenarnya memegang amanah yang perlu disempurnakan dengan baik. Amanah untuk menyampaikan ilmu yang benar dan mempunyai data dan fakta yang kukuh dan bukan semberono menyampaikan cerita-cerita penglipurlara yang boleh memberikan kesan negatif kepada masyarakat. Amanah dalam menjalankan tugas dan membuat tugasan tersebut dengan sempurna dan jujur tanpa dibayangi oleh upah, insentif atau nama yang bakal diperoleh oleh penceramah.
Penceramah juga mampu menyampaikan ceramahnya dengan gaya persembahan yang mampu menarik perhatian pendengarnya. Bahan-bahan penyampaian berbentuk visual berwarna-warni (jika perlu), alat pandang dengar yang baik dan paling penting komunikasi yang berkesan dalam ceramah itulah yang paling menarik perhatian. Selitkan unsur-unsur humor serta kisah dan tauladan dalam bentuk yang spesifik dan mudah difahami.
Komunikasi dua hala dengan penonton, intonasi suara, soal jawab dan komunikasi gerak tubuh dengan penonton amat penting bagi menjadikan ceramah menarik dengan maksud serta objektif ceramah dapat disampaikan dengan berkesan.
Penulis ialah Pensyarah di
Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan
Universiti Tenaga Nasional
Rujukan di sini
No comments:
Post a Comment