Sunday, June 14, 2009

Kriteria pemimpin untuk Iran


Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berjaya mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya Presiden Jumaat lalu. Beliau menewaskan pencabar terdekat, bekas Perdana Menteri Hossein Moussavi. Ini satu berita gembira untuk Iran dan Asia Barat walaupun Timbalan Menteri Luar Israel, Danny Ayalon meminta semua pemimpin dunia jangan berunding dengan Iran dan menghalang Iran daripada meneruskan program nuklear. Demikianlah ketakutan Israel terhadap Ahmadinejad. Ini adalah hasil pilihan raya Iran yang mengekalkan Ahmadinejad supaya lantang menentang kebiadaban Israel yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS).

Politik Asia Barat mahu distrukturkan mengikut acuan AS. Ini adalah satu kenyataan yang tidak dapat dinafikan lagi apabila AS yang sewenang-wenang campur tangan dalam menguruskan politik di negara-negara Asia Barat. Selepas Kuwait, AS menakluki Iraq. Serangan kali kedua selepas Perang Teluk hanya kesempatan dari tragedi 11 September 2001. Akhir sekali AS mencuba untuk menundukkan Iran dengan mendakwa Iran membina loji senjata nuklear. Ini hanya alasan AS sedangkan Korea Utara yang terang-terang membangunkan loji senjata nuklearnya.

Walaupun semua ini berlaku pada era bekas Presiden George W. Bush, tetapi hakikatnya Asia Barat atau dunia Arab mesti mempunyai pemimpin yang lantang untuk menyekat kemaraan AS daripada mencampuri hal dalam negara mereka. Selepas Presiden Saddam Hussein kecundang, dunia Arab hanya mempunyai Iran dan pemimpinnya Ahmadinejad.

Pemimpin mesti memimpin bukan dipimpin mengikut acuan orang lain. Ini ada kena mengena dengan pilihan raya presiden Iran Jumaat lalu. Pilihan raya ini cukup penting bukan saja bagi Iran malah sosio-politik di dunia Arab untuk menangkis campur tangan dari luar khususnya AS. Apabila Iran menjadi negara tunggal yang digeruni Barat dan pada masa yang sama agak terbuka berbanding pemimpin awal Revolusi Islam 30 tahun lalu, pilihan raya kali ini menjadi titik tolak masa depan Iran dan dunia Arab.

Ini sebenarnya bukan soal Ahmadinejad kekal di tampuk kuasa atau sebaliknya. Persoalan yang lebih besar harus ditanya ialah apakah kriteria pemimpin Iran selepas ini mesti mempunyai toleransi yang tinggi terhadap AS atau mahu menjadi diri mereka sendiri? Sekiranya rakyat menolak kepimpinan konservatif yang diwakili oleh Ahmadinejad, bererti mereka memilih pemimpin reformis yang lebih terbuka. Apakah reformis dan toleran kepada AS membolehkan Iran mempertahankan kedudukan daripada menjadi mangsa penstrukturan politik oleh AS?

Kelantangan

AS memang tidak selesa dengan kedudukan Iran walaupun Presiden Barack Obama memperlihatkan keterbukaan mengenai isu nuklear Iran. Sebenarnya bukan nuklear tetapi kelantangan pemimpin Iran untuk mempertahankan Iran di pentas dunia. Itu yang menjadi masalah kepada AS.

Obama telah membuka dialog dengan Ahmadinejad selepas 30 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terputus semasa Revolusi Islam. Obama kelihatan sangat prihatin terhadap program nuklear Iran. Ini kerana banyak negara lain membangunkan loji nuklear untuk tujuan membuat senjata. Tetapi Ahmadinejad tidak pernah berubah pendiriannya bahawa nuklear Iran sebagai sumber tenaga.

Keterbukaan Obama membincangkan isu Iran yang dilihat jauh lebih baik daripada Bush yang menghalakan senjata perangnya ke Iran. Obama juga mempunyai tahap prejudis yang tinggi terhadap Iran. Buktinya Obama sendiri mengalu-alukan “perubahan” dalam kepimpinan Iran sekalipun tidak mengatakan AS memusuhi Ahmadinejad. Lalu, pilihan raya Presiden Jumaat lalu telah menjelaskan pendirian rakyat Iran yang memilih pemimpin mereka, bukan pemimpin yang disenangi AS.

AS menggunakan isu konservatif yang radikal untuk menjatuhkan Ahmadinejad yang pernah menjadi orang kuat pemimpin Revolusi Islam, Ayatullah Khomeini. Pemimpin revolusi itu telah menjatuhkan Mohammad Reza Pahlavi (Shah Iran) pada 1978. AS memberikan gambaran seolah-olah dasar luar Iran terhadap AS membuatkan negara itu tersingkir daripada pembangunan. Maka ditekankan perlunya kebangkitan pemimpin reformis yang lebih terbuka kepada dunia luar untuk membawa perubahan sosio-politik dan ekonomi kepada Iran.

Pada pilihan raya kali ini Admadinejad ditentang sengit oleh Moussavi. Penentang dilabelkan sebagai reformis yang memperjuangkan hak-hak rakyat serta membuka pintu kepada negara luar. Walaupun ada dua lagi calon Presiden, tetapi hanya Moussavi yang memberikan tentangan yang sengit kepada Ahmadinejad. Pertentangan dasar luar terhadap AS menjadi pertarungan antara kedua-dua pemimpin kanan Iran ini.

Sekiranya Ahmadinejad kecundang dalam pilihan raya kali ini, dunia Arab khususnya Asia Barat kehilangan pemimpin yang menjadi benteng terakhir daripada dikuasai oleh AS. Kelantangan dan keberanian Ahmadinejad mempertahankan program tenaga nuklear cukup jelas. Begitu juga beliau lantang menentang penindasan Israel terhadap Palestin ketika negara-negara Arab lain membisu. Ini wajar menjadi penanda aras pemimpin yang baik untuk Iran.

Serangan

Sebenarnya sejak memenangi pilihan raya Presiden Iran pada 2005 dulu, AS telah melakukan serangan psikologi terhadap Ahmadinejad. Salah satunya mendakwa beliau antara pelajar-pelajar radikal penyokong Revolusi Islam menawan Kedutaan AS di Tehran. Beberapa keping gambar disebarkan dan mendakwa Iran ketika itu telah kembali pada era Ayatullah Khomeini apabila bekas perusuh menjadi Presiden Iran.

Walaupun sesetengah pihak menyalahkan Ayatullah Khomeini melancarkan Revolusi Islam yang menentang Shah Iran, selepas 30 tahun, revolusi itu menjadikan Iran sebagai Iran. Pada era kegemilangan Shah Iran, negara itu menjadi sekutu Barat dan kemewahan yang didakwa pada era Shah Iran itu sebenarnya tidak sampai kepada rakyat bawahan. Demonstrasi yang berlarutan hingga Januari 1979 membuatkan seluruh negara lumpuh, Shah Iran melarikan diri ke luar negara. Ayotullah Khomeini yang ketika itu berada dalam buangan di luar negara kembali ke tanah air. Pada 11 Februari Revolusi Islam telah menamatkan dinasti Shah.

Ahmadinejad adalah seorang pengagum Ayotullah Khomeini, ini satu fakta yang tidak dapat dipadam. Tetapi selepas menduduki kerusi Presiden, Ahmadinejad jauh lebih toleran berbanding Ayotullah Khomeini sama ada dari aspek hubungan diplomatik dengan negara luar atau soal sosial serta budaya. Walaupun toleran tetapi Ahmadinejad tidak larut dalam acuan politik yang dimahukan oleh AS. Sebagai mengimbangi permusuhan dengan AS, Ahmadinejad menjalin kerjasama yang baik dengan Rusia khususnya sebagai pembekal uranium untuk loji nuklear di Iran.

Dalam kata lain, Iran tidak memerlukan pemimpin yang lembik, berbangga dengan gelaran reformis dan toleran kepada musuh-musuh Iran. Iran selepas keruntuhan Iraq memerlukan pemimpin yang membina acuan politik sendiri, mempunyai kebanggaan dan kepintaran untuk meneruskan survival di dunia Arab yang tidak pernah tenang. Bayangkan kalau selepas ini Iran dipimpin oleh reformis seperti Moussavi tetapi toleran dalam isu Israel.

Memanglah Israel tidak gembira dengan hasil pilihan raya Presiden ini kerana pemimpin yang dipilih memberi masalah kepada Israel. Salah satu kebimbangannya ialah Ahmadinejad tidak pernah membayangkan menghentikan program nuklearnya. Ternyata rakyat Iran tidak mengikut acuan Israel dan AS dalam memilih pemimpin mereka. Kerana itu keputusan pilihan raya ini menjadi penting sebagai penyukat takah untuk Iran melangkah ke hadapan dengan bermaruah.
Rujukan di sini.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin